D'Perbatasan |
- Nik Aziz pertahan anggota Parlimen Teo
- BN serang MP Serdang guna isu ‘murahan’
- KEADILAN Parti Masa Depan Beri Ruang Kepada Pemimpin Muda Srikandi
- Doa Untuk Guan Eng Dan Teo Di Surau Ada Hikmahnya!
- Teo akan perjelas kepada Sultan Selangor
- Umno tentang Majlis Fatwa
- DAP: Utusan, Umno politikkan 'tazkirah' Teo
- Isu Surau - Jadikan Satu Pengajaran
| Nik Aziz pertahan anggota Parlimen Teo Posted: 28 Aug 2010 07:02 AM PDT Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempertahankan tindakan anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas. Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam. "Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam," kata Nik Aziz (gambar) kepada pemberita, di sini hari ini.Beliau diminta mengulas tindakan Anggota Parlimen DAP itu yang menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat utama surau terbabit. Tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut. Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad SAW baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenar tidur, makan dan minum. "Cuma apa yang dilihat (benda) itu sebagai pelik di zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama," katanya. Nik Abdul Aziz sebelum itu hadir berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 174 penghuni rumah anak yatim Puteri Harapan Taman Sabariah. Dari Bernama |
| BN serang MP Serdang guna isu ‘murahan’ Posted: 28 Aug 2010 04:56 AM PDT Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mendakwa Barisan Nasional (BN) mengamalkan dwistandard mengkritik Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching berhubung kunjungannya ke Surat Al-Huda di Kajang, Ahad lalu."(Sebenarnya) satu kebiasaan bagi pemimpin parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan, Sabah dan Sarawak untuk datang ke masjid dan memberikan ucapan," kata Salahuddin (gambar) hari ini. Oleh itu kata beliau, apabila pemimpin BN melakukannya ia tidak dijadikan isu. "Bagaimanapun apabila Pakatan Rakyat (PR) melakukan, ia dijadikan isu. Ini publisiti murahan bagi mereka," kata beliau lagi. Ahli Parlimen Kubang Kerian ini berkata serangan BN ke atas Teo menunjukkan perikatan itu semakin menjadi sebuah parti "rasis". "Mereka (BN) lebih rasis dan ektremis (sekarang)," katanya lagi sambil menambah, "tiada masalah dengan (tindakan Teo masuk ke surau)." Dalam satu kenyataan tengah hari tadi, Teo menjelaskan bahawa kehadirannya di Surau Al-Huda hanya bertujuan menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan negeri bagi memperbaiki pagar surau berkenaan dan berbuka puasa bersama anggota jawatankuasa serta jemaah surau. "Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberi sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor. "Saya kesal perkara ini telah menimbulkan perasaan resah antara umat Islam dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak tertentu atas sebab-sebab politik," kata beliau. Teo turut menegaskan bahawa lawatannya ke surau berkenaan tidak berniat politik dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan. Beliau turut menyambut baik pesanan dan nasihat daripada semua pihak mengenai perkara tersebut dan akan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa akan datang. Dari The Malaysian Insider |
| KEADILAN Parti Masa Depan Beri Ruang Kepada Pemimpin Muda Srikandi Posted: 28 Aug 2010 01:41 AM PDT Selain Siti Aishah, sayap baru Wanita KEADILAN itu juga mencalonkan tiga tokoh muda barisan untuk jawatan dalam kepimpinan Wanita Pusat. Dalam satu kenyataan media, Naib Ketua Srikandi II, Juwairiya Zulkifli berkata pemilihan parti kali ini bakal menyaksikan proses demokrasi tulen dilaksanakan dalam memilih kepimpinan parti yang buat kali pertama di lakukan oleh sebuah parti politik di Malaysia. "KEADILAN sebuah parti muda yang dianggotai dan dibarisi oleh ramai kepimpinan muda, meraikan kepimpinan baru yang berpotensi untuk memimpin parti ini ke arah Malaysia yang baru. "Srikandi sebagai sebuah sayap baru Wanita KEADILAN turut sama bergandingan dalam menyokong dan mengukuhkan parti dengan menyediakan pelapis kepimpinan muda parti. "Segala kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada Srikandi pastinya akan dipikul sebaik mungkin oleh pimpinan Srikandi yang ada. Srikandi akan menghadapi semua proses pemilihan dengan baik dan menjadikan ia sebagai satu pengalaman baru yang cukup ternilai," kata Juwairiya. Kata beliau, ruang dan peluang yang seluasnya dibuka oleh kepimpinan Wanita Pusat bagi melibatkan kepimpinan wanita muda di dalam menerajui Wanita KEADILAN wajar diberikan penghargaan dan ucapan terima kasih. Srikandi menyokong penuh kepimpinan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamarudin serta kepimpinan Wanita Pusat yang sentiasa memastikan suara dan pandangan kepimpinan wanita muda Srikandi diiktiraf dan diambil kira dalam usaha bersama mengukuhkan parti dan memperjuangkan hak rakyat. Juwairiya menambah Srikandi akan terus memastikan wanita muda diiktiraf dan dihargai oleh parti dengan tekad setia dan keazaman tulus kepada perjuangan parti. |
| Doa Untuk Guan Eng Dan Teo Di Surau Ada Hikmahnya! Posted: 28 Aug 2010 01:24 AM PDT Tujuan UMNO dan aparat-aparat UMNO khususnya Utusan Malaysia memainkan isu ini sudah tentu berniat jahat dan buruk, yakni untuk mengapi-apikan sentimen dan menimbulkan kemarahan dan ketegangan kaum. Daripadanya mereka cuba meraih keuntungan politik. Ini saling tidak tumpah dengan taktik yang dipelepori oleh UMNO sehingga menyebabkan tragedi berdarah 13 Mei. Saya percaya jika Najib yang menjadi Perdana Menteri dan bukannya Abdullah Badawi ketika BN hilang majoriti 2/3 semasa pilihanraya 2008, keadaan akan lebih kacau bilau dalam usaha beliau untuk menafikan kehendak rakyat dan memperkukuhkan kedudukan BN yang goyah. Ini yang sebenarnya sedang berlaku kini. Tetapi Alhamdulillah, taktik mereka tidak menjadi. Orang Melayu rata-rata (sekurang-kurangnya keluarga dan kenalan) saya dapati tidak mempunyai masalah apabila Lim Guan Eng didoakan agar mendapat hidayah. Dr. Asri dan Zaharuddin Abdul Rahman juga menulis panjang lebar mengenai keharusan perkara ini. Beberapa 'ulama' UMNO yang bersifat militan sudah tentu mencemuh dan mengecam tindakan itu. Padahal mereka tahu ada hujah-hujah yang membolehkan. Ada nas dan dalil yang nyata Rasulullah sendiri mendoakan orang bukan Islam mendapat hidayah. UMNO memilih untuk memendamkan dan memadamkan hujah yang membolehkan. Kerana Islam yang itu tidak memberikan mereka keuntungan. Pada mereka Islam yang diterima hanya yang menguntungkan mereka. Begitu juga mengenai tindakan surau di Kajang menjemput YB Teo untuk berucap di dalam dewan solat surau. Juak-juak UMNO sekali lagi cuba membakar sentimen. Apakah menjadi haram jika lawatan itu, ucapan itu adalah untuk kebaikan? Kenapa saya mengatakan insiden-insiden ini boleh menjadi rahmat? Selama ini UMNO cuba menggambarkan PAS sebagai bersifat militan, khususnya melalui propaganda jahat terhadap Tragedi Memali. Tetapi kini PAS ternyata mengambil sikap berlapang dada. PAS semakin bergerak ke pertengahan di dalam spektrum politik Malaysia. Sebaliknya UMNO yang semakin bergerak menjadi pelampau. Kesediaan pemimpin-pemimpin DAP untuk berdamping dengan masyarakat Islam juga adalah petanda baik terhadap toleransi antara kaum dan agama. Keadaan-keadaan ini akan menyediakan pemimpin-pemimpin PAS dan DAP untuk memimpin negara dan masyarakat yang majmuk. Mereka tidak lagi akan hanya memikirkan kepentingan kelompok yang diwakili mereka. Mereka tidak lagi perlu menjadi pelampau untuk memuaskan konstituensi mereka. Sebaliknya mereka akan berfikir untuk kepentingan rakyat secara keseluruhan. Dengan cara ini propaganda dan pembohongan bahawa Islam itu keras dan militan akan ditelanjangkan. Ciri sebenar Islam yang terbuka dan adil akan menjadi jelas. Pemimpin UMNO pula akan semakin menjadi pelampau dan militan. Akan ada kelompok yang menyokong sikap pelampau ini. Tetapi mereka adalah minoriti. Rakyat Malaysia akan mampu tangani mereka. Berdoalah. Berusahalah. Insya'ALLAH ada hikmahnya! Oleh Ahmad Zaki Yamani |
| Teo akan perjelas kepada Sultan Selangor Posted: 28 Aug 2010 01:08 AM PDT Beliau dalam satu kenyataan berkata kehadirannya menghulur bantuan ke surau tersebut adalah ikhlas dan bukan berkepentingan politik. "Saya menyesal bahawa perkara ini telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara kita dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak-pihak tertentu atas sebab-sebab politik. "Saya ingin menegaskan secara ikhlas dan murni bahawa lawatan saya ke Surau Al-Huda tidak berniat politik, dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan," katanya. Menurutnya lagi, setelah menyampaikan sumbangan untuk memperbaiki pagar surau, beliau telah dijemput berucap pada majlis tersebut. "Saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor," jelasnya. Ekoran isu tersebut telah dipolitikkan, beliau sedia mengambil langkah lebih berhati-hati agar perkara sama tidak berulang. Beliau juga akan akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, mengenai perkara tersebut. "Saya menyambut baik pesanan, peringatan dan nasihat dari semua pihak mengenai perkara tersebut, dan akan dengan segala upaya, menjalankan tugas saya dengan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa yang akan datang," katanya. |
| Posted: 28 Aug 2010 12:53 AM PDT Tindakan Umno mengapi-apikan isu bukan Islam memasuki Masjid dilihat menentang keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.Beliau mengulas laporan muka depan Utusan, mempolitikkan kunjungan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu. Muzakarah Kali Ke-90 jawatankuasa tersebut yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, mengikut keputusan itu, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang. "Nyatalah histeria Umno dan konco-konconya itu memalukan umat Islam dengan tindakan mereka yang bukan-bukan sehingga perkara yang diputuskan halal pun diharamkan oleh mereka," kata Mahfuz. Keharusan tersebut juga sebagai cara menunjukkan keindahan Islam kepada bukan Islam. Umat Islam juga dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. "Umat Islam janganlah mengizinkan diri mereka diperbodohkan oleh politik perkauman Umno," jelasnya. Dalam pada itu Teo Nie Ching menjelaskan beliau hanya mahu menyampaikan sumbangannya bagi memperbaiki pagar seperti yang diminta oleh pihak pengurusan surau tersebut. Mengenai tindakan memasuki ruang solat utama di surau itu, Teo berkata, beliau hanya memenuhi jemputan. "Pada hari tersebut mereka menjemput saya masuk. "Saya tidak dinasihatkan oleh (pengurusan) surau untuk memakai tudung. Saya (pun pada mulanya) tidak menyangka saya boleh masuk surau itu," jelasnya. |
| DAP: Utusan, Umno politikkan 'tazkirah' Teo Posted: 27 Aug 2010 08:33 PM PDT DAP hari ini melahirkan rasa kesal dengan tindakan akhbar Utusan Malaysia dan Umno mempolitik lawatan dan sumbangan derma ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching di Surau Al-Huda, Kajang Sentral , Kajang pada Ahad lalu.Pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah dalam satu kenyataan membidas tindakan pihak berkenaan yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab serta cuba merosakan keharmonian masyarakat berbilang kaum negara ini. "Beliau melawat ke surau tersebut dengan hati yang penuh ikhlas sempena bulan Ramandan yang suci. Sebagai seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab, beliau perlu membantu semua lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama," katanya. Malangnya, menurut exco Selangor itu, niat ikhlas ahli parlimen muda berkenaan telah dipermainkan dan dijadikan sebagai satu isu politik dan perkauman dengan niat jahat. Sehubungan itu, Ean Yong (gambar kanan) menggesa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) supaya membuat siasatan dengan lebih terperinci sebelum mengambil tindakan kepada mana-mana pihak. Dalam reaksinya semalam, Mais mengumumkan bahawa pengurusan surau itu telah diambil-alih pihaknya dan surat amaran juga telah dikeluarkan kepada Teo."Saya juga berasa kesal atas tindakan Mais yang mengeluarkan amaran kepada Teo Nie Ching, ahli parlimen Serdang dan mengantung jawatankuasa Surau Al-Huda dengan serta-merta kerana Teo telah berucap di surau tersebut dua hari yang lalu. "Saya dimaklumkan oleh Teo bahawa beliau telah memberi sumbangan sebanyak RM 1000 kepada jawatankuasa surau dan dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata. Menurut Ean Yong sebagai tetamu, Teo akur dengan permintaan berkenaan dan hanya menerangkan maklumat tentang skim bantuan pinjaman pengajian tinggi yang boleh dimohon oleh anak-anak negeri Selangor. "Beliau tidak menyentuh apa-apa isu politik dalam ucapan ringkas beliau," katanya. Sementara itu, Malaysiakini juga dihujani oleh panggilan telefon dan email oleh pembaca yang kurang senang dengan akhbar dan parti politik yang didakwa sengaja memainkan sentimen perkauman. Kata mereka, penggunaan perkataan 'tazkirah' bukan sahaja tidak tepat tetapi cuba menyemarakkan rasa marah orang Islam kepada bukan Islam. Seorang daripada mereka - Azrul Abdullah, malah menyiarkan pautan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim ) mengenai fatwa 'hukum pelancong bukan Islam memasuki masjid dan ruang solat utama di dalam masjid.'Berikut petikan fatwa berkenaan: "Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang." Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, petang semalam, mahu Majlis Agama Islam Selangor bertindak jika lawatan Teo dianggap sebagai bertentangan dengan peraturan, mencemar Islam dan sebagainya. |
| Isu Surau - Jadikan Satu Pengajaran Posted: 27 Aug 2010 08:26 PM PDT APA yang berlaku di sebuah madrasah di Kajang nampaknya menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor. Kehadiran MP Serdang Teo Nie Ching di madrasah berkenaan serta memberikan ucapan di dalam ruang ibadat madrasah tersebut menjadi punca kemurkaan Sultan. Berlanjutan peristiwa itu MAIS telah diarahkan untuk mengambil alih madrasah berkenaan. Saya juga menjadi pelik dan hairan mengapa peristiwa ini boleh berlaku. Mengapa pihak pengurusan madrasah tersebut tidak sensitif dengan hal-hal sebegini. Memang tidak salah jika mana-mana Non Muslim mengunjungi tempat ibadah kita apatah lagi berniat untuk memberikan bantuan, tetapi mereka juga mempunyai batas-batas tertentu dengan adab-adab yang perlu mereka hormati. Sekiranya MP Serdang yang berniat baik untuk hadir memberikan bantuan atau nasihat, adalah lebih baik dan sesuai acara itu diadakan di perkarangan madrasah dan bukannya di dalam madrasah. Apatah lagi di dalam situasi sekarang, di mana terdapat pihak-pihak yang sentiasa ingin mencari isu perkauman untuk kepentingan politik mereka. Oleh yang demikian, tindakan kita menimbulkan fitnah ini tentulah satu tindakan yang tidak bijak samasekali. Kita tidak boleh menyalahkan MP Serdang yang tidak tahu batas-batas dan adab rumah ibadah kita. Menjadi tanggungjawab kita terutamanya pihak pengurusan rumah ibadah untuk memaklumkan kepadanya. Saya percaya MP berkenaan akan akur dengan nasihat yang kita berikan kepadanya. Adalah diharapkan peristiwa ini akan menjadi pengajaran kepada semua. Sesiapa pun samada perseorangan atau pemimpin yang Non Muslim boleh berkunjung ke rumah ibadah kita dengan tujuan yang baik tetapi tentukan adab kesucian rumah ibadah ini dipelihara. Oleh: WFAUZDIN NS |
| You are subscribed to email updates from D'Perbatasan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
.jpg)






Tiada ulasan:
Catat Ulasan