Ajijoi |
- Selamat Hari Raya Idul Fitri 1431H
- Perutusan Hari Raya Aidilfitri Pesuruhjaya PAS Perak
- Menyambut Aidilfitri cara Islam dan sunnah Rasulullah
- Nilai semula di mana punca isu perkauman negara kita
| Selamat Hari Raya Idul Fitri 1431H Posted: 09 Sep 2010 09:33 AM PDT Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua pengunjung yang setia melayari blog ini tanpa jemu. Kunjungan anda amat saya hargai kerana tanpa kehadiran anda, apalah daya untuk saya berkarya.Sepuluh jari saya susun untuk memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat salah dan silap didalam kandungan isi blog ini yang menyentuh sensitiviti sanubari anda yang saya tidak sengajakan selama bersiaranmaya bersama anda. Semoga hari raya anda tahun ini lebih meriah daripada tahun-tahun yang sebelumnya bersama dengan keluarga dan sanak saudara. Yang jauh kita rapatkan dan yang dekat kita eratkan. Sekiranya didalam kegembiraan anda beraya itu, apalah salahnya jika detik-detik manis tersebut dirakam untuk dikongsi bersama. Hantarkan gambar-gambar mahupun rakaman video hari raya anda kepada e-mail saya: jijoi_8@yahoo.com untuk siaran di blog ini. Bergembiralah dihari yang mulia ini tanpa terbabas daripada garis panduan yang telah diajarkan oleh junjungan kita, Nabi Muhammad SAW. Hari Raya adalah hari untuk bersama keluarga. |
| Perutusan Hari Raya Aidilfitri Pesuruhjaya PAS Perak Posted: 09 Sep 2010 09:07 AM PDT ![]() BAGI pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Perak, saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri 1431 Hijrah, hari kebesaran kurnia daripada Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang. Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah SWT. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan Allah SWT melakukan nuzul Al-Quran pada bulan Ramadan. Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa. Dalam masa yang sama, bagi menegakkan petunjuk ini, kita berdepan dengan cabaran. Al-Quran menjadi furqan, yang membezakan di antara hak dan batil, benar dan salah. Dengan petunjuk Al-Quran, kita menegakkan yang benar, menentang perkara yang bercanggah dengan Al-Quran. Dengan semangat tarbiah melalui Ramadan, menjadikan diri kita orang yang beriman, yang bertakwa, yang kuat, yang sanggup menghadapi cabaran selepas Ramadan dengan mendapat pertolongan daripada Allah SWT, walaupun kita dikelilingi oleh musuh-musuh yang ramai yang tidak akan memberi kesempatan kepada Islam untuk tegak semula di bumi Allah SWT ini. Dengan takwa dan iman yang yang kuat, kita yakin semua musuh itu adalah kecil apabila kita bersama dengan Allah SWT dan Allah SWT memilih pula di bulan Ramadan berlakunya kemenangan kepada umat Islam. Dalam peristiwa Badar, Fathul Makkah, Ain Jalut dan penawanan Kota Belgrade di Balkan pada zaman Kerajaan Othmaniah dalam keadaan orang Islam dianggap lemah tetapi hati mereka ikhlas menyumbangkan pengorbanan harta benda dan jiwa raga disertakan dengan iman yang kuat, percaya kepada Allah SWT dan percaya kepada janji Allah SWT, dunia dan akhirat. Berbekalkan perkara-perkarta itu, Allah SWT memberikan kemenangan kepada generasi awal Islam. Saya yakin dan percaya sekiranya umat Islam di zaman kini melaksanakan contoh dan teladan tersebut, mereka juga akan diberikan kemenangan sekali lagi oleh Allah SWT. Marilah pada kesempatan ini, kita membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT dan meningkatkan pengorbanan kita dalam perjuangan kita untuk meninggikan agama Allah SWT supaya agama ini tegak sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT, dalam Al Quran Karim. Dalam masa yang sama, pada kesempatan ini, marilah kita menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain. Mereka adalah satu ummah, laksana satu jasad yang bersambung di antara satu sama lain, sama-sama memikul tanggungjawab, bertolong menolong sama ada yang berkait dengan urusan agama dan dunia. Dalam masa yang sama, membolehkan kita menyampaikan mesej kita kepada seluruh manusia untuk menyatakan bahawa kitalah yang menyelamatkan manusia yang sebenar di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan dengan semangat ini, kita berjaya menjadi seorang Islam yang diterima oleh Allah SWT dan merealisasikan apa yang diperintahkan oleh Allah, firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam." (Surah Ali Imran: 102) Sekian, terima kasih. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillah il-hamd. Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain ( Pesuruhjaya PAS Perak Darul Ridzuan) |
| Menyambut Aidilfitri cara Islam dan sunnah Rasulullah Posted: 09 Sep 2010 09:02 AM PDT ![]() Artikel ini berkaitan dengan sambutan hari raya yang telah diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad saw kepada umatnya. Jika kita melakukannya, maka kita semua akan mendapat pahala sunah atau pahala menghidupkan amalan yang telah diajarkan oleh Baginda. Bertakbir Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah yang bermaksud : "Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur." (Al-Baqarah : 185) Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam Kitab Meneladani Rasulullah saw Dalam Berhari Raya : "Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini." Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke masjid. Lafaz Ucapan Selamat Pada Hari Raya Aidilfitri Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin". Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi saw adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair ra dalam Kitab Fath Al-Bari : "Apabila para sahabat Rasulullah saw bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain 'taqabbalullah minna waminka' (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu)." Meneruskan Qiamullail Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan. Mandi Pada Pagi Hari Raya Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke masjid. Ali bin Abi Thalib ra pernah ditanya mengenai mandi : "Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab : Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri."(Riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi'i) Makan Sebelum Solat Aidilfitri Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab dalam Kitab Fath Al-Bari : "Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini." Kebiasaannya, Rasulullah saw akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik ra berkata : "Rasulullah saw tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma. Murajja bin Raja berkata : Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata : Rasulullah saw memakannya dalam jumlah yang ganjil."(Riwayat al-Bukhari) Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air. Memakai Pakaian Yang Indah Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafi'i berkata dalam Kitab Al-Umm : "Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian." Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafi'i menambah : "Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakai perhiasan emas atau apa sahaja perhiasan." Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah saw : "Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina."(Riwayat al-An-Nasai) Berjalan Kaki Menuju Tempat Dikerjakan Solat Hari Raya Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib ra : "Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat."(Riwayat al-Tirmizi) Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan. Mengikuti Jalan Yang Berbeza Ketika Pergi Dan Kembali Dari Mengerjakan Solat Hari Raya Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan balik dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin Abdullah ra berkata : "Nabi saw melalui jalan yang berbeza pada hari raya." (Riwayat al-Bukhari) Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata dalam Kitabnya Zaadul Maad : "Baginda saw selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untuk memberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya." Tempat Perlaksanaan Solat Hari Raya Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi saw. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri ra berkata : "Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat)." (Riwayat al-Bukhari) Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata dalam Kitabnya Koreksi Total Ritual Solat : "Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka." Mengerjakan Solat Aidilfitri Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas ra berkata : "Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya."(Riwayat al-Bukhari) Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Said al-Khudri ra berkata : "Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah saw akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)." (Riwayat al-Bukhari) Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Saib ra berkata : "Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi saw. Setelah selesai solat baginda bersabda : Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar." (Riwayat Abu Daud) Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq berkata dalam Kitabnya Fiqh Al-Sunnah : "Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati." Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal Sabda Rasulullah saw : "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun." (Riwayat Muslim) Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafi'i. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Penutup Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul saw. Semoga menjadi panduan untuk kita merayakan Aidilfitri tanpa menyimpang daripada ajaran Rasulullah.Semoga kegembiraan kita beraya tidak menghapuskan amal ibadah kita selama sebulan dibulan Ramadhan. |
| Nilai semula di mana punca isu perkauman negara kita Posted: 09 Sep 2010 08:56 AM PDT Terlalu banyak hal berkaitan perkuaman berlaku tatkala umat Islam sedunia sedang berlatih menahan nafsu sepanjang Ramadhan tahun ini. Baik dari aspek perkauman melayu mahupun bangsa lain. Gerakan Pemuda Prihatin Putrajaya baru sahaja selesai membuat laporan polis berkenaan laman Facabook yang menghina Islam dan Allah. Akaun tersebut kelihatannya dinamakan atas nama seorang berbangsa Cia iaitu Katy Lim Li Lian. GPMS juga baru sahaja membuat laporan polis yang sama terhadap satu akuan faacebook yang menggunakan nama Melayu babi. Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee pula telah membuat Klip video terbaru beliau atas nama seni yang belia bawa tetapi berunsur menghina suasana perpaduan keharmonain antara kaum di malaysia. Masalah ini bukan masalah lama malah ia adalah amalan majoriti penduduk malaysia baik dari kalangan pemimpin, media, artis dan rakyat jelata. Adakah dengan saranan PM agar SKMM mengambil tindaka tegas terhadap sebarang penghinaan melalui media baru seperti facebook dan youtube akan menyelesaikan ketegangan kaum di Malaysia? Adakah benar kenyataan Datuk Ahmad Shabery Cheek bahawa institusi keluarga yang gagal telah melahirka para pemikir komunalisme, perkuaman dan sikap chauvinis yang menghina melayu dan islam. Dari mana fahaman kebangsaan dan 'tekanan dalaman' (internal stress) yang berlaku di kalangan masyarakat bukan Melayu sehingga mereka juga berani membuat sesuatu tindakan yang kelihatan mencabar nama Islam dan toleransi kaum sejak merdeka? Sebenarnya rangka asal kehidupan di Malaysia telah dirangkakan sebagai kehidupan yang penuh dengan nafas perkauman dan ini telah diteruskan denga jayanya oleh para pemerintah hari ini. Penghinaan terhadap dunia melayu dan tradisi melayu iaitu beragama islam bukan sahaja dihina oleh kaum bukan melayu malah juga dicarik dan dirosakkan oleh gerakan atau individu seperti Abdul Kahar yang mengaku sebagai nabi melayu. Kes Ayah Pin yang juga terang-terang membina institusi sesat terkenal di pantai Timur. Bukankah mereka juga disokong oleh segelintir elit melayu yang menganut fahaman sekularism, juga bercanggah dengan Islam? Lihat sahaja betapa sukarnya Mahkamah Syariah untuk mendakwa Abdul kahar sehingga beliau juga masih berjaya membuat blog khas 'Nabi Melayu' walaupun telah lama diburu oleh Mahkamah. Ancaman Mahyuddin bahaawa si penghina agama dan Melayu tidak akan dilepas begitu sahaja, tidak membawa apa-apa remedi berkesan untuk merawat fitrah perkauman dan keresahan kaum di Malaysia. Selagi mana gendang perkauman dimainkan di media massa, agenda perkauman masih lapuk dalam perlembagaan parti-parti politik Malaysia, selagi mana perpaduan kaum hanya dilampirkan dalam pakej 1 malaysia hanya sebagai kosmetik melalui tarian dan nyanyian beramai-ramai semata-mata, selagi itulah akan muncul beratus-ratus facebook dan klip video sepertimana yang kita lihat hari ini. Silibus pendidikan AM, Tamadun Asia dan sebagainya yang diajar di kolej dan universiti masih kaku malah ia hanya membincangkan asal usul tanah melayu tanpa menggesa dan memandu anak-anak melayu, Cina dan India di negara ini untuk bertoleransi dan memahami antara agama yang lain. Kampus-kampus di malaysia juga masih menjadi kilang pengeluar produk mahasiswa perkauman yang kemudiannya menghiasi pasaran kerja yang jauh lebih dahsyat perkaumannya. Naun begitu, dalam membawa agenda perpaduan, bukan sekadar kerajaan dan melayu yang merapatkan jurang sesama kaum, sebaliknya juga tindakan optimis dan progresif daripada bangsa lain untuk mengertikan hakikat perpaduan kaum. Agenda perpaduan kaum juga menjadi dingin memandangkan Malaysia masih terlapuk dengan politik komunalisme yang sempit dan menyesakkan agenda ini berlangsung. Kaum-kaum yang daulunya taat dan setia dengan negara asal mereka kini pula hanya taat kepada parti perkauman mereka. Mereka hanya dipujuk dan ditenteramkan melalui agenda negara serta kontrak sosial sahaja tanpa ada usaha oleh kerajaan untuk memecah tembok perkauman ini. Kekabutan pemahaman perpaduan kaum adalah disebabkan sosio-politik negara ini. Lirik Namewee dan videonya serta beberapa laman facebook adalah manifestasi isihati segelintir rakyat yang jelak dengan kepura-puraan integrasi kaum. Ia petanda bahawa agenda 1 Malaysia masih teruk bermasalah dan belum merawat masalah lama. Penyelesaian yang disarankan oleh Setiausaha gabungan Ihtisas dan usahawan Bumiputera Anak Selangor (GIBS) di dalam akhbar bahawa Namewee perlu diISA adalah langkah penyelesaian lapuk BN sejak dahulu dan ia bukan penyelesai penyakit ini. Jika ingin meggunakan ISA, tentu parah malaysia ingin ISAkan semua rakyat Indonesia yang terlibat memijak bendera Malaysia yang juga mengandungi simbol Islam iaitu Bulan dan Bintang! Malaysia juga perlu ISAkan TV3 yang jelas menyiar iklan perpaduan kaum ala liberal yang menyamakan islam dengan agama lain. Adakah ini penyelesai masalah? Akta zalim yang buta undang-undang tamadun ini bukan ubat bagi penyakit sosial sebegini. Banyak aspek yang perlu dinilai semula oleh pihak kerajaan khususnya disamping kesedaran rakyat. Jika budaya artis yang berleluasa dibenarkan menghina syariah dan agama islam melalui kenyatan-kenyataan bodoh di media perdaanamereka dibiarkan sahaja, jangan harap kita berjaya menangani rakyat yang menggunakan ruang maya seperti internet. Lebih malang apabila ada penganut fahaman perkuaman melayu menggesa melayu bersatu untuk menentang persekutuan kaum bukan melayu yang menggugat islam dan Melayu. Bermakna kata si pembela itu juga 2 kali 5 sahaja dengan penghina kaum bukan melayu itu. Islam telah lama mengharamkan pemikiran chauvinis sempit. Malah tiada amalan dalam syariah yang cuba menerbitkan suasana tegang antara kaum jika diamalkan. Jika benar ingin memahamkan kaum bukan melayu tentang Islam, berilah penerangan yang sahih tentang apa itu islam dan nyatakan di mana perkara yang menjadi sensitiviti Islam dan bukannya telah memalu gendang perkuaman dalam akhbar-akhbar seperti yang berlaku hari ini.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Gopeng |
| You are subscribed to email updates from Ajijoi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |





Tiada ulasan:
Catat Ulasan