Ahad, 18 Julai 2010

D'Perbatasan

D'Perbatasan


UMNO itu ayam daging, PAS itu ayam kampong

Posted: 18 Jul 2010 02:44 AM PDT

UMNO/BN masih mampu mentadbir kerajaan kita hari ini semata-mata kerana dukungan Sarawak dan Sabah semasa pilihanraya yang lepas. Mereka yang mengundi diSarawak dan Sabah kerana tidak menyangka yang pengundi diSemenanjung akan memberikan sokongan kepada parti alternatif dalam pilihanraya itu.
Kekeliruan politik negara amat jelas dan keadaan ini belum pernah kita alami. Kita beranggapan dizaman Abdullah Badawi mentadbir negara kita ini merupakan zaman yang paling tidak menentu.

Jelas sekarang ini bahawa zaman Abdullah mentadbir negara, keadaan buruk zamannya itu tidaklah seteruk keadaan sekarang ini.

Akhirnya ramai yang saya temui mengakui bahawa keadaan politik negara sekarang ini menjadi igauan bagi sesiapa yang tidak mahu parti yang memerintah hari ini akan menyeberang duduk sebagai pembangkang didewan-dewan lagislatif diperingkat negeri-negeri dan Parlimen.

Pandangan saya ini mungkin mendapat reaksi yang tidak menyenangkan bagi mereka yang masih didalam 'state of denial' dan pihak-pihak yang tidak mahu mendengar cerita-cerita buruk.

Saya lebih cenderung untuk menyebut cerita yang buruk kerana sudah terlalu ramai dikalangan pemimpin UMNO kita membuat cerita yang enak-enak dan melekakan UMNO dan pemimpinnya.

Baru-baru ini timbul keinginan setengah pihak untuk melihat PAS dan UMNO duduk dimeja rundingan bagi mencari penyelesaian terhadap isu Melayu dan perpaduannya.

Muhyiddin nampaknya memberi reaksi yang baik dan bersedia untuk berbuat demikian. Muhyiddin mungkin ada kesedaran yang cadangan itu adalah satu cadangan yang baik untuk mengurangkan tekanan kepada UMNO yang sedang dalam kekeliruan kerana berhadapan dengan banyak isu.

Tetapi disebaleknya Najib pula berkata rundingan itu tidak perlu kerana UMNO sedang bertambah kuat dan beliau seolah-olah tidak nampak yang UMNO pimpinannya sudah hampir terjerumus kedalam keaiban jika pilihanraya umum diadakan sekarang ini.

Pemikiran Muhyiddin dengan Najib memang jelas tidak selari dan tidak sehaluan. Dimana-mana orang ramai menyedari hakikat ini dan mereka menganggap itu adalah satu fenomena yang merbahaya bagi parti apatah lagi dalam keadaan sekarang ini.

Mendengar kata-kata Najib dan Muhyiddin yang menunjukkan perbezaan pandangan dan nilainya membuat kan orang ramai keliru, apatah lagi dikalangan ahli-ahli UMNO sendiri.

Saya bukan bermaksud untuk menyokong perbincangan dengan PAS kerana PAS dan UMNO tidak akan berjaya duduk bersama. Tetapi yang merunsingkan ialah Najib menjawab dengan kata-kata yang tidak benar bila beliau mengatakan UMNO masih kuat.

Dimana letaknya kekuatan UMNO itu? Bagi saya andaian itu, jika banar memanglah baik bagi parti, tetapi didalam naluri orang ramai mereka tidak langsung nampak kebenarannya.

UMNO/BN masih mampu mentadbir kerajaan kita hari ini semata-mata kerana dukungan Sarawak dan Sabah semasa pilihanraya yang lepas. Mereka yang mengundi diSarawak dan Sabah kerana tidak menyangka yang pengundi diSemenanjung akan memberikan sokongan kepada parti alternatif dalam pilihanraya itu.

Sekarang tekanan terhadap BN dikedua-dua buah negeri itu sudah nyata kerana mereka menjadikan arah politik diSemenanjung sebagai penentu arah politik tanah air.

DiSarawak kehaziran parti-parti pembangkan akhir-akhir ini mendapat sokongan dari orang ramai kerana kerana masalah kepimpinan Taib Mahmud yang begitu lama seolah-olah Sarawak itu adalah kepunyaan peribadi beliau sehinggakan tidak ada lagi pemimpin yang berpotensi untuk memimpin bumi kenyalang itu.

Sehingga kehari ini diSarawak masih tidak ada indikasi pertukaran pemimpin kerana semua yang berpotensi telah hanyut kerana sikap kuku besi Taib disana. Najib tidask boleh lagi menganggap Sarawak dan Sabah sebagai 'fixed deposit' bagi BN.

Kalaulah tidak kerana sokongan undi pos, DAP sudah pasti berjaya merampas kerusi parlimen Sibu dengan majoriti melebihi 4000 undi didalam pilihanraya kecil Sibu baru-baru ini. Hanya pengundi pos yang merapatkan majoriti kekalahan BN kepada 398 undi.



Aspan Alias

Politik Melayu kukuh jika Umno tukar dasar

Posted: 18 Jul 2010 02:39 AM PDT

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kekuatan politik orang Melayu adalah bergantung kepada kesediaan Umno untuk menukar dasarnya kepada Islam.
"Pada saya, kalau Umno tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh.

"PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua bangsa dan agama dan merekalah yang mengundi PAS atas nama Islam. Kalau tidak masakan PAS dapat menang besar tahun 1990 dan 2008 lalu," kata menteri besar Kelantan itu dalam satu kenyataan di Kota Bharu hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau mengulas isu perpaduan antara PAS dan Umno apabila baru-baru ini dilaporkan bersetuju untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan perkara itu.

Namun Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz berkata pertemuan itu bukan untuk membincangkan politik sebaliknya akan bertumpu kepada kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat.



- Bernama

Protes naik harga dilancar 28 Julai

Posted: 18 Jul 2010 02:32 AM PDT

Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (PROTES) akan melancar kempen bantahan terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG) pada 28 Julai ini.

Pelancaran bantahan tersebut akan berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur.Penyelaras PROTES, Dr Hatta Ramli berkata dalam mesyuarat hari ini, pihaknya turut membincangkan untuk mengadakan demonstrasi membantah tindakan kerajaan itu.

Bagaimanapun, kata beliau, tarikhnya akan ditentukan dalam mesyuarat yang diadakan pada hari pelancaran kempen tersebut.

"Pada hari itu (28 Julai) kita akan menyusun cadangan aktiviti seperti penyelerasan risalah dan maklumat dan tarikh 'road show' di seluruh negara.


"Kita juga akan mencadangkan tarikh demonstrasi yang dilihat sangat berkesan (sebagai bantahan kepada kerajaan)," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut.
Turut hadir ialah pengarah strategi PKR Tian Chua, Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan dan wakil Dewan Muslimat PAS Aiman Athirah, wakil Suaram dan Dema.

Ditanya sama ada demonstrasi itu akan dibuat menjelang ramadan, Dr hatta berkata beliau lebih cenderung untuk mengumumkan pada hari pelancaran itu.

"Kalau boleh kita nak buat segera. Kita tidak boleh berlengah-lengah sangat," katanya.

Beliau menyifatkan demonstrasi itu sebagai acara kemuncak kempen bantahan itu terhadap keputusan kerajaan itu.

Menurutnya, ini kerana cadangan untuk mengadakan demonstrasi itu adalah susulan daripada kesan kejayaan bantahan rakyat terhadap Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan pemberian lesen judi sukan.

Dr Hatta yang juga bendahari PAS berkata, pihaknya juga akan berusaha untuk mengajak lebih banyak NGO bersama dengan gabungan itu membantah kenaikan harga barangan itu.

"Kita akan gerakkan NGO, kesatuan sekerja dan pelajar untuk bersama-sama (dengan PROTES)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menggerakkan bantahan di seluruh negara khususnya kepada kelompok yang menanggung kesan kenaikan harga barang seperti rakyat berpendapatan rendah dan rakyat yang menghadapi defisit perbelanjaan setiap bulan.

"(Jadi) dasar anti orang miskin adalah sangat pelik (diamalkan) di sesebuah negara (seperti Malaysia)," katanya.

Dr Hatta yang juga ahli parlimen Kuala Krai berkata, kenaikan harga bahan bakar dan bahan makanan itu adalah "tidak wajar" semata-mata untuk menyelamatkan RM750 juta bagi menanggung membiayai projek klinik 1Malaysia dan program pendidikan oleh Permata.

"Tidak wajar kalau kerajaan mengambil duit daripada rakyat untuk wujudkan program 1Malaysia," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Arutchelvan berkata kesan kenaikan harga bahan api dan gula itu bakal dirasai oleh rakyat dalam beberapa minggu lagi dan lebih terkesan apabila menjelang musim perayaan bulan depan.

Manakala Tian Chua mendakwa kenaikan harga bahan-bahan tersebut adalah satu permulaan dan menjangkakan bahan-bahan asas yang lain juga akan terbabit susulan potongan subsidi.

Dua tokoh tahfiz, syariah terima anugerah KITAB

Posted: 17 Jul 2010 07:40 PM PDT

Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) buat julung kalinya akan menganugerahkan 'tokoh ilmuan' kepada dua tokoh agama tempatan di atas sumbangan mereka dalam perkembangan Islam di negeri tersebut.

Anugerahkan tersebut akan disampaikan oleh Yang Terutama Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas sewaktu konvokesyen KITAB pada 27 Julai ini.

Penerima augerah tersebut ialah imam Masjid Kapitan Keling yang juga seorang guru tahfiz, Datuk Sheikh Abdullah Abdullah Bukhari yang banyak berjasa dalam bidang tahfiz al-Quran.

Manakala seorang lagi penerima anugerah tersebut ialah ahli Majlis Fatwa Pulau Pulau Pinang yang juga pensyarah di Universiti Islam
Antarabangsa, Datuk Mohd Salleh Ahmad yang menyumbangkan jasanya dalam bidang syariah.

"Apabila kita memberi sumbangan ini, mereka akan menjadi rujukan kepada masyarakat dan institusi lain," kata Rektor KITAB, Dr Mustapa Kassim ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengenai konvokesyen ketiga kolej tersebut, Dr Mustapa berkata 28 pelajar akan menerima diploma Syariah dan Tahfiz Al-Quran manakala 260 pelajar lagi menerima sijil dalam bidang bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

"Dua daripada pelajar diploma itu adalah pelajar antarabangsa, masing-masing dari Indonesia dan Singapura," katanya.

Manakala dalam bidang sijil pula, Mustafa berkata, dua orang pelajar dari Thailand juga bakal menerima sijil mereka pada hari bersejarah itu.

Mustafa berkata, setakat ini kolej tersebut yang mula beroperasi pada 12 Mei 2005, mempunyai 262 pelajar yang mengikuti lima bidang pengajian di peringkat diploma.

Selain menawarkan pengajian diploma Syariah dan Tahfiz Al-Quran, tiga bidang lagi yang ditawarkan adalah Diploma Kewangan, Perbankan dan Qiraat Al-Quran yang telah mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menurutnya, terdapat pelajar yang tamat pengajian dari kolej itu sebelum ini telah melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), antaranya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Univerisiti Multimedia (MMU), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

Malah kata Mustafa, terdapat juga pelajarnya yang melanjutkan pelajar ke peringkat ijazah pertama di Univerisiti Islam Negeri (UIN) di Medan, Indonesia.

Di samping itu, kini terdapat 60 pelajar tempatan yang telah bekerja yang mengikuti pengajian hujung minggu di kolej tersebut - masing-masing 47 dalam bidang Diploma Syariah dan 13 orang dalam bidang Tahfiz Al-Quran.

Menurut Dr Mustafa, KITAB kini mempunyai 30 tenaga pengajar yang majoritinya anak tempatan dan telah mengikuti kursus pengajaran di
Univerisiti Sains Malaysia (USM).

Katanya, kolej tersebut yang sebelum ini merupakan sebuah pusat pengajian tahfiz, adalah milik penuh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

"Kami menjangkakan dalam masa lima tahun lagi, kami mempunyai universiti sendiri," katanya sambil menambah MAINPP turut menyelia tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah yang diletak di bawah satu struktur.

Beberapa jawatankuasa dibentuk bagi memastikan KITAB beroperasi dalam keadaan yang mantap, teguh dan dipercayai, iaitu Jawatankuasa Merangka Kurikulum, Jawatankuasa Pakar Menyemak Kurikulum dan Lembaga Pengarah KITAB.

Jawatankuasa tersebut dianggotai pakar-pakar dalam pelbagai bidang di peringkat negeri dan kebangsaan.

Program Diploma Syariah, Diploma Tahfiz al-Quran dan Diploma Qira'at juga diiktiraf oleh universiti di Timur Tengah seperti di Mesir, Arab Saudi, Jordan dan Maghribi untuk membolehkan pelajar kolej tersebut melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

Tiada ulasan: