Khamis, 19 Ogos 2010

sesemut emas ™

sesemut emas ™


Pemakaian Hijab di bulan Ramadhan

Posted: 19 Aug 2010 12:32 AM PDT

PERKARA yang perlu diberi perhatian oleh setiap muslimah, adalah supaya ada dalam hatinya rasa takut jika ibadat puasanya tidak diterima di sisi Allah S.W.T, dengan mentaati segala titah perintah Allah S.W.T dengan menyembah dan tunduk kepada-Nya dan bukan 'menyembah' bulan Ramadhan.

Memakai hijab (tudung kepala) khusus di bulan Ramadhan adalah antara perkara atau amalan yang baik yang akan diberi ganjaran pahala yang besar, tetapi bagaimana pula di luar Ramadhan?

Jadikan pemakaian hijab di bulan Ramadhan sebagai permulaan perubahan dalam diri. Ketahuilah bahawa memakai hijab adalah perintah secara langsung daripada Allah S.W.T, bukannya cadangan Nabi Muhammad S.A.W atau pandangan ulama' fiqh. Ia wajib dipakai bukan sahaja dalam bulan Ramadhan, malah sepanjang hidup hanya di depan lelaki ajnabi atau wanita kafir, sementara bersama suami, ayah, ayah mertua, adik-beradik lelaki atau mahram adalah tidak wajib.

Mohonlah kepada Allah S.W.T dalam Ramadhan, agar dicampakkan dalam hati rasa tanggungjawab untuk memakai hijab, rujuklah ayat 30-31 surah an-Nur (24) dan ayat 59 surah al-Ahzab (33) dan mentelaah kitab agama yang membicarakan persoalan hikmah Allah S.W.T mewajibkan pemakaian hijab ke atas muslimah.

Mohonlah keampunan Allah S.W.T terhadap kesalahan tidak memakai hijab sebelum Ramadhan pada tahun ini. Ramadhan memberi peluang seluas-luasnya untuk kembalikan hamba kepada Tuhan. Rasakanlah dalam diri tanggungan dosa-dosa besar kerana tidak berhijab yang merupakan kesalahan amat besar yang hanya boleh ditebus dengan taubat kepada Allah S.W.T.

Akhir sekali, perbetulkan niat untuk menjadi hamba Allah S.W.T yang baik, kerana kita tidak tahu, apakah kita boleh bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Sehubungan itu Baginda S.A.W bersabda:

"Kalaulah hamba-hamba Allah S.W.T tahu apa yang ada dalam bulan Ramadhan, mereka akan bercita-cita agar sepanjang tahun itu dijadikan Allah S.W.T sebagai bulan Ramadhan."

Sama-samalah kita merenung agar Ramadhan tahun ini adalah yang terbaik yang pernah kita lalui.

Wallahu'alam..

-ibnumustafa-

Tiada ulasan: