Rabu, 23 Jun 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Menteri Kewangan Didakwa Lindungi Kes Penyeludupan Wang Haram Menteri Besar NS

Posted: 23 Jun 2010 05:34 AM PDT

Oleh Faizal Ezzany


KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook kesal jawapan Menteri Kewangan seolah-olah melindungi kepentingan politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan berhubung dakwaan penyeludupan wang RM10 juta ke United Kingdom pada Mac 2008.

Sebalik dalam jawapan kepada soalan lisan Anthony Loke, Kementerian Kewangan hanya memberitahu bahawa Bank Negara Malaysia telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurup wang yang terlibat dengan aktiviti pengiriman wang secara haram serta membatalkan lesen pengurup terbabit.

"Saya menerima jawapan bertulis terhadap pertanyaan tersebut yang mengatakan Bank Negara Malaysia telah mengambil tindakan menyerbu dan memulakan siasatan terhadap pengurup-pengurup wang yang terlibat dengan aktiviti pengiriman wang secara haram.

"Hasil siasatan yang telah dijalankan mendapati bahawa terdapat kegiatan pengiriman wang ke luar negara secara haram oleh pengurup-pengurup wang yang menyalahi peruntukan undang-undang di bawah seksyen 30(1) Akta Pengurup Wang 1998. Selain itu juga jawapan tersebut menjelaskan lesen pengurup terbabit telah dibatalkan oleh Bank Negara.

"Jawapan tersebut juga memberitahu tindakan undang-undang juga boleh di ambil oleh Bank Negara terhadap mana-mana pengirim dana yang membuat penghantaran dana ke luar negara secara haram," kata beliau pada sidang media di lobi parlimen tengahari tadi.

Anthony Loke kesal dengan jawapan yang diberikan kerana tidak dijelaskan apakah bentuk tindakan yang telah dikenakan ke atas Mohamad.

"Apa yang saya kesalkan tidak ada jawapan terhadap tindakan yang telah dikenakan ke atas Menteri Besar Negeri Sembilan yang telah melakukan kegiatan tersebut, kenapa perkara tersebut disembunyikan tanpa diambil tindakan.

"Kenapa jika kes yang terlibat dengan mereka daripada golongan atasan dilihat mempunyai kepentingan dan tidak dikenakan apa-apa tindakan malah kes tersebut hanya senyap begitu sahaja.

"Persoalannya kenapa hanya pengurup wang sahaja dikenakan tindakan jika didapati bersalah, mana tindakan diambil ke atas Menteri Besar tersebut yang jelas beliau yang melakukan pengiriman wang.

"Menteri Kewangan perlu memberi penjelasan terhadap persoalan tersebut, jangan membiarkan perkara itu tanpa sebarang jawapan. Kita mahu tahu status sebenar. Jika benar Mohamad Hassan tidak bersalah beritahu atau sebaliknya perlu dijelaskan, jangan biarkan kes tersebut terus menjadi tanda tanya.

"Melihat kepada jawapan tersebut timbul beribu persoalan kenapa kerajaan senyap tanpa tindakan, adakah kerana jenayah dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepentingan politik tindakan dinafikan, sedangkan semua tahu penglibatan Menteri Besar Negeri Sembilan dalam jenayah menyeludup wang keluar negara dalam jumlah yang besar," jelasnya lagi.

Sebelum itu, Anthony Loke pernah membangkitkan isu mengenai kaitan Menteri Besar Negeri Sembilan dengan Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd sebuah syarikat yang dibatalkan lesen oleh Bank Negara kerana terlibat dalam pemindahan wang ke luar negara dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan.

Menurut maklumat yang diperolehi daripada sumber dalaman, Bank Negara Malaysia mempunyai cukup bukti untuk mengaitkan Menteri Besar itu dalam pemindahan wang tersebut.

Semasa ucapan penggulungan dalam Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad terkedu dan hanya mengatakan beliau tidak berminat untuk menjawab soalan pembangkang mengenai dakwaan penglibatan beliau dalam penyeludupan wang ke luar negara.

Beliau bagaimanapun mengakui kini sedang di siasatan oleh pihak berkuasa tanpa memberi butiran lanjut mengenainya.

Khalid, Dr Syed Husin Beri Keterangan Esok

Posted: 23 Jun 2010 05:31 AM PDT

Oleh Frederick Luccas


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali dijangka memberi keterangan di Mahkamah Sesyen tengahari esok dalam perbicaraan bekas Pegawai Khas Menteri Besar, Mohd Yahya Shaari

Semalam perbicaraan mendengar keterangan daripada lima saksi pihak pendakwaraya berhubung pengesahan keterangan saksi kepada polis dan pengecaman oleh saksi dan tertuduh.

Kelima mereka adalah Ketua Cabang KEADILAN Serdang, Hamidi Abu Hasan, Supari Tinnin, salah seorang daripada panel yang menandatangani cek yang dikeluarkan kepada Yahya, dan pegawai bahagian korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan iaitu, Hassan Manaf, Syukri Hazim dan Azlinda.

Menurut peguam R Thirukumaran pendengaran keterangan menumpukan kepada keterangan saksi dan mengesahkan keterangan saksi berkenaan bidang tugas mereka dan tertuduh.

"Kita berpuashati dengan keterangan yang diberikan hari ini dan mendapati ia tidak prejudis terhadap Yahya," jelas Thirukumaran.

Mohd Yahya menghadapi dua tuduhan menipu dan menggunakan dokumen palsu di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan bagi mendapatkan sumbangan membabitkan peruntukan bernilai RM50,000 dua tahun lalu.


Umno Perak Tolak Pemberian Lesen Judi Sukan

Posted: 23 Jun 2010 05:30 AM PDT

KUALA LUMPUR: Selepas Johor, hari ini Badan Perhubungan Umno Perak membuat ketetapan yang sama bagi menolak sebarang bentuk perjudian termasuk judi sukan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendirian itu dibuat berdasarkan maklum balas daripada pelbagai lapisan masyarakat negeri itu yang mahu kerajaan menghentikan cadangan pengeluaran lesen pertaruhan judi.

"Sebagai mewakili sebuah parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanahair, Umno Perak mengambil pendirian menolak cadangan untuk memberikan lesen perjuadian ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini memberitahu pemberian lesen itu masih belum dimuktamadkan dan mengalu-alukan pendapat semua pihak mengenai perkara tersebut.

Selain itu Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata, bantahan berkenaan juga bagi mengelakkan pihak-pihak tertentu menggunakan isu berkenaan sebagai modal 'politik benci' terhadap kerajaan.

"Tindakan pihak tertentu yang cuba memanipulasikan isu untuk dijadikan modal 'politik benci' dan mewujudkan persepsi buruk terhadap kerajaan perlu dihentikan segera," katanya.

Katanya lagi, Umno Perak mengambil pendirian berkenaan juga adalah berdasarkan prinsip agama dan diikuti oleh keresahan rakyat yang tidak selesa dengan desakan pihak tertentu untuk memaksa kerajaan mengeluarkan lesen judi.

"Adalah diharapkan agar kerajaan dapat membatalkan hasrat yang dikemukakan oleh mana-mana pihak untuk meluluskan pengeluaran lesen judi," katanya

UPSR Dan PMR Patut Dikekalkan Selepas Diubah Suai - Koh

Posted: 23 Jun 2010 05:23 AM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berpendapat peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) wajar dikekalkan selepas dilakukan pengubahsuaian.

Beliau berkata ini kerana sesuatu ujian dapat memupuk semangat persaingan pada kalangan pelajar yang secara tidak langsung dapat menyediakan mereka bagi menghadapi persaingan secara umum.

"Sebagai bekas pendidik saya menganggap peperiksaan am atau awam seperti UPSR dan PMR sepatutnya dikekalkan tetapi hendaklah diubah bentuk dan juga coraknya supaya dapat dibuat bagi tujuan penilaian," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata perkara itu juga selaras dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan persaingan sihat pada kalangan rakyat menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara.

"Melalui peperiksaan kita dapat menggalakkan pelajar agar lebih berdisiplin selain memupuk semangat persaingan," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lepas bahawa kedua-dua peperiksaan itu mungkin dimansuhkan bagi memastikan tujuan utama untuk memberi pendidikan secara menyeluruh terlaksana.

Sistem sekarang dilihat berorientasikan peperiksaan semata-mata.

PERMOHONAN KERAKYATAN ‘MR UNDERWEAR’ DITOLAK!

Posted: 23 Jun 2010 05:15 AM PDT

Oleh: MOHD YATIM SUHAILI (sabahkini)



WALAUPUN 'The Touchable Mr Underwear', Michael Tien Foh yang selama ini berbangga dengan prinsip 'Ada Wang Semua Boleh Jadi' dan berjaya membeli Jabatan Perhutanan Sabah, Yayasan Sabah dan memilik peribadikan semua hutan simpan di Sabah; namun tidak mampu membeli kerakyatan Australia.

Laporan bertubi-tubi Sabahkini.net telah mensirnakan peluang Mr Underwear untuk menjadi 'Warga Australia' sebagaimana kejayaan yang ditempa oleh rakan subahatnya dalam Skandal Penggubahan Wang Haram dan Membiayai Keganasan, Ngui Ing Chuang dan Freddy Lim Nyuk Sang.

Menurut maklumat daripada koresponden Sabahkini.net di Melbourne, permohonan kewarganegaraan, termasuk taraf penduduk tetap 'Mr Underwear' sekeluarga telah ditolak oleh Kerajaan Australia kerana rekod buruk beliau dalam kes jenayah serantau terutama setelah kes penangkapan beliau di Hong Kong pada 14 Ogos 2008 disiarkan secara meluas di Australia.

Walaupun kedua anaknya, Chia Chee Chun dan Chia Chee Hung telah dipindahkan ke Melbourne dan bersekolah di sana, namun Kerajaan Australia tetap menolak permohonan 'Mr Underwear' dan isterinya Yap Loo Mein; sekalipun Ngui dan Freddy memberikan sokongan sepenuhnya.

Bagaimanapun Sabahkini.net masih menyiasat sama ada kesemua wangnya yang disimpan di Hong Kong dan Singapura yang bernilai lebih USD8 billion berjaya dipindahkan ke bank Australia atau tidak; belum dapat dikenalpasti ekoran penolakan kewarganegaraannya oleh Kerajaan Australia.

Sehingga kini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal membekukan sebarang harta 'Mr Underwear' yang disimpan di dalam dan di luar negara, sekalipun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) berjaya membekukan sejumlah USD137 juta daripada $16 juta dollar Singapura yang dirampas daripada 'Mr Underwear' ketika cuba menyeludup keluar wang tersebut melalui Lapangan Terbang Chek Lap Kok, Hong Kong pada 14 Ogos 2008.

Kejayaan ICAC ini amat memalukan SPRM yang tidak dapat menyentuh walau 'satu sen dibelah tujuh' wang dan harta 'Mr Underwear' kerana budaya kerja ICAC begitu mengkagumkan apabila dapat mengesan kegiatan 'Mr Underwear' menyerbu semua 'Money Changer' untuk membeli wang kertas dominasi $10,000 dollar Singapura kerana kecanggihan rangkaian pengawasan sehingga berjaya menangkap 'Mr Underwear' bersama $16 juta dollar dalam 'briefcase' Louis Vutton kesukaannya.

Dalam pada itu, SPRM telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Gundik 'Mr Underwear', Yap Siaw Lin @ Kiki 'Chicken' Yap yang kini dipercayai masih bersembunyi di sebuah rumah mewah di Toulouse, Peranchis.

SPRM turut menangkap semula Andrew Lim Nyuk Foh yang dibebaskan sebelum ini dan dikehendaki melapor diri setiap hari di Ibu Pejabat SPRM kerana SPRM tidak berpuas hati dengan keterangan yang diberikan; apatah lagi jet yang didaftarkan atas namanya digunakan untuk menyeludup keluar 'Mr Underwear' ke Hong Kong sebelum dipintas jet pejuang TUDM dan dipaksa mendarat di KLIA.

Sementara itu, Krew Sabahkini.net di Sandakan berjaya merakam perbualan bapa 'Mr Underwear', Chia Nyet Min (pelat Cina) dengan seorang rakannya seperti berikut;

"Lulu waktu tok mat, maika piala natuk abu tilus naik no.1. Sudah bilanja 20-30m. tak tau apa hal sikalang dia kena tangkap. Tak patutlah. Haiya simua mau lui lah. kasih banyiak takut. Dapat banyiak lui. Nanti lu tengok simua tak ala hal..lui punya hal lah. Lu olang tiak tau politik".


PKR TENOM DAPAT DITERIMA DARI PARTI LAWAN

Posted: 23 Jun 2010 05:12 AM PDT

Oleh : HALIK ZAMAN(sabahkini)



PADA sebelah petang, satu lagi sessi penyertaan masuk PKR secara beramai-ramai dari beberapa kampung di daerah Tenom. Mereka yang hadir datang dari Kg Bangkulin Tomani, Kg Marais, Kg Kuala Tomani, Kg Kaparungan dan Kg Logot Ulu Tomani.

Ketua rombongan dari Kampung Merais, Tomani, Jeffrey Yahar mengatakan mereka menyertai PKR setelah mereka mengerti arahtuju Pakatan Rakyat dan selama mereka menyertai Parti Kerajaan mereka merasa ketinggalan dari perkembangan arus perdana ekonomi negara.

"Kami rasa ada sesuatu yang tidak kena pimpinan UMNO/BN," jelas Jeffrey.

Manakala, Ampangus Bin Rian dari Kampung Logot Ulu Tomani pula memberi tahu bahawa terlalu banyak pilih kasih dalam kepimpinan UMNO/BN berhubung soal tanah dan agehan rumah PPRT di daerah Tenom.

"Mana tidaknya, kroni-kroni YB-YB sahaja yang memonopoli kerana mereka ada kabel dengan orang atasan, kami yang tidak ada kabel cuma pandang dan lihat sahaja kerakusan mereka," kata Ampangus dengan nada kesal.

Seperti biasa, apabila mereka diajukan pertanyaan mengapa ingin menyertai PKR, rata-rata menjawab bahawa mereka telah puas diperalatkan oleh wakil-wakil rakyat BN yang hanya mengutamakan kepentingan sendiri dan kroni sahaja.

Penduduk kampung yang hadir juga merakamkan rasa kecewa kepada ketidak-pedulian wakil rakyat yang mewakili mereka selama ini. Mereka telah memberikan cukup ruang dan peluang kepada wakil-wakil rakyat BN untuk melaksanakan tugas mereka dengan jujur, namun setelah sekian lama mereka rasa peluang dan ruang yang mereka berikan tidak dimanafaatkan sepenuhnya untuk kepentingan pengundi yang telah bersusah-payah mengundi mereka.

Dari Kampung Kungkular, Tomani pula, Ansapar Undok mengeluh kerana kos hidup rakyat di kampung-kampung begitu melambung tinggi kerana harga barang dinaikkan sesuka hati tanpa kawalan sedangkan pendapatan mereka semakin merosot.

Wakil Rakyat BN disifatkan lebih menitik-beratkan kepentingan sendiri dan kroni-kroni. Semua permasalahan pengundi dianggap remeh, malah mahu melihat wajah mereka pun payah.

Bagaimana wakil-wakil rakyat BN ini mampu menjadi pemimpin yang baik sekiranya mereka gagal melaksanakan tugas dan amanat yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka selama ini.

Maka kerana itulah, mereka bertekad dan membulatkan semangat untuk menyertai PKR dan berharap PKR mampu merubah senario kemiskinan mereka seandainya berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan di Sabah.

Dahulukan Reformasi Pendidikan Sebelum Pemansuhan Peperiksaan,

Posted: 23 Jun 2010 05:08 AM PDT

MERDEKA REVIEW



Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak kerajaan agar memberi fokus kepada reformasi pendidikan negara sebelum melaksanakan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR.

AMK Selangor melihat agenda reformasi pendidikan khususnya halatuju dan pemerkasaan pendidikan negara perlu diberi perhatian agar sistem pendidikan negara mampu mengangkat potensi pelajar yang lebih berkeyakinan, berakhalak tinggi dan mampu bersaing di peringkat global.

Kita mencadangkan kepada kerajaan dalam usaha memperkasakan pendidikan negara, pembelajaran vokasional dan teknik boleh dimulakan seawal Tingkatan 1. Ianya untuk memastikan apabila pelajar tamat Tingkatan 5, mereka boleh menguasai kemahiran pada tahap yang lebih tinggi daripada sekarang. Justeru mereka lebih berdaya saing serta bersedia jika memasuki pasaran kerja.

AMK Selangor juga berharap agar para pelajar negara ini tidak dijadikan ujikaji perlaksanaan sesuatu dasar tanpa kajian mendalam daripada pakar-pakar dan pandangan rakyat. Apa yang lebih utama ialah kita mampu menyediakan pembelajaran untuk pelajar dapat bersaing di masa hadapan. Bukan sekadar memberi pengajaran yang akhirnya tidak dapat dipraktikkan dalam realiti kehidupan sebenar.

Kita juga menggesa kerajaan menumpukan kepada aspek reformasi pendidikan yang mendidik pelajar ke arah pembangunan insan yang cemerlang dalam semua aspek. Kebejatan sosial dan kemerosotan disiplin para pelajar perlu diperbaiki dan diambil perhatian dan bukan sekadar menumpukan aspek peperiksaan sahaja.

Justeru, kita yakin bahawa reformasi pendidikan itu perlu dilaksanakan segera agar Malaysia mampu melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global, inovatif dan berintegriti tinggi.

*Kenyataan media oleh Khairul Anuar Ahmad Zainuddin selaku Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor dari Parti Keadilan Rakyat.

Kerajaan diminta perkenal undang-undang murtad seragam

Posted: 23 Jun 2010 05:04 AM PDT


KUALA LUMPUR — Undang-undang berkaitan dengan isu murtad di Malaysia perlu diseragamkan memandangkan ia berbeza antara negeri, malah terdapat negeri yang tidak mengenakan hukuman ke atas mereka terlibat dalam murtad.

Koordinator Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, walaupun bidang kuasa terletak di bawah setiap negeri, usaha perlu dibuat di peringkat persekutuan terutama melalui Mesyuarat Majlis Raja-raja supaya satu undang-undang murtad dapat diperkenalkan.

"Hari ini kita lihat setiap negeri mempunyai undang-undang murtad tersendiri dan ia berlainan antara negeri, malah ada yang tidak mengenakan hukuman kepada pesalah murtad.

"Sebagai contoh Pahang, Perak, Terengganu, Sabah dan Melaka mengenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda RM5,000 atau sebatan sehingga enam kali (Pahang)," katanya.

Bagi Sabah, Kelantan dan Melaka, pesalah murtad ditahan secara mandatori di Pusat Pemulihan Akidah.

Selain itu menurut beliau, di Sabah dan Kelantan seseorang Islam yang keluar atau berhasrat untuk keluar Islam boleh ditahan di Pusat Pemulihan Akidah untuk tempoh tidak lebih 36 bulan dan di Melaka hanya diperuntukkan selama enam bulan.

Di Negeri Sembilan pula, katanya, seseorang yang ingin keluar Islam atau yang telah murtad perlu terlebih dahulu memohon kepada Mahkamah Syariah dan permohonan itu disalurkan kepada mufti untuk mengendalikan kaunseling kepada pemohon.

"Justeru, adalah wajar sekiranya kerajaan menyeragamkan undang-undang murtad bagi semua negeri," kata beliau dalam kertas kerja bertajuk "Murtad dan Kebebasan Beragama" pada Seminar Hak Asasi Manusia: Ke Arah Pemurnian Kefahaman" di Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Beliau berkata institusi pentadbiran agama setiap negeri perlu memainkan peranan dalam mendidik muallaf.

"Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti setiap negeri juga mesti berperanan dalam mendidik muallaf terutama yang memeluk agama Islam.

"Ini kerana mereka (muallaf) tidak boleh dibiarkan sahaja apabila memeluk agama Islam. Kita tidak mahu kes-kes permohonan keluar Islam bertambah di Mahkamah Syariah.

"Justeru, dalam mengendalikan permohonan murtad, jabatan-jabatan mufti disaran supaya menekankan proses rundingcara akidah dengan bijaksana," katanya.

Pelajar baru IPT boleh tangguh bayar yuran jika tak mampu

Posted: 23 Jun 2010 04:59 AM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR - Pelajar yang bakal mengikuti pengajian di universiti boleh memohon menangguhkan pembayaran yuran kemasukan mereka jika tidak berkemampuan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu boleh dilakukan menerusi perbincangan dengan pihak universiti.

Keperluan menjelaskan yuran pendaftaran kemasukan ke universiti seperti yuran sekali seperti wang hemat diri, yuran minggu haluan siswa dan kad matrik tidak harus menjadi halangan bagi pelajar untuk meneruskan pengajian.

"Dalam hal ini mereka tidak perlu khuatir mengenai perkara tersebut. Ini kerana jika mereka mempunyai kesulitan untuk membayar yuran berkenaan perbincangan boleh dibuat dengan pihak universiti," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan mengenai penangguhan itu akan dibuat pihak universiti selepas perbincangan tersebut.

6 gerabak muatan gula tergelincir dekat Kluang

Posted: 23 Jun 2010 04:57 AM PDT

BERNAMA



Enam gerabak kargo bersama muatan gula tergelincir di KM653.5-KM654.5 antara Paloh ke Chamek, dekat Kluang, awal pagi ini.

Pemangku Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Fazil Ismail, berkata ketika kejadian jam 2.43 pagi itu, kereta api 30 gerabak itu dalam perjalanan dari Prai, Pulau Pinang, ke Singapura.

"Akibat daripada kegelinciran itu, lapan perkhidmatan tren KTM Intercity mengalami gangguan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perkhidmatan terbabit adalah:

* Ekspres Sinaran Pagi (Kuala Lumpur-Singapura) - tren ditamatkan di Stesen Segamat dan penumpang dipindahkan menggunakan perkhidmatan bas ke Stesen Kluang sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren ke Singapura.

* Ekspres Rakyat (Singapura-Butterworth) - tren ditamatkan di Stesen Kluang dan penumpang dipindahkan menggunakan perkhidmatan bas ke Segamat sebelum meneruskan perjalanan ke Butterworth menggunakan tren.

* Ekspres Timuran (Tumpat-Johor Baharu) - tren ditamatkan di Stesen Segamat dan penumpang dipindahkan ke Stesen Johor Baharu menggunakan bas.

* Ekspres Senandung Malam (Kuala Lumpur-Singapura) - tren ditamatkan di Labis dan penumpang dipindahkan menggunakan bas ke Stesen Kluang sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura menggunakan tren.

* Ekspres Rakyat - tren dari Kuala Lumpur ke Singapura dibatalkan. Walau bagaimanapun, tren dari Butterworth ke Kuala Lumpur masih beroperasi seperti biasa.

* Ekspres Lambaian Timur (Tumpat-Singapura) - tren ditamatkan di Stesen Gemas.

* Ekspres Lambaian Timur (Singapura-Tumpat) - Tren bermula dari Gemas ke Tumpat.

* Ekspres Sinaran Petang (Singapura-Kuala Lumpur) - perkhidmatan dibatalkan.

Mohd Fazil berkata, kerja-kerja membaik pulih landasan dijangka siap pada lewat malam ini.

"Bagi perkhidmatan yang dibatalkan atau mengalami kelewatan lebih dari dua jam, pengguna boleh mendapatkan semula tambang penuh perjalanan atau menukar tarikh perjalanan di mana-mana kaunter KTM Intercity," katanya.

KTMB, katanya, memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan orang ramai boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di 1-300-88-5862 untuk maklumat lanjut.

Sistem taksiran sekolah ganti peperiksaan awam

Posted: 23 Jun 2010 04:56 AM PDT

BERNAMA



Sistem pentaksiran berasaskan sekolah mungkin akan digunakan untuk menggantikan sistem peperiksaan awam di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, menerusi sistem itu, Lembaga Peperiksaan akan menentukan bentuk soalan yang boleh dinilai oleh guru dan kemudian akan diukur pencapaiannya.

"Kita gantikan sistem peperiksaan awam kepada satu sistem pentaksiran berasaskan sekolah, ini belum dimaklumkan tetapi sudah dikaji dan didapati mungkin sesuai kerana ia diamalkan di banyak negara.

"Mungkin ia tidak banyak beza berbanding negara lain, pokoknya ia tidak menjejaskan soal pembelajaran iaitu cara guru mengajar dan murid belajar adalah sama, tetapi bagaimana kita hendak nilai, sama ada peperiksaan awam atau sistem penilaian," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) bagi kementeriannya persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan sesuatu dasar seperti cadangan kemungkinan supaya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan.

"Ramai pakar kata sepatutnya dah lama buat, tetapi kenapa kita buat sekarang, kita dah lama buat kajian iaitu sejak 2007 lagi kementerian ada pasukan yang meneliti isu yang berbangkit," katanya.

Beliau berkata, langkah mengurangkan peperiksaan awam ini dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek perbelanjaan mengurus, penggunaan sumber manusia dan mengurang beban tugas guru untuk mengendalikan proses peperiksaan.

Mengenai rombakan sistem pendidikan teknik, vokasional dan kemahiran untuk dijadikan pendidikan arus perdana, Muhyiddin berkata kerajaan akan menambah bilangan sekolah vokasional dengan bentuk kurikulum baru serta latihan yang jauh berbeza daripada apa yang ada sekarang khususnya berkaitan dengan bidang yang mempunyai hubung kait dengan negara pada masa kini.

"Saya sendiri pengerusikan mesyuarat di peringkat kementerian untuk meneliti semua perkara berkenaan rombakan besar kepada pendidikan vokasional, kurikulum, infrastruktur, kemudahan dan latihannya akan diumumkan untuk pengetahuan ahli Yang Berhormat dalam masa terdekat," katanya.

Berkenaan program Permata Negara yang akan diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pelajaran, Muhyiddin berkata pada masa ini kementerian sedang melaksanakan pelbagai persiapan rapi khususnya daripada segi pengurusan dan pentadbiran program itu.

Beliau juga berkata, pada masa ini kementerian pada peringkat akhir melaksanakan auditan ke atas semua sekolah dan seterusnya akan menetapkan keutamaan berdasarkan kepada keperluan sesebuah sekolah.

"Dalam konteks ini, sekolah yang benar-benar memerlukan peruntukan akan diberi keutamaan dan pertimbangan yang sewajarnya. Soal lokasi atau jenis sekolah tidak timbul, semua sekolah akan diberi perhatian khusus supaya persekitaran dan pembelajaran yang kondusif dapat diwujudkan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, dalam menentukan senarai projek pembangunan dalam RMK-10, laporan audit tersebut akan diguna pakai sepenuhnya di mana penetapan pembinaan sekolah baru atau penambahbaikan berdasarkan kepada keperluan, bukan berasaskan desakan mana-mana pihak.

"Selain itu, saya juga telah mengarahkan kepada kementerian supaya membuat penilaian yang telus dalam pemberian bantuan kepada murid yang benar-benar layak menerimanya.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak khusus di bawah kementerian saya yang tidak amanah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata secara keseluruhannya, sebanyak RM26.093 bilion telah diperuntukkan kepada kementerian dengan jumlah 15,324 projek termasuk tambahan 808 projek di bawah Pakej Ransangan Ekonomi.

"Sehingga 15 Jun lalu, sebanyak 8,870 projek telah berjaya disiapkan, 5,312 projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan manakala 942 projek akan bersambung ke RMK-10," katanya.

Bagi prestasi perbelanjaan pula, Muhyiddin berkata sehingga 31 Mei lalu, kementerian telah membelanjakan sebanyak RM16.668 bilion iaitu 85.12 peratus daripada keseluruhan siling yang ditetapkan, dan dijangka akan dapat membelanjakan keseluruhan peruntukan tersebut menjelang akhir tahun ini.


'Ekonomi hawa tidak dipeduli dalam RMK10'

Posted: 23 Jun 2010 04:32 AM PDT

MALAYSIA KINI



Dunia sudah mengiktiraf dan mengikuti arus 'ekonomi hawa' sebagai keajaiban ekonomi masa kini yang boleh memacu ekonomi sesebuah negara, kata ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

"Ekonomi hawa yang merupakan kuasa beli wanita terhadap barangan pengguna dianggap sebagai peluang pasaran terbesar di dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semakin ramai wanita Malaysia yang mendapat pendidikan tinggi dan rancak melibatkan diri dalam sektor pekerjaan dengan pola sosial yang semakin berubah.

"Wanita bekerja mempunyai pendapatan sendiri dan kuasa beli mereka mampu memacu ekonomi negara jika barangan dan perkhidmatan tempatan boleh memenuhi keperluan dan kehendak pembeli wanita ini.

"Ekonomi hawa ini berupaya untuk membawa negara keluar dari krisis ekonomi yang sedang dihadapi!" tegasnya.

Malang sekali, katanya, perubahan kuasa beli wanita Malaysia ini tidak dihiraukan potensinya oleh kerajaan Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK).

"Kerajaan Malaysia tidak mahu meneladani usaha negara-negara maju untuk memanfaatkan potensi dalam ekonomi hawa ini.

"Kerajaan Malaysia BN dengan jumlah kakitangan awam yang gemok-gedempol seramai 1.2 juta, masih tidak dapat menangkap arus ekonomi dunia dengan cekap dari seawal perancangan ekonomi untuk lima tahun akan datang," katanya.

Menurut Zuraida lagi, kerajaan BN gagal merancang dan memanfaatkan 'ekomoni hawa' yang dikawal oleh separuh dari penduduknya iaitu wanita.

"Jika begitu, bagaimana hasrat Malaysia hendak mencapai taraf negara berpendapatan tinggi?

"Jika kerajaan BN terus-menerus tidak mengendahkan potensi ekonomi hawa ini, bukan setakat ekonomi negara akan menderita, begitu juga agenda pemberdayaan wanita dalam penyertaan politik dan pembuatan keputusan sektor awam turut akan terbantut," tambahnya

Saman malu: Anwar, Khairy, diarah kemuka rayuan

Posted: 23 Jun 2010 04:28 AM PDT

BERNAMA



Peguam bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diperintah untuk mengemukakan hujah bertulis berhubung rayuan Khairy dalam kes saman malu bernilai RM100 juta oleh Anwar terhadapnya.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nazri Yahya menetapkan 19 Julai untuk pengurusan kes seterusnya selepas menemui peguam di kamarnya hari ini.

Khairy memfailkan notis rayuan terhadap penolakan permohonannya untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang diperoleh Anwar terhadapnya dalam saman malu itu.

Pada 31 Mei, Nazri menolak permohonan Khairy untuk mengetepikan permohonan itu dengan kos untuk mengetepikan keputusan penghakiman ingkar oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Disember, 2008 selepas Khairy gagal memasukkan kehadiran dalam kes itu.

Nazri memutuskan bahawa serahan writ saman kepada Khairy adalah sah dan tidak ada merit dalam kenyataan pembelaan Khairy.

Anwar, 63, memfailkan saman terhadap Khairy sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO ketika itu berhubung kenyataannya dalam satu ceramah di Lembah Pantai di sini sekitar 20 Feb 2008 dan membawa kepada penyiaran klip video di beberapa laman web termasuk Malaysiakini.com., bertajuk "Anwar and kin no threat".

Anwar mendakwa perkataan fitnah itu, antara lain, bermaksud beliau terbabit dalam aktiviti yang bertentangan dengan Islam, tidak mempunyai perwatakan baik dan tidak layak memegang jawatan politik atau jawatan lain.

Rakyat Sabah merempat di ibu negara

Posted: 23 Jun 2010 04:27 AM PDT

Christine Chan

Dianggarkan kira-kira 100,000 rakyat Sabah menetap di lembah Klang. Bagaimanapun kebanyakan golongan muda itu kini hidup merempat.

Menurut Hiew King Cheu (DAP-Kota Kinabalu), sesetengah rakyat Sabah itu tidak berpendidikan dan hidup mengemis bagi mendapatkan makanan di belakang restoran seperti KFC dan McDonald, manakala wanitanya ada yang terjebak dalam lembah pelacuran.

"Mereka ke mari dengan harapan mjencari pekerjaan. Bagaimanapun sesetengah mereka ditipu oleh agensi pekerjaan dan terbiar tanpa sebarang wang untuk pulang. Ada juga yang malu untuk pulang semula..

"Kerajaan Sabah cuba mengaturkan supaya sesetengah mereka dihantar pulang dengan membayar tambang penerbangan dan memberi merek wang saku, tetapi ini tidak membantu. Situasi semakin buruk apabila semakin ramai yang datang," katanya.

Justeru, kata Hiew Pakatan Rakyat akan menganjurkan sebuah forum pada 4 Julai ini di Perpustakaan awam Petaling Jaya bagi menjemput rakyat Sabah datang dan meluahkan masalah mereka.

"Kami berharap ramai yang akan datang dan memberitahu kami masalah dan situasi sebenar mereka. Pemimpin utama Pakatan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang and Tan Sri Khalid Ibrahim akan juga datang bagi berjumpa dengan mereka.

"Kami melihat tindakan itu sebagai tanggungjawab Pakatan kerana Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan menjadi tugas kita membantu mereka," katanya.

Beliau juga mencadangkan sebuah jawatankuasa atau pertubuhan diadakan bagi membantu rakyat Sabah di Lembah Kelang dan juga seluruh semenanjung.

Kata Hiew, rakyat Sabah merantau mencari pekerjaan di semenanjung kerana kurangnya peluang pekerjaan di negeri itu.

"Gaji dan jawatan bagi golongan muda di Sabah, lazimnya dibolot oleh orang asing. Adalah lebih murah menggajikan pekerja asing di Sabah. Saya tidak menyalahkan majikan. Ada pendatang asing tanpa izin juga bekerja di sektor perladangan dan perkilangan.

"Kerajaan berjanji akan mewujudkan ribuan pekerjaan tetapi ia tidak berlaku. Ini adalah bukti kerajaan negeri gagal mencarikan pekerjaan untuk golongan muda di Sabah," katanya.

Terorisme: Bekas MB mahu saman pegawai JAKIM

Posted: 23 Jun 2010 04:26 AM PDT

Jimadie Shah Othman

Bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pegawai kanan daripada sebuah institut kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana didakwa membuat kenyataan tidak benar tentang dirinya.

Shahidan berkata kenyataan Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Zamihan Mat Zin yang didakwa mengaitkannya dengan aliran Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI) itu merosakkan nama baiknya.

"Takkanlah saya ini pengganas. Saya ini ahli sukan. Saya rasa sayalah orang yang paling banyak masuk persatuan sukan di negara ini," katanya yang juga presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM).

Shahidan bagaimanapun belum lagi menentukan masa bagi memfailkan samannya itu.

Malaysiakini difahamkan dalam mesyuarat anti-keganasan anjuran pihak polis di Kuala Lumpur Isnin lalu - yang melibatkan pegawai tertingginya - Zamihan memberikan penerangan tentang 'hubungan' Dr Asri dengan Wahabi dan JI.

Menurut sumber-sumber, selain beliau, turut dikaitkan sama dengan 'lingkaran' itu, antaranya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan mufti Perlis sekarang Dr Juanda Jaya.

Dr Asri dan Dr Juanda hari ini turut menafikan dakwaan itu.

Shahidan: 'Binatang' apa itu Wahabi?

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini Shahidan berkata walaupun terdapat dakwaan negatif terhadapnya itu, beliau yakin pihak polis tidak akan mempercayainya kerana "polis tahu pergerakan saya".

"Pihak polis pun tahu (dakwaan) itu tidak betul," katanya yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno.

Bagaimanapun beliau mempertikaikan bagaimana pegawai terbabit dijemput menyampaikan taklimat sebegitu sendangkan "(kewibawaan) dia sendiri boleh dipertikaikan".

"Kenapa tidak panggil ketua pengarah JAKIM? Dia (Zamihan) bukan pegawai tinggi. Zamihan ini siapa?" soal Shahidan kembali.

Shahidan juga mendakwa beliau sendiri tidak tahu menahu apakah maksud Wahabi yang dimaksudkan pelbagai pihak di negara ini.

"Siapa Wahabi? 'Binatang' apa itu Wahabi? Ada tanduk atau tak ada tanduk? Kami di Perlis ini tak tahu apa itu Wahabi?" katanya separa berseloroh.

Usaha Malaysiakini menghubungi Zamihan setakat ini masih belum berhasil.

Malware ganggu pembaca Malaysiakini

Posted: 23 Jun 2010 04:22 AM PDT

MALAYSIA KINI


Sejak Sabtu, 19 Mei lalu, Malaysiakini menerima maklum balas daripada beberapa pembaca bahawa mereka menerima amaran daripada perisian anti-virus mereka apabila melawat lamanweb Malaysiakini.com.

Amaran itu mengingatkan pembaca Malaysiakini bahawa mereka mungkin dihubungkan ke URL yang tercemar dikenali sebagai 'ejdueyhs123.com'

"Kakitangan teknikal Malaysiakini, telah melakukan pemeriksaan rapi di lamanwebnya tetapi tidak menjumpai sebarang sektor yang mempunyai URL yang mengancam itu," kata ketua pegawai eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran hari ini.

"Justeru, kami ingin memberi jaminan kepada pembaca yang lamanweb Malaysiakini tidak tercemar dengan sebarang virus dan tidak ada risiko bagi pembaca untuk melayarinya."

Chandran berkata adalah dipercayai bahawa masalah itu berpunca daripada banner atau iklan pihak ketiga yang secara automatik memuat-naikkan iklan mereka di laman Malaysiakini.

"Oleh kerana kami tidak dapat mengesahkan punca masalah itu, maka Malaysiakini akan menghalang semua iklan pihak ketiga di laman kami bermula hari ini. Kami percaya ini akan menyelesaikan masalah berkenaan," kata Chandran.

Beliau memohon pembaca supaya memaklumkan kepada malware@malaysiakini.com sekiranya mereka terus menerima ancaman virus berkenaan selepas jam 12 tengah hari esok.

"Kami berharap menjelang tempoh itu, semua platform perisian anti-virus yang digunakan oleh pembaca akan dikemaskini oleh data baru ini.

"Dan jika ada pakar teknologi yang boleh membantu kami mengatasi masalah itu, tolong emel kami di alamat berkenaan," kata Chandran sambil memohon maaf kepada pembaca yang terganggu dengan masalah itu

Pua: Kelewatan pembinaan hospital, mana tindakan?

Posted: 23 Jun 2010 04:20 AM PDT

MALAYSIA KINI



Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mahu Kementerian Kerja Raya menjelaskan mengapa kontraktor yang dilantik membina Hospital Shah Alam - Sunshine Fleet tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun dikatakan 'mengali-babakan' kontrak kepada Syarikat Isyoda Malaysia Sdn Bhd.

Katanya, pembinaan hospital tersebut bukan sahaja diali-babakan, tetapi juga lewat 233 hari daripada jadual asal.

"Saya difahamkan jumlah pekerja dikurangkan kerana subkontraktor tidak dibayar. JKR menyatakan pihaknya sudah menjelaskan tunggakan bayaran tetapi kontraktor yang tidak melunaskan bayaran itu kepada sub kontraktornya. Sebab itu ada masalah kewangan," kata Pua pada sidang medianya di lobi parlimen hari ini.

Beliau juga berkata yang dia hairan kerana tiada tindakan diambil.

"Kesan kontrak disubkan kepada kontraktor yang lain. Mereka tidak perlu membuat sebarang kerja tetapi mendapat untung bersih. Ini bercanggah dengan syarat kontrak JKR. Kenapa tidak diambil tindakan?" soal Pua.

Proj
ek pembinaan Hospital Shah Alam ditawarkan Kementerian Kewangan secara rundingan terus kepada syarikat Sunshine Fleet Sdn Bhd dengan harga kontrak RM482.6 juta.

Sementara itu, Kementerian Kerja Raya dalam jawapan lisannya memaklumkan bahawa projek hospital berkenaan dijangka siap pada 26 Jun 2011 berikutan terdapat kelulusan tempoh lanjutan masa (EOT) selama 233 hari akibat faktor luar kawalan, seperti kenaikan harga bahan binaan di pasaran dan masalah pengalihan utiliti.

"Sehingga 15 Jun lalu, kemajuan kerja di tapak projek berjalan lancar dan hampir mengikut jadual asal iaitu 25.3 peratus berbanding 25.4 peratus dengan tempoh kelewatan dicatat hanya tiga hari," kata menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata, sehingga kini Jabatan Kerja Raya telah menjelaskan 29 kali bayaran interim kepada kontraktor terbabit dengan jumlah bayaran sebanyak RM122.5 juta, iaitu merujuk kepada nilai kerja semasa yang dilaksanakan.

Beliau menjawab soalan Tony Pua (DAP-PJ Utara) sama ada kementerian mengambil maklum mengenai berlakunya perselisihan faham antara subkontraktor dan kontraktor utama yang membina Hospital Shah Alam akibat masalah pembayaran.

Shaziman dalam jawapannya berkata pihaknya sedang meneliti akta yang sesuai untuk membela nasib subkontraktor yang tidak mendapat bayaran projek daripada kontraktor utama.

Katanya, kementerian sentiasa mengambil perhatian terhadap isu itu dan mengambil maklum berlakunya kes saman menyaman antara kedua-dua pihak akibat masalah pembayaran.

Beliau berkata, melalui kontrak yang dimeterai kerajaan bersama kontraktor, kerajaan hanya bertanggungjawab terhadap kontraktor utama yang melaksanakan projek dan tidak dapat mengambil tindakan jika mereka melaksanakan projek mengikut jadual dan menjalankan kerja mengikut spesifikasi.

"Sehubungan itu, kementerian kini dalam proses melihat permohonan satu akta untuk membantu subkontraktor yang tidak mendapat bayaran daripada kontraktor utama," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) mengenai perancangan kerajaan untuk memastikan kos pembinaan hospital tidak terlalu tinggi, Shaziman berkata kebanyakan kos pembinaan bangunan hospital adalah sama.

"Yang membezakannya hanyalah peralatan yang digunakan. Jika guna banyak peralatan canggih, berteknologi tinggi, tentulah kos hospital itu lebih mahal daripada yang lain," katanya.

Isu Felda: Laporan polis dibuat terhadap PM

Posted: 23 Jun 2010 04:17 AM PDT

Zulaikha Zulkifli

Laporan polis akan dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di seluruh negara berhubung isu kejatuhan rizab tunai Felda yang merosot daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada RM1.35 bilion tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman berkata, laporan polis juga akan dibuat terhadap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan atas perkara yang sama.

Mazlan berkata, ia kerana alasan dalam jawapan Ahmad di Parlimen mengenai sebab kejatuhan rizab tunai Felda itu, tidak masuk akal.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat 16 Jun lalu, Hamim Samuri (BN-Ledang) menyoal timbalan menteri tersebut berhubung status kewangan Felda dan perincian bagaimana wang itu dibelanjakan bagi tujuan pembangunan masyarakat.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahmad yang juga ketua penerangan Umno menjelaskan status kewangan Felda adalah RM4.08 bilion pada 2004, jatuh kepada RM1.35 bilion pada 2009.

Katanya, perbezaan tersebut berlaku kerana ia digunakan untuk tujuan kebajikan - RM2 bilion untuk tanaman semula, RM603 juta untuk pinjaman rumah tanpa faedah, RM253 juta bagi tabung pembasmian kemiskinan Sabah dan RM662 juta untuk pembinaan ibupejabat baru Felda.

"Isu ini sangat besar kerana membabitkan wang rakyat. Ke mana pergi duit itu? Saya mengharapkan siasatan terhadap isu ini dibuat," kata Mazlan ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Hari ini, Mazlan bersama empat orang peneroka felda Pahang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pada jam 10 pagi tadi, dengan diiringi oleh 30 peneroka Felda.

Laporan polis tersebut ialah mengenai relevannya Felda membiayai dana khas kemiskinan Sabah sedangkan penempatan peneroka di negeri tersebut terlalu kecil.

"Felda Plantation, Estet Felda yang terbesar di Malaysia terletak di Felda Gugusan Sahabat (Sabah). Kenapa tidak digunakan keuntungan dari Felda itu (Plantation),'' laporan polis tersebut dipetik.

Laporan itu juga menyebut, harga bangunan baru Felda setinggi 50 tingkat yang dibina di Platinum Park KLCC yang mencecah RM662 juta, juga dipertikai.

Ia memetik laporan akhbar Berita Harian sisipan khas 26 Februari 2008, yang menyebut bangunan tersebut ialah RM640.77 juta.

"Wang peneroka Felda telah dibazirkan sesuka hati. Adakah betul untuk kepentingan rakyat atau kegiatan politik kerajaan BN kerana Felda adalah talian hayat terakhir mereka," laporan polis itu dipetik.

Laporan polis itu mendakwa, penyelewengan dan salahguna kuasa tersebut membabitkan kepentingan 112,635 openeroka dan 800,000 generasi baru Felda.

Sementara itu, Mazlan berkata, laporan polis yang sama akan dibuat oleh ANAK di Johor Jumaat ini dan diikuti oleh negeri-negeri lain selepas itu.

Najib: K'jaan belanja RM37.7 juta di Sibu

Posted: 23 Jun 2010 04:15 AM PDT

MALAYSIA KINI



Sejumlah RM37.7 juta dana dibelanjakan pada pilihan raya kecil Sibu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat hari ini.

"Bagi pilihan raya kecil Sibu, kerajaan meluluskan 107 program atau rancangan yang bernilai RM37.7 juta untuk dilaksanakan di seluruh kawasan parlimen itu," kata Najib.

Dana itu untuk dibelanjakan bagi infrastruktur fizikal, sumbangan dan bantuan tunai sertai program sosial.

Menurut carta yang dibekalkan oleh Najib sejumlah RM28.7 juta dibelanjakan bagi sumbangan dan bantuan tunai semata-mata.

"Kerajaan tidak pernah menjanjikan program atau projek kepada rakyat semasa kempen pilihan raya di seluruh negara termasuk di Sibu," katanya.

"Program dan projek yang dilaksanakan semasa pilihan raya kecil dirancang sebelum pilihan raya berkenaan diumumkan."

Najib menjawap soalan daripada Wong Ho Leng (DAP-Sibu), yang berjaya merampas kerusi Sibu daripada BN dengan majoriti tipis pada pilihan raya kecil 16 Mei lalu.

Bercakap kepada wartawan di lobi Parlimen, Wong membidas kerajaan kerana gagal membekalkan senarai pecahan penuh berhubung bagaimana wang berkenaan disalurkan.

Katanya, 66 sumbangan kewangan amat dicurigai dan kerajaan sepatutnya memberi penjelasan terperinci.

"Kita tidak tahu apa 66 barangan ini. Adakah ia termasuk RM5 juta yang dijanjikan? Adakah ia termasuk RM18 juta yang diberikan kepada sekolah vernakular? Bagaimana pula wang untuk gereja?

"Ada yang disalurkan ke kategori 'fizikal' dan 'program'. Rakyat berhak tahu mengenai pecahan perbelanjaan itu," katanya.

"Yang nyata, dana RM37 juta ini menunjukkan bahawa BN akan hanya berbelanja semasa pilihan raya kecil. Justeru, tidak menghairankan rakyat suka pilihan raya kecil."

Najib sebelum ini dikecam selepas menjanjikan RM5 juta projek tebatan banjir kepada pengundi di Rajak Park dengan syarat BN memenangi pilihan raya itu.

JI: Sandiwara Najib yang tidak meyakinkan

Posted: 23 Jun 2010 04:10 AM PDT

Nuridah Mohd Salleh


Minggu ini kita dihidangkan dengan satu sandiwara politik mengenai ancaman keganasan terhadap apa yang dilabel sebagai "Jemaah Islamiah" – JI oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan sepupunya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin sebagai pelakon utamanya dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bertindak sebagai pelakon pembantu.

Tan Sri Musa Hassan mendakwa bahawa kononnya pengganas merancang untuk memusnahkan kuil Batu Caves di Kuala Lumpur dan kuil Kuan Yin di Air Itam, Pulau Pinang tanpa membentang bukti-bukti sahih.

Kita cuba diyakinkan bahawa JI adalah sebuah kumpulan pengganas yang didakwa mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda, organisasi yang dilabelkan oleh Amerika Syarikat sebagai pertubuhan pengganas Islam, sedang menyusup masuk ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia untuk merekrut anggota-anggota barunya dari kalangan pelajar-pelajar tempatan dan luar negeri.

Sandiwara ini dilihat tidak meyakinkan dan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) memang tidak mempercayai dakwaan ini. DMPP juga mengutuk sekeras-kerasnya usaha-usaha yang boleh dianggap sebagai sengaja mereka cipta dan menyiarkan kenyataan palsu tanpa bukti dan secara halus memburuk-burukkan Islam dan umat Islam di negara ini.

DMPP bersama-sama menyokong pengerusi kumpulan hak asasi manusia, Citizens International, SM Idris mendesak agar dakwaan wujudnya aktiviti-aktiviti pengganas yang dikaitkan dengan JI ini perlu dibuktikan serta membawa mereka ke muka pengadilan mahkamah terbuka. Juga untuk membuktikan bahawa Malaysia ditadbir oleh sebuah kerajaan yang berintregriti dan mengutamakan norma-norma kerajaan yang maju dan bertamadun.

Sebenarnya semua dakwaan penglibatan JI dan penyebaran propaganda hitam unit Polis Indonesia Detachment 88 yang diwujudkan dan dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat dan Australia adalah usaha terdesak Najib untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap isu-isu yang sedang melanda negara sekarang. Ianya juga dapat ditafsirkan sebagai usaha terdesak beliau untuk meyakinkan Presiden Obama bahawa Malaysia adalah sekutunya dalam isu pengganas tersebut.

Terlalu banyak isu-isu yang sedang menghimpit pentadbiran Najib tanpa penyelesaian yang baik dan selesa sekarang. Isu lesen judi sukan "sports betting" di mana PAS bersama-sama NGO akan mengadakan himpunan 100 ribu rakyat pada 3 Julai ini, menampakkan bahawa beliau telah silap langkah dan menaikkan kemarahan rakyat terhadap gejala kerosakan yang berpunca dari judi.

Kejutan kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa Malaysia akan jatuh bankrap dalam tempoh 9 tahun akan datang bagi mengiyakan tindakan pemansuhan subsidi yang akan mengakibatkan kenaikan harga barangan memaparkan kemelut ekonomi yang melanda negara kini.

Dalam isu pindaan Akta ISA yang akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Julai ini juga dilihat antara tindakan awal agar dapat menakut-nakut dan meyakinkan rakyat akan keperluan ISA dan pindaan yang akan dibuat.

Ianya juga boleh dilihat sebagai satu alasan terancang untuk mengabsahkan tindakan menyerbu, menangkap dan menghantar pulang 9 orang pelajar asing kebanyakannya dari Timur Tengah di Gombak tidak lama dulu.

Di samping secara halus menakut-nakut pelajar-pelajar IPTA/IPTS dan kalangan akademik tempatan dan asing. Selama ini sedikit ruang yang dibuka dari Akta AUKU yang mencengkam aktiviti-aktiviti pelajar dilihat oleh beliau tidak dapat mengukuhkan sokongan mereka kepada kerajaan.

Sehubungan itu juga beliau berharap dapat menakut-nakut rakyat bukan Islam dan menanamkan bibit keraguan mereka terhadap usaha-usaha PAS membentuk Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dari kalangan bukan Islam bagi meraih sokongan yang lebih besar. Usaha-usaha PAS ini sangat menggusarkan beliau.

Selain itu sebanyak sedikit cuba menghilangkan rasa ingin tahu rakyat terhadap kes rasuah terhadap pembelian dua kapal selam di mahkamah Perancis yang akan berjalan tidak lama lagi.

DMPP bertegas bahawa seperti peribahasa yang mengatakan "tidak ada angin masakan pohon bergoyang" propaganda jahat ini tidak akan dapat menghasilkan natijah yang baik. Ia sebenarnya telah memudahkan APCO serta anasir zionis yahudi menjalankan jarum khianatnya terhadap rakyat terutamanya umat Islam di Malaysia.

DMPP juga memohon semua pihak dan rakyat seluruhnya bertenang dan jangan membuat sebarang tindakan yang akan mengeruhkan lagi keadaan. Kita yakin semua permasalahan ini jika ditangani mengikut garis panduan Islam dari al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w sebenarnya akan membuahkan satu penyelesaian yang adil. Oleh kerana Islam itu adil untuk semua.

- Nuridah Mohd Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

RMK10 perlu selamatkan belia negara

Posted: 23 Jun 2010 04:08 AM PDT

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, RMK10 seharusnya memberi lebih penekanan kepada pembebasan remaja dari kepungan keruntuhan moral dan akhlak.

Menjelaskan perkara yang dibangkitkan dalam perbahasan RMK10 di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata, kerajaan perlu memastikan belia negara ini hidup bersyariat bagi mengelak keruntuhan moral dan akhlak mereka.

"Kerajaan perlu ada garis panduan, selamatkan remaja-remaja kita daripada krisis yang dialami sekarang ini," katanya.

Kementerian yang berkaitan agama, katanya perlu bersama dengan kementerian lain seperti pendidikan, pengajian tinggi dan juga pertahanan melalui PLKN, untuk merancang garis panduan tersebut.

Beliau juga menggesa penubuhan Majlis Belia Negara yang melibatkan 12 kementerian dipercepatkan.

Selain itu, bagi menarik golongan muda ke masjid pula, beliau mencadangkan kouta imam muda ditambah.

"Saya cadangkan kouta imam muda di kalangan hafiz diwujudkan. Orang muda mampu menarik gologan remaja dan belia ke masjid," katanya lagi.

Sementara itu, beliau juga mahu kerajaan meneliti semula keberkesanan kurikulum Kemahiran Asas Fardu Ain yang dilihat sukar membentuk generasi berakhlak tinggi pada waktu ini.

Kontraktor ‘ali baba’ dapat laba RM31 juta

Posted: 23 Jun 2010 04:07 AM PDT

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Di sebalik projek pembinaan Hospital Shah Alam, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua mendakwa bahawa Sunshine Fleet Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama memperoleh sebanyak RM31 juta hasil daripada amalan memberi sub-kontrak secara 'ali baba' yang membabitkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beberapa kontraktor kelas A yang lain.

Ini kerana, beliau berkata, walaupun JKR meluluskan projek tersebut dengan nilai RM482 juta, Sunshine Fleet Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama telah menawarkan semula projek tersebut pada sub-kontraktor Isyoda Sdn. Bhd. dengan nilai yang jauh lebih kecil, iaitu RM451 juta sahaja.

"Sunshine Fleet mendapat untung bersih sebanyak RM31 juta, maka ini merupakan amalan ali baba yang jelas kerana kontraktor utama (Sunshine Fleet) hanya mendapat untung bersih sahaja, tak perlu buat kerja (pembinaan)," tegas beliau sambil menunjukkan satu dokumen eksklusif SunShine Fleet.

Dakwanya lagi, aktiviti tersebut mulai disedari apabila pihak kontraktor utama yang dimiliki oleh adik Sultan Sultan Selangor, Putri Arafiah Sultan Abdul Aziz Shah dan sub-kontraktor Isyoda dilaporkan saling menyaman antara satu sama lain disebabkan masalah peruntukan yang diperoleh adalah tidak setimpal dengan kos projek keseluruhannya.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP turut mempersoal tindakan Isyoda berjanji untuk membayar RM46 juta kepada Pengerusi Eksekutif Sunshine Fleet, Putri Arafiah sebagaimana merujuk pada suatu dokumen Sunshine, bertarikh 16 November 2007.

"Bayaran ini tidak dibayar kepada kontraktor utama (Sunshine Fleet) tetapi bayaran ini dibayar terus secara peribadi kepada Pengerusi Sunshine Fleet.

"Adakah pembayaran ini suatu komisen atau rasuah, kita minta kementerian menjawab perkara ini," soal beliau sambil menunjukkan satu lagi dokumen eksklusif Sunshine Fleet.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor supaya menjawab sekali lagi secara jujur berhubung status sebenar pembinaan hospital tersebut.

Bagi beliau, jawapan Shaziman di Dewan Rakyat sebelum ini, kononnya projek pembinaan hospital tersebut tidak menghadapi sebarang masalah adalah tidak benar.

Menurut beliau, projek tersebut sepatutnya siap pada Ogos-September tahun ini sebenarnya telahpun terlewat sebanyak 233 hari dari waktu yang dijadualkan, bukannya terlewat hanya tiga hari dari waktu yang dijadualkan seperti yang dijelaskan oleh Shaziman.

Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendedahkan bahawa kerajaan telah membazirkan sebanyak RM77 juta untuk memelihara kroni-kroni tertentu di kalangan JKR dan kontraktor.

Bagi beliau, JKR sendiri wajar tidak lepas tangan kerana beliau bertanggungjawab memberikan pada kontraktor-kontraktor bermasalah terbabit.

Demi kepentingan rakyat, beliau mencadangkan kerajaan menamatkan serta merta kontrak yang diberikan kepada dua kontraktor tersebut dan melantik satu kontraktor lain yang berdisiplin dan bersih untuk menyiapkan projek tersebut.

Melihat pada kes tersebut, beliau bersama-sama Tony Phua bercadang untuk melaporkan insiden tersebut pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Pada 4 April lalu, dilaporkan Sunshine Fleet turut menghadapi tuntutan hutang bernilai RM10 juta daripada satu lagi sub-kontraktor iaitu GMH Healthcare.

Tuntutan tersebut disebabkan kegagalan Sunshine Fleet menyiapkan bangunan Hospital Shah Alam tersebut sebagaimana yang dipersetujui bersama.

Dalam suatu kenyataan, GMH Healthcare mendakwa pihaknya selaku wakil pada Sunshine Fleet diminta membayar RM10 juta bon pada JKR bagi mengambil alih projek tersebut daripada sub-kontraktor bermasalah iaitu Isyoda.

Permainan perniagaan secara 'ali baba' yang membabitkan banyak pihak tersebut, akhirnya dilihat merugikan rakyat sendiri.

Kaitkan Wahabi dengan JI, teroris agenda musuh Islam

Posted: 23 Jun 2010 04:00 AM PDT

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, cubaan mengaitkan fahaman Wahabi dengan Jemaah Islamiah (JI) atau terorisme adalah agenda barat serta musuh yang mahu memburukkan Islam.

Mengulas laporan portal berita Malaysiakini hari ini beliau berkata, musuh Islam sememangnya menggunakan isu perbezaan mazhab untuk memecahkan umat Islam.

"Wahabi tidak ada kena mengena dengan teroris pun, itu satu agenda barat dan musuh Islam," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang ketika di temui di pejabat pembangkang di Parlimen sebentar tadi.

Laporan Malaysiakini semalam turut mengaitkan Tuan Guru Abdul Hadi dengan "lingkaran Wahabi, JI" berdasarkan sumber mesyuarat anti-keganasan di Bukit Aman, Isnin lalu.

Mengulas laporan itu, Tuan Guru berkata "Saya memang belajar di universiti Wahabi, dapat biasiswa Wahabi," katanya sambil tersenyum.

"Tetapi saya ada pandangan saya sendiri," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan isu JI ini timbul, ada kaitan dengan pilihan raya.

Menurutnya, Umno BN cuba mengaitkan Islam dengan terorisme bagi menakutkan orang bukan Islam dengan PAS yang dilihat semakin mendapat sokongan golongan itu.

"Dalam konteks kita, isu JI ini dibangkitkan supaya orang bukan Islam takut kepada PAS.

"Mereka cuba melabelkan PAS sebagai ekstremis, ini agenda BN," katanya.

Judi bola: GMJ serah memorandum kepada Najib

Posted: 23 Jun 2010 03:57 AM PDT

Nazri Abdullah


PUTRAJAYA: Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) hari ini menyerahkan memorandum bantahan berhubung kelulusan lesen judi bolasepak oleh kerajaan Malaysia, kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi.

Serahan tersebut diketuai pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid serta setiausaha, Suhaizan Kayat bersama Naib Setiausaha Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Goh Kean Seng, wakil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Ser Choog Eng dan dari Budaywan Bertindak, Lee Ban Chen.

Hadir sama mengiringi delegasi serahan adalah Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan serta beberapa pemuda PAS lain.

Memorandum diserahkan kepada penolong setiausaha Pejabat Perdana Menteri, Husnul Hakim Jamaluddin.

Dalam sidang media selepas itu, Azmi berkata GMJ bukan sahaja membantah judi sukan, malah semua kelulusan lebih 40 jenis judi lain.

Negara, katanya terlalu pemurah sehingga terlalu mudah meluluskan lesen judi.

"Ini adalah desakan rakyat. Kita minta kerajaan pertimbang sungguh-sungguh, tarik balik lesen judi.

"Kempen akan disemarakkan lagi, kita akan anjur forum-forum, ajak mesyarakat jangan takut turun 3 Julai ini untuk bersama kita menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya lagi.

Sementara itu, Nasruddin pula berkata, banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan kerajaan untuk menambah pendapatan negara selain meluluskan lesen judi.

"Banyak lagi usaha lain untuk kaut keuntungan, tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat," katanya.

Pada sidang media sama, GMJ memaklumkan akan ke IPK Kuala Lumpur esok bagi memohon permit untuk himpunan 3 Julai nanti.

Dalam pada itu, wakil KLSCAH, Ser Choon Ing kecewa dengan tuduhan bahawa orang bukan Islam membenarkan judi.

Katanya, persepsi itu salah kerana semua agama dan bangsa menentang judi.

Dr Asri dan Dr Juanda dakwa "BN Bohong"

Posted: 23 Jun 2010 03:55 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah cerita bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersama 100 ulama akan menyertai Umno Jumaat ini, beliau bersama rakannya, Dr Juanda Jaya yang kini Mufti Perlis menyifatkan BN bohong dalam mengaitkan mereka dengan kumpulan pengganas.

Dakwaan ini dibuat kedua-duanya dalam satu kenyataan bersama yang diberikan tajuk "Mengapa Kerajaan BN Berbohong?" bagi mengulas langkah kerajaan BN yang cuba mengaitkan isu ancaman pengganas di negara ini dengan mereka berdua.

(Gambar: Empat yang didakwa ada kaitan dengan Wahabi oleh ILIM, Shahidan, Asri, Juanda dan Abdul Hadi)

Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya adalah Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Ahli Fatwa Kebangsaan, kini Visiting Fellow Oxford Universiti Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula adalah Bekas Mufti Perlis, Ahli Majlis Agama Islam Perlis dan kini Pensyarah Pengajian Islam USM.

Kedua-duanya mengulas laporan yang mengaitkan mereka berdua, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas MB Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan JIM dengan pengganas.

Kaitan itu dibuat dalam satu taklimat keselamatan negara anjuran Polis dan diberikan oleh Zamihan Mat Zain dari Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) yang diadakan di Bukit Aman 21 Jun lalu.

Sebelum ini, Presiden PAS juga menafikan dakwaan beliau terlibat dengan kegiatan yang didakwa itu.

Setiuasaha Agung Umno sebelum ini mendakwa, Dr Asri akan menyertai Umno Jumaat ini bersama dengan 100 ulama lagi.

Dr Asri dan Dr Juanda berkata, apa yang didakwa oleh banyak pihak, terutama parti pembangkang bahawa isu keselamatan negara yang membabit ancaman pengganas yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan adalah permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh.

"Kerajaan Pusat kelihatan memperjudikan isu keselamatan negara yang diada-adakan untuk kepentingan tertentu," kata kenyataan bersama itu.

Buktinya, kata mereka, laporan Malaysiakini pada 22hb Jun 2010, yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI (Jamaah Islamiah) di Bukit Aman pada 21 Jun, yang dihadiri oleh Menteri, Timbalan Menteri dan TNC-TNC seluruh negara.

Penceramah yang diundang oleh pihak polis Zamihan Mat Zain dari ILIM telah mendakwa dengan satu dakwaan yang sangat jahat iaitu Presidan PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Shahidan Kassim, mereka berdua berdua dan ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan Wahabi dan pengganas JI.

Pertubuhan JIM pula dikaitkan dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah.

"Dakwaan ini sangat jahat dan jelas sengaja diada-adakan" kata kenyataan bersama mereka berdua.

"Rakyat Malaysia mengenali pemikiran kami yang sentiasa menyeru kepada Islam yang progresif, keharmonian kaum dan agama, menentang sikap fanatik dan apa sahaja bentuk kekerasan pandangan.

(Gambar: Dr Asri bersama pimpinan PAS di muktamar Pemuda PAS di Kota Bharu baru-baru ini)

"Isu-isu kami bawa selama ini sentiasa mendapat perhatian semua agama dan kaum kerana mempamerkan Islam yang "tolerance" dan berpaksikan kesesuaian hidup masyarakat yang serba rencam. Hal ini boleh dirujuk dalam berbagai tulisan dan kenyataan kami," katanya.

Justeru itu, kedua-dua berkata, Zamihan dan polis wajib bertanggungjawab atas fitnah ini.

"Bagi kami YB Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sama sekali tidak wajar dikaitkan dengan keganasan. Beliau ialah bekas MB Terengganu. Mengetuai sebuah parti politik tanahair sejak sekian lama. Ini melambangkan penghormatan beliau dan partinya terhadap amalan demokrasi dan hak kebebasan rakyat. Tuduhan terhadap beliau telah menghina sebuah parti politik yang selama ini melalui lunas-lunas sistem demokrasi negara ini. Sekali lagi, Zamihan dan polis perlu bertanggungjawab terhadap fitnah ini," kata kedua-duanya.

Mereka juga membela Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Bekas MB Perlis dan kini Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Naib Presiden PERKIM, Malaysia dan akvitis berbagai kebajikan rakyat. Layakkah orang seperti ini dituduh mempunyai kaitan dengan pengganas. Nampaknya UMNO dan BN sanggup membunuh rakan sendiri dalam memperjudikan kepentingan politik tertentu," kata mereka.

"Adapun JIM kami tidak mempunyai maklumat yang banyak mengenai mereka. Namun, kami percaya mereka bukan pengganas dan tidak layak dikaitkan dengan tuduhan jijik itu. Sebagai NGO, mereka mempunyai sumbangan kepada negara yang patut dihargai," kata mereka lagi.


Sehubungan itu, mereka mendesak pihak polis memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap fitnah rambang ini.

"Siapakah Zamihan sehingga dia digunakan oleh pihak polis untuk membuat agenda jahat ini? Polis sepatutnya menyiasat beliau ini dan hubungannya dengan mentor yang selalu dirujuk kepadanya iaitu Hasan al-Saqqaf.

"Hasan al-Saqqaf yang terkenal suka menyesat dan mengkafirkan sesiapa yang berbeza pandangan dengannya itu, kini terbabit dengan isu keselamatan negara Jordan," kata mereka berdua.

"Jika pihak polis tidak menafikan dakwaan Zamihan ini, bererti pihak polis yang dikuasai oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri seakan sengaja menabur fitnah yang tidak berasas," katanya lagi.

Dengan ini, kata mereka, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar.

Bahkan ia berkemungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu.

"Dengan ini, kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pemerintahan atau parti politik yang sanggup memperjudikan isu keselamatan negara untuk kepentingan tertentu adalah sebuah pemerintahan yang tidak bertanggungjawab. Pemerintahan yang menggunapakai kaedah tipu muslihat, berbohong, menggadaikan maruah orang lain untuk kepentingan sempit, mencemarkan hak rakyat dan memanipulasikan isu keselamatan negara adalah amat merbahaya bagi sesebuah negara yang harmoni," tegas mereka berdua.

Di samping itu, mereka menyeru setiap lapisan rakyat agar menolak segala bentuk keganasan sama ada berupa tindakan ataupun pemikiran. Dan juga sekali lagi menyeru agar tidak mendokong pihak yang memperjudikan keselamatan negara demi kepentingan sempit.

Tiada ulasan: