Rabu, 14 Julai 2010

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Pemuda MCA dinasihat kuasai bahasa Melayu – Cheong Wei

Posted: 14 Jul 2010 07:32 AM PDT

Oleh Jamilah Kamarudin

Di sekitar DUN Selangor

SHAH ALAM: Pemuda MCA diingatkan agar menguasai bahasa Melayu dengan baik jika bercita-cita mahu menceburkan diri dalam bidang politik dan menjadi ahli Dewan.

Ketua Pemuda MCA Selangor Dr Kow Cheong Wei berkata, kefasihan bahasa Melayu seseorang individu itu amat penting bagi mengukur kredibiliti seseorang pemimpin dalam karier politiknya terutama dalam mengendalikan perbahasan dalam Dewan.

"Ada golongan ahli politik yang terpilih dalam pilihan raya lalu mengalami kesulitan semasa sesi perbahasan dalam Dewan. Begitu juga ketika menangani masalah kawasan terutamanya semasa berinteraksi dengan rakyat.

"Bagaimana mahu membidas dan mempertahankan hujah sendiri dalam Dewan jika bahasa Melayu anda tidak fasih?" bidas beliau.

"Jadi jika mahu menguasai selok belok politik, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah memastikan bahasa Melayu anda dapat dituturkan dengan baik dan lancar," katanya semasa sesi pertemuan antara pihaknya dengan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Teng Chang Khim di sini hari ini.

Mengambil contoh kredibiliti Teng yang boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik, Dr Kow berkata faktor itu mampu menyerlahkan kredibiliti kepimpinan seseorang apabila Teng mampu mengendalikan sesi persidangan DUN dengan baik.

"Teng seorang pembahas dan penceramah yang berkaliber. Sejak dua tahun lalu, beliau memikul tanggungjawabnya sebagau ADUN dan Speaker dengan baik," katanya.

ADUN BN dilantik Pengerusi PAC Negeri

Menilai perbezaan suasana DUN semasa Selangor berada dibawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), Dr Kow yang juga bekas ADUN Kinrara berkata, banyak perubahan positif kini dapat dilihat yang dibawa kerajaan Pakatan Rakyat termasuk penubuhan Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT).

"Saya melihat sesi dewan dipanjangkan, jadi semua ADUN dapat peluang membawa dan menghabiskan usul masing-masing, manakala perkara yang tidak begitu berat dipendekkan sekaligus dapat menjimatkan masa. Begitu juga dengan ADUN muda, walaupun masih 'hijau' tapi sudah berani dan lantang mengeluarkan hujah.

"Walaupun suasana dalam Dewan kini banyak pertengkaran, namun perkara ini masih lagi boleh dikurangkan," katanya.

Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan negeri melantik ADUN BN sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) negeri selaras dengan konsep ketelusan yang diamalkan kerajaan negeri.

"Pelantikan ADUN Sungai Burung Datuk Mohd Shamsudin Lias juga menepati pendirian MCA Selangor yang mahu mengelakkan sebarang politik yang berbaur dengki, membalas dendam, dan hanya menjaga poket sendiri.

"Kita mahu satu suasana politik yang sihat. Walaupun berbeza ideologi politik, kita tetap mahu bangunkan masyarakat dan negara ini ke tahap kualiti yang lebih baik," katanya.

Curi pasir: Selangor hantar surat penjelasan kepada TPM

Posted: 14 Jul 2010 07:00 AM PDT

Di sekitar DUN Selangor

Jamilah Kamarudin


SHAH ALAM: Berikutan beberapa kontroversi berkaitan kegiatan curi pasir di Selangor, kerajaan Selangor telah menghantar surat kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menjelaskan perkara ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri dalam surat tersebut menjelaskan bahawa kejadian curi pasir ini telah pun berlaku secara berleluasa sebelum tahun 2008, iaitu ketika Selangor berada dibawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional(BN).

"Saya telah menjelaskan bahawa kerajaan negeri sekarang telah membuat pelbagai usaha termasuk menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Kami berharap agar pemimpin Umno tidak hanya mengutarakan isu ini atas dasar politik dan berharap agar dokumen yang diberikan adalah memadai untuk Muhyiddin memberi arahan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak secara profesional," katanya kepada pemberita selepas sesi DUN hari ini ditangguhkan.

Khalid juga berkata pihaknya mengalu-alukan Muhyiddin dan agensi persekutuan bekerjasama memerangi jenayah ini.

"Dalam surat itu saya juga sertakan semua maklumat mengenai kegiatan curi pasir yang diperoleh oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) supaya beliau dan agensi persekutuan lain dapat membuat tindakan sewajarnya.

"Malah kerajaan negeri turut menawarkan ganjaran kepada orang ramai yang menolong menangkap penjenayah yang terlibat," katanya.

Mengakui pengurusan KSSB masih lagi belum berada ditahap yang memuaskan, namun Khalid mempertahankan bahawa hasil aktiviti perlombongan pasir ini telah meningkat.

"Kerajaan negeri melalui KSSB berjaya meningkatkan hasil pasir daripada RM2.9 juta (2007) kepada RM6.3 juta (2008), RM5.4 juta (2009) dan RM10.3 juta (sebelum cukai sehingga Jun 2010).

Mengulas mengenai aktiviti perlombongan pasir di Kampung Olak Lempit, Kuala Langat dan Paya Indah Wetlands, Khalid melalui kenyataan syarikat konsultan KSSB Enviro Enhance Sdn Bhd mendakwa laporan yang dikeluarkan sebelum ini dalam media adalah tidak benar dan berniat jahat.

Ini kerana lubang yang telah digali hasil daripada perlombongan ini hanya sedalam 30 meter, dan bukannya digali sedalam 60 meter seperti yang didakwa dalam media sebelum ini.

Berikutan itu, kerajaan negeri akan mendedahkan senarai nama pemilik yang diberi lesen perlombongan pasir sebelum tahun 2008, iaitu sebelum KSSB ditubuhkan.

"Kita sebenarnya telah memantau dan menangani aktiviti perlombongan haram sejak Januari 2009 lagi..jadi bukan mudah untuk membanteras jenayah ini yang telah berlarutan sejak 30 tahun lalu dalam tempoh masa hanya dua tahun sahaja," katanya.

Salinan surat tersebut juga telah dihantar kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Umno Kuat, Terima Kasih Najib!

Posted: 14 Jul 2010 06:45 AM PDT




"Saya cuma nak katakan bahawa Umno memang mempunyai kekuatan tersendiri dan bukan kerana kita ini terlalu lemah, kita terpaksa mencari kawan baru dengan PAS," kata Najib.

Saya sangat berterima kasih kepada Najib dengan kenyataan ini. Sama ada Umno benar-benar kuat atau tidak, itu soal kedua. Apa yang penting ialah kenyataan ini diharap dapat menutup terus semua pintu yang sebelum ini terbuka antara PAS dengan Umno.

Mungkin ada orang menganggap, kenyataan itu keluar daripada ego Najib selaku Presiden Umno. Itu juga tidak penting lagi. Jika ego Najib menyumbang kepada terkuncinya pintu yang terbuka antara PAS dengan Umno sebelum ini, maka ego Najib di sini dikira bagus.

Walau pun ada seorang dua pemimpin Umno yang masih tergila-gilakan PAS seperti Muhyiddin dan Lokman Nur Adam, ditambah lagi dengan pemimpin sebuah NGO yang mencadangkan penubuhan JK untuk tujuan itu, harap-harap kenyataan Najib ini juga turut menutup mulut mereka.

Kalau Najib sudah kata Umno kuat dan tidak perlukan PAS, bolehkah ada orang lain kata Umno perlu bekerjasama dengan PAS? Siapa lebih tahhu mengenai Umno, Najib atau orang lain?

Saya sedang menunggu pemimpin PAS berkata begini, "PAS punya kekuatan tersendiri dan PAS tidak perlu bekerjasama dengan Umno untuk jadi kuat."

Kalau ada yang berkata begitu, saya akan berterima kasih kepadanya lebih daripada saya berterima kasih kepada Najib.

http://sauhdibongkar.blogspot.com/2010/07/umno-kuat-terima-kasih-najib.html

Pakatan Rakyat Putuskan Henti Semua Terbitan Akhbar Rasmi Parti Sementara Waktu

Posted: 14 Jul 2010 06:30 AM PDT

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 14 Julai - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memutuskan ketiga-tiga akhbar rasmi parti - Suara Keadilan, Harakah dan The Roket dihentikan terbitannya mulai minggu ini sehingga mendapat keputusan rasmi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Keputusan bersama itu dicapai pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakah di parlimen petang tadi.

"Kita putuskan untuk hentikan penerbitan ketiga-tiga akhbar rasmi dari parti Pakatan Rakyat iaitu Suara Keadilan, Harakah dan Roket.

"Penangguhan ini di ambil sehingga kita mendapat keputusan rasmi dari KDN, Kita akan membuat satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi membincangkan masalah permit terhadap ketiga-tiga akhbar tersebut.

"Wakil dari ketiga-tiga parti di dalam Pakatan akan bertemu dan berbincang dengan Hishammuddin bagi mencari penyelesaian yang terbaik.

"Pada perjumpaan tersebut kita akan menjawab setiap persoalan yang ditimbulkan oleh KDN dan berharap tindakan segera ini boleh memyelesaikan kekusutan yang berlaku. Kita akan mengikut kesemua peruntukan yang ditetapkan, kita berharap pertemuan ini dapat disegerakan.

"Kita mahu penyelesaian yang sewajarnya diberikan oleh Menteri terbabit agar menunjukkan negara ini mengamalkan sistem demokrasi serta tidak menekan kebebasan media," jelasnya.

Tambah Anwar lagi pihak parti akan mengkaji semula tindakan yang bakal diambil minggu hadapan setelah penanggguhan penerbitan akhbar tersebut.

Ketika ditanya berkenaan dengan tindakan pihak polis ingin bertemu dengan Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib, Anwar menjelaskan pihaknya tidak mempunyai masalah dan memberi kerjasama yang sepenuhnya.

"Kalau polis nak siasat itu hak dia dan kita akan bagi kerjasama, bagi saya banyak lagi kes jenayah yang belum selesai tetapi polis masih lagi menumpukan kerja mereka menekan Pakatan Rakyat," sambungnya.

Tekanan Tiga Serangkai KDN Babitkan Suara Keadilan, Harakah, The Rocket

Posted: 14 Jul 2010 06:15 AM PDT

Oleh Rusnizam Mahat & Fazli Othman

SHAH ALAM 14 Julai - Selepas menggunakan pelbagai ruang untuk menyekat penebitan akhbar rasmi KEADILAN, Suara Keadilan dan akhbar rasmi PAS, Harakah dengan pelbagai ugutan dan tekanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekali lagi meneruskan sikap bacul mereka dengan menekan akhbar suara rasmi DAP, The Rocket pula.

The Rocket menerima dua surat tunjuk sebab dari pihak KDN atas alasan parti itu telah melanggar syarat permit penerbitan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang telah tamat tempoh sah laku pada 30 Jun lepas.

Permit akhbar DAP edisi versi Melayu berakhir pada September depan manakala versi Cina telah luput pada November tahun lalu.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata DAP telah menghantar permohonan untuk memperbaharui permit setahun yang lalu iaitu pada 10 Julai 2009.

"Selepas kita menghantar kelulusan tersebut, kita hanya menerima kelulusan untuk akhbar edisi bahasa Malaysia pada 10 Jun 2010 yang mana selepas hampir setahun baru kami diberitahu permit itu diluluskan tetapi malangnya pada September tahun ini akan tamat.

"Manakala untuk edisi bahasa Cina dan bahasa Inggeris masih tidak lagi diluluskan sehingga sekarang," kata Tony pada sidsang media di parlimen hari ini.

Menurutnya, awal minggu depan Jawatankuasa Pusat DAP akan bermesyuarat berhubung tindakan seterusnya dan akan cuba membuat perjumpaan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk berbincang apakah cara terbaik untuk menyelesaikan isu permit dan penerbitan akhbar rasmi parti itu.

Dalam sidang media yang sama, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh berkata DAP mengambil serius berhubung surat yang diterima daripada KDN kerana permohonan telah dibuat untuk memperbaharui permit dan parti tidak menerima sebarang respon dari pihak KDN sehinggalah DAP membuat permohonan itu.

Petang Isnin, dua pegawai KDN melawat ibupejabat DAP di Petaling Jaya dan menyerahkan surat tunjuk sebab kepada editor Rocket - versi bahasa Cina.

Surat itu menuntut penjelasan mengapa parti itu meneruskan penerbitannya meskipun tempoh permitnya telah berakhir.

Sekiranya penjelasan yang diberikan tidak memuaskan, Rocket besar kemungkinan juga menghadapi tindakan digantung.

Sebelum ini, dua lagi organ Pakatan Rakyat, Suara Keadilan yang dimiliki KEADILAN digantung manakala Harakah yang dimiliki oleh PAS diberi dua surat tunjuk sebab.

Dalam hal yang sama, Harakah semala menjawab surat tunjuk sebab kedua daripada KDN berhubung penerbitan dan pengedaran akhbar itu yang telah tamat tempoh permit.

Pengerusi Jemaah Pengarah Harakah, Datuk Mustafa Ali dan Pengarah Urusan, Datuk Kamaruddin Jaffar dipanggil KDN kerana tetap meneruskan penerbitan akhbar itu meskipun permitnya tidak diperbaharui.

Selangor Keluar Kertas Putih Isu Talam, Tanah Hujung Tahun

Posted: 14 Jul 2010 06:00 AM PDT

Oleh Norasikin Samsi


SHAH ALAM 14 Julai - Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor akan mengeluarkan kertas putih yang mengandungi kajian dan bukti bagaimana tanah kerajaan negeri telah diberikan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak tidak bertanggungjawab kepada syarikat tertentu di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kertas putih itu juga mengandungi laporan berkaitan kutipan hutang berjumlah RM392 juta daripada syarikat Kumpulan Talam Corporation.

Bagi menjamin ketelusan dalam setiap transaksi, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan turut mengumumkan kutipan hutang Talam secara berperingkat dari masa ke semasa.

"Hujung tahun ini kertas putih tersebut akan dikeluarkan untuk dibincangkan dalam Dewan supaya ia jadi pengajaran kepada pegawai kerajaan dalam membuat justifikasi pemberian tanah dan kontrak.

"Saya memang menunggu permintaan tersebut (kertas putih) sebab saya nak tulis satu kes lagi macam mana tanah ini diberi sewenang-wenangnya kepada individu tertentu.

"Kertas putih yang akan dikeluarkan sudah mendapat persetujuan daripada Kumpulan Talam. Sekarang kita sedang kumpul fakta berhubung perjanjian tersebut," katanya menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam.

Bagaimanapun, menurut Menteri Besar, beliau memerlukan masa untuk meneliti keputusan yang dibuat oleh Exco Selangor berkaitan tanah yang diberikan kepada Kumpulan Talam sebelum ini bagi tujuan kertas putih tersebut.

"Saya dapati banyak yang dinyatakan tidak ditulis dengan baik. Keputusan Exco (sebelum ini) agak terlalu longgar, dipersetujui untuk diberi kepada individu tertentu tetapi sebabnya tak ada," jelas beliau.

Abdul Khalid berkata berhubung isu Talam kerajaan negeri mendapati banyak kelemahan seperti keputusan mesyuarat Exco memberikan kontrak kepada syarikat tertentu tanpa dinyatakan sebab syarikat itu mendapat kontrak.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga telah menandatangani perjanjian dengan Talam untuk membolehkan kerajaan negeri menuntut hutang-hutang lain yang diragui yang tidak termasuk dalam jumlah RM392 juta tersebut.

Katanya, usaha kerajaan negeri mengutip semula hutang Talam ini telah mendorong syarikat lain tampil membayar hutang kepada Menteri Besar Diperbadankan (MBI).

"Syarikat-syarikat ini tidak mahu hutang mereka dengan kerajaan negeri dibincangkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor," katanya.

Tambah beliau, Jabatan Audit Negara akan dijemput untuk mengaudit akaun yang terlibat dalam pengambil alihan hutang Talam.

Menjawab pertanyaan lisan ADUN Teratai, Janice Lee berhubung hasil yang diperolehi kerajaan negeri daripada Talam, Abdul Khalid berkata, setakat ini kerajaan negeri telah berjaya mendapatkan kutipan aset tanah berjumlah RM290 juta sementara dalam bentuk tunai pula sebanyak RM50 juta.

"Hutang berkenaan kini berada di bawah seliaan Menteri Besar Incorporated," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri telahpun menerima kutipan berjumlah RM57.88 juta bagi penyelesaian dalam bentuk tunai yang diterima daripada hasil jualan sekaligus bermakna aset terbabit bebas daripada hutang bank.

Menurut Abdul Khalid, aset tersebut membabitkan 400 ekar tanah Ulu Yam bernilai RM18 juta, saham di Ulu Yam Golf Resort RM4.2 juta, 12 ekar tanah di Puncak Jalil RM12 juta, lima unit ruang pejabat Menara Pandan RM11 juta, tunai yang telah diasingkan RM5 juta dan pulangan daripada kerja tanah PISSB RM7.68 juta.

Sementara harta lain yang turut diperolehi kerajaan negeri daripada Talam merangkumi tanah seluas 25.94 ekar di Bukit Beruntung yang bernilai RM16.9 juta.

Selepas ditolak pinjaman bank oleh Talam berjumlah RM795 juta, kerajaan negeri mendapat RM9 juta yang mana tanah tersebut telah dibeli oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri juga sedang dalam proses mengutip hasil jualan tanah termasuk di Bestari Jaya, Bukit Beruntung 2 dan Danau Putra.

Katanya, tanah tersebut pada asalnya adalah tanah kerajaan negeri yang telah diberikan kepada syarikat swasta.

"Sebagai contoh, tanah di Bestari Jaya yang diberikan kontrak kepada Talam untuk membina Unisel bernilai lebih RM600 juta. Kemudian kerajaan negeri terdahulu telah memberi kontrak pembinaan Unisel ini kepada syarikat kroni," katanya.

Surat Sokongan Ahli Parlimen Yang Membawa Rebah

Posted: 14 Jul 2010 05:48 AM PDT

Oleh Frederick Luccas

KUALA LUMPUR 14 Julai - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mempersoalkan motif komen Kelab Penyokong Barisan Nasional yang dilaporkan tidak berpuashati dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Pengerusi Unit Penyampaian dan Prestasi Pengurusan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala berkenaan surat sokongan yang dikeluarkan ahli parlimen untuk sesuatu projek.

Beliau menjelaskan saranan yang dibuat Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berpandukan penelitian dan penyelidikan rapi yang dibuat Pemandu dan disokong oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta dimasukkan di dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).

Kata Tony pada sidang media di parlimen semalam, ini bertujuan agar tidak memberikan tekanan yang tidak sepatutnya kepada pegawai kerajaan untuk mengelak dan melanggar dasar yang ditetapkan kerajaan.

"Pegawai kerajaan apabila mendapat surat sokongan daripada 'big boss' terpaksa menurut sahaja hanya kerana mahu menyenangkan hati ahli politik terbabit," tegas Tony.

Kata beliau, laporan media juga menyatakan terdapat ahli parlimen Umno-BN yang berkata ini adalah cara anggota Dewan Rakyat membantu masyarakat di kawasan parlimen masing-masing terutamanya dalam situasi mendapatkan tempat di universiti dan sebagainya.

"Selain Backbenchers, Datuk Seri Nazri Aziz yang bertanggungjawab untuk bidang anti-korupsi dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) juga menentang saranan Idris Jala.

"Ini menunjukkan betapa kurangnya kemahuan politik BN untuk berubah dan menentang penyelewengan yang berleluasa di negara kita," kata beliau lagi.

Tony memberi satu contoh penggunaan surat sokongan dari daripada bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy untuk menyokong Kuala Dimensi Sdn Bhd milik Pengerusi Kelab Penyokong BN, Datuk Seri Tiong King Sing yang mengakibatkan kerajaan terpaksa menjadi penjamin kepada pinjaman KDSB sebanyak RM3.6 bilion.

"DAP menyokong tindakan Pemandu untuk menghapuskan penggunaan surat sokongan ini dan ingin menambah jika surat menyatakan "dapat dipertimbangkan" maksudnya pertimbangkan dan bukannya membawa maksud mesti dibuat.

"Kami ingin menggesa kerajaan untuk terus menghentikan penggunaan surat sokongan bagi apa-apa tujuan mendapatkan kepentingan daripada agensi kerajaan sebagai bukti usaha dan komitmen kerajaan membanteras penyelewengan dan salahguna kuasa.

"Jika tidak, GTP ini akan tinggal hanya retorik, lantas membuktikan kerajaan Umno-BN tiada kemampuan untuk berubah," tegas Tony.

TPM: Khalid Tak Pandai Urus Pasir? Betul

Posted: 14 Jul 2010 02:24 AM PDT

Berkatalah bijaksana tpm, bahawa mb tak pandai urus pasir. Betul! Sepatutnya khalid kena urus macam khir tolol. Alang-alang urus,biar sampai boleh bawa 1keluarga p disneyland.

Apa lah khalid,betul sangat urus negeri. Betul kata muhyiddin, khalid perlu belajar lebih dengan khir cara untuk 'urus' wang rakyat bagi kepada kroni.

Khir didahulukan, kroni diutamakan.

Haramkah atau perbetulkan ESQ?

Posted: 13 Jul 2010 11:30 PM PDT

Wan Nik Wan Yussof

Persoalan haramkah atau perlukah diperbetulkan ESQ berbangkit setelah pihak Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Wan Zahidi Wan Teh mewartakan hujahnya dalam bentuk fatwa Mufti Wilayah Persekutuan bahawa kursus ESQ bercanggah dengan ajaran Islam.

Menurut fatwa tersebut, kursus ESQ yang diasaskan oleh Ary Ginanjar Agustian adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariat Islam. Fatwa tersebut telah menguraikannya kepada 10 ajaran yang difatwakan menyeleweng, antaranya adalah mendukung fahaman Islam liberal dan plural agama, mendakwa para Nabi mencapai kebenaran melalui pencarian bukan pilihan Allah, mencampur aduk ajaran Islam dengan Kristian, Yahudi dan amalan kerohanian Hindu, menekankan suara hati sama dengan Hindu, mengutamakan logik, mengingkari mukjizat, menggunakan Kod 19 rekaan Rasyad Khalifah untuk mentafsir al-Quran, menyamakan bacaan 17 kali surah al-Fatihah dengan amalan Bushido menurut agama Buddha, mengiaskan mukjizat Nabi Musa dengan apa yang berlaku kepada seorang juruterbang, dan mentafsirkan kalimah syahadah sebagai "triple one" sama dengan konsep trinity dalam ajaran Kristian.

Kepada umat Islam seluruhnya, hujah Mufti Wilayah Persekutuan itu sudah menjadi satu fatwa bila ia diwartakan pada 17 Jun 2010. Meskipun pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom sudah menghadkan pemakaian fatwa itu untuk Wilayah Persekutuan sahaja (Utusan Malaysia, 9 Julai 2010), namun ia dilihat sebagai kenyataan yang terkeluar daripada konteks amalan keIslaman. Penting dilihat ialah pihak mufti sudah memfatwakan dengan mengemukakan hujah lalu menghukum ESQ haram kerana ada beberapa perkara amalan di dalam ESQ bercanggah dengan Islam.

Sementara ada pihak lain yang belum boleh menerima fatwa tersebut, malah terus menghalalkan ESQ itu dengan pelbagai alasan yang bukan hujah memfatwa. Termasuklah menyandarkan hasil muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang dikatakan berhujah yang tidak mengharamkan. Walau bagaimanapun, majlis itu belum mengeluarkan lagi sebarang fatwa mengenai ESQ itu.

Hujah lawan hujah

Maka di sana masing-masing sudah ada hujah. Justeru jika mahu menolak hujah Mufti Wilayah Persekutan itu, perlulah pihak yang hendak menolak itu menjawab atau memperbetulkan hujah Mufti Wilayah Persekutuan itu. Langkah berlaku adil terhadap fatwa mufti itu amat baik. Dalam kaedah muzakarah pun, apabila berhujah perlu dijawab dengan hujah dan hujah mana yang boleh disepakati menepati ajaran Islam, maka hujah itu diterima sebagai benar.

Dalam kes ESQ, pihak Mufti Wilayah Persekutuan sudah membutirkan 10 hujah yang mempamerkan ESQ bercanggah dengan Islam dan jika ingin menafikan hujah itu, perlulah dijawabkan kesemua 10 hujah tersebut dengan hujah Islam yang lebih sahih dan menepati hukum. Mana yang dinilai bercanggah dan tidak benar tentang ESQ hendaklah diperbetulkan agar selari dengan Islam.

Fatwa mufti mendahului

Malangnya, sehingga kini pihak Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) belum bersidang untuk memutuskan fatwa mengenai ESQ. Jawatankuasa itu hanya baru bermuzakarah sahaja. Sedangkan pihak Mufti Wilayah Persekutuan telah mendahuluinya. Kenapa lambat sangat? Mungkin belum cukup kajian dibuat. Sedangkan sebelum ini Panel Kajian Aqidah Jawatankuasa Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dikatakan telah melakukan kajian (antara Ogos 2008 hindaa Februari 2009) dan menyimpulkan ada modul ESQ yang bercanggah dari segi akidah dan syariah. Namun, perkara itu tidak disusuli dengan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa MKI. Dalam hal ini, nampaknya Mufti Wilayah Persekutuan lebih prihatin dan bersistem dalam menjalankan tugas sehingga mendahului Jawatankuasa Fatwa MKI. Demikianlah mufti itu melaksanakan prinsip tugas didahulukan dan fatwa diutamakan.

Fatwakan di peringkat kebangsaan

Dalam menyelesaikan kekeliruan atau kekaburan serta percanggahan tentang penerimaan kursus motivasi ESQ ini, sebaiknya muzakarah dapat diadakan sekali lagi. Muzakarah itu penting bagi memahami realiti kursus ESQ sebelum difatwakan di peringkat kebangsaan. Setidak-tidaknya dapat memandu masyarakat yang berminat dengan ESQ memahami isu agama sebenar yang tersirat di sebalik kursus yang diikuti nanti. Paling utama, kandungan fatwa Mufti Wilayah Persekutuan itu dapat dijadikan bahan untuk dimuzakarahkan. Berpandukan hujah mufti itu sebagai bahan perbincangan diyakini banyak persoalan dapat dirungkaikan. Paling penting dirungkaikan adalah apa yang tersirat dan tersurat asas Islam di sebalik pendekatan motivasi diri yang memberi makna E (emotion), S (spiritual) dan Q (quotient) atau dipermudahkan sebagai kecerdasan emosi dan spiritual yang kini mencandui segelintir masyarakat yang mencari kesedaran akidah dan akhlak Islam serta kesungguhan diri ke arah terbaik.

Oleh kerana itu, ia tidak padan dengan pengumuman mufti-mufti untuk menjawab semua persoalan yang keliru mengenai pengisian kursus ESQ. Misalnya, Sinar Harian (9 Julai 2101) menyiarkan jawapan Mufti Perak yang menghukumkan motivasi anjuran ESQ Leadership Centre Sdn Bhd (ESQ) tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam selain tidak mempunyai unsur-unsur yang membawa kesesatan dan tidak ada kena mengena dengan fahaman liberalisme dan pluralisme.

Bagaimana pula dengan hujah Mufti Wilayah yang memfatwakan kursus ESQ itu adalah mendukung fahaman liberalisme dan pluralisme-agama. Bukti dengan hujahnya berlaku dalam kursus ESQ amalan mentafsir nas-nas agama secara bebas dan mengajar peserta berfahaman semua agama adalah sama dan benar.

Masyarakat ingin tahu, apakah hujah Mufti Perak lebih menepati hukum berbanding Mufti Wilayah Persekutuan, sedangkan hujah Mufti Wilayah Persekutuan sudah dapat dibaca.

Langkah penyelesaian

Langkah ke arah penyelesaian amat wajar memandangkan alumni atau lepasan kursus ESQ ini sudah puluhan ribu. Berpandukan kenyataan Mufti Selangor (Sinar Harian 12 Julai), pihak berwajib fatwa belum memutuskan apa-apa fatwa, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa MKI dapat bertindak cepat sebelum kekhilafan menjadi lebih kusut. Apa yang utama, pihak Jawatankuasa Fatwa MKI itu dapat menjadi penyelesai muktamad sesuai dengan fungsinya ke arah menyelesaikan masalah-masalah keagamaan kini melanda masyarakat Islam yang melalui atau akan melalui kursus ESQ.

Di mana perginya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diberi tanggungjawab memajukan Islam di negara ini? Seharusnya Jakim bertindak secara produktif dan aktif. Jangan pula Jakim dilihat sebagai agensi pusat yang cepat dalam hal ehwal politik pemerintah seperti isu Wahabi dan Syiah sahaja. Semoga bergandingan baik Jawatankuasa Fatwa MKI dengan Jakim. Perbetulilah mana yang tersilap. Kini isu ESQ sudah kelihatan tersilap, maka perbetulkan demi kemajuan seluruh umat Islam.

Kenapa perlu sangat ESQ

Sebenarnya dalam pokok ajaran Islam telah terkandung nas yang cukup bagi memotivasi diri, alam pekerjaan dan bermualamat dengan persekitaran hidup kita. Justeru apa perlu sangat mengikuti kursus ESQ. Sampai ia semacam fenomena bagi organisasi termasuk sektor awam mengikuti kursus ESQ. Sedangkan Islam yang didatang khusus oleh Allah SWT adalah mencapai makam tertinggi dan paling sempurna dan lengkap di dalam menyantuni seluruh aspek kehidupan manusia.

Tambahan pula ESQ adalah ciptaan manusia yang hanya bertaraf khalifah di bumi, lalu ia terdedah dengan segala macam kerendahan dan kekurangan. Oleh itu, munasbahnya kursus ESQ itu dipersembahkan dengan pelbagai seni pendorong, meskipun memakai nilai-nilai yang bersumberkan bukan dari Islam.

Kaji pengalaman Kelantan

Oleh sebab itu, sewajarnya umat Islam mengetahui dan menyakini bahawa pokok ajaran Islam dalam konteks motivasi diri, kecerdasan dan kerohanian telah ada nilai terasnya, iaitu ubudiah (pengabdian), masuliah (tanggungjawab) dan itqan (cemerlang), ringkasnya UMI. Pihak Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan telah memakmurkan pentadbiran negeri Kelantan berteraskan UMI ini selama 20 tahun dan terbukti menghasilkan natijah yang berintegriti. Maka, penghuraian apa makna sekalipun atas nama Islam yang bertujuan mencari kebaikan dan kehebatan diri mestilah berpandukan kepada prinsip nilai teras UMI ini. Ini kerana teras UMI ini adalah relevan dan mempunyai kekuatan untuk memandu manusia menjalankan apa sahaja urusan dengan Allah SWT, urusan sesama manusia dan dengan alam sejagat.

Sehubungan itu, apabila menelusuri pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz di dalam isu ESQ ini, maka seruan kepada pihak yang begitu kagum dengan kursus ESQ itu (sehingga sanggup mempertahan dan membelanya) sewajarnya diteliti beberapa persoalan untuk dijawab. Antara persoalannya, pertama kenapa kita mudah terpengaruh dengan pendekatan-pendekatan baru, sedangkan ajaran Islam sebagai ad-din telah sempurna. Islam adalah dari Allah Tuhan Yang Maha Pencipta yang bersifat milik hakiki dan kalimah Allah.

Kedua, apa perlu kita fikir dan rumuskan 'barang' yang telah ada di dalam Islam, apa hebatnya kursus ESQ itu jika dibandingkan pendekatan Islam yang meletakkan pendorong utama kehidupan adalah pahala/dosa, syurga/neraka, ikhlas/riak/takabur dan iman/kafir/munafik. Bagi insan yang bergelar manusia sebagai khalifah Allah di bumi, bermula akhil-baligh seharusnya telah memilih jurus hidupnya yang memenuhi perintah Allah SWT dan Rasul-Nya. Ini bermakna pilihan tepat adalah mengutamakan iman, berniat ikhlas, mengharapkan syurga Allah dan menjadikan pahala sebagai bekalan menghadapi alam akhirat.

Ketiga, sekiranya kita merasai dengan mengikuti kursus ESQ kita berupaya mencapai kebijaksanaan dan kecemerlangan, apakah kita telah memahami hakikat Islam, iman dan ehsan yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya. Sedangkan di dalam Islam terlalu banyak ruang untuk kita mencapai kecerdasan rohani dan emosi malah jasmani serta kualiti kerja. Antaranya mengamalkan doa harian, solat fardu, amalan sunat, bersedekah dan seumpamanya yang sukatannya telah dirumus sendiri oleh Nabi Muhammad SAW. Justeru, tidak semestinya kursus ESQ satu-satunya ruang untuk kita mencapai kecerdasan atau ruang untuk kita menunjuk-nunjuk kebijaksanaan.

Keempatnya, apa jaminan ESQ akan membantu kita mencapai rahmat Allah SWT dan syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak. Adakah dengan mengikuti kursus ESQ akan membawa kita ke syurga? Sedangkan, kekeliruan yang timbul sekarang (berikutan persimpangan hujah antara Mufti Wilayah Persekutuan dengan beberapa mufti negeri lain) telah menelanjangkan hakikat ESQ adalah sebenarnya tidak sempurna dari segi akidah dan syariat Islam. Ketidaksempurnaan itu harus diuruskan terlebih dahulu dan sebarang kekeliruan hendaklah diperjelaskan demi memurnikan akidah dan syariat masyarakat Islam. Sesuatu yang sempurna sahaja akan mendapat nilai kasih-sayang dari Allah SWT.

Kelima, realiti di dalam Islam, al-Quran adalah rujukan mutlak dan Nabi Muhammad SAW merupakan ikutan dan idola kepada sekalian umat dan alam semesta. Sesungguhnya al-Quran adalah perlembagaan hidup dan Nabi pula adalah idola terbaik (qudwah hasanah). Mungkin dengan kekeliruan yang ada, ESQ sudah berada pada persimpangan antara al-haq dan al-bathil. Kedudukan tersebut sekaligus menafikan signifikannya kandungan kursus ESQ boleh dijadikan asas rujukan, jauh sama sekali untuk meletakkan pengasasnya A. G. Gustian sebagai idola yang mampu mendekatkan hakikat keinsanan yang selari dengan sukatan al-Quran.

Keenam, apabila menghayati dan menerima pakai kajian Mufti Wilayah Persekutuan berhubung dengan amalan fahaman-fahaman selain Islam, akhirnya umat Islam akan terperangkap dengan kekufuran yang nyata. Dalam kajian mufti tersebut (bertajuk Kertas Gerakan Islam Liberal di Indonesia dan kaitan dengan ESQ, boleh diakses di laman www.muftiwp.gov.my/) yang memetik fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI), pihak MUI telah mengharamkan umat Islam mengikuti faham pluralisme, sekularisme dan liberalisme agama. Bersesuaian pula dengan penemuan mufti tersebut bahawa di dalam ESQ adanya unsur fahaman ini, maka wajarlah asas-asas motivasi diri untuk mencapai kelebihan kerjaya dapat dibuat penilaian semula sehingga suatu penyelesaian atas kekeliruan diketemukan. Ada baiknya kita kembali kepada kaedah Islam berasaskan kandungan al-Quran yang menganjurkan prinsip bekerja berteraskan ubudiah, masuliah dan itqan dijadikan panduan utama.

ESQ perlu permurnian akidah

Akhirnya, jika benar apa yang dihujahkan tentang ESQ itu mengandungi unsur campur aduk yang merosakkan akidah dan syariat Islam, sewajarnya kita mengelak dan menjauhinya. Kepada pihak berkuasa agama Islam terutama Jakim dan jabatan mufti setiap negeri seharusnya mengambil pengajaran daripada pengharaman Pertubuhan al-Arqam suatu masa dahulu. Asas pengharaman itu berpunca daripada amalan tarikat yang berlaku di luar konteks akidah dan syariat apabila mempercayai manusia biasa bakal bangkit semula sebagai nabi dan amal ibadatnya pula bertaksubkan manusia. Demikian pula, seketika dahulu sekitar 1950-an pernah berlaku amalan kerohanian bernama Subuk di Kelantan yang menggunakan pendekatan campur aduk pelbagai kepercayaan turut diharamkan. Begitu pula, sebelum ini (Oktober 2008) amalan Yoga di kalangan umat Islam telah diharamkan kerana ia bukan sahaja salah satu cabang agama Hindu malah di dalamnya ada bacaan yang bercanggah dengan akidah Islam.

Oleh itu, sewajarnya di dalam isu ESQ ini umat Islam hendaklah bertindak secara cermat dari segi penglibatan dan pengamalannya, atau perlu dilakukan pemurniaan isi kandungan kursus itu agar tidak terpalit dengan permasalahan campur aduk akidah yang boleh membawa kepada kesyirikan atau kekufuran.

Wan Nik Wan Yussof,

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Selangor, pembangunan dan politik

Posted: 13 Jul 2010 11:00 PM PDT

Azmin Ali

Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan ( No. 2 ) 2010

1. Sebarang usaha untuk mendapatkan perbelanjaan tambahan wajar diasaskan kepada amalan urus tadbir yang baik dan tidak semata-mata kerana kita mampu berbelanja.

2. Pagi ini Dewan akan membahaskan Rang Undang Undang Perbekalan Tambahan 2010 yang memerlukan peruntukkan wang sejumlah RM 117 juta dari Kumpulan Wang Disatukan Negeri bagi menampung perbelanjaan tambahan perkhidmatan 2010.

3. Ini adalah Perbekalan Tambahan Kedua dalam tahun ini. Tambahan Pertama telah diluluskan oleh Dewan dalam sesi bulan April yang lalu dengan peruntukkan tambahan sejumlah RM 69 juta. Anggaran perbelanjaan 2010 telah membengkak dari RM 1.3 bilion kepada RM 1.49 bilion. Persoalannya adakah ini amalan urus tadbir kewangan yang berhemah ?

Pendapatan Kerajaan Negeri

4. Hujah yang diutarakan kepada kita untuk mengabsahkan perbelanjaan tambahan ini adalah kerana kutipan hasil dan pendapatan negeri sudah melonjak ke paras RM 1.5 bilion; makanya kita boleh berbelanja lebih, tidak cukup untuk melayakkan kita bergelar pengurus kewangan yang baik.

5. Saya terpanggil untuk merenung ayat 46 - 48 Surah Yusuf yang memberi peringatan keras bahawa tujuh tahun yang makmur akan disusuli dengan tujuh tahun yang gersang.

6. Dalam pembentangan Bajet 2009, Kerajaan Negeri mensasarkan pendapatan sebanyak RM 1.41 bilion. Adakah sasaran ini sudah berjaya dicapai ?

7. Saya juga ingin mendapatkan jawapan dari kerajaan mengenai trend simpanan (reserve) Kerajaan Negeri? Apakah meningkat atau menguncup? Sekiranya pendapatan negeri bertambah, berapa peratuskah yang diperuntukkan untuk dimasukkan dalam simpanan?

8. Pengurusan ekonomi dan kewangan membenarkan perbelanjaan tambahan justeru unjuran yang dibuat tidak menepati keperluan ekonomi semasa yang mungkin mendesak atau apa yang disebut sebagai perbelanjaan am/luar jangka. Dewan ini telahpun mengambil kira perbelanjaan am/luar jangka sejumlah RM 57 juta dalam bajet 2010. Saya ingin tahu apakah kedudukan peruntukkan luar jangka ini setakat 30 Jun 2010?

9. Sekiranya peruntukkan luar jangka ini diurus dengan berhemah dan tidak berlaku pembaziran, Dewan ini tidak perlu memohon peruntukkan perbelanjaan tambahan sehingga mencecah RM 117 juta.

10. Kita tidak boleh berterusan datang ke Dewan ini untuk memohon peruntukan perbekalan tambahan dalam setiap persidangan. Dalam enam bulan yang pertama sahaja, Dewan ini diminta meluluskan perbekalan tambahan sebanyak RM 186 juta. Saya bimbang sekiranya amalan ini diteruskan, negeri akan menanggung bajet defisit dan bukan lagi bajet berimbang.

11. Punca pupusnya peruntukkan luar jangka 2010 sebanyak RM 57 juta ialah Kerajaan Negeri tidak merancang dan mengawal perbelanjaan. Amalan boros ini mesti dihentikan serta merta. Perbelanjaan oleh STANDCO perlu berhemah bagi mengurangkan penggunaan peruntukkan luar jangka Kerajaan Negeri dan merancang perbelanjaan untuk perkara- perkara yang telah dibajetkan.

12. Pengalaman saya di Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri memperlihatkan satu sistem yang cukup telus di mana Kertas Jemaah Menteri oleh mana-mana Kementerian mestilah dikemukakan 2 minggu sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri untuk membolehkan jabatan-jabatan penting memberikan ulasan termasuk Bank Negara, Unit Perancang Ekonomi dan juga Jabatan Peguam Negara.

13. Kertas sampingan tidak dilayan sama sekali. Kertas Jemaah Menteri yang dihantar lewat dan tiada ulasan dari jabatan-jabatan ini tidak akan dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri. Ini adalah amalan urus tadbir yang baik dan perlu dipegang oleh Kerajaan Negeri khususnya Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

14. Saya ingin mendapatkan penjelasan dari Kerajaan Negeri apakah Kertas EXCO yang dibentangkan tanpa ulasan dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Perbendaharaan Negeri, Bahagian Perjawatan boleh diterima dalam Mesyuarat EXCO?

Perbelanjaan Boros

15. Dewan ini menuntut penjelasan perbelanjaan luar jangka yang sudah pupus dalam tempoh suku tahun kedua. Saya difahamkan Kerajaan Negeri mengeluarkan perbelanjaan yang melampau dalam majlis-majlis keraian sehingga mencecah angka hampir setengah juta ringgit bagi satu majlis perasmian. Inilah akibatnya apabila ulasan dari jabatan-jabatan tidak diperolehi terlebih dahulu sebelum kertas ini dibawa ke Mesyuarat EXCO. Amalan boros dan membazir seperti ini mesti dihentikan segera untuk menjimatkan peruntukan luar jangka Kerajaan Negeri.

16. Saya juga ingin mendapatkan penjelasan dari Kerajaan Negeri apakah benar amalan hari ini lebih cenderung untuk melantik juru perunding majlis dan bukan lagi menggunakan perkhidmatan PBT dan Pejabat Daerah Dan Tanah untuk menjayakan majlis-majlis anjuran Kerajaan Negeri. Saya ingin mengetahui siapakah syarikat-syarikat swasta yang dilantik untuk menguruskan majlis-majlis Kerajaan Negeri dan berapakah jumlah yang dibayar kepada setiap syarikat?

Simpanan Kerajaan Negeri

17. Saya juga ingin menyentuh isu reserve atau simpanan Kerajaan Negeri yang dikhuatiri mulai merosot. Saya difahamkan simpanan akaun tunai Kerajaan Negeri berjumlah RM 800 juta telah menurun sedikit. Manakala nilai aset tetap Kerajaan Negeri pula mencatatkan RM 700 juta.

18. Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mengenalpasti aset-aset dalam bentuk bangunan untuk dijana bagi mendapatkan hasil atau pulangan kepada Kerajaan Negeri. Kaedah REIT (Real Estate Investment Trust) boleh meningkatkan nilai kepada aset-aset Kerajaan Negeri di mana Kerajaan Negeri boleh mendapat pulangan dalam bentuk tunai dan juga unit-unit saham di dalam REIT. Kerajaan Negeri juga akan memperolehi dividen yang biasanya akan dibayar sebanyak 4 kali setahun dan dividen yang diterima akan diberikan pelepasan cukai.

19. Kerajaan Negeri masih memiliki secara tidak langsung aset-aset yang dimasukkan dalam REIT.

20. Kaedah REIT ini sedang diteliti oleh PKNS dan Kerajaan Negeri boleh bersama-sama dalam usaha ini dan melihat keperluan untuk menggesa badan-badan berkanun seperti PKNS dan juga anak-anak syarikat Kerajaan Negeri untuk segera mengambil peluang ini.

21. Kelembapan ekonomi yang melanda Eropah dan Amerika Syarikat menuntut Kerajaan Negeri untuk bersiap sedia dengan pelan pembangunan fiskal dan kewangan yang akan memastikan rakyat negeri ini mampu mendepani kemungkinan tersebut.

22. Kerajaan Negeri perlu menghadapi kemungkinan situasi "double-dip recession" dengan menghentikan amalan perbelanjaan yang tidak berhemah dan mengukuhkan kadar simpanan.

23. Dalam pembentangan Bajet 2009, Kerajaan Negeri telah mengambil ketetapan bahawa Ketua-Ketua Eksekutif syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri (GLC) yang tidak dapat mengaut kembali kerugian akibat penyelewengan dan salahguna kuasa di bawah pentadbiran yang lama menghadapi kemungkinan dipecat.

24. Kerajaan Negeri harus menjelaskan kepada Dewan ini mengenai kedudukan kewangan kesemua syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri (GLC) serta prestasi Ketua-Ketua Eksekutif. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga perlu mengiktiraf sumbangan dan prestasi pengurusan baru PKNS dan PNSB yang cekap dan baik dan telah berjaya melonjakkan pendapatan syarikat dan sekaligus meningkatkan pendapatan kerajaan Negeri.

Hutang Talam dan Skim Mikrokredit

25. Dewan ini telah membincangkan dengan panjang lebar mengenai usaha Kerajaan Negeri untuk merealisasikan hutang Talam Corporation melalui kaedah "round tripping". Sasaran kerajaan untuk mengutip hampir RM 400 juta. Pinjaman bank yang dibuat oleh SIC dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Negeri yang kemudiannya melaburkan semula dalam MBI untuk mencapai matlamat merealisasikan hutang Talam Corporation dalam akaun Kerajaan Negeri.

26. Saya ingin mengetahui sejauh mana kejayaan usaha Kerajaan Negeri untuk mengutip hutang dari Talam Corporation? Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk mewajibkan Talam Corporation untuk mengambil tanggungjawab bersama mencari pembeli-pembeli untuk membeli hartanah-hartanah Talam Corporation ini pada harga pasaran semasa dan tidak hanya membebankan Kerajaan Negeri atau anak-anak syarikat Kerajaan Negeri sahaja untuk membeli hartanah-hartanah yang berkenaan.

27. Kerajaan Negeri telah mengumumkan bahawa kutipan hutang yang pertama berjumlah RM 50 juta akan dimanfaatkan untuk Skim Mikrokredit bagi kepentingan peniaga-peniaga kecil di kalangan rakyat Selangor. Skim ini telah diumumkan lebih 4 bulan yang lalu namun perlaksanaannya masih kekal di atas kertas.

28. Saya ingin bertanya apakah status skim mikrokredit ini. Saya menuntut supaya perlaksanaannya disegerakan. Saya difahamkan bahawa pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) baru sahaja meluluskan nama skim ini. Apakah ini cara kerja dan bertindak oleh sebuah kerajaan yang berpegang teguh kepada prinsip reformasi dan ketelusan serta amalan urus tadbir yang cekap?

Saya tidak mahu Kerajaan Negeri mengikuti langkah dan amalan Kerajaan Persekutuan di mana setiap kali diwujudkan dana untuk program rakyat, maka terbentuklah satu lagi jabatan dengan pengurusan baru, perjawatan baru dan pejabat baru. Peruntukkan yang sepatutnya sampai kepada rakyat akan menguncup kerana kos operasi yang besar termasuk elaun pengarah dan pengurusan ubah suai pejabat dan pelbagai kemudahan lain. Inilah amalan birokrasi dan pembaziran yang perlu dihentikan oleh Kerajaan Negeri.

29. Saya menggesa agar skim mikrokredit ini dilaksanakan dalam bulan ini juga dengan melantik bank pilihan Kerajaan Negeri untuk menguruskan dana yang kemudiannya menyalurkan peruntukan ini terus kepada Pejabat - Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Negeri Selangor supaya kemudahan ini dapat dinikmati oleh rakyat dengan mudah dan cepat. Kerajaan Negeri harus memberikan kepercayaan kepada pegawai-pegawai kerajaan yang cukup terlatih dan mempunyai keupayaan untuk menjayakan program ini.

30. Saya ingin mencadangkan supaya Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) diberikan tanggungjawab untuk menyelia program ini tanpa perlu diwujudkan lagi jabatan baru dengan birokrasi tambahan. Kerajaan Negeri hanya perlu menetapkan mekanisma penyaluran skim ini tetapi kita menggunakan jentera pentadbiran yang sedia ada untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Kerajaan Negeri telahpun berjaya melaksanakan program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) tanpa kerenah birokrasi tambahan.

31. Penjimatan melalui ketegasan Kerajaan Negeri ini dapat mengurangkan perbelanjaan luar jangka dan akhirnya dapat mengurangkan peruntukkan perbekalan tambahan yang terlalu kerap dipohon oleh Kerajaan Negeri.

Program Air Percuma

32. Saya ingin menyentuh persoalan penyusutan simpanan akaun tunai Kerajaan Negeri yang difahamkan akibat pinjaman mudah kepada KDEB untuk menampung kos program air percuma yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri untuk semua rakyat Negeri Selangor.

33. Dewan ini difahamkan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan menanggung beban kos untuk memberikan air percuma 20 m3 kepada setiap pengguna di Negeri Selangor. Keputusan Kerajaan Negeri ialah keuntungan yang diperolehi oleh KDEB melalui pemilikan saham KPS dalam SYABAS (15 %), SPLASH (30 %) dan ABBAS (100 %) perlulah dikembalikan kepada rakyat Selangor melalui program pemberian air percuma 20m3.

34. Saya ingin bertanya kepada Kerajaan Negeri berapakah jumlah keuntungan yang diperolehi oleh KDEB dalam tahun 2008 dan 2009 melalui pemilikan saham dalam syarikat-syarikat konsesi air Selangor ?

35. Mengapa Kerajaan Negeri memberikan pinjaman mudah kepada KDEB sedangkan KDEB adalah anak syarikat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dalam urusan air di Selangor?

36. Apakah KDEB telah membayar balik pinjaman yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dan jika sudah dibayar; apakah jumlah yang sudah dibayar balik ?

37. Sekiranya Kerajaan Negeri yang mengeluarkan pinjaman kepada KDEB untuk menjayakan program air percuma untuk rakyat Selangor, mengapa cop di atas bil air tertera nama KDEB dan bukannya ihsan Kerajaan Negeri Selangor?

38. Perbekalan tambahan mencatatkan, sejumlah RM74 juta untuk meneruskan program air percuma termasuk RM 19 juta untuk rakyat miskin dan berpendapatan rendah yang tinggal di Rumah Awam Kos Rendah (RKR). Manakala untuk bukan RKR mencatatkan RM 7 juta, Kerajaan Negeri juga ingin pohon tambahan sejumlah RM 48 juta atau RM 12 juta sebulan untuk 4 bulan lagi sehingga Disember 2010.

39. Semenjak program air percuma ini dilancarkan oleh Kerajaan Negeri, Dewan ini telah meluluskan perbelanjaan sebanyak RM 269 juta. Malangnya, yang mendapat faedah daripada program ini bukan golongan miskin dan berpendapatan rendah kerana masalah birokrasi yang melampau sehingga menggagalkan program ini untuk pemilik dan penghuni rumah-rumah pangsa.

40. Hari ini, Alhamdulillah, Kerajaan Negeri telah memulakan langkah yang lebih proaktif dengan mengeluarkan kupon untuk mendapatkan air percuma bagi penduduk-penduduk rumah pangsa kos rendah. Saya berharap program ini akan meliputi semua rumah pangsa dalam Negeri Selangor tanpa perlu menunggu pilot project.

41. Dalam sesi yang lepas, Dewan telahpun meluluskan perbekalan tambahan untuk tujuan yang sama berjumlah RM 69 juta dengan harapan masalah air ini boleh diselesaikan sebelum bulan September 2010. Namun, hari ini Dewan pohon lagi peruntukan tambahan bagi meneruskan program untuk kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

42. Persoalan saya ialah apakah status penstrukturan air Selangor dengan Kerajaan Persekutuan? Apakah status cadangan pengambil alihan syarikat - syarikat konsensi air oleh Kerajaan Negeri ?

43. Saya difahamkan Kerajaan Negeri telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari penyelesaian tetapi masih ada pihak yang cuba menggagalkan usaha murni ini. Justeru itu, saya mendesak Kerajaan Negeri supaya mendedahkan dalam Dewan ini semua dokumen dan surat menyurat dengan Kerajaan Persekutuan bagi menjustifikasikan perbekalan tambahan ini ekoran kedegilan pihak Kerajaan Persekutuan yang mengamalkan dasar flip flop termasuk penstrukuturan industri air di Negeri Selangor.

44. Media hari ini melaporkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang antara lain menyebut situasi air di Selangor kritikal dan Selangor menghadapi krisis air. Muhyiddin Yassin juga menuduh Menteri Besar tidak tahu mengurus Kerajaan Negeri dan mendakwa Kerajaan Negeri Selangor mengalami defisit yang besar. Ini adalah satu tuduhan yang jahat dan bersifat mala fide.

45. Pendekatan yang diambil oleh Menteri Besar adalah untuk mempertahankan hak rakyat Negeri Selangor manakala jelas pemimpin UMNO mempertahankan kroni-kroni mereka termasuk SYABAS yang sedang menghadapi masalah kewangan yang serius.

46. Kenyataan yang perlu dipelajari oleh Muhyiddin daripada Menteri Besar ialah pengurusan kewangan yang telus dan berhemah demi kesejahteraan rakyat. Walaupun Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 120 juta setahun untuk Program Air Percuma, Kerajaan Negeri Selangor masih berupaya mengurus bajet berimbang.

47. Muhyiddin bertanggungjawab untuk menjawab persoalan rakyat mengapa Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional di peringkat Pusat dan Negeri sebelum Mac 2008 telah bersetuju menandatangani perjanjian konsesi air dengan SYABAS dan membenarkan tarif air melonjak naik kepada 37 % dalam tahun 2008 dan tambahan 25% pada tahun 2011 serta 15% untuk 2014 dan 10% untuk setiap 3 tahun berikutnya. Pastinya perjanjian ini membebankan rakyat terbanyak dan memberikan keuntungan melampau kepada kroni UMNO dan Barisan Nasional.

48. Muhyiddin juga bertanggungjawab untuk menjelaskan mengapa Kerajaan Persekutuan memberikan pinjaman mudah tanpa faedah berjumlah RM 320 juta untuk tempoh 20 tahun yang akhirnya akan membebankan Kerajaan dengan pembayaran faedah kepada bank dan pemegang bon berjumlah RM 240 juta.

49. Jelas, Kerajaan Persekutuan mempunyai motif politik yang jahat untuk menghukum rakyat Negeri Selangor dan meneruskan agenda untuk memunggah Kekayaan dan khazanah negara untuk kroni-kroni mereka.

50. Kepimpinan Muhyiddin selaku Menteri Besar Johor pada satu ketika dahulu telah meninggalkan padah yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Johor dengan kadar tarif air yang tertinggi di dalam negara.

Perbekalan Tambahan Untuk Pembangunan

51. Kerajaan juga ingin memohon kelulusan perbekalan tambahan untuk pembangunan sejumlah RM 7 juta bagi tahun 2010 untuk membina jalan di Bukit Beruntung yang menelan kos keseluruhan RM 20 juta. Saya difahamkan jalan ini sepatutnya dibina oleh Talam Corporation yang sekali lagi gagal menyempurnakan tanggungjawab dan mengkhianati pembeli-pembeli rumah di Bukit Beruntung. Masalah CF telah berlarutan terlalu lama akibat kegagalan menyiapkan jalan ini.

52. Untuk menjaga kepentingan rakyat, Kerajaan Negeri bersetuju untuk membina jalan ini dan akan menuntut semula dari Talam Corporation. Untuk memastikan Talam Corporation membayar balik kepada Kerajaan Negeri kos pembinaan jalan ini, saya menggesa supaya Kerajaan Negeri dan Jabatan Kerja Raya bertegas dalam perjanjian dengan Talam Corporation termasuk kontra dengan aset dan hartanah yang dipegang oleh Kerajaan Negeri.

53. Saya tidak melihat dalam peruntukan perbekalan tambahan ini sebarang usaha untuk menurap jalan-jalan di seluruh kawasan pentadbiran PBT dan juga masalah kutipan sampah yang menghantui rakyat Negeri Selangor.

54. Saya pernah mencadangkan supaya Kerajaan Negeri melihat permasalahan ini secara serius termasuk menggesa PBT yang mempunyai simpanan yang besar supaya mencairkan sebahagian daripada aset dan simpanan tetap untuk menangani masalah ini.

Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai

55. Sehingga Disember 2009, sebanyak 141 projek perumahan terbengkalai yang terpaksa diwarisi oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat ekoran kecuaian Kerajaan Negeri yang terdahulu. Projek-projek ini melibatkan 10,000 unit rumah dan memerlukan RM 5 bilion untuk dipulihkan. Justeru itu, perumahan terbengkalai harus dipulihkan secara serius menerusi langkah yang proaktif dan tidak dibelenggu dengan birokrasi.

56. Ketidakpuasan hati rakyat menuntut Kerajaan Negeri bertindak segera dengan menubuhkan "one stop centre" bagi menyelaras dan mempercepatkan kelulusan dengan syarat-syarat ketat ke atas pemaju-pemaju untuk menyiapkan projek-projek tersebut.

57. Sekretariat perlu ditubuhkan untuk menyalurkan "seed fund" yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM 5 juta kepada pemaju-pemaju yang terpilih melalui proses yang telus dan juga berperanan memantau dan memastikan komitmen ini dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat.

58. Justeru itu, terma rujukan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) diperluaskan untuk memberi bidang kuasa bagi sebarang tindakan proaktif termasuk mendapat nasihat daripada pihak-pihak berkaitan bagi tujuan menyelaraskan perbincangan dengan kesemua stakeholders untuk mencapai persetujuan.

Penswastaan Penyeragaman Sistem Kutipan Letak Kereta

59. Kerajaan Negeri perlu memastikan bahawa sebarang perjanjian atau konsesi akan memberi pulangan yang sewajarnya melalui prinsip "value for money".

60. Monopoli yang bertujuan mengaut kekayaan negeri dan berlegar di kalangan dua tiga kerat adalah sistem UMNO-BN yang lapuk bagi meneruskan sistem 'patronage' dan "rent-seeking".

61. Suasa Efektif ( M ) Sdn Bhd dan Syarikat Godell Parking Sdn. Bhd adalah dua buah syarikat konsesi yang melaksanakan sistem Kutipan Hasil Tempat Letak Kereta untuk tempoh konsesi selama 20 tahun dengan PBT.

62. Saya difahamkan syarikat-syarikat konsesi ini gagal membuat pembayaran sewa tempat letak kereta kepada PBT-PBT mengikut perjanjian. Sebagai contoh, tunggakan Suasa Efektif kepada MPK sudah mencecah RM1.1 juta, tunggakan kepada MPS berjumlah RM 1.3 juta, kepada MPAJ sudah mencecah hampir RM 400,000 dan MPKj berjumlah hampir RM 135,000. Manakala, Syarikat Godell gagal melunaskan tunggakan kepada MBPJ berjumlah RM 1.8 juta. Siapakah di belakang syarikat-syarikat ini? Kerajaan Negeri harus mengambil tindakan tegas ke atas syarikat-syarikat kroni UMNO dan Barisan Nasional.

63. Kegagalan (PBT) mendapatkan pembayaran kutipan kompaun akan menjejaskan sistem perkhidmatan dan akan membebankan rakyat. PBT harus memaksimumkan "earning potential" untuk memastikan "public service delivery" yang cekap.

64. Perjanjian syarikat konsesi juga berat sebelah. MPAJ hanya mendapat 30 peratus manakala baki 70 peratus kutipan kompaun dan pembayaran tempat letak kereta dimiliki oleh Suasa Efektif. Adakah ini merupakan tindakan komersil yang adil kepada PBT?

Pencabulan Perlembagaan Oleh Kerajaan Persekutuan

65. Saya difahamkan usaha Kerajaan Negeri untuk menimbangkan permohonan atau cadangan untuk menukar syarat tempoh pajakan (leasehold) kepada hakmilik selama-lamanya (freehold) tergendala ekoran pencabulan undang-undang oleh Kerajaan Persekutuan. Saya difahamkam Mesyuarat Majlis Tanah Negara yang bersidang pada bulan Disember 2008 telah cuba mencampuri urusan penganugerahan tanah oleh Kerajaan Negeri atas alasan untuk tujuan penyeragaman.

Kerajaan Persekutuan juga mengambil peranan untuk memberikan definasi kes-kes khas yang melibatkan permohonan untuk kelulusan tukar syarat tanah daripada leasehold kepada freehold.

66. Saya dapat menghidu tindakan Kerajaan Persekutuan ini adalah mala fide dan bermotifkan politik ekoran tindakan Menteri Besar Perak yang sah, Mohd Nizar Jamaluddin menganugerahkan lebih 100,000 lot tanah-tanah Kampung Tersusun kepada orang-orang Melayu manakala 40,000 lot tanah-tanah di kampung-kampung baru Cina untuk orang-orang Cina dan juga kelulusan untuk tanah-tanah bagi kepentingan orang-orang India di Perak. UMNO cemas dengan dasar Pakatan Rakyat yang adil dan telus. Mereka menggunakan Majlis Tanah Negara untuk merampas kuasa Kerajaan Negeri.

67. Saya ingin menggesa supaya Kerajaan Negeri segera meneliti keputusan Majlis Tanah Negara ini dan mencabar keabsahannya di mahkamah demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

Pengiktirafan Kepimpinan

68. Bagi pihak Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Selangor saya ingin menzahirkan sokongan padu kepada pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Abdul Khalid Bin Ibrahim.

69. Teman-teman Ahli Dewan Negeri akan mempertahankan hak dan hasrat rakyat untuk melihat perubahan.

70. Saya yakin prinsip - prinsip yang didukung oleh YAB telah menjadi asas kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor semenjak Mac 2008. Kebijakan yang digarap pastinya demi mengangkat urus tadbir yang baik, keterbukaan, ketelusan serta meraikan prinsip dan amalan demokrasi.

71. Dasar dan agenda reformasi yang saya ungkapkan di atas ini telah mendorong memacu pertumbuhan ekonomi, teknologi dan inovasi demi kesejahteraan rakyat Negeri selangor.

72. Apa yang tidak dapat disangkal; program – program tersebut memenuhi maksud Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor yang turut menjana keharmonian sosial dalam Negeri. Tidaklah saya berlebihan untuk menyatakan Negeri Selangor adalah model kepada keharmonian dan kerukunan sosial dalam negara.

73. Atas kesedaran ini dan semangat "team work"; marilah kita berpadu tenaga untuk terus mendokong kepimpinan Menteri Besar dan dasar-dasar Kerajaan Negeri yang menjamin kesejahteraan untuk semua rakyat Negeri Selangor.

Tenang-tenang air laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Tetap setia pasti dijunjung.
------------------
*Teks perbahasan DUN Selangor, oleh Mohamed Azmin Ali selaku Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa.

MP Bebas 'di bawah ketiak' Umno

Posted: 13 Jul 2010 10:30 PM PDT

Mohd Rashidi Hassan

BOLEHKAH rakyat menerima wakil-wakil rakyat yang mengingkari perjuangan asal mereka, mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas sebagai sebuah institusi baru dalam politik negara?

Sejarah 50 tahun proses demokrasi di Malaysia, sokongan rakyat terhadap wakil Bebas hanyalah isu terpencil. Hanya ada dua atau tiga orang sahaja yang menang bertanding atas Bebas.

Mereka tidak boleh menjadi institusi dan tidak mampu mencorak arus politik negara kerana mereka menjadi Bebas, berdasarkan kepada sebab-sebab yang tertentu.

Tanpa ada pertikaian, sebelum ini ada calon Bebas yang menang di atas kapasiti peribadi mereka yang amat dikagumi masyarakat setempat.

Namun, wakil-wakil rakyat Bebas yang ada dalam negara sekarang ini, kebanyakannya menang atas kepercayaan rakyat terhadap parti yang diwakili, bukan atas kekuatan peribadi mereka.

Tanpa ada parti, tanpa dokongan parti, tanpa kerjasama pengundi dan penyokong parti, mereka ini hanyalah 'sampah-sampah' politik yang tiada nilainya.

Di Parlimen ada lapan orang Ahli Parlimen (MP) Bebas, iaitu Ibrahim Ali (Pasir Mas), Zahrain Hashim (Bayan Baru), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baru), Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan dua lagi dari SAPP, Sabah.

Pada PRU 2008 semua mereka ini bertanding mewakili parti. Dua wakil SAPP menjadi bebas selepas SAPP keluar daripada BN. Ibrahim bertanding atas tiket PAS dan lima yang lain bertanding atas tiket KeADILan.

Hakikat sebenar yang berlaku ialah, lapan orang wakil Bebas ini tidak sehaluan sesama sendiri. Wakil SAPP tidak pernah mencampuri wakil dari Semenanjung.

Ibrahim buat caranya sendiri. Lima wakil bekas KeADILan pun tidak sekata. Hanya Zahrain dan Zulkifli sahaja yang kehadapan. Wee buat cara sendiri, manakala Mohsin dan Tee Beng jarang kelihatan bersama Zulkifli dan Zahrain.

"Mereka ini alat sahaja..'dah tak ada rotan, akar pun berguna'. Lepas habis Parlimen (penggal ke-12), mereka tidak berguna lagi," kata seorang Menteri sambil-sambil minum kopi dengan penulis.

"Kita orang pun menyampah kat depa (mereka) ni, dah la masuk kut (melalui) pintu belakang, semua jenis 'makan besar'," komen seorang MP Umno, tanpa menjelaskan lebih lanjut apa erti 'makan besar' tersebut.

Pemerhati Parlimen boleh melihat dengan jelas gelagat MP-MP bebas ini setiap kali adanya persidangan Dewan Rakyat.

Nak kata macam 'kera dapat bunga pun ada'. Nak kata macam 'kera sumbang pun ada'. Pendek kata kalau lihat gelagat mereka, nescaya kita akan terpalit dengan perasaan 'geli geleman' dan menyampah.

"Pendirian saya jelas, sebaik sahaja depa keluar KeADILan, saya tak akan peduli dengan depa. Saya tak kan layan langsung. Mampuih pi ke depa," tegas Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar yang juga MP Pokok Sena.

"Hang tengok tu, depa tu bukan ada kerja, duk berkelintau (berlongok) depan pejabat Nazri (Dato' Seri Mohamad Nazri Aziz)," kata MP PAS Jerai, Ustaz Firdaus Jaafar.

Hakikatnya lima MP Bebas yang mengkhianati perjuangan KeADILan tidak henti-henti menjaja pembohongan di Parlimen.

Mereka diumpamakan oleh KeADILan, sebagai 'beruk Mat Yeh' (istilah untuk wakil rakyat lompat), yang didakwa mendapat bayaran yang agak besar untuk 'defect'.

Mereka menggelarkan diri mereka sebagai 'Konsensus Bebas', cuba menunjukkan diri mereka sebagai kononnya pejuang yang berprinsip, walaupun hakikatnya semua rakyat tahu mereka hanya mementingkan diri sendiri.

Mereka menggelarkan diri mereka sebagai bebas, hakikatnya mereka tidak boleh menipu rakyat, bahawa mereka adalah badut-badut upahan yang berselindung di bawah ketiak Umno.

Lima 'ekor beruk politik' ini tiada kerja lain. Kerja mereka di Parlimen hanyalah mencaci maki Pakatan Rakyat.

Mereka memang jenis tidak servis rakyat, jika mereka turun ke kawasan pun, nescaya akan ditempelak rakyat kerana mereka adalah pengkhianat.

"Umno-Barisan Nasional pun tak percaya lima ekor ini, kalau Pakatan Rakyat mereka boleh khianati, BN pun mereka boleh buat macam tu," kata Setiausaha Politik seorang menteri di lobi Parlimen baru-baru ini.

"Lepas ni BN pun tak nak mereka," tambahnya.

Menariknya, drama MP-MP Bebas ini kadangkala tersangkut, akibat sanggahan MP BN sendiri.

Kadangkala pertelagahan mereka membawa kepada episod kata mengata yang menggelikan hati.

Antara yang terbabit dalam sengketa adalah Ibrahim Ali dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau).

"Dia ahli politik jaguh kampung di dunia antarabangsa dan masanya hampir berakhir. Dia juga halangan kepada 1Malaysia," kata ahli parlimen Rembau itu di blog web mikronya.

"Dia bukan pengundi Rembau, bukan juga ahli Umno. Dia tiada hak menyuruh saya letak jawatan," kata Khairy merujuk kepada serangan Ibrahim.

"(Universiti) Oxford tak ajar budaya bahasa Melayu yang halus mulus. Mana dia faham makna 'yang tersurat dan tersirat'.

"Jaguh bandar atau Oxford tidak bermakna kepada saya, kalau naik dan kaya pada permulaan kerana bapa mentuanya PM ataupun (terlibat dengan) politik wang?", balas Ibrahim.

Pertengkaran kedua-dua mereka tercetus apabila Khairy membela rakannya, ketua Pemuda MCA, Dato' Dr Wee Ka Siong, selepas 'diserang' oleh Ibrahim berhubung isu biasiswa.

Khairy juga baru-baru ini menyanggah ucapan Wee Choo Keong di Parlimen.

Yang kelakar ialah, pada asalnya MP-MP Bebas hendak digunakan Umno-BN untuk menyerang Pakatan Rakyat, tetapi sudah terbalik. Dengan Umno pun mereka bergaduh.

Apa yang hendak ditekankan di sini, bukan soal kata-mengata atau perselisihan faham antara MP BN dengan MP Bebas semata-mata.

Hakikatnya, MP-MP Bebas ini tidak ada 'future'. Mereka bukan sahaja tidak dapat membina jambatan yang baik dengan MP Umno-BN, malah kehadiran mereka semakin menyusahkan Umno.

Oleh itu, sebelum mereka dibuang oleh Umno-BN bagaikan sampah, sebelum mati dalam kehinaan, elok mereka meletakkan jawatan dan menyerahkan mandat semula kepada rakyat.

PETRONAS Dah Jadi Macam Beg Duit UMNO/BN

Posted: 13 Jul 2010 10:00 PM PDT

Jangan Anggap Petronas Kantong Kerajaan

Oleh Rusnizam Mahat

SHAH ALAM 14 Julai - Kerajaan perlu berhenti menganggap Petronas sebagai tabung kerajaan dengan melakukan pelbagai campurtangan terhadap pengurusan syarikat petroleum negara itu sehingga menjejaskan produktiviti dan keuntungan syarikat berkenaan, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Beliau merujuk kepada laporan media pada 2 Julai lalu yang mengumumkan keuntungan Petronas menjunam daripada 24.5 peratus kepada RM67.3 bilion pada tahun kewangan 2010, manakala keuntungan diberikan kepada kerajaan berkurangan sebanyak RM16.4 bilion kepada RM57.6 bilion.

Laporan itu juga menjelaskan bahawa Petronas mengumumkan untuk mengekalkan dividen sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan iaitu jumlah yang sama pada 2009 meskipun mengalami penurunan perolehan."Ketua Pegawai Eksekutif Petronas yang baru, Datuk Shamsul Azhar Abbas menyatakan keuntungan sebelum agihan dividen berjumlah RM10.3 bilion, menurun 52.2 peratus dari tahun sebelumnya, dan memberi amaran bahwa 'pembayaran dividen boleh menyekat rancangan pertumbuhan kumpulan untuk menjana keuntungan hasil pada masa akan datang," ujar Tony.

Tony berkata, Petronas dalam kenyataan media turut mengakui syarikat itu berhadapan dengan cabaran dan kesulitan dalam suasana industri yang begitu sukar.

Ini berikutan kadar perolehan Petronas semakin menurun melainkan syarikat itu mempunyai kedudukan kewangan yang kuat untuk meneroka lebih banyak pelaburan dan projek carigali minyak baru.

Menurutnya lagi, pengunaan keuntungan Petronas antara 2005 sehingga 2010 menunjukkan jumlah keuntungan Petronas untuk pelaburan semula merosot daripada 42.5 peratus pada 2005 kepada yang terendah iaitu 13.5 peratus pada 2010.

"Nisbah pembayaran dividen mencecah 74 peratus pada 2010 berbanding dengan 57 peratus pada 2009 dan sebahagian besarnya lebih tinggi daripada lazimnya kes pada tahun sebelumnya seperti didedahkan oleh Petronas.

"Pada 2005, dividen kepada kerajaan hanya RM9.1 bilion, sebelum ia dinaikkan kepada RM13 bilion (2006), RM20 bilion (2007), RM24 bilion (2008) dan RM30 bilion (2009). Syarikat secara jelas tidak lagi mampu mengekalkan dividen-dividen melangit untuk kerajaan berikutan kejatuhan mendadak dalam keuntungannya," jelas beliau lagi.

Menurutnya, dividen yang perlu dibayar Petronas perlu berdasarkan kepada keperluan syarikat dan tidak boleh menurut kehendak pemegang saham seperti mana dalam kes kerajaan Malaysia.

"Kerajaan Malaysia tidak seharusnya menggunakan Petronas seperti satu tabung yang dapat dipecahkan untuk menambahkan dana perbendaharaan persekutuan sesuka hati.

"Kekurangan dana untuk pelaburan semula hanya akan menghalang keupayaan Petronas' untuk menjamin hasil pada masa depan, mengurangkan produktiviti jangka panjangnya, keuntungan serta kecekapannya," tegas Tony.

Justeru beliau menggesa Perdana Menteri melindungi Petronas bagi memastikan syarikat itu terus bertahan bagi meningkatkan dan mengekalkan keuntungan kepada rakyat Malaysia dalam jangka panjang.

Pertama, dengan memastikan Petronas mengekalkan sekurangnya 50 peratus dari keuntungannya bagi pelaburan semula.

Kedua, memastikan keuntungan dilaburkan hanya dalam sektor ekonomi yang perlu dan produktif seperti modal insan, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.

Ketiga, memastikan sekuranya 20 peratus perolehan diselamatkan dalam pakej stimulus kebangsaan untuk digunakan ketika ekonomi menghadapi cabaran sekiranya pertumbuhan melebihi tiga peratus setahun.

Oooo..Patut La Muhyiddin Dok Melalak Isu Air Kat Selangor

Posted: 13 Jul 2010 09:30 PM PDT

Muhyiddin Kritik Pengurusan Air Selangor Kerana Mahu Lindungi Kepentingan Kroni Umno

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 14 Julai - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menganggap tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mencampuri pengurusan industri air di negeri itu bertujuan untuk membantu serta melindungi kepentingan kroni Umno-BN dan bukan mempertahankan kepentingan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat mahu industri air di Selangor distruktur semula supaya ia dapat diuruskan kerajaan negeri untuk manfaat rakyat dan bukan untuk mengaut keuntungan.

"Kita tahu bahawa penswastaan yang dibuat oleh kerajaan BN termasuk di Selangor dan negeri lain melalui konsesi yang diberikan kepada Puncak Niaga dan juga Syabas tidak menghasilkan pengurusan air yang baik bagi Selangor sehinggakan Syabas sekarang dalam keadaan yang sangat kritikal.

"Ini bererti Syabas tidak mempunyai kumpulan wang yang cukup untuk mengendalikan pengurusan bekalan air Selangor sehingga pada 2009 kerajaan pusat terpaksa memberi pinjaman RM320.8 juta kepada Syabas. Pinjaman sangat mudah, tak payah bayar dalam masa lima tahun dan kemudian dibayar berdikit-dikit selama 20 tahun.

"Malah, tak ada faedah dikenakan kepada pinjaman tersebut dan dengan cara ini bukanlah cara penswastaan yang kita (kerajaan negeri) kehendaki.

"Adalah lebih elok Kerajaan Persekutuan menyerahkan dana itu kepada Kerajaan Negeri Selangor agar kita dapat uruskan konsesi air tersebut dengan cara yang lebih baik," katanya pada sidang media di lobi Dewan Annex semasa sidang Dewan Negeri Selangor Isnin lalu.

Abdul Khalid juga menyifatkan perkara yang dibangkitkan Muhyiddin itu bertujuan melindungi Ketua Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail.

"Ini kerana beliau adalah juga menjadi Bendahari Umno Selangor dan juga Bendahari Umno Hulu Selangor.

"Jadi pada Muhyiddin lebih baik menjaga hati kroni daripada memberikan peluang kepada rakyat negeri Selangor mendapat air yang lebih murah dan lebih cekap diurus," tegas Menteri Besar.

Bagaimanapun Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan memastikan bekalan air di Selangor sentiasa mencukupi.

"Ia akan dilakukan melalui usaha penggalian air dan juga air daripada sungai yang masih lagi belum diusahakan dengan sebaiknya.

"Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat juga tidak menghalang projek 'Pahang-Selangor Water Transfer'. Bagaimanapun semua ini diharap dapat dilakukan atas prinsip tidak ada syarikat swasta yang mendapat keuntungan berlebihan," ujar beliau.

Abdul Khalid menyindir Muhyiddin dengan mengatakan walaupun Timbalan Perdana Menteri itu menuduh beliau tidak cekap mengurus air namun harga air di Selangor lebih murah daripada di Johor.

"Negeri Johor yang pernah dipimpin Timbalan Perdana Menteri adalah antara negeri yang mengenakan harga air yang tertinggi di Malaysia," jawab beliau.

Sebelum ini Muhyiddin dengan lantang mengkritik kerajaan negeri Selangor agar segera menyelesaikan masalah bekalan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan bagi mengelakkan krisis air terburuk menjelang 2012.

Tuduhan Utusan-Umno Memakan Diri

Posted: 13 Jul 2010 09:00 PM PDT

Dari TV Selangor

Penafian Cable News Network mengundang reaksi Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution berkata penafian CNN ini membongkar strategi jahat Umno-BN yang terdesak mahu membunuh kerjaya politik Anwar Ibrahim.

" Barangkali UMNO-Barisan Nasional terlupa, sepanjang penglibatan Anwar dalam dunia politik beliau telah dilabel dan ditohmah dengan pelbagai gelaran. Semasa beliau sebagai aktivis belia, beliau dituduh sebagai agen Libya- agen Muammar Gaddafi. Kemudian selepas penyingkirannya dari kerajaan, beliau digelar sebagai pengkhianat negara, itu oleh Tun Dr Mahathir. Pengkhianat ini kalau ikut undang-undang negara hukumnya mati. Kemudian beliau dituduh sebagai agen asing, agen Yahudi, perpecah belah perpaduan Melayu, alat tunggangan kepada DAP dan yang terbaru ialah agen CIA," jelas Saifuddin.

Utusan Malaysia pada 9 Julai lalu memuatkan laporan "Anwar didakwa bayar CNN". Laporan berkenaan berkata penulis mendakwa Anwar telah mengupah Cable News Network untuk mewawancara beliau.

Selang beberapa hari kemudian, pada 11 Julai, Utusan sekali lagi mencetuskan kontroversi. Kali ini memetik penulis blog, Elaine Meinel Supkis yang menurut Utusan mendakwa Anwar adalah alat CIA.

Namun ujar Saifuddin, dalam keghairahan menyerang peribadi Anwar, malang bagi UMNO-Barisan Nasional senjata telah memakan tuannya.

"Tidak mungkin satu peribadi itu menjadi agen kepada banyak pihak yang berbeda-beda," kata Saifuddin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad pula melahirkan rasa lucu dengan media milikan kerajaan yang sewenang-wenangnya memetik sumber yang tidak diragui kesahihannya.

Walhal baru-baru ini sahaja kerajaan berhasrat untuk menubuhkan jawatankuasa khusus menangani penyebaran berita palsu.

"Utusan Malaysia ketika memainkan isu ini mengambil dari sebuah blog kononnya, yang dijadikan sebab dan alasan untuk mengambil tindakan terhadap Anwar Ibrahim. 24 jam bertalu-talu media milik BN melabel Anwar talit-barut CIA," kata Zulkefly.

"Bagaimana pula dengan pendedahan-pendedahan yang dibuat pengendali Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin yang telah lama menyatakan keterlibatan Perdana Menteri dalam kes Altantuya Shaariibuu. Mengapa kerajaan membisu?" tambah beliau.

"Saya kira CNN dan Datuk Seri Anwar perlu menyaman kesemua media-media ini dan peribadi-peribadi yang secara keterlaluan membuat serangan kepada peribadi beliau yang tidak perlu seya sebutkan betapa jelik dan buruknya kecaman-kecaman itu," katanya lagi.

Sementara itu pemimpin lain berpendapat bahawa adanya usaha terancang untuk menyerang keperibadian pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sebelum Pilihanraya Umum ke-13 diadakan.

"Itu menandakan bahawa apa yang berlaku pada hari ini khususnya apa yang berlaku terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang dirancang, sesuatu yang mereka cuba ambil kesempatan di atas apa sahaja isu tanpa mereka mengambil kira kebenaran fakta itu," kata Ahli Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusuf Rawa.

"BN yang tidak dapat menafikan mereka membayar APCO RM77 juta, mereka tidak dapat menafikan fakta itu," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub.

Ahmad Maslan Penakut

Posted: 13 Jul 2010 08:34 PM PDT

Tolak debat isu Felda, Mazlan gelar Ahmad Maslan 'penakut'

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

Pengerusi Persatuan Anak Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menggelarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Ahmad MAslan sebagai 'penakut' kerana menolak debat terbuka isu-isu membabitkan Felda.

Telahan itu dibuat Mazlan ketika ditemui selepas sidang media bersama Ahmad Maslan di Parlimen pada 8 Julai lalu,Mazlan menyerahkan surat jemputan debat kepada Ahmad Maslan sementara Ahmad Maslan hanya mahu 'berdialog'.


Beliau bimbang, ajakan dialog tersebut hanyalah bersifat untuk menutup banyak perkara yang berlaku dalam Felda dari mata umum terutamanya peneroka Felda yang tidak mendapat maklumat mengenai kewangan badan itu secara telus.

"Seperti ada yang mahu disembunyikan.Bagi saya apa salahnya kita berdebat dan masing-masing mengemukakan hujah agar rakyat mempertimbangkannya, perlu apa takut untuk berdebat jika dia (Ahmad Maslan) rasa dia dipihak yang benar," soal Mazlan lagi.

Mazlan yang juga AJK PAS Pusat menegaskan Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan Umno itu sebenarnya takut untuk berdepan dengan rakyat.

Beliau menjelaskan, pemilihan debat dicadangkan ekoran beberapa siri dialog sebelum ini dilihat gagal menyelesaikan isu peneroka dan tidak mendatangkan hasil yang positif.

"Saya bukan nak cari publisiti kerana memilih debat, tetapi saya mahu rakyat sendiri tahu apa isu sebenar yang membabitkan Felda, isu penyelewengan, isu mengapa susutnya rizab tunai Felda, dan banyak lagi yang saya akan dedahkan.

"Saya mahu rakyat menjadi hakim. Kita mahu rakyat nilai mana yang betul mana yang salah. Dia (Ahmad Maslan) tak mahu debat tetapi memilih dialog. Ini tak selesaikan masalah, malah dialog ini dibuat biasanya tertutup, kemudian apa yang akan digambarkan dalam media akhirnya hanya suara sebelah pihak.

"Jalan terbaik adalah debat, dibuat secara langsung melalui stesen televisyen samada kerajaan mahupun swasta, kemudian khalayak Felda sebagai tetamu.Nak buat dimana sahaja saya tak kisah asalkan rakyat dapat tahu apa yang berlaku sebenarnya," kata Mazlan ketika ditemui selepas sidang media.

Sementara itu Mazlan juga yakin 'ada benda yang disembunyikan' yang menyebabkan Ahmad Maslan 'enggan' berdebat secara terbuka, sebaliknya hanya mahu berdialog.

"Kalau dia tak takut, marilah berdebat, kenapa tak mahu debat?" katanya lagi.

Mazlan sebelum ini banyak mendedahkan isu membabitkan pentadbiran dan pengurusan Felda.

Beliau yang juga generasi kedua Felda memiliki pengalaman berhubung isu-isu Felda dan bersedia mendedahkan banyak lagi isu membabitkan agensi itu dalam masa terdekat.Mazlan kini dalam siri jelajahnya seluruh Malaysia bagi mengetengahkan isu-isu berkaitan Felda dan tanah.

Beliau pernah ditahan di Temerloh awal tahun ini berikutan pembabitan seriusnya dalam isu-isu membabitkan Felda, namun penahanan itu tidak menjadikan beliau gentar.

Anwar Agen CIA: UMNO sudah mula percaya blogger?

Posted: 13 Jul 2010 07:30 PM PDT

Komen-komen pemimpin UMNO termasuk Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Shafie Apdal tentang Anwar adalah agen CIA begitu dangkal. Semua serangan ini adalah bertujuan untuk memburukkan imej Anwar sekaligus menutup hubungan Kerajaan UMNO-APCO.

Tetapi pelik untuk kita fahami pemikiran pemuka UMNO/BN ini. Disuatu masa hendak menangkap Raja Petra Kamaruddin atas alasan tulisannya di MalaysiaToday adalah fitnah dan tidak berasas dalam mengaitkan Rosmah Mansor, Najib dan lain-lain atas tragedi pembunuhan Altantuya yang mungkin ada kaitannya dengan komisen Kapal Selam. Namun hari ini pak menteri UMNO (Muhyiddin, Shafie Apdal, Rais Yatim, Hishamuddin Tun Hussein) pula mula percaya pada sumber blogger antarabangsa yang boleh dipertikaikan kebenaran beritanya.

Jika mereka desak untuk laporan blogger tersebut disiasat, maka siasatan awal perlu dibuat juga ke atas Najib berkaitan isu pembelian Kapal Selam dalam laporan media di Perancis. Apakah Malaysia menolak hubungan dengan CIA? Jika dahulu mempertikaikan kredibiliti blogger namun hari ini sandaran pak menteri UMNO untuk melakukan serangan peribadi kepada Anwar Ibrahim juga adalah bersumberkan web/blogger.

Akhbar perdana naungan UMNO/BN seperti Mingguan Malaysia turut serta melaporkan informasi blogger dari New York, bernama "Elaine Meinel Supkis" yang tidak dikenali umum yang menuduh Anwar adalah "agen CIA" di dalam sebuah tulisan yang dipaparkan di blognya. Pimpinan UMNO/Bn minta supaya rakyat jangan percaya blogger tetapi hari ini pak-pak menteri UMNO/BN pula yang sudah terpengaruh dengan blogger.

Jika mereka percaya blogger maka secara simboliknya mungkin sudah ada dikalangan pak menteri UMNO/BN dan pemimpin kanan yang lain sudah mula mempercayai info blogger berkaitan skandal Najib (Kapal Selam & Altantuya) termasuk apa yang dikatakan oleh RPK (Raja Petra Kamaruddin).

Jika Anwar Ibrahim agen CIA, mengapa perlu untuk beliau membayar CNN bagi mendapatkan ruangan untuk diwawancara oleh CNN? Setiap minggu Anwar boleh ditemuramah CNN jika dia agen CIA. Ini mungkin berbeza dengan Rosmah Mansor yang mungkin terpaksa membayar New York Times demi memastikan beliau yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri, Najib Tun Razak dimahsyurkan sebagai 'First Lady' dalam akhbar tempatan Amarika Syarikat pada 16 April lepas. Persoalannya kepada kita, dengan wang siapakah Rosmah Mansor membiayai? Apakah ini mungkin duit rakyat? Mungkin pemuka UMNO/BN ada jawabannya.

http://nazreeyunus.blogspot.com/2010/07/anwar-agen-cia-umno-sudah-mula-percaya.html

Ekonomi Selangor Makin Mantap - Menteri Besar

Posted: 13 Jul 2010 07:00 PM PDT

Shah Alam, 01 Sya`ban = 13 Julai (Selasa):

Dalam penggolongan bagi perbahasan Anggaran Perbelanjaan Tambahan Kedua, 2010 berjumlah RM117 juta, YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor membuat kesimpulan bahawa ekonomi Selangor makin mantap. Beliau membawa bukti:

Tahun Hasil Cukai Bajet

2008 673 juta 733 juta
2009 608 613
2010 870 894

Peningkatan pendapatan memerlukan pertambahan perbelanjaan bagi menyesuaikan dengan perkembangan ekonomi negeri dan pembangunan. Sebab itu memerlukan Perbelanjaan Tambahan.

Sementara itu Selangor akan menyelesaikan rundingan berhubung dengan air dengan kerajaan Persekutuan dengan penyusunan semula pentadbiran Air Selangor di bawah KDEB (Kumpulan Darul Ehsan Berhad) dan mengekalkan air percuma bagi 20 cubic meter persegi.

Menurut Tan Sri Khalid kekecohan mengenai pasir sengaja ditimbulkan oleh mereka yang hilang kepentingan di dalam mengeksploitasi pasir. Kecurian pasir berlaku sejak dahulu dan BN tidak kesah untuk menjadikannya sebahagian dari hasil Selangor. Kalau dulu ianya tidak menjadi hasil bagi kerajaan Selangor di bawah BN, tetapi sekarang kita akan mengawal pasir dan menjadi punca pendapatan negeri. Kini melalui tender dan kuatkuasa hasil pasir makin meningkat dari RM20 kepada RM30 juta. Dengan pengawalan yang lebih ketat hasil ini akan terus bertambah. Pendapatan ini akan dikembalikan pada rakyat sesuai dengan motto Selangor `Merakyatkan Ekonomi Selangor`.

Sementara itu pada sesi menjawab soalan lisan, soalan dari ADNS Bangi – soalan no 10 naik, iaitu berkenaan `Zon Bersih` di Seksyen 1 dan 16 Bandar baru Bangi. Jawapan dibuat oleh YB Ronnie Leu Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Pnyelidikan. Dalam soalan tambahan ADNS Bangi menggesa supaya pihak MPKj menubuhkan Skuad Bersih secara bergerak dan membersih kawasan-kawasan yang kotor, terutama di kawasan pekan. Sebelum itu bila YB Haji Yaakob Bin Sapari Exco Pemodanan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan menjawab mengenai Kampong-Kmpong Tradisional Melayu ADNS Bangi bertanya berkenaan gangguan JKKKP yang menurut Hj. Yaakob Kerajaan Negeri tidak mengiktiraf kewujudan mereka. Ada cadangan dari Ahli Dewan agar diambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Semasa YAB Menteri Besar membuat rumusan penggolongan mengenai ekonomi Selangar ADNS Bangi beberapa kali bangun membuat soalan dan meminta penjelasan.

Sekian.

Mahfuz: ‘Bab kerjasama PAS-Umno sudah tutup, usah bangkit lagi’

Posted: 13 Jul 2010 06:46 PM PDT

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, 14 Julai — Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar memberi nasihat kepada Umno tidak lagi membangkitkan syor yang ia masih berhasrat mengadakan perbincangan mengenai kerjasama perpaduan Melayu sambil menyifatkan "bab dialog PAS-Umno dalam hal ini sudah ditutup."

Malah, naib presiden penggal pertama itu juga berkata, kepimpinan Umno-BN tidak wajar mengetengahkan lagi cadangan seumpama itu yang dilihat sebagai usaha "terdesak" Umno untuk menggunakan "PAS sebagai talian hayat politik mereka" selepas keputusan 8 Mac 2008.

"Kami menganggap isu sudah lama ditutup, buku mengenai isu ini sudah ditutup... sebab itu kini hanya hendak membincangkan soal melonjakkan sokongan orang Melayu kepada PAS, sebagaimana telah dibincangkan ketika sesi pemukiman di Port Dickson baru-baru ini," kata beliau.

Sehubungan itu Mahfuz juga berkata PAS akan terus memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan kerjasama menerusi Pakatan Rakyat.

"PAS akan melakukan ini, usaha yang telah gagal dilakukan oleh Umno selama ini... mempertahankan hak orang Melayu sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan dengan gandingan komponen Pakatan Rakyat.

"Biar beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) seorang diri bercakap mengenai isu ini. Saya percaya mereka akan menggunakan isu selama-lamanya dengan menuduh PAS menolak usaha mahu mengadakan perbincangan dengan Umno.

"PAS tidak akan melayan langkah Umno macam ini lagi, kami akan terus bertahan dalam Pakatan Rakyat sebagaimana dinyatakan dalam Dasar Bersama Pakatan tahun lalu," kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat bulanan majlis kepimpinan presiden di ibu negara petang ini.

Muhyiddin semalam dipetik Bernama berkata Umno sedia berbincang dengan PAS sama ada secara rasmi atau tidak untuk menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu seperti disaran beberapa pihak.

Sambil menyambut baik saranan itu Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha menjalin kerjasama antara kedua-dua parti Islam itu bukan satu perkara baru kerana ia pernah disuarakan sebelum ini tetapi tidak dapat dilaksanakan.

"Soal perpaduan antara Melayu sama Melayu bukanlah satu perkara tidak baik, lebih-lebih lagi dalam situasi pada masa kini yang memerlukan bentuk kerjasama yang lebih konkrit terhadap isu termasuk ekonomi, kebudayaan dan institusi beraja serta mewujudkan perpaduan untuk membantu membangunkan ummah dan negara," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata, terpulang kepada kepimpinan PAS sama ada bersetuju menjalinkan kerjasama itu atau sebaliknya.

Muhyiddin memberikan pandangan itu mengulas anggota Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas Lokman Nor Adam sebagai berkata bahawa hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya PAS dan Umno bersatu.

Ketika ditanya mengenai kebimbangan sesetengah pihak sekiranya kerjasama antara Umno dan PAS terjalin, Muhyiddin berkata mereka tidak perlu takut kerana kerajaan tetap akan menjaga kepentingan semua kaum.

Syor agar diadakan kerjasama politik PAS-Umno ini bukan kali pertama diketengahkan.

Pandangan-pandangan seumpama ini telah banyak kali dikemukakan sejak selepas prestasi Umno-BN dalam pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

Muktamar Tahunan PAS 2008 dan 2009 juga telah memutuskan dialog kerajaan perpaduan antara Umno-PAS.

UMNO Terdesak Sangat Dah! Semua Pasal Anwar Umno Akan Gigit

Posted: 13 Jul 2010 06:30 PM PDT

Isu CNN: Amat Terdesak Umno-BN Terpaksa Bohongi Rakyat

Oleh Rusnizam Mahat

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tindakan Cable News Network (CNN) menafikan sekerasnya laporan yang dikeluarkan Utusan Malaysia mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membayar penyiar antarabangsa itu untuk mengadakan sesi temubual dengan beliau awal bulan ini jelas menunjukkan Umno kini semakin terdesak sehingga terpaksa berbohong dan menipu rakyat.

"Pada saya pendedahan terkini oleh CNN secara jelas tunjukkan Umno berbohong dan tuduhan Anwar membayar kepada CNN adalah palsu.

"Bezanya kita dengan pemimpin Umno yang membayar kepada Jack Abramoff sebanyak RM3 juta untuk pertemuan dengan Mahathir dengan Presiden Amerika Syarikat, George W Bush dan RM77 juta kepada Apco dalam usaha melobi pertemuan antara Najib dan Presiden Barack Obama.

"Perkara ini tidak perlu dilakukan Anwar, beliau mendapat sokongan padu dan sejati daripada masyarakat antarabangsa kerana mereka melihat Anwar sebagai pemimpin masa depan dan tokoh pemimpin dunia,"katanya.

Shamsul Iskandar turut menempelak pemimpin Umno yang disifatkan kini telah kehabisan modal sehingga membuat serangan bertali arus terhadap kredibilti Anwar Ibrahim.

"Ini tunjukkan kebodohan mereka di dalam politik, sebelum ini mereka gunakan kes liwat untuk menyerang Anwar dan sekarang mereka gunakan pula maklumat palsu dengan menuduh Anwar sebagai agen Zionis dan CIA. Perkara ini juga tunjukkan mereka semakin tertekan dengan menggunakan media milik kerajaan untuk serang tokoh pemimpin Keadilan," katanya yang menambah bahawa kredibiliti pemimpin Umno kini semakin tercalar..

Beliau menyifatkan tuduhan liar yang dilemparkan Utusan itu bukan sahaja berniat jahat, malah satu tindakan yang biadap dan telah mengkhianati perjuangan tokoh-tokoh Utusan terdahulu.

"Laporan Utusan bukan sahaja berniat jahat, tetapi satu laporan yang biadap. Utusan telah mengkhianati tokoh-tokoh wartawan terdahulu yang dipelopori Keris Mas, Usman Awang dan A Samad Ismail dengan mengkhianati amanah serta merendahkan taraf Utusan menjadi surat khabar picisan," ujarnya.

Sementara itu CNN dalam kenyataannya mengatakan laporan Utusan Malaysia itu jelas direkacipta.

"Cerita tentang CNN menerima bayaran dari sesiapa sahaja supaya Anwar Ibrahim muncul untuk 'Menghubungkan Dunia' adalah dengan jelas direka," kata jurucakap CNN, yang berpengkalan di Hong Kong di mana rangkaian ibu pejabat Asia itu terletak.

"Ia merupakan satu bentuk gangguan dan tiada usaha telah dibuat untuk menghubungi kami secara bebas bagi mengesahkan tuduhan-tuduhan tidak berasas ini sebelum mereka melaporkan ia sebagai fakta." katanya.

Akhbar rasmi milik Umno, Utusan Malaysia Jumaat lalu lalu menyiarkan berita berniat jahat dengan melaporkan Anwar telah dibayar oleh CNN.

Laporan itu merujuk Presiden Trevino Strategies dan Inc Media, Joshua Trevino, yang menulis dalam satu portal berita berpusat di Amerika Syarikat, The New Ledger yang Anwar membayar media yang dikenali, terutama CNN dan meyakinkan pelobi-pelobi Yahudi yang beliau bukan anti-Israel.

Berikutan laporan Utusan, pemimpin Umno membuat serangan terhadap Anwar dan menggesa siasatan dilakukan terhadap beliau.

Timbalan perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden Umno menyatakan tindakan Anwar membayar kepada CNN menunjukkan Ketua Umum Keadilan itu semakin terdesak.

Dakwaan Anwar-CIA Jenaka Mingguan Umno-BN

Posted: 13 Jul 2010 06:00 PM PDT

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 13 Julai - Laporan akhbar Utusan Malaysia milik Umno yang mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah 'alat' kepada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) adalah amat liar dan karut semata-mata kata Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah.

Dengan hanya memetik penulisan seorang blogger New York yang diragui bernama Elaine Meinel Supkis yang diangkat Utusan sebagai 'penulis blog terkemuka', akhbat tersebut terus menelan apa yang terkandung dalam tulisan blogger ntersebut .

"Bagi saya itu tuduhan yang amat liar dan karut serta tidak mempunyai asas yang kukuh. Kita melihat Umno-Barisan Nasional sekarang berada dalam kegelisahan sebab itulah tuduhan yang dilakukan oleh mereka kebelakangan ini bersifat kelam kabut.

"Kalau sebelum ini banyak tuduhan yang telah mereka lemparkan kepada Anwar seperti minta maaf dengan Yahudi dan dua hari lepas laporan Anwar bayar 'Cable News Network' (CNN) untuk satu temuramah. Sekarang mereka keluarkan satu lagi isu yang tidak berasas, bagi saya ini adalah jenaka 'joke of the week' terhadap Umno-BN.

"Berkenaan dengan tuduhan berkaitan CNN, pada pendapat saya CNN akan menjawab tuduhan tersebut kerana itu mencemarkan imej CNN. Tuduhan yang dibuat oleh Umno-BN mengambarkan seolah-olah CNN mengamalkan rasuah di dalam perkhidmatan mereka," jelas Sivarasa kepada Suara Keadilan.

Tambah beliau setiap tuduhan yang dikeluarkan oleh Umno-BN adalah kerana mereka tidak dapat menjawab setiap persoalan yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat sama ada di luar mahupun di dalam Dewan.

"Meraka tidak ada jawapan yang tepat untuk menjawab persoalan yang diutarakan.

"Bagi kita sebagai parti yang dipilih oleh rakyat, kita akan terus turun bertemu dengan rakyat untuk memberi penjelasan yang sebenar apa jua kepincangan di dalam kerajaan. Kita tahu rakyat tertanya-tanya setiap kali tuduhan dikeluarkan, itu akan diperjelaskan setiap kali kita bersama rakyat.

"Umno boleh memperbesar-besarkan isu ini tetapi kita tidak akan ambil berat terhadap kenyataan tersebut. Peranan kita adalah menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat bukan memutar belit kenyataan, rakyat dapat menilai mana yang tepat mahupun tidak tepat," tegas beliau lagi.

Mengulas tentang tuntutan Umno Selangor yang mendesak Anwar digugurkan sebagai penasihat ekonomi Negeri Selangor, Ahli Parlimen Subang berkata sikap yang ditunjukkan oleh Umno Selangor itu sebagai sifat kebudak-budakkan.

"Umno Selangor menunjukan sikap kebudak-budakkan dan tidak cerdik apabila mendesak Anwar digugurkan sebagai penasihat ekonomi negeri, tuduhan yang dikeluarkan itu tidak mempunyai asas langsung dan sebab apa kita nak ikut cakap mereka.

"Negeri Selangor dan rakyat memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai pengalaman yang luas agar ekonomi negeri ini terus berada pada keadaan yang baik serta rakyat terbela. Kita yakin dengan kepimpinan Anwar, kepakaran yang dimilikinya melebihi pemimpin Umno," jawab Sivarasa.

Americk Gesa Siasat Najib Kow Tow Kepada Singapura

Posted: 13 Jul 2010 05:45 PM PDT

Oleh Dzulkarnain Taib

Americk Sidhu, peguam kepada bekas penyiasat persendirian, P Balasubramaniam mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib rRzak di siasat atas dakwaan salahguna kuasa kerana dilihat tunduk kepada semua kehendak Singapura sehingga menjejaskan kepentingan dan kedaulatan Malaysia.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, Americk berkata beberapa keputusan yang dibuat oleh Najib bersama dengan pemimpin Singapura khususnya berkenaan penyerahan 271 hektar tanah milik KTMB menyerlahkan sikap betapa Perdana Menteri yang "kow tow" kepada negara pulau itu.

Beliau membidas pihak berkuasa Malaysia yang sanggup menyiasat dakwaan akhbar Mingguan Malaysia yang menggaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) namun berdiam diri apabila kedaulatan Malaysia dikhianati oleh pemimpinan Umno-Barisan Nasional.

"Mereka lebih gemar mendengar tulisan mengarut seorang perempuan 'gila' dari New York yang diragui kesahihan dan kebenaran maklumat yang dimuatkan dalam blognya. Begitu rendah taraf pemikiran akhbar milik Umno itu dan betapa bodohnya pemimpin Umno-BN menghina Anwar dengan begitu sekali. Rakyat tidak sebodoh seperti yang mereka sangka," ujar beliau.

Americk juga menyoal jika Umno-BN melalui media mereka boleh mempercayai kata-kata seorang blogger yang tinggal di atas sebuah gunung di New York bersama-sama binatang peliharaanya, mengapa pula segala dakwaan Raja Petra berhubung pelbagai isu dan skandal rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan pemimpin Umno-BN dan kerajaan yang jauh lebih serius dan berasaskan fakta dan bersandarkan bukti dokumen tidak langsung disiasat?

"RPK jauh lebih tahu apa yang berlaku di Malaysia daripada wanita bernama Elaine Meinel Supkis. Mengapa pihak polis tidak berminat untuk menyiasat apa yang RPK katakan sejak beberapa tahun lamanya.

"Daripada pihak polis menghabiskan masa memburu dan cuba menangkap penulis blog, Raja Petra lebih baik mereka siasat mengapa Najib terlalu bersikap baik dengan Singapura dan memenuhi kepentingan negara ini sehingga membelakang negara sendiri," kata Americk lagi.

Sebelum ini Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin aka CheGuBard pernah membangkitkan dalam blognya kemungkinan Najib ditekan oleh agensi perisikan Singapura berhubung kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dalam akuan bersumpah bertarikh 1 Julai 2008, Bala berkata penasihat politik Najib, Abdul Razak Baginda pernah mengatakan kepadanya bahawa Najib memperkenalkan Altantuya kepada majikan beliau itu dalam sebuah pameran berlian di Singapura.

Desas desus mengatakan pihak perisikan Singapura mempunyai gambar Najib dan Abdul Razak bersama Altantuya dan kini digunakan terhadap Najib untuk mendapatkan persetujuan beliau dalam menyelesaikan banyak isu dua hala yang menguntungkan negara tersebut.

Akhbar KEADILAN Jadi Rebutan Di Parlimen

Posted: 13 Jul 2010 05:30 PM PDT

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 13 Julai - Akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, 'KEADILAN' yang diterbitkan oleh Angkatan Muda bukan sahaja diberikan secara percuma di sekitar Majlid Jamek pagi semalam anggota Dewan Rakyat juga berebut di bangunan Parlimen juga berebut untuk mendapatkan naskah mereka.

Pengedaran akhbar 24 mukasurat itu dilakukan selepas satu sidang media oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua untuk memaklumlan mengenai kemunculan 'KEADILAN'.

Tian menjelaskan KEADILAN akan terus menerbitkan akhbar parti itu walaupun permit penerbitan Suara Keadilan telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui Kememnterian Dalam Negeri sambil berkata KEADILAN tidak akan tunduk kepada tekanan KDN.

"Hari ini merupakan edaran akhbar rasmi KEADILAN iaitu 'KEADILAN' bagi menggantikan edisi Suara Keadilan, parti akan terus menerbitkan akhbar parti walaupun terdapat tekanan daripada KDN.

Sebagai pihak yang memperjuangkan hak rakyat dan kebebasan bersuara kita tidak akan tunduk dengan tekanan tersebut.

"Apa yang ingin dimaklumkan bahawa pagi tadi edisi ini telah diedarkan secara percuma kepada warga kota di sekitar Masjid Jamek dan kesempatan penerbitan yang baru ini kita akan edar akhbar ini secara percuma di parlimen.

"Kita tidak akan hentikan penerbitan sehingga mendapat keterangan sebenar terhadap kedudukan permit akhbar terbabit dari KDN. KDN tidak boleh mengambil apa-apa tindakan ke atas akhbar ini kerana ia adalah hak parti dan parti mempunyai kuasa untuk membuat terbitan," tegas Tian.

Sementara itu Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin memberitahu penerbitan akhbar ini tetap diteruskan dan ini adalah bagi memastikan setiap rakyat mendapat maklumat yang jelas mengenai isu yang berlaku di negara ini.

"Kita tidak akan tunduk kepada tekanan politik kotor Umno-Barisan Nasional, dasar yang diamalkan oleh Umno-BN adalah amat kejam kerana halangan bersuara dan mendengar.

"Kita akan pastikan akhbar rasmi KEADILAN ini akan terus berada dipasaran dan setiap rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat mengenai apa jua penyelewengan yang berlaku didalam pentadbiran kerajaan bukannya berita yang telah diputar belit.

"Hari ini kita mahu KDN mengambil sikap yang lebih adil agar kelulusan penerbitan diberikan kepada Suara Keadilan. Kami kesal dengan tindak tanduk KDN yang tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap akhbar arus perdana dan juga Suara Perkasa yang secara jelas mempunyai unsur hasutan dan perkauman," kata Zuraida.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah pula menegaskan terbitan akhbar akan diteruskan dan beliau menyatakan kelewatan terbitan disebabkan oleh karenah KDN yang sentiasa membuat pemantauan kerana takut rakyat terus mendapat maklumat yang jelas terhadap pentadbiran kerajaan.

"Saya juga tegaskan kita terus terbit akhbar terbabit dan kelewatan terbitan ini disebabkan pemantauan yang dilakukan oleh KDN. Sikap sedemikian ini jelas Umno-BN menggunakan KDN untuk memastikan akhbar terbabit tidak diterbit bagi mengelak rakyat mendapat maklumat yang tepat.

"Sepatutnya KDN menggunakan saluran undang-undang yang betul jika ingin menghalang penerbitan bukan menggunakan kuasa politik pemimpin tertentu.

Sekarang jelas wujudnya tekanan politik kerana KEADILAN mahupun Suara Keadilan belum lagi disabitkan salah oleh Mahkamah tetapi KDN telah mengambil sikap yang terburu tanpa menunggu keputusan mahkamah," jelas Sivarasa.

Selepas sidang media tersebut Tian telah menyerahkan senaskah akhbar Keadilan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang ketika itu berada di lobi parlimen.

Kontrak Beli Gerabak Keretapi Didakwa Mangsakan Dana Awam

Posted: 13 Jul 2010 05:15 PM PDT

Oleh Frederick Luccas

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak patut memberikan kontrak pembelian gerabak keretapi elektrik kepada syarikat negara China, Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd, malah patut mengharamkan pembabitan syarikat tersebut di negara ini.

Ini berikutan beberapa percanggahan serius di dalam terma-terma pembelian yang diberi oleh Zhuzhou, tetapi anehnya kerajaan Umno-BN juga telah bersetuju dengan terma dan harga pembelian yang jauh lebih tinggi daripada persetujuan asal.

"Berkenaan artikel saya yang disiarkan dalam Harakah baru-baru ini, dan dikomen bekas Menteri Pengangkutan bahawa saya tidak meneliti fakta, saya ingin jelaskan kenapa saya berkata kerjaan Umno-BN patut batalkan belian dan haramkan Zhuzhou.

"Saya ingin tekankan di sini bahawa rakyat tuntut kebenaran, kenapa selepas rundingan terus Zhuzhou menawarkan harga lebih tinggi, kira-kira RM48 juta untuk setiap keretapi elektrik enam gerabak (EMU), berjumlah RM1.8 bilion untuk kesemua 38 unit," kata Dr Dzulkely pada sidang media semalam.

Jelas beliau lagi, pertama ialah pembatalan pembelian kerana keperluan pengangkutan awam bandar mengikut pelan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang jauh lebih tinggi, dan bukannya tidak diberi.

Kedua ialah isu jumlah pesanan dan perincian, di mana jumlah pesanan baru ialah 38 unit dengan enam gerabak seunit, berbanding dengan pesanan asal lapan unit dengan tiga gerabak seunit.

"Jika dibandingkan dengan model lama, yang baru ini hanya ada beberapa kamera litar tertutup (CCTV) tambahan dan skrin iklan tambahan, itu sahaja, kenapa pula harganya melonjak hingga tambahan kira-kira RM10 juta seunit?

"Saya tidak bandingkan epal dengan oren, itu tak masuk akal. Ini saya bandingkan epal dengan epal, tak jauh beza kedua-duanya," tambah Dr Dzulkefly.

Tambah beliau lagi, isu ketiga ialah Kementerian Kewangan telah mendesak dan membenarkan Kementerian Pengangkutan untuk mengadakan rundingan terus.

"Siapa di MOF yang membuat keputusan ini, kita perlu tahu.

"Ini satu keputusan melibatkan tambahan perbelanjaan wang rakyat kira-kira RM500 juta, yang saya khuatir akan hilang begitu sahaja," tegas beliau.

Beliau memberitahu kontrak pembelian ini tidak termasuk kontrak penyelenggaraan, pembaikan, dan 'overhaul' (MRO), yang mana kerajaan Umno-BN sepatutnya memasukkan MRO sekali dengan kontrak pembelian.

"Kerajaan Umno-BN patut belajar daripada kesilapan lalu di mana disebabkan kerajaan Umno-BN tidak mempunyai apa-apa perjanjian MRO dengan General Electric (GE), maka kesemua kos MRO terpaksa ditanggung oleh kerajaan yang mencecah belanja hampir sama dengan gerabak baru," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) untuk menyiasat kesahihan apa sahaja kenyataan dan sidang media beliau berkaitan dengan isu ini dan mengharapkan siasatan rapi akan dijalankan agar wang rakyat tidak dibazirkan begitu sahaja.

Tiada ulasan: