Anak Sungai Derhaka |
- Melayu tetap berkuasa walaupun tanpa UMNO.
- Muhammad Muhamad Taib Contoh terburuk Pemimpin UMNO.
- PAS tak pernah minta Harussani jadi orang tengah
- Melayu Hilang Kuasa atau Aku hilang Harta ni...
- Mungkinkah Najib akan membunuh diri jika akan berkahwin dengan Rosmah esok?
- Siapakah Dia 'personaliti berpengaruh Malaysia' yang ditahan di Paris bersama Paris Hilton?
- Pakatan dahului BN daftar pemilih baru, DAP terus agresif
- Enggan aktif, Mat Taib perlu letak jawatan.
- Gula : Adakah benar Najib Prihatin tentang Kesihatan Rakyat?
- Setiausaha Kerja AMK Pusat, Hasmuzair Hassan Meninggal Dunia Dalam Kemalangan Jalanraya
| Melayu tetap berkuasa walaupun tanpa UMNO. Posted: 18 Jul 2010 08:42 AM PDT KUALA LUMPUR, 18 Julai — PAS Selangor menegaskan pendiriannya menolak sebarang pertemuan Umno-PAS sambil memberi jaminan kuasa Melayu tidak akan hilang jikapun Umno diketepikan dalam pilihan raya umum ke-13.Oleh itu PAS Selangor pimpinan Datuk Dr Hasan Ali (gambar) berkata, parti itu dan PKR berupaya untuk memastikan kuasa akan kekal di tangan orang Melayu menerusi kedua-dua komponen Pakatan Rakyat itu, yang lebih jujur dan adil. "Orang Melayu tidak akan hilang kuasa kalau pun Umno sudah tidak lagi memerintah negara ini," kata Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. Pada muktamad PAS 2008 dan 2009, Hasan yang juga Exco kerajaan negeri dan Pesuruhjaya PAS Selangor dikaitkan dengan idea kerajaan perpaduan dengan Umno. Mengulas kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, Roslan berkata, isu perpaduan Melayu yang kembali dijadikan agenda politik oleh Umno dipandang sudah tidak relevan oleh PAS Selangor. "PAS Selangor merasakan agenda ini cuba diketengahkan oleh Umno semata-mata untuk memecahbelahkan perpaduan erat dalama Pakatan Rakyat khususnya di negeri Selangor sejak Mac 2008 sehingga ke saat ini, di mana PAS Selangor semakin selesa dan begitu komited dalam memperteguhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor," katanya. Kata Roslan, orang Melayu di Selangor kini semakin terbuka dan dapat menerima kesungguhan dan keikhlasan kepimpinan PAS dalam memimpin mereka. "Umno di Selangor semakin dipinggirkan dan tidak mustahil dengan kepimpinan cemerlang kerajaan Pakatan Rakyat, Umno Selangor akan ditolak oleh orang-orang Melayu sendiri," jelas beliau. Roslan juga berkata, pemimpin-pemimpin PAS pelbagai peringkat termasuklah akar umbi kini sudah bersedia untuk mengambil alih saki baki amanah kepimpinan Melayu yang dipegang oleh Umno di Selangor untuk digantikan dengan kepimpinan Islam yang lebih adil dan meyakinkan masyarakat. "PAS Selangor memberi jaminan kepada orang Melayu di negeri ini agar jangan bimbang dan khuatir kerana kiranya Umno hilang kuasa, maka kuasa politik itu akan diambil alih oleh PAS dan PKR," katanya lagi. Semalam, Harussan mendedahkan bahawa beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini. Namun Harussani berkata, beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini, khususnya antara parti Umno dan PAS. "Masih ada harapan (ke arah perpaduan orang Melayu), jika kita bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini. "Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya," katanya. Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut. Bagaimanapun katanya, beliau telah menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua belah pihak. The Malaysian Insider |
| Muhammad Muhamad Taib Contoh terburuk Pemimpin UMNO. Posted: 18 Jul 2010 07:55 AM PDT Puad Zarkashi berkata "Muhammad Muhamad Taib telah beri contoh terburuk sebagai seorang pemimpin yang begitu berpengalaman, dan juga contoh terburuk dari segi kepimpinan apabila dilihat tidak mengambil peduli mengenai bahagian yang diketuai, sama ada untuk menghadiri mesyuarat atau menjalankan sebarang aktiviti," Jadi semua pemimpin-pemimpin UMNO memang merupakan contoh pemimpin yang buruk dan Muhammad Muhamad Taib adalah yang terburuk.. Kah.. kah.. kah.. patutlah perangai pengikut pun buruk macam beruk.. perangai pemimpin pun teruk.. Kehilangan Mat Taib Dipersoal Ahad Julai 18, 2010KUALA LUMPUR: Kegagalan Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dari menghadiri aktiviti pergerakan itu, terutama bahagiannya terus menimbulkan tanda-tanya. Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata sebagai pemimpin yang pernah menjawat jawatan tertinggi parti dan juga pentadbiran negeri Selangor dan Pusat, perlu memberikan contoh terbaik supaya boleh dicontohi orang lain. Beliau mendakwa tindakan Muhammad yang dilaporkan dua kali tidak menghadiri mesyuarat bahagian serta tidak pernah menghadiri mesyuarat perhubungan Umno negeri yang dipengerusikan oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak memperlihatkan kegagalannya menunjukkan komitmen terhadap kerja dan melaksanakan tanggungjawab. "Beliau telah beri contoh terburuk sebagai seorang pemimpin yang begitu berpengalaman, dan juga contoh terburuk dari segi kepimpinan apabila dilihat tidak mengambil peduli mengenai bahagian yang diketuai, sama ada untuk menghadiri mesyuarat atau menjalankan sebarang aktiviti," katanya di sini pada Ahad. Muhammad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Taib merupakan bekas Menteri Besar Selangor dari 1986 hingga 1997, dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah hampir setahun dari Mac 2008 hingga April 2009, adalah juga bekas naib presiden Umno dan bekas pengerusi badan perhubungan Umno Selangor serta bekas ketua penerangan Umno, didakwa telah tidak aktif dalam politik sejak kalah dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden Umno pada Mac tahun lepas. Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, malah Muhammad yang merupakan bekas ketua Umno Hulu Selangor sejak 1982 hingga 1998, juga dilaporkan tidak memberikan kerjasama semasa pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini. "Janganlah hanya dengan sedikit kekecewaan kita bertindak keterlaluan sehingga sikap yang ditunjukkan lebih buruk daripada mereka yang tidak berjawatan tetapi tetap komited dalam perjuangan," katanya. Mohd Puad berkata sehubungan itu beliau akan membawa isu tersebut ke pengetahuan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) dalam masa terdekat agar satu penyelesaian segera dapat dilakukan. Beliau berkata MT tidak boleh membiarkan perkara tersebut berlarutan di mana keputusan segera mengenai kedudukan Muhammad sebagai Ketua Bahagian perlu diputuskan demi kebaikan bersama. "Saya akan bawa isu ini ke mesyuarat MT terdekat dan terserahlah kepada Jawatankuasa Pengurusan parti untuk menentukannya tetapi yang pasti perlu ada keputusan apakah langkah yang perlu diambil bagi menangani masalah itu, apatah lagi Umno dan Barisan Nasional (BN) kini menjadi pembangkang di Selangor," katanya. Kedudukan Muhammad sebagai Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya mula dipersoalkan apabila baru-baru ini terdapat saranan daripada anggota bahagian itu agar beliau melepaskan jawatannya dengan segera kerana gagal menunjukkan komitmen terhadap kerja-kerja parti. Mereka juga mendakwa beliau gagal mengetuai parti dalam merealisasikan semua objektif dan fungsi yang ditetapkan. BERNAMA |
| PAS tak pernah minta Harussani jadi orang tengah Posted: 18 Jul 2010 02:28 AM PDT Oleh G. Manimaran KUALA LUMPUR, 18 Julai – PAS hari ini menafikan pihaknya pernah menghantar wakil untuk bertemu dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria agar mengaturkan perbincangan bersama Umno bagi membincangkan usaha menyatupadukan orang Islam dan Melayu."Tidak, PAS tidak pernah menghantar wakil untuk bertemu dengan Tan Sri Harussani sama ada rasmi ataupun tidak rasmi... saya menghadiri banyak mesyuarat peringkat pusat, setahu saya tiada perbincangan untuk menghantar wakil jumpa beliau," kata Ketua Penerangan PAS pusat Idris Ahmad. Idris yang dihubungi The Malaysian Insider memberitahu, Harussani kemungkinan bercakap berdasarkan perbualan tidak formal dengan beberapa pemimpin PAS tetapi ia tidak direstui oleh parti itu. "Tak tahulah beliau bercakap di atas kapal terbang, kedai kopi atau semasa kenduri kahwin atau di tepi jalan, tetapi secara rasmi atau formal, memang tiada langsung. "Bagi PAS, perkara berbincang dengan Umno sudah tutup, tak berbangkit lagi," tambah beliau. Malah kata Idris, sesi pemukiman PAS di Port Dickson baru-baru ini juga tidak menyentuh soal perbincangan dengan Umno untuk membincangkan soal perpaduan Melayu dan umat Islam. Sehubungan itu Idris meminta Harussani memfokus isu-isu lain yang berkaitan dengan beliau, bukannya menjadi "orang tengah" sebagaimana dilaporkan. "Apa sebab hendak menjadi orang tengah, Umno hanya memikirkan mengenai PAS bila berada dalam keadaan sukar. "Ada banyak perkara besar, isu-isu yang perlu dibincangkan dan diatasi oleh mufti... Tan Sri Harussani harus menyelesaikan masalah besar yang lain, tak perlu jadi orang tengah bagi Umno-PAS," katanya. "Ketika ditanya sama ada ada pemimpin yang mengusahakan pertemuan antara Umno-PAS dengan meminta Harussani sebagai orang tengah, Idris berkata: "Kita tidak tahu siapa mereka... tapi PAS tidak meminta mereka adakan perbincangan. Kalau ada pun mereka tidak memaklumkan kepimpinan pusat." Semalam, Harussan mendedahkan bahawa beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini. Namun beliau berkata beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini, khususnya antara parti Umno dan PAS. "Masih ada harapan (ke arah perpaduan orang Melayu), jika kita bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini. "Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya," katanya di Ipoh selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak anjuran Gagasan Melayu Perak. Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut. Bagaimanapun katanya, beliau telah menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua belah pihak. Soal perpaduan Melayu dengan kerjasama antara Umno-PAS muncul sejak pilihan raya umum 2008 dengan ada usaha meminta Harussani menjadi orang tengah. Harussani pernah mengaku beliau menjadi orang tengah dalam usaha pembentukan kerajaan campuran membabitkan Umno dan PAS di Perak tetapi gagal. Dalam pada itu, Harakah yang terbit semula hari ini selepas permit penerbitan diperbaharui Kementerian Dalam Negeri Khamis lalu melaporkan ajakan Umno sekadar mahu memecahbelakan Pakatan Rakyat. Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS pusat Nik Zawawi Mohd Salleh menyelar kenyataan Panel Pemikir Jabatan Hal EHwal Khas Agama Islam Lokman Nor Adam yang mendakwa cita-cita PAS merealisasikan hasrat Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi lebih mudah jika mereka berbaik-baik dan bekerjasama dengan Umno berbanding dengan DAP dan PKR. "Kenyataan beliau tidak berasaskan kajian dan realiti sebenar politik dan seolah-olah bersifat dendam kepada PKR dengan cara mengungkit kembali cerita-cerita lama yang tidak ubah seperti pandangan yang lapuk," katanya. Nik Zawawi tidak menafikan pandangan tersebut seolah-olah bermotif ingin memecahbelahkan PAS dengan Pakatan Rakyat. Ahli Jawatankuasa Kerja PAS pusat Taib Azamudden Md Taib berkata, selagi Umno BN belum mengubah dasar perjuangan parti mereka kepada Islam sebenar mereka diharap tidak bermimpi untuk bekerjasama dengan komponen Pakatan Rakyat itu. "Kalau atas dasar Islam Umno berhendak bersuara, bila-bila pun kita akan terima," katanya. Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan pula berkata, Umno perlu membuktikan kesungguhan dan komitmennya dalam melaksanakan Islam dan menolak segala bentuk fahaman kebangsaan atau politik perkauman sempit. "Apabila dia (Lokman) kata bersatu dengan Umno lebih mudah (untuk laksanakan Islam), maka Umno kena buktikan mereka menerima Islam dan menolak fahaman kebangsaan kerana kita mahu lihat Umno yang dikatakan mahu menegakkan Islam dan meninggalkan segala bentuk fahaman nasionalis yang sempit," katanya. The Malaysian Insider |
| Melayu Hilang Kuasa atau Aku hilang Harta ni... Posted: 18 Jul 2010 02:14 AM PDT Melayu hilang kuasa pada PRU-13? POH 17 Julai - Orang Melayu akan hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jika UMNO dan Pas terus berdegil untuk tidak bersatu.Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melahirkan kebimbangan tersebut berkata, kedegilan kedua-dua parti Melayu terbabit untuk meletakkan keutamaan agama di tempat sepatutnya hanya akan memberi kesan buruk kepada masa depan orang Melayu sendiri. ''Kalau kita terus berpecah-belah, kita akan terima kekalahan (pada PRU-13), itu sahaja. Dan akan berlaku satu bentuk penjajahan baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak 2010 di Dewan Bankuet Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini. Hadir sama dalam perhimpunan sehari anjuran Gagasan Melayu Perak (GMP) itu ialah presidennya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail. Harussani menegaskan, pemimpin Melayu perlu sedar bahawa mereka memikul tanggungjawab memastikan kepentingan orang Melayu terjamin. ''Adakah agama yang mengajar kita suruh berdegil? Sedangkan degil itu adalah sifat keji dalam Islam. Kalau itu sifat keji, kenapa tidak dibuang daripada diri kerana ia tidak akan menguntungkan diri. ''Kalau dia pemimpin, dia tidak akan menguntungkan rakyat. (Sedangkan) bila jadi ketua, amanah untuk menjaga ummah itu kewajipan dia. Kalau dia berdegil, amanah tiada pada dia, rakyat akan hancur," ujar beliau. Ditanya apakah masih ada harapan untuk orang Melayu khususnya membabitkan UMNO dan Pas bangkit dan bersatu semula jawabnya: ''Insya-Allah disebabkan kedua-dua puak (parti) ini mempunyai keinginan hendak bersatu. ''Ada pemimpin Pas datang berjumpa saya, begitu juga pemimpin UMNO. Mereka minta pandangan bagaimana untuk disatukan (kedua-dua parti)." Mengulas lanjut kata Harussani, penyatuan masih tidak dapat dilakukan sehingga hari ini kerana kedua-dua pihak telah meletakkan faktor keutamaan di tempat yang salah. ''Saya percaya tujuan orang Pas memperjuangkan Islam ikhlas tapi meletakkan (keutamaan) di tempat yang salah. Mereka taksub sebab tidak faham. Orang UMNO serupa juga. ''Kalau kedua-dua parti memahami faktor keutamaan itu, apa yang perlu diutamakan? Keutamaan adalah agama dahulu dan agama tidak menyuruh kita membenci sesama umat Islam bahkan kasih-mengasihi sesama kita," katanya. Dalam perkembangan sama, Harussani berkata, langkah GMP menganjurkan perhimpunan seumpama itu dapat membantu menyatupadukan orang Melayu. Sementara itu, Mohd. Hilmi menegaskan, perlunya satu perhimpunan Melayu membabitkan semua lapisan masyarakat termasuk raja-raja dan pemimpin parti politik sendiri untuk melahirkan semangat Melayu dalam menyata dan memperjuangkan hak mereka seperti termaktub di dalam Perlembagaan Negara. ''Cara ini dapat menginsafkan pemimpin-pemimpin Pas dan UMNO yang masih berdegil dan tidak memikirkan tentang masa depan orang Melayu," katanya. Media UMNO |
| Mungkinkah Najib akan membunuh diri jika akan berkahwin dengan Rosmah esok? Posted: 17 Jul 2010 08:47 PM PDT "Mungkinkah Najib akan bunuh diri jikalau beliau akan berkahwin dengan Rosmah pada keesokannya? Tak mungkin, kan? Kerana beliau cintakan Rosmah. Kalau Najib tidak akan berbuat demikian, mungkinkah Teoh Beng Hock (yang sudah merancang untuk kahwin pada keesokannya) bunuh diri?" "Pada malam ini, saya mengulangi di sini, saya tak percaya Teoh Beng Hock membunuh diri, boleh tak?" Kenyataannya ini disambut tepukan kira-kira 1,000 orang hadirin, sebelum beliau menyambung, "Tak kiralah apa alasan yang anda berikan, saya tetap tidak percaya bahawa Teoh Beng Hock membunuh diri. Kalau Teoh Beng Hock tidak membunuh diri, apakah punca kematiannya?" Lim Guan Eng berkata demikian dalam satu Majlis Peringatan mendiang Teoh Beng Hock, bekas setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, Exco kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor. Selain keluarga mendiang Teoh Beng Hock, pemimpin politik yang menghadiri majlis peringatan tersebut termasuklah Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang, ahli parlimen Lembah Pantai-PKR, Nurul Izzah, peguam keluarga Teoh, Gobind Singh dan ramai lagi pemimpin DAP. Gobind Singh, juga ahli parlimen Puchong-DAP yang berucap sebelum Lim Guan Eng, memberi janji kepada keluarga Teoh dan rakyat bahawa DAP akan cuba sedaya upaya menegakkan keadilan untuk Teoh Beng Hock. "Kita akan lawan sampai habis untuk Teoh Beng Hock! Biarlah mereka datang kepada kita, biarlah mereka menakutkan kita dengan laporan polis, biarlah mereka ugut kita dengan tuduhan hina mahkamah. Biarlah mereka buat apa sahaja yang perlu..." sebelum beliau menyambung, "Tetapi mereka tidak akan dapat mematahkan semangat kita, kerana kita akan terus berjuang, tuan-tuan dan puan-puan!" Kenyataan SPRM undang kritikan Antara yang menjadi isu semalam, termasuklah kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Abu Kassim bin Mohamed, yang ditulis dalam bahasa Cina buat kali pertamanya. Tuntutan ahli politik jelas lebih daripada "ucapan takziah" dan "kenyataan berkongsi kesedihan", sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Kassim. Gobind Singh Abu Kassim untuk tampil ke depan dan membuat kenyataan terbuka bahawa ,"Ya, kami (SPRM) menerima bahawa beliau (Teoh) di bawah tahanan kami, kami menerima bahawa kami tidak sepatutnya menahannya sepanjang malam, kami menerima bahawa kami harus bertanggungjawab ke atas kematian Teoh Beng Hock!" "Kalau benar anda sedih, kalau benar anda berkongsi kepiluan... (anda perlu) minta maaf, menerima tanggungjawab tersebut, dan memberi pampasan kepada keluarga Teoh Beng Hock," demikianlah syarat yang digariskan oleh Gobind Singh kepada Abu Kassim untuk membuktikan keikhlasannya. Malah, Gobind Singh juga mendesak Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz untuk meminta maaf. Sebelum ini, Nazri Aziz menuduh Teoh Beng Hock membunuh diri, dan pakar patalogi Pornthip Rojanasunan dari Thailand sebagai "penipu". Punca kematian MJ dikenalpasti dalam setahun Beliau menyindir agar penyiasat yang meneliti punca kematian Micheal Jackson diupah untuk mengenalpasti punca kematian Teoh Beng Hock, kerana jelas mereka lebih cepat dalam melengkapkan kerja siasatan. Di samping itu, speaker DUN Selangor Teng Chang Khim yang berucap selepas Setiausaha Agung partinya, meminta agar orang ramai menyahut seruan Lim Guan Eng untuk "meninggalkan kesedihan, kepedihan dan kepahitan dalam hati kita, dan menjelmakannya menjadi inspirasi untuk menjana reformasi bagi membawa pembaharuan kepada pentadbiran negara ini." Kami tidak akan kompromi, keluarga Teoh Adik perempuan mendiang Teoh Beng Hock juga tampil memberi ucapan, menyeru agar rakyat Malaysia memberi sokongan kepada keluarganya untuk meneruskan perjuangan menegakkan keadilan untuk Beng Hock. Dalam satu klip video yang disediakan, Teoh Lee Lan menulis, "Tidak kira betapa lama kami menunggu, kami sebagai keluarga (Teoh Beng Hock) tidak akan kompromi, sehinggalah kebenaran ditemui. Kami berharap kawan yang ada di sini, seluruh warga Malaysia untuk bersama kami, sehingga kebenaran menjelma. Beng Hock memerlukan kesaksamaan, Malaysia memerlukan keadilan."Teoh Lee Lan melanjutkan tuntutan keluarganya, agar Suruhanjaya Di-Raja ditubuhkan untuk menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock, dalam satu majlis memperingati Beng Hock di kuburnya, hari ini. Malah, ahli parlimen Serdang-DAP, Teo Nie Ching menyatakan tuntutan ini dalam teks ucapannya pagi ini, "Beng Hock, tiada perkataan yang dapat menterjemahkan kemarahan kami! Kami tidak akan membiarkan kematian kamu menjadi sia-sia! Kami masih lagi berkeras dan mendesak agar kerajaan pusat menubuhkan satu Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat punca kematian kamu." Teo Nie Ching meneruskan, "Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar keluhan dan kesedihan kita? Dengan kes kematian mendiang Teoh Beng Hock, diharapkan ianya dapat menamatkan episod keganasan yang sering muncul mutakhir ini." Seterusnya sila sambung bacaan anda di SINI |
| Siapakah Dia 'personaliti berpengaruh Malaysia' yang ditahan di Paris bersama Paris Hilton? Posted: 17 Jul 2010 08:25 PM PDT PARIS: Paris Hilton ditahan di Corsica setelah anjing pengesan menghidu kuantiti "kecil" dadah jenis marijuana dalam beg miliknya, lapor akhbar Perancis, Sabtu.Akhbar Corse Matin menyebut, pegawai keselamatan lapangan terbang di Figari menemui kira-kira satu gram marijuana. Hilton, yang mahu berangkat daripada pulau Mediterranean Perancis itu dengan jet persendirian pada Jumaat, ditahan untuk soal siasat tetapi dibebaskan 30 minit kemudian. Menurut berita yang dipaparkan pada laman web, akhbat itu menyebut, Hilton melancong bersama-sama 'personaliti berpengaruh Malaysia' dari Paris ke Porto Cervo, Sardinia. Menerusi paparan laman TwitLonger, Sabtu, Hilton menulis, "Hanya ingin menghentikan khabar angin ini. Berita mengatakan saya ditahan adalah tidak benar sama sekali!" "Saya sedang melalui percutian paling hebat dalam hidup saya," menurut Hilton. Awal bulan ini, Hilton ditahan selepas menyaksikan perlawanan Piala Dunia antara Brazil dan Netherlands di Port Elizabeth, South Africa kerana disyaki memiliki marijuana. Kes itu digugurkan pada perbicaraan mahkamah sekitar tengah malam. Pada 2007, Hilton dijatuhkan penjara 45 hari atas kesalahan memandu secara berbahaya dalam keadaan mabuk. Setelah 23 hari dalam lokap, Hilton memberitahu hos televisyen Amerika Syarikat (AS) Larry King bahawa pengalaman itu menyebabkannya berfikir tentang kesan berparti ke atas hidupnya. Katanya, dia mahu membantu mengumpul dana kebajikan untuk kanak-kanak dan pesakit kanser payu dara serta sklerosis berganda. AP |
| Pakatan dahului BN daftar pemilih baru, DAP terus agresif Posted: 17 Jul 2010 07:41 PM PDT Kepada yang terlibat dalam kempen mendaftarkan pengundi baru ini khususnya di Pulau Pinang, Kita masih ada hampir 200,000 pengundi baru yang belum didaftarkan.. jangan sampai UMNO mendaftarkan kesemua Ahli mereka yang tidak mendaftar sebagai pengundi itu.. kerana jumlahnya amat besar.... Soalan mudah dari aku.. Nak Menang atau Nak Terkangkang?? Kalau nak menang.. daftarkan mereka itu.. Pakatan dahului BN daftar pemilih baru, DAP terus agresif PUTRAJAYA, 18 Julai — Mendaftar pemilih baru menerusi penolong pendaftar oleh parti politik muncul kaedah paling popular manakala Pakatan Rakyat (PR) lebih agresif mengambil peluang ini dengan bilangan didaftar oleh ikatan itu sepanjang enam bulan pertama tahun ini dua kali lebih besar berbanding Barisan Nasional (BN).Bagaimanapun, DAP masih jauh di depan dengan mendahului lebih dua dozen parti politik negara ini dalam mendaftar pemilih-pemilih baru menggunakan kaedah ini sepanjang tempoh yang sama. PR juga mendahului pendaftaran pemilih di negeri-negeri yang dikuasai mereka selain mengatasi BN di Johor - yang dianggap sebagai kubu kuatnya selama ini. 'Kek' dikuasai DAP sebagai parti individu adalah sebanyak 32.5 peratus dan diikuti dengan dekat oleh Umno yang menguasai 32.3 peratus manakala PAS pula 22.7 peratus. PR, yang terdiri daripada tiga komponen iaitu DAP-PAS-PAS, telah mendaftarkan 107,050 pemilih baru di negeri-negeri di Semenanjung. Ketiga-tiga komponen itu lebih agresif di negeri-negeri di Semenanjung. Perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diperoleh The Malaysian Insider menunjukkan, seramai 169,838 orang telah didaftarkan oleh parti-parti politik antara Januari dan Jun tahun ini. Gandingan empat komponen BN di Semenanjung menyaksikan pendaftaran pemilih seramai 59,351 orang. Prestasi BN ditambah hampir 3,500 lagi pemilih baru dari Sabah dan Sarawak. BN mempunyai 13 komponen termasuk dari Sabah dan Sarawak. Perangkaan SPR itu juga menunjukkan daripada 107,050 pemilih baru yang dikumpulkan oleh PR, separuh daripadanya disumbangkan oleh penolong pendaftar lantikan DAP. Setakat Mei lalu daripada 2,248 penolong pendaftar yang telah diluluskan SPR, Umno mempunyai 664 orang, MCA (182), MIC (208), Gerakan (91), PAS (427), PKR (172), DAP (245), PPP (40) dan PRM (13). PBS pula lapan penolong pendaftar, SAPP (lapan), UPKO (10), LDP (empat), PBRS (enam), PBB (88), SUPP (44), SPDP (29), PRS (lapan) dan Snap (satu). PAS dan PKR masing-masing mendaftar 38,631 dan 13,098 pengundi baru antara Januari dan Jun lalu. Di Semenanjung, MCA telah mendaftarkan seramai 2,897 pemilih baru dengan diikuti MIC 1,109, Gerakan (471) dan PPP pula empat. Dalam usaha mengurangkan bilangan mereka yang layak tetapi masih belum mendaftar, yang dianggarkan 4.4 juta orang setakat ini, SPR menggunakan program 'outreach', kemudahan kaunter statik pejabat pilihan raya, penolong pendaftar melibatkan parti-parti politik dan wakil jabatan dan kaunter pejabat pos. Penolong pendaftar parti-parti politik menyumbangkan lebih separuh pendaftaran pemilih baru. Misalnya sepanjang bulan Mei tahun ini sahaja seramai 28,604 atau 55 peratus daripada 51,358 pendaftaran baru adalah datang daripada khidmat penolong pendaftar. Analisis perangkaan itu juga menunjukkan meskipun pilihan raya umum Sarawak disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat, tetapi bilangan pendaftaran pemilih baru di negeri itu masih kecil berbanding negeri-negeri lain khususnya di Semenanjung. Berdasarkan maklumat sebelum ini, daripada 4.4 juta yang belum setakat suku pertama tahun ini seramai 33.7 peratus dan 26 peratus masing-masing merupakan penduduk Sarawak dan Sabah. Umno aktif di Sabah manakala PKR dan DAP memperlihatkan kesungguhan di Sarawak. Dari segi pecahan negeri, sebahagian besar negeri-negeri yang dikuasai PR menyaksikan parti-parti politik ikatan itu menggunakan kemudahan penolong pendaftar untuk mendaftarkan lebih ramai pemilih baru iaitu di Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Kedah serta Perak. Kelima-lima negeri itu dikuasai PR pada 8 Mac lalu tetapi Perak jatuh ke tangan BN awal tahun lalu. Komponen PR mengatasi BN di kelima-lima negeri itu. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menyaksikan 10 daripada 11 kerusi Parlimennya jatuh ke tangan PR pada pilihan raya umum 2008 juga menyaksikan ikatan itu menguasai pendaftaran pemilih baru. Pun begitu secara mengejutkan Johor menduduki tempat teratas pendaftaran pemilih baru menggunakan kaedah ini. Sekali lagi hampir 60 peratus pengundi baru yang didaftar oleh penolong pendaftar parti-parti politik datang daripada PR. Bagaimanapun di Terengganu dengan hampir separuh pemilih baru yang didaftarkan menggunakan kaedah penolong pendaftar adalah sumbangan BN khususnya Umno. The Malaysian Insider |
| Enggan aktif, Mat Taib perlu letak jawatan. Posted: 17 Jul 2010 07:31 PM PDT KUALA LUMPUR 17 Julai - Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib perlu melepaskan jawatannya dengan segera supaya UMNO bahagian itu dapat meneruskan perjuangan dalam menghadapi pilihan raya akan datang.Ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Malaysia, Datuk Salamon Selamat berkata, langkah itu perlu selepas bekas Menteri Besar Selangor itu dilihat 'tidak bermaya' dalam menjalankan tugasnya sebagai ketua bahagian itu sejak dua tahun lalu. "Tidak ada sebarang isyarat daripada beliau (Muhammad) tentang apa yang hendak dilakukan. Beliau juga langsung tidak keluarkan kenyataan, arahan atau menentukan arah tuju kepada pemimpin UMNO di bawahnya. "Kepimpinan UMNO Kelana Jaya mesti nampak ke depan dan mempunyai banyak idea dalam menyatukan orang UMNO dan Melayu terutama sekali dalam keadaan politik di bawah negeri pakatan pembangkang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini Beliau mengulas desakan pemimpin akar umbi UMNO Bahagian Kelana Jaya yang menuntut Muhammad membuat keputusan sama ada mahu kekal menerajui mereka atau meletakkan jawatan. Ini berikutan bekas Menteri Besar Selangor itu memencilkan diri terhadap perjalanan UMNO bahagian berkenaan sejak hampir dua tahun lalu. Salamon yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Shah Alam berkata, UMNO Kelana Jaya buat masa ini amat memerlukan seorang pemimpin yang lebih bersemangat dan berwawasan untuk menggerakkan jentera parti di peringkat cawangan hingga ke peringkat atas. "Muhammad perlu melakukan sesuatu dalam mengembalikan keyakinan kepimpinan muda dan lama UMNO di bahagian itu demi masa depan orang Melayu. "Saya sebagai pemimpin Veteran UMNO, di sini cuma melontarkan pandangan dan sekiranya beliau mahu cergas dalam politik semasa kita alu-alukan. Jika mahu berundur ia perlu dilakukan melalui perbincangan bersama UMNO di bahagian itu dalam meningkatkan kekuatan UMNO negeri," katanya. |
| Gula : Adakah benar Najib Prihatin tentang Kesihatan Rakyat? Posted: 17 Jul 2010 10:29 AM PDT Antara alasan Najib untuk menaikkan harga gula ialah rakyat Malaysia perlu mengurangkan penggunaan gula di kalangan anak-anak khususnya kerana ianya melibatkan isu kesihatan dimana kira-kira 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes dan peningkatan jumlah penghidap diabetes.Bagi membuktikan apa yang didakwa Najib itu benar maka hari ini berlumba-lumbalah Media elektronik dan cetak yang ditunggangi UMNO menyiarkan kisah-kisah tentang diabetes atau penyakit kencing manis yang berpunca dari pengambilan gula yang berlebihan. Kisah demi kisah dipaparkan agar rakyat berterima kasih kepada Najib kerana berusaha mengawal penyakit itu dengan menaikkan harga gula.. opss silap pulak dah.. bukan menaikan tapi menyelaraskan harga gula itu.. Antara kisahnya ialah Bayi berusia 6 bulan pun boleh kena Diabetes.berita penuh sila baca di SINI. Hakikatnya.. Adakah Najib benar-benar prihatin akan kesihatan Rakyat Malaysia? JIka benar beliau prihatin akan kesihatan Rakyat Malaysia sepatutnya yang perlu dinaikkan atau diselaraskan harga ialah Rokok dan Arak.. bukannya gula.. Rokok yang terbukti membahayakan Kesihatan dan Arak yang menyebabkan kita hilang kewarasan lantas bertindak tanpa menggunakan fikiran. Najib bukan pedulikan tentang kesihatan rakyat Malaysia pun.. apa yang difikirkannya ialah bagaimana boleh mendatangkan keuntungan dengan segera kepada Kilang gula yang kini dikuasai Felda Holding.. Tidakkah saudara hairan kenapakah seorang usahawan yang menguasai sebuah perusahaan yang telah menjadikannya kaya-raya begitu mudah melepaskan atau melupuskan kesemua kepentingannya itu begitu mudah? Kenapakah Robert Kuok bertindak menjual kepentingannya begitu saja sedangkan perniagaan itu menjanjikan keuntungan yang berterusan? Kenapa beliau tidak mewariskan sahaja perusahaan itu kepada anak-anaknya? Menurut seorang sahabat yang bertugas didalam industry pengeluaran gula yang pernah dikuasai oleh Robert Kuok itu, sebelum Robert Kuok melepaskan pegangannya itu terdapat banyak tekanan dari agensi kerajaan terhadap perusahaannya itu. Tekanan yang sangat luarbiasa dari berbagai-bagai agensi penguatkuasaan. Kita telah melihat dalam masa tidak sampaipun setahun Felda Holding menguasai industry pengeluaran gula kenaikkan atau pelarasan sebagaimana yang disebut Najib meningkat 45 sen.. Kali pertama harganya dinaikkan sebanyak 20 sen menjelang 1 January yang lalu dan kali kedua baru-baru ini sebanyak 25 sen lagi dinaikkan. Dan menurut Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harga gula dijangka mencecah RM2.45 sekilogram tahun depan jika kementerian mengambil keputusan untuk memansuhkan subsidi gula. 45 Sen harga gula telah dinaikkan bila industry itu dikuasai Felda Holding! Tetapi semasa Robert Kwok menguasai industri pengeluaran gula ini untuk mendapatkan kenaikkan 5 sen bagi setiap Kilogram Gula, beliau telah memohonnya selama lima tahun dari Kerajaan dan hasilnya tiada kebenaran diberikan..menurut sahabat itu juga. Jadi fikirkanlah wahai saudara-saudara ku.. adakah benar Najib menaikkan harga Gula kerana beliau prihatin dengan kesihatan Rakyat Malaysia atau kerana kepentingan Felda?? |
| Setiausaha Kerja AMK Pusat, Hasmuzair Hassan Meninggal Dunia Dalam Kemalangan Jalanraya Posted: 17 Jul 2010 09:10 AM PDT Oleh Frederick Luccas SG BULOH 17 Julai - Setiausaha Kerja Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Hasmuzair Hassan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya yang melibatkan sebuah lori diKampung Subang kira-kira pukul 2 petang tadi.Beliau dipercayai mangsa langgar lari oleh sebuah lori yang telah bergeser dan menyebabkan motosikal yang ditunggang beliau hilang kawalan danjatuh di jalanraya. Butiran berkenaan lori termasuk nombor pletnya telah diberi kepada polis untuk siasatan lanjut. Allahyarham, 33, meninggalkan isteri Nazylinda Abdullah, 29 tahun dan tigaorang anak, Nazzratul Alya, 6 tahun, Hasrul Alif, 5 tahun dan HasrulAfiq, satu setengah tahun. Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang berada di rumah mayat Hospital Sg Buloh bersama pimpinan AMK, kaum keluarga serta rakan seperjuangan menyifatkan Allahyarham Hasmuzair sebagai seorang yang ceria, aktif dan sentiasa bersedia untuk berkorban demi rakan dan parti. "Arwah tidak pernah lekang dalam tugasnya, hingga tengah malam punsanggup bekerja untuk parti," kata Nik Nazmi. Fariz Musa, rakan karib arwah dan juga Timbalan Ketua AMK Pusat menyuarakan kesedihan yang amat sangat atas kehilangan Allahyarham yang lbih disenangi dengan panggilan Jack. "Jack merupakan seorang rakan dan bapa yang begitu baik, tiada ganti kehilangan beliau," kata Fariz yang masih tidak dapat menerima kehilangan rakan yang dikenali beliau selama lebih sedekad. Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang dari Hospital Sg Buloh selepas bedah siasat kira-kira pukul 9 malam ini untuk dikebumikan pagi esok dikampung halamannya di Kampung Simpang Geti, KM2 Jalan Mata Air, Arau, Perlis. AMK telah mewujudkan tabung bantuan bagi isteri beliau yang tidak bekerja serta tiga anak kecil Allahyarham untuk meringankan beban kehidupan keluarga yang ditinggalkan. Ahli KEADILAN, penyokong Pakatan Rakyat, rakan serta orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada akuan Nazylinda di akaun Ambank nombor 0040024033611. Al Fatihah. |
| You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |










Tiada ulasan:
Catat Ulasan