Isnin, 5 Julai 2010

Biaqpila

Biaqpila


Umno Didakwa Salah Guna Sekolah, Adakan Mesyuarat Perwakilan

Posted: 05 Jul 2010 07:00 AM PDT


Larangan menggunakan bangunan sekolah atau harta benda sekolah sebagai gelanggang politik sudah lama dilarang digunakan di negara ini. Ini bagi mengelakkan prasarana kerajaan disalahguna untuk kepentingan parti.

Namun tinjauan TV Selangor di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah, Sungai Manggis, Banting mendapati satu mesyuarat perwakilan Umno Bn kawasan Kuala Langat diadakan di sekolah tersebut.

Krew TV Selangor tiba di perkarangan sekolah sekitar jam 8.30 pagi, dan mendapati dewan and tiang-tiang di persiar kaki diselubungi bendera parti Umno.

Malah ketika krew TV Selangor hendak masuk ke dewan membuat liputan berhubung majlis perwakilan tersebut, seorang wakil ahli jawatankuasanya melarang dari membuat liputan dengan alasan majlis tersebut dibuat secara tertutup.

TV Selangor mendapatkan komen bekas Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia, Nordin Mahmud yang melahirkan rasa duka citanya apabila sekolah itu digunakan untuk kepentingan parti politik tertentu.

"Pada saya kalau swasta, kebanyakan boleh disewakan dewan itu, tetapi kalau sekolah itu milik kerajaan saya berasa dukacita sebab kalau parti-parti pembangkang selalunya dihalang menggunakan bangunan kerajaan.

"Tetapi bagaimana pula Umno sendiri menggunakan ini seolah-olah ertinya orang lain boleh tetapi kita tidak boleh, ini berereti tidak baik," katanya.

Nordin berkata Umno BN harus menilai semula perbuatan melampau mereka ini apabila bersikap tidak adil dengan parti pembangkang apabila tidak membenarkan parti dari Pakatan Rakyat turut sama menggunakan harta benda sekolah.

Beliau menegaskan sekiranya kerajaan selama ini menguatkuasakan sekolah tidak boleh dijadikan gelanggang politik bagi mana-mana parti, ia harus diikuti dan tidak dilanggari larangan tersebut.

"Sewajarnya begitu, kalau sekolah itu boleh digunakan untuk tujuan politik semua orang tertakluk tidak kira daripada parti kerajaan atau pembangkang, ini tidak menghormati peraturan yang sedia ada dibuat," katanya.

tvs


Guru rogol murid ditahan polis

Posted: 05 Jul 2010 05:00 AM PDT

Oleh NUR AISHAH AMIN

KUALA LUMPUR - Seorang guru tuisyen di Rawang dekat sini ditahan polis semalam kerana dipercayai merogol seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun dalam dua kejadian baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, suspek berumur 22 tahun dan masih bujang itu ditahan hingga Rabu ini untuk membantu siasatan.

Katanya, penahanan ke atas guru lelaki itu dibuat ekoran laporan yang dibuat bapa mangsa di Balai Polis Rawang pada 21 Jun lalu.

"Siasatan awal mendapati, mangsa dan suspek mempunyai hubungan sebagai pasangan kekasih," katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Abdul Rahim, pihaknya difahamkan, mangsa kini telah berpindah ke sekolah lain.

Dalam laporan polis yang diterima pada 21 Jun lalu, mangsa dikatakan pertama kali melakukan hubungan seks bersama lelaki terbabit di rumah suspek di Taman Garing Utama, Rawang, pada April lalu.

Kejadian kedua dilaporkan pada 18 Jun lalu sebelum mengadu kepada ibu bapanya yang kemudian membawa mangsa ke Hospital Selayang untuk membuat pemeriksaan.

Dalam pada itu, ibu mangsa yang merupakan guru disiplin di sekolah lain dikatakan mahu menarik semula laporan yang dibuat kerana malu.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

Kosmo

Timbalan Pengerusi SPR wajar dipecat

Posted: 05 Jul 2010 03:00 AM PDT


KUALA LUMPUR, 4 Julai: Pengumuman rasmi yang dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof berkaitan peratusan pemilih baru 2 Melayu dan 1 bukan Melayu dengan sendirinya menempelak timbalan pengerusinya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar jelas menyokong kenyataan Pemuda Umno kononnya peratusan pemilih baru 1 Melayu dan 40 bukan Melayu yang jelas cuba menyempurnakan agenda perkauman sempit Umno.

"Pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi SPR jelas menafikan percubaan Umno yang disokong Wan Ahmad, Timbalan Pengurusi SPR untuk menimbulkan kekecohan perkauman dalam negara.

"Percubaan jahat ini juga turut didukung oleh sebahagian pimpinan Umno yang mengambil kesempatan untuk mengadu-domba perkauman di kalangan rakyat Malaysia," ujarnya.

Dengan pengumuman oleh Pengerusi SPR, kata Mahfuz, maka wajarlah Wan Ahmad dipecat dari jawatan selaku Timbalan Pengerusi SPR.

SPR, katanya tidak boleh dilihat sebagai 'Suruhanjaya Perkauman Rakyat', oleh itu memecat Wan Ahmad adalah tindakan wajar.

Di samping itu juga, tambahnya Mohd HishamuddinYahaya, Exco Pemuda Umno dan Berita Harian perlu memohon maaf secara terbuka dan mengakui mereka ada agenda jahat perkauman dan membuat aku janji tidak mengulangi perbuatan jahat itu.

harakahdaily


Cole gemar lihat gambar lucah sebelum main

Posted: 05 Jul 2010 01:00 AM PDT

2010/07/05

LONDON: Pemain pertahanan England dan Chelsea, Ashley Cole, didakwa menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada seorang model muda yang dilihatnya di Internet sejurus sebelum turun ke padang, baru-baru ini.

Menurut sumber, dua setengah jam sebelum beraksi mewakili England dalam saingan awal Piala Dunia di Afrika Selatan, Cole dilaporkan memujuk model itu menghantar gambar bogel kepadanya.

Malah, selepas England seri 1-1 dengan Amerika Syarikat, Cole dikatakan masih memikirkan seks dengan menghantar SMS baru kepada model terbabit.


Isinya tetap sama - mengharapkan model berkenaan mengirim gambar bogel terbaru untuknya.


Model itu berkata, Cole agak kelam-kabut jika gagal mendapat gambar seperti diingininya.


"Dia perlukan gambar lucah sebelum bermain di padang.


"Rasanya tentu peminat terkejut apabila mengetahui bagaimana Cole melakukan persiapan sebelum perlawanan," katanya.


Difahamkan, Cole menghantar 139 SMS kepada model berkenaan untuk menggesanya menghantar lebih banyak gambar lucah sepanjang kempen Piala Dunia kali ini. Walaupun begitu, dia tidak pernah bertemu secara bersemuka dengan model berkenaan. - Agensi

HM


Nik Aziz dedah media ada agenda tersembunyi

Posted: 04 Jul 2010 11:00 PM PDT



Wartawan Kita

KOTA BHARU, 4 Julai: Kajian sarjana mendapati media massa gemar memanipulasikan berita terutamanya membabitkan kenyataan dikeluarkan pemimpin pembangkang.

Situasi itu membelenggui akhbar harian Melayu di negara ini, ketika industri media cetak semakin hilang pembaca.

Dan terbaru keadaan itu berlaku kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila agensi berita milik kerajaan persekutuan melaporkan berita di luar konteks sebenar.

Agensi terbabit semalam menggunakan tajuk 'Nik Aziz akui wujud perpecahan parti untuk merebut jawatan pada muktamar PAS tahun depan.'

Cara pengolahan berita berita tersebut lebih menjurus kepada spekulasi penulis dan bukan memberi gambaran sebenar terhadap apa yang disebut Menteri Besar Kelantan.

"Saya tegaskan tajuk dan kandungan berita tersebut tidak benar dan di luar konteks yang saya maksudkan.

"Saya dapati keseluruhan laporan itu merupakan tanggapan pihak Bernama sendiri dan bukannnya dari maksud sebenar kenyataan saya," kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Dalam kenyataan media hari ini katanya, malang sekali laporan terbabit turut dipetik beberapa akhbar dan media online.

Agensi berita itu dalam laporannya semalam menyebut 'Baru sahaja selesai Muktamar PAS ke-56 bulan lepas, Mursyidul Am PAS mengakui wujudnya perpecahan dalam parti itu bagi merebut jawatan tertinggi parti pada pemilihan Muktamar PAS tahun depan.

"Kemelut perpecahan dilihat meruncing kerana beliau sendiri menyarankan agar tidak diadakan pemilihan bukan sahaja di peringkat tertinggi parti," laporan Bernama dipetik.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, pada sidang media semalam beliau meminta dirujuk terlebih dahulu kepada perlembagaan PAS kerana membenarkan pemilihan dilakukan.

"Kalau boleh tidak perlu bertanding kerana memang tak molek bertanding, tetapi kalau mahu bertanding juga biarlah buat betul-betul, bertandinglah, jangan sampai peringkat perpecahan.

"Ini luahan hati orang tua, tidak mahu tengok perpecahan berlaku. Pengalaman saya sendiri tidak pernah bertanding dalam Dewan Ulamak suatu ketika dahulu. Baik kita cari cara yang lebih comel elak perpecahan," katanya mengulangi kenyataan semalam.

Beliau berkata, elok buat keputusan secara syura dan lantik ketua beramai-ramai.

"Ini sekadar cadangan saya tetapi saya tidak tahu sejauh mana syura dibenarkan oleh perlembagaan parti.

"Semoga penjelasan ini mengelakkan salah faham semua pihak. Jangan mudah terpengaruh dengan laporan berkenaan terutamanya media yang ada agenda tersembunyi," katanya.

harakahdaily


Isteri curang sedang bercumbu ditangkap suami

Posted: 04 Jul 2010 09:00 PM PDT


DUA anggota JAIP menahan seorang wanita yang didapati berdua-duaan dengan pasangannya di Kuantan semalam.

KUANTAN - Hati suami mana yang tidak remuk apabila melihat isteri yang dikahwini sejak lima tahun lalu didakwa melakukan perbuatan sumbang dengan lelaki lain hingga memaksanya memasang perangkap dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kelmarin.

Ternyata, perangkap yang dipasang lelaki dikenali sebagai Muhammad, 30-an mengena apabila mendapati isterinya itu sedang bercumbu mesra dengan lelaki seusia dengannya pada pukul 3 petang di dalam sebuah bilik sewa di atas sebuah restoran di Jalan Dato Lim Hoe Lek di sini.

Wanita berusia 33 tahun yang merupakan ibu kepada empat orang anak itu mula berubah sikap sejak sebulan lalu hingga mendorong suaminya melakukan intipan selepas tidak tahan dengan cakap-cakap orang mengenai kecurangan yang dilakukan isterinya.

Kosmo

Saman trafik : Rakyat didahulukan

Posted: 04 Jul 2010 07:00 PM PDT

Oleh Afrar Yunus


Tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyaman pemandu-pemandu mula menimbulkan keresahan.Ada yang memberitahu bukan kesalahan terbaru sahaja yang PDRM saman malah kejadian empat atau lima tahun dahulu dikorek dan dibawa ke hadapan.

Tiada potongan diberikan ketika hendak membuat bayaran.Bila sudah bayar di kaunter bayaran saman PDRM, pemandu yang disenarai hitam masih belum dapat berurusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk mendapatkan cukai jalan.



Ramai yang merungut. Ada yang mengambil masa empat atau lima hari untuk memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka.

Kata mereka, PDRM pandai menyaman tetapi tidak cekap dalam urusan perkomputeran bagi membatalkannya sesudah bayaran dilakukan.

Orang kampung pula menuding jari ke arah Najib Razak. Ada yang marah-marah mengatakan pilihanraya sudah dekat. Kerajaan Barisan Nasional kurang wang.

PDRM digunakan untuk memenuhi hasrat Perdana Menteri - rakyat didahulukan.

Entahlah. Apa guna saman yang bertahun kebelakang didahulu dan diutamakan !

Bukankah mahkamah pernah membuat keputusan bahawa saman ekor tidak sah ?

Jangan-jangan jadi macam judi sukan. Lontar isu dan tarik balik atau kurangkan kadar saman.

Maka Najib, Umno dan BN akan dipuji

detikdaily

Himpunan Anti-Samy Vellu Diganggu Ahli MIC

Posted: 04 Jul 2010 05:00 PM PDT


Kira-kira 350 orang menyertai perhimpunan kedua anjuran Gerakan Anti-Samy Vellu di Dewan Hamza di Klang dalam kempen mendesak Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu S meletak jawatan.
Namun acara ini diganggu kira-kira 50 ahli MIC Klang dan kira-kira jam 2.45 petang, berlaku jerit menjerit antara mereka dengan penyokong GAS.
Pada mulanya, perhimpunan tersebut dijadual diadakan pada 13 Jun lalu, tetapi ditangguhkan atas 'faktor keselamatan'.
Ketua Pemuda MIC Selangor, M Shanker Raj Ayenger memberitahu perhimpunan hari ini bahawa pihaknya akan memutuskan sama ada akan mengadakan protes terhadap perhimpunan GAS itu.
Dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Klang semalam untuk membantah perhimpunan tersebut.

TVS


Pemuda MCA buat laporan polis terhadap PERKASA

Posted: 04 Jul 2010 03:00 PM PDT

Jul 4, 10

Pergerakan Pemuda MCA hari ini membuat laporan polis berhubung penyiaran berita muka depan akhbar terbitan Pertubuhan Perkasa Malaysia (Perkasa), Suara Perkasa yang mahu kerajaan menahan Ketua Pemuda MCA Dr Wee Ka Siong di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Laporan polis itu dibuat oleh kira-kira 22 Pemuda MCA Wilayah Persekutuan dan Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (IPD) di Kuala Lumpur kira-kira pukul 3 petang tadi.

Ketua Pemuda MCA Selangor Dr Kow Cheong Wei mendakwa isi kandungan akhbar yang disiarkan pada Khamis lepas itu adakah satu pernyataan serta kritikan yang keterlaluan.

"Kami harap Kementerian Dalam Negeri menarik balik lesen penerbitan Perkasa," katanya kepada pemberita di IPD berkenaan.

- Bernama

3 bekas pelajar UiTM Maut kereta bertembung

Posted: 04 Jul 2010 11:36 AM PDT

Tiga Maut Selepas Lelaki Denmark Buat Pusingan U

SEREMBAN, 4 Julai (Bernama) -- Tiga maut dan dua cedera selepas sebuah kereta mewah jenis BMW bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki warga Denmark di Kilometer 277.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Nilai, dekat sini, pada pukul 4.30 pagi.

Menurut jurucakap polis, kereta BMW itu dinaiki oleh empat bekas penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baru selesai mengadakan pertemuan nostalgia.

"Pemandu kereta BMW itu cedera dan tiga rakannya maut. Kemalangan berlaku apabila lelaki Denmark tadi bergerak menentang arus selepas terlibat dalam satu kemalangan kecil dengan sebuah kereta Proton Waja sebelum itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Warga Denmark yang berada di laluan menuju ke arah Utara bertindak membuat pusingan U untuk ke Selatan sebelum berlakunya kemalangan ngeri itu, katanya.

Mereka yang maut dalam kereta BMW itu dikenali sebagai Mohd Sofee Mohd Tahir, 50, Ghazali Abdul Majis, 52 dan seorang lagi rakan mereka Zulkarnain Adam, 49, mati di hospital.

Pemandu BMW iaitu Zahari Abdullah, 49, dan pemandu warga Denmark yang tidak dikenali itu hanya mengalami cedera ringan, katanya.

Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, ASP Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

-- BERNAMA

Mangsa syahwat guru

Posted: 04 Jul 2010 09:29 AM PDT

KUALA LUMPUR: Guru terlampau. Itulah gelaran yang layak diberi kepada seorang guru yang sanggup menjadikan pelajarnya sebagai mangsa untuk memuaskan nafsu.


Peristiwa malang itu berlaku dua kali iaitu April dan 18 Jun lalu sebelum terbongkar apabila mangsa menceritakan kejadian kepada ibunya selepas tidak dapat menyimpan rahsia itu lagi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata selepas mendengar pengakuan anaknya, si ibu membawa mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 3 petang Isnin, dua minggu lalu.


Katanya, berdasarkan keterangan ibu mangsa, anaknya didakwa dirogol dua kali di rumah guru terbabit di Rawang.

"Mangsa turut mendakwa guru berkenaan mengajak dia pulang ke rumahnya sejurus tamat waktu sekolah dengan alasan mengambil buku yang tertinggal sebelum kejadian rogol berlaku.

"Mangsa mungkin ketakutan dan bimbang kejadian itu diketahui orang, menyebabkan dia mengambil keputusan berdiam diri sebelum didedahkan kepada ibunya pada 21 Jun lalu," katanya.

Abdul Rahim berkata, mangsa kemudian dibawa ibunya ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil ujian mendapati kesan koyak pada kemaluan mangsa, bagaimanapun dia tidak hamil.

"Polis mengesan lokasi dan identiti suspek dan hanya menunggu masa sesuai menahannya," katanya.

HM


KEADILAN Desak Najib Bentang Kertas Putih Isu Felda

Posted: 04 Jul 2010 07:10 AM PDT

Oleh Rusnizam Mahat


SHAH ALAM 4 Julai - Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini semakin diasak dengan isu yang dibangkitkan Pakatan Rakyat mengenai rizab tunai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang menjunam sebanyak RM2.37 bilion dalam tempoh lima tahun dan beberapa keputusan pelaburan yang menyebabkan Felda menanggung kerugian.
Tidak cukup dengan tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bermatian mempertahankan status kewangan Felda, isu itu akhirnya mendesak Najib bersuara akibat tekanan politik terhadap beliau.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, kerajaan pimpinan Najib perlu membentangkan kertas putih di parlimen bagi menjelaskan isu membabitkan kerugian yang dialami Felda.
"Kalau betul kerajaan telus, kita minta kerajaan bentangkan kertas putih di parlimen tentang apa sebenarnya yang berlaku terhadap kewangan Felda. Ini kerana kita ada bukti yang tunjukkan bahawa sebelum Felda diambil alih oleh Najib (di bawah Jabatan Perdana Menteri) dan sebelum diambil alih oleh Ahmad Maslan, 'fixed deposit' Felda amat besar, tetapi kini 'fixed deposit' Felda menjadi terlalu kecil," tegas beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.
Menurutnya, beliau sendiri akan menulis surat kepada Jawatankuasa Wang Kira-Kira Awam untuk menggesa isu kerugian yang ditanggung Felda disiasat.
"Kita bukan nak menuduh sesiapa, tetapi apa yang seolah maklumat yang bercanggah. Kita tidak yakin tindakan dan penjelasan kerajaan betul kerana banyak perkara yang mengelirukan. Ini berdasarkan kenyataan yang dibuat Ahmad Maslan sendiri di parlimen saya masih ingat lagi pada 16 Jun lalu yang menyatakan rizab tunai Felda berkurangan dari RM4.08 bilion kepada 2004 kepada RM1.35 bilion pada 2009.
"Ini bermakna rizab tunai menjunam sebanyak RM2.37 bilion dan selain itu juga disebut pembinaan menara Felda pada 2008 yang menelan ratusan juta ringgit. Perkara ini, kerajaan patut berikan sebab," tegas beliau.
Beliau mengulas kenyataan Najib semalam yang mendakwa kononnya tuduhan terhadap Felda bankrap seperti yang dilaporkan dalam akhbar Suara Keadilan satu pendustaan, malah merupakan satu penghinaan kepada seluruh warga peneroka di seluruh negara.
Najib juga berkata tuduhan itu merupakan penghinaan kepada sebuah institusi yang selama ini telah banyak berjasa kepada masyarakat Melayu dan penduduk luar bandar sejak 50 tahun lalu.
Mengulas lanjut Johari berkata, isu yang ditimbulkan bukan bemaksud untuk menghina institusi itu dan masyarakat Felda amnya, tetapi memberikan penjelasan dan menjawab isu berkenaan.
"Felda ialah milik peneroka dan anak-anak mereka yang telah memberikan khidmat dengan segala bentuk pengorbanan. Soal yang kita bangkitkan bukan soal penghinaan tetapi kita nak tahu kedudukan sebenar kerana kita tidak mahu nasib Felda serupa seperti yang dialami Sime Darby, Pos Malaysia dan syarikat GLC lain yang menanggung kerugian.
"Sebagai parti (pembangkang) yang bertanggungjawab, kenapa kerajaan nak melompat? Tak payah melompat, kalau perkara itu tidak betul, jawablah. Kita dalam Pakatan Rakyat mempunyai maklumat berdasarkan apa yang kita ada dan tugas kerajaan hanya menjawab sekiranya dakwaan itu tidak betul. Tidak perlulah sampai nak melompat (saman).
"Kita sebagai pembangkang mestilah kita mahu bongkar berdasarkan maklumat yang kita ada, kita sebut kerana kita mahu kerajaan jelaskan isu ini. Biarlah rakyat yang tentukan siapa betul dan siapa salah," kata Johari lagi.
Ditanya mengenai pendedahan ahli jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa di laman blognya beberapa hari lalu yang mengaitkan syarikat kroni milik Umno dengan beberapa projek pembangunan Felda, beliau turut terkejut dengan pendedahan itu dan mahu kerajaan menjawab dakwaan berkenaan kerana ia merupakan dakwaan yang cukup serius.
"Ini satu dakwaan yang berat,  bukan keluar dari mulut ketua cawangan PAS, tetapi seorang pemimpin besar PAS yang sudah pasti beliau mempunyai maklumat tentang dakwaannya. Kerajaan perlu jelaskan perkara ini," tegas beliau.
Antara projek yang dikatakan dianugerahkan kepada firma berkenaan adalah kawasan perumahan dan komersial di Feldajaya iaitu sebuah projek pembangunan untuk generasi kedua peneroka Felda.
Laporan media mendakwa projek tersebut diserahkan kepada firma arkitek W&W yang dimiliki Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan dan seorang ahli pemuda Umno Bahagian Besut, yang dikenali sebagai Wan Burhanuddin Wan Hassan yang memiliki hubungan rapat dengan seorang pegawai atasan Felda di Terengganu.
Menurut Husam, projek tersebut bukan sesuatu yang dibanggakan berikutan lokasinya yang tidak sesuai dan harga kosnya yang terlalu tinggi menyebabkan ia menjadi sebahagian projek gajah putih.
Selain Feldajaya Trolak, terdapat tiga projek seumpama itu di Chini, Serting dan Mempaga yang menelan kos RM152 juta.
Husam juga mendakwa bayaran kepada arikitek berkenaan tidak jelas dan mungkin menjangkau RM500 bilion termasuk pembinaan Maktab Rendah Sains Mara Trolak dan kolej komuniti di Terengganu dan Sabah.

SK

Tiada ulasan: