Khamis, 17 Jun 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Fiesta Yang Gagal, Najib Dimalukan

Posted: 16 Jun 2010 11:52 PM PDT

Hanya 300 Hadir Perasmian Fiesta Kelantan, Najib Terus Pulang Elak Malu

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan merasmikan Program Karnival Kelantan Fiesta semalam di Kota Bahru telah meninggalkan program tersebut dan terus pulang ke Kuala Lumpur tanpa menghadiri tapak fiesta dan merasmikannya.

Tindakan mengejut Najib disebabkan mahu mengelak malu kerana kehadiran pengunjung perasmian fiesta tidak sampai 300 orang. Insiden amat memalukan ini dianggap satu sambutan yang amat teruk pada majlis yang di hadiri oleh seorang pemimpin berstatus Perdana Menteri.

Program Perasmian Kelantan Fiesta yang menelan kos sebanyak RM1.8 juta itu diteruskan juga oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapa Mohamed selain terpaksa menggunakan pembesar suara mudah alih kerana disebabkan kerosakkan sistem audio.

Sebelum itu satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Pengerusi Kelantan Fiesta 2010, Datuk Takiyuddin Hassan pada satu sidang media petang semalam memberitahu bahawa kerajaan negeri akan memulau karnival tersebut kerana penganjur telah mungkir janji dengan tidak membenarkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berucap pada majlis perasmian malam ini.

Menurut lagi keputusan memulaukan perasmian itu diambil kerana penganjur bersama, syarikat Red Carpet juga telah memungkiri beberapa perjanjian ketika mesyuarat bersama kerajaan negeri.

Mereka yang sebelum itu telah bersetuju perasmian disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra, manakala ucapan aluan dari Nik Abdul Aziz selaku tuan rumah dan ucapan dari Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Takiyuddin memberitahu pada 13 Jun lalu, kerajaan negeri menerima arahan daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) memaklumkan bahawa pejabat Perdana Menteri tidak membenarkan Menteri Besar berucap pada majlis perasmian karnival tersebut.

Beliau juga memberitahu tindakan tersebut telah memalukan Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar dan juga tuan rumah.

Sehubungan itu, Takiyuddin yang juga Ahli Dewan Uundangan Negeru Bunut Payong berkata mesyuarat exco juga memutuskan untuk menarik diri daripada program itu yang berlangsung sehingga 19 Jun ini.

Namun katanya, kerajaan negeri tidak akan menghalang sebarang aktiviti yang dijalankan sepanjang Fiesta Kelantan selama tiga hari itu selagi ia memenuhi syarat yang diluluskan pihak berkuasa tempatan. -SK


Mustapa ganti Najib rasmi Kelantan Fiesta 2010

KOTA BHARU, 16 Jun: Di sebalik pemulauan kepimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada perasmian Kelantan Fiesta 2010 malam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga tidak hadir pada majlis itu.

Walaupun mengikut jadual asal, majlis itu akan dirasmikan oleh Najib, tetapi beliau digantikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Lebih mengecewakan penganjur bersama program itu, Red Carpet Worldwide, apabila hanya kira-kira 300 sahaja yang hadir dalam suasana hujan lebat yang turun mencurah-curah selepas Maghrib.

Bahkan, ada di kalangan pengunjung yang berpatah balik kerana tidak selesa berada pada majlis itu, ditambah pula bekalan elektrik turut terputus.

Ini menyebabkan sistem pembesar suara gagal berfungsi yang memaksa Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri berucap menggunakan loud hailer.

Petang tadi, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, kerajaan negeri akan memulau majlis perasmian itu yang sepatutnya disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan dan dihadiri Najib Tun Razak di pekarangan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV.

Ini kerana, katanya pihak penganjur mungkir janji dengan tidak membenarkan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat berucap.

Tambahnya, penganjur bersama majlis itu, Red Carpet Worldwide Sdn Bhd telah melanggar syarat-syarat perjanjiannya dengan kerajaan negeri sebelum ini.

Beliau yang juga Adun Bunut Payong berkata, mengikut perjanjian asal, Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra akan merasmikan fiesta itu dan Menteri Besar turut berucap, tetapi keputusan terbaru tidak membenarkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berucap di samping tidak dirasmikan oleh Pemangku Raja.

Ekoran itu, jelasnya semua acara melibatkan kerajaan negeri seperti persembahan 1,001 pesilat dan pembuatan gendang terbesar turut dibatalkan.

Sementara itu, Perdana Menteri yang membatalkan untuk merasmikan Kelantan Fiesta itu bergegas pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan pada 10.30 malam.

Ekoran itu, RTM turut membatalkan untuk mengadakan siaran langsung.

Namun, RTM dalam Berita Jam 8 masih lagi mewar-warkan keberangkatan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan untuk merasmikan program Kelantan Fiesta 2010 di samping menyatakan akan menyiarkan program itu secara langsung melalui TV1.

Tindakan terus menghebahkan keberangkatan Pemangku Raja sebagai strategi untuk menarik rakyat Kelantan ke majlis tersebut dan dilihat sebagai tindakan terdesak serta tidak menghormati institusi istana yang jelas melalui surat memaklumkan 'atas sebab-sebab tertentu' di mana Pemangku Raja membatalkan hasrat untuk merasmikan karnival itu.

Tindakan Umno negeri yang menaikkan banner dan bunting gambar Najib dan 1Malaysia sebenarnya suatu tindakan menderhaka walapun merasakan itu perancangan terbaik mereka, sebenarnya lebih memualkan rakyat Kelantan yang sememangnya tidak menyahut seruan 1Malaysia. -harakahdaily


Singapura Dilanda Banjir Besar, Malaysia Menunggu Gilirannya?

Posted: 16 Jun 2010 07:09 PM PDT

Banjir melanda Orchard Road, Bukit Timah dan Thomson Road, Rabu pagi waktu setempat.

Di beberapa kawasan, tinggi banjir bahkan setinggi hampir 1,5 meter. Tempat pejalan kaki, dan halte bus terpaksa ditutup sehingga menimbulkan keadaan gawat yang luar biasa.

Area basement di beberapa pusat membeli belah di Orchard Road yang terendam, merosakkan beberapa kedai. Petugas juga terpaksa memindahkan sekitar 15 kereta yang terjebak disana.

Shama Bano Khan, ibu rumah tangga yang bertempat tinggal di Thomson Road mengaku hairan dengan kejadian ini. Meski banjir tidak sampai masuk ke tempat tinggalnya, namun air sudah menyentuh pintu tempat tinggalnya. "Kami telah tinggal disini selama hampir 15 tahun, dan tidak pernah mengalami kejadian seperti ini," katanya.



Kasino kedua Singapura dibuka semalam sekali gus meningkatkan reputasinya sebagai pusat perjudian untuk golongan kaya.

Kasino Marina Bay Sands yang dibina oleh syarikat perjudian gergasi Amerika Syarikat, Las Vegas Sands itu dibuka pada pukul 3.18 petang waktu tempatan. Ia yang bernilai AS$5.5 bilion (RM17.5 bilion) bakal meningkatkan sektor perlancongan sekali gus menjadi pusat peralihan perjudian dari Barat ke Asia.

Pengerusi Las Vegas Sands, Sheldon Gary Adelson memberitahu, penduduk Asia melihat perjudian sebagai satu hiburan manakala penduduk Barat lebih gemar berbelanja untuk makanan atau keluar dengan teman.

Kasino pertama Singapura, Resorts World Sentosa yang bernilai AS$4.4 bilion (RM14 bilion) dibina oleh Kumpulan Genting Malaysia dan dibuka pada 14 Februari lalu.

Kasino Marina Bay Sands yang setinggi empat tingkat itu mempunyai 600 meja judi, 1,500 mesin slot dan lebih 30 bilik perjudian peribadi.

Seorang rakyat Malaysia Lee Kim Lian, 68, menyatakan dia tiba kelmarin dengan wang tunai sebanyak S$10,000 (RM23,260) untuk bermain judi. – AFP


Ulasan GB

Demikian, apabila hukum Tuhan dicabar, bumi Tuhan dijadikan tempat mengingkari perintahNya, maka datanglah kafarah...

Suasana ini, bakal menimpa Malaysia, apabila Najib dan UMNO dengan angkuh dan sombong melawan hukum Tuhan, meluluskan lesen judi. Tunggu dan lihat.

Hujan Ribut Gagalkan Majlis Najib Di Kelantan

Posted: 16 Jun 2010 06:12 PM PDT


Hujan Iringi PM Terbang Awal Oleh Husam Musa

Malam ini asalnya dijangka mencatat sejarah tertentu bagi Kelantan. PM akan sepentas dengan Mursyidul Am PAS yang juga MB Kelantan, menyaksikan perasmian Kelantan Fiesta oleh Baginda Pemangku Raja Kelantan.

Malam ini, sejarah masih tercatat tetapi dengan cara yang sama sekali tidak dijangka.

Bukan sahaja Pemangku Raja tidak berangkat atas apa jua sebab, PM yang dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Kelantan dan kemuncaknya akan merasmikan sendiri event Kerajaan Pusat yang dinamakan Kelantan Fiesta itu di Stadium Sultan Muhammad, pulang awal tanpa sempat menjejakkan kaki ke situ.

MB dan Kerajaan Negeri memutuskan tidak bersama, antara lain kerana pertukaran dari 'agenda bersama' kepada 'hanya agenda Pusat'. Poster One Malaysia menunjukkan PM akan merasmikan acara itu tergantung di sana sini.

Kemuncaknya malam ini, hujan ribut 'menyerang' semua persiapan di Stadium bersejarah itu. Hujan bermula sejak 8.30 malam. Sehingga jam sebelas setengah, ia masih turun renyai-renyai selepas turun dengan lebat sebelumnya.

Orang ramai, atas apa jua sebab, samada kerana hujan dan ribut mahu pun hal yang lain, tidak membanjiri stadium itu seperti lazim berlaku pada acara anjuran Tok Guru sebelum ini. Suku stadium pun tak ada. Lengang.

Tentulah memalukan untuk PM datang berucap dalam suasana hiba seperti itu. Ia bukan lagi kemuncak yang ditunggu tetapi kemuncak yang sangat mengharukan.

Tidaklah ganjil untuk PM memutuskan terus menaiki pesawat pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Tinggal-lah anak buah terkial-kial, bagai kucing jatuh ke air. PM perlu dielak atau patut mengelak dari tempias peristiwa upset ini. Biarlah hujan menguasai malam dan sejarah dirakam seperti kehendak Pencipta.

Datuk Mustapa terpaksa memikul akibat dari keputusan politik dangkal mengenepikan Kerajaan Negeri dan tetamu kehormat lainnya di saat akhir, sehingga akhirnya beliau terpaksa berdiri di hadapan padang yang kosong untuk acara perasmian mengantikan PM. Tugas yang berat. Tak semena-mena, bekalan elektrik pula terputus.

Ketentuan Ilahi nampaknya tidak menyebelahi penganjur, walau apa jua motif mereka, tersurat atau tersirat.

Saya membuat catatan ini sebagai mengingati besarnya kuasa Ilahi dan eratnya Kelantan dijaga oleh Pengawal langit dan bumi.

Di padang yang mulia kerana telah menyaksikan ratusan ribu manusia telah sujud di atasnya dan tidak kurang pula titisan air mata yang tumpah ketika heningnya hubungan para hamba dengan Sang Pencipta di situ dalam siri-siri solat hajat yang telah berjalan berbelas kali, nyata menunjukkan keramatnya.

Termasuk solat hajat royalti minyak. Solat hajat untuk ummat Palestin. Solat hajat untuk memenangkan perjuangan rakyat.

Nampaknya, padang itu tidak mudah melupakan pihak yang menganiayai rakyat Kelantan tetapi mahu berpesta di atasnya.

Mengenepikan tuan rumah - tentulah bukan langkah bijak. Apa lagi, PM semata-mata bukanlah tarikan besar bagi orang Kelantan untuk memenuhi stadium sebesar itu. Usahkan stadium, dewan biasa pun belum tentu penuh.

Lantaran itulah, langkah awal penganjur ialah berpijak atas kerjasama dengan Kerajaan Negeri. Bermakna bekerjasama dengan populariti Tok Guru. Dari sana, penetrasi boleh bermula.

Entah apa gerangan dan perhitungan, di saat akhir mereka ingin bersendiri. Sesetengah berkata, 'UMNO tetap UMNO...'.

Ada peluang, mereka mencengkam. Taring UMNO mereka sentiasa tersedia.

Najib Bertanggungjawab Mufliskan Felda

Posted: 16 Jun 2010 07:22 AM PDT

Kerajaan pusat secara terbuka hari ini mengakui simpanan tunai Felda telah merosot sehingga RM1.35 bilion tahun lalu berbanding paras RM4.08 bilion dimiliki pada 2004.

Bagaimanapun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mendakwa penurunan simpanan tunai bukan kerana salah urus Felda.

"Kami tidak pernah salah gunakan dana (Felda)," kata Ahmad di Dewan Rakyat hari ini sambil menjelaskan kewangan agensi itu diuruskan dengan baik.

Ketika bercakap pada sidang media selepas itu, Ahmad berkata, dana agensi itu digunakan untuk pelbagai projek.

"Sebanyak RM2 bilion digunakan untuk penanaman semula, deposit pulangan dan kos sokongan sara hidup bagi peneroka.

"Sejumlah RM603 juta digunakan untuk pinjaman perumahan bebas faedah manakala RM253 juta diperuntukkan sebagai dana khas untuk pembasmian kemiskinan di Sabah.

"Sebanyak RM662 juta dibelanjakan untuk membeli Menara Felda 50 tingkat," katanya.

Ahmad menambah, meskipun simpanan tunai merosot tetapi aset Felda mengalami peningkatan.

"Simpanan tunai menurun RM2.37 bilion manakala aset meningkat RM6.2 bilion," kata Ahmad.

Terdahulu Ahmad menjawab soalan Ahli Parlimen Ledang Hamim Samuri yang mengemukakan soalan mengenai fitnah di internet bahawa adanya unsur salah guna kuasa di agensi pembangunan tanah itu.

Hamim merujuk kepada surat terbuka bekas menteri tanah dan koperasi Datuk Tan Kee Kwong yang mendakwa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memufliskan Felda.

Tan yang merupakan ahli PKR yang aktif mendakwa tunai simpanan Felda sekitar RM4.5 bilion pada 2004 tetapi telah menurun sehingga RM200 juta. -TMI



Tiada ulasan: