Sabtu, 26 Jun 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Isu Lesen Judi Dedahkan Pemimpin UMNO Jahil Hukum-hakam Ugama

Posted: 25 Jun 2010 09:15 PM PDT

Umno tolak judi sukan, kelulusan ditarik balik

Kerajaan tidak akan mengeluarkan lesen judi sukan atas pertimbangan agama dan juga kesan politik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam ini.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam ini, dan keputusan tersebut disokong sebulat suara.

Menurut Najib, di peringkat awalnya, terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara itu, tetapi selepas itu, semuanya akur dengan keputusan berkenaan.

Ditanya mengenai parti-parti komponen BN yang menyokong pemberian lesen judi sukan itu, Najib berkata:

"Saya percaya mereka terima kerana ini keputusan kerajaan. Kerajaan memikirkan sebaik-baiknya kepentingan masyarakat pada keseluruhannya."

Menjawab soalan, perdana menteri berkata, Ascot Sports Sdn Bhd telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.

Perdana menteri turut ditanya sama ada kerajaan perlu membayar sebarang pampasan ekoran keputusannya untuk tidak mengeluarkan lesen berkenaan.

Menurutnya, kerajaan tidak perlu berbuat demikian kerana mengikut akta, menteri kewangan ada kuasa untuk menarik balik pada bila-bila masa.

Ditanya sama ada keputusan itu dibuat kerana kesan sosial dan pertimbangan ekonomi, perdana menteri berkata ia dibuat atas pertimbangan dari segi agama dan kesan politik.

Perdana menteri mengumumkan keputusan tersebut dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Najib berkata, sebenarnya lesen tersebut telahpun bermula pada tahun 1989 tetapi syarikat berkenaan mengalami kerugiaan besar pada tahun 1990.

Sejak tarikh tersebut, katanya, syarikat berkenaan beberapa kali cuba untuk memperbaharui lesen itu.

Baru-baru ini, katanya, kerajaan telah mengeluarkan kelulusan pada dasarnya kepada Ascot Sports dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh syarikat berkenaan.

Selain itu, tegasnya lagi, kerajaan pada masa yang sama, turut mendapatkan pandangan umum sebelum lesen tersebut dikeluarkan.

"Ini kerana memandangkan masyarakat Malaysia berbilang kaum dan mempunyai pandangan mereka tersendiri dalam melihat kewajaran pemberian lesen tersebut dari sudut agama, ekonomi dan sosial," tambahnya.

Katanya, daripada tinjaun yang dilakukan, ada pihak yang menyokong dan menentangnya dan "kita ambil kira semua pandangan ini".

"Jelas pada kerajaan bahawa sebilangan besar mereka tidak bersetuju dengan pemberian lesen judi sukan kepada Ascot Sports.

"Oleh itu, kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen berkenaan tidak akan dikeluarkan kepada syarikat tersebut," tegas perdana menteri.

Menurut beliau, keputusan tersebut disokong penuh oleh MT dalam perbahasan dan perbincangan dalam mesyuarat malam ini kerana masing-masing telah mengambil kira pandangan masyarakat.

Selain pembangkang dan NGO, pemberian lesen judi sukan tersebut turut dibantah oleh Umno Johor, Kedah, Perak dan Pemuda Umno.

Malah, Gabungan Mansuhkan Judi (GMJ) akan mengadakan perhimpunan membantah pemberian lesen tersebut pada 3 Julai ini.

Ulasan GB

Najib menarik balik lesen judi antaranya kerana pertimbangan politik katanya. Takut UMNO kalah besar dalam mana-mana PRK dn PRU.

Ternyata keputusan mengeluarkan lesen judi sebelum ini telah mendedahkan mengenai kejahilan pemimpin UMNO, Najib dan Awang Adik terhadap hukum-hakam agama yang tersangat jelas.

Najib tidak pernah mahu mengulas mengenai lesen judi yang telah dikeluarkannya sebelum ini dan sehingga dilihat gelombang rakyat menentang kelulusan itu, ia ditarik balik. Pun malam tadi Najib menyatakan beliau tidak akan membuat ulasan lagi selepas ini mengenai lesen judi berkenaan.

Watak-watak yang jahil agama ini yang sedang memerintah negara, disahkan oleh JAKIM yang menjadi tonggak hal-ehwal agama di dalam kerajaan, menjadi lembu yang dicucuk hidung, membisu tanpa sebarang kenyataan rasmi menentang keputusan kerajaan mengeluarkan lesen berkenaan. Ditambahkan pula dengan 40 ustaz muda yang rela menjadi lembu-lembu baru.


Asri Dalam Senarai Kedua, Kata Shahidan.

Posted: 25 Jun 2010 06:05 PM PDT

Datuk Seri Shahidan Kassim berkata bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang diura-urakan akan menyertai parti itu akan berbuat demikian "bila sampai masanya" semasa mengadakan sidang media selepas dikatakan 40 orang ulama muda menyerahan borang UMNO malam tadi.

"(Kemasukan dalam Umno) ini berperingkat-peringkat. Dalam Umno ini ada ahli Umno, dan ada penyokong Umno... Melihat dari aspek tersebut, saya rasa (Asri) tak ada masalah. Ini peringkat pertama.

"Beliau (Asri) akan masuk dalam kumpulan yang kedua," katanya dalam sidang media itu.

Borang kemasukan kumpulan pertama itu, telah diserahkan oleh ketua kumpulan tersebut, Fadlan Mohd Othman kepada Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC.

Kumpulan itu diketuai oleh Fadlan Mohd Othman, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dalam pada itu Fadlan berkata idea untuk menyertai Umno dibincangkan secara mendalam sejak beberapa bulan yang lalu untuk mencari ruang berdakwah menerusi parti politik.

"Kami berharap langkah memasuki Umno ini akan menyemarakkan lagi usaha berdakwah menerusi Umno, kami masuk Umno bukan untuk berpolitik walaupun Umno adalah sebuah parti politik," kata beliau.

Ketika ditanya mengapa tidak memilih PAS sebagai parti politik, Fadlan berkata tiada sebab khusus tetapi dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu sudah ada ramai ulama.

Kata beliau, pihaknya merasakan penyertaaan dalam Umno akan menyediakan ruang yang lebih besar untuk tujuan berdakwah.

Rakannya Fathul Bari Mat Jahya berkata Umno memberi ruang yang dicari-cari untuk tujuan berdakwah selepas mereka berhadapan dengan pelbagai sekatan.

Beliau yang merupakan penasihat agama sebuah agensi perubatan di ibu negara tidak menjelaskan sekatan yang dimaksudkan tetapi difahamkan ia berkaitan dengan syarat tauliah yang diwajibkan oleh jabatan-jabatan agama.

Rakan mereka, Asri kini berhadapan dengan tindakan undang-undang Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah.

Shahidan pula menjawab mulai sekarang mereka tidak akan berhadapan dengan masalah memandangkan Umno mempunyai 3.2 juta ahli, jumlah yang cukup besar untuk mereka menyampaikan dakwah.

"Yang saya bimbang, mereka nanti tak cukup masa untuk balik rumah, nanti hanya balik rumah dua kali sebulan," kata beliau pada sidang media yang sama selepas majlis penyerahan borang.

Ketika ditanya sama ada Umno akan menyediakan golongan ulama sebagai bakal calon pilihan raya umum ke-13, Shahidan berkata, "saya tidak tahu tentang perkara itu."

"Tetapi saya sebagai Ketua Umno Bahagian Arau merasakan kepimpinan masa depan bahagian, saya merasakan perlu terdiri daripada golongan ilmuan macam ini," kata beliau.

Ini kali pertama Umno menerima golongan ulama dalam jumlah yang ramai pada satu-satu masa.

Mereka yang terdiri daripada pensyarah, bekerja sendiri dan pekerja swasta menjadi ahli Cawangan Dataran Merdeka dan akan beralih ke negeri masing-masing kemudian.

Pada Sabtu lalu Setiausaha Kerja Umno mengumumkan Asri akan menyertai Umno hari ini.

Asri tidak mengesahkan ataupun menafikan perkara itu sebaliknya memberitahu perbincangan sedang diadakan dengan pucuk kepimpinan Umno.

Ketika ditanya sama ada Asri tidak menyertai mereka untuk memasuki Umno malam kerana isu fahaman wahabi dan Jemaah Islamiah sejak seminggu dua ini, Fadlan berkata, beliau tidak pasti.

"Yang itu kena tanya pada Dr Asri sendiri," kata beliau sambil menambah, pihaknya tidak memaksa mana-mana ulama menyertai Umno pada hari ini.

Beliau merupakan rakan Asri.

Ketika ditanya sama ada mereka menyertai Umno kerana ada kaitan dengan siasatan amalan wahabi dan JI, Fadlan berkata, "ia tiada kaitan."

Katanya, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah juga sudah mengatakan bahawa ini masalah peribadi, yang dikaitkan dengan pegawai kanan Institut Latihan Islam Malaysia.

Ulasan GB

Seperti yang telah GB utarakan di dalam ulasan sebelum ini di SINI, GB ada menyatakan:

2) Sepanjang MAZA di mahkamah beliau ditemani oleh bekas MB Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassin. Sedikit sebanyak Shahidan pasti ada berusaha untuk membawa MAZA menyertai UMNO. Apatah lagi Shahidan perlu mendapatkan sokongan dari golongan ugamawan di dalam usahanya untuk merebut kembali kerusi MB yang sudah terlepas ke tangan Mohd Isa Sabu


Justeru, Shahidan yang menjadi broker akan terus berusaha menghimpit dan memujuk Asri menyertai UMNO bagi membolehkan beliau diyakini oleh Najib bagi mendapatkan kembali jawatan MB Perlis.

Dan kepada semua yang bergelar "ulama muda" yang menyertai UMNO tersebut, tahniah, kerana anda menjadi pengesah kepada gelombang kemungkaran yang dilakukan UMNO selama ini.







Pakatan Rakyat Perlu Tubuh Jawatankuasa Penyelaras Negeri Peringkat Pusat

Posted: 25 Jun 2010 05:57 AM PDT

Khalid berdepan tuntutan berat di permukiman PKR

Isu mengenai dakwaan kudeta terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim oleh sekumpulan ahli parlimen PKR, dijangka menjadi topik panas dalam permukiman parti itu di Shah Alam hujung minggu ini.

Bagaimanapun, naib presiden PKR, R Sivarasa berkata, ia hanya akan dibincangkan dalam kaitannya dengan strategi parti untuk berdepan dengan pilihanraya umum akan datang.

"Seseorang mungkin membangkitkannya dan kita harus menyelesaikannya, tetapi ia perlu dalam rangka bagaimana kita akan memenangi pilihan raya akan datang," katanya.

Ketua penerangan PKR Latheefa Koya pula berkata, salah satu daripada dua perkara dalam agenda permukiman tersebut ialah mengenai pentadbiran Selangor, dengan fokus khas untuk mencari jalan bagi parti menyalurkan lebih banyak input dalam dasar-dasar kerajaan negeri.

Katanya, kemungkinan hasil daripada permukiman tersebut - di mana lima kertas kerja akan dibentangkan - ialah penubuhan jawatankuasa yang akan memainkan peranan sebagai penasihat kepada exco kerajaan negeri dalam membuat keputusan mengenai dasar-dasar kerajaan negeri.

Ini serupa dengan amalan di negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS di Kelantan dan Kedah, di mana ahli exco negeri dipengaruhi oleh halatuju parti tersebut.

"PAS telah mentadbir Kelantan selama 20 tahun, sistem mereka sangat berkesan, dan kita harus belajar daripadanya," kata ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.


Sumber-sumber lain parti itu pula membayangkan bahawa pihak parti akan mendesak senarai baru ahli exco negeri, bagi membuka ruang kepada ahli PKR memainkan peranan dalam kerajaan negeri.

Satu lagi tuntutan yang dijangka dibuat di permukaan tersebut ialah mengenai sumber untuk membantu wakil rakyatnya di Selangor.

"Seseorang wakil rakyat hanya boleh membei khidmat di kawasan pilihan rayanya sekiranya ada sistem sokongan yang berkesan, dan ini adalah tangungjawab kerajaan negeri, dan harus dilihat sebagai satu agenda nasional," kata Yusmadi.


Beliau menambah, langkah memisahkan negeri dan parti adalah pendekatan yang cacat kerana kedua-duanya harus saling berkaitan dan harus kuat dalam menguruskan masyarakat.

Selain itu, kata ahli parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne (kiri), parti itu juga memacu ke arah memainkan peranan lebih aktif dalam halatuju kerajaan negeri melalui penglibatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Sejak dua tahun terakhir, ADUN, ahli parlimen PKR dan ahli parti menunggu untuk memberikan sumbangan tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana pihak negeri tidak mahu menggunakan (khidmat) kami.

"(Tapi) pengarah GLC tidak dibayar, dan diberikan elaun berdasarkan prestasi, jadi saya dapati sukar untuk melihat bagaimana seseorang itu boleh dianggap korup di sini," katanya.

Sementara itu, perkembangan terbaru tersebut mungkin memaksa Khalid menerima desakan pengkritiknya.

Ini menimbulkan persoalan mengenai model perkongsian kuasa dalam kerajaan Selangor - satu kerjasama antara PKR dan DAP - yang mempunyai hampir sama banyak wakil rakyat dalam kerajaan negeri.

Manakala naib presiden PKR, Azmin Ali menafikan beliau menjadi ketua kudeta kumpulan 15 ahli parlimen tersebut, para pemerhati melihatnya sebagai tanda semakin buruknya hubungan beliau dengan Khalid, yang turut menjejaskan imej parti.

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mungkin terasa bahang daripada dakwaan berlakunya pergeseran dalaman parti, dengan para pemerhati menganggapnya sebagai satu kecacatan dalam kepimpinannya.

Bagaimanapun, bertentangan dengan pendapat umum, Yusmadi menegaskan bahawa parti itu "tidak berpecah", tetapi hanya berdepan dengan "isu pengurusan".

Menurutnya, adalah tidak masuk akal untuk mengharapkan sebuah organisasi baru (seperti PKR) tidak mempunyai masalah seperti itu.

'Mesej saya kepada masyarakat ialah supaya bersama kami dan terus menyokong kami kerana masalah ini boleh diatasi," katanya. -mk

Ulasan GB

Pada pandangan GB, Pakatan Rakyat perlu ada jawatankuasa Penyelaras dan Pemantauan peringkat pusat untuk menyelaras pentadbiran negeri-negeri yang dikuasai oleh PR.

Sekalipun PR belum lagi menguasai kerajaan perseketuan, namun langkah ke arah itu perlu dimulakan dengan kewujudan jawatankuasa peringkat pusat.

Pengalaman-pengalaman dari negeri yang lebih lama dikuasai oleh PR dapat dikongsikan bersama dan yang paling utama semua urusan pentadbiran negeri-negeri PR dapat diselaras dan dipantau supaya tidak wujud dasar-dasar yang berbeza-beza di negeri-negeri yang dikuasai PR.

Hal tersebut juga membolehkan negeri-negeri PR berupaya untuk mewujudkan satu bentuk mekanisma bagi mempertahankan kerajaan negeri dari dipermain dan dibuli oleh agensi-agensi kerajaan pusat.


Saman Felda : Ahmad Maslan Cari Penyakit Sendiri

Posted: 25 Jun 2010 01:35 AM PDT

Tindakan Saman Felda, Peluang Dedah Penyelewengan

SHAH ALAM, 25 Jun - Tindakan Lembaga Tanah Persekutuan (Felda) untuk mengemukakan saman ke atas akhbar rasmi KEADILAN, Suara Keadilan dan juga beberapa pemimpin KEADILAN termasuk permimpin PAS dilihat sebagai satu peluang besar membongkarkan segala penyelewengan yang berlaku di dalam Felda.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KEADILAN, Datuk Zaid Ibrahim yang dihubungi memberitahu beliau mengetahu kenyataan tersebut dan sekarang hanya menunggu saman yang dikemukakan oleh Felda.

"Saya tahu dan kita menunggu saman tersebut, apa yang pasti tindakan saman yang dikemukakan oleh Felda itu sebenarnya memberi peluang yang besar kepada kita untuk mendedahkan apa yang telah berlaku di dalam Felda. Bagi saya ini tidak mengejutkan saya dan kita bersedia untuk menghadapi saman tersebut," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa KEADILAN, Datuk Dr Tan Kee Kwong juga memberitahu tindakan saman Felda itu merupakan langkah untuk kita melakukan pendedahan di dalam Felda.

"Kita sudah pasti mengganggap ini sebagai peluang untuk membongkar apa yang telah berlaku di dalam Felda, kenyatan saya pada sidang media di parlimen juga meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kenapa kedudukan tunai Felda boleh merosot dalam tempoh lima tahun.

"Selain itu juga alasan yang munasabah terhadap pembinaan bangunan baru Felda di kawasan yang kos tanah yang tinggi sedangkan Felda mempunyai tanah sendiri di Jalan Semarak. Perkara ini yang kita ingin penjelasan, dengan saman tersebut kita pasti kesemua persoalan dapat dibongkarkan,"
katanya.

Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN Pahang, Suhaimi Said yang turut dihubungi memberitahu kenyataan yang kita keluarkan di dalam akhbar Suara Keadilan adalah berhubung dengan apa yang telah diperkatakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan semasa di Parlimen.

"Kita mengeluarkan kenyataan tentang apa yang telah diperkatakan oleh Ahmad Maslan di parlimen iaitu berkaitan dengan penyusutan kedudukan tunai Felda dalam tempoh lima tahun hampir RM3 bilion.

"Jika melihat pada senario sekarang sudah pasti dalam tempoh yang terdekat Felda akan bankrap, apa yang hendak kita mahu ialah perjalanan Felda itu perlu mengikut kepada matlamat asal penubuhan Felda.

"Jawapan Menteri yang menyatakan Felda mempunyai aset yang banyak, bagi saya itu bukan boleh diukur sebagai kedudukan tunai kerana aset tidak boleh di tukarkan kepada tunai bila kita memerlukan. Kedudukan sebuah syarikat bergantung kepada kedudukan tunai ataupun simpanan.

"Tanpa kedudukan tunai yang kukuh boleh membawa sebuah syarikat itu mengalami masalah mewangan yang amat terus sehinggakan membawa kepada berlakunya pinjaman dengan bank, jika bermulanya pinjaman bank dengan sendirinya Felda akan terus terikat dengan peraturan-peraturan intitusi kewangan.

"Secara jelas kedudukan tunai amat mengerunkan Felda di masa hadapan," kata Suhaimi.

Selain pemimpin KEADILAN, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Abdul Wahid Endut juga disebut terlibat dalam saman tersebut dan beliau juga memberitahu kenyataan yang dikeluarkan itu mengikut fakta yang tepat dan ia juga terkandung dalam soalannya di parlimen. Jika Felda mengambil tindakan saman beliau akan mencabar saman tersebut dan mendedahkan segala fakta yang berada padanya.

Felda yang mengeluarkan kenyataan tersebut pada satu sidang medianya di Anjung Felda, Jalan Semarak pagi tadi. Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Selain pemilik permit, pihaknya akan turut menamakan Ketua Pengarang akhbar itu, wartawan-wartawan terbabit dan pemimpin KEADILAN iaitu Zaid Ibrahim, Tan Kee Kwong dan Suhaimi Said serta seorang pemimpin PAS, Mohd Abdul Wahid Endut. -SK

Tiada ulasan: