Khamis, 10 Jun 2010

pemuda cheh

pemuda cheh


Pemuda bimbang isu lompat serang parti

Posted: 10 Jun 2010 03:36 AM PDT

Pemuda PAS mengambil sikap berhati-hati dalam membuat pemilihan calon untuk pilihan raya akan datang dan berharap pimpinan parti memandang serius isu lompat parti yang berlaku masa kini.

Demikian dijelaskan oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar Muktamar Pemuda kali ke-51 hari ini.

Nasrudin mengulas kebimbangan pemuda PAS agar tidak berlaku dalam parti seperti tangkap muat atau tunjuk muka ketika memilih calon.

"Calon yang akan bertanding dalam pilihan raya adalah merupakan seorang bakal pemimpin dan ia semestinya melalui proses pentarbiyahan yang mantap terlebih dahulu dan berdasarkan merit," ujar beliau lagi.

Bagi merealisasikan pentarbiyahan terancang, katanya, Pemuda PAS akan menubuhkan Akademi Tarbiyah Pemuda untuk melahirkan penggerak tarbiyah yang mahir di setiap organ dan peringkat dewan pemuda.

Pemuda PAS, tambahnya melalui lajnah tarbiyahnya berjaya menubuhkan Majlis Naqibun Nuqaba yang berperanan sebagai skuad khas dan penggerak utama Amal Tarbawi.

Beliau juga berkata, isu lompat parti berlaku kerana calon maupun wakil-wakil rakyat tersebut tidak mempunyai prinsip perjuangan yang kukuh dan ini berlaku kerana ketiadaan tarbiyah yang kukuh.

Menyentuh seruan, beliau kepada beberapa tokoh dalam Umno masa kini yang dulunya pernah berada dalam jemaah PAS, beliau berkata seruan tersebut dibuat kerana mereka ini pernah mempunyai fikrah dan perjuangan PAS.

"Biasalah seruan itu dibuat, dalam rumahtangga sendiripun ada yang berlaku penceraian dan bila dipujuk dan nampak kebenarannya, selepas edah boleh rujuk semula," kata beliau lagi.

Peguam Negara Bakal Hilang Kuasa Mutlak Pendakwaan

Posted: 09 Jun 2010 08:17 PM PDT

Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah akan mencadangkan kepada kerajaan supaya meminda Perlembagaan berhubung kuasa mutlak pendakwaan yang kini dimiliki penuh oleh Peguam Negara.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus diberikan kuasa pendakwaan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap ketelusan badan itu.

"Kita tidak mahu timbul isu di mana pegawai SPRM telah menyiapkan kertas siasatan yang akhirnya kuasa pendakwaan terletak pada Peguam Negara.

"Kita tidak mahu lagi karenah birokrasi untuk kita mengangkat peranan SPRM sesuai dengan Pindaan 2009.

Menurut Salahuddin, laporan berhubung cadangan tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beliau akan membentangkannya di Dewan Rakyat bagi ahli parlimen membahaskan laporan tersebut.

Sebelum itu, pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dalam sidang media di lobi parlimen tengahari semalam berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat kali kelima jawatankuasa itu yang baru sahaja selesai.

"Kita berpendapat agar dipinda Perlembagaan untuk memberi kuasa pendakwaan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"SPRM pada waktu ini mempunyai bidang kuasa terhad apabila hanya diberi kuasa menyiasat sahaja dan tidak boleh membuat pendakwaan dan rakyat melihat sebagai tidak efisyen dan kredebiliti mereka diragui dan dengan cadangan tersebut kita berharap dapat mengembalikan keyakinan rakyat.

Tambahnya, jika berlaku pindaan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM akan mempunyai kuasa mutlak berhubung pendakwaan kes rasuah, manakala Peguam Negara tidak lagi terlibat.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw dan Senator Ir Zamri Yusuf.

Masa Depan PAS Bersama Pakatan Rakyat Bentuk Malaysia Baru

Posted: 09 Jun 2010 06:02 PM PDT

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencipta sejarah dengan membuka muktamar tahunan ketiga-tiga sayapnya serentak sambil menegaskan, masa depan politik adalah bersama Pakatan Rakyat untuk membina Malaysia baru.

Sehubungan itu kata beliau, PAS perlu mengisi keperluan tersebut dengan tidak mengasingkan bidang agama dan politik sebagaimana dilihat oleh Umno-BN dan negara-negara lain.

Nik Aziz juga meminta supaya PAS bersama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat agar menarik pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan mengambil kira perkembangan ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor dan Sibu.

"Dengan ini akan membentuk satu kerajaan yang memenuhi aspirasi rakyat," kata beliau yang genap 20 tahun memerintah Kelantan Oktober ini.

RUPA-RUPANYA KAPAL-KAPAL ISRAEL SEJAK 1998 DIBENARKAN BERLABUH DI MALAYSIA!

Posted: 09 Jun 2010 05:40 PM PDT

Dalam sibuk-sibuk penduduk di seluruh dunia mengecam yahudi israel laknatullah kerana menyekat kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza rupa-rupanya kapal-kapal dagang israel dibenarkan menggunakan kemudahan pelabuhan di Malaysia.

Pelabuhan yang terlibat ialah Pelabuhan Barat di Klang, Terminal Utara, Pulau Pinang dan Pasir Gudang, Johor sebagai pelabuhan untuk memasuki Malaysia yang dikatakan bagi tujuan berdagang. Kapal-kapal israel dibenarkan menggunakan pelabuhan berkenaan sejak 1998 lagi!Kebenaran menggunakan pelabuhan di Malaysia dilakukan melalui Gold Star Line Ltd. yang merupakan anak syarikat Zim Israel Navigation Company (Zim Lines).

Perkara ini disahkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Kong Cho Ha dalam satu kenyataan semalam.

Kapal-kapal dari Israel dikenakan beberapa syarat seperti tidak boleh menaikkan bendera negara berkenaan apabila memasuki atau berada di sempadan Malaysia dan anak-anak kapal tidak dibenarkan meninggalkan kapal apabila berada di dalam perairan Malaysia kecuali jika berlaku kecemasan.

Pengumuman ini sekaligus mendedahkan sikap hipokrit kerajaan 1Malaysia yang kononnya anti israel dan yahudi. Saya masih teringat lagi sekumpulan rakyat di negara ini pernah di belasah polis dan ditembak dengan gas pemedih mata semata-mata kerana menentang kemasukan pasukan kriket israel tidak lama dahulu.

Justeru itu, saya menggesa agar kerajaan 1Malaysia menuntut maaf kepada rakyat di negara ini kerana menyembunyikan kerjasama hubungan perdagangan Malaysia-Israel serta menamatkan serta merta semua bentuk kerjasama dan hubungan dengan negara haram yahudi.

Tiada ulasan: