Ahad, 27 Jun 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Siapa Tarik Balik Lesen Judi? Kerajaan Malaysia Atau MT UMNO?

Posted: 26 Jun 2010 11:58 PM PDT

Judi: Pemuda DAP sambut baik, tapi persoal diumum MT Umno

Pemuda DAP mengalu-alukan keputusan kerajaan membatalkan pengeluaran lesen judi pertaruhan sukan tetapi mempersoalkan perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi.

Ketua Pemuda Sosialis DAP Loke Siew Fook berkata walaupun secara umumnya keputusan itu dialu-alukan, namun persoalan yang timbul soal pemberian lesen ini yang sepatutnya dikeluarkan oleh kerajaan diputuskan dalam mesyuarat Umno, bukannya di Kabinet.

"Apakah Majlis Tertinggi Umno yang menentukan segala dasar kerajaan dan bukannya Kabinet yang dianggotai oleh semua wakil komponen Barisan Nasional?

"Di manakah semangat perkongsian kuasa yang menjadi prinsip utama Barisan Nasional?" kata Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Ketika mengumumkan perkara itu lewat malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan semalam mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang jelas menunjukkan bahawa sebahagian besarnya tidak bersetuju lesen itu dikeluarkan.

Kata Najib, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat MT Umno malam tadi dan keputusan tersebut disokong sebulat suara.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan bila keputusan itu dibuat.

Menurut Najib, di peringkat awalnya, terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara itu, tetapi selepas itu, semuanya akur dengan keputusan berkenaan.

"Ditanya mengenai parti-parti komponen BN yang menyokong pemberian lesen judi sukan itu, Najib berkata, "saya percaya mereka terima kerana ini keputusan kerajaan. Kerajaan memikirkan sebaik-baiknya kepentingan masyarakat pada keseluruhannya."

Loke berkata perkembangan malam tadi amat jelas sekali bahawa yang menjadi penentu segala keputusan dalam kerajaan ialah Umno dan bukannya Barisan Nasional yang mempunyai 13 komponen.

"Kuasa hegemoni Umno dalam Barisan semakin menonjol dan parti-parti komponen yang lain hanya berperanan sebagai penghias semata-mata. Pandangan daripada MCA, Gerakan, MIC, PPP dan lain-lain adalah tidak relevan sama sekali.

"Pucuk pimpinan MCA, MIC dan PPP telah secara terbuka menyatakan sokongan mereka terhadap pemberian lesen perjudian sukan kepada Ascot Sports sebelum ini.

"DAPSY ingin mempersoalkan apakah pendirian mereka sekarang? Atau sokong sahaja sebarang keputusan yang dibuat oleh Umno?" kata beliau lagi.

Loke memberitahu DAPSY mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk menarik balik hasrat memberikan lesen perjudian sukan kepada Ascot Sports seperti yang diumumkan oleh Najib yang juga Menteri Kewangan.

"Ini merupakan satu keputusan yang tepat dan memenuhi hasrat dan permintaan rakyat Malaysia. Ia juga membuktikan pandangan yang telah dilontarkan oleh DAPSY dan pertubuhan lain yang menentang pemberian lesen tersebut memang ada asas yang kukuh dan hujah yang meyakinkan," katanya.

Malah katanya, keputusan malam tadi dilihat sebagai kesan kebangkitan kuasa rakyat yang dicetuskan oleh tsunami politik 8 Mac 2008.

"Suara rakyat tidak lagi dapat diketepikan oleh pimpinan kerajaan seperti dahulu dan mampu mengubah keputusan dan pendirian kerajaan dalam sebarang isu termasuk isu lesen perjudian sukan ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut MCA mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan tabung khas bagi mengutip segala perolehan dan keuntungan daripada syarikat perjudian berlesen agar ia tidak bercampur dengan pendapatan lain.

Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata sekiranya tabung itu diwujudkan, ia boleh digunakan untuk membiayai projek pembangunan yang membawa faedah kepada semua kaum di negara ini.

"Sudah sampai masanya kerajaan membayangkan cukai-cukai kerajaan kutip dari lesen perjudian yang dibenarkan sejak dulu, seharusnya tidak masuk 'consolidated fund' ... tabung berlainan ini boleh digunakan untuk pendidikan, kebajikan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-31 Koperasi Serbaguna Malaysia Berhad di sini.

Selain itu kata beliau, kerajaan seharusnya sentiasa meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti perjudian haram di kalangan rakyat, khususnya pertaruhan perjudian dalam sukan.

"Pemantauan rapi dan penguatkuasaan terhadap perjudian yang dikatakan haram seharusnya dipertingkat kerana perjudian sukan, walaupun tidak dibenarkan, masih boleh berlaku melalui telefon dan internet kerana ia tidak memerlukan lesen," katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno berkata keputusan kerajaan membuktikan keprihatinan Najib yang mengambil kira kepentingan semua pihak sebelum memutuskan perkara itu.

Ketika ditemui di Kota Baru, Zahid berharap isu itu tidak lagi dimanipulasi pihak pembangkang dan menafikan keputusan tersebut dipengaruhi desakan mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan turut bersetuju dengan pandangan Ahmad Zahid berhubung tindakan kerajaan tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, keputusan itu dibuat bukan hanya disebabkan suara pembangkang, tetapi juga suara akar umbi anggota Umno yang disalurkan ke dalam mesyuarat MT parti malam tadi.

Cubaan Guling MB Selangor, Agenda Media?

Posted: 26 Jun 2010 06:52 AM PDT

MB: Perbezaan Pendapat Lumrah Dalam Politik

Tan Sri Abdul Khalid hari ini menyifatkan perbezaan pendapat antara pimpinan dalam sesebuah pertubuhan politik adalah lumrah, sebaliknya beliau menegaskan, perkara tersebut membantu memantapkan sesebuah parti.

"Ini perkara biasa dalam persatuan atau politik, Ini yang disebut sebagai perbezaan antara kepimpinan. Ini satu-satunya persatuan yang matang dan mengalami keadaan ini dan secepat mungkin perkara ini akan diselesai.

"Apa-apa pun mesti ada penyelesaian dua pihak. Kita dalam parti, biasanya mengadakan mesyuarat untuk isu penting. Tapi, saya rasa isu selangor ini tidak sepenting dalam isu memantapkan parti dan mengemas kini jentera parti," katanya.

Sungguhpun media mendakwa wujud tekanan terhadap Khalid, 17 daripada 22 pemimpin bahagian PKR Selangor pula mengadakan mesyuarat tergempar bagi menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar Selangor.

Mesyuarat tergempar ini dibuat berikutan spekulasi media kononnya 15 ahli parlimen cuba menggulingkan Khalid semasa permukiman parti itu di Shah Alam.

Mengulas hal ini, Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa meminta semua pihak tidak terpengaruh dengan media yang mungkin ada agenda tertentu.

"Spekulasi yang diulang-ulang dalam media, jadi jangan kita ambil sebagai satu kebenaran. Tidak wujud, sebab saya ahli parlimen dan saya kenal kawan-kawan saya.

"Inilah isu yang kadang-kadang akan ada perbezaan sedikit. Ini akan diselesaikan dalam saluran yang ada dalam parti seperti retreat dan mesyuarat dalam parti," katanya. -TVS


PKR tak bincang isu desak Khalid undur

SHAH ALAM, 26 Jun — Pemukiman Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini tidak membincangkan isu mengenai Pakatan 15 Anggota Parlimen parti itu yang mahu Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatannya.

Presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sebaliknya mesyuarat hanya membincangan persiapan parti menghadapi pilihan raya umum akan datang dan pemilihan jawatankuasa tertinggi PKR pada November ini.

"Saya tidak tahu apa-apa dan tiada perbincangan ke arah itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar mesyuarat itu, di sini hari ini.

Sementara itu, beberapa Anggota Parlimen PKR yang ditemui di pemukiman itu hari ini menafikan wujudnya Pakatan 15 seperti yang didakwa.

Anggota Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas menganggap Pakatan 15 hanya sekadar nombor yang tidak membawa sebarang makna.

"Kenapa 15, kenapa tidak 20 ke 29? Semua itu hanyalah nombor yang didakwa oleh seseorang," katanya.


Ditanya mengenai dakwaan bahawa beliau merupakan ketua pakatan berkenaan, Kamarul Bahrin berkata: "Dalam parti, saya mengetuai seketariat Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN). Kalau yang itu, betullah."

"Soal yang dibangkitkan dalam media, tidak ada dibincang dengan khusus, tidak ada petisyen, tidak ada memorandum, kalau ada tentu saya sudah tahu," katanya.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu akan dibincangkan sekiranya ia dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Parti esok.

Anggota Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff turut meluahkan kenyataan serupa dan menafikan ada perbincangan pada kalangan mereka yang mewujudkan pakatan meminta Abdul Khalid melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.

"Kami sebagai Anggota Parlimen hanya membincangkan isu nasional, bukan isu yang membabitkan sesebuah negeri," katanya.

Selain Dr Wan Azizah dan beberapa pemimpin tertinggi lain, kelibat Abdul Khalid tidak kelihatan pada pemukiman hari ini. — Bernama


Ulasan GB

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, sebuah akhbar online kerap menimbulkan berita-berita sensasi terhadap negeri Selangor malah mengada-adakan perkara yang tiada.

Diperbesarkan tajuk berita yang cuba untuk menjejaskan reputasi MB Selangor seperti tajuk-tajuk "Azmin dakwa MB Selangor tak berubah meskipun ditegur", "Khalid: Saya tidak terfikir letak jawatan MB", "Azmin letak jawatan pengarah PKNS, dipercayai 'protes' MB", "Sah, Nik Nazmi tinggalkan pejabat MB Selangor" dan lain-lain.

Ehem, ada agenda?

Siling Kompleks Mahkamah Runtuh Lagi. Bencana Yang Tak Henti Menimpa Negara

Posted: 26 Jun 2010 05:19 AM PDT

Siling Kompleks Mahkamah Jalan Duta Runtuh Lagi

KUALA LUMPUR: Siling Kompleks Mahkamah, Jalan Duta di sini sekali lagi runtuh dalam tempoh tiga tahun yang berpunca dari paip air pecah.

Pengarah kompleks berkenaan, Azizah Mahamud berkata, paip itu pecah ekoran tekanan air yang tinggi sehingga mengakibatkan sebahagian siling kafetaria dekat pejabat pos mini itu runtuh.

"Siling yang runtuh ialah di bahagian dalam dan luar pejabat pos yang terletak di aras bawah kompleks," katanya di sini hari ini.

Difahamkan siling itu telah runtuh kelmarin dan dibaiki, bagaimanapun ia rosak sekali lagi pagi kelmarin.

Pada Mei 2007, dua siling mahkamah berukuran 1.48 meter persegi runtuh di sebuah bilik Mahkamah Sivil di kompleks itu yang baru sahaja dibuka pada ketika itu.

Kejadian itu berlaku selepas kejadian paip bocor dari siling sehingga kafetaria yang sama dibanjiri air di kompleks yang bernilai RM270 juta itu. -MSTAR

Ulasan GB

Petanda bencana menimpa negara tak kunjung sudah selagi BN memerintah.

Pimpinan Tan Sri Khalid Masih Diperlukan Di Selangor

Posted: 26 Jun 2010 01:53 AM PDT

AMK Selangor Sokong Penuh Kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim

SHAH ALAM 26 Jun - Dakwaan wujudnya gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan kerana itulah agenda utama musuh politik untuk mengganggu kestabilan Pakatan Rakyat khususnya KEADILAN dan seterusnya merampas kembali negeri itu.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainudin berkata AMK Selangor berdiri teguh bersama kepimpinan beliau

"AMK Selangor mengingatkan semua pendukung KEADILAN untuk terus berusaha mempertahankan dan menjunjung tinggi "mandat perubahan" yang diberikan rakyat 2 tahun yang lalu.


"Apakah beliau perlu digantikan kerana kekurangan dalam politik sedangkan beliau mempunyai kepimpinan dan pengurusan yang cekap?

"Apakah perlu beliau digantikan kerana meletakkan kepentingan rakyat berbanding ahli-ahli parti sendiri?." soal beliau dalam satu kenyataan media semalam.

Menurut Khairul Anuar, sepanjang 50 tahun Umno-Barisan Nasional memerintah Selangor telah banyak harta rakyat dikaut oleh pimpinan politik parti tersebut sedangkan rakyat terus dibiarkan merana dan susah.

"Sepanjang 2 tahun kepimpinan Khalid, beliau tidak mengambil kesempatan untuk mengkayakan isteri, anak, menantu dan suku-sakatnya melainkan kesungguhan beliau untuk merakyatkan ekonomi Selangor.

"Tiada seinci pun tanah yang diambil untuk diri dan keluarga melainkan berusaha untuk merakyatkan tanah Selangor.

"Tiada lawatan sambil belajar ke Disneyland melainkan menyusun kembali anak-anak syarikat ini agar hasilnya dapat dinikmati rakyat berhak. Tak pernah terfikir oleh Menteri Besar Selangor sebelum ini untuk beri air percuma kepada rakyat seperti yang dilakukan Khalid.

"Sekali pun jauh kalau nak dibandingkan dengan Khalifah Umar Abdul Aziz namun kesungguhan dan ketegasan Khalid dalam menjaga amanah rakyat dapat dilihat jelas.

"Ini menunjukkan begitu tingginya integriti Menteri Besar Pakatan Rakyat ini.


"Walaupun beliau tidak terlepas dari melakukan kesilapan, sebagai parti yang sentiasa menyubur benih demokrasi, Kongres KEADILAN di Kota Bharu telah mendengar dengan jelas teguran dan kritikan perwakilan terhadap Khalid dan kami yakin beliau menerimanya dengan penuh terbuka," tegas beliau lagi.

Dalam pada itu, AMK Selangor juga menyeru kepada semua para pendukung KEADILAN untuk terus menghayati semangat reformasi yang menjadi laungan keramat perjuangan rakyat ini.


Pemimpin PKR S'gor ikrar sokong Khalid

Pemimpin PKR Selangor, malam semalam berikrar akan berdiri teguh menyokong kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar besar yang dipercayai akan menghadai pemberontakan oleh sesetengan ahli parlimen parti itu.

Tujuh belas daripada 22 pemimpin bahagian PKR Selangor hadir pada mesyuarat tergempar bagi menyatakan sokongan mereka ke atas Khalid.

Khalid mengambil keputusan untuk tidak bersama pada mesyuarat dua jam yang diadakan di kediaman menteri besar itu.

Hanya lima pemimpin bahagian, termasuk Azmin Ali yang mengetuai bahagian Gombak tidak hadir.

Dua daripada ketua bahagian itu memberitahu mereka tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan juga mempunyai tugasan lain tetapi berikrar menyokong Khalid.

Hanya dua yang tidak memberikan sebarang alasan dan mereka itu dipercayai penyokong Azmin.

Mesyuarat tergempar ini diadakan oleh ketua bahagian PKR Selangor berikutan desas desus bahawa 15 ahli parlimen cuba menggulingkan Khalid semasa permukiman parti itu di Shah Alam yang bermula hari ini.

Khamis lalu, Azmin yang juga naib presiden PKR mengesahkan perletakkan jawatannya sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tetapi menafikan tindakannya ada kaitan dengan pergeseran antaranya dengan Khalid.

"Dalam surat itu, saya tidak menyatakan apakah sebab saya meletak jawatan dan ia juga tidak berkaitan dengan pemilihan PKR pada hujung tahun ini," katanya.

Pada sidang media itu Azmin yang diasak oleh wartawan berhubung khabar angin pergeserannya dengan Khalid mengakui sesetengah pihak di parti itu mempunyai beberapa isu dengan menteri besar berkenaan.

Namun katanya, beliau bukan seorang daripada mereka.

"Ini bukan isu saya. Ia luahan ahli dalam parti. Anda lihat pada kongres lalu... kebanyakan perwakilan melahirkan kebimbangan mereka dengan kerajaan negeri, khususnya Selangor yang mesti bergandingan tangan dengan ahli parti dan pemimpin lain kerana mereka mesti melaksankan polisi yang dilulus dan ditauliahkan oleh PKR," katanya.

Azmin juga menafikan bahawa beliau dalang yang cuba mengulingkan Khalid daripada kerusi menteri besar dan berkata jika beliau berhasrat berbuat demikian ia akan dilakukannya sejak tahun 2008 dan bukan ketika penggal sekarang hampir berakhir. -mk

Tiada ulasan: