Selasa, 10 Ogos 2010

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Selamatkanlah Selangor dari mereka

Posted: 10 Aug 2010 07:33 AM PDT




Maka berakhirlah fasa 1 program gergasi Umno Selangor iaitu "roadshow" Selamatkan Selangor Darul Ehsan semalam di Jalan Kebun Kelang. Kata Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar:

"Alhamdulillah, sambutan rakyat untuk peringkat pertama ini di luar dugaan. Ini kerana ia banyak menyedarkan rakyat mengenai pembohongan pakatan pembangkang selama ini sama ada dalam pentadbiran negeri mahu pun kempen politik mereka,".

Saya tidak tahulah "standard" apa yang diguna oleh Noh apabila beliau berkata sambutan rakyat terhadap program Umno itu "luar dugaan", tetapi dari pengamatan ramai, termasuklah saya sendiri yang pernah menjenguk program yang sama di Ampang, kehadiran luar dugaan itu mungkin maksudnya yang diduga hadir patutunya ramai yakni ribuan atau puluhan ribu tetapi hakikatnya yang hadir cuma beberapa kerat, itulah maksudnya barangkali "luar dugaan"!

Umno satu ketika dahulu ketika memerintah Selangor, jika menganjurkan program yang hadir adalah belasan malah puluhan ribu, berbas-bas, tetapi kebelakangan ini "funfair" anjuran Noh, tidak lagi semeriah dahulu.

Ia mungkin kerana Umno Selangor sendiri kekurangan dana untuk menaja bas-bas seperti dahulu atau mungkin kerana rakyat pun sudah muak dan bosan, takkanlah nak mendukung biawak hidup lagi.

Ahad lepas saya berceramah bersama Timbalan Ketua Penerangan PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga EXCO Selangor dan ADUN Cempaka, YB Iskandar Samad di Kg. Pandan. Saya tertarik dengan penyampaian Ustaz Sallehen, kata beliau mengapa susah-susah Umno Selangor mahu menganjurkan "roadshow"seumpama ini, bukankah mereka menguasai media arus perdana? Ada TV ada akhbar ada radio? Tayangkan sahaja secara langsung taip-tiap malam.

Sesungguhnya malapetaka (bagi BN) 2008, telah membunuh apa sahaja semangat dan kekuatan yang ada pada Umno dan BN Selangor untuk bangkit semula. Mereka bersengketa sesama sendiri, menuding jari, berbalah, berebut jawatan,malah sehingga hari ini "malapetaka" itu terus menghimpit dan menghantui mereka.

Mereka serba-salah, tak tahu apa yang patut dilakukan, sedangkan rakyat telah maklum bahawa mereka inilah yang sebenarnya telah memeras dan menyelongkar harta kekayaan negeri, menggemukkan kroni dan sanak-saudara, rakyat digula-gula hanya bila perlu, lalu rakyat sudah serik, sipincang dan sikotor ini jangan diberi muka dan peluang lagi.

Dijajanya ke hulu dan ke hilir, cabaran supaya PAS Selangor tuntut diharamkan pusat-pusat hiburan dan rumah urut dalam bulan Ramadhan nanti. Tidakkah itu membunuh mereka sendiri?! Pertama mengapakamu sendiri tidak melakukannya ketika berkuasa sepanjang 52 tahun lalu. Kedua mengapa negeri-negeri yang masih kamu perintah tidak pula melakukannya.
Maghrib ini inysallah kita meraikan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh barakah itu. Marilah kita jangan lupa memanjatkan doa ke hadrat Allah siang dan malam. Selitkan juga jangan lupa dalamdoa kita itu, agar Allah menzahirkan kebenaran dan menghancurkan kebatilan di negeri ini. Minta Allah satu padukan saf Melayu/ Islam di Selangor ini di bawah panji-panji kepimpinan Islam. Hancurkan pemimpin yang kotor dan pincang. Selamatkan negeri ini dan rakyatnya. Berilah kemenangan kepada Islam.

Selamatkan Selangor Darul Ehsan dari saki-baki pimpinan Umno!

[Sumber]

Ni Ker Gambar Yang Menyebabkan Sultan Johor Murka?

Posted: 09 Aug 2010 11:27 PM PDT

http://minda-kembara.com/v2008/wp-content/uploads/2010/08/39919_146800742013099_100000495237239_377034_5689636_n.jpg

Pembangkang di Kedah elok naik 'anog' saja

Posted: 09 Aug 2010 11:00 PM PDT

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Pihak pembangkang di Kedah mencetak beribu-ribu risalah mengkritik kerajaan Negeri dan diedarkan di masjid-masjid secara terbuka. Risalah bertajuk 'Mai Kedah' itu dikatakan diterbitkan oleh Umno Kedah kerana sebelum diedarkan, ia didapati bertimbun-timbun di pejabat perhubungan parti itu.

Selang beberapa hari selepas itu muncul pula risalah 'Kedah La' yang bingkas menjawab segala tohmahan di samping menyerang balas BN Kedah dengan pembongkaran penyelewengan mereka sewaktu berkuasa dahulu. BN lantas terkedu seketika. Tiada seorang pun pemimpin BN yang berani menyanggah.

Politik di Kedah memang begitu. Setiap serangan dibalas segera. Ia tidak dibiarkan berlompong-lompong macam kawah pasir di Selangor yang sehingga kini pun rakyat masih kabur, apa yang sebenarnya berlaku?

Dalam terkial-kial mencari isu mereka terjumpa maklumat bahawa kerajaan negeri telah membeli 17 buah kereta baru berjenama Camry. Sebenarnya cuma lima buah sahaja yang dibeli. Tapi biasalah pembangkang di Kedah, pakar menokok tambah.

Isu tersebut terlalu rendah nilainya, namun alang-alang ketandusan isu 'tiada rotan, akar pun berguna'. BN menjaja di sana sini kononnya Exco Kerajaan Negeri asyik melaram dengan kereta mewah Camry.

Hampir semua kereta Exco yang ditinggalkan BN dahulu adalah kereta lama, sebahagiannya sudah uzur benar. Maklumlah kereta Perdana dan ada yang melebihi 10 tahun. Sebahagian besar Exco pernah mengalami kerosakan kereta.

Terbaru, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Ustazah Aishah Ghazali terpaksa menumpang kereta kakitangan Ahli Parlimen Pendang untuk ke program Mesra Rakyat yang diadakan Daerah Bandar Baharu akibat kereta rasminya rosak sewaktu mahu memulakan perjalanan.

Kelewatan beberapa Exco untuk sampat tepat pada waktunya untuk program rasmi akibat kerosakan kereta adalah perkara biasa sebelum ini. Kos penyelenggaraan jika dihimpunkan, lebih merugikan berbanding membeli kereta baru. Apabila kerajaan membeli lima buah Camry untuk menggantikan lima buah kereta Exco yang benar-benar uzur maka ia adalah langkah bijak.

Dalam Islam ada konsep zuhud. Tapi zuhud bukan bermakna membiarkan semua kerja terbengkalai akibat perkara keperluan diabaikan. Sebelum pembangkang membicarakan isu Camry, baiklah terlebih dahulu mereka bertanya projek Chalet Pulau Payar, Jambatan Pulau Bunting, Chalet Muzium Padi, Kompleks Ikan Bakar, Pedu Lake Resort, paparan gergasi LCD di MBAS - yang semuanya sama ada menjadi projek gajah putih atau terbengkalai di separuh jalan itu; adakah bukan pembaziran namanya?

Membazir ialah apabila sesuatu yang dibelanjakan itu tidak digunakan atau bermewah melebihi keperluan. Kalau tukang kebun pakai Mercedes, ia jelas membazir sekalipun dia mampu membeli. Tapi kalau Exco pakai Camry, ia memang sepadan dengan kerjayanya.

Sewaktu menjadi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menaiki Mercedes ke Istana Anak Bukit untuk menziarahi Almarhum Tuanku Sultanah Kedah yang mangkat. Dia disindir oleh Ketua Menteri Melaka, Dato' Wira Ali Rustam. "Hai, orang PAS pun pakai Mercedes," katanya. Tuan Guru Abdul Hadi dengan selamba menjawab, "Memang orang PAS dah pakai Mercedes, orang Melaka aje yang masih pakai kereta lembu."

Kalau pembangkang di Kedah masih mahu terus memainkan isu Camry, maka eloklah mulai sekarang menukar kereta masing-masing dengan 'anog', ia lebih murah dan tak guna minyak. (Anog adalah kenderaan untuk mengangkut padi di zaman dahulu yang diheret oleh kerbau)

Isu terbaru yang diperkatakan ialah mengenai keengganan Kerajaan Pusat untuk menerima wakil kerajaan Negeri untuk berada dalam lembaga pengarah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).

Keda adalah agensi Pusat yang terletak di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang wujud di Kedah. Mengikut peruntukan yang ada, wakil kerajaan Negeri mesti dilantik sebagai ahli lembaga pengarah. Malangnya oleh kerana Kedah ditadbir oleh parti yang tidak sehaluan dengan Pusat maka cadangan wakil kerajaan Negeri untuk berada dalam pentadbiran tertinggi Keda itu tidak diterima.

Menteri Besar, Dato' Seri Azizan Razak menegaskan, ekiranya Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) tidak berminat untuk menyambung perkhidmatannya setelah tidak memberi maklum balas mengenai rundingan dengan Kerajaan Negeri maka Kerajaan Negeri boleh menamatkan perkhidmatan Keda apabila tamat tempoh pada 28 Mei 2011.

Katanya, berdasarkan sambutan 'dingin' pihak Keda yang tidak memberi maklum balas apabila Kerajaan Negeri menghantar dua nama wakil professional tediri daripada peguam dan jurutera untuk diletakkan dalam barisan Lembaga Pengarahnya.

"Kontrak dengan Keda sebenarnya habis bulan Mei 2011, bila kita nak ambil alih mesti ada wakil Kerajaan Negeri untuk sama-sama tadbir duduk dalam Lembaga Pengarah Keda. Tanah adalah tanah Kerajaan Negeri yang duduk di situ ialah rakyat negeri Kedah," katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sudah berunding perkara ini dengan Kerajaan Pusat supaya Keda menghormati perjanjian yang dimetrai bersama iaitu mesti meletakkan wakil Kerajaan Negeri dalam lembaga pengarah.

"Kerajaan Negeri sudah berunding dengan Kerajaan Pusat bagi menamatkan Keda, sekiranya mereka tidak menghormati perjanjian antara Kerajaan Negeri lebih baik kita tak usah sambung, walau bagaimanapun Kerajaan Negeri sentiasa memberi ruang untuk berunding," katanya.

Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah atau Kedah ditubuhkan pada 28 Mei 1981 di bawah Akta 249 Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah 1981 bertujuan mempercepatkan pembangunan ekonomi di kawasan operasi meliputi 8,279 kilomter bersamaan 89 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri Kedah.

Hari ini Keda menjadi 'kerajaan bayangan BN' yang mentadbir Kedah selepas mereka hilang kuasa di negeri. Biarlah pula mereka dalam dilema sama ada menerima wakil dari kerajaan Pakatan Rakyat untuk sama-sama mentadbir 'kerajaan bayangan BN' itu ataupun kerajaan bayangan itu dibubarkan sahaja.

Salam Ramadhan Dari Team Kerabu Bersuara

Posted: 09 Aug 2010 10:30 PM PDT

Marilah kita sama-sama mengucapkan "Marhaban Ya Ramadan".

Mengucapkan "Marhaban Ya Ramadan" (Selamat Datang Ramdhan) dengan ikhlas menunjukkan kita gembira menyambut kedatangan bulan Ramdan yang mulia ini.

Rasulullah sendiri gembira setiap kali kedatangan bulan Ramadan.

Rasulullah mengucapkan "tahniah" kerana kedatangan bulan Ramadan.

Berita gembira itu disampaikan pula kepada sahabatnya sambil bersabda : "Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramdhan, bulan yg penuh keberkatan. Allah memfardukan atas kamu berpuasa. Di dalam bulan Ramadan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Barang siapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu, maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan." (Riwayat Ahmad)

"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." (Riwayat Muslim)

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan ikhlas mengharapkan pahala dari Allah, maka dosanya yang lalu akan diampun oleh Allah." (Riwayat Imam al-Bukhar)

"Sesiapa sempat bertemu Ramadan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh dia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

Nasib Orang Abdullah Di Kelantan, Jadi Belulang Kering

Posted: 09 Aug 2010 10:00 PM PDT

POSTING di bawah tajuk Iseng Ahad - Sokong Pas Kapir... menimbulkan rasa sedih Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, Alwi Che Amat. Ada dua subjek menyentuh sukma Alwi dalam posting berkenaan. Pertama ialah gossip beliau berkahwin seorang lagi dan kedua mengenai ceramah Ustaz Abdullah Samah di Ketereh yang mengeluarkan fatwa sokong Pas jadi kapir.

Alwi yang menghubungi saya menerusi SMS malam tadi menjelaskan mengenai kedua subjek berkenaan. Dalam menjelas itu beliau menyatakan sedih dan serabut menjadi ahli politik. Apa lagi kalau ahli politik tak kaya dan tidak difahami oleh rakan-rakan dan tak disokong pula oleh sanak saudara. Lebih menyedihkan katanya, dia telah berbuat yang terbaik, tetapi masih ada yang cemburu dan iri hati kepadanya.

Katanya mengenai gossip dia berkahwin satu lagi, itu tidak betul sama sekali. Dia sedikit terkilan mengenai berita ini. Jelasnya ia telah timbul sejak ke belakangan ini. Sudah latas ke telinganya di bawa oleh bapak angin yang cuba menumbangkannya.

Alwi tidak kedekut berkogsi gossip itu dengan saya. Jadi saya memahami duduk perkaranya. Lagipun bagi saya tak salah kalau lelaki berkahwin lebih dari satu asalkan dia dapat jaga semua bininya itu diwaktu siang dan malam. Semua lelaki ingin tambah isteri tetapi kerana masalah tenaga kurang, itulah yang tak jadi.

Dari penjelasannya kenapa timbul perkara itu kerana berlaku kekeliruan dan salah tanggap. Kekeliruan itulah merebak dan tersebar menjadi bahan politik memburukkannya. Walhal kalau orang mengetahui cerita di sebalik gossip itu tidak akan tergamak untuk mengecerkannya. Sebaliknya apa yang dibuat oleh Adun Ketereh itu satu kebajikan yang besar pahalanya.

Di sini saya ingin berseru kepada penjaja gossip tersebut berhentilah, usaha memburukkan Alwi. Kalau ada yang marah atas kejayaanya cubalah jilahkan kepala dan bersalamlah dengan beliau dengan penuh keikhlasan. Berlawan dan bertewaslah dengannya penuh kejantanan. Jangan cuba diperluaskan carik sebab kalau sudah bedah musuh akan masuk ke dalam rumah sendiri, tidak ada siapa yang untung.

Saya juga sebenarnya percaya kalau Alwi nak kahwin satu lagi dia akan buat dalam terang. Orang macamnya yang out spoken tidak akan menyembunyikan apa-apa. Dia juga jenis 'tebolah' kalau nak luahkan perasaannya diluahkan begitu saja. Inilah pemimpin yang ikhlas. Apabila saya menyentuh gossip itu dalam posting, sumber yang mulanya beriya untuk menjelaskan diam membisu. Lantas saya simpulkan di sini setakat ini Alwi tidak berpoligami dan terfitnah di siang hari.

Tentang Abdullah Samad, ustaz pondok usang itu pula jelas Alwi dia tidak hadir dalam ceramah itu. Ceramah itu dikelolakan oleh Jasa. Katanya kalau dia tahu yang Ustaz Lah celupar macam Nik Aziz dia tidak akan membenarkannya. Harapnya lain kali Alwi akan memantau daripada ustaz pondok usang itu masuk ke kawasannya. Seperti mana kata Aziz Kadir (Ahli Parlimen Ketereh) tidak ada untungnya Umno bawa orang macam ustaz pondok usang itu berceramah, malahan merugikan dan mengutungkan Pas dan PKR.

Akhirnya Alwi ada merintih untuk menyimpan pembesar suara, tidak mahu bermain politik lagi. Beliau sedih dan kesal serta menganggap politik tidak akan membawa ke syurga. Saya rasa kenyataan itu terlalu awal dan beremosi. Kenapa harus berhenti. Beliau sudah memulakannya dan sebahagian langkahnya berada jauh dalam politik. Beliau hanya menanti selangkah ada dua lagi untuk mencecah ke pita penamat. Sekiranya beliau tidak bertukar kerusi dalam pilihan raya lalu dengan Annuar Musa mungkin kini beliau sudah jadi timbalan menteri. Tapi apakah daya, Alwi dengan Annuar samalah ular dengan buluh. Selagi Alwi tidak membunuh ular itu beliau tidak akan melepas banir besar dalam politik.

Biasalah bila sudah tidak ada kuasa, tidak ada kedudukan orang tidak akan hormat dan puja lagi. Kawan akan lari. Sampahpun banyak di buang dibelakang rumah kita. Alwi harus mengenang bagaimana dia semasa menjadi Setiausaha Politik Perdana Menteri dulu. Bukan saja nyamuk takut, gajah pun takut nak mengusiknya. Itu sudah kejayaan peribadi buatnya.

Untuk pengetahuan Alwi bukan ramai orang boleh jadi setiausaha perdana menteri asal Kelantan. Selepas Abdullah Kok Lanas, beliaulah. Kini Fatmi Che Salleh. Kejayaan itu perlu dibanggai sampai ke bila-bila pun.

Begitu juga jangan berkecil hati dengan stail Umno. Sudah budaya Umno kalau hari ini orang sudah tidak ada kuasa, dan bertukar nakhoda anak-anak kapal lama semuanya akan dibuang. Kapten juga turut sama dibuangnya, tukang masak juga dibuang. Bukan saja Alwi orang lain juga begitu. Hari ini nakhoda Umno Kelantan, Mustapa Mohamad, maka Mustapa akan mengambil orangnya walaupun orang itu cepek dan buta, dan membersihkan kapal dengan anak-anak kapal nakhoda sebelum ini.

Nasib dialami Alwi sama dengan nasib dialami Ramzi Abdul Rahman, juga bekas setiausaha politik Abdullah Badawi. Selepas Abdullah tidak jadi PM, Ramzi dilupakan macam 'gerak' patah gigi atau 'nangal' tak ada igu. Melata dan merintih Ramzi bersendirian. Tidak ada siapa nak peduli dan tegurnya lagi. Usahkan gajah, lalat pun dah tak hinggap atas bahu Razmi. Tetapi masih rajin dan ikhlas menggerakan aktiviti parti di Kuala Krai meskipun tanpa publisiti.

Kalau dulu masa jadi setiausaha politik Abdullah, tidak ada ruang dan masa untuk orang berjumpa Ramzi. Orang berhajat nak jumpa Abdullah termasuk nak cari mempelam untuk bini mengidam anak lapan pun akan jumpa Ramzi. Minta tolong Ramzi. Sapa yang Ramzi tidak tolong, termasuk Azizuddin bekas wakil rakyat Mengkebang.

Orang juga lupa rekod yang dibuat Ramzi di Kuala Krai dalam pilihan raya 2004 dulu di mana kesemua lima kerusi Dun dalam kawasan Kesedar dimenangi oleh Umno. Bukankah kejayaan itu setelah Ramzi menjadi pengerusi Kesedar dan memimpin Umno Kuala Krai?

Begitulah nasib dalam politik. Jadi Alwi dan Ramzi jangan bersedih. La tahzan. Tenang dan istiqamah dalam perjuangan. Sabar. Bina dan buatlah aktiviti baru yang boleh orang mengingati kita. Tirulah perangai Annuar Musa, di samping cari duit dia berjaya build-upkan dirinya menerusi bola sepak. Saya cadangkan Ramzi bermain ragbi manakala Alwi boleh jadi tok dalang wayang kulit lagi pun Dollah Baju Merah Kok Lanas dah tak ada.

Ataupun kalau Umno dah tak nak, Mustapa pula tak pandang silau, mari menyertai Pas, saya boleh bawa jumpa dengan Tok Guru Nik Aziz seperti saya bawa orang tu... jumpa Nik Aziz. Cuma janji jangan lompat sudahlah nanti celaka badan naik ke kepala. Alwai dan Ramzi yakinlah masa anda akan datang kembali sebab roda pedati itu akan senantiasa bergolek dari atas ke bawah, dari bawah ke atas. Kemenangan hanya milik mereka sabar dan tahan uji saja. Amboi, Rosmah Mansor!

[Sumber]

Gambar Ceramah Pecah Rahsia PR: 4 Ribu Hadir

Posted: 09 Aug 2010 09:30 PM PDT

Tok Guru Nik Aziz: Perutusan Khas Ramadhan 1431H

Posted: 09 Aug 2010 09:00 PM PDT

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya' khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).
- Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Yang bermaksud : "Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam.." – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.


TUAN GURU DATO' BENTARA SETIA
DATO' HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 10 Ogos 2010 / 29 Syaaban 1431

[Sumber]

Muhyiddin Akui Umno Akan Out...

Posted: 09 Aug 2010 08:19 PM PDT

DAKWAAN mengatakan Umno kini terdesak dan sangat bimbang untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang ada kebenarannya. Tanda-tanda itu jelas baik secara berselimut ataupun secara telanjang. Kebimbangan itu dibincangkan oleh pemimpin tertinggi Umno. Ini termasuk Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Mohd Yassin.

Katanya Muhyiddin sangat bimbang dengan masa depan Umno. Arus dan gelombang kebangkitan rakyat bersama PR seakan bakal menghanyutkan Umno. Sokongan dan simpati orang ramai kepada Anwar Ibrahim akan memangsakan Umno.

Kalau pilihan raya 2008 lalu dianggap sebagai tsunami kali ini ianya akan dianggap sebagai gempa bumi pula. Dan kalau gempa bumi disertai tsunami serentak lagi teruk.

Berbagai usaha dan ikhtiar yang dilakukan Najib Razak tidak menunjukkan hasil yang kondusif. Malahan, sesetengahnya menjadi masalah kepada Najib dan UBN. Slogan 1 Malaysia adalah antaranya. Bukan saja rakyat bawahan yang celaru dengan slogan itu, Mahathir Mohamad juga tidak faham. Pendekatan dan sikap pragmatif UBN dan Najib yang mengikut rentak Pakatan Rakyat dalam mewarnakan politik negara menjadi senjata makan diri.

Misalnya orang Melayu yang tidak suka dengan politik baru Pakatan Rakyat yang terbuka, bersifat multi racial dan sedia memenuhi tuntutan semua kaum, mengharap Umno akan menentangnya. Sebaliknya Najib tidak mampu melawan ironinya Najib obses turut melaksanakan apa-apa yang disebutkan oleh Pakatan Rakyat kerana ingin menghunjamkan Pakatan Rakyat. Satu sisi umum melihat Najib jauh ke depan tetapi dari sisi lain Najib terperangkap dalam silang kata politik Anwar Ibrahim yang merugikan Melayu.

Sikap tidak berani ini menyebabkan orang Melayu yang tebal semangat chauvenis Melayu dan nasionalis merasakan Umno bukan tempat pergantungan mereka. Mereka merasakan Umno lebih kurang sama juga dengan Pakatan Rakyat. Kesimpulan mudah bagi mereka, setidak-tidaknya pemimpin dalam Pakatan Rakyat tidak sekorup pemimpin Umno.

Semalam seorang bekas anak tokoh Umno secara tidak sengaja menceritakan kegelisahan dan kebimbangan Muhyiddin. Beliau menceritakan Muhyiddin telah menceritakan kebimbangan itu dalam satu perjumpaan dengan Umno bahagian, Paguh baru-baru ini. Menurutnya Muhyiddin secara berterus terang menceritakan yang Umno kini dalam keadaan terancam. Bahagian Paguh ialah bahagian Muhyiddin.

Muhyiddin juga menurut anak tokoh Umno itu Muhyiddin tidak percaya dan bimbang kepada undi kaum Cina untuk parti berkenaan. Bukan saja di negeri-negeri di Utara dan Pantai Barat, tetapi di Johor juga. Katanya, sekurang-kurang enam kerusi di Johor yang mana kedudukan undi Cina melebuhi undi Melayu sukar untuk dipertahankan dan akan hanyut dalam pilihan raya akan datang. Katanya mood pengundi Cina berubah secara total.

Justeru katanya, Muhyiddin bekerja keras untuk menyelamtkan Umno. Baginya Umno perlu diselamat kerana selepas ini beliau yang bakal mengambil alih teraju kepimpinan Umno dan seterusnya perdana menteri. Tentulah Muhyddin tidak mahu kalau Umno akan berkubur sebelum beliau dinobatkan sebagai perdana menteri dan beliau hanya meninggalkan legasi sebagai TPM terakhir dari Umno.

Dalam pada itu jelas anak tokoh dan aktivis politik itu, Muhyiddin berpendapat satu-satu cara bagi menyelamatkan Umno ialah dengan mengajak Pas bekerjasama dengan Umno. Pas adalah tali hayat terakhirnya. Alasan mengenai perpecahan Melayu, dan Melayu kehilangan kuasa majoriti perlu dipergunakan. Lantaran itu katanya baru-bnaru ini Muhyiddin telah membuat offer kepada Pas untuk bekerjasama dengan Umno walaupun Pas sudah berkali-kali mengatakan nahe nahe.

Muhyiddin begitu ghairah untuk ini. Katanya beliau (Muhyiddin) terpaksa menengur Najib Razak yang baru-baru ini mengeluarkan kenyataan berbau ego mengatakan Umno masih kuat dan tidak perlu kerjasama dengan Pas. "Selepas Muhyiddin tegur itulah maka Najib terpaksa mengubah kenyataan kerasnya beberapa hari selepas itu," jelas aktvis berkenaan.

Memahami apa yang dirasai dan digeruni Muhyiddin kini, tidak mustahil Umno akan terus berusaha untuk memujuk Pas agar berkerjasama dengan mereka. Situasi ini harus dilayan penuh berhati-hati oleh Pas. Sekiranya ada mereka yang mudah kesian dengan Umno, bahayanya akan menimpa Pas.

Pas harus bersetuju menerima pandangan sekiranya Umno ingin bersatu biarlah ianya dibuat dengan memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh Pas. Pas harus mengenal pasti keikhlasan Umno. Satu syarat besar yang harus Pas kenakan jika Umno ingin bersahabat dengan Pas atas kepentingan Melayu dan Islam, mereka harus mengundang sama Anwar Ibrahim dan PKR. Dalam pada itu Pas juga juga harus istikarah apakah angan-angan mereka dengan Pakatan Rakyat menguntungkan agama dan bangsa. Assamualaikum Tok Guru, bertongkat nampak?

[Sumber]

Tiada ulasan: