Ahad, 4 Julai 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


KDN Belum Putuskan Pembaharuan Permit Suara Keadilan

Posted: 04 Jul 2010 01:44 AM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum membuat keputusan berhubung permohonan pembaharuan permit penerbitan Suara Keadilan.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Datuk Zaitun Ab. Samad hari ini menjelaskan dalam satu kenyataan bahawa KDN sedang meneliti dan mempertimbangkan permohonan pembaharuan permit penerbitan itu.

"Kementerian masih belum membuat sebarang keputusan mengenai permohonan tersebut," katanya.

Katanya, kenyataan yang mengatakan kementerian telah menggantung permitpenerbitan Suara Keadilan adalah tidak benar dan tidak berbangkit sama sekali.

Beliau berkata, keputusan berhubung pembaharuan permit itu hanya akan dibuatsetelah mendapat penjelasan yang memuaskan daripada pihak penerbitan Suara Keadilan. Zaiton juga memaklumkan bahawa permit penerbitan Suara Keadilan telah tamat tempoh sah laku pada 30 Jun lalu dan permit yang diberikan sebelum ini adalah bagi tempoh satu tahun iaitu dari Julai 2009 hingga 30 Jun lalu.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa KDN memutuskan untuk tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan yang tamat akhir bulan lepas setelah tidak berpuas hati dengan penjelasan sidang redaksi penerbitan itu berhubung beberapa perkara.

Antaranya, pihak KDN dilaporkan tidak berpuas hati dengan penjelasan editor akhbar berkenaan Dzulkarnain Taib, berhubung penyiaran artikel bertajuk FeldaBankrap. -

PRS Bertekad Tawan Semula Kerusi Ngemah

Posted: 04 Jul 2010 01:42 AM PDT

BERNAMA

KANOWIT: Setelah berjaya mengatasi pergolakan yang dialaminya sejak sekian lama, Parti Rakyat Sarawak (PRS) kini bukan sahaja memperoleh nafas baru, malah merupakan sebuah parti politik berasaskan masyarakat Dayak yang semakin kuat pengaruhnya.

Susulan kepada persidangan perwakilan tiga tahun sekali yang berlangsung di Bintulu pada April, parti berkenaan nampaknya telah berjaya membuang jauh episod hitam masa lampaunya di mana krisis kepimpinan telah nyaris-nyaris menguburkan parti itu.

Malah, kini PRS menggunakan tangkai padi sebagai logo barunya, yang dianggap lebih sesuai bagi mencerminkan jalur perjuangan politiknya, bagi menggantikan "terabai" (perisai pahlawan masa silam) yang digunakan sebelum ini.

Pada persidangan perwakilan itu, pemimpin veteran dan Menteri Pembangunan Tanah negeri Datuk Seri Dr James Jemut Masing tidak dicabar oleh sesiapa untuk terus menerajui parti berkenaan.

Walaupun PRS kini semakin kukuh, lebih bersemangat serta stabil dan dihormati, namun dua cabaran besar bakal menantinya pada pilihan raya negeri akan datang.

Pada pilihan raya berkenaan, selain mempertahankan lapan kerusi luar bandar yang disandangnya sekarang, PRS berazam untuk merampas kembali kerusi Ngemah yang terlepas daripada genggamannya sebelum ini.

Seperti parti komponen Barisan Nasional (BN) lain, PRS juga berdepan dengan cabaran daripada Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan calon Bebas.

"Mungkin, kami juga akan berdepan dengan PAS... terdapat kaum Iban dalam parti itu sekarang," kata ketua publisiti PRS Wilson Nyabong.

Bagaimanapun, PRS lebih memberi tumpuan kepada kerusi Ngemah dan Pelagus bagi membuktikan kekuatannya.

Kini, Ngemah diwakili Gabriel Adit Demong, yang lebih dikenali sebagai "Kunchit beragum" (murai berjanggut) dalam kalangan penyokongnya.

Pada 2006, beliau bertanding atas tiket Bebas dan mengalahkan calon PRS Alexander Vincent dengan kelebihan 549 undi. Kini, beliau menjadi pengerusi PCM setelah parti itu menjadi sekutu kepada PKR negeri.

Bagaimanapun, kali ini, Adit, 60, akan mendapati gunung yang menantinya lebih sukar untuk didaki dan lorong yang bakal dilaluinya lebih banyak onak dan duri jika beliau semata-mata bergantung pada prestasi masa lampaunya, termasuk sebagai wakil rakyat BN selama dua penggal.

Seorang bekas penyokong beliau, ketua rumah panjang Lembat anak Itau dari Pidai berkata, banyak pihak kini amat kecewa dengan Adit.

"Kebanyakan kami terpedaya dengan propaganda bahawa Adit, yang bertanding atas tiket Bebas ketika itu, akan diterima menyertai BN sekiranya beliau menang.

"Kini, penggal semasa Dewan Undangan Negeri hampir berakhir. Sudahlah tidak menyertai BN, beliau asyik melompat dari satu parti pembangkang kepada satu parti pembangkang lain. Apa yang paling menyakit hati ialah kami, dari lebih 100 rumah panjang di kawasan ini, telah terpinggir daripada projek dan rancangan pembangunan kerajaan," katanya.

Lembat berkata sebelum ini, Pidai, Jih, Ulu Tuah, Bawan dan beberapa tempat lain merupakan kubu kuat Adit.

"Sekarang, anda dapat saksikan sendiri kami memasang bendera PRS/BN. Kami ada jalan yang menghubungkan ke pusat bandar. Kebanyakan kami, terutama yang tinggal berdekatan dengan Jalan Senibong-Tada, sudah mendapat bekalan air yang dirawat. Kami amat berharap akan mendapat bekalan tenaga elektrik pula.

"Kami yakin hanya BN yang boleh memberi ini kepada kami. Oleh itu, pada pilihan raya kali ini, BN boleh mengharapkan undi kami.

"Kami harap Alexander akan dibenarkan mewakili kami. Kami lebih mengenali beliau sekarang," katanya.

Ketua rumah panjang Brain anak Langit, 33, dari kawasan Ulu Jih, yang juga Ketua Pemuda Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) kawasan Ngemah, pula berkata beliau yakin inilah masa paling sesuai bagi BN untuk mengetepikan Adit.

"Barangkali, PRS patut menamakan calonnya sekarang agar kami boleh memberi fokus untuk membantunya meraih kemenangan.

"Pada pilihan raya lepas, Alexander menjadi mangsa perbuatan khianat. Ada individu tertentu dalam PRS sendiri, yang tidak puas hati kerana mereka dipinggirkan, telah berkempen menentang beliau," kata ketua rumah panjang itu.

Mengenai kerusi Pelagus pula, Nyabong berkata "ia adalah kerusi tradisi PRS dan oleh itu perlu terus menjadi miliknya."

"Memanglah, penyandang selama dua penggal yang ada sekarang, Larry Sng Wei, adalah seorang menteri muda. Beliau berada di situ kerana parti dan pengundi. Tapi, apabila sudah tamat penggalnya, beliau perlu berundur kerana beliau bukan anggota parti ini," kata Nyabong.

Nyabong berkata PRS telah menjelaskan perkara itu kepada pengundi di Pelagus dan mereka menerimanya.

"Kami beritahu mereka bahawa kami ada calon bagi menggantikan Sng. Mereka juga berikrar akan hanya menyokong calon BN pada pilihan raya akan datang," katanya.

Seorang pegawai kanan PRS berkata parti itu telah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua calon selain Alexander untuk bertanding bagi kerusi Ngemah dan dua calon bagi kerusi Pelagus.

"Bagi Ngemah, adalah seorang pegawai kanan kerajaan berkelulusan PhD. Semua orang tahu perkara kini. Seorang lagi adalah guru berijazah," katanya.

Sementara itu, ketika PRS giat mengatur perancangannya, ada pihak yang tidak berpuas hati di Ngemah berkata seorang ahli perniagaan berminat untuk menawarkan diri sebagai calon Bebas pada pilihan raya negeri akan datang.

Usah Jadi Primadona Dalam Umno - Najib

Posted: 04 Jul 2010 01:41 AM PDT

BERNAMA

PEKAN: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegur anggota dan pemimpin-pemimpin Umno supaya tidak bersikap sebagai primadona, yang akhirnya dilihat akan hanya merosakkan parti itu.

Perdana Menteri yang membuat analogi kejayaan pasukan bola sepak yang sedang bertanding di Piala Dunia ketika ini berkata hanya pasukan yang mempunyai semangat berpasukan yang tinggi sahaja akan berjaya berbanding pasukan yang mempunyai ramai "primadona".

"Dalam Piala Dunia, pasukan favourite pun kalah. Adakah pasukan favourite Umno dan Barisan Nasional boleh berjaya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti?.

"Kalau pasukan kita banyak "primadona", dia kira nak sumbat gol sendiri, alih-alih dia tersungkur, kita bina semangat berpasukan, individu yang ada kebolehan akan lebih berjaya jika ada semangat berpasukan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat Umno bahagian Pekan di sini.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan berkata semua aanggota dan pemimpin Umno perlu kembali kepada asas perjuangan dengan meletakkan kepentingan parti melebihi daripada kepentingan-kepentingan lain.

Najib berkata dalam sistem politik berparlimen, kedudukan parti politik sentiasa saja akan mengalami pasang surut dan boleh merudum jika tidak melakukan perkara-perkara yang disenangi rakyat.

Perdana Menteri berkata usaha menguruskan kejayaan parti yang telah berjasa kepada bangsa, agama dan negara itu sebenarnya lebih payah berbanding untuk meraih kejayaan.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Najib berkata kiasan itu lebih berbentuk nasihat dan bukanlah bererti Umno kini berada dalam keadaan lemah.

"Ia lebih berbentuk nasihat, apa yang saya sarankan ini sebagai nasihat, nasihat saya sebagai Presiden, untuk diri saya juga.

"Kita mesti sentiasa mengingatkan bukan bererti keadaan terlalu buruk sangat, tapi saya ingin yang terbaik untuk Umno, kita menghadapi pelbagai cabaran, supaya dari proses ini kita jadi parti dan pemimpin yang disanjung rakyat," katanya.

Najib berkata analogi kejayaan pasukan bola sepak yang bertanding di Piala Dunia itu adalah supaya semua anggota dan pemimpin Umno lebih bersikap mementingkan parti atau pasukan daripada lebih bersikap individulistik.

"Maknanya sebagai sepasukan, kita tengok pasukan dalam Piala Dunia, lebih berjaya dari pasukan yang utamakan individu," katanya.

Ditanya berkenaan perjalanan mesyuarat bahagian Umno yang sedang berlangsung ketika ini, Najib berkata perjalanan mesyuarat berkenaan kini dipantau sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pengurusan melalui laporan yang dibuat Badan-badan Perhubungan Negeri.

"Setakat ini, saya tidak dapat laporan negatif, semua berjalan baik walaupun satu bahagian di Kelantan timbulkan masalah yang agak rumit yang sedang ditangani Badan Perhubungan Umno Kelantan dan Jawatankuasa Pengurusan," katanya.

Dedah Bersyarat - Zaid

Posted: 04 Jul 2010 01:39 AM PDT


Zaid sedia jelaskan hubungannya dengan Raja Petra secara terbuka

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim meletakkan syarat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein jika mahu beliau menjelaskan mengenai hubungannya dengan pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Zaid berkata, beliau hanya akan membuat penjelasan mengenai perkara berkenaan jika ia dilakukan di tempat terbuka yang boleh disaksikan oleh orang awam.

"Hishammuddin mahu supaya saya membuat penjelasan... saya sedia untuk itu jika beliau mahu bertemu saya.

"Tapi saya mahu pertemuan itu di buat di tempat awam," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Zaid berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Hishammuddin bahawa beliau mempunyai 'kewajipan moral' untuk menjelaskan mengenai hubungannya dengan Raja Petra.

Bagaimanapun Hishammuddin berkata, Zaid tidak terikat dengan peruntukan undang-undang sama ada mahu membuat penjelasan ataupun tidak.

Selain itu menurut Zaid yang juga bekas calon PKR bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor berkata, beliau mahu pertemuan itu diadakan di tempat terbuka bagi memastikan orang awam mendapat maklumat secara terus.

"Masyarakat boleh dengar maklumat terus daripada saya," katanya.

Baru-baru ini Zaid sendiri mengakui pernah mengadakan pertemuan dengan Raja Petra di United Kingdom.

Malah Ahli Parlimen Bebas dari Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim juga mendedahkan Raja Petra pernah menerima RM470,000 dan pernah menginap di Hotel Britannia, Manchester bersama-sama Zaid pada 1 Oktober hingga 4 Oktober tahun lalu.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melalui web Malaysia Today.

Perhimpunan Kedua GAS Berakhir Awal Kerana 'Diganggu' Penyokong MIC

Posted: 04 Jul 2010 01:37 AM PDT

MSATAR ONLINE

KLANG: Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) mengadakan perhimpunan keduanya hari ini di Dewan Dato' Hamzah di sini, namun berakhir lebih awal berikutan diganggu oleh penyokong-penyokong MIC.

Perhimpunan berkenaan dihadiri kira-kira 350 penyokong GAS pada 2 petang tadi bagi mendesak Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu meletakkan jawatan.

Turut hadir, perhimpunan GAS yang diketuai pemimpin-pemimpin yang dipecat iaitu V. Mugilan, K. P. Samy dan G. Kumar Aamaan.

Bagaimanapun, perhimpunan berkenaan diganggu oleh satu kumpulan daripada penyokong-penyokong MIC menyebabkan majlis berkenaan berakhir lebih awal.

Mereka terdiri daripada lebih 30 pemimpin MIC yang merupakan penyokong kepimpinan Samy Vellu yang membuat 'kacau' sehingga menjejaskan perjalanan perhimpunan itu.

Keadaan itu telah menimbulkan 'pertikaman lidah' antara kumpulan itu dan penganjur di dalam Dewan Dato' Hamzah sehingga mencetuskan pergelutan.

Kehadiran polis memastikan keadaan terkawal dan atas nasihat mereka kepada penganjur, perhimpunan berkenaan berakhir pada pukul kira-kira 3 petang.

Perhimpunan kedua GAS sepatutnya dijadualkan pada 13 Jun lalu, namun terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan.

Perhimpunan pertama gerakan itu telah dilakukan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa (MIECC) pada 30 Mei lalu.

Dedah Bukti PKR Taja Raja Petra - Syed Husin

Posted: 04 Jul 2010 01:35 AM PDT

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz supaya mendedahkan bukti mengatakan parti itu membiayai pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, Mohamed Nazri perlu menyatakan bukti kukuh bagi menyokong dakwaannya itu.

"Jangan cakap kosong... kalau ada bukti, cakaplah (dedahkan), saya cabar beliau untuk kemukakan bukti," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Melalui laporan media hari ini, Mohamed Nazri yang dipetik sebagai berkata, kerajaan mempunyai bukti mengatakan PKR membiayai Raja Petra di United Kingdom.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bebas dari Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim mendedahkan Raja Petra pernah menerima RM470,000 dan pernah menginap di Hotel Britannia, Manchester bersama-sama dengan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Zaid Ibrahim pada 1 Oktober hingga 4 Oktober tahun lalu.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melalui web Malaysia Today.

Perhimpunan kedua GAS di Klang hari ini

Posted: 04 Jul 2010 01:08 AM PDT

MALAYSIA KINI



Kira-kira 350 orang menyertai perhimpunan kedua anjuran Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) di Dewan Hamza di Klang dalam kempen mendesak presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu S meletak jawatan.

Bagaimanapun, kira-kira 50 ahli MIC Klang turut hadir. Dan seperti yang dijangkakan, kira-kira jam 2.45 petang, berlaku jerit menjerit antara mereka dengan penyokong GAS.

Pada mulanya, perhimpunan tersebut dijadual diadakan pada 13 Jun lalu, tetapi ditangguhkan atas 'faktor keselamatan'.

Ketua Pemuda MIC Selangor, M Shanker Raj Ayenger pula memberitahu perhimpunan gerakan itu hari ini bahawa pihaknya akan memutuskan sama ada akan mengadakan protes terhadap perhimpunan GAS itu.

Dia telah membuat laporan polis di ibupejabat polis Klang semalam untuk membantah perhimpunan tersebut.

Kontroversi artikel The Washington Post

Posted: 03 Jul 2010 05:10 PM PDT

Oleh JACKSON DIEHL, Washington Post


Berikut terjemahan bebas MUHAMMAD NOR ABD SAMAD terhadap artikel bertajuk "Flirting with zealotry in Malaysia" yang disiarkan akhbar The Washington Post, Isnin 28 Jun 2010 yang menimbulkan polemik di Malaysia:

Anwar Ibrahim, pemimpin politik pembangkang Malaysia sejak sedekad yang lalu cukup terkenal sebagai pejuang demokrasi liberal di kalangan negara-negara Islam.

Di antara kawan-kawannya yang ramai di Washington, termasuk ahli pergerakan neokonservatif ternama seperti Paul Wolfowitz, bekas Presiden Bank Dunia dan duta Amerika Syarikat (AS) ke Indonesia dan juga tokoh demokratik ternama Al Gore. Akhir-akhir ini Anwar menjadi tumpuan atas sesuatu yang lain pula: retorik keras mengenai Israel dan dakwaan "pengaruh Zionis" di Malaysia.

Baru-baru ini beliau menyertai demonstrasi di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur di mana bendera Israel dibakar. Beliau mengecam kerajaan Malaysia kerana menggunakan perkhidmatan syarikat perhubungan awam Washington, Apco Worldwide yang "dikuasai Yahudi".

Terdapat satu cerita dalam era Obama - mengenai survival politik dan peribadi seorang ahli demokrat yang bermasalah dengan sedikit bantuan daripada Washington; mengenai peningkatan tekanan masyarakat antarabangsa terhadap Israel; dan mengenai peningkatan kesediaan sahabat-sahabat AS di beberapa tempat seperti Turki dan Malaysia untuk mengeksploitasikannya.

Pertama, sedikit mengenai Anwar: Sewaktu berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri di bawah orang kuat Malaysia Mahathir Mohamad dalam 1990-an, beliau mula menekankan soal pembaharuan - tetapi berkesudahan dengan beliau ditangkap, dibicara dan dipenjarakan atas tuduhan yang direka-reka iaitu liwat.

Setelah dibebaskan enam tahun kemudian, beliau menubuhkan pergerakan pembangkang multietnik yang mengejutkan parti pemerintah dengan pencapaian yang diperolehinya dalam pilihan raya umum yang lalu.
Pergerakan itu kini dilihat mempunyai peluang yang besar untuk memenangi kempen parlimen akan datang dan ini mungkin membolehkan Malaysia menyertai Indonesia dan Turki sebagai negara demokrasi majoriti Islam sepenuhnya.

Tidaklah mengejutkan, Anwar didakwa sekali lagi. Sekali lagi atas tuduhan melakukan liwat, yang mengikut undang-undang Malaysia merupakan satu jenayah yang perlu dihukum sebat dan penjara sehingga 20 tahun. Anwar, 63, berkahwin dan mempunyai anak menafikan dakwaan tersebut, dan bukti-bukti yang dikemukakan sekali lagi dicurigai.

Sipenuduh yang berusia 25 tahun mengaku menemui Perdana Menteri Najib Razak dan berbual melalui telefon dengan Ketua Polis Negara beberapa hari sebelum kejadian liwat tersebut didakwa berlaku.

Perbicaraan yang diadakan tidak berjalan dengan baik. Jika ia berakhir dengan Anwar sekali lagi disabitkan bersalah, masa depan politik dan gabungan pembangkangnya mungkin musnah, begitu juga dengan hidupnya: Kesihatannya tidak begitu baik.

Pemimpin pembangkang itu kali ini tidak mendapat sokongan sewajarnya daripada Amerika Syarikat, tidak seperti perbicaraannya yang pertama di mana timbalan presiden AS pada waktu itu, Al Gore bercakap bagi pihaknya. Obama tidak bercakap apa mengenai Anwar di khalayak ramai sewaktu menerima kunjungan Najib di Washington dalam bulan April lalu.

Selepas "dialog pegawai kanan" di antara dua kerajaan itu bulan ini, soal perbicaraan Anwar tidak juga dibangkitkan oleh Jabatan Negara kerana "isu telah pun dibincangkan dengan panjang lebar". Apabila menyentuh soal hak asasi manusia, pentadbiran Obama tidak mahu mengulangi perkara yang sama.

Anwar bagaimanapun menemui jalan untuk bertindak balas. Kalau selama ini beliau dihentam hebat oleh propaganda kerajaan mengaitkannya sebagai ejen Israel dan sahabat Amerika kerana berkawan dengan Wolfowitz, kali ini beliau menyerang dengan mengatakan Apco telah memanipulasi kerajaan untuk menyokong Israel dan kepentingan AS.

Beliau juga berkata ejen Israel telah menyusup masuk dalam pasukan keselamatan dan "terlibat secara langsung" dalam urusan kerajaan. Najib menyifatkan Israel sebagai "gangster dunia". Tetapi beliau cepat memusingkan kata-kata Anwar terhadapnya: Apco berusaha melibatkan diri dalam kenyataan anti-Israel di sekeliling Washington.

Anwar adalah seperti Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan, yang disifatkannya sebagai kawan dan teman sepengembaraan. Kedua-duanya tahu bagaimana untuk melibatkan diri dalam perkara sebegini. Kedua-duanya telah pun memulakannya - setahun selepas pentadbiran Obama melahirkan rasa tidak senangnya terhadap Israel. "Jika anda kata kami sudah hilang sabar terhadap Israel, itu benar," Anwar memberitahu saya. "Jika anda kata saya tidak berhati-hati bila bercakap kadang-kadang, itu juga benar."

Anwar yang berada di Washington buat beberapa hari minggu lalu, menghabiskan banyak masa cuba menjelaskan kepada kawan-kawan lama, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Howard Berman dan beberapa orang pemimpin Yahudi.

Beliau berkata beliau kesal menggunakan istilah "pencerobohan Zionis" yang selalu digunakan oleh beberapa pemimpin seperti Mahmoud Ahmadinejad. "Mengapa saya perlu menggunakannya jika ia mendatangkan salah faham?" katanya. "Saya perlu berhati-hati."

Ramai di kalangan sahabat-sahabatnya di Malaysia bersedia memaafkannya. "Apa yang Anwar lakukan adalah salah, tapi memandangkan beliau sedang berjuang untuk hidupnya - secara fizikal dan politik - menentang kerajaan yang menyerangnya sebagai berkata 'boneka Yahudi', saya kira ia boleh dimaafkan," kata Wolfowitz memberitahu saya. Tetapi cerita Anwar perlu dibaca sebagai amaran. Perubahannya daripada seorang demokrat yang pro-Amerika kepada seorang fanatik anti-Israel merupakan sesuatu yang serius - dan ia kini mula menjadi trend.

KDN tidak pilih kasih antara suara perkasa dan suara keadilan

Posted: 03 Jul 2010 05:09 PM PDT

BERNAMA

HULU TERENGGANU - Tindakan tegas termasuk menggantung penerbitan Suara Perkasa jika penerangan yang diberi berhubung artikel bertajuk Tahan Ka Siong Bawah ISA yang diberi editornya, didapati tidak memuaskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementerian itu tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan fitnah dan polemik menyentuh isu perkauman dan agama.

"Kita selalu konsisten, kalau salah tetap salah tak kira dari surat khabar mana. Jangan kerana dalam kebebasan bersuara kita tabur fitnah dan polemik kaum dan agama, ini amat berbahaya," kataya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu di sini, hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap apa sahaja yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa KDN memberi layanan berbeza kepada Suara Keadilan dan Suara Perkasa.

"Tindakan kita jelas. Memang (editor) Suara Perkasa, bila kita minta datang, mereka datang tepat pada masanya. Masih tak puas hati (dengan penjelasan mereka) kita minta mereka datang hari Isnin ini.

"Tetapi Suara Keadilan angkuh dan susah nak beri keterangan, tetapi akhirnya mereka terpaksa juga berbuat begitu kerana itu undang-undang," katanya.

Menurut beliau, tindakan penggantungan permit seperti diambil terhadap Suara Keadilan turut dikenakan kepada akhbar-akhbar lain yang didapati melanggar syarat ditetapkan.

KDN sebelum ini memutuskan untuk tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan yang tamat akhir bulan lepas setelah tidak berpuas hati dengan penjelasan sidang redaksi akhbar itu berhubung beberapa perkara.

Antaranya, pihak KDN tidak berpuas hati dengan penjelasan editor akhbar berkenaan, Dzulkarnain Taib berhubung penyiaran artikel bertajuk Felda Bangkrap.

Skim pencen anggota polis sebelum merdeka

Posted: 03 Jul 2010 05:06 PM PDT

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan mengusulkan kepada kerajaan cadangan untuk memberikan pencen buat semua pesara polis yang berkhidmat sebelum merdeka.

Menurut Timbalan Menterinya, M. Saravanan berkata, skim tersebut akan diusulkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat.

Beliau berkata, langkah itu perlu sebagai tanda penghargaan kepada semua anggota polis yang banyak berjasa kepada negara.

"Saya pernah cuba membawa usul ini kepada KDN sebelum ini tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana terdapat beberapa halangan seperti dasar yang telah diperuntukkan dan rombakan Kabinet.

"Namun begitu, saya sekali lagi akan membawa usul ini kepada kepada KDN sebagai bukti kerajaan prihatin kepada kebajikan mereka (pesara)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga bercadang menjadikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab untuk membantu bekas anggota keselamatan itu.

"Saya juga yakin Perdana Menteri kita yang berjiwa rakyat dapat membantu. Ketika ini hanya tinggal kira-kira 2,000 bekas anggota yang masih hidup, ada antara mereka uzur dan memerlukan bantuan," tambah beliau.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Saravanan yang mewakili kementeriannya menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada persatuan tersebut.

Majlis bertemakan 'Jom Santai Bersama Ahli dan Keluarga 69' itu bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di kalangan bekas anggota dan keluarga ahli.

Presiden Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 Polis Di Raja Malaysia, Hashimi Haron berkata, persatuan tersebut sentiasa mengambil berat tentang ahli di bawah naungan persatuan tersebut.

"Setakat ini kita telah menyumbang 40 buah kerusi roda dan banyak membuat sumbangan kepada bekas anggota skuad 69 dan balu mereka yang uzur.

Pada majlis itu, pihak persatuan menyumbangkan tiga buah kerusi roda dan sumbangan wang tunai kepada lapan balu.

283 sekolah punyai kemudahan paling teruk

Posted: 03 Jul 2010 05:03 PM PDT

UTUSAN ONLINE

POKOK SENA - Kira-kira 283 buah sekolah atau tiga peratus daripada 9,462 sekolah di seluruh negara dikategorikan mempunyai kemudahan fizikal yang paling teruk.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, penemuan itu dibuat melalui pengauditan kemudahan fizikal sekolah-sekolah yang dibuat oleh satu jawatankuasa khas Kementerian Pelajaran baru-baru ini.

Katanya, audit yang dibuat atas arahan Menteri Pelajaran bertujuan mengenal pasti tiga perkara utama iaitu keadaan fizikal sekolah sedia ada, kemudahan sekolah berada dalam keadaan yang sepatutnya dan memastikan peralatan termasuk kerusi dan meja mencukupi.

"Program audit ini adalah berdasarkan kepada Sistem Maklumat Pengurusan Pelajaran (EMIS) untuk mengenal pasti kedudukan sesebuah sekolah kepada empat kategori utama.

"Kategori tersebut adalah baik, sederhana, teruk dan sangat teruk," katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pokok Sena, di sini hari ini.

Menurutnya, sebahagian besar sekolah yang mempunyai kemudahan fizikal yang sangat teruk seperti tiada dinding terletak di Sabah dan Sarawak.

Berikutan pengauditan itu, Mohd. Puad memberitahu, sebanyak empat tindakan susulan akan diambil sama ada membaiki, mengganti, menambah atau membina semula kemudahan tersebut.

"Sebagai contoh, jika sesebuah sekolah itu dilanda banjir setiap tahun, adalah lebih baik ia dibina di tempat lain yang selamat daripada fenomena cuaca itu," ujarnya.

Katanya, untuk tempoh tiga minggu akan datang mulai semalam, jawatankuasa khas itu sedang menyediakan laporan mengenai kos yang perlu disediakan bagi melaksanakan tindakan susulan tersebut.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran berharap semua tindakan susulan itu dapat dijalankan pada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menurutnya, kesemua 9,462 sekolah yang diaudit itu termasuk sekolah kebangsaan, sekolah bantuan modal, sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah agama negeri.

SNAP Cabar SPDP Pada 7 Kerusi di Sarawak

Posted: 03 Jul 2010 05:02 PM PDT


edwin_dundang Oleh Roselind Jarrow

KUCHING: Parti Nasional Sarawak (SNAP) akan mencabar secara habis-habisan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pada pilihan raya negeri akan datang berikutan kekacauan yang ditimbulkan oleh parti itu.

"Ya, SNAP akan menentang SPDP secara sepenuh tenaga pada tujuh kerusi milik kami sebelum berlakunya perpecahan," kata Setiausaha Agung SNAP Stanley Jugol.

Jugol diminta untuk mengesahkan kenyataan Presiden SNAP Edwin Dundang bahawa parti bercadang untuk mengambil balik kerusi-kerusi itu dari SPDP.

"Oleh sebab SPDPlah, kami kehilangan semuanya dan parti kami dibatalkan pendaftarannya pada November 2002. Kami telah memohon penangguhan terhadap keputusan pembatalan itu oleh Pendaftar Pertubuhan.

"Memandangkan kini parti diberi peluang sekali lagi, kami mesti melawan SPDP habis-habisan di Ba'Kelalan, Marudi, Meluan, Pakan, Tasik Biru, Krian dan Batu Danau," kata Jugol.

Parti juga menumpukan perhatian kepada kerusi-kerusi parlimen yang pada suatu ketika dulu dipegang oleh SNAP seperti Baram, Bintulu, Saratok dan Mas Gading.

Dundang memberi isyarat bahawa beliau akan bertanding kerusi Marudi memandangkan parti mempunyai sokongan kuat di peringkat akar umbi. Marudi mempunyai sejarah yang panjang dengan SNAP," kata beliau.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Marudi, Sylvester Enteri mengalu-alukan sebarang cabaran dari bekas partinya.

"Terpulang kepada Dundang untuk bertanding menentang saya. Saya menerima cabaran itu," kata Enteri, yang juga Penolong Menteri Pengagihan Air.

Sabah MP pertikai serah Blok L & M kepada Brunei

Posted: 03 Jul 2010 04:59 PM PDT


Chua soon bui 19Mac Queville Teo


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tawau Chua Soon Bui menggesa disediakan satu 'Kertas Putih' mengenai penyerahan tiga juta ekar kawasan perairan maritim yang kaya dengan minyak dan gas kepada Brunei.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Progresif Sabah berkata rakyat Malaysia masih keliru dan ingin tahu kebenaran disebalik penyerahan dua blok berikutan pelbagai kenyataan yang dibuat oleh berbagai wakil kerajaan.

Kenyataan-kenyataan itu bagaimanapun gagal menjawab pelbagai keraguan yang timbul membabitkan kerugian sebanyak RM320 bilion hasil minyak dan gas kepada Malaysia.

"Kita bukan sahaja kehilangan sumber minyak dan gas yang berharga, malah juga kehilangan wilayah perairan untuk tujuan pengangkutan, hidupan marin dan sumber makanan," kata Chua.

"Kertas Putih itu bertujuan untuk faedah dan memelihara kepentingan semua rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah dan Labuan.

"Saya timbulkan persoalan ini kepada Jabatan Perdana Menteri untuk menjelaskan segala kesangsian yang timbul agar hak dan kepentingan rakyat senantiasa dilindungi," katanya dalam satu ucapan penangguhan di Parlimen baru-baru ini.

Chua menegaskan rakyat selama ini mempersoalkan kesahihan penyerahan dua blok itu, terutamanya sama ada kawasan maritim Sabah (utara Labuan) disempadankan semula, atau langkah ini melanggar Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan hingga boleh menyebabkan ianya terbatal dan tidak mengikut perlembagaan.

Kalau Malaysia boleh merujuk kes Pulau Sipadan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan memenangi kes itu pada Disember 2002, kerajaan harus melakukan perkara yang sama dalam kes ini.

Saya yakin tiga juta ekar Blok L dan M dengan minyak dan gas bernilai RM320 bilion adalah sangat bernilai dan mendatangkan manfaat sama seperti Pulau Sipadan.

Jika benar wujudnya pertikaian dalam hal ini dengan Brunei, kenapa kes ini tidak dirujuk ke ICJ memandangkan Malaysia mempunyai kepakaran dalam undang-undang perairan antarabangsa? soal beliau.

Chua berkata, rakyat Sabah hairan kerajaan sanggup bersusah payah menuntut pulau Batu Putih dan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menuntut perairannya, tetapi langsung tidak berani untuk menuntut blok-blok itu yang kaya dengan minyak dan gas.

Dua laporan SPRM terhadap Taib

Posted: 03 Jul 2010 04:56 PM PDT


images FREE MALAYSIA TODAY


KUCHING: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya terhadap Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud yang didakwa mempunyai aset berjumlah RM3 bilion, baru-baru ini.

Aset itu didakwa dimiliki Taib melalui empayar perniagaan antarabangsanya hasil daripada pendapatan haram.

Selain itu, laporan terhadap beberapa pemimpin Sarawak juga turut dikemukakan AMK.

Kedua-dua laporan itu mendakwa Taib merupakan pemimpin politik korup yang menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan peribadi, seperti yang dilaporkan dalam artikel di portal berita.

Ketua AMK Sarawak Ahmad Nazib Johari berkata, pihaknya telah pun membuat laporan SPRM di Sarawak dan akan membuat laporan di pejabat SPRM seluruh negara.

"Kami harap SPRM tidak takut menangani laporan ini memandangkan ia melibatkan kes berprofil tinggi," katanya.

"Apa yang menjengkelkan alasan SPRM akan menyiasat aduan itu pejabat tetapi Peguam Negara berkuasa menentukan sama ada mahu mendakwa atau tidak.

Ahmad Nazib mendakwa Taib mempunyai kekayaan yang besar dengan mengaut hasil kekayaan sumber khazanah negeri dan menyalurkannya kepada anak-anaknya, Abu Bekir, Jamilah dan Sulaiman, serta saudaranya, Onn Mahmud.

Aset luar negara

"Mereka sangat kaya sehingga mampu membeli aset luar negara. Susah untuk menggambarkan Ketua Menteri yang mempunyai pendapatan RM20,000 sebulan mampu memperolehi aset berbilion ringgit dengan cara yang sah.

Laporan di Putrajaya itu dibuat anggota AMK Ting Cek Ming, Kung Chin Chin dan John Brian Anthony.

Ting, bersama Ahmad Nazib dan James Wong sebelum ini cuba membuat laporan yang sama di Shah Alam minggu lalu, namun membatalkannya kerana pegawai SPRM di Shah Alam enggan memberikan mereka salinan laporan yang dibuat.

"Kini kami mempunyai bukti salinan laporan yang dikemukakan beserta tandatangan pegawai SPRM," katanya.

Menurut laporan, keluarga Taib mempunyai aset di Kanada, Australia dan Britain.

Laporan itu turut mendakwa Taib beserta keluarga dan teman rapatnya mempunyai 85% saham dalam syarikat konglomerat terbesar di Sarawak, iaitu Cahaya Mata Sarawak.

LDP GESA KEMELUT KUDAT DISELESAIKAN SEGERA

Posted: 03 Jul 2010 04:54 PM PDT





Oleh: MAIL MATHEW

NAIB Presiden Liberal Demokratik Parti (LDP), Datuk Peter Pang En Yin menegaskan bahawa kemelut isu penamatan lapan pemimpin masyarakat di kawasan Tanjung Kapor yang menjadi hangat baru-baru ini yakin ia akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini selepas beliau mengemukakan isu tersebut kepada Ketua Menteri Sabah petang kelmarin (Khamis).

Katanya, beliau meminta supaya isu itu diselesaikan dengan semangat kekeluargaan dalam Barisan Nasional (BN) di mana Datuk Seri Musa Haji Aman selaku Pengerusi BN Sabah.

"Apa apa juga perlantikan jawatan mahupun pemecatan haruslah menerusi perundingan dengan wakil rakyat berkenaan dan bukan di sebaliknya kerana permuafakatan adalah penting dalam semangat setiakawan dalam BN," kata beliau dalam satu kenyataan akhbar di lobi sebuah hotel tempatan di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri belia dan Sukan Negeri Sabah seterusnya berkata, beliau amat mengesali kejadian seperti itu boleh berlaku lagi dalam usia kematangan kerajaan BN bertapak di negeri jika sikap Ketua Daerah Kudat OKK Haji Harun Bidin bertindak matang dalam menangani masalah tersebut.

"Saya tidak hairan di mana-mana kawasan pun ada berlaku masalah seperti itu malah di kawasan saya sendiri di DUN Karamunting juga pernah berlaku tetapi segala-galanya dapat diatasi menerusi perundingan dan bukan ikut pintu belakang," tegas beliau.

"Sepatutnya kes di DUN Tg Kapor semua perlantikan jawatan atau penamatan jawatan mestilah melalui wakil rakyat terbabit yang kemudiannya dimajukan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, tetapi bukan menerusi Penyelaras BN di kawasan Parlimen Kudat dan itulah puncanya masalah ini," tambahnya lagi.

Datuk Peter Pang berada di sini sejak petang Khamis untuk menghadiri mesyuarat tahunan bahagian LDP Tenom dan diiringi Setiausaha Agung LDP yang juga Adun Tanjung Kapor Datuk Teo Chee Kang.

Ketika diajukan soalan berhubung gesaan segelintir pemimpin parti pembangkang di negeri ini agar LDP meninggalkan BN setelah disisihkan BN beliau berkata, itu bukan agenda perbalahan itu dan juga bukan budaya politik LDP sebaliknya LDP tetap setia bersama gagasan BN.

Ditanya lanjut, adakah beliau pasti siapakah dalang penamatan 8 pemimpin masyarakat yang menjadi tunggak pergeseran itu Pang berkata,

"Cadangan penamatan itu dikeluarkan oleh Ketua Daerah Kudat OKK Haji Harun Bidin yang kemudiannya memajukan kepada Kementerian kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang mengeluarkan surat tersebut tanpa melalui Adun Tg Kapor Datuk Teo Chee Kang," tegas beliau lagi sambil mengharapkan agar perkara seumpama ini tidak berulang lagi.

USAHAWAN GLOKAL MENERUSI INTERNET

Posted: 03 Jul 2010 04:52 PM PDT





KLIK….Dato' Joseph Salang sedang melakukan simbolik perasmian dengan meng'klik' papan kekunci bagi melancarkan carnival berkenaan.

Oleh: MAIL MATHEW

MASYARAKAT luar bandar berpeluang memasarkan produk mereka ke pasaran yang lebih luas secara global menerusi capaian internet melalui slot e-kedai dalam portal Pusat Internet Desa (PID) terutamanya produk unik seperti alatan kraftangan, barangan makanan sejuk beku, ubat-ubatan tradisional, baja organik dan tepung kek.

Malah sehingga kini sebanyak 116 e-kedai telah tersedia dalam portal pid.net.my dan 137 produk telah dipasarkan menerusi talian, di mana satu-satunya usaha Kementerian memperkasakan usahawan khususnya luar bandar dalam mendayagunakan ICT.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Dato' Joseph Salang berkata demikian ketika melancarkan Karnival Keusahawanan sosial PID Tenom pada Sabtu bertempat di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom.

Hadir sama di majlis itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Radin Malleh; Pegawai Daerah Siriman M.F. Basir; Ahli Parlimen Datuk Raimie Unggi, Datuk Rubin Balang, para pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan.

Salang berkata, karnival keusahawanan social PID 2010 merupakan karnival kali ke-3 sejak ia diperkenalkan pada tahun 2008 di mana ia merupakan aktiviti tahunan PID.

"Aktiviti ini pernah disenaraikan sebagai aktiviti Global Entrepreneuship Week (GEW) sepanjang berlangsungnya program ini, dan mendapat pelbagai sokongan dari sektor swasta dan kerajaan yang diterima PID setakat ini," tegasnya.

"Saya difahamkan juga bahawa masyarakat luar bandar yang menyertai karnival ini telah diberi latihan yang secukupnya sebelum mereka memasuki pasaran alam maya. Mereka juga telah dilatihkan mengguna portal PID," tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa Kementeriannya telah mengadakan beberapa pertandingan yang menawarkan hadiah yang menarik, di mana antara yang dipertandingkan ialah anugerah PID Dinamik, Anugerah Usahawan Tekno dan Anugerah E-Kedai Kreatif.

Sementara itu, semasa sesi sidang akhbar di Pejabat PID, apabila ditanya media berhubung gesaan Adun Melalap Datuk Radin Malleh yang mahu siaran dalam bahasa Murut khususnya semasa siaran subuh ditiadakan, sebaliknya siaran sejam itu ditambah kepada siaran waktu siang; beliau menjelaskan bahawa pihaknya akan mencari jalan untuk mengubah program itu supaya ia menepati kehendak rakyat khususnya masyarakat Murut.

Kepada soalan lain, beliau menegaskan bahawa pihak Kementeriannya sedang giat membangunkan infrastruktur komunikasi supaya dapat meliputi secara meluas dan dapat menampung kehendak luar bandar.

Selain itu, beliau juga turut menegaskan bahawa perkhidmatan Pos perlu dipertingkatkan khususnya kemudahan komuniti Pos (community box).

Rakyat Malaysia Masih Ditahan Di Mesir

Posted: 03 Jul 2010 04:47 PM PDT

BERNAMA

Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah bersetuju untuk berbincang dengan Kementerian Luar Mesir berhubung isu penahanan seorang rakyat Malaysia, Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria yang ditahan di negara itu sejak 13 Jun.

Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, pihaknya telah melakukan kunjungan ke atas Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Asia Tenggara dan Asean, Mesir bagi mendapatkan maklum balas terhadap penahanan Muhamad Zulkifli yang ditahan tanpa alasan yang jelas.

"Kunjungan tersebut diatur pada Selasa lepas untuk menjelaskan keprihatinan Malaysia terhadap penahanan itu.

"Hasil daripada kunjungan itu, Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Asia Tenggara dan Asean Kementerian Luar, Mesir bersetuju untuk menyampaikan perkara ini kepada Menteri Luar Mesir," menurut kenyataan itu.

Muhamad Zulkifli, 41, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah sebelum menaiki pesawat untuk penerbangan pulang ke tanah air.

Menurut kenyataan itu, Wisma Putra akan terus memantau perkembangan kes itu dan masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa Mesir.

"Wisma Putra juga akan memaklumkan kepada isteri Muhamad Zulkifli, Puan Nur Hidayah sekiranya ada perkembangan yang positif," katanya.

Parti Islam Se-Malaysia Selar Tindakan Kerajaan Membatalkan Permit Akhbar Suara Keadilan

Posted: 03 Jul 2010 04:46 PM PDT

TV SELANGOR


Parti Islam Se-Malaysia menyelar tindakan kerajaan membatalkan permit akhbar Suara Keadilan dan turut membidas rancangan Felda menyaman RM200 juta berhubung satu laporan akhbar itu.

Adun Cempaka Iskandar Abdul Samad berkata laporan Suara Keadilan Bil.237 yang bertajuk 'Felda Bankrap" harus dibaca secara keseluruhan dan dilihat sebagai teguran untuk memperbetulkan Felda dan nasib peneroka yang ramai sedia-maklum bukan golongan berada.

"Saya lihat dari segi undang-undang, Felda hendak saman Keadilan sebanyak RM200 juta, jadi apabila masuk ke mahkamah, lebih banyak perkara akan didedahkan, saya rasa Felda lupa bahawa ini adalah satu bahaya kepada dia juga.

"Kita boleh minta dokumen-dokumen yang sebelum ini disimpan sulit, dengan adanya saman rasmi ini, semuanya akan didedahkan secara lebih terbuka," katanya.

KDN telah menggantung akhbar PKR - Suara Keadilan berkuatkuasa pada 1 Julai kerana didakwa melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. KDN dikatakan tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh tabloid itu dan permit penerbitan tahunannya yang tamat baru-baru ini tidak akan diperbaharui lagi.

Felda juga menyerahkan surat saman kepada Suara Keadilan atas pendedahan akhbar itu pada 1 Julai lepas bersabit dakwaan salah urus wang badan itu..

"Dari segi penarikan permit Suara Keadilan, permit bagi Suara Keadilan, kalau betul-betul Suara Keadilan bersalah dakwa di mahkamah, selepas dakwa di mahkamah, kalau salah, baru tarik permit tetapi kenapa tidak ada siasatan terhadap Felda, kenapa terus tarik permit dan ini adalah bertentangan dengan demokrasi," katanya.

Kerajaan Kaji Dahulu Sebelum Mansuh UPSR dan PMR

Posted: 03 Jul 2010 04:44 PM PDT

TV SELANGOR


Kerajaan diminta menyediakan satu mekanisma kajian sebelum membuat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang mungkin dimansuhkan .

Adun Teratai, Jenice Lee berkata niat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin untuk memansuhkan peperiksaan itu harus mendapatkan pandangan umum daripada orang ramai terlebih dahulu.

"Isu UPSR, kerajaan mencadangkan supaya dihapuskan peperiksaan ini, saya berpendirian tidak seharusnya kerana kita perlu adakan satu mekanisme untuk mengkaji pelajar kita.

"Kalau UPSR dimansuhkan, bagaimana kita hendak tahu tahap pencapaian pelajar-pelajar sekarang, kita tidak akan tahu."

Muhyuddin baru-baru ini memberitahu kepada media bahwa sistem pembelajaran di negara ini kini dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan jika hendak dibandingkan dengan negara luar.

Bagi mengurangkan peperiksaan di negara ini, beliau berkata peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia akan dikekalkan sebagai satu-satunya peperiksaan awam di sekolah.

Jenice bagaimanapun menegaskan UPSR dan PMR akan jadi kayu pengukur dalam menilai pencapaian pelajar-pelajar sekali gus memperkasakan sistem pendidikan di negara ini dengan tahap pencapaian pelajar dapat dipantau dari satu tahap ke satu tahap.

Jenice berkata negara akan menghadapi masalah besar pada masa hadapan sekiranya tetap berdegil untuk meneruskan pemansuhan UPSR dan PMR itu.

"Jadi kita harap kualiti dapat diperbetulkan dengan secepat mungkin bukan untuk Pakatan Rakyat atau tetapi untuk negara kita sendiri, kalau kualiti jatuh dan bayangkan dalam masa 10 tahun selepas ini, apakah kualiti yang ada di sini, tiada," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis sumbangan Tempatan Penantian Adun Cempaka, Iskandar Abdul Samad yang menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ong Pong 2 di Pandan Mewah, Ampang.

Kerajaan Negeri Komited Bantu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil

Posted: 03 Jul 2010 04:38 PM PDT


TV SELANGOE


Kerajaan negeri komited memberi bantuan kepada Sekolah Kebangsaan Jenis Cina dan Tamil dalam usaha mengangkat taraf pendidikan negeri Selangor.

Exco Selangor Iskandar Abdul Samad berkata anak-anak Selangor berhak kepada pendidikan yang berkualiti dan suasana pembelajaran yang selesa, dan kerajaan negeri akan cuba memenuhi hak tersebut dengan sumber yang ada.

"Ya kita bantu dan kita tidak kira, kita membantu dan yang penting kalau kita lihat dalam negeri Selangor ini, kalau kita lihat fokus kita kepada pembinaan modal insan, dari segi pendidikan, dan itu yang sebenarnya penting sebab mereka dan anak-anak ini adalah modal yang paling penting," katanya.

Beliau telah memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Ibu-bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Jenis Cina Ong Pong 2, Pandan Mewah, Ampang.

Iskandar berkata dengan sumbangan tersebut diharapkan dapat membantu pihak PIBG sekolah itu untuk membeli sistem pembesar suara dan untuk membuat pentas baru.

"Yang pertama saya bagi ADUN Cempaka, kita menyerahkan RM10 ribu untuk sekolah dan PIBG kerana mereka memohon bantuan untuk membuat pentas dan juga membeli p.a sistem yang baru jadi saya rasa kos lebih kurang RM40 ribu jadi kita berikan RM10 ribu," katanya.

Beliau turut berkata pada bantuan yang lepas, kerajaan negeri telah memberikan sumbangan sebanyak RM20,000 untuk sekolah tersebut membuat tempat berteduh yang juga sebagai pesiar kaki untuk pelajar-pelajar berteduh selepas pulang dari sekolah.

"Pelajar-pelajar menghadapi masalah kalau mereka hendak menunggu ibu-bapa mereka, kalau hujan dan panas, mereka terpaksa basah, hujan dan panas. Ini tidak memberi keselesaan jadi saya telah berbincang dengan PIBG dan saya telah membina tempat berteduh ini dan hari ini kita merasmikan pesiar kaki ini," katanya.

S.K.J (C) Ong Pong 2 mempunyai 1819 pelajar pada tahun ini dan sekolah itu mempunyai dua sesi persekolahan pada waktu pagi dan petang. Sumbangan tersebut telah disampaikan kepada Pengerusi PIBG S.K.J (C) Ong Pong 2, Pandan Mewah, Ampang, Richard Tan.

"Saya amat gembira kerana dan setuju dengan tempat berteduh yang atas sumbangan dan wang tunai RM10,000, jadi saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri," katanya.

Pada majlis tersebut, kira-kira 500 ibu-bapa hadir bagi menyambut berita baik berhubung sumbangan kerajaan negeri itu.

Pekerja Lebuh Raya Maut, Tiga Cedera Dalam Kemalangan Di Besut

Posted: 03 Jul 2010 04:37 PM PDT

BERNAMA

BESUT: Seorang pekerja lebuh raya di Hulu Besut maut manakala tiga rakannya cedera apabila kenderaan pancuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Km 17 Kampung Padang Bual di sini pagi tadi.

Mangsa yang meninggal dikenali sebagai Lee Chee Sheong, 62, berasal dari Jinjang Selatan, Kuala Lumpur.

Dia meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Daerah Besut, setengah jam kemudian.

Rakannya yang cedera ialah Chen Yee Kuah, 37, Lee Hock Chye dan seorang warga asing yang hanya dikenali sebgai Mohd Santow, kedua-duanya berumur lingkungan 40-an yang hanya dirawat sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 6.15 pagi ketika keempat-empat pekerja itu dalam perjalanan menuju ke tempat kerja mereka di Keruak.

Katanya apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu Chen tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik.

PPP Tidak Akan Tuntut Kerusi Pada Pilihan Raya Umum Akan Datang

Posted: 03 Jul 2010 04:35 PM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP), yang kehilangan dua kerusi yang diperuntukkan kepada mereka oleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum 2008, tidak akan menuntut kerusi untuk bertanding dalam pilihan umum akan datang, kata presidennya Datuk M Kayveas.

"Kami tidak akan bertengkar untuk kerusi, dan parti akan patuh kepada nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Wisma PPP di sini hari ini.

Bagaimanapun, PPP akan mengenalpasti kawasan yang PPP ada peluang untuk menang, jika diberikan lampu hijau untuk bertanding, kata Kayveas.

Kayveas berkata beliau telah mengarahkan ketua-ketua negeri parti itu untuk mengenalpasti kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang dapat memberi peluang bagi parti itu menang bersama BN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga berkata parti itu tidak akan campur tangan jika kerusi yang ingin ditandingi itu diminati parti komponen BN yang lain.

"Kita tidak hendak gaduh untuk kerusi. Jika kita tengok pada pilihan raya lepas, banyak kerusi BN kalah kerana parti-parti komponen bergaduh antara satu sama lain. Tapi yang jadi hero adalah pembangkang," katanya.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Kayveas gagal mempertahankan kerusi Parlimen Taiping yang disandangnya selama satu penggal setelah dikalahkan oleh Nga Kor Ming dari DAP dengan majoriti 11,298 undi.

Sementara calon PPP untuk kerusi Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Pasir Bedamar Lee Heng dikalahkan oleh calon DAP Seah Leong Peng dengan majoriti 7,914 undi.

Perpaduan 'Akar' Untuk Tawan Kembali Selangor

Posted: 03 Jul 2010 04:32 PM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Umno dan Barisan Nasional (BN) Selangor mampu menawan semula kerajaan negeri tersebut sekiranya pemimpin dan anggotanya bersatu dan mengukuhkan perpaduan, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata perpaduan merupakan perkara asas dan 'akar' dalam sesuatu organisasi sebelum terhasilnya perkara dan sifat positif yang lain seperti kerjasama, toleransi, hormat-menghormati dan kejujuran dalam organisasi itu.

"Inilah yang selalu ditekankan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kita selama ini tentang betapa pentingnya perpaduan dalam sesebuah pertubuhan seperti Umno ini.

"Kalau kita kaji, kita kalah beberapa buah negeri semasa pilihan raya umum lalu bukan disebabkan mereka (pembangkang) kuat, tapi sebab kita tiada perpaduan yang menyebabkan kita jadi lemah," katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Gombak, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Khas JASA Datuk Fuad Hassan, Ketua Umno Bahagian Gombak Rahim Kamaruddin dan Naib Ketua Umno Bahagian Gombak Said Anuar Said Ahmad.

Zambry berkata kejayaan BN Perak merampas semula kerajaan negeri tersebut daripada pembangkang juga adalah hasil kerjasama dan perpaduan yang dijalin antara pemimpin dan keseluruhan anggota.

Katanya, anggota dan pemimpin Umno juga perlu ikhlas dan jujur dalam menjalankan tanggungjawab selain menghapuskan sebarang sifat buruk seperti cemburu, tikam belakang dan 'cantas-mencantas' sesama sendiri yang boleh memecah-belahkan perpaduan.

"Kita jangan berlumba-lumba mahu jadi pemimpin sebab mahu dapat jawatan tinggi, tapi kita kena ikhlas untuk jadi pemimpin dan bila kita ikhlas jawatan itu akan datang dengan sendirinya," katanya.

Beliau turut mengingatkan anggota Umno dan pucuk pimpinan di akar umbi agar sentiasa 'turun padang' dan tidak sombong ketika berkhidmat kepada rakyat.

"Rakyat sedang memerhatikan pemimpin Umno dan BN, mereka sedang bandingkan kita dengan kerajaan yang satu lagi itu, sebab mereka mahu lihat apa yang kita ucapkan mesti sama dengan apa yang kita buat", katanya.

Pelantikan Dua Wanita Sebagai Hakim Syarie Satu Sejarah

Posted: 03 Jul 2010 04:31 PM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan pelantikan dua wanita sebagai hakim syarie adalah satu sejarah kepada wanita Islam di negara ini.

Dalam satu kenyataan di sini, Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno berkata langkah itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menentukan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di tempatkan pada peringkat pembuat keputusan.

Suraya Ramli, 31, dan Rafidah Abdul Razak, 39, masing-masing dilantik Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur pada pertengahan Mei lepas setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan tersebut dalam ucapannya pada persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia kali ke-12 di Kuantan, Pahang hari ini.

Teks ucapan Najib dibaca Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.

Hishammuddin: 'Suara Perkasa' boleh digantung

Posted: 03 Jul 2010 04:30 PM PDT

BERNAMA


Tindakan tegas termasuk menggantung penerbitan Suara Perkasa jika penerangan yang diberi berhubung artikel bertajuk "Tahan Ka Siong Bawah ISA" yang diberi editornya, didapati tidak memuaskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian itu tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan fitnah dan polemik menyentuh isu perkauman dan agama.

"Kita selalu konsisten, kalau salah tetap salah tak kira dari surat khabar mana. Jangan kerana dalam kebebasan bersuara kita tabur fitnah dan polemik kaum dan agama, ini amat berbahaya," kataya kepada pemberita di Hulu Terengganu, hari ini.

Hishammuddin yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu di Hulu Terengganu, hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap apa sahaja yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa KDN memberi layanan berbeza kepada Suara Keadilan dan Suara Perkasa.

"Tindakan kita jelas. Memang (editor) Suara Perkasa, bila kita minta datang, mereka datang tepat pada masanya. Masih tak puas hati (dengan menjelasan mereka) kita minta mereka datang hari Isnin ini.

"Tetapi Suara Keadilan angkuh dan susah nak beri keterangan, tetapi akhirnya mereka terpaksa juga berbuat begitu kerana itu undang-undang," katanya.

Menurut beliau, tindakan penggantungan permit seperti diambil terhadap Suara Keadilan turut dikenakan kepada akhbar-akhbar lain yang didapati melanggar syarat ditetapkan.

KDN sebelum ini memutuskan untuk tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan yang tamat akhir bulan lepas setelah tidak berpuas hati dengan penjelasan sidang redaksi akhbar itu berhubung beberapa perkara.

Antaranya, pihak KDN tidak berpuas hati dengan penjelasan editor akhbar berkenaan, Dzulkarnain Taib berhubung penyiaran artikel bertajuk 'Felda Bankrap'.


Tiada ulasan: