Selasa, 3 Ogos 2010

shalehudin

shalehudin


Askar askar kita lebih kuat kalau kena gayanya

Posted: 03 Aug 2010 06:35 AM PDT

Sekiranya benar Umno bertahan selama ini hasil dari tentera upahan yang dibela mereka maka Pakatan Rakyat jugak boleh berbangga sekarang dengan askar askar belaan kita.

Askar askar belaan kita adalah rakyat yang tidak menuntut upah jauh sekali suapan. Rakyat jelata jauh lebih ramai dan lebih kuat berbanding askar upahan Umno sekiranya pemimpin Pakatan bijak dalam menggerakkan mereka.

Presiden PAS, Hadi Awang menyifatkan keberadaan Umno sehingga kini adalah kerana 'tentera upahan' yang dibayar untuk mempertahankan parti itu agar kekal berkuasa. Kenyataan Abdul Hadi ini dibuat dalam sessi sembang dengan beliau di pejabat Harakah semalam ketika negara sedang menyaksikan tindakan keras diambil oleh polis terhadap pelbagai program anjuran pelbagai pihak khasnya Pakatan Rakyat.

Ia dikatakan dibuat berdasarkan arahan agar menyekat semua program Pakatan Rakyat termasuklah majlis memperingati 50 tahun ISA di seluruh negara dan Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak, Changkat Lada, Pasir Salak.

Umno kuno

Posted: 03 Aug 2010 02:30 AM PDT

Khairy berani sanggah politik kuno Umno?

Ahmad Lutfi Othman
Kewujudan kepelbagaian parti politik yang bersaing untuk mendapatkan kuasa pemerintahan, disusuli dengan kebebasan-kebebasan sivil seperti bebas bersuara dan dengan itu timbul suasana perdebatan ekoran bercanggah pendapat, merupakan antara ciri-ciri utama sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Persaingan kuasa ini pula berjalan secara terbuka dan bukan secara rahsia. Situasi berbeza pandangan, sama ada dalam isu-isu dasar atau persoalan semasa, tidak sewajarnya menimbulkan kerisauan atau kegusaran, malah ia petanda proses pendemokrasian menuju ke arah kematangan.

PERDEBATAN DAN KONFLIK

Proses memberi pandangan, saling mengkritik, berwacana, perdebatan dan konflik tanpa kekerasan harus dianggap sebagai normal dan itulah hakikat demokrasi. Penyertaan rakyat dalam hal-hal politik bukan semata-mata dengan mengundi dalam pilihan raya, misalnya lima tahun sekali, tetapi berlaku setiap masa, untuk bersama-sama membangunkan negara.

Perubahan kerajaan dalam sistem demokrasi adalah lumrah. Kestabilan terjamin jika parti yang menang bertindak adil untuk semua rakyat, tanpa mengira fahaman politik, serta mengelak daripada amalan diskriminasi (sehingga tidak perlulah mewujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan di "negeri-negeri pembangkang") dan pihak yang kalah pula menerima baik keputusan pilihan raya (yang harus dijalankan secara bebas dan adil).

Pembangkang selama ini bersikap terbuka menerima kekalahan demi kekalahan, walaupun proses pilihan raya begitu tempang, dan ini satu sumbangan utama mereka mengukuhkan sistem demokrasi.

Masalah timbul apabila kelompok yang menang sejak merdeka tiba-tiba dikejutkan dengan isyarat bahawa mereka "boleh dikalahkan" dan segera bertindak kotor-licik, sama ada dengan memanipulasi proses persempadanan semula kawasan pilihan raya (gerrymandering) dan daftar pemilih seperti berlaku selepas pilihan raya 1999, atau bertindak lebih drastik dan ganas melalui "rampasan kuasa" di Perak selepas pilihan raya 2008. Kini usaha menawan kembali Selangor digerakkan secara besar-besaran.

SIAPA SEBENARNYA TERANCAM?

Dalam negara demokrasi sepatutnya tidak timbul tanggapan perpecahan bangsa disebabkan perbedaan anutan ideologi politik, apatah lagi tohmahan bahawa kepentingan Melayu terancam hanya kerana elit pemerintah, misalnya Umno, tidak lagi dapat memonopoli kuasa.

Memang sejak merdeka, Umno sama ada menerusi Perikatan mahupun Barisan Nasional, terus-menerus menerajui kerajaan persekutuan tanpa dicabar secara berkesan oleh pembangkang. Apabila majoriti dua pertiganya di Parlimen dinafikan dua tahun lalu, dan ini sebenarnya perkembangan sihat memperkukuhkan amalan "semak dan imbang", tiba-tiba Umno-BN menjadi panik.

Selain pada 1969, sememangnya Umno agak tergugat pada pilihan raya umum 1999 dan 2008. Dan selepas dua pilihan raya itulah isu "penyatuan Melayu" dicanangkan ke seluruh pelosok tanahair. Orang Melayu digambarkan dalam keadaan tersepit dan perlu duduk semeja berunding untuk kepentingan bersama.

Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas dimalukan oleh keputusan pilihan raya ke-10, sanggup "mengemis" simpati pemimpin PAS semata-mata untuk bertemu muka dengan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor. Kini, gendang lama dipalu semula, juga cuba menggambarkan bahawa kuasa politik orang Melayu akan berakhir jika terus berpecah kepada tiga parti utama.

(Sedangkan dalam satu parti pun, selepas cabaran Tengku Razaleigh Hamzah bersama Team B hampir dapat menewaskan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987, sehingga menyebabkan Umno diharamkan, Melayu turut berpecah. Tetapi ia bukan disebabkan perbedaan pendekatan politik Ku Li dan Mahathir, namun difaktorkan oleh tindakan pihak yang menang menindas kumpulan yang kalah.

(Umno juga menyaksikan ada pemimpinnya sanggup membunuh demi kuasa. Dalam satu kempen pilihan raya kecil di Kedah, seorang petugas PAS terbunuh angkara penyokong Umno. Demi kuasa, Dato' Seri Anwar Ibrahim diaibkan sebegitu rupa oleh rakannya sendiri, juga dari parti yang sama, selain disumbat ke penjara selepas dibelasah nyawa-nyawa ikan dalam keadaan bogel).

SERANGAN BERTALU-TALU

Penyebar dakyah, yang tentunya menguasai media utama, menghalakan propaganda murahan mereka kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan dahulunya Perak. Benar komposisi wakil rakyat dalam kerajaan negeri berkenaan nampak seolah-olah lebih berat kepada bukan Melayu, tetapi tiada hujah konkrit bahawa orang Melayu dizalimi.

Yang dipermainkan hanyalah sentimen perkauman yang memang mudah ditiup. Yang dibakar adalah api kebencian antara kaum yang mudah dimarakkan. Sedangkan usaha pembaharuan dan reformasi menguntungkan semua rakyat

Umno yang selama ini survive melalui pendekatan kaum bagi mengukuhkan kuasa rupanya belum terjaga dari mimpi lama. Pemimpinnya tetap beranggapan modal usang boleh dikitar semula. Seolah-olah orang Melayu masih terkurung dan terkepung dengan dogma Biro Tata Negara (BTN).

Lim Guan Eng dilabelkan menekan masyarakat Melayu di Pulau Pinang, sedangkan selama 50 tahun memerintah, kaum bumiputera ketinggalan jauh. Dato' Seri Nizar Jamaluddin dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dituduh pengkhianat Melayu dan bersekongkol dengan DAP, walhal urus tadbir kerajaan negeri semasa Umno berkuasa sarat dengan rasuah yang menompokkan pemimpinnya dengan kekayaan.

"Yang terancam kehilangan kuasa bukan orang Melayu tetapi Umno," sanggah seorang pembaca Harakah kepada saya, melalui telefon. "Bukankah di beberapa kawasan seperti Kota Raja, Telok Kemang dan Hulu Selangor, wakil bukan Melayu dalam BN kalah kepada wakil Melayu Pakatan Rakyat? Dan orang Melayu di Perak, Pulau Pinang dan Selangor sepatutnya menambah wakil Melayu dalam kerajaan negeri Pakatan dalam pilihan raya akan datang dengan memenangkan lebih ramai calon PAS. Cukuplah dengan peluang yang begitu lama diberikan kepada Umno," tambahnya.

"PAS wajib berhati-hati dan bertindak bijaksana menolak kerja jahat Umno pecah-belah Pakatan melalui momokan perpaduan Melayu," ujarnya.

PERANG PSIKOLOGI

Benarlah pandangan banyak pihak bahawa Umno hanya berbicara tentang perpaduan Melayu apabila kepentingan politiknya terancam. Seperti kata bekas Presiden ABIM, Dr Muhammad Nur Manuty, "Umno sedang menggunakan politik Micheavelli yang dianutinya; isu perpaduan Melayu dikumandangkan lagi sebagai strategi perang psikologi memecahbelahkan Pakatan Rakyat. Umno juga menjadikan slogan perpaduan Melayu sebagai gendang perang terakhir sebelum terus tumbang ditelan gelombang rakyat yang menuntut keadilan."

Sarjana politik sering melihat demokrasi yang wujud di Malaysia dianggap demokrasi bersifat dominasi pemerintah. Kadang-kadang ia hampir disamakan dengan keadaan di Singapura, iaitu kewujudan satu parti politik yang mendominasi demokrasi (single dominant political party) di mana sejak merdeka pada 1965, PAP (People's Actin Party) yang diketuai Lee Kuan Yew tidak pernah mengalami kekalahan, malah sentiasa menguasai lebih 95 peratus kerusi Parlimen.

Begitu juga dengan perkembangan demokrasi di Indonesia, yang dikuasai Golkar, antara 1960 hingga 1998. Umno-BN juga pada 2004 menang lebih 90 peratus kerusi Parlimen.

Malaysia dan Singapura, jika dibandingkan dengan Negara Sedang Membangun lain, memang lebih maju dari segi ekonomi, tetapi amalan demokrasinya ketinggalan jauh. Pemerintah mahu menentukan segala-galanya buat rakyat terutama dalam aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Kebebasan yang dituntut rakyat sering dipersepsikan secara negatif dan dikaitkan dengan nilai yang boleh mengundang kekacauan sosial. Persaingan politik, walaupun dilihat datang bukannya dari parti siasah, akan dimomokkan sebagai penderhaka kepada "sistem sosial" sedia ada.

Mereka yang mengkritik jarang dihadapi dengan hujah dan rasional, tetapi akan dilabelkan dengan pelbagai tanggapan negatif seperti anasir subversif, pemecah-belah kaum.

Banyak tulisan cuba menjelaskan pelbagai cara dan alat sekatan yang digunakan pemerintah, kononnya untuk mempastikan keselamatan negara terkawal tetapi sebenarnya seringkali diperalatkan elit pemerintah untuk mengawal kepentingan.

Dr Nidzam Sulaiman dalam tulisannya mengenai pendekatan kaum dan kelas di Malaysia merumuskan tulisan-tulisan itu: "Para pemimpin bijak mempamerkan ciri-ciri demokrasi dengan mengadakan pilihan raya apabila sampai waktunya, membenarkan kehadiran pembangkang, tidak melarang pergerakan NGO serta menonjolkan bahawa persaingan memang, tetapi hakikatnya segala manipulasi dan penggunaan segala jentera pemerintah (state) yang dimonopoli serta media yang dikuasai sepenuhnya telah membolehkan mereka memperoleh kemenangan dalam setiap pilihan raya.

"Persaingan dibenarkan pembangkang boleh bergerak tetapi mereka bagaikan bersaing dengan musuh besar (kelas atasan) yang berkuasa dan bersenjata. Mereka dibenarkan bergerak tetapi dilarang mengadakan perhimpunan secara aman, menggunakan dewan yang besar atau stadium untuk tujuan politik, apatah lagi menggunakan media seperti radio, televisyen mahupun akhbar utama. Sebaliknya elit politik pemerintah bebas dalam segala aspek, mendapat segala macam kemudahan berkempen serta dibantu jentera pentadbiran.

"... Dari segi teorinya mereka (massa atau kelas bawahan) memiliki kuasa mengundi, memilih kerajaan dan menukarnya, tetapi dalam realiti kuasa itu tidak dilaksana kerana tindakan hegemoni, manipulasi dan indoktrinasi pemimpin."

DAKYAH PALSU

Selain itu, terutama melalui media yang dikawal ketat oleh akta drakonian dan dasar pemilikan, diulang-ulang bahawa hanya Umno-BN mampu mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian kaum. Umno pula telah dikonstruksikan sebagai parti pelindung (van-guard) kepada masyarakat Melayu; masa depan masyarakat Melayu bergantung kepada sokongan orang Melayu terhadap Umno.

Dakyah palsu ini mungkin berpengaruh satu waktu dulu, dan mungkin masih dapat mengelirukan sebahagian masyarakat Melayu hari ini, namun dengan kepesatan teknologi maklumat, peningkatan kualiti pendidikan dan pembesaran kelas menengah di kalangan orang Melayu, "kubu terakhir" Umno itu sudah hampir dirobohkan.

Sentimen kaum yang sering dikaitkan dengan pelbagai slogan muluk seperti setia, demi bangsa, nasionalisme - dahulunya berjaya menjadi umpan sokongan - beransur-ansur kehilangan daya penarik.

Beberapa individu dalam Umno sendiri menyedarinya, antara lain, Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin. Khairy yang sudah jauh dari serambi kuasa nampak mempunyai idea menarik dalam "politik baru" sekurang-kurangnya jika diteliti sanggahannya terhadap Ibrahim Ali dan Perkasa, yang disokong penuh Dr Mahathir!

Sikap Khairy terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) juga menarik. Jangan pula ada pihak dalam Pakatan Rakyat tertinggal jauh mengekori Khairy.

Bimbang ops Lalang berulang

Posted: 02 Aug 2010 10:30 PM PDT

Senator Pakatan gusar Ops Lalang berulang

Joseph Sipalan
Keghairahan polis menyuraikan perhimpunan aman di seluruh negara pada hujung minggu lalu menimbulkan spekulasi teori konspirasi dengan seorang senator Pakatan Rakyat memberi amaran tindakan itu mungkin membawa kepada pusingan seterusnya Operasi Lalang.

Muhamad Yusof Husin, dari PAS berkata taktik yang sama digunakan oleh kerajaan BN pada 1987 apabila pihak berkuasa memastikan sentimen anti-kerajaan tidak merebak dengan menahan 106 orang mengikut Akta Keselamatan dalam Negara (ISA).

Beliau mengakui walaupun 'kemungkinan' tangkapan itu tidak berlaku boleh terjadi, namun perkara berkenaan membimbangkan.

Situasi tegang

Menurut Muhamad Yusof berdasarkan apa yang berlaku di seluruh negara pada hujung minggu lalu, tidak keterlaluan jika seseorang beranggapan pihak berkuasa cuba memperlihatkan "situasai tegang di negara ini."


"Apabila aktiviti secara aman tidak dibenarkan, ia akan mencetuskan bantahan dan kemungkinan pihak berkuasa akan mengambil peluang ini menggunakan ISA dengan alasan memastikan ketenteraman awam dipelihara," katanya di lobi Senat hari ini.

"Seperti Operasi Lalang pada 1987, semua pemimpin pemabngkang dan kakitangan NGO yang tidak menyokong kerajaan ditahan mengikut ISA ...ini satu kemungkinan. Kemudian kerajaan akan mengadakan pilihan rayadan pemimpin BN berada dalam kedudukan selesa kerana tiada pembangkang."


Muhamad Yusof memberi amaran jika pihak berkuasa tidak menangani perkara itu dengan betul, ia mungkin mencetuskan peristiwa berdarah seperti tragedi Memali pada 1982 yang menyaksikan 14 orang terbunuh ketika bangkit menentang lebih 3,000 anggota polis yang cuba menahan orang kuat PAS, Ibrahim Mahmud, atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Islam adil dan perlu dilihat adil

Posted: 02 Aug 2010 08:30 PM PDT

Islam adil untuk semua

http://episodeperjuangan.blogspot.com/ 

1. Kebelakangan ini negara kita dan sebahagian rakyatnya sedang memerhati isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Yb. Tony Pua berkait dengan diskaun bumiputera dalam pembelian rumah bagi hartanah yang bernilai RM 500,000 ke atas .

2. Ada beberapa perkara yang perlu terlebih dahulu saya tegaskan di sini berkait isu yang timbul sebelum saya mengulas lanjut .

Pertama : Yb. Tony Pua sewajarnya tidak mendahului Majlis Mesyuarat PAKATAN Rakyat dalam membuat kenyataan yang boleh mencetus kontraversi seperti ini sementelah menyentuh kepentingan bumiputera . Sedang Majlis Mesyuarat PAKATAN Rakyat adalah mekanisme terbaik untuk membincang dan membuat keputusan berkait isu seperti ini .

Kedua : Kenyataan Yb. Tony Pua adalah kenyataan peribadi beliau bukanlah mewakili suara atau kenyataan PAKATAN Rakyat . Sama juga seperti kenyataan Yb. Karpal Singh sebelum ini berkait dengan isu negara Islam .

Ketiga : Perkara ini tidak perlu tergesa - gesa melainkan ianya perlu kepada kajian yang mendalam dengan mengambil kira soal hak , keadilan dan kepentingan termasuk mengambil kira soal untung rugi sesuatu tindakan itu dari aspek politik dan masyarakat [ rakyat ] .

3. Sekali lagi saya melihat betapa Islam adalah agama yang indah malah menjadi penyelesai kepada masaalah yang sedang dihadapi oleh ummat manusia termasuk isu tanah dan pemilikan rumah kediaman. Tepat sekali tema ucapan dasar Yb. Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS baru - baru ini ialah Islam Adil Untuk Semua .

4. Selama mana sistem negara masih menerima pakai sistem kapitalis dan menolak sistem Islam, maka selama itulah sebenarnya negara akan terperangkap dalam satu kaedah yang sukar dan dilihat tidak adil kepada semua .

5. Islam mempunyai hukum dan pendekatan tersendiri dalam menyelesaikan masaalah pemilikan hartanah dan ianya tidak menzalimi bangsa , agama dan keturunan seperti hukum Ihya' al mawat [ memberi hak kepada mereka yang menghidupkan tanah terbiar ] , Iqta' [ memberi hak milik kepada yang tiada kediaman ] dan garis panduan Hima [ pemiliki tanah secara kuasa ] .

6. Penyelesaian secara cantas atau mengambil perkara cabang sahaja tanpa melihat kepada perubahan secara pokok [ iaitu perubahan dasar dan sistem ] , ianya dilihat tidak akan menyelesaikan masaalah . Sebaliknya mungkin masaalah lain pula akan timbul ekoran masih berpaut pada sistem dan dasar yang salah . Justeru itu , PAS konsisten menyeru masyarakat dalam negara ini khususnya pemimpin agar kembali kepada Islam dan melaksanakan syariatnya.

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS.

Umno kena kelentong dengan Ezam

Posted: 02 Aug 2010 06:30 PM PDT

BILA MAT EZAM REKRUT ALLAH SAYA SERENDER

Awalnya saya langsung tidak kenal siapa dia Ezam Mat Nor ini. Malah saya tidak ambil pot sangat apa kerja dan tugas dia. Untuk saya sesiapa yang bekerja untuk United Malays National Organisation ini pastilah orang sesat, kurang membaca, kurang berilmu dan kaki bodek. Pandangan saya ini tidak pernah berubah hingga ke hari ini.

Tapi apa yang hendak saya kesahkan disini bukan hal United Malays National Organisation tapi hal Mat Ezam. Secara jujur saya katakan disini, saya tidak pernah ambil tahu siapa setiausaha politik, setia usaha akhbar atau siapa setiausaha sulit Anwar Ibrahim. Untuk saya semua mereka ini hanyalah aparachik kalau pun bukan tukang bodek. Pandangan saya ini berasakan budaya politik yang wujud hari ini.

Pada awalnya – saya terdengar - apabila Anwar di tangkap pada 20 September 1998 - ramai juak-juak Anwar termasuk Mat Ezam telah melarikan diri ke Indonesia. Ada yang lari membawa duit dan ada yang lari membawa harapan. Apa yang mereka lakukan di Indonesia tidak pula ingin saya ketahui.

Gerakan Reformasi muncul sesudah penangkapan Anwar. Gerakan ini menobatkan jalanraya sebagai wadah politik. Kami tidak ambil pot tentang juak juak Anwar yang lari dan yang tidak lari. Malah juak juak Anwar ini tidak pernah masuk dalam perhitungan politik jalan raya kami. Kami juga langsung tidak ambil pot terhadap 'polong-polong' piliharaan Anwar yang saku mereka telah penuh dengan 'darah saham' dan 'pink form'.

Gerakan politik jalan raya hanya bercita-cita untuk menghumbankan United Malays National Organisation ke dalam tong sampah sejarah. Untuk saya jenayah besar United Malays National Organisation hanya satu : membodohkan orang Melayu selama 50 tahun.

Saya pun kurang ingat bila Mat Ezam muncul kembali – mungkin sesudah tertubuhnya Parti Keadilan. Fakta sejarah ini tidak penting. Apa yang penting ialah Mat Ezam terpaksa menerima wadah jalan raya yang telah kami teroka. Kami sedar ada beberapa bengolan juak Anwar yang tidak berapa setuju dengan wadah politik jalan raya.Tetapi kerana ombak jalan raya bagitu besar maka mereka terpaksa membuat 'teater' berlakon bersama kami.

Juak-juak Anwar ini sedar dan faham bahawa politik jalan raya inilah sahaja jalannya untuk menumpaskan United Malays National Organistion. Tetapi perjuangan juak juak ini bukan hendak menumpaskan United Malays National Organistion. Justeru mereka selalu 'memberatkan' Gerakan Reformasi. Sebenarnya mereka berjuang agar Anwar Ibrahim dinobatklan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dalam congak politik mereka apabila Anwar menjadi PM maka mereka akan sekali lagi berkenduri kendara dan mengumpul 'pink form' dan memungut zakat harta kekayaan.

Harus dinyatakan jelas disini - Gerakan Reformasi tidak peduli hangguk sama ada Anwar Ibrahim jadi PM atau malaon mana pun yang menjadi PM. Yang penting Mahathir Muhamad di dobrak dan United Malays National Organistion dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.

Akhirnya setelah sepuluh tahun - sebahagian panennya Reformasi telah kita tuai pada 8 March 2008 dahulu. Inilah contoh yang dinamakan perjuangan berjangka panjang. Menabur benih kesedaran selama sepuluh tahun. Ini kerja politik yang ulit dan bertahan lama. Turun ke jalan raya itu ialah untuk membajak dan menyemai benih kebencian terhadap kuasa politik United Malays National Organisatgion.

Pada ketika ini Mat Ezam telah mudek kembali ke sarang lamanya. Saya sifatkan Mat Ezam ini terkena penyakit KKS – kurang kasih sayang . KKS ini adalah satu penyakit tidak berkuman yang selalu menyerang orang yang rapat dengan Anwar Ibrahim. Hasil dari serangan KKS ini Mat Ezam telah mundar mandir ke hulu ke hilir berceramah membantai dan menelan kembali semua air lior basinya yang diludahkannya dahulu.

Nasib saya agak baik, beberapa hari yang lalu ada kawan menghantar klip potongan salah satu dari ceramah Mat Ezam. Menurut kawan saya ini klip ini dari siri ceramah perdana 'Selamatkan Selangor Dari Khir Toyo'.

Saya kurang faham apakah Khir Toyo seorang Jawa sudah bertukar menjadi Jepun dan menyerang Selangor. Lalu saya pukul talipon dan bertanya apakah Khir Toyo telah ada bala tentera – kawan saya ini ketawa berdekah dekah dan meminta saya kembali ke sekolah untuk belajar ilmu politik. Ciss….bongek punya kawan. Maka tidak dapat tidak saya pun terpaksalah melihat klip ceramah Mat Ezam.

Mat Ezam telah mempotokopi gaya berceramah Anwar Ibrahim. Saya tahu tentang hal ini kerana saya pernah – satu masa yang lama dahulu - berkongsi pentas dengan Mat Ezam. Mat Ezam telah cuba meniru lenggok dan deram maarunah termasuk tajwid dan sengau si Anwar Ibrahim. Untuk saya gaya ini agak 'geli' tetapi menarik perhatian setengah orang yang mendengar ketika Anwar dalam penjara. Tetapi sekarang ini apabila yang ori telah ada maka Mak Cik Felda tidak akan terpaut untuk datang ke ceramah cap ayam Mat Ezam.

Saya pernah meminta kawan-kawan untuk pergi mendengar ceramah Mat Ezam ini. Sekurang-kurangnya meramaikan orang yang nampaknya semakin susut. Malu menengok kawan lama 'bertandak atas tong' seorang diri. Saya sendiri tak berani pergi kerana umum tahu saya bukan Orang Selangor. Kalau tidak – dalam dalam gelap itu - boleh juga saya menebeng untuk meramaikan pendengar ceramah.

Seperti di zaman Reformasi , Mat Ezam akan ke hulu ke hilir melaung sambil mencabar dari atas pentas ceramah. Ezam mencabar sesiapa sahaja yang berani mempertikai apa yang dicakapkannya. Hebat. Gugat. Cukup macho.

Tetapi sayang sekali, semuanya telah menyakitkan hati Mat Ezam – bukan kerana yang mendengar tak ramai; ini pun satu hal – tapi tidak ada sesiapa pun yang ambil pot dan menyambut cabarannya itu. Semua orang buat dek sahaja. Malah Lokman Adam seorang pemikir dalam gerakan pemuda gerombolan yang lebih kurang sama hebatnya dengan Mat Ezam pun terus memperlekehkan Mat Ezam yang tidak sudah-sudah mencabar.

Sesiapa yang ada pergi mendengar ceramah akan tahu bagaimana di pembukaan si penceramah akan melafaz doa berjela-jela dan was soli was soli dimasukkan ke sana sini untuk menunjukkan betapa alim dan waraknya si penceramah. Pada anggapan si penceramah lagi panjang was soli was solinya maka lagi sucilah apa yang diperkatakan. Mat Ezam juga tergulung dalam kumpulan was soli was soli ini.

Tetapi ada sesuatu yang paling menakjubkan dalam ceramah Mat Ezam yang saya tonton. Lebih hebat dari semua was soli was soli. Saya tidak berbohong. Saya takjub apabila saya terdengar apa yang dikatakan oleh Mat Ezam ini. Mat Ezam sebenarnya telah mendapat bantuan dari Allah. Betul. Ini bukan bohong.

Mat Ezam berkata yang dia bersyukur kerana dengan pertolongan Allah dia telah mendapat tahu bahawa Anwar ini adalah peliwat dan penyondol. Bagaimana Allah memberi maklumat ini kepada Mat Ezam tidak pula jelas. Tidak ada pula Ezam menyebut Batu Caves , Gua Herak, bersuluk, berkhalawat atau dia pergi bertapa.

Mengikut ceramah Mat Ezam semenjak mendapat ' info' dari Allah maka dia telah mengambil keputusan untuk meninggalkan bos lamanya Anwar Ibrahim. Kini Pak Sheikh Anwar yang menjadi idolanya dahulu bukan sahaja seorang peliwat malah seorang pengkhianat bangsa. Betul. Anwar dikatakan oleh Mat Ezam sebagai pengkhianat bangsa Melayu.

Dibahagian ini saya minta maaf. Saya agak kurang jelas. Tentang pengkhianat bangsa Melayu – saya agak kabur , apakah 'info' ini juga datangnya dari Allah atau datang dari Muhyiddin Yassin. Kalau ingatan saya betul, si Muhyiddin inilah orang yang pertama mengatakan si Anwar ini pengkhianati Melayu. Kalau saya silap saya minta maaf.

Sebenarnya , merekrut Tuhan dalam politik ini bukan sesuatu yang baru. Kalau kita rajin membaca sejarah kuno Europah, maka kita akan bertemu dengan para padri yang mengakui diri mereka mewakili Tuhan di bumi ini. Bayangkan betapa kecutnya telor Pak Tani apabila si Padri datang melawat kampong mereka. Bukan sahaja panen Pak Tani ini akan diambil Sang Paderi malah silap-silap hari bulan anak dan isteri juga akan dibungkus sama. Ini semua dilakukan atas permintaan tuhan. Khalas. Period.

Apabila Mat Ezam merekrut Allah maka saya angkat tangan serender. Saya mengaku kalah. Saya angkat tangan dan angkat topi. Bandingkan, maklumat yang saya terima hanya melalui laporan hospital Pusrawi yang mengatakan Saiful tidak diliwat. Saya juga membaca maklumat dari laporan tuan doktor dari Hospital Kuala Lumpur. Kemudian saya mengikuti laporan akhbar tentang perbicaraan ini. Ini lah sumber maklumat saya. Dari maklumat ini saya membuat rumusan bahawa jubur Saiful tidak diusik.

Bandingkan pula maklumat saya dengan maklumat Mat Ezam. Apabila Mat Ezam mendapat info dari Allah – saya tak terkata apa-apa. Siapa yang boleh mempertikaikan hal ini. Saya tidak memiliki kudrat dan iradat untuk mempertikai maklumat Mat Ezam ini.

Tetapi – saya ada sadikit kekalutan dan merasa resah. Sebenarnya saya ingin bertanya dengan Mat Ezam apakah Allah tidak ada memberi dia tahu maklumat yang lain – tentang siapa sebenarnya membunuh Altantuya. Atau tentang adik Shahlinie yang selama ini masih hilang. Renung punya renung, saya merasa amat pelik mungkinkah Allah juga ada sikap 'double standard' - hanya tahu tentang Anwar sebagai peliwat dan tak ada info tentang Altantuya.

Semua ini pelik. Untuk saat ini saya hanya berani berkata seperti dalam kitab Sulalatus Salatin - wallah hu alam bissawab – hanya Allah yang maha mengetahui. TT

p/s: Sesiapa berjumpa Mat Ezam sila tanykan hal ini agar kita semua dapat menyambut bulan Ramadan dengan penuh ketenangan.

Dia tau ka malu tu menatang apa?

Posted: 02 Aug 2010 04:30 PM PDT

Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Husin kata, Kerajaan Persekutuan harus ingat kemelut air di negeri ini bermula apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dibenarkan menaikkan tarif air tanpa mengambil kira beban tanggungan rakyat yang masih merangkak di dalam kemelut ekonomi global.

Kerajaan Pusat bukan sahaja gagal membantu rakyat Selangor mendapatkan kemudahan air yang murah malah gagal mengambil tindakan ke atas Dr gigi si Khir Toyo yang telah memberi konsesi secara cuai kepada syarikat kroni. Kalau tengok pada cara Khir menandatangani perjanjian konsesi air dengan Syabas, dah tau dimana dan setakat mana sayangnya Khir pada rakyat Selangor di mana syarikat itu dibenarkan menaikkan tarif sehingga 37% pada 2009, 25% (2012), 20% (2015), 10% (2018) dan 5% (2021).

"Dr Khir sepatutnya merasa malu untuk bercakap soal kepentingan rakyat Selangor dalam apa-apa topik sekalipun, baik air mahupun pasir kerana kecuaiannya telah menghalang hak rakyat Negeri Selangor daripada mendapatkan perkhidmatan air yang terbaik," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tapi malaun ni tau ka malu tu menatang apa?

Tiada ulasan: