Sabtu, 14 Ogos 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Sidang DUN tolak soalan kontraktor buat kerja secara haram

Posted: 14 Aug 2010 03:58 AM PDT

BULETIN ONLINE

KUALA NERUS
- Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak mendakwa, cara gaya kerajaan Umno dan Barisan Nasional Terengganu melaksanakan pembangunan negeri ini seolah-seolah 'macam orang' mengigau.

Beliau berkata demikian ketika memberikan respon ke atas perjalanan Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu yang telah diadakan pada 8 dan 9 Ogos yang lalu.

Menurutnya, satu soalan lisan penting yang dikemukannya telah ditolak oleh kerajaan negeri tanpa sebarang alasan yang kukuh.

"Soalan saya (ada) 6, satu ditolak (iaitu) hari pertama (Sidang DUN) soalan no. 1, soalan berkenaan jalan Jeram ke Banggol Tuan Muda,

"(ditolak) bawah fasa 26..., biasalah, tidak ada sebab yang diberikan khusus,"katanya ketika ditemubual oleh Buletinonline Khamis, 12 Ogos

Menurutnya masalah asas 'jajaran jalan' yang sedang dalam pembinaan dari Jeram ke Banggol Tuan Muda belum diluluskan oleh pihak pejabat tanah.

Katanya, penduduk kampung telah mencadangkan jajaran alternatif yang dapat mengelakkan dari rumah-rumah orang kampung terlibat dengan pembinaan tersebut.

Namun begitu, kontraktor berkenaan telah masuk dan melaksanakan kerja-kerja berkaitan, atas kepentingan pihak Jawatankuasa kesleamatan dan kemajuan Kampung (JKKK) dan YB setempat.

"jajaran yang dimasukki oleh kontraktor itu belum diluluskan oleh pejabat tanah, orang kampung memberikan alternnatif jajaran lain, yang tidak kena rumah orang kampung sebuah pun, jajaran yang dimasukki oleh kontraktor sekarang ni kena 21 buah rumah (orang kampung).

"Saya difahamkan kerana ada kepentingan pihak JKKK dan pihak Dato' Rahim sendiri yang berkeras juga (dengan jajaran tersebut),"jelasnya.

Menurutnya, pihak pejabat tanah, kerajaan dan pihak berkuasa tidak pernah berunding dengan penduduk kampung berkaitan berkenaan jajaran tersebut tapi kontraktor telah masuk melaksanakan kerja.

Beliau yang juga Timbalan Yang DiPertua PAS Kuala Nerus berkata sehingga kini tidak ada sebarang pampasan yang dibayar kepada penduduk kampung terbabit.

Oleh itu katanya, kontraktor telah masuk dan melaksanakan kerja secara haram.

"Kerajaan dan pihak berkuasa tidak pernah pun berunding dengan penduduk tempatan, tapi kontraktor telah buat kerja dia,

"tidak ada apa-apa bayaran pampasan pun diterima oleh pihak penduduk yang terlibat dengan pembinaan jalan itu,

"seolah-seolah macam masuk secara haram, tanah yang sah ada geran bukan tanah TOL, masuk tanpa ada sessuatu kebenaran,"tegasnya.

Justeru katanya, rakyat bukan menolak pembangunan dan tidak setuju pembinaan jalan, tetapi cuba elak dari terkena tanah orang kampung dan rumah-rumah orang Melayu.

Jalan sepanjang tujuh kilometer yang menghubungkan Banggol Tuan Muda melalui Kampung Jeram dan Bukit Guntung itu melibatkan peruntukan kira-kira RM 225,992,000.00

Pembinaan jalan ini menjadi isu sensasi kerana tender pembinaan jalan yang dibiayai dana khas kerajaan persekutuan itu dianugerahkan kepada M.Z.Hakujaya syarikat milik Ketua Pemuda Umno Terengganu pada 12 November, 2009.

Yang amat menghairankan, Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said pernah melakukan lawatan ke projek tersebut pada 16 Mac, (Gambar) lalu bersama rombongannya termasuk Pegawai Daerah dan Datuk Bandar Kuala Terengganu.

Tanah RPT Gopeng: Pemimpin Umno disiasat

Posted: 14 Aug 2010 03:56 AM PDT

Salhan K Ahmad

Sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk pemimpin Umno bahagian Gopeng disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu membabitkan pembahagian tanah untuk satu projek kampung tersusun.

Semua individu berkenaan dipanggil untuk siasatan pada bulan Mei lalu, menurut satu sumber daripada akar umbi Umno di situ.

B
eliau yang tidak ingin dikenali bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada apa-apa tindakan dikenakan ke atas pemimpin itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan yang dibuat oleh ADUN Teja Chang Lih Kang kepada SPRM semalam.

Dalam laporan tersebut Chang mendakwa seorang pemimpin kanan Umno bahagian itu menerima sepuluh lot yang ditetapkan untuk pembangunan Rancangan Kampung Tersusun (RPT).

Laporan itu juga mendakwa, pemimpin tertinggi bahagian berkenaan juga merupakan seorang daripada pemegang saham dalam sebuah syarikat yang turut menerima tanah seluas 50 ekar tanah untuk RPT.

Fail diambil

Dalam pada itu, seorang penolong pegawai daerah Kampar Nur Ashqrun Samsuri mengesahkan bahawa SPRM telah mengambil fail untuk pembangunan RPT tersebut sejak Januari lalu.

Nur Ashqrun Samsuri dari unit pembangunan tanah dan pelupusan berkata, tanah berkenaan telah diluluskan untuk RPT namun status projek itu setakat ini masih tergantung.

Jelasnya, Pejabat Tanah dan Daerah Kampar hanya boleh mengeluarkan surat tawaran kepada penduduk kampung yang layak menerima RPT selepas SPRM memulangkan fail berkenaan.

"Kita tidak boleh proses sebab semua fail tersebut berada di tangan SPRM," katanya lagi.

T

ambahnya, SPRM bertindak mengambil fail bagi RPT tersebut daripada pejabat tanah tersebut selepas senarai nama bagi seramai kira-kira 100 orang penerima lot tanah berkenaan dipamerkan.

"Bila kita pamerkan nama penerima yang layak, ramai yang tidak puas hati apabila ada orang yang tidak dapat, tapi ada orang tertentu pula yang dapat," katanya lagi.

Beliau juga tidak dapat mengganggarkan keluasan sebenar bagi kawasan tanah berkenaan memandangkan ia tidak termasuk kawasan setinggan di kawasan tersebut.

"Sepatutnya penduduk setinggan di situ secara automatik mendapat lot RPT," katanya lagi.

Mengulas mengenai dakwaan tanah RPT yang diperolehi oleh sebuah syarikat itu, Nur Ashqrun berkata beliau perlu meneliti terlebih dahulu sama ada tanah tersebut pada asalnya milik invidu atau sememangnya milik kerajaan negeri.

"Kalau milik individu, pemilik memang boleh serahkan kepada sesiapa yang dia suka, tapi bergantung kepada sekatan-sekatan.

"Tapi kalau tanah milik kerajaan, ia ditadbir oleh pejabat tanah," katanya.

Jelasnya, kelulusan untuk menyerahkan tanah tersebut kepada mana-mana individu perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Pemilihan Tanah yang dipengerusikan menteri besar.

Bakun tegangkan Putrajaya-S'wak

Posted: 14 Aug 2010 03:50 AM PDT

Kuek Ser Kuang Keng

Ramai yang menarik nafas lega apabila diumumkan bahawa projek terbesar dan paling kontroversi di Malaysia - empangan Bakun - selepas pembinaan selama 16 tahun - akhirnya akan siap sepenuhnya Disember ini.

Bagaimanapun, masalah yang membelenggui empangan konkrit kedua terbesar di dunia itu masih jauh daripada selesai.

Sebaliknya, kemelut itu dilihat mencetuskan ketegangan antara kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan persekutuan dalam rundingan tarif elektrik yang bakal dikenakan.

Sesetengah pihak pihak bimbang kerajaan negeri akan menggunakan kuasanya ke atas empangan itu bagi menuntut tarif yang lebih rendah.

Tetapi Sarawak Hidro Bhd milik kementerian kewangan - pemilik penuh empangan itu - mengetepikan spekulasi itu.

Jalan buntu

Menurut laporan media, rundingan pembelian tenaga elektrik antara Sarawak Hidro dan syarikat tenaga yang dimiliki kerajaan Sarawak Energy Berhad telah menemui jalan buntu.

Sarawak Energy dikatakan cuba mendapatkan tarif yang lebih murah dalam lingkungan antara enam tujuh sen bagi setiap kWh - jumlah yang lebih rendah berbanding kadar 10 hingga 15 sen per kWh yang dituntut oleh Sarawak Hidro bagi menampung perbelanjaan kos projek empangan itu yang telah berlebihan.

Turut mengintai tarif yang rendah itu adalah dua syarikat melebur logam kerana industri mereka menggunakan tenaga eletrik yang tinggi.

Syarikat berkenaan adalah Sarawak Aluminium Company - syarikat erjasama antara Cahaya Mata Sarawak Berhad (CMS) dengan syarikat Australia Rio Tinto Aluminium - dan Smelter Asia Sdn Bhd iaitu syarikat jerjasama antara GIIG Holdings Sdn Bhd dan Aluminium Corp of China Ltd.

Kedua-dua syarikat itu akan menjadi pembeli utama kuasa elektrik yang dihasilkan oleh empangan itu yang boleh menghasilkan sehingga 2,400MW.

Tarif lebih murah akan memastikan kos lebih rendah untuk syarikat tersebut dan menjamin keuntungan yang lebih.

Yang menariknya, CMS adalah konglomerat milik keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

'Duri dalam daging'

Manakala GIIG Holdings Sdn Bhd adalah syarikat yang dikuasai oleh jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang muncul sebagai usahawan terulung semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Satu lagi isu yang menjadi isu 'duri dalam daging' antara kerajaan negeri dan persekutuan membabitkan pemilikan Empangan Bakun.

Kerajaan negeri Sarawak ingin membeli empangan itu pada harga RM6 billion, tetapi Putrajaya pula menuntut RM8 billion sebelum mahu melepaskan hak itu.

Justeru, apabila Sarawak Hidro secara terbuka meminta kerajaan negeri mengisi air di empangan itu secepat mungkin bagi mengurangkan kos yang terus meningkat, spekulasi timbul yang Petrajaya menggunakan permit itu sebagai cip tawar-menawarnya berhubung harga tarif.

Menurut Sarawak Hidro, empangan itu telah memenuhi beberapa keperluan untuk ia dipenuhi dengan air sejak April tahun ini dan telah mengemukakan cadangannya kepada Kementerian Utiliti Awam Sarawak yang selaras dengan keputusan kerajaan negeri.

Petrajaya belum memberikan sebarang reaksi tetapi masa pula dilaporkan semakin suntuk untuk Putrajaya.

Bekas tahanan ISA: Bankrap bukan satu pilihan

Posted: 14 Aug 2010 03:48 AM PDT

Salhan K Ahmad & Regina Lee

Orang ramai yang mengikuti berita berhubung bekas tahanan ISA, Abdul Malek Hussin dan menganggapnya sebagai manusia paling malang di Malaysia tidak boleh persalahkan.

Nasib malangnya itu bermula pada akhir tahun 1998 apabila dia ditahan selama 57 mengikut ISA yang menafikannya sebarang hak untuk dibicarakan bagi mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

Sepanjang tahanan itu, Abdul Malek didera secara mental dan fizikal. Malah dia mendakwa pernah dipaksa minum air kencing -- dan kini dia terpaksa membayar RM70,00 kepada orang yang bertanggungjawab menderanya.

Bagaimanapun, Abdul Malek tetap tabah apabila pada Khamis lalu, Mahkamah Persekutuan mengenepikan permohonannya untuk mendapatkan gantirugi sebanyak RM2.5 juta yang dianugerahkannya oleh Mahkamah Tinggi pada 2007 kerana bersetuju dengan penghujahannya bahawa penahanannya itu adalah salah.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, selain menolak gantirugi itu, Abdul Malek juga diarahkan membayar RM20,000 sebagai kos kepada ketiga-tiga responden.

Sebelum ini, rayuannya kepada Mahkamah Rayuan pada Mac lalu juga ditolak dan dia diarahkan membayar RM50,000 sebagai kos litigasi.

Dalam menghadapi keputusan yang memungkinkannya jatuh bankrap, tanpa ruang pengadilan lanjut di mahkamah, kini Abdul Malek mungkin terpaksa meraih sumbangan orang ramai.

Abdul Malek yang bertugas sebagai pegawai penyelaras hal ehwal parlimen kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak suka idea 'menagih simpati' seperti itu, termasuk usaha mendapatkan bantuan daripada NGO.

N
amun, pada masa yang sama beliau juga tidak ingin melihat dirinya diisytiharkan bankrap kerana keadaan itu akan memaksanya kehilangan banyak peluang dan tanggungjawab dalam tugasnya.

Katanya, beliau akan berhubung dengan NGO hak asasi manusia Suaram dan mengadakan pertemuan dengan NGO tersebut pada Isnin ini untuk membincangkan tindakan seterusnya.

Mahkamah Persekutuan Khamis lalu menolak permohonan rayuan Abdul Malek yang hilang gantirugi RM2.5 juta setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan tuntutan samannya.

Mal
ah, Abdul Malek juga diperintahkan membayar RM20,000 kepada setiap responden dalam kes tersebut -- pegawai cawangan khas Borhan Daud, ketua polis negara pada ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Noor dan kepada kerajaan.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, Abdul Malek membidas keputusan penghakiman itu yang disifatkannya sebagai 'kejam'.

"Mereka tolak permohonan saya untuk merayu. Mereka langsung tidak mahu mendengar kes saya. Ini amat kejam. Sekurang-kurangnya bagi jalan dan dengarlah dulu.

"Saya fikir badan kehakiman sebenarnya takut," dakwanya.

"Bdan kehakiman sepatutnya menjadi benteng kepada rakyat untuk mencari keadilan. Tujuan rakyat ke mahkamah hanyalah semata-mata untuk mencari keadilan. Di negara ini, badan kehakiman menyokong rejim kuku besi. Habislah.

"(Mahkamah) telah gagal dalam tanggungjawab mereka menegakkan keadilan dalam mempertahankan hak asasi manusia dan menentang pemerintahan kuku besi," katanya.

Saman Felda: Peneroka diminta RM50 bukan RM500

Posted: 14 Aug 2010 03:45 AM PDT

Abdul Rahim Sabri

Pengerusi Felda, Tan Sri Yusuf Nor diingatkan supaya tidak sebarangan memfitnah dan mengeluarkan kenyataan palsu berhubung tindakan lebih 700 peneroka Felda di Negeri Sembilan yang menfailkan saman RM200 juta ke atas agensi kerajaan itu.

"Beliau (Yusuf Nor) patut berhati-hati mengeluarkan kenyataan palsu macam ini.

"Kenyataan supaya membayar RM500 adalah satu fitnah dan satu kenyataan palsu," kata peguam Sivarasa Rasiah yang mewakili kumpulan peneroka itu pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Sivarasa yang juga adalah naib presiden PKR, 766 peneroka daripada Felda Serting dan Gugusan Raja Alias, berdekatan Jempol, Negeri Sembilan itu hanya diminta menyumbang bayaran RM50 seorang bagi memulakan saman tersebut sehingga kes dibawa ke mahkamah tinggi.

Katanya, dakwaan Yusuf (kiri, tengah) bahawa peneroka diminta yuran RM500 seorang itu sebagai berniat jahat dan jumlah RM500 itu adalah jumlah yang tidak munasabah.

Sehubungan itu, Sivarasa menasihatkan Yusof supaya tidak mempolitikkan kes ini dan mengaitkannya dengan pembangkang.

Pada 9 Ogos lalu, kumpulan peneroka berkenaan memfailkan saman RM200 juta di Mahkamah Tinggi Seremban kerana mendakwa Felda terlibat dalam penipuan dan pecah amanah dalam jual-beli hasil kelapa sawit.

Mereka menamakan Felda dan Felda Palm Sdn Bhd masing-masing sebagai defenden pertama dan kedua.

Da
lam tuntutanya itu, mereka mendakwa "wujud penipuan dan/atau konspirasi untuk melakukan penipuan dalam urusan jual beli dan hasil buah sawit" selama 15 tahun.

Menurut Sivarasa, dalam pembayaran kadar perahan gred kelapa sawit Felda didakwa menggunapakai 18.9 peratus sedangkan nilai sebenar didakwa antara 24 hingga 25 peratus - seperti kajian Lembaga Kelapa Sawit Malaysia.

Katanya, pihaknya mempunyai dokumen bagi membuktikan bahawa pada tahun 2008 sahaja, setiap peneroka kerugian RM20,000 ekoran kadar itu.

"Ini bermakna selama 15 tahun, Felda menyebabkan semua 766 peneroka ini kerugian sebanyak RM200 juta," kata Sivarasa.

Yu
sof pula pada sidang medianya dua hari lalu mendakwa tindakan sama itu didalangi kumpulan tertentu "supaya peneroka mendengar cakap mereka".

Katanya lagi, beliau difahamkan bahawa peneroka dikenakan bayaran tidak kurang RM500 bagi proses memfailkan saman itu.

"Saya minta peneroka berhati-hati apabila seseorang mengambil inisiatif untuk menyaman Felda dan meminta bayaran. Saya difahamkan bayaran itu tidak boleh dipulangkan.

"Saya menyeru kepada peneroka supaya jangan terpengaruh dengan perbuatan sedemikian, kerana mereka akan menjadi mangsa. RM500, bagi peneroka bukanlah (jumlah) yang kecil," katanya

Mengulas lanjut perkara itu, hari ini, Sivarasa berkata mengenai isu penipuan dan pecah amanah dalam jual-beli hasil kelapa sawit itu pernah dibangkitkannya sewaktu kempen pilihan raya kecil parlimen Huli Selangor sebelum timbulnya dakwaan Felda bankrap.

"Di Hulu Selangor saya bangkitkan apakah hak mereka (peneroka) mengikut kontrak dengan felda. Ia bermula lebih awal lagi," katanya bagi menjawab dakwaan peneroka dipengaruhi oleh kumpulan yang tertentu.

Suhakam: Bersatu jika mahu bubarkan ISA

Posted: 14 Aug 2010 03:41 AM PDT

Joseph Sipalan dan Richard Loo

Pengerusi baru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam membuat cabaran kepada semua rakyat Malaysia - jika tidak mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), maka bersatu menentangnya.

Diplomat negara yang telah bersara itu berkata Malaysia tanpa ISA adalah situasi yang ideal tetapi mengakui ia tidak semudah itu.

Hasmy, 66, berkata hak asasi akan hanya diletakkan di tempatnya yang sewajar di negara ini, apabila semua pihak, bermula daripada kanak-kanak sekolah sehingga pegawi penguatkuasa memahami hak masing-masing.

"Terpulang kepada rakyat Malaysia sama ada mereka mahu (atau tidak) mengekalkan ISA sekarang ini ataupun dalam bentuk yang lain," katanya pada wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, baru-baru ini.

Hasmy, seorang duta ketika pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata isu menghapuskan akta kuku besi - ISA itu tidak semudah seperti yang disangkakan.

Katanya, tindakan kerajaan untuk meminda beberapa perkara yang amat tidak disenangi rakyat tetap tidak akan disenangi kerana ia hanya berubah bentuk.

"Jika parti politik yang mahu ISA dikekalkan terus berkuasa, sama ada BN atau sebaliknya, ini kehendak rakyat; (ia sebahagian daripada) proses demokrasi.

"Saya kira jika sesuatu parti itu tidak menjuarai ISA, maka apabila mereka membentuk kerajaan - mereka mempunyai tanggungjawab bagi membubarkan akta itu," katanya.

Hasmy berkata beliau senada dengan pendirian Suhakam bahaaw undang-undang arbitrari seperti ISA tidak secocok dengan prinsip hak asasi manusia dan lebih cepat ia digugurkan, maka itu adalah lebih baik.

Bagaimanapun, Hasmy yang menganggap dirinya sebagai seorang idealis sedar bahawa ia tidak semudah itu dan menyedari Suhakam sentiasa berdepan dengan tentangan daripada kerajaan dan agensi penguatkuasaannya dalam menjalankan tugas. Malah beliau juga mengakui tidak mudah berdepan dengan kumpulan berkenaan.

"Ini telah menjadi isu sejak sekian lama. Suhakam telah dan akan terus mendesak agar ISA dibubarkan. Pendirian Suhakam jelas. Kami mahu ia dibubarkan. Bagaimana untuk kita lakukannya? Kita kena yakinkan kerajaan, pihak polis," katanya.

Hasmy berkata kerajaan dan polis mempunyai beberapa justifikasi bagi mengekalkan ISA kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan yang kompleks. Sebagai contoh, katanya, peristiwa berdarah 13 Mei 1969 seringkali dijadikan alasan supaya ISA terus dikekalkan.

Tegasnya, seringkali juga agensi penguatkuasaan tidak mematuhi peraturan dan menyalah-gunakan akta itu bagi menafikan hak kebebasan untuk berhimpun dan hak untuk diwakili bagi dibicarakan di mahkamah.

"ISA ini adalah tinggalkan sejarah. Dunia sudah berubah. Darurat sudah berakhir. Tidak ada lagi komunis. Mengapa ISA perlu dikekalkan?

"Kita boleh memperketatkan undang-undang lain bagi menjamin ketenteraman awam dan keamanan. Perketatkan undang-undang hasutan atau mungkin juga adakan akta anti-pengganas.

"ISA ini agak kejam dan kuku besi. Dan pasukan keselamatan serta pihak berkuasa hanya menggunakannya bagi memudahkan kerja mereka," kata Hasmy lagi.

Peguam: Felda tidak boleh saman Suara Keadilan

Posted: 14 Aug 2010 03:36 AM PDT

Abdul Rahim Sabri

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak boleh menyaman fitnah ke atas akhbar Suara Keadilan kerana agensi itu ditubuhkan dengan menggunakan dana rakyat.

"Soal yang timbul di sini adakah secara undang-undang, moral dan etika, Felda boleh membawa apa-apa tindakan undang-undang kepada rakyat yang mengeluarkan kritikan ke atas Felda.

"Felda adalah badan berkanun yang ditubuhkan dengan menggunakan wang rakyat. Felda ditubuhkan untuk memberi bantuan dan faedah kepada rakyat. Undang-undang adalah jelas, Felda tidak boleh saman fitnah (kepada Suara Keadilan).

"Prinsip undang-undang adalah jelas, apa-apa badan yang yang ditubuhkan dengan wang rakyat dan untuk kebaikan rakyat, tidak boleh mengeluarkan saman fitnah setiap kali dikritik oleh rakyat," katanya peguam yang dilantik oleh akhbar berkenaan, N Surendran.

Menurutnya, berdasarkan undang-undang lazim atau 'commom law' itu, yang diamalkan kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, kerajaan tempatan atau badan berkanun tidak boleh membuat saman fitnah ke atas rakyat.

Sehubungan itu, Surendren menasihatkan Felda agar mencari penasihat undang-undang yang bijak, membuat kajian serta tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak mempunyai asas undang-undang.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bagi mengulas bahawa Felda akan memfailkan saman terhadap lidah rasmi PKR itu pada "bila-bila masa".

Turut hadir pada sidang media itu adalah naib presiden PKR Sivarasa Rasiah, pengerusi biro Felda PKR Suhaimi Said dan bekas timbalan menteri tanah dan koperasi Datuk Tan Kee Kwong di ibu pejabat parti itu petang ini.

Mengulas lanjut, Surendren mendakwa selain badan berkanun, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri juga tidak dibenarkan menyaman rakyat.

"Jika perkara itu dibenarkan, maka hak rakyat untuk mengeluarkan kritikan terhadap kerajaan, institusi kerajaan dan badan berkanun, akan tergugat," katanya.

Menjawab soalan, Surendren berkata, pihaknya belum menerima writ saman daripada Felda sebaliknya hanya menerima notis tuntutan saman daripada agensi kerajaan itu pada 1 Julai lalu.

Mengulas dari sudut moral, Surendren berkata Felda ditubuhkan dengan menawarkan skim-skim tertentu bagi membantu peneroka, bukannnya "dipergunakan oleh segelintir orang untuk menghentam parti politik pembangkang".

"Itu bukan tujuan (penubuhan) Felda. Tujuan Felda adalah untuk membantu orang (peneroka) di luar bandar dengan skim-skim perladangan.

"Bagaimana sebuah badan berkanun, yang ditubuhkan untuk tujuan itu, menggunakan wang dan sebagainya untuk menyerang individu tertentu dan parti-parti politik. Langsung tidak masuk akal," katanya

Dalam sidang media yang sama, Suhaimi mendakwa tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan pemberian duit raya sebanyak RM350 dan RM150 masing-masing kepada peneroka bersama dan tidak bersama agensi itu adalah "satu perkara lama yang telah diamalkan oleh BN".

Beliau mendakwa duit yang diberikan itu adalah asalnya duit yang dikumpulkan oleh peneroka dan ia dikembalikan kepada mereka semula.

"Seolah-olah peneroka tidak tahu, bahawa duit itu adalah duit mereka sendiri," katanya.

Pesalah bakar gereja mangsa politik sempit Umno

Posted: 14 Aug 2010 03:31 AM PDT

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, sepatutnya para pemimpin Umno menanggung beban kesalahan dan dihukum akibat perbuatan membakar gereja Metro Tabernacle pada Januari lalu.

Mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas dua beradik yang didapati bersalah membakar gereja itu, Mahfuz menyifatkan mereka adalah mangsa penganiayaan politik perkauman sempit Umno.

"Hampir semua pihak sependapat bahawa kedua-duanya adalah mangsa hasutan Umno yang membakar api perkauman sempit dengan pelbagai provokasi ketika isu kalimah Allah dahulu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Menurut beliau, propaganda perkauman sempit Umno yang bertujuan hendak memperbodoh-bodohkan orang-orang Melayu supaya menyokongnya menyebabkan munculnya pelbagai pihak yang kononnya hendak menjadi jaguh membela kesucian Islam.

Akibatnya, kata Mahfuz, ada yang bertindak berdasarkan emosi yang dibakar api perkauman Umno sehingga melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang.

"Akibat hasutan Umno itu, mungkin kedua-dua beradik yang menjadi mangsa hasutan Umno itu berpendapat bahawa Islam boleh dipertahankan dengan membakar gereja.

"Sedangkan sejarah membuktikan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat tidak pernah merobohkan, apa lagi membakar gereja," katanya.

Mahfuz juga menyalahkan media-media arus perdana pro-Umno yang menghasut api perkauman sempit secara terang-terangan terutama dalam isu kalimah Allah.

"Lebih dari semuanya, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) adalah individu yang paling bersalah kerana dilihat memberi dorongan kepada mereka yang hendak melakukan provokasi berikutan isu kalimah Allah apabila beliau berkata kerajaan tidak akan menghalang para penunjuk perasaan jika mereka mahu berhimpun di sekitar kawasan masjid selagi ia di dalam lingkungan batas kawasan itu.

"Malah, kenyataan Najib yang memaksa rakyat berhenti menuding jari dan menuduh kononnya Umno terbabit dalam insiden membakar gereja juga menguatkan lagi keyakinan umum bahawa provokasi Umnolah yang menyebabkan perkara itu berlaku," katanya.

Mahfuz juga yakin insiden pembakaran gereka dan pelbagai tindakan provokatif yang lain ketika itu boleh dihalang jika polis bertindak pantas ke atas para pemimpin dan media Umno yang melakukan pelbagai provokasi perkauman sempit itu.

"Amat malang, Umno terlepas ketika mangsa hasutan perkauman Umno dijatuhkan hukuman penjara," katanya.

Bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan kontroversi mengenai penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald The Catholic Weekly kelihatan "lebih kepada sentimen perkauman berbanding agama".

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, dan adiknya Raja Mohamad Izham, 22 setelah didapati bersalah membakar gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati.

Penduduk pangsapuri terbakar diberi bantuan

Posted: 13 Aug 2010 07:05 PM PDT


SELANGOR KINI

PELABUHAN KLANG – Beberapa unit pangsapuri Pandamaran Jaya milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang terlibat dalam satu kebakaran dekat sini Selasa lalu bakal dibaik pulih Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri tidak lama lagi.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar ditemui memberitahu perkara ini diputuskan dalam Mesyuarat Exco Selangor Rabu lalu. Kerajaan negeri bersetuju meluluskan RM100,000 dana kecemasan untuk menanggung kos baik pulih bumbung dan unit pangsapuri terbabit yang musnah teruk.

Katanya kerja-kerja baik pulih dianggarkan memakan masa kira-kira sebulan dan ia hanya boleh dilaksanakan selepas laporan punca kebakaran dan kerugian dikeluarkan oleh pihak bomba dalam masa terdekat.

"Ini satu tragedi yang kita tidak boleh elakkan, saya diberitahu Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terlibat dengan kebakaran ini ialah 16 keluarga tetapi daripada jumlah itu 5 sahaja orang Malaysia, yang lain semua orang asing, jadi warga asing itu penjagaan mereka akan diambil oleh majikan mereka tetapi warga tempatan terbabit kita akan bagi mereka duduk dalam Ahli Majlis Perbandaran Klang sementara kita akan baik pulih rumah di sana".

Beliau berkata demikian kepada krew Tv Selangor yang ditemui ketika melawat kira-kira 35 keluarga pangsapuri PKNS yang ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya dekat sini .

Sementara itu mangsa terbabit memberitahu banyak pihak tampil menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), MPK dan Jabatan Kesihatan.

Bagi menjamin keselamatan harta benda mangsa kebakaran, Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dengan kerjasama pihak polis ditugaskan mengawal dan menjaga kawasan kejadian sepanjang 24 jam sejak Selasa lalu.

Hobi pelik: cium coli, seluar dalam wanita yang sudah dipakai

Posted: 13 Aug 2010 07:01 PM PDT

WARKAH DAILY

KULIM: Gerak-geri mencurigakan seorang lelaki yang sering berlegar di kawasan perumahan di sekitar Taman Teknologi Tinggi Kulim, dengan membawa sebuah beg pakaian sejak beberapa minggu lalu, terjawab apabila dia dicekup orang ramai ketika menceroboh rumah didiami penuntut wanita kerana mencuri seluar dalam wanita dan coli, Khamis lalu.

(Kanan: gambar hiasan)

Lelaki berusia 36 tahun dan sudah berumah tangga itu mengakui memiliki hobi pelik iaitu menghidu seluar dalam wanita yang sudah dipakai yang dicurinya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata lelaki terbabit ditahan orang ramai kira-kira jam 1 pagi selepas tindakannya menceroboh rumah sewa sekumpulan penuntut perempuan itu disedari jiran.

"Seorang jiran yang kebetulan berada di dapur rumahnya ternampak kelibat seorang lelaki mencurigakan masuk ke kawasan rumah penuntut itu sebelum dia menghubungi jiran lain.

"Selepas melakukan pemerhatian selama beberapa minit, suspek kemudian dilihat mencuri beberapa helai pakaian dalam wanita sebelum penduduk di kawasan itu menyergah," katanya ketika ditemui selepas Program Dialog Ketua Polis Kedah Bersama Penduduk Kampung Sedim di kawasan rekreasi Sungai Sedim, dekat sini, semalam.

Hadir sama Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan. Ghuzlan berkata, suspek yang terkejut cuba melarikan diri, namun gagal apabila dicekup penduduk yang sudah mengepungnya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata lelaki terbabit ditahan orang ramai kira-kira jam 1 pagi selepas tindakannya menceroboh rumah sewa sekumpulan penuntut perempuan itu disedari jiran.

"Seorang jiran yang kebetulan berada di dapur rumahnya ternampak kelibat seorang lelaki mencurigakan masuk ke kawasan rumah penuntut itu sebelum dia menghubungi jiran lain.

"Selepas melakukan pemerhatian selama beberapa minit, suspek kemudian dilihat mencuri beberapa helai pakaian dalam wanita sebelum penduduk di kawasan itu menyergah," katanya ketika ditemui selepas Program Dialog Ketua Polis Kedah Bersama Penduduk Kampung Sedim di kawasan rekreasi Sungai Sedim, dekat sini, semalam.

Hadir sama Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan. Ghuzlan berkata, suspek yang terkejut cuba melarikan diri, namun gagal apabila dicekup penduduk yang sudah mengepungnya.

Ketika ditahan, penduduk menemui beberapa seluar dalam wanita dan coli di dalam beg dan poket suspek sebelum diserahkan kepada polis. "Hasil soal siasat suspek mendakwa dia mencuri seluar dalam wanita dan coli yang belum dibasuh itu semata-mata mahu menghidunya. "Dia mengaku dengan tabiat peliknya itu dan selain rakyat tempatan, dia juga mencuri pakaian dalam milik wanita warga asing," katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. -HMetro

Jam terbesar di dunia berdetik di Mekah

Posted: 13 Aug 2010 06:59 PM PDT

MAKKAH: Umat Islam di seluruh dunia tidak lama lagi boleh menetapkan semula jam mereka berdasarkan waktu baru apabila jam terbesar di dunia mula berdetik di kota suci Makkah.

Arab Saudi berharap jam baru itu, yang terletak di atas bangunan Royal Mecca Clock Tower Hotel, yang bakal menjadi bangunan kedua paling tinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai, akan menjadikan Makkah piawaian waktu alternatif kepada Waktu Meridian Greenwich (GMT) di London.

Bangunan itu terletak berdekatan dengan Masjidil Haram. Jam itu akan diuji selama tiga bulan bermula Ramadhan.

Jam raksasa itu dijangka memulakan tempoh percubaannya hari ini, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Dengan setiap satu daripada empat mukanya selebar 46 meter dan dibuat daripada jubin bersalut emas, jam itu berada lebih 400 meter dari permukaan bumi.

Saiznya enam kali lebih besar daripada jam Big Ben di London. Jam yang direka jurutera dari Jerman dan Switzerland ini boleh dilihat dari jarak lebih 25 kilometer.

Menara jam itu akan mencapai ketinggian 601 meter, kata SPA.

Dengan itu ia bakal menjadi bangunan kedua paling tinggi di dunia, mengatasi bangunan Taipei 101, setinggi 509 meter, di Taipei, ibu kota Taiwan, tetapi diatasi Menara Burj Khalifa, setinggi 828 meter, di Dubai, yang dirasmi Januari lalu.

MAS setuju pelan pembangunan Kampung Baru MB Selangor

Posted: 13 Aug 2010 06:58 PM PDT

Setiausaha Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi bersetuju dengan cadangan pelan alternatif pembangunan Kampung Baru oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, baru-baru ini.

Beliau berkata, kesediaan Khalid yang tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin diharapkan dapat memberi kebaikan kepada penduduk Melayu dan pembangunan Kampung Baru.

"Kedua-dua pihak itu memberikan cadangan yang baik untuk pembangunan Kampung Baru dan dilihat pemimpin pada masa kini lebih terbuka serta peka untuk berbincang bersama penduduk terlebih dahulu sebelum melaksanakan pembangunan.

"Cadangan Khalid baik dan dilihat beliau berusaha memartabatkan dan mengiktiraf kedudukan MAS dalam pembangunan Kampung Baru. Ini kerana MAS banyak memberikan sumbangan kepada penduduk sejak ia ditubuhkan hampir 110 tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Pelan Pembangunan Kampung Baru dibentangkan Abdul Khalid, baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya mengharapkan MAS diberikan peluang untuk berfungsi dalam pelan pembangunan Kampung Baru akan datang kerana selama ini, MAS memberikan kerjasama kepada menteri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penduduk.

Sementara itu, Kabinet meluluskan cadangan untuk menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang akan bertanggungjawab untuk melaksana dan menyelia pelan pembangunan semula di kawasan itu.

Shamsuri berkata, beliau ingin tahu di mana akan diletakkan MAS dalam Perbadanan itu.

Terdahulu, Kerajaan Selangor mencadangkan penubuhan Kampung Baru Land Trust (KBLT) sebagai pelan alternatif pembangunan Kampung Baru, di mana tanah akan ditukar kepada unit saham tanpa mengira lokasi tanah.

Setiap pemilik tanah akan mendapat dua jenis saham menerusi tabung tersebut iaitu A yang membenarkan pemilik menjual tanah kepada orang Melayu dan Bumiputera, sementara B dinilai mengikut potensi pendapatan daripada ruang penyewaan hasil pembangunan dirancang. -SH

Harga bawang putih naik: Kerajaan tidak boleh kawal - Menteri

Posted: 13 Aug 2010 06:52 PM PDT

WARKAH DAILY

Kenaikan harga bawang putih di pasaran tempatan kini, adalah sesuatu yang tidak boleh dielak dan dikawal oleh kerajaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata peniaga tempatan terpaksa menaikkan harga bawang putih kerana mereka telah mengimport bahan makanan itu dari China dengan harga yang tinggi.

"Harga bawang putih naik kerana ia diimport dari China. Keadaan cuaca di China telah menjejaskan pengeluaran bawang putih di negara berkenaan.

"Sebagai pengimport, kita (peniaga tempatan) membelinya dengan harga yang tinggi dari China dan mereka tiada pilihan selain terpaksa menjualnya dengan harga yang tinggi," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Bazar Ramadan di Presint 2, Putrajaya semalam.

Change the way you do business with Microsoft BPOS
Ismail Sabri berkata Malaysia bergantung kepada China untuk mendapatkan bawang putih kerana negara berkenaan merupakan pengeluar terbesar bahan makanan tersebut.

Katanya kerajaan tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa bagi mendapatkan bekalan bawang putih dari negara lain kerana ia membabitkan kontrak jangka panjang antara pengimport dan pengeluar bahan makanan itu.

Hari ini, harga runcit bagi satu kilogram bawang putih sekarang hampir RM10 disebabkan bekalan yang terhad berikutan banjir di China.

Sesetengah bawang putih bergred tinggi dilaporkan berharga lebih daripada RM10 dan harga itu berbeza mengikut lokasi.

Harga borong bagi bawang putih yang biasanya antara RM3 dan RM3.50 sekilogram melonjak kepada RM8.50 sekilogram.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata daripada tinjauannya hari ini dan di Seksyen 17 Petaling Jaya semalam, harga bahan makanan dan minuman di bazar Ramadan adalah sama seperti tahun lepas, walaupun harga gula naik 25 sen sekilogram, bulan lepas.

"Sebelum ini, rakyat menyuarakan kebimbangan harga bahan makanan dan minuman yang berasaskan gula akan naik tetapi daripada laporan yang saya terima dari pengarah-pengarah negeri juga menyatakan harga bahan makanan dan minuman masih kekal seperti tahun lepas," katanya.

Beliau berkata harga ayam di Putrajaya juga masih berpatutan walaupun di beberapa tempat harga bahan bekalan itu agak tinggi kerana peniaga di sini, berpendapat mereka masih boleh mendapat untung jika menjualnya dalam kuantiti yang banyak.

Ditanya mengenai terdapat peniaga Melayu menjadi mangsa pengusaha-pengusaha pusat beli-belah bertaraf lima bintang yang mengenakan kadar sewa yang tinggi sehingga menyebabkan mereka terpaksa menutup premis masing-masing, Ismail Sabri berkata setakat ini beliau belum mendapat laporan berhubung perkara itu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peniaga-peniaga terbabit supaya membuat laporan kepada kementeriannya dan beliau akan membangkitkan perkara itu walaupun ia bukan di bawah bidang kuasa pihaknya.

"Kalau mereka kemukakan laporan, saya akan sampaikannya kepada pihak-pihak berkaitan," katanya. -Bernama

10,000 helai kertas siasatan polis hilang, dijual bahan kitar semula

Posted: 13 Aug 2010 06:49 PM PDT

THE MALYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Selepas negara dikejutkan dengan pendedahan enjin jet TUDM dicuri dan dijual sebagai barang lusuh, polis Gombak kehilangan kira-kira 10,000 keping kertas siasatan yang dijual kepada kilang kitar minggu lalu.

Sehubungan itu, polis menahan lapan lelaki termasuk empat buruh binaan warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes kehilangan kertas siasatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Kertas siasatan itu dikatakan mengandungi rekod kes-kes jenayah IPD itu yang sudah selesai dan menunggu kelulusan untuk dilupuskan.

Ia disimpan di sebuah bilik di tingkat satu, salah satu daripada bangunan IPD itu yang sedang diubah suai.

Ekoran keadaan fail kertas siasatan itu yang sudah usang dan berhabuk menyebabkan pekerja binaan menyangkakan ia kertas lama yang sudah tidak digunakan lalu mengambilnya untuk dijual kepada kilang kitar semula.

Kertas siasatan seberat kira-kira 2,000kg itu dijual pada harga RM800 kepada beberapa kilang kitar semula di Kepong berdasarkan kadar antara 37 hingga 45 sen sekilogram.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kehilangan kertas siasatan itu hanya disedari Sabtu lalu oleh salah seorang anggotanya yang mahu menjalankan kerja-kerja pembersihan dan mengemas kini fail-fail di situ.

Dipetik Utusan Malaysia hari ini, beliau berkata, pihaknya mengesyaki kertas siasatan terbabit diambil oleh para pekerja yang mengubah suai bangunan tersebut.

Berikutan itu kata beliau, pihaknya telah menahan empat lelaki tempatan iaitu seorang penyelia dan tiga pemandu lori berusia lingkungan 40-an untuk membantu siasatan.

"Empat buruh binaan Bangladesh berusia lingkungan 20-an turut ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Abdul Rahim berkata, kesemua lelaki terbabit ditahan secara berasingan pada sebelah petang dan malam kelmarin.

Beliau berkata, empat lelaki tempatan ditahan di beberapa kawasan sekitar Kepong manakala kesemua pekerja Bangladesh ditangkap ketika bekerja di tapak binaan.

Katanya, kesemua mereka direman selama empat hari sehingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Jual rokok belum perlu lesen

Posted: 13 Aug 2010 06:45 PM PDT

BERNAMA

PUTRAJAYA — Tidak ada lesen akan dikenakan untuk mereka yang menjual rokok di negara ini buat masa ini kerana peraturan membabitkan perlesenan itu belum dimuktamadkan, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainudin.

Beliau berkata walaupun Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) diperuntukkan kuasa untuk mengeluarkan lesen itu mengikut Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (Akta 692), namun peraturan penguatkuasaan aktiviti perlesenan masih dalam peringkat penggubalan.

"Kementerian akan mengkaji segala cadangan pelaksanaan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak yang terlibat, termasuk industri.

"Apabila peraturan itu digubal, barulah kita umumkan satu cara bagaimana nak menentukan supaya hanya mereka yang layak sahaja boleh jual rokok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hamzah berkata peraturan itu diadakan bagi mengawal selia penjualan rokok di negara ini, di mana pembekal rokok akan dikenal pasti bagi mengelak penjualan rokok haram.

Beliau berkata kementerian juga belum memutuskan sama ada sebarang bayaran akan dikenakan bagi perlesenan itu, dan mekanisme perlesenan itu hanya akan diumumkan selepas ia diluluskan oleh sebuah jawatankuasa kabinet, dijangka sebelum hujung tahun ini.

"Akta ini juga membenarkan LKTN untuk mengenakan ses namun ia terpulang kepada persetujuan kementerian dengan Kementerian Kewangan, tetapi buat masa ini ia masih belum diputuskan," katanya.

Kekeliruan mengenai lesen tersebut timbul selepas Pengerusi LKTN Datuk Ismail Kassim mengeluarkan kenyataan memberi tempoh sehingga 1 Sept ini untuk orang ramai mendapatkan lesen untuk membeli, menjual, memproses, mengilang dan mengimport kenaf dan tembakau.

Hamzah berkata penguatkuasaan itu tidak melibatkan penjualan rokok.

"Tidak timbul isu untuk mendapatkan lesen bagi aktiviti lain melibatkan kenaf dan tembakau kerana ia sudah lama dilaksanakan," katanya.

Editor veteran Sarawak tubuh ‘Movement For Change’

Posted: 13 Aug 2010 06:40 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUCHING— Satu kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai rakyat Sarawak prihatin telah menubuhkan satu pergerakan "Movement For Change Sarawak" (MoCS) bagi memaju Sarawak dan rakyatnya ke arah keadaan yang lebih baik, kata pemimpinnya Francis Paul Siah.

Siah, seorang editor veteran Sarawak mengumumkan penubuhan MoCS di sini hari ini sebagai sebuah badan bebas dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang parti politik.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata keutamaan MoCS ialah mencapai budaya politik baru Sarawak yang bebas dari politik wang, rasuah, nepotisme, despotisme, politik naungan dan perompak ekonomi.

"Ramai rakyat Sarawak yang menetap di Semenanjung terutama Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang telah menyatakan sokongan kepada MoCS termasuk masyarakat di Sarawak," katanya. — Bernama

Anwar gesa Najib guna subsidi Empangan Bakun untuk rakyat

Posted: 13 Aug 2010 06:39 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau memandang serius laporan-laporan mutakhir menunjukkan kelewatan projek Empangan Bakun yang turut menelan begitu banyak wang rakyat selain menyebabkan kos dijangka meningkat.

"Beliau (perdana menteri) seolah-olah tidak kisah dengan kemungkinan wang rakyat terus dibazirkan untuk projek ini.

"Tetapi bersungguh-sungguh mahu menarik balik subsidi minyak dan gula sedangkan sasaran penjimatan perbelanjaan kerajaan adalah terlalu kecil berbanding dengan wang rakyat digunakan untuk membiayai projek Empangan Bakun setakat ini," kata Anwar (gambar) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata beliau, kos setakat ini sudah pun mencecah RM7.3 bilion dan sebahagian besarnya dibiayai oleh wang rakyat melalui pinjaman berjumlah RM5.75 bilion, diberikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

Kedua-dua pinjaman ini juga dijamin kerajaan persekutuan.

Kata Anwar, sikap tidak peduli Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membiarkan wang rakyat terus digunakan dalam projek Empangan Bakun adalah sangat bertentangan dengan pendapat beliau mengenai subsidi minyak dan gula.

Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, sasaran penjimatan RM750 juta dari potongan subsidi hanyalah 10 peratus dari jumlah kos keseluruhan projek Empangan Bakun.

Projek itu telah menyebabkan anggaran kerugian RM450 juta dialami oleh Sime Darby bagi tahun kewangan 2010, di samping pampasan RM900 juta yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

Katanya, jumlah keseluruhan kerugian dan pampasan kepada Sime Darby sahaja boleh membiayai pelbagai program kebajikan rakyat yang sepatutnya dijalankan apabila subsidi ditarik balik, untuk meringankan bebanan rakyat.

"Minggu ini, kita dikejutkan dengan berita projek ini akan mengalami kenaikan kos mendadak disebabkan oleh kelewatan (bukan perkara baru sejak projek dilaksanakan).

"Laporan-laporan juga memetik sumber dalaman yang menyebut perbezaan pendapat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak mengenai harga apabila projek ini diserahkan kepada kerajaan negeri.

"Perbezaan ini memungkinkan kerajaan persekutuan terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 bilion apabila projek diserahkan kelak," katanya.

Oleh itu soal beliau, siapa yang akan membayar kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 bilion ini.

"Adakah Perdana Menteri akan secara senyap-senyap mengarahkan KWSP dan KWAP melupuskan sebahagian dari RM5.75 bilion hutang yang diberikan kepada projek Empangan Bakun, untuk menutup kerugian itu?" katanya.

Selain itu tegas beliau, Empangan Bakun adalah lambang layanan Barisan Nasional yang berbeza-beza kepada rakyat dan syarikat besar dalam menentukan subsidi.

"Di mata Barisan Nasional, 20 sen subsidi bagi setiap kilogram gula yang dinikmati rakyat adalah beban yang cukup besar kepada pentadbirannya, tetapi pada masa yang sama ia menghadiahkan subsidi korporat berbilion ringgit kepada syarikat besar tanpa rasa bersalah sedikit pun.

"Saya menyeru Perdana Menteri mengambil pertanggungjawaban dan berterus-terang dengan rakyat mengenai masalah kewangan projek Empangan Bakun dan kesannya kepada wang rakyat.

"Menteri yang dipertanggungjawabkan menyelia projek juga perlu berterus-terang dan menerangkan kepada rakyat kenapa anggaran kerugian RM2 bilion itu perlu ditanggung oleh rakyat," katanya.

Ketua Pembangkang di Parlimen itu menambah rakyat berhak mengetahui terutamanya apabila rakyat diminta mengurangkan beban kewangan kerajaan, maka subsidi korporat juga perlu dihentikan.

57 peratus orang Melayu tak percaya media arus perdana

Posted: 13 Aug 2010 06:30 PM PDT

Oleh Adib Zalkapli

KUALA LUMPUR — Enam daripada 10 rakyat Malaysia tidak percaya media arus perdana manakala hanya satu dalam lima mempunyai akses kepada berita "online", demikian menurut satu kajian yang dikeluarkan baru-baru ini.

Kajian Merdeka Center dijalankan antara 27 Jun dan 25 Julai lalu menunjukkan 57 peratus orang Melayu tidak percaya pada laporan media arus perdana berbanding 33 peratus yakin manakala 10 peratus lagi mengatakan mereka tiada maklumat.

Di kalangan masyarakat Cina pula, 58 peratus responden berpandangan bahawa mereka tidak percaya pada media arus perdana, 30 peratus percaya dan 12 peratus lagi pula tidak tahu.

Hasil kajian itu dilihat mempunyai kaitan dengan arah aliran jualan suram bagi kebanyakan organisasi media arus perdana.

Perangkaan edaran menunjukkan akhbar bahasa Inggeris dan Malaysia seperti New Straits Times, The Star, Berita Harian dan Utusan Malaysia berhadapan dengan kemerosotan jualan pada tahun ini berbanding 2009 iaitu dalam lingkungan 20 peratus.

Beberapa eksekutif akhbar mengakui liputan politik yang berpihak telah memberi kesan ke atas paras jualan.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa akses kepada alterntif media kekal rendah dengan sekitar 80 peratus responden mengatakan bahwa surat akhbar bercetak masih masih menjadi sumber maklumat utama.

Hanya 21 peratus yang ditemui mengatakan mereka ada membaca berita internet sepanjang sebulan lalu tetapi kebanyakan membaca media arus perdana versi online.

Majoriti responden berkata mereka tiada kepercayaan tinggi ke atas media alternatif meskipun ramai bersetuju bahawa ia sebenarnya lebih boleh dipercayai.

Ulasan-ulasan daripada perbincangan kumpulan fokus juga menunjukkan ramai merasakan kebebasan media masih terhad di negara ini disebabkan amalan tapisan yang kuat.

Beberapa peserta kumpulan fokus juga menekankan bahawa akhbar bahasa Malaysia sangat bias.

Dua penganalisis politik berkata kajian itu bukan sesuatu yang di luar dugaan sama sekali.

"Ini mungkin kerana kumpulan ini belum mendaftar sebagai pengundi ataupun tidak kisah apa yang berlaku di negara ini," kata Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia ketika ditanya mengenai hasil kajian itu.

"Ataupun mungkin kerana harapan yang tinggi selepas 2008, mereka mungkin jadi kumpulan atas pagar," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

"Dan, ia juga kemungkinan kerana terlalu banyak 'politiking', di mana rakyat sudah penat dengan keadaan itu," katanya.

Sivamurugan menjelaskan, kegagalan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat menjelaskan agenda politik mereka juga kemungkinan telah menyumbangkan penemuan itu.

Dr Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia bersetuju bahawa pemilikan media sahaja belum tentu menjamin kejayaan sesebuah parti politik.

"Dalam menguruskan maklumat, menguruskan media, mesej, kedua-dua pihak kena bekerja kuat mulai sekarang," kata Agus ketika dihubungi.

"Jika mereka terus memintal, mensensasikan isu, mereka akan tenggelam," kata penganalisis politik itu.

"Kini maklumat di hujung jari, sama ada media arus perdana atau internet, mereka tidak percaya setiap perkara yang mereka baca. Merek tahu bagaimana hendak menilai," katanya lagi.

Tiada ulasan: