Rabu, 11 Ogos 2010

SharpShooter

SharpShooter


Ezam mungkin disaman oleh Wan Azizah

Posted: 11 Aug 2010 01:56 AM PDT

Pada pagi 10 Ogos 2010,di perkarangan mahkamah, pemberita Berita Harian menyatakan beliau diarahkan menanyakan soalan mengenai tuduhan Ezam Mohd Nor mendakwa kononnya saya telah menelefon beliau mengarahkan supaya menghalang lelaki mendekati Saudara Anwar.

Saya dengan tegas menafikan tohmahan jahat beliau. Ezam sengaja mereka cerita setelah beliau bersama UMNO dan tidak sebelumnya.

Saya tidak pernah menelefon beliau mengaitkan Saudara Anwar seperti tohmahan tersebut. Saya kesal kerana nafsu politik beliau tidak ada batas sehingga sanggup memfitnah saya selaku isteri dan ibu. Ternyata untuk kekal relevan sebagai alat pimpinan UMNO, kerja beliau hanya mencerca kami.

Saya telah enggan melayan sebarang kenyataan beliau yang dibuat hasil menerima upah pimpinan UMNO, walau bagaimanapun kerana tuduhan tersebut berulang dan mengaitkan nama saya secara peribadi, saya mengingatkan beliau supaya hentikan kerja fitnah yang jelas fasiq.

Sekira beliau mengulangi fitnah tersebut, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau dan merujuk beliau ke Mahkamah dan Mahkamah Syariah.

Sekian, terima kasih.

Dr Wan Azizah Wan Ismail

Presiden Parti Keadilan Rakyat


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

AMK bidas Muhyidin isu kain rentang di Johor

Posted: 11 Aug 2010 01:21 AM PDT


Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) membidas keras kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengaitkan penyebaran kain-kain rentang yang memaparkan gambar DYMM Sultan Johor sehingga menimbulkan kemurkaan Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Ibrahim.

Kenyataan Tan Sri Muhyiddin sebagaimana yang dilaporkan melalui segmen berita di Saluran Astro Awani nyata sekali merupakan satu kenyataan yang biadap dan mempunyai niat yang jahat. Ini kerana kenyataan tersebut dibuat dalam keadaan penafian terbuka telahpun dibuat oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Johor, Datuk Chua Jui Meng sendiri.

Malah AMK Negeri Johor melalui Ketua, Zabidie Abas telahpun membuat laporan polis berhubung penyiaran kain rentang yang bermotif jahat ini pada 8 Ogos 2010.Zabidie dijangka memberi keterangan di IPD Kluang pada petang ini susulan laporan polis yang dibuat beliau terdahulu.

Tindakan provokatif seumpama ini bukan sesuatu yang luar biasa di dalam politik Umno. Saban waktu khususnya sewaktu Pilihanraya Kecil, puluhan malah ratusan kain-kain rentang yang bersifat provokatif dan berunsurkan perkauman dipasang di merata-rata kawasan sehingga mencetuskan ketidakselesaan masyarakat setempat.

Ini termasuklah dengan apa yang berlaku di Hulu Selangor baru-baru ini,di mana gambar calon Keadilan yang di'super impose' oleh pihak tidak bertanggungjawab.

AMK menuntut agar Tan Sri Muhyiddin menarik semula tuduhan melulu beliau dan AMK menggesa agar Umno memohon maaf secara terbuka kepada DYMM Sultan Johor di atas penghinaan yang telah dilakukan.

Rakyat Johor semakin terbuka dan menerima Keadilan dan Pakatan Rakyat, justeru provokasi sebegini bukanlah sesuatu yang mustahil dilakukan Umno yang sememangnya kini terdesak bergelut dengan krisis kepercayaan rakyat yang semakin merudum dengan parah.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan
MALAYSIA

Sharpshooter :- Buat sahabat-sahabat AMK di Johor, laporan polis sudah dibuat itu satu tindakan yang betul tetapi dalam masa yang sama AMK Johor kena siasat sendiri....

Polis nak siasat bagi pihak Keadilan...???

Bukan tak percaya tetapi tak harap sangat...




* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

AMK P.Pinang berjaya selesaikan isu Peniaga Bazar Ramadhan

Posted: 10 Aug 2010 06:00 PM PDT

Selamat menjalani ibadah puasa dan mudah-mudahan tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya....

Isu Bazar Ramadhan di KOMTAR tidak wajar meletup dan gegak gempita jika Kerajaan Negeri P.Pinang terutamanya PDC dan YB Ng Wei Aik Adun KOMTAR mengambil langkah yang bijak.

Seperti yang dijanjikan pada 10 Ogos 2010 jam 11.00 pagi, AMK P.Pinang bertemu dan berbincang dengan Lim Guan Eng tentang isu peniaga Bazar Ramadhan di KOMTAR di pejabatnya tingkat 28 KOMTAR.

Pertemuan ini adalah permintaan Guan Eng sendiri yang mahu mendengar dan berbincang dengan AMK P.Pinang dan apakah langkah yang perlu diambl untuk tangani masalah ini setelah AMK P.Pinang mengambil langkah proaktif untuk meninjau dan mencari punca dan bagaimana untuk tangani isu ini.

Alhamdulillah perbincangan berjalan lancar dan AMK P.Pinang memberi pandangan dan beberapa cadangan kepada Guan Eng dan Guan Eng akhirnya memberi mandat kepada AMK P.Pinang untuk hadir bersama dalam perbincangan antara PDC dan peniaga yang terlibat untuk selesaikan isu ini.

Selepas itu sidang media diadakan bersama Guan Eng, PDC dan Amk P.Pinang di tingkat 28 KOMTAR.


Guan Eng menyelar Ghani Naib Pengerusi Persatuan Peniaga KOMTAR (KMA) yang telah mengutip wang dari peniaga tetapi hingga ke hari ini masih tidak membayar kepada PDC.

Gan Eng juga kesal kerana TPM Muhyidin juga menghentam Kerajaan Pakatan Rakyat P.Pinang. Muhyidin mendapat maklumat yang salah dari media perdana seperti Utusan, TV3 dan RTM dan beliau sepatutnya menyiasat terlebih dahulu bukannya membuat tuduhan melulu tanpa usul periksa.

Guan Eng dalam sidang media ini juga meluahkan rasa kesal dalam hatinya yang amat kecewa dengan tuduhan-tuduhan liar dan tidak berasas serta fitnah yang dilemparkan seolah-olah Kerajaan Pakatan Rakyat telah dirogol dan telah mencabul kehormatan.

Katanya lagi hampir setiap hari dan minggu, Kerajaan Pakatan Rakyat difitnah namun begitu beliau menganggap ini semua ada hikmahnya dan beliau akan terus menhadapi segala dugaan yang datang.


Selepas itu AMK P.Pinang pula membuat kenyataan media yang dibacakan oleh Syed Mikael Setiausaha AMK P.Pinang.

Hentikan Segera Fitnah 'Perkauman'
Terhadap Kerajaan Negeri

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) pada hari ini menegaskan tidak akan bertolak ansur kepada mereka yang memfitnah Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai 'perkauman' dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Cukuplah dengan siri-siri fitnah bermula dari Kampung Buah Pala, Tanah Wakaf Bagan Ajam, Isu Jelutong dan Pokok Asam yang menjadi 'modal' politik murahan UMNO untuk menagih sokongan rakyat, sekarang ditambah lagi dengan menghasut peniaga-peniaga Melayu Komtar untuk membenci Kerajaan Negeri, dalam isu lot niaga di ruang legar Komtar.

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) merujuk kepada tuduhan liar yang dilemparkan oleh Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO Pulau Pinang, Aziaan Ariffin yang mengatakan "Ia memperlihatkan sikap pilih kasih pemimpin DAP dan menunjukkan sikap perkauman yang amat tebal."

Tuduhan jahat ini jelas menggambarkan, siapa sebenarnya pemimpin UMNO yang jelas suka bermain dalam ruang lingkup perkauman mereka yang sempit dan suka ambil sikap hentam keromo sebelum tahu apa yang sebenarnya berlaku. Siapa dia Aziaan? Adakah dia benar-benar menyelami permasalahan yang berlaku? Konon menjadi 'hero segera' Melayu, tetapi selama lebih 50 tahun, apa yang UMNO berjaya tinggalkan untuk orang Melayu Pulau Pinang?

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) juga merasa amat kesal dengan tindakan Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Komtar, Mohamed Ghani Abdul Jiman yang mengapi-apikan hubungan baik yang sudah terjalin lama antara komuniti peniaga Komtar dengan pihak Kerajaan Negeri. Tindakan beliau yang menuduh Kerajaan Negeri meroboh premis gerai dan menghalau Melayu dari Komtar adalah amat tidak tepat dan hanya emosional semata-mata.

Bilakah masanya ada notis yang mengatakan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menghalau peniaga-peniaga Melayu dari Komtar? Yang jelas ada hanyalah notis untuk urusan menaiktaraf ruang niaga tersebut, agar lebih teratur dan tidak menghalang lalulintas pelanggan Komtar. Bahkan, 20 peniaga sedia ada boleh terus berniaga seperti biasa, dan ditambah lagi dengan 17 lot di tingkat yang sama dan 10 lot di tingkat 4 untuk Bazar Ramadhan.

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) di sini juga menyatakan sokongan kepada kenyataan Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar untuk PDC melakukan kutipan terus bayaran sewa tapak dari peniaga, dan bukannya menerusi Komtar Merchant Association (KMA). Ini adalah untuk memastikan ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan, setelah kontroversi yang ditimbulkan oleh Naib Pengerusi KMA itu sendiri, Mohamed Ghani.

Justeru, Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) dengan ini sekali lagi menegaskan, tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melontarkan fitnah jahat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk orang Melayu, Cina dan India di negeri ini.

Demi memastikan isu-isu rakyat yang membabitkan tiga kaum ini ditangani dan diselesaikan dengan baik, AMKPP menawarkan diri sebagai orang tengah atau 'mediator' untuk mencari jalan keluar sebarang pemasalahan pada masa akan datang. Atas kesedaran ini, AMKPP akan menubuhkan satu sekretariat khas yang dinamakan sebagai "Sekretariat Warga Diskusi Isu Rakyat" (SWADAYA)


Selepas sidang media, Guan Eng menjemput AMK P.Pinang ke Tingkat 22, Pejabat Tanah dan Galian untuk menikmati juadah makan tengahari sempena menyambut Ramadhan Al-Mubarak.

Azrizal..sudahlah tu...jangan makan banyak sangat...jaga kesihatan sama...:-)

Pengarah PTG Encik Ariffin bin Awang (tengah) turut meraikan kedatangan AMK P.Pinang.

Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri P.Pinang, Puan Faiza Bt Zulkfli turut hadir bersama dalam jamuan tersebut.

Amboi Rizal Hamid...sengeh kenyang nampak..:-)

Selepas makan TKM 1 P.Pinang pula mahu bertemu dengan AMK P.Pinang di Pejabatnya Tingkat 52. Perbincangan ini biarlah rahsia....cakap salah tak cakap pun salah....

Jam 2.30 - Perjumpaan Pengurus Besar PDC, Dato' Rosli bin Jaafar dan CEO PDC Setia Urus Encik Sabarul Aswadi bersama peniaga diadakan.

Dalam perbincangan tersebut Ghani Naib Pengerusi KMA turut hadir walaupun tidak dijemput. Namun oleh kerana peniaga mahukan Ghani bersama mereka maka perbincangan diteruskan.

Perbincangan pada mulanya berjalan lancar tetapi akhirnya menjadi tegang bila ada beberapa perkara yang tidak dapat diselesaikan.

Melihat kepada suasana yang agak tegang akhirnya Rizal Hamid Naib Ketua AMK P.Pinang mencelah dan memberi beberapa cadangan. Alhamdulillah PDC dan peniaga bersetuju dengan cadangan AMK P.Pinang yang prihatin tentang nasib peniaga. Cadangan ini mendapat sokongan dan tepukan gemuruh oleh peniaga Bazar Ramadhan.

Namu begitu perbincangan masih belum selesai dan ada beberapa isu lagi yang belum selesai. Keadaan menjadi tegang kembali bila Ghani membela diri dan mendakwa beliau difitnah.

Melihat kepada pertikaian yang masih belum selesai walaupun sudah melebihi sejam, sharpshooter juga mencelah dan memberi beberapa cadangan. Akhirnya Alhamdulillah perbincangan ini berakhir dengan aman dan kedua-dua pihak bersetuju dan mencapai kata sepakat seperti berikut :-

1) Peniaga dibenarkan berniaga mulai hari Rabu.

2) Sewa RM50 sehari dikekalkan dan duit sewaan peniaga diuruskan oleh KMA dan KMA akan bayar kepada PDC.

3) Sewaan serta kos kios Bazar Ramadhan ditanggong oleh PDC.

4) Bazar Ramadhan dikurangkan dari 27 gerai menjadi 25 gerai.

5) Pada mulanya hanya 10 gerai sahaja dibenarkan PDC untuk berniaga di tingkat 3, kemudian Guan Eng cadang 17 gerai dan selebihnya di tingkat 4 oleh kerana ada aduan tetapi akhirnya AMK P.Pinang mendesak PDC agar semua 25 peniaga di benarkan berniaga di tingkat 3 dengan syarat barangan jualan mereka tidak melebihi 2 kaki dan peraturan ini wajib dikenakan terhadap semua peniaga yang ada di KOMTAR bukan hanya kepada peniaga Bazar Ramadhan.

6) PDC juga dipertanggungjawabkan menjaga barangan peniaga kerana pengalaman mereka pada tahun sebelumnya, barangan mereka sering kecurian walaupun ada pengawal keselamatan. PDC berjanji akan tingkatkan kawalan keselamatan.

Alhamdulilah lega rasanya AMK P.Pinang dapat membantu selesaikan isu ini yang tidak sepatutnya menjadi isu besar jika PDC dan YB Ng Wei Aik bijak tangani masalah ini lebih awal.

Semoga apa yang terjadi tidak akan berulang lagi di tahun hadapan. Rasa puas dan tidak sia-sia dua hari berkampong di KOMTAR.

Terimakasih pada semua yang memberi sokongan dan berdoa.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Perutusan Ramadhan dari Guan Eng

Posted: 10 Aug 2010 05:19 PM PDT

Ketua Menteri, Lim Guang Eng menyeru rakyat Pulau Pinang agar mengelakkan fitnah walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza sempena Ramadhan tahun ini.

Katanya, tindakan mengaibkan orang atau meniup sentimen perkauman berdasarkan pembohongan dan berita palsu memang kelaziman tidak sihat yang masih dimainkan.

Beliau menyatakan demikian dalam perutusan sempena Ramadhan 1431 Hijrah yang disambut esok, 11 Ogos.

Berikut adalah perutusan penuh beliau.

Saya ingin berdoakan agar keberkatan dan kesucian bulan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun 1431 Hijrah ini dapat dihalusi dan dinikmati semua berdasarkan perkongsian, pengorbanan dan sumbangan kepada masyarakat.

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang akan terus berusaha mendirikan kerajaan berjiwa rakyat dengan berteraskan prinsip 3P – Perkayakan Rakyat, Perkuasakan Rakyat dan Perkasakan Rakyat- dan urus tadbir kerajaan Cekap, Telus dan Akauntabel (CAT). Prinsip integriti dan kebenaran adalah penting dalam pentadbiran negara.

Kerajaan yang baik dan bersih akan dapat jimatkan wang untuk dikongsi bersama rakyat. Ini boleh dilihat buat pertama kalinya semua warga emas yang melebihi 60 tahun telahpun menerima RM100 setiap tahun dan waris akan menerima buat pertama kalinya RM1,000 untuk urusan jenazah. Di samping itu, Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang berjaya basmikan miskin tegar pada 2009.

Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, saya memberi jaminan bahawa amalan CAT akan dilaksanakan tanpa pilih kasih bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri diteruskan dengan tiga teras pembangunan ekonomi yang digariskan iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi (pro-growth), mewujudkan peluang pekerjaan (pro-jobs) dan menjamin keadilan sosio-ekonomi (pro-poor).

Di bulan yang mulia ini juga, saya mengambil semangat Ramadhan Al-Mubarak yang penuh keberkatan ini untuk menyeru rakyat negeri Pulau Pinang agar mengelakkan fitnah walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza. Tindakan aibkan orang atau meniup sentimen perkauman berdasarkan pembohongan dan berita palsu memang kelaziman tidak sihat yang masih dimainkan.

Contohnya dakwaan perarakan Maulud diharamkan diulang-ulangi sungguhpun berjalan seperti dulu kala dan dengan lebih meriah. Ataupun demonstrasi ke atas dakwaan palsu Bazar Ramadan di Komtar diharamkan oleh sipenganjur yang telah kutip wang sewa daripada peniaga tetapi tidak serahkannya kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang(PDC).

Kerajaan negeri sedia menerima cabaran ini dengan tabah hati dan keyakinan serta anggapnya sebagai suatu ujian daripada Tuhan untuk melawan kemungkaran dan fitnah. Ini adalah kerana kerajaan negeri yakin orang Islam, dapat bezakan di antara benar dan salah, hak dan batil, antara maaruf dan mungkar.

Akhirnya, marilah kita menjauhi segala laranganNya bagi mendapatkan puasa yang sempurna sejajar sabda Rasulullah SAW (bermaksud): "Barangsiapa yang berpuasa kerana iman dan mengharap pahala, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu".

Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak, bulan rahmat yang penuh keberkatan.

Amal Maaruf Nahi Mungkar

Sharpshooter : Rakyat Islam P.Pinang juga menanti perutusan Ramadhan Al-Mubarak dari TKM1...Blog TKM 1 pun sudah dua minggu tidak update...harap ada perubahan...cuit sikit saja...jangan marah..tegur sebab sayang...

Manakala perutusan Ramadhan YB Hj Abdul Malik Kassim yang kini berada di Pakistan, anda boleh baca di sini.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Ya Marhaban Ramadhan Al-Mubarak

Posted: 10 Aug 2010 04:45 PM PDT


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan semoga amalan ibadah puasa disempurnakan sebaiknya hingga mampu meningkatnya darjat ketakwaan sambil mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadhan al Mubarak yang sememangnya dinanti-nantikan umat Islam seluruh dunia.

"Ibadah puasa memupuk pendidikan jiwa dan rohani, membuatkan kita bermuhasabah betapa ibadah ini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga.

"Ibadah di bulan Ramadhan al Mubarak menuntut kita untuk peka dengan lingkungan, menginsafi kekurangan diri dan masyarakat sekaligus membangkitkan hasrat melakukan kebaikan serta memperkukuh usaha menghilangkan kemudaratan," kata Anwar dalam perutusan bulan Ramadhan yang disiarkan melalui blognya.

Katanya, melalui kesempatan dan kerahmatan yang hadir bersama bulan yang mulia ini memberi ruang untuk dimanfaatkan oleh umat Islam mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Ini ditegaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran lewat ayat 183 Surah Al-Baqarah:

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kami, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa".

Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN turut mengingatkan umat Islam supaya menjalani tarbiyyah dan tazkiyyah sepanjang madrasah Ramadhan yang menemukan umat Islam dengan dua medan iaitu medan perjuangan dalam diri serta lingkungan.

Beliau meminta umat Islam supaya terus beristiqamah berusaha menjalani ibadah puasa ini agar tercerna serta terpancar akhlak dan sahsiah yang terpuji.

Sementara itu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga mengucapkan tahniah kepada umat Islam di atas kedatangan bulan yang mulia Ramadhan Al Mubarak.

"Menjelang Ramadhan Al-Mubarak ini, alhamdulilah sekali lagi kita diberi peluang oleh Allah untuk menyuci dan mebersihkan diri dari segi fizikal yang merangkumi zahir dan batin.

Pada Ramadhan kali ini, kita diberi peluang hayat untuk membersihkan diri, meningkatkan lagi iman dan ketetapan kita, dan memperkukuhkan lagi semangat perjuangan kita.

"Selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak," kata Dr Wan Azizah.

Sharpshooter : Semoga amalan dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya...

Selamat menjalani ibadah berpuasa buat semua yang mengenali sharpshooter..


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Tiada ulasan: