Sabtu, 5 Jun 2010

Suhaizan Kayat

Suhaizan Kayat


Judi sukan: Vincent Tan rayu Pakatan jangan berkeras

Posted: 05 Jun 2010 11:50 AM PDT

Judi sukan: Vincent Tan rayu Pakatan jangan berkeras

June 05, 2010

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Jutawan Tan Sri Vincent Tan hari ini merayu kepada kerajaan-kerajaan negeri diterajui Pakatan Rakyat (PR) supaya "bersikap adil" dan menarik balik larangan dikenakan ke atas premis judi sukan di negeri masing-masing.

Setakat ini Selangor, Kedah dan Pulau Pinang telah pun mengisytiharkan tidak akan membenarkan aktiviti pertaruhan sukan di negeri-negeri berkenaan.

"Saya akan merayu kepada mereka agar adil (dalam hal ini)," kata Tan.

Sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) memberikan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd, syarikat milik Tan bulan lalu, DAP mengecam kerajaan pusat mahu terus memperkayakan tokoh perniagaan itu dengan memiskinkan rakyat jelata.

Tan (gambar) juga berkata, beliau akan mendermakan hasil daripada jualan antara Ascot Sports Sdn Bhd dan Berjaya Corporation Berhad kepada Better Malaysia Foundation.

Di bawah urus niaga itu, Tan akan menjual 70 peratus pegangan dalam Ascot kepada Berjaya Corporation Berhad dan sebanyak RM525 juta daripadanya akan disalurkan kepada badan kebajikan itu.

"Saya tidak akan menerima apa-apa daripada urus niaga ini," kata Tan yang merupakan Pengerusi Berjaya Corporation Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Malah, beliau juga menolak tanggapan bahawa pulangan daripada jualan itu akan pergi kepada faedah parti pemerintah kerajaan persekutuan.

"Ini tuduhan tidak masuk akal sama sekali," kata Tan yang mengecam blogger Raja Petra Kamarudin tanpa menamakan beliau, yang menimbulkan isu berkenaan.

Malah perkara itu turut ditekankan oleh Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini, mendakwa kerajaan pusat meluluskan lesen judi sukan kepada Kumpulan Berjaya sebagai "ganjaran" atas bantuan kewangan yang didakwa telah diberikan syarikat itu semasa pilihan raya.

"Saya percaya Perdana Menteri meluluskan lesen judi ini atas sebab terhutang budi dengan Kumpulan Berjaya yang telah menyokong BN dalam 11 pilihan raya kecil yang lepas.

"Ini kerana banyak duit yang dibelanjakan sebahagian besar daripada duit itu besar kemungkinan datangnya daripada Kumpulan Berjaya dan sebagai ganjaran maka diberikan lesen ini," kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Membantah Judi di pekarangan kompleks membeli-belah Sogo dekat sini petang tadi.

Dalam kenyataannya, Tan berkata, beliau akan menggunakan kesemua ruang yang ada untuk memastikan kerajaan-kerajaan negeri mempertimbangkan semula pendirian sebelum mengambil tindakan susulan mereka.

Bagaimanapun beliau mendedahkan bahawa sehingga 75 peratus operasi akan dikenalikan menerusi "pertaruhan telefon."

"Kini ada 5,000 laman web online, bagaimana ia boleh dihalang?" kata Tan sambil berkata, beliau tidak faham mengapa pembangkang membantah keputusan menghalalkan pertaruhan judi sukan.

"Apakah mereka tidak boleh membuat pertaruhan?" katanya dengan menyindir tindakan PAS dan DAP mengesploitasikan isu ini bagi kepentingan politik mereka.

Tan juga memberitahu, pulangan daripada pertaruhan haram dianggarkan di antara RM20 bilion hingga RM30 bilion setahun.

Akibat pertaruhan haram itu katanya, kerajaan kehilangan 10 peratus hasil dalam bentuk cukai, yang dianggarkan bernilai antara RM2 bilion hingga RM3 bilion.

Justeru Tan berkata, pulangan ini akan membantu kerajaan yang sedang memikirkan untuk mengurangkan subsidi, yang turut membebankan pihak berkuasa dengan hutang.

Malah katanya, ramai yang tidak menyedari bahawa pengendali pertaruhan haram bergandingan dengan Ah Long, yang turut membebankan orang ramai.

"Ini yang menyebabkan orang ramai berhadapan dengan masalah," kata Tan yang bermula sebagai ejen insurans dan kemudian meluaskan rangkaian perniagaan dengan perkhidmatan makanan segera McDonald's.

Berjaya Corporation juga terlibat dalam perniagaan hartanah.

DERMA RM525 JUTA : GULA-GULA MENGHALALKAN JUDI SUKAN

Posted: 05 Jun 2010 10:30 AM PDT


Kenyataan Media
(Ahad 6-Jun-2010)

DERMA RM525 Juta : GULA-GULA MENGHALALKAN JUDI SUKAN

Tan Sri Vincent Tan melalui laporan media akan mendermakan wang sebanyak RM525 juta untuk tujuan kebajikan. Derma ini akan disalurkan melalui Yayasan Better Malaysia Foundation. Wang ini diperolehi daripada penjualan kepentingan dalam Ascots Sport bulan lepas. Beliau juga menafikan telah menaja ahli atau parti politik sebagai balasan terhadap kerajaan yang meluluskan lesen judi sukan.

Tan Sri Vincent Tan seolah-olah cuba membayar segala tentangan rakyat Malaysia terhadap judi sukan dengan bayaran RM525 juta. Apalah maknanya dengan angka RM525 juta dibandingkan dengan kerosakan terhadap keluarga, masyarakat dan negara ekoran daripada kelulusan lesen judi sukan ini. Negara terpaksa membayar kerosakkan ini dengan nilai yang jauh lebih besar daripada derma yang akan disalurkan. Beliau juga seolah-olah cuba mempositifkan minda rakyat terhadap judi sukan melalui bayaran ini.Jika rakyat Malaysia hanya memikirkan keuntungan semata-mata sudah tentu akan terpukau dengan wang derma seumpama ini.

Tan Sri Vincent Tan jangan mementingkan diri sendiri untuk hidup kaya raya di negara ini hasil kemusnahan hidup rakyat Malaysia. Semua rakyat Malaysia mahu hidup dengan aman damai dalam negara ini. Sukan judi yang lesennya diluluskan oleh kononnya sebuah negara Islam bernama Malaysia boleh meroskkan minda rakyat. Rakyat akan merasa malas berkerja, suka bergantung pada nasib, hutang akan bertambah, hidup akan melarat dan akhirnya terjerumus dalam lubuk jenayah. Judi sukan boleh membawa kepada peningkatan gejala sosial dan jenayah. Akhirnya rakyat yang tidak bersalah menerima mangsa. Apakah Tan Sri Vincent Tan sanggup melihat rakyat Malaysia melarat akibat judi sukan?

Tan Sri Vincent Tan jangan fikir rakyat Malaysia termakan dengan guka-gula RM525 juta yang ditabur atas nama kebajikan. Tidak ada rakyat yang hidup bahagia kaya raya hasil daripada judi kecuali syarikat judi sahaja yang kaya raya seperti beliau. Duit yang dikaitkan dengan judi tidak boleh membawa manusia hidup bahagia. Gerakan Rakyat Membantah Judi(GMJ) akan berkempen seluruh negara membantah lesen judi sukan sehingga lesen ini ditarik balik. Saya menasihatkan kepada Tan Sri Vincent Tan agar menyerahkan duit derma tersebut kepada pihak yang meluluskan lesen judi tersebut. Barangkali mereka memerlukan.

Suhaizan Bin Kaiat
Setiausaha
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ)

Tiada ulasan: