Isnin, 14 Jun 2010

TINTA MUTIARA

TINTA MUTIARA


Ahli Akademik Burung Tiong

Posted: 13 Jun 2010 04:13 PM PDT

UMNO-BN terus menggunakan khidmat ahli-ahli akademik dari universiti-universiti tempatan untuk menaikkan imej mereka di mata rakyat. Maka bercakaplah golongan itu seperti burung tiong yang hanya tahu berkata-kata tentang perkara yang diajar tuannya sahaja. Taraf percakapan itu sama sahaja dengan para pencacai UMNO yang hanya tahu mengulang-ngulang benda yang sama sehingga orang UMNO sendiri pun jelak menatap dan membacanya. Hilanglah kualiti, kredibiliti, dan integriti mereka sebagai ahli akademik. Jika demikian keadaannya, orang ramai pun mempersoalkan mutu siswazah yang mereka hasilkan. Kita lihat kenyataan mereka kepada wartawan yang sentiasa ada agenda untuk membuka pekung di dada ahli-ahli akademik ini asalkan mereka beroleh berita, tak kiralah kandungannya bernilai atau sekadar sampah sahaja.

PROFESOR DATUK DR> ZAINAL KLING (UPSI)

PAS harus menggugurkan perkataan Islam berikutan keputusannya membenarkan calon bukan Islam bertanding mewakili parti itu pada PRU akan datang.

PROFESOR DATUK DR. NIK ANUAR NIK MAHMUD (UKM)

Dahulunya PAS merupakan pencabar utama BN tetapi kini sudah kehilangan taring selepas menyertai pakatan pembangkang. PAS merasakan mereka ketinggalan berbanding PKR dan DAP. Maka keputusan ini diambil agar mereka kembali terserlah dan bersuara dalam arena politik Malaysia.

DR. MOHD. ZAINI ABU BAKAR (USM)

Langkah PAS membenarkan calon bukan Islam bertanding dalam pilihan raya atas tiket parti itu menunjukkan PAS masih tidak yakin dengan kemampuan calonnya sendiri untuk meraih sokongan masyarakat di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu. Walaupun tidak bertentangan dengan perlembagaannya, tindakan berkenaan menjelaskan terdapat kelemahan dalam pentadbiran PAS yang menyebabkan bukan Melayu tidak mahu mengundi parti itu.

ULASAN

Ketiga-tiganya bercakap ikut sedap mulut sahaja. Kesemuanya mengambil jalan mudah untuk menjawab soalan wartawan yang ternyata mempunyai agenda tersendiri terhadap golongan yang gila glamor untuk mengulas. Sehubungan itu, kredibiliti mereka dipersoalkan. Patutlah kualiti siswazah yang dikeluarkan saban tahun tidak semenggah. Semuanya gara-gara kewujudan profesor yang malas menyelidik, kejar glamor, dan hentam kromo.

Sebagai individu yang menyokong UMNO-BN secara membuta tuli, mereka gagal menyelami intipati perjuangan PAS yang sebenarnya. Mereka gagal menghayati prinsip Islam tentang tahaluf siyasi dengan bukan Islam. Mereka tidak pernah mengetahui usaha Rasulullah mewujudkan kerjasama dengan orang bukan Islam dalam negara yang berbilang agama.

Selain terperangkap dengan kegelinciran pemikiran itu, mereka juga bertindak melebihi ahli-ahli PAS sendiri. Pandangan menyeleweng daripada orang luar tidak diperlukan dalam konteks ini, apalagi jika ada niat untuk memperkecil-kecilkan musuh.

Dahulu, kini, dan selamanya PAS tetap menjadi pencabar utama UMNO. PAS mahu mengambil tempat UMNO sebagai peneraju negara. Perjuangan kebangsaan parti perkauman seperti UMNO sudah ketinggalan zaman. Perjuangan Islam merentasi batas bangsa dan budaya. Kerjasama UMNO dengan parti-parti bukan Melayu tidak sama dengan kerjasama PAS melalui pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Tidak timbul soal hilang taring atau tidak yakin dengan kemampuan calon sendiri dalam soal ini. Keputusan ini perlu ditafsir sebagai pelebaran sayap perjuangan. Dengan adanya DHPP, PAS dapat menerobos ke kawasan yang majoriti pengundinya bukan Melayu. Hal ini akan memberi impak positif kepada PAS sekiranya ahli-ahli DHPP mampu melakukannya. Lagi pun cadangan ini telah disokong oleh DAP. UMNOlah yang akan ketinggalan jauh dalam aspek ini.

Janganlah kerana kelemahan yang wujud di pihak UMNO itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong-penyokongnya. Takkanlah profesor tidak mampu menjana idea untuk counter-attack benda sekecil ini!!! Pada zaman ini, tindakan lebih diperlukan daripada merapu tak ketahuan punca.

PAS tidak perlu rasa senak perut dengan kenyataan-kenyataan para ahli akademik yang telah kehilangan jati diri itu. Biarkanlah mereka melayan dan terperangkap dengan pertanyaan wartawan akhbar yang ahli-ahli UMNO sendiri pun tidak mahu membacanya.

Perjuangan mesti diteruskan. Yang pasti UMNO mulai gundah melihat keakraban PAS dengan DAP, gelisah melihat orang bukan Islam semakin memahami Islam melalui hubungan ikhlas sesama parti-parti dalam Pakatan Rakyat, resah melihat rakyat tua dan muda berbondong-bondong menyokong musuh mereka, dan hanya 600 orang menyertai "Melayu Bangkit". Buat malu saja.

Malaysia Baru yang adil kepada semua mesti dibentuk demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia yang selama ini diperkotak-katikkan oleh UMNO-BN. Biar berjuta kali mereka menafikan amalan perkauman, realitinya perkara itu terdedah di hadapan mata kita dari masa ke masa.

Parti perkauman tidak mampu menghayati erti sebenar perpaduan selagi melaung-laungkan "Hidup Melayu". Hal ini juga realiti, bukan fantasi. Keadilan dan perpaduan sejati akan hanya diperoleh melalui perjuangan berteraskan Islam. Tugas mengurangkan Melayu-UMNO dan menambahkan bilangan orang yang menyokong perjuangan Islam dalam kalangan pelbagai bangsa di negara ini menjadi tugas utama ahli dan pemimpin PAS. Impian ini pasti berjaya dengan izin Allah setelah disertai keikhlasan, kesungguhan, dan usaha yang berterusan.

Tiada ulasan: