Khamis, 10 Jun 2010

:: @ AL-BAKISTANI @ ::

:: @ AL-BAKISTANI @ ::


HINDARKAN PAS DARI ’ULAMA TAKFIRI’ SEPERTI ‘AHBASH’

Posted: 10 Jun 2010 10:19 AM PDT

Dr Wahbah Az-Zuhaili berkata, "Ahbash adalah golongan yang sesat lagi menyesatkan, wajib menjauhkan diri dari mereka. mereka adalah jemaah fitnah, mereka berfatwa mengikut hawa nafsu"

[1]

Dalam beberapa tahun yang lepas, Malaysia digegarkan dengan kehadiran satu puak yang disebut sebagai Ahbasy. Puak Ahbasyh ini adalah satu puak yang merujuk kepada pengikut kepada seorang alim dari negeri Habsyah; daripada satu kawasan yang bernama Harar.

Orang alim yang dimaksudkan itu bernama Abdullah bin Muhammad As-Syaibi Al-'Anbari. Beliau mula mengembangkan fahaman beliau di Lubnan. Dan ramai pengikut ajaran ini, sehingga terdapat juga anak-anak muridnya di Malaysia.

Mereka mendakwa bahawa mereka berakidah dengan mengikut 'Turuq' Abu Hasan Al-'Asyari, fiqh mereka merujuk kepada mazhab Syafie, dan amalan tarikat mereka merujuk kepada tarikat Ar-Rifaiyyah.

Berkenaan dengan pegangan akidah, fiqh dan tasawwuf mereka, tidaklah menjadi perdebatan. Tetapi, yang timbul masalahnya adalah, apabila mereka adalah golongan yang mudah mengkafirkan beberapa tokoh ulama, seperti mengkafirkan Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim dan juga Muhammad bin Abdul wahab.

Tidak ketinggalan yang dikafirkan beliau adalah Dr Yusuf Al-Qaradhawi, sehingga Dr Yusuf Al-Qaradhawi terpaksa menjawab tuduhan melampau beliau itu menerusi kitab "fatawa Muasarah "

[2]

Pemikiran ala-Ahbasy ini, merupakan pemikiran yang diasaskan kepada sikap "melampaui batas". Walhal, dalam islam, sikap "melampau batas" ini tidak diterima, malahan ditolak.

Firman Allah;

وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya;
"Jangan kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas"

(Surah Al-Baqarah : 190)

Begitujuga hadis, bahawa Nabi SAW bersabda;

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ , هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ , هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ

Maksudnya;
"binasalah golongan yang melampaui batas, binasalah golongan yang melampaui batas, binasalah golongan yang melampaui batas "

Pemikiran sebegini tidak sepatutnya wujud dalam budaya rakyat Malaysia. tidak kira mereka itu adalah golongan bawahan, mahupun mereka bergelar ulama sekalipun. Ini kerana, pemikiran yang berasaskan kepada melampaui batas ini sebenarnya merujuk kepada kehendak hawa Nafsu, dendam dan emosi, bukan pemikiran yang berasaskan kepada hujjah dari Al-Quran dan As-Sunnah.

Dalam Islam, kebenaran hanya merujuk kepada al-Quran dan As-Sunnah. Tanpa merujuk kepada dua sumber ini – sama ada berbentuk zahir nas, mahupun khafiy nas – semuanya merupakan hujjah yang wajar ditolak, bahkan tidak diterima langsung dalam Islam, lebih-lebih lagi berhukum itu berasaskan kepada hawa nafsu, dendam dan emosi.

[3]

Tidak dinafikan keilmuan dan ke'ulama'an As-Syaikh Abdullah itu, tetapi ke'ulama'an seseorang ulama itu bukan lesen untuk dia mengkafirkan mereka yang tidak sealiran dengannya. Terutama, mengkafirkan itu berlaku dalam perkara yang disebut sebagai khilafiyyah.

Dalam hadis, Nabi SAW ada bersabda;


وَمَنْ قَذَفَ مُؤْمِنًا بِكُفْرٍ فَهُوَ كَقَتْلِهِ
Maksudnya;
"Barangsiapa yang menuduh kepada orang mukmin dengan kufur, maka dia seperti membunuhnya "

Juga hadis, bahawa Nabi SAW bersabda;

إِذَا كَفَّرَ الرَّجُلُ أَخَاهُ فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا
Maksudnya;
"Apabila seorang lelaki telah mengkafirkan saudaranya, maka akan kembali (kekufuran) itu kepada salah seorang daripada kedua-duanya "

Kembali kekufuran kepada pentakfir itu, tidak sekadar berlaku kepada mereka yang jahil. Bahkan ia boleh terkena kepada mereka yang alim juga. Iaitu, apabila mengkafirkan itu dilakukan kepada yang tidak sepatutnya.

Justeru, berhati-hatilah kita dari budaya ahbash ini. Bahkan, ia tidak relevan sama sekali wujud dalam PAS, kerana PAS bukanlah parti yang ditugaskan untuk mengkafirkan orang yang tidak sepatutnya, tetapi tugas PAS adalah untuk memberi model keadilan Islam kepada rakyat; tidak kira terhadap Muslim, mahupun terhadap Non Muslim.

Di dapati, sedikit sebanyak pemikiran ala ahbash ini wujud dalam PAS, maka itu wajib dihindari. Bahkan, jika wujud golongan yang membawa pemikiran ala ahbash ini, golongan itu patut dilakukan sebarang tindakan agar ia tidak berleluasa. Ini kerana, keberadaan mereka itu mencacatkan sesebuah gerakan Islam, kerana cara mereka terkeluar dari ciri-ciri gerakan Islam yang bentuknya dirujuk dari Al-Quran dan As-sunnah.

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah [b] Sg Buloh
11 Jun 2010 * 1:13 Pagi

LUPAKAH KITA KEPADA USTAZ HASAN SYUKRI?

Posted: 10 Jun 2010 09:21 AM PDT

Mungkin kita tidak lupa lagi dengan Ustaz Hassan Shukri. Seorang tokoh yang pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden PAS.

Beliau amat mudah untuk bersua-muka. Jika kita ke Dewan Fadzil Noor, Taman Melewar; tepat dengan masa dan ketikanya, pasti kita akan terlihat seorang lelaki tua yang kadangkala memakai baju pagoda dan berkain pelekat sedang menyapu sampah.

Bagi mereka yang tidak pernah mengenali beliau, pasti akan mengatakan bahawa beliau adalah "siak" Taman Melewar, tetapi jangan tersilap, bahawa beliau pernah berada di jawatan yang cukup tinggi dalam parti Islam Se-Malaysia [PAS].

Jika mahu mengetahui sejarah PAS secara terperinci, berjumpalah dengan beliau. Beliau boleh nyatakan sejarah itu sekali dengan tarikh dan hari, nama beserta bin dan tempat kejadian tanpa membuka sebarang buku nota atau catatan.

Cukup pakar tentang perlembagaan PAS, malahan pernah menjadi tetamu kerajaan Brunai untuk memberi nasihat dalam usaha menubuhkan perlembagaan Kerajaan Brunei.

Mungkin kita lupa, bahawa jawatan Timbalan Presiden PAS yang disandang beliau ketika itu, dicabar oleh seorang yang sedang menjawat Setiausaha Agong PAS. usah diceritakan, bagaimana cara beliau diusahakan agar berundur, kerana ia amat menyedihkan. Pasal gambar beliau tidak dibubuh pada banner dalam muktamar? Tidak ada siapa pun yang membangkitkannya sehingga hari ini. Al-Maklumlah, siapa yang mengelolakan muktamar PAS ketika itu?

Ternyata beliau jatuh dari jawatan tersebut. Sejak kejatuhan beliau dari jawatan tertinggi parti itu, nama beliau semakin kurang disebut dan semakin hilang dari ingatan sebilangan besar ahli parti, menyebabkan, hanya sebilangan kecil sahaja mengenali beliau kini.

Namun, beliau seorang yang amat ikhlas dan jujur dalam kerja Islam. Walau pernah duduk dijawatan tertinggi parti, beliau tetap berkhidmat dengan Parti. Tidak percaya? Siapakah yang menjaga kebersihan Taman Melewar? Selain nama Abang Mat Zain yang disebut, siapa lagi jika bukan nama Ustaz Hassan Shukri, bekas Timbalan Presiden PAS.

Sekian

baca sama:
tiada gambar nasha di muktamar PAS (malaysiakini)

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah [b] Sg Buloh
11 Jun 2010 * 12:16 pagi

PENGURUSAN HARAKAH ZALIM !!

Posted: 09 Jun 2010 07:38 PM PDT

"Cikgu Pa adalah orang yang lebih banyak mengetahui tentang keadaan di harakah" Ujar salah seorang pekerja di Harakah

Cadangan usul, agar laporan kewangan harakah dibentangkan dalam muktamar yang aku tulis dalam artikle semalam mendapat respon dari beberapa orang pekerja di harakah. Membaca respon itu, ternyata, ia menggambarkan betapa peritnya bekerja di bawah sebuah akhbar parti Islam itu.

Kalau Tantawi berucap di Muktamar PAS pada hari ini, mengatakan "perlunya kemurnian perjuangan, dan memaknakan kemenangan", sepatutnya perkara ini perlu diambil perhatian oleh ketua Pemuda PAS itu.

Secara Fitrahnya, Islam menang bermula dari kekuatan dalaman sesebuah parti, baru berjaya menguasai dan mengalahkan Musuh. Ustaz Yahya Osman pernah berkata, "Laksanakan Islam dalam jemaah kamu, sebelum kamu melaksanakan Islam dalam negara kamu". Dengan perkataan lain, jika dalaman PAS pun wujud kezaliman, sampai kiamat pun PAS tidak akan menang.

Dari e-mail-e-mail yang aku dapat, banyak maklumat yang telah diberikan kepadaku. Ada sebilangan mendakwa, wujud double Akaun [akaun yang diaudit dan akauan yang tidak diaudit] melibatkan 'orang besar', juga ada nama dalam politik. Insya Allah, perkara itu akan didedah dalam artikle mendatang, dan kali ini, didedahkan satu keluhan salah seorang dari mereka seperti berikut [tanpa edit];

***

Salam Ustaz Wan Ji,

Ana salah seorang anak murid ustaz di sebuah surau yang ustaz sering hadir menyampaikan kuliah.

Ana juga salah seorang ahli jemaah dalam parti namun tidaklah memegang sebarang jawatan (hanya ahli biasa).

Ana juga adalah kakitangan Harakah yang telah lebih 6 tahun berkhidmat dan merasai pelbagai perit maung (daripada bawah - wartawan; sehingga atas - editor).

Untuk makluman ustaz, amat bagus dan baik serta wajar usul yang ustaz kemukakan dalam blog ustaz. Mencadangkan agar laporan kewangan Harakah dibentangkan dalam muktamar sememangnya ditunggu-tunggu oleh semua, lebih-lebih lagi kami yang berhempas pulas siang dan malam untuk memastikan ahli dan pendokong PAS mengikuti dengan dekat segala perkembangan parti.

Namun, saya pasti dan rakan-rakan seperjuangan saya di sini (Harakah) juga yakin 200 peratus bahawa usul dan cadangan Ustaz hanya akan dialu-alukan dan kemudiannya hilang ditelan zaman.

Sebenarnya Ustaz, terlalu banyak yang sedang berlaku di Harakah. Bukan ingin memfitnah, jauh sekali untuk menjatuhkan nama syarikat, tetapi terlalu sayang dengan Harakah dan parti. Kami di sini sentiasa tertekan ustaz.

Usahlah bercakap pasal gaji yang menciput. Benar kata ustaz tentang RM1,600.00. Tetapi tahukah ada juga wartawan (wartawan baru) kalau masuk kerja nilai yang ustaz sebut itu tidak tepat malah jauh lagi rendah.

Perjuangan untuk mendapat 'basic pay' telah lama berlaku namun, semua disapu di bawah permaidani Harakah. Tahukah ustaz, betapa kini jika bertugas di luar kawasan pihak pengurusan amat berkira?

Misalnya, dalam muktamar kali ini, cuba bilang berapakah keseluruhan tenaga daripada Harakah cetak (bukan Harakahdaily) di benarkan untuk di bawa ke Kelantan?

Tahukah Ustaz, permohonan wartawan daripada Perlis, Kedah untuk mengikuti bertugas (baca: mengalami pengalaman dan memajukan diri) ditolak mentah-mentah oleh pengurusan. Dan senario (senarai wartawan dicantas untuk bertugas di muktamar) seringkali ditolak oleh pengurusan atas alasan sudah ada wartawan negeri, tidak perlu dan membazir.

Beginikah mentaliti pengurusan? Inginkan kualiti pemberitaan, tetapi keperluan dalam prasarana untuk bertugas (menempatkan wartawan di muktamar) seringkali di'reject'.

Ini belum pula keperluan untuk bertugas di luar seperti wartawan di KL perlu ke Klang (cover dan buat liputan majlis PAS), bayaran tol tidak akan dikira! Rasional pengurusan, mileage RM0.50 sudah lumayan! Pelik, pertama kali kami mendengar istilah rasionalisasi sedemikian. Agaknya, pengurusan akan beranggapan, kalau dibayar tol, wartawan akan jadi jutawan segera! Hebat!

Itu hanyalah contoh-contoh 'ciput' wahai ustaz, masih banyak yang boleh diceritakan. Namun, yang pasti, budaya 'kuku besi' di bawah pengurusan kini mula dirasai.

KES 1: Pernah seorang kakitangan teknikal (layout) menyampaikan keluhan kepada Tuan Guru Presiden, Ustaz Hadi tentang daifnya peralatan komputer di Harakah dalam satu majlis ramah mesra Harakah dengan pimpinan. Apa yang berlaku? Seorang AJK PAS Pusat, yang menduduki ALP Harakah merenung tajam kepada staf tersebut dan selepas perjumpaan tersebut, beliau berkata, "nanti kau!"

KES 11: Seorang staf perempuan di pemasaran mengkritik pimpinan Harakah dalaml satu seminar Harakah beberapa tahun lalu, akibatnya; staf tersebut sedar-sedar dah berhenti. Apabila rakan-rakank bertanya," dia dah berhenti!" Betulkah dia berhenti atau berlaku sebaliknya?

KES III: Seorang staf kanan didapati bersalah kerana menyiarkan tulisan seorang penulis yang kontroversi (ramai yang tahu kot, agak popular beberapa tahun lalu) dan telah dihukum. Sebagai hukuman, beliau menjadi Ketua Unit Baru dengan dikekalkan gaji dan kemudahan lama. Setelah gagal unit baru yang diketuainya, beliau diberi pula Unit lain. Juga gagal lagi dan kini mengetuai Unit akhbar PAS secara online. Untuk makluman, sebelum ini beberapa projek beliau seperti "Satu Keluarga Satu Harakah" telah gagal. Projek berita Harakah secara online sehingga membuat bilik kalis bunyi dan belian kamera beribu ringgit juga gagal. Projek TV PAS dengan dana berjuta ringgit juga bungkus dan diserapkan kakitangannya ke unit online akhbar Harakah. Dan sebelum ini, pernah didakwa di mahkamah akibat menerbit artikel yang didakwa memfitnah semasa Harakah di bawah Dato' Hishamuddin Yahya. Begitu banyak yang berlaku, staf ini masih disimpan? Masih di beri keistimewaan dan berleluasa? Unsur KRONISME?

Kasihan kami yang marhaen di sini ustaz. Kalau sebelum ini, pernah kami mengadu kepada Mantan Ketua Pemuda, namun suara beliau hanya 1 berbanding taiko-taiko dan veteran pemimpin yang berada dalam ALP. Apa yang mampu kami lalkukan Ustaz?

Eloklah apa yang ustaz cadangkan itu. Dedahkan biar telus. Namun, awas taiko-taiko dalam Harakah buka calang ustaz. Banyak muslihatnya.

Harap tulisan ini dapat perhatian ustaz. Kalau baik, dapat disiarkan mana-mana blog yang sering dibaca oleh ahli parti. Paling kurang, suara marhaen kami didengari walau secara bergaung!

Wassalam.

p.s: kalau disoal siasat siapa penghantar nota luahan ini, hamba mohon dirahsiakan kerana bimbang dengan nasib anak-anak dan isteri-isteri!

Tiada ulasan: