Khamis, 19 Ogos 2010

pemuda cheh

pemuda cheh


'RM400 Duit Raya buat Kakitangan Awam di Pulau Pinang dari Pakatan Rakyat!

Posted: 18 Aug 2010 04:13 PM PDT

Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Komtar, George Town. Geran kewangan istimewa sebanyak RM400 untuk semua 3,577 kakitangan awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan kos keseluruhan RM1.5 juta.
Exco kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini meluluskan geran kewangan istimewa sebanyak RM400 untuk semua 3,577 kakitangan awam kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang melibatkan kos RM 1.5 juta. Pembayaran sekaligus RM400 itu akan dibuat pada 3 September 2010, kira-kira seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Kakitangan Awam Profesional

Semenjak Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran, usaha yang jitu lagi berterusan dilaksanakan bagi mencorakkan penjawat awam profesional ke arah bertaraf dunia. Lagipun, Pulau Pinang tidak mampu untuk melonjak kepada status Bandaraya Antarabangsa tanpa usaha penjawat awam negeri memacu ke arah menjadi penanda aras antarabangsa.

Dalam masa kurang dari dua tahun, kita telah meraih beberapa pencapaian. Walaupun berdepan dengan diskriminasi dan pengurangan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan, perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang telah bertambah baik. Ramai yang merasakan bahawa Pulau Pinang semakin bersih dan bersinar. Pentadbiran bertemakan CAT kerajaan negeri Pulau Pinang yang menekankan kecekapan, kebertanggung jawaban serta ketelusan telah berjaya memulihkan jangkaan defisit bajet sebanyak RM35 juta dan RM40 juta pada tahun 2008 dan 2009 kepada lebihan, masing-masing sebanyak RM88 juta dan RM77 juta.

Pentadbiran CAT juga menjadi kebanggaan apabila mendapat pujian daripada Transparency International, buat pertama kalinya untuk mana-mana kerajaan di Malaysia. Pulau Pinang juga telah mewujudkan Anugerah Integriti dengan geran tunai sebanyak RM10,000 dan ganjaran lain kepada penjawat awam yang mendedahkan amalan rasuah atau salah laku. Penerima pertama ialah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Dato Yusof Musa yang turut dianugerahkan gelaran Dato setelah mendedahkan penyelewengan dengan nilai melebihi RM500,000 dalam pejabat mahkamah Syariah.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri Pulau Pinang juga turut menghadiahkan tunai sebanyak RM500 dan anugerah negeri kepada pekerja bawahan yang bekerja keras membersihkan longkang dan parit di negeri ini tanpa sebarang pengiktirafan selama 51 tahun yang lalu. Pengiktirafan ke atas perkhidmatan mereka buat pertama kalinya itu membuktikan prestasi cemerlang akan meraih ganjaran sama rata tanpa mengira pangkat mahupun kedudukan dalam mana-mana organisasi.

Kejayaan Pulau Pinang dalam mentransformasikan ke arah status Bandaraya Antarabangsa bergantung kepada kejayaan dalam membanteras kecenderungan serta pelaksanaan niat oleh "Napoleon Kecil" dan menyampaikan standard perkhidmatan awam antarabangsa. Jika kita berjaya, maka sangat adil untuk penjawat awam negeri turut menikmati gaji berskala antarabangsa.

Namun begitu, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan teragak-agak untuk menegur mana-mana pegawai kerajaan yang menyalah guna kuasa dan berlagak seperti "Napoleon Kecil" seperti tindakan Pegawai Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Nik Ali Mat Yunos. Kerajaan negeri Pulau Pinang komited dalam mempromosi dan memberi anugerah kepada para pegawainya yang cemerlang.

Pembayaran istimewa sekaligus sebanyak RM400 sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang menghargai perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang. Exco negeri Pulau Pinang berharap penjawat awam negeri akan terus berazam untuk bekerja lebih gigih untuk meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian dan memberi perkhidmatan lebih baik.


LIM GUAN ENG

Dr. Pornthip Tetap Tegaskan Beng Hock Mati Dibunuh

Posted: 18 Aug 2010 09:46 AM PDT

Pakar Forensik Thailand, Dr Pornthip Rojasunan tegas mempertahankan pendapatnya bahawa kematian pembantu politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock adalah akibat oleh kejadian bunuh dan bukannya disebabkan oleh bunuh diri.
Pornthip yang memberi keterangannya di Mahkamah Koroner di sini Rabu, selaku saksi inkues ke-30, membuat kesimpulan itu berdasarkan penglibatannya dalam bedah siasat kali kedua yang dilakukan terhadap Teoh.

"Saya juga masih mengekalkan pendapat saya bahawa terdapat kesan kecederaan sebelum jatuh pada Teoh. Saya juga tidak dapat mengesahkan sama ada Teoh sedar ataupun tidak semasa jatuh," tambah beliau.
Bagaimanapun, pakar yang terkenal dengan fesyen rambut yang berwarna-warni itu tidak dapat memberikan peratusan kemungkinan Teoh dibunuh, seperti yang dilakukan semasa memberi keterangan pada kali pertama Oktober lalu.
Semasa itu, Pornthip mendedahkan bahawa 80 peratus kematian adalah disebabkan bunuh dan hanya 20 peratus diakibatkan bunuh diri.
"Saya bagaimanapun yakin ia bukan bunuh diri," katanya lagi yang mengakui peratusan yang diberikan pada kali pertama adalah bertujuan untuk menyakinkan Koroner Azmil Muntapha Abas supaya membenarkan mayat Teoh yang ditanam digali semula untuk tujuan bedah siasat.
Dalam keterangan lain, Pornthip juga menolak dakwaan bahawa Teoh yang merupakan pembantu politik Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dicekik kerana berpendapat kesan calar pada leher mendiang disebabkan oleh daya dan tekanan yang lebih kuat.
"Kemungkinan ia (kesan calar) disebabkan oleh benda tumpul seperti keadaan di mana seseorang meletakkan sesuatu di leher ataupun kepala Teoh ditekan pada sesuatu objek," tambahnya yang mendapat jolokan 'Dr Kematian'.
Tidak datang dengan tangan kosong, Pornthip membuat persediaan dengan membawa beberapa gambar kes-kes seumpamanya yang pernah dikendalikannya untuk menjadi rujukan mahkamah.
Pornthip disoal oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan Selangor dalam prosiding inkues yang telah bermula sejak 29 Julai 2009.
Beliau yang hadir dengan diiringi dua pengawal peribadi juga menolak keterangan yang diberikan oleh Pakar Forensik dari Britain, Dr Peter Venezis yang dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa kesan calar disebaban kulit di bahagian leher diangkat bagi tujuan pemeriksaan dalam proses bedah siasat.
"Tidak bersetuju sama sekali kerana pendarahan tidak berlaku selepas mati. Ia perkara saintifik," kata Pornthip yang turut terkenal dengan aksesori pilihannya seperti gelang tangan, cincin dan rantai.
Beliau yang merupakan Pengarah Institut Sains Forensik, Jabatan Kehakiman Thailand juga menolak dakwaan bahawa kecederaan di leher boleh berlaku kerana kesan jatuh. Menurutnya, bahagian leher adalah bahagian yang tersembunyi.
Pornthip memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian Teoh, 30, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, di sini. Kematiannya menimbulkan persoalan memandangnya beberapa jam sebelum itu dia disoal siasat di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.
Beliau tiba di mahkamah pada jam 8.55 pagi dan mengangkat sumpah dalam bahasa Inggeris 30 minit kemudian. Orang awam yang memenuhi galeri awam mahkamah juga bertepuk tangan bagi menyambut ketibaannya.
Turut berada di mahkamah ialah ADUN Pandamaran, Ronnie Liu, Ng Suee Lim (Sekinchan), Dr Dzulkili Ahmad (Kuala Selangor) dan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang yang hadir bersama peguam Karpal Singh.
Sementara itu, Pornthip yang diserbu oleh media selepas prosiding tamat, hanya melemparkan senyuman sebelum berlalu pergi mengikut laluan yang dikhaskan untuk saksi.

Tiada ulasan: