Sabtu, 26 Jun 2010

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Edisi Pahang: Bekas "Editor Panas PDO", Blogger Cucumatkilau Turun Berceramah Di Markas PAS Kuala Sentul Dekat Maran Jam 9.00 Malam Ini !!

Posted: 25 Jun 2010 06:59 PM PDT

MARAN, 26 Jun - Bekas Editor Panas PDO, Blogger Cucumatkilau dijadualkan mengadakan satu ceramah umumnya di Markas PAS, Kg.Kuala Sentul jam 9.00 malam ini. Justeru itu kepada seluruh rakyat yang cintakan Islam dan keadilan di kawasan Maran serta sekitarnya dijemput hadir beramai-ramai untuk mendengar ceramah yang akan disampaikan oleh beliau. Ketika dihubungi, Cucumatkilau berkata beliau memang sudah lama menanti saatnya untuk berceramah di Maran. Ini kerana ia umpama "sireh pulang ke gagang", kerana beliau berasal dan dibesarkan di kawasan itu (Maran). "Saya membesar dan bersekolah di kawasan ini. Malah saya juga amat biasa dengan daerah ini kerana arwah bapa saya adalah merupakan peneroka di Felda Jengka 7. Oleh itu saya amat teruja dapat kembali ke sini selepas lebih 15 tahun meninggalkan daerah ini untuk bermastautin di Kuantan", katanya. "Dulu saya disini sebagai insan lain, kini saya kembali ke sini untuk membuka minda rakyat supaya menerima perubahan", tambah beliau lagi. Tinjauan kami ke sini mendapati poster-poster ceramah sudah disebarkan di merata tempat. Beliau difahamkan akan bergandingan dengan salah seorang pemimpin PAS Pusat. Cucumatkilau yang sudah lebih 10 tahun menjadi "blogger rakyat" mula terjun ke pentas ceramah sejak awal tahun ini. Beliau telah mengadakan ceramah di beberapa tempat sekitar Pahang terutamanya Kuantan sebelum ini. Malah, dalam Pilihanraya Kecil Hulu Selangor (foto) yang lalu beliau juga sempat diberi ruang untuk bersuara ke pada rakyat dan menyampaikan ceramah pada hari permulaan dan malam akhir pilihanraya itu. Pada masa ini beliau dipercayai sudah menjadi "Reformist Bebas" dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik biar pun masih berhaluan kiri dan menentang arus. Oleh itu kepada mereka yang selama ini hanya membaca tulisan dan artikel beliau di internet, bolehlah hadir beramai-ramai pada malam ini.

[Kehadiran Cucumatkilau ke kawasan Maran memang amat dinantikan oleh sebahagian besar rakyat di situ tidak kira dari apa parti politik sekali pun. Tambahan pula beliau cukup popular di daerah Maran suatu ketika dulu kerana merupakan bekas seorang pengacara dan juruhebah yang banyak mengendalikan program-program keramaian rasmi dan tidak rasmi di sekitar kawasan Maran, Jengka, Jerantut hinggalah ke Temerloh. Malah, beliau yang merupakan anak kepada salah seorang pemimpin UMNO setempat yang aman disegani serta begitu rapat dengan kepimpinan UMNO bahagian itu sekarang ini. Difahamkan dalam Pemuda UMNO bahagian Maran sendiri pun sebahagian besar daripadanya adalah sahabat baik beliau dulu. Begitu juga dalam UMNO bahagian Maran, makanya tidak hairanlah ramai yang dijangka akan hadir untuk mendengar ceramah ulung beliau yang pertama kali bakal diadakan di Maran malam ini].

Piala Dunia: Sepanyol, Chile Ke Pusingan Kedua !!

Posted: 25 Jun 2010 05:54 PM PDT

PRETORIA 26 Jun – Jaringan David Villa (foto) pada minit ke-24 dan Andres Iniesta pada minit ke-36 membawa Sepanyol menjuarai Kumpulan H apabila menumpaskan Chile 2-1 di Stadium Loftus Versfeld awal pagi ini. Chile yang bermain dengan 10 pemain bagi tempoh 53 minit pula mendapat gol sagu hati hasil jaringan pemain gantian, Rodrigo Millar pada minit ke-46. Dengan kekalahan itu, Sepanyol akan bertemu Portugal selaku naib juara Kumpulan G pada 30 Jun depan sementara Chile menempuh laluan berduri menentang Brazil sehari sebelum itu. Sementara itu di BLOEMFONTEIN, Honduras dan Switzerland terikat tanpa jaringan dalam satu lagi perlawanan Kumpulan H sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan itu terkeluar daripada saingan Piala Dunia kali ini.

Sensasi: Tahniah .. Akhirnya Kerajaan UMNO BN Pimpinan PM Najib Razak Akur Kehendak Rakyat Agar Membatalkan Kelulusan Lesen Judi Sukan !!

Posted: 25 Jun 2010 11:16 AM PDT

Walau pun agak terlambat mengeluarkan keputusan, namun kami ucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan UMNO BN dibawah pimpinan PM Najib Razak kerana akhirnya akur akan kehendak rakyat agar tidak meluluskan lesen judi bola. Keputusan ini juga selaras dengan laungan keramat Najib bahawa "rakyat didahulukan". Mana yang baik kita perlu sokong, agar sekurang-kurangnya kerajaan yang ada peka dengan kehendak rakyat itu sendiri. Biarpun sebelum ini hanya pihak pembangkang (Pakatan Rakyat) sahaja yang beriya-iya benar mahu tindakan tegas diambil oleh kerajaan. Kini nyatakan bantahan tersebut telah mendapat sokongan daripada banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan juga dari kalangan parti UMNO sendiri. Malah, terbaru Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga mengeluarkan kenyataan yang sama terhadap isu ini. Sebelum itu UMNO Johor, Kedah dan Perak telah awal-awal lagi menyatakan bantahan mereka. Keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen judi bola kepada Ascort Sport Sdn Bhd itu telah dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam tadi. Dalam satu kenyataan, Najib menegaskan bahawa memang terdapat perbezaan pendapat tentang isu ini sebenarnya namun akhirnya mereka perlu akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan. Malah keraaan katanya bertindak membatalkan keputusan mengeluarkan lesen judi sukan tersebut berdasarkan kepada pertimbangan agama dan kesan politik jangka panjang parti itu. Dengan keputusan ini ia secara jelas mematikan suara mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang cuba untuk campur tangan supaya lesen judi bola itu diluluskan kepada proksinya Vincent Tan. Ia juga menjelaskan kepada kita bahawa isu ini bukanlah hanya untuk kepentingan politik semata-mata, malah ia menjangkau batasan agama dan peradaban sesuatu tamadun itu sebenarnya. Malah, memang tidak ada ajaran mana-mana agama di dunia ini yang membenarkan dan menggalakkan penganutnya berjudi.

[Cuma, besarlah harapan kita agar keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini adalah ikhlas dan bukan sekadar retorik politik semata-mata. Kita tidak mahu nanti, ada keputusan lain "under table" yang diberikan kepada pihak yang berkenaan setelah mereka mengemukakan rayuan atau pun desakan oleh dalaman pemimpin karat UMNO seperti Mahathir, Rafidah dan lain-lainnya. Dengan pembatalan ini, maka adakah NGO Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) akan diteruskan pada 3 Julai ini agaknya. Adalah lebih elok ia ditanggungkan dulu untuk melihat perkembangan seterusnya. Apapun, kini terbukti apa yang dilaung-laungkan oleh Pakatan Rakyat supaya kerajaan batalkan hasrat tersebut akhirnya diterima jua. Sekurang-kurangnya rakyat dapat melihat bahawa kerajaan UMNO BN kini sudah mula sedar betapa hebatnya suara rakyat. Sewajarnya dalam apa jua perkara pun, rakyat amat perlu didahulukan].

Tiada ulasan: