Rabu, 4 Ogos 2010

Biaqpila

Biaqpila




MK

Pelbagai Teori Muncul, Kes Bekas ADUN Ditembak Terus Misteri

Posted: 04 Aug 2010 03:00 PM PDT



Misteri kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Datuk Abdul Aziz Mohd. Noh bersama Naib Ketua Wanita Umno Tanjung Karang, Siti Rohana Ismat dengan kesan tembakan pagi semalam terus menjadi perbualan dengan pelbagai teori dilontarkan.

Pelbagai andaian dibangkitkan bagaimana kedua-dua pemimpin Umno Tanjong Karang ini boleh terbunuh sebelum kereta mereka merempuh pembahagi lebuh raya dengan kesan tembakan di bahagian kepala.

Teori-teori yang dibangkitkan dalam pelbagai portal dan blog mendakwa kemungkinan ada pihak ketiga dalam kejadian itu.

Ia mempertikaikan 'kemahiran' melepaskan tembakan ngeri dari jarak dekat.
Bagaimanapun Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar telah menolak andaian sedemikian dengan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi tidak berasas.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan kematian Abdul Aziz, bekas setiausaha politik Tan Sri Abu Hassan Omar bersama Siti Rohana adalah akibat tembakan daripada salah seorang mangsa itu sendiri.

Kata Khalid, berdasarkan siasatan awal, tembakan dilepaskan dari dalam kereta dan tidak melibatkan orang lain.

Polis menemui pistol jenis revolver .38 dalam kereta tersebut yang mengandungi dua peluru hidup dipercayai kepunyaan Abdul Aziz, yang juga ahli jawatankuasa Umno Tanjong Karang.

Hasil bedah siasat menunjukkan terdapat dua kesan tembakan pada kepala Siti Rohana dan satu tembakan di kepala Abdul Aziz.

Bekas ADUN itu ditemui mati bersama Siti Rohana, 43, kedua-duanya dengan kesan tembakan, dalam kereta yang terbabas di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh dekat sini kira-kira 11 pagi.

Siti Rohana aktif dalam politik dan pernah menjadi pegawai peribadi kepada Abdul Aziz, dan mempunyai sebuah butik pengantin di Tanjong Karang.

Dalam pada itu, Allahyarham Abdul Aziz dilaporkan sepatutnya berkumpul bersama ahli keluarga termasuk adik-beradiknya malam tadi bagi meraikan kedatangan Ramadan.
Majlis berkumpul beramai-ramai yang diadakan seminggu sebelum Ramadan ini merupakan acara tahunan diraikan Abdul Aziz itu bersama keluarga terdekatnya.
Ramadan bermula minggu depan.

Namun, majlis makan malam bertujuan merapatkan hubungan keluarga itu bertukar menjadi kenduri arwah berikutan kematian mengejut Abdul Aziz, kata portal Malaysia-instinct.
Anak bongsu Allahyarham, Mohd. Anis Hisham, 33, yang kali terakhir beliau bertemu bapanya pukul 9 pagi semalam di rumah mereka di Shah Alam memberitahu:
"Kematian ayah mengejutkan saya dan semua ahli keluarga yang lain kerana ia berlaku menjelang Ramadan yang mana kami sudah merancang berkumpul untuk makan di rumah salah seorang saudara di Shah Alam malam ini (tadi)."

Mohd. Anis Hisham yang juga Exco Pemuda Umno berkata, sebagai anak bongsu dan lelaki tunggal daripada tiga beradik, beliau memang rapat dengan bapanya memandangkan kedua-dua mereka terlibat dalam politik.

Malah, katanya, beliau langsung tidak menyangka bahawa hubungan mereka bertambah rapat sejak akhir-akhir ini merupakan petanda Allahyarham akan meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.

Sementara itu, adik Allahyarham, Rasiah Mohd. Noh, 63, berkata, beliau bersama keluarganya yang tinggal di Pulau Pinang datang ke Shah Alam Sabtu lalu semata-mata untuk bertemu dan berkumpul bersama keluarga Abdul Aziz dan dua lagi adik-beradik yang lain sebelum Ramadan.

"Acara berkumpul beramai-ramai seminggu sebelum Ramadan menjadi tradisi keluarga kami sejak turun-temurun.

"Dalam tempoh tersebut, kami akan bergotong-royong membersihkan kubur emak dan ayah dan mengadakan jamuan makan malam," katanya sambil menyatakan perasaan amat terkilan tidak sempat menemui Abdul Aziz sejak tiba di Shah Alam kerana bercadang menemuinya malam tadi.

Sementara itu bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ch'ng Toh Eng ketika ditemui malam tadi menyifatkan Abdul Aziz sebagai rakan seperjuangan yang mudah mesra dan rapat dengan orang bawahannya.

"Saya kenal beliau sejak 1980-an. Beliau rapat dengan para nelayan di Kuala Selangor dan amat bertimbang rasa dan selalu membantu golongan miskin," ujar Ch'ng.
Sementara itu Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menganggap Abdul Aziz sebagai mentor beliau dan kehilangan pemimpin itu sukar diganti.

"Allahyarham adalah seorang yang mempunyai 'very cool minded' dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan sendiri," katanya.
Perkara yang sama ditekankan oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang sedih dengan kehilangan beliau.

(Malaysian Insider)


Kematian bekas ADUN Selangor dengan kesan tembakan masih misteri

Posted: 04 Aug 2010 09:00 AM PDT



Apa yang sebenarnya berlaku antara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Permatang, Selangor, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh,64 dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Karang Siti Rohana Ismat,43 yang ditemui mati dengan kesan tembakan dalam kereta yang terbabas dekat Sungai Buloh di Lebuhraya Utara-Selatan tidak jauh dari Kuala Lumpur pagi Selasa masih satu misteri setakat ini.

Yang pasti terdapat satu kesan peluru di kepala Abdul Aziz manakala dua kesan peluru di kepala Siti Rohana dan tidak ada pihak ketiga dalam kejadian yang trajis dan mengemparkan itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memberitahu siasatan awal polis mendapati tembakan tersebut dilepaskan dari bahagian dalam kenderaan itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan ia adalah satu kes bunuh dan bunuh diri.

Polis menemui sepucuk pistol jenis Revolver .38, dua butir peluru belum digunakan dan tiga kelongsong peluru dalam kereta berkenaan.Pistol itu disahkan milik Abdul Aziz.

Ini bermakna kemungkinan besar salah seorang dari mereka menembak dan kemudiannya menembak diri sendiri.

Kejadian berlaku tidak jauh dari susur keluar Sungai Buloh di lebuhraya itu menuju ke Utara.

Mereka berdua dikatakan dalam perjalanan untuk menghadiri satu majlis di Tanjong Karang dan dipercayai bertolak dari pejabat Abdul Aziz di Petaling Jaya.

Jika berada di lokasi itu untuk ke Tanjong Karang, kebiasaannya ialah keluar ikut susur tol Rawang menuju ke Kuala Selangor.Susur keluar tol Bukit Tagar juga boleh ke sana.

Kereta jenis Toyota Caldina berwarna putih adalah milik Siti Rohana namun ia dipandu oleh Abdul Aziz.

Dalam pada itu ramai rakan Abdul Aziz terkejut dengan berita kematiannya yang trajis itu mengenangkan beliau dikenali sebagai seorang yang cukup peramah dan sentiasa ceria.

Sewaktu awal kejadian berita yang tersebar mengatakan Allahyarham meninggal dalam satu kemalangan jalanraya.

Apa yang menjadi tandatanya besar dikalangan mereka ialah apa sebenarnya berlaku antara Abdul Aziz dan Siti Rohana dalam kereta sebelum kejadian.

Apakah tembakan itu berlaku semasa kereta itu sedang berjalan dan kemudiannya ia terbabas melanggar pembahagi jalan di tengah lebuhraya itu?

Atau apakah tembakan berlaku semasa kereta itu sudah terbabas?

Jenazah Abdul Aziz dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam selepas Isyak manakala jenazah Siti Rohana pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 7 1/2 Sungai Gulang-Gulang Tanjung Karang.

Abdul Aziz meninggalkan isteri Siti Fatimah Mohd Noor, 62, serta dua anak perempuan, Norazilah, 40, pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Norazian, 37, pensyarah Universiti Industri Selangor (Unisel) dan seorang anak lelaki Mohd Anis Hisham, 33, exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Abdul Aziz, menjadi wakil rakyat dari tahun 2004 hingga 2008 dan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar pada 1997.

Sementara itu, Mohd Anis berkata kali terakhir beliau bertemu dengan ayahnya kira-kira 9 pagi tadi di kediamannya di Shah Alam.

"Sebelum mendapat tahu kejadian yang menimpa ayah melalui kawan saya tengah hari tadi, ayah ada cakap nak pergi satu majlis di Tanjung Karang.

"Saya amat kagum kebolehan yang ada pada ayah saya dan saya menjadikannya sebagai role model dalam bidang politik. Ayah mempunyai kebolehan berbahasa Mandarin. Ayah juga ada lesen pistol," katanya ketika ditemui.

Bekas suami Siti Rohana, Abdul Aziz Hamim, 43, yang ditemui di hospital berkata mereka dikurniakan empat anak sebelum berpisah empat tahun lepas.

Katanya anak sulung mereka berusia 20 tahun manakala yang bongsu berusia sembilan tahun.

Seorang kenalan rapat kepada Siti Rohana, Towhid Mokthi, 53, berkata Siti Rohana aktif dalam politik dan pernah menjadi pegawai peribadi kepada Abdul Aziz.

"Rohana seorang yang peramah dan suka tolong orang. Dia sangat disenangi sebab itu dia terpilih sebagai Ketua Wanita Cawangan UMNO Sungai Gulang-Gulang," katanya.


Sementara itu Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar yang dihubungi Bernama berkata Abdul Aziz ialah seorang yang sangat dedikasi terhadap tugasnya dan setia kepada ketuanya.
"Hubungan saya dengan dia (arwah) sangat rapat. Saya kenal arwah sejak beliau masih bersekolah di Kuala Selangor dan saya juga pernah mengajar arwah semasa menjadi guru.

"Kemudian apabila saya menyertai politik dan menjadi Timbalan Menteri, saya ambil dia sebagai Setiausaha Sulit sebelum menjadi Setiausaha Politik apabila saya menjadi Menteri Besar," katanya.

Malah Abu Hassan berkata sehingga kini mereka masih lagi bergandingan dalam Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor, di mana beliau memegang jawatan Presiden dan Abdul Aziz selaku Bendahari.

Abu Hassan, yang sebak ketika diminta bercerita mengenai Abdul Aziz, mengakui amat sedih dengan kematian arwah yang disifatkannya sebagai anak didik, rakan dan anggota keluarga yang amat dekat di hatinya.


Turut memberi penghormatan terakhir di pengkebumian Abdul Aziz selain daripada Abu Hassan ialah bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ir Mohd Zain Mohamed, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Reezal Merican Naina Merican, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin.


Padah simpan klip video lucah

Posted: 04 Aug 2010 07:00 AM PDT


KUALA TERENGGANU – Gara-gara menyimpan klip video lucah menerusi telefon bimbit, seorang penganggur ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bersama Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Terengganu, malam tadi.

Sepanjang operasi yang diadakan di Jalan Sultan Mahmud, di sini, JPJ turut mengeluarkan sebanyak 106 saman ke atas pemandu kenderaan melibatkan pelbagai jenis kesalahan.

Timbalan Ketua Cawangan Bahagian Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN Cawangan Terengganu, Zaki Mohamed berkata, penunggang motosikal berusia awal 20-an dari Kuala Terengganu itu ditahan untuk siasatan lanjut dan boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 5 Akta Penapisan Filem 2002.

"Jika sabit kesalahan remaja lelaki ini boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika ditemui pemberita pada operasi berkenaan yang turut membabitkan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu.

Beliau berkata, dalam operasi bersepadu itu, pihaknya memberi tum puan memeriksa telefon bimbit bagi mengesan individu yang menyimpan klip video lucah dan pemeriksaan kenderaan turut dilakukan untuk memastikan pengguna jalan raya tidak memiliki serta menyimpan video cakera padat (VCD) pornografi.

"Tumpuan kita lebih kepada pemeriksaan telefon bimbit dan VCD lucah kerana didapati klip video porno ini menjadi penyumbang utama kepada kes rogol, cabul, seks bebas dan salah laku sosial lain khususnya dalam kalangan remaja, termasuk pelajar sekolah di negeri ini ketika ini.

"Justeru, dengan operasi ini kita mahu membanteras gejala itu pada peringkat bawah khususnya dalam kalangan pelajar," katanya.

Zaki berkata, operasi bersepadu itu adalah kerjasama pertama yang dilakukan pihaknya bersama JPJ Terengganu dan merancang untuk meneruskannya pada masa akan datang, selain turut berhasrat mengadakan kerjasama serupa bersama polis trafik pada tahun ini.

Menurutnya, langkah itu adalah untuk memastikan remaja dan masyarakat di negeri ini bebas daripada memiliki klip video dan filem lucah sehingga berlakunya keruntuhan moral.

Sementara itu, dalam operasi berkenaan, selain mengeluarkan 106 saman untuk pelbagai jenis kesalahan, JPJ Terengganu turut menyita tiga buah motosikal kerana penunggangnya didapati tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan serta insurans motosikal terbabit telah tamat tempoh.

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, fokus mereka pada operasi berkenaan lebih tertumpu kepada kesalahan lalu lintas, selain turut memeriksa pengguna yang melakukan kesalahan mengubahsuai enjin kenderaan tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, pada operasi itu, SPRM pula gagal mengesan sebarang kes melibatkan rasuah.

SH

Peguam Negara Buat Aduan, Shamsul Berdepan Risiko Hilang Status Peguam

Posted: 04 Aug 2010 05:00 AM PDT

Oleh Dzulkarnain Taib


SHAH ALAM 3 Ogos - Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Tatatertib Peguam-peguam berhubung ceramah beliau yang menyentuh mengenai rayuan kes kedudukan Datuk Sri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah semasa kempen pilihan raya kecil Penanti pada 30 Mei 2009.
Ketika dihubungi Suara Keadilan, Shamsul berkata lembaga tersebut mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada beliau atas arahan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Shamsul menerangkan surat bertarikh 30 Julai yang hantar melalui pos berdaftar kepada firma guamannya di Melaka menjelaskan ulasan beliau mengenai kes rayuan itu boleh ditafsirkan sebagai mempersoalkan kredibiliti hakim-hakim Mahkamah Rayuan.
"Surat Lembaga Tattertib saya perlu menjawab surat tunjuk sebab ini dalam tempoh 14 hari dan sekiranya gagal tindakan boleh diambil terhadap saya termasuk menggugurkan status saya sebagai seorang pengamal undang-undang," jelas Shamsul.
Dalam surat aduan daripada Pejabat Peguam Negara bertarikh 12 April 2010 yang ditandatangani oleh Mohamad Hanafiah Zakaria, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwa (Operasi), Shamsul didakwa menyampaikan satu ceramah semasa kempen PRK Dewan Undangan Negeri Penanti di No 2072-2076, MK 9, Jalan Tanah Liat (JDM Tanah Liat), Seberang Perai, Pulau Pinang pada 30 Mei 2009.
"Di dalam cramah tersebut beliau telah mempersoalkan kredibiliti hakim-hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya semasa satu kes rayuan di Mahkamah tersebut. Walaupun Encik Shamsul Iskandar tidak menyebut dengan jelas butir-butir lengkap kes rayuan yang berkenaan, namun setelah disemak, kes rayuan yang dimaksudkan di dalam ucapan beliau adalah kes Mahkamah Rayuan Sivil No W-01-112-2009 di mana pihak yang terlibat adalah Dato' Dr Zambry bin Abd Kadir sebagai Perayu melawan Dato' Seri Ir haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin sebagai Responden dan Peguam Negara sebagai Pencelah," kata surat tersebut.
Surat itu juga melampirkan sesalinan rakaman cakera video padat mengandungi ucapan Shamsul.
"Saudara, perkara kedua saya minta pada malam ini yang berkaitan dengan kes Perak tadi, saya sebut tadi bagaimana keadaan Malaysia sekarang dalam keadaan yang cukup huru hara, yang berlaku di Perak dia tak hirau proses demokrasi, dia tak hirau, dia langgar semua, guna mahkamah, saya peguam, dua tahun dah saya jadi peguam, tapimsaya tak pernah tengok ada hakim tiga orang ini, ini hakim tiga orang di Mahkamah rayuan ni yang buat keputusan, tarik balik keputusan hakim Mahkamah Tinggi, bagitau pulak Zambry yang haram ini Menteri besar, sebab itu saya sebut ini hakim, hakim tiga Abdul punya hakim, tadi tuan-tuan dengar lagu tadi, Abdul Wahub, Abdul wahid, Abdul Wahab, ini tiga hakim tidak boleh pakai, hakim ini dia kata apa, dia bukan buat keputusan," kata surat itu merujuk kepada sedutan ucapan Shamsul.
Surat daripada Pejabat Peguam Negara itu seterusnya menyatakan Shamsul telah mengkritik proses perundangan dan kehakiman negara ini yang boleh menjurus kepada menghina mahkamah ketika kes rayuan tersebut masih lagi berjalan.
"Sebagai peguambela dan peguamcara, Encik Shamsul patut lebih arif dengan proses perundangan dalam negara ini dan tidak sepatutnya memberi lkenyataan yang berhaluan kepentingan politik.
"Aduan ini dibuat untuk tindakan disiplin diambil terhadap peguam Encik Shamsul Iskandar bin Mohd Akin selaras dengan peruntukan Seksyen 99(2) Akta Profesyen Undang-undang 1976 (Akta 66)," jelas surat itu lagi.
Ditanya mengenai kandungan surat tersebut, Shamsul berkata beliau tidak gentar terhadap tindakan ini kerana menganggapnya sebagai satu lagi bentuk tekanan politik terhadap Pakatan Rakyat.
"Saya sedikitpun tidak gentar dan saya lawan habis-habisan. Ini hanya membuktikan Umno-Barisan telah menyalahgunakan apparatus kerajaan sehingga ketahap pejabat Peguam Negara untuk menekan dan menindas pihak pembangkang.
"Saya yakin inilah kes yang pertama saya pernah dengar di mana seorang peguam diminta memberi penjelasan berhubung ucapan politik yang diberikan," ujar beliau.
Presiden Badan Peguam Malaysia, R Ragunath berkata beliau tidak tahu menahu mengenai surat tunjuk sebab kepada Shamsul.
"Saya tidak tahu sebab Lembaga Displin walaupun di bawah Badan Peguam namun ia adalah satu badan bebas. Terpulang kepada Lembaga untuk menentukan perkara yang dibangkitkan mempunyai merit atau remeh," kata Ragunath ringkas.
Ketika dihubungi Lembaga Tatatertib mengesahkan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Shamsul tetapi tidak mahu mengulas lanjut.

SK


Ganesan singkir DS Nizar dari DUN Perak

Posted: 04 Aug 2010 03:00 AM PDT

Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin hari ini digantung dari persidangan dewan undangan negeri Perak selepas mengengkari arahan speaker, Datuk R Ganesan supaya duduk.

Ketika membahaskan rang undang-undang usul perbekalan tambahan RM80 juta, masa yang diperuntukkan untuk Nizar selama 15 minit telah berakhir. Namun beliau terus berucap dalam nada yang kuat apabila pembesar suaranya dipadamkan.

Sebelum itu, Nizar terus tidak mempedulikan arahan Ganesan agar beliau dirujuk sebagai 'Yang Yang Dipertua.'

Nizar: Terima kasih Datuk Ganesan...

Ganesan: Saya telah beri peluang untuk bahas. Tetapi jika ini berterusan saya akan ambil tindakan. Meskipun nama saya Ganesan, di Dewan ini, jawatan saya adalah Tuan Yang Dipertua.

Nizar: Terima kasih Datuk Ganesan...

Ganesan: Saya beri awak peluang terakhir!

Nizar: Terima kasih Yang berhormat...[meneruskan ucapan]

Dalam ucapannya, Nizar mendakwa RM50,000 digunakan oleh Zambry untuk diagihkan kepada cawangan MCA di Perak. Wang rakyat katanya, digunakan untuk tujuan parti.

Rakannya dari DAP, Nga Kor Ming (Pantai Remis) yang marah dengan pendedahan itu kemudian melabelkan Zambry sebagai 'pelacur politik' yang kemudiannya sekali lagi menggamatkan dewan.

Nizar juga melemparkan tuduhan 'pengecut' ke atas BN kerana tidak membenarkan media menjalankan tugas kerana mematikan talian internet.

Apabila masa 15 minit yang diperuntukkan berakhir, pembesar suara Nizar dipadamkan, namun beliau terus berucap dengan meninggikan suaranya.

Khusaisi Abdul Talib (BN-Slim River) kemudian mula berucap dan dewan menyaksikan dua ADUN berucap pada masa yang sama.

Nizar tidak menghiraukan arahan Ganesan supaya duduk dan tindakan itu memaksa beliau diarahkan keluar dewan.

Namun Nizar enggan berbuat demikian. Bentara hanya berdiri di sebelahnya dan tidak cuba mengeluarkan menteri besar yang disingkirkan itu secara paksa.

ADUN Manong, Datuk Ramly Zahari kemudian mencadangkan Nizar yang juga ADUN Pasir Panjang, digantung sebagai ahli Dewan dan cadangan itu disokong semua ADUN BN.

Selepas pertikaman lidah kira-kira 30 minit, Nizar dan ADUN Pakatan Rakyat yang lain mengambil keputusan meninggalkan dewan.

Sebelum itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sempat membentang usul perbekalan tambahan RM80 juta daripada kumpulan wang disatukan untuk perkhidmatan bagi bacaan pertama.

Usul itu disokong ADUN Sg Rapat, Datuk Hamidah Osman.



Padah rogol gadis bawah umur

Posted: 04 Aug 2010 01:00 AM PDT


KOTA TINGGI – Seorang lelaki 28 tahun dijatuhi hukuman lima tahun penjara dengan satu sebatan atas kesalahan merogol gadis bawah umur berusia 13 tahun, semalam.

Mohd Faizal Mohd Nin, yang berasal dari Felda Sungai Mas di sini, dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi oleh Hakim Mahkamah, Kunju Krishnan disaksikan pegawai pendakwa, Inspektor Nor Nazliyana Akbar.

Tertuduh didakwa merogol gadis bawah umur di salah sebuah flet tingkat empat di sini, 2 Julai lalu pada jam 6.30 hingga 8.30 pagi dengan memaksa dan berjanji akan bertanggungjawab terhadap mangsa sekiranya berlaku apa-apa kejadian kemudiannya.

Mohd Faizal yang dihukum di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan itu pada mulanya mengambil mangsa di rumahnya di Nusajaya, Johor Bahru pada hari sebelum kejadian dengan menaiki teksi dan pergi ke stesen pengangkutan Larkin pada jam 9.45 malam.

Kemudian pada jam 4.15 pagi, mangsa dan tertuduh menaiki bas dari Larkin dan pulang ke rumah flet tertuduh di sini.

Dalam laporan yang dibuat, mangsa mendakwa dirogol sebanyak dua kali dan tertuduh juga berjanji akan bertanggungjawab atas perbuatannya ke atas mangsa.

Selepas kejadian, mangsa diberi wang RM5 oleh tertuduh supaya ke rumah kakak angkatnya di Ulu Tiram kerana bimbang ibu mangsa membuat laporan polis kerana dia tidak pulang ke rumah.

Tertuduh juga mengugut mangsa agar tidak melaporkan perbuatan yang dilakukan kepada pihak polis dan jika berbuat demikian, keselamatan keluarga mangsa terancam.

Sementara itu, hasil soal siasat lanjut oleh Inspektor Norhaslinda Ahmad, beliau mendapati tertuduh mengaku telah melakukan hubungan seks secara suka sama suka dengan mangsa dan pemeriksaan hospital juga mendapati terdapat koyakan lama pada kemaluan mangsa.

SH


Aksi berahi dalam kereta di Putrajaya

Posted: 03 Aug 2010 09:00 PM PDT


PENGUAT KUASA JAWI mengambil keterangan seorang wanita (kanan) yang ditahan kerana berkelakuan kurang sopan bersama teman lelakinya di Jambatan Seri Gemilang berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Pasangan kekasih beraksi panas pecut kereta takut ditahan penguat kuasa JAWI

PUTRAJAYA: Sepasang kekasih yang terdesak mahu mengelak dicekup pihak berkuasa kerana melakukan pelbagai aksi memberahikan dalam kereta, menggunakan helah 'takut disamun' sebagai alasan melarikan diri dengan memandu kereta secara melulu.

Lelaki berusia 25 tahun itu dan teman wanitanya, 23, itu bagaimanapun gagal meloloskan diri apabila dipintas kenderaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) walaupun cuba memandu ala aksi 'drift' seperti adegan filem, termasuk memasuki arah bertentangan di laluan sehala di Persiaran Perdana, Presint 4.

Sumber berkata, pasangan yang ditahan kira-kira jam 1 pagi Sabtu lalu itu memberi pelbagai alasan dan berkeras menafikan mereka berkelakuan sumbang atau melakukan aksi 'panas' dalam kereta diletakkan di Jambatan Seri Gemilang berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Malah, pada mulanya lelaki terbabit mendakwa dia dan teman wanitanya melarikan diri kerana terlalu panik dan menyangka kenderaan pelbagai guna (MPV) penguat kuasa JAWI Putrajaya yang menghampiri kereta mereka adalah milik 'penyamun'.

Teman wanitanya, yang dipercayai bekerja di sebuah agensi kerajaan, berpura-pura menangis dan mendakwa mereka tidak melakukan sebarang perbuatan sumbang kerana dia masih berpakaian lengkap.

"Bagaimanapun, tembelang pasangan terbabit pecah apabila lelaki berkenaan mengaku mereka sebenarnya bertindak nekad memecut keretanya kerana takut ditahan anggota penguat kuasa JAWI.
"Lelaki itu turut mengakui bahawa dia ada melakukan pelbagai aksi 'panas' termasuk memeluk dan mencium pipi kekasihnya, sebelum menyedari kehadiran MPV milik JAWI di situ," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Berikutan itu, sumber berkata, pihaknya mengeluarkan surat saman bagi mengarahkan pasangan itu hadir di pejabat JAWI Putrajaya untuk memberi keterangan mengikut Seksyen 29 Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh di tempat awam.

Katanya, mereka juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 9 dan Seksyen 30 Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana mengingkari arahan dan memberi keterangan palsu kepada anggota penguat kuasa JAWI.

Beliau berkata, mereka antara lima pasangan kekasih berusia antara 18 hingga 30 tahun yang ditahan dalam operasi mencegah maksiat sempena cuti hari minggu, membabitkan kira-kira 10 pegawai penguat kuasa JAWI cawangan Putrajaya.

"Operasi yang bermula jam 11 malam hingga 3 pagi Sabtu lalu, adalah antara usaha berterusan JAWI bagi membersihkan persekitaran Putrajaya terutama di kawasan Masjid Putra, Jambatan Seri Wawasan, Jabatan Seri Gemilang dan Stesen Putrajaya Sentral, daripada menjadi kancah gejala maksiat, termasuk pasangan berpelukan, bercumbu atau berkhalwat," katanya.

BH

Celcom Berukband

Promote Your Page Too


Ceramah 'cap ayam' Mat Ezam

Posted: 03 Aug 2010 07:00 PM PDT



Pada awalnya saya langsung tidak kenal siapa dia Ezam Mohd Nor ini. Malah saya tidak ambil peduli sangat apa kerja dan tugas dia. Untuk saya sesiapa yang bekerja untuk United Malays National Organisation ini pastilah orang sesat, kurang membaca, kurang berilmu dan kaki bodek. Pandangan saya ini tidak pernah berubah hingga ke hari ini.

Tapi apa yang hendak saya kisahkan di sini bukan hal United Malays National Organisation tapi hal Ezam. Secara jujur saya katakan di sini, saya tidak pernah ambil tahu siapa setiausaha politik, setiausaha akhbar atau siapa setiausaha sulit Anwar Ibrahim. Untuk saya semua mereka ini hanyalah apparatchik kalau pun bukan tukang bodek. Pandangan saya ini berasakan budaya politik yang wujud hari ini.

Panwar ibrahim breaking fast function 061006 ezamada awalnya - saya terdengar - apabila Anwar ditangkap pada 20 September 1998, ramai juak-juak Anwar termasuk Ezam (kiri sekali) telah melarikan diri ke Indonesia. Ada yang lari membawa duit dan ada yang lari membawa harapan. Apa yang mereka lakukan di Indonesia, tidak pula ingin saya ketahui.

Gerakan Reformasi muncul sesudah penangkapan Anwar. Gerakan ini menobatkan jalan raya sebagai wadah politik. Kami tidak ambil peduli tentang juak-juak Anwar yang lari dan yang tidak lari. Malah juak-juak Anwar ini tidak pernah masuk dalam perhitungan politik jalan raya kami. Kami juga langsung tidak ambil peduli terhadap 'polong-polong' peliharaan Anwar yang saku mereka telah penuh dengan 'darah saham' dan 'pink form'.

Gerakan politik jalan raya hanya bercita-cita untuk menghumbankan United Malays National Organisation ke dalam tong sampah sejarah. Untuk saya jenayah besar United Malays National Organisation hanya satu: membodohkan orang Melayu selama 50 tahun.

Saya pun kurang ingat bila Ezam muncul kembali - mungkin sesudah tertubuhnya Parti Keadilan Nasional. Fakta sejarah ini tidak penting. Apa yang penting ialah Ezam terpaksa menerima wadah jalan raya yang telah kami teroka. Kami sedar ada beberapa benggolan juak Anwar yang tidak berapa setuju dengan wadah politik jalan raya.Tetapi kerana ombak jalan raya begitu besar maka mereka terpaksa membuat 'teater' berlakon bersama kami.

Reformasi tak peduli Anwar jadi PM

Juak-juak Anwar ini sedar dan faham bahawa politik jalan raya inilah sahaja jalannya untuk menumpaskan United Malays National Organistion. Tetapi perjuangan juak-juak ini bukan hendak menumpaskan United Malays National Organistion. Justeru mereka selalu 'memberatkan' gerakan Reformasi. Sebenarnya mereka berjuang agar Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai perdana menteri (PM) Malaysia. Dalam congak politik mereka, apabila Anwar menjadi PM maka mereka akan sekali lagi berkenduri-kendara dan mengumpul 'pink form' dan memungut harta kekayaan.

reformasi 1998 270808 02Harus dinyatakan jelas di sini - gerakan Reformasi tidak peduli sama ada Anwar Ibrahim jadi PM atau sesiapa pun yang menjadi PM. Yang penting Mahathir Mohamad didobrak dan United Malays National Organistion dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.

Akhirnya setelah sepuluh tahun - sebahagian panennya Reformasi telah kita tuai pada 8 Mac 2008 dahulu. Inilah contoh yang dinamakan perjuangan jangka panjang. Menabur benih kesedaran selama sepuluh tahun. Ini kerja politik yang sulit dan bertahan lama. Turun ke jalan raya itu ialah untuk membajak dan menyemai benih kebencian terhadap kuasa politik United Malays National Organisation.

Pada ketika ini Ezam telah mudik kembali ke sarang lamanya. Saya sifatkan Ezam ini terkena penyakit KKS - kurang kasih sayang. KKS ini adalah satu penyakit tidak berkuman yang selalu menyerang orang yang rapat dengan Anwar Ibrahim. Hasil dari serangan KKS ini Ezam telah mundar-mandir ke hulu ke hilir berceramah membantai dan menelan kembali semua air liur basinya yang diludahkannya dahulu.

Nasib saya agak baik, beberapa hari yang lalu ada kawan menghantar klip video salah satu dari ceramah Ezam. Menurut kawan saya ini klip ini daripada siri ceramah perdana 'Selamatkan Selangor Dari Khir Toyo'.

Saya kurang faham apakah Khir Toyo sudah bertukar menjadi Jepun dan menyerang Selangor. Lalu saya menelefon dan bertanya apakah Khir Toyo telah ada bala tentera? Kawan saya ini ketawa berdekah-dekah dan meminta saya kembali ke sekolah untuk belajar ilmu politik. Cis... bongek punya kawan. Maka tidak dapat tidak saya pun terpaksalah melihat klip ceramah Ezam.

Tiru Anwar

Ezam telah meniru gaya berceramah Anwar Ibrahim. Saya tahu tentang hal ini kerana saya pernah satu masa yang lama dahulu berkongsi pentas dengan Ezam. Ezam telah cuba meniru lenggok dan dengung idgham ma'al 'unnah termasuk tajwid dan sengau si Anwar Ibrahim. Untuk saya gaya ini agak 'geli' tetapi menarik perhatian setengah orang yang mendengar ketika Anwar dalam penjara. Tetapi sekarang ini apabila yang asli telah ada maka Mak Cik Felda tidak akan terpaut untuk datang ke ceramah cap ayam Mat Ezam.

azlanSaya pernah meminta kawan-kawan untuk pergi mendengar ceramah Mat Ezam ini. Sekurang-kurangnya meramaikan orang yang nampaknya semakin susut. Malu melihat kawan lama 'bertandak atas tong' seorang diri. Saya sendiri tak berani pergi kerana umum tahu saya bukan orang Selangor. Kalau tidak, dalam dalam gelap itu boleh juga saya menebeng untuk meramaikan pendengar ceramah.

Seperti di zaman Reformasi, Ezam akan ke hulu ke hilir melaung sambil mencabar dari atas pentas ceramah. Ezam mencabar sesiapa sahaja yang berani mempertikai apa yang dicakapkannya. Hebat. Gugat.

Tetapi sayang sekali, semuanya telah menyakitkan hati Ezam. Bukan kerana yang mendengar tak ramai - ini pun satu hal - tapi tidak ada sesiapa pun yang ambil peduli dan menyambut cabarannya itu. Semua orang buat tidak peduli sahaja. Malah Lokman Adam, seorang pemikir dalam gerakan Pemuda gerombolan yang lebih kurang sama hebatnya dengan Mat Ezam pun terus memperlekehkan Ezam yang tidak sudah-sudah mencabar.

Sesiapa yang ada pergi mendengar ceramah akan tahu bagaimana di pembukaannya, si penceramah akan melafaz berdoa berjela-jela dan selawat dimasukkan ke sana sini untuk menunjukkan betapa alim dan waraknya si penceramah. Pada anggapan si penceramah lagi panjang selawatnya maka lagi sucilah apa yang diperkatakan. Mat Ezam juga tergulung dalam kumpulan ini.

Tetapi ada sesuatu yang paling menakjubkan dalam ceramah Ezam yang saya tonton. Saya tidak berbohong. Saya takjub apabila saya terdengar apa yang dikatakan oleh Ezam ini.
Mat Ezam berkata yang dia bersyukur kerana dengan pertolongan Allah dia telah mendapat tahu bahawa Anwar ini bermaruah rendah. Bagaimana Allah memberi ilham kepada Ezam tidak pula jelas. Tidak ada pula Ezam menyebut beliau bersuluk atau dia pergi bertapa.

'Ilham' dari Muhyiddin

Mengikut ceramah Ezam semenjak mendapat ilham dari Allah, maka dia telah mengambil keputusan untuk meninggalkan bos lamanya Anwar Ibrahim. Kini Anwar yang menjadi idolanya dahulu bukan sahaja seorang yang bermoral rendah malah seorang pengkhianat bangsa. Betul. Anwar dikatakan oleh Ezam sebagai pengkhianat bangsa Melayu.

deputy prime minister muhyiddin yassin at masjid kampung sentosa batang kali 020410 04Di bahagian ini saya minta maaf. Saya agak kurang jelas. Tentang pengkhianat bangsa Melayu, saya agak kabur, apakah ilham ini datang dari Muhyiddin Yassin? Kalau ingatan saya betul, si Muhyiddin inilah orang yang pertama mengatakan si Anwar ini pengkhianati Melayu. Kalau saya silap saya minta maaf.

Sebenarnya, mengaitkan Tuhan dalam politik ini bukan sesuatu yang baru. Kalau kita rajin membaca sejarah kuno Eropah, maka kita akan bertemu dengan para paderi yang mengakui diri mereka mewakili Tuhan di bumi ini. Bayangkan betapa kecutnya petani apabila si paderi datang melawat kampung mereka. Bukan sahaja panen petani ini akan diambil sang paderi malah silap-silap hari bulan anak dan isteri juga akan dibungkus sama. Ini semua dilakukan kononnya atas permintaan Tuhan.

Apabila Ezam cuba mengaitkan Allah maka saya angkat tangan menyerah. Saya mengaku kalah. Saya angkat tangan dan angkat topi. Bandingkan, maklumat yang saya terima hanya melalui laporan hospital Pusrawi dan maklumat daripada laporan tuan doktor dari Hospital Kuala Lumpur. Kemudian saya mengikuti laporan akhbar tentang perbicaraan ini. Inilah sumber maklumat saya. Dari maklumat ini saya membuat rumusan berhubung kes liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

mongolian woman bombed altantuya 081106Bandingkan pula maklumat saya dengan maklumat Ezam. Apabila Ezam mendakwa mendapat ilham dari Allah - saya tak terkata apa-apa. Siapa yang boleh mempertikaikan hal ini. Saya tidak memiliki kudrat dan iradat untuk mempertikai ilham Ezam ini.

Tetapi saya ada sedikit kekalutan dan merasa resah. Sebenarnya saya ingin bertanya dengan Ezam apakah beliau tidak diilhamkan tentang siapa sebenarnya membunuh Altantuya. Atau tentang adik Sharlinie Mohd Nasyar yang selama ini masih hilang.

Semua ini pelik. Untuk saat ini saya hanya berani berkata seperti dalam kitab Sulalatus Salatin - wallahhu 'alam bissawab - hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Mangsa mungkin tembak rakan sebelum tembak diri: Polis

Posted: 03 Aug 2010 05:00 PM PDT


MAYAT bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Kuala Selangor, Datuk Abd Aziz Mohd Nor, 63, diusung anggota polis selepas ditemui ditembak mati bersama pembantu peribadinya dalam kereta yang dinaiki mereka di Kilometer 476, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Sungai Buloh pagi tadi. Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata siasatan awal polis mendapati terdapat kesan tembakan di kepala kedua-dua mangsa. - Foto Berita Harian


2010/08/03

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan kematian bekas wakil rakyat Selangor, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh, bersama Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Karang, Siti Rohana Ismat, di sini pagi ini akibat tembakan daripada salah seorang mangsa itu sendiri.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata berdasarkan siasatan awal, tembakan dilepaskan dari dalam kereta dan tidak membabitkan orang lain.
Katanya, polis juga menemui sepucuk pistol jenis revolver .38 di dalam kereta tersebut yang mengandungi dua peluru hidup dipercayai kepunyaan Abdul Aziz.
Khalid berkata, hasil bedah siasat di Hospital Sungai Buloh menunjukkan terdapat dua kesan tembakan pada kepala Siti Rohana dan satu tembakan di kepala Abdul Aziz.

Katanya, Toyota Caldina putih itu dimiliki Siti Rohana dan waktu kejadian ia dipandu Abdul Aziz.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang yang berusia 64 tahun itu ditemui mati bersama Siti Rohana, 43, kedua-duanya dengan kesan tembakan, dalam kereta yang terbabas di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh dekat sini kira-kira 11 pagi.

Kereta itu tersebut terbabas dari bahagian kiri ke bahagian kanan jalan.
Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

Abdul Aziz menjadi wakil rakyat dari 2004 hingga 2008 dan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar, pada 1997.

Siti Rohana aktif dalam politik dan pernah menjadi pegawai peribadi kepada Abdul Aziz dan mempunyai sebuah butik pengantin di Tanjong Karang. - BERNAMA


Tiada ulasan: