Selasa, 22 Jun 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


PRU ke-13 : Hujung Tahun 2010 atau April, 2011?

Posted: 22 Jun 2010 09:10 PM PDT

Oleh: Suhaimi Al-Maniri

Sebagaimana dilaporkan media massa, seorang pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Professor Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat, pilihanraya umum ke-13 dijangka akan diadakan hujung tahun ini kerana Perdana Menteri memerlukan mandat baru daripada rakyat memandangkan mandat sekarang adalah daripada kepimpinan terdahulu, Tun Abdullah Ahamad Badawi.

Katanya, beliau bersependapat dengan Tun Dr. Mahathir bahawa pilihanraya umum wajar dipercepatkan dan menjangkakan seawal hujung tahun ini ataupun awal tahun depan. Jika pilihanraya umum diadakan pada hujung tahun depan, ianya sudah menjadi pilihanraya umum biasa dan bukan lagi dipercepatkan.

Pada Rabu, 18hb. Jun, Perdana Menteri berkata tarikh pilihanraya umum akan mengejutkan semua pihak. Dengan keyakinan popularitinya semakin meningkat sebagaimana kajian Merdeka Center for Opinion yang menunjukkan 72 peratus rakyat Malaysia berpuashati dengan prestasi Najib sebagai Perdana Menteri.

Sukar untuk dipastikan, sejauh mana Najib bersedia melakukan pilihanraya umum lebih awal sebelum cukup tempoh tiga tahun yang menjadi amalan-alalan Perdana Menteri sebelum ini. Jika Najib memilih untuk membubarkan parlimen lebih awal dari tempoh 3 tahun, adakah semua Menteri Besar terutama yang bukan dari kalangan Barisan Nasional akan turut membubarkan DUN di negeri masing-masing bagi membolehkan pilihanraya serentak diadakan.

Pilihan yang ada pada Najib sekarang ini, adalah untuk membenarkan pilihanraya negeri Sarawak diadakan secara berasingan seperti sebelum ini, atau diadakan serentak dengan pilihanraya persekutuan. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkeyakinan pilihanraya umum kali ini diadakan pada bulan April, 2011 serentak dengan pilihanraya Sarawak.

Jika diadakan pilihanraya negeri Sarawak lebih awal sebelum pilihanraya umum persekutuan tetapi keputusan tidak memihak kepada BN seperti pilihanraya kecil Sibu baru-baru ini, ini akan memudahkan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Persekutuan.

Percaturan BN kali ini agak kritikal. Jika pilihanraya persekutuan  hendak diadakan serentak dengan pilihanraya sayawak bagi menjimatkan kewangan negara, tempoh yang terbaik adalah selepas bulan Mac, 2011 hingga hujung tahun tersebut.

Talian hayat BN sekarang ini adalah bergantung kepada persempadanan semula kerusi pilihanraya parlimen dan DUN yang memihak kepada mereka. Dalam Muktamar PAS ke-56 baru-barun ini, Datuk Abdul Halim Abd. Rahman, Pengarah Pilihanraya PAS mengingatkan Pakatan Rakyat boleh terlepas Selangor dan Kedah dalam pilihanraya akan datang.

Manakala Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri kanan pula meramalkan hanya kerajaan Kelantan dan Pulau Pinang sahaja mampu dipertahankan oleh pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.

Kalau diimbas semula, kemenangan besar BN dalam pilihanraya umum ke-11 pada tahun 2004 lepas adalah selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya pada tahun 2003. Pada saya tidak mustahil perkara yang sama akan berulang dalam pilihanraya akan datang kerana BN akan melakukan apa sahaja untuk terus memerintah.

Disebalik Rombakan Kabinet

Rombakan kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri ,Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 1hb. Jun lalu yang memberi  petanda bahawa kabinet kali ini adalah kabinet yang dibarisi senator untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13 selain menyelesaikan krisis kepimpinan dalam parti-parti komponen BN terutama MCA, MIC dan PPP.

Empat orang senator baru lantik sebagai Timbalan Menteri berikutan rombakan kabinet pada 1hb. Jun, 2010 adalah Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel sebagai Timbalan Menteri Perusahaan, Preladangan dan Komoditi, Naib Presiden Kanan PPP, Datuk Maglin Denis D'Cruz sebagai Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, serta dua orang Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai dan Gan Ping Shou sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Sebelum itu dalam kabinet yang dibuatnya selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Pak Lah pada Mac, 2009 beberapa orang telah dilantik senator untuk dijadikan Menteri dan Timbalan Menteri. Diantaranya, dua orang pemimpin parti yang dijadikan Senator untuk dilantik sebagai Menterui adalah Ketua Wanita UMNO, Datuk Shahrizat Abdul Jalil sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  dan Presiden Parti Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon dijadikan Senator untuk dilantik sebagai Menteri diJabatan Perdana Menteri.

Selain dua pemimpin utama tersebut, Najib melantik 3 orang lagi sebagai Senator untuk dilantik sebagai Menteri, iaitu Mejar (B) Jamil Khir Baharom, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Datuk Idris Jala sebagai Menteri diJabatan Perdana Menteri dan Menteri wilayah Persekutuan.

Tidak cukup dengan ini, beberapa orang lagi pemimpin BN yang turut dilantik sebagai Senator untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri seperti T.Murugiah (PPP), Datuk Maznah Mazlan (UMNO), Datuk Awang Adek (UMNO), Dr. Mashitah Ibrahim (UMNO), A Kohilan Pillay (Gerakan), Chiew Mei Fun (MCA).

Najib memilih mengekalkan T. Murugiah yang berseteru dengan Presiden PPP. M Kayveas sebagai Timbalan Menteri dalam rombakan kabinet baru-baru walaupun didesak oleh PPP. Bagi meredakan kemarahan Kayveas, beliau melantik seorang lagi pemipin PPP sebagai Timbalan Menteri.

Kabinet Najib kali  ini juga janggal kerana Datuk G. Palanivel hanya dilantik sebagai Timbalan Mentei sahaja sedangkan beliau adalah  Timbalan Presiden MIC berbanding dengan Datuk Dr. S Subramaniam yang dilantik sebagai Menteri walaupun hanya menjadi naib Presiden MIC, satu tahap dibawah Timbalan Presiden.

Sama ada perkara ini terlepas pandang atau perkara ini disengajakan  oleh  Perdana Menteri keatas pemimpin MIC memnyebabkan berlaku sedikit keganjilan.  Untuk mengelak dari menggugurkan mana-mana menteri dalam rombakan kabinet baru-baru ini, Najib sepatutnya boleh melantik dua Menteri dikalangan MIC.

Kenapa Najib hendak menafikan hak kaum India diwakili sewajarnya dalam kabinet?  Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru. Sebelum dari ini pun pernah ada dua pemimpin MIC menjadi  Menteri kabinet serentak. Apakah Najib akan membuat perubahan kepada kedudukan perwakilan MIC dalam kabinet setelah G. Palanivel dilantik sebagai pemangku presiden? 

Sama-sama kita tunggu.


‘Berkempen’: Keahlian kelab pelajar UKM digantung

Posted: 18 Jun 2010 05:00 PM PDT

Empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu dan menghadapi prosiding tatatertib digantung tugas dan jawatan mereka dalam Kelab Sains Politik, universiti itu.

Menurut timbalan presiden kelab itu, Mohd Rahimi Hassan, keempat-empat mereka menerima surat penggantungan pada surat yang bertarikh 14 Jun lalu dan ditandatangani oleh ketua Jabatan Perkhidmatan Pelajar UKM, Musa Zainal Abidin Othman.

Mereka yang digantung tugas itu ialah Hilman Idham selaku presiden, Ismail Aminuddin – naib presiden, Azlin Shafina – setiausaha dan Woon King Chai selaku exco kelab berkenaan.

"Kandungan surat yang diterima menyatakan bahawa penggantungan tugas dan jawatan mereka adalah bermula daripada tarikh 2 Jun atas alasan bahawa prosiding ke atas keempat-empat mereka masih lagi belum selesai," kata Mohd Rahimi dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, keempat-empat mahasiswa itu berjaya mendapat perintah injunksi sementara bagi menghalang UKM daripada meneruskan prosiding tatatertib terhadap mereka.

Mereka pada 1 Jun lalu memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM, bagi mencabar tindakan tatatertib yang dibawa kepada mereka oleh universiti itu, atas kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU), adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

Menurut Mohd Rahimi, sehubungan dengan penggantungan itu, kelab berkenaan mengambil keputusan mengadakan mesyuarat tergemparnya pada Selasa depan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor bagi membincangkan tindakan susulan.

"Agenda mesyuarat antaranya ialah membincangkan pendirian persatuan berkenaan keputusan UKM untuk menggantung kedudukan keempat-empat ahli berkenaan," katanya.


Tiada ulasan: