Isnin, 16 Januari 2017

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[VIDEO] Janji-janji K'jaan Campuran PH-PPBM Apabila Berkuasa Nanti

Posted: 15 Jan 2017 09:45 PM PST

Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beberapa pembaharuan yang dilakukan jika parti campuran pembangkang berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, antara perkara utama adalah menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) secara beransur-ansur dan menggantikannya dengan cukai jualan mengikut selera rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, nilai mata wang ringgit akan dipertahankan tanpa menjual dolar Amerika dalam simpanan negara.


"Kita akan cipta cara lebih berkesan untuk memulihan nilai mata wang supaya tidak menekan rakyat terutama mereka yang mempunyai anak belajar di luar negera," katanya semasa melancarkan parti itu secara rasmi di Stadium Malawati di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, perkara lain yang dilakukan adalah mengembalikan demokrasi negara bagi menghormati sistem pemerintahan mengikut undang-undang.

"Ini bermakna rakyat kembali bebas melapor dan mendakwa sesiapa sahaja termasuk pemimpin kerajaan jika terdapat salah laku atau jenayah di kalangan mereka.

"Tidak akan ada pilih kasih dalam menguatkuasakan undang-undang negara. Pendakwa raya tidak boleh meletakkan tuduhan dan laporan orang awam atau agensi kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi bagi melindungi jenayah pihak tertentu," katanya.

"Institusi penguatkuasa sudah dibeli, sudah dijadikan rakan sejenayah, berkongsi hasil jenayah, dan tidak lagi dapat bertindak menguatkuasakan undang-undang dan menjalankan tugas. Dengan lebih banyak orang yang perlu disuap, curi lagi dan kongsi lagi dengan mereka yang bersekongkol. Akan ada yang dimuftikan untuk menghalal yang haram," katanya lagi.

Menurutnya, parti campuran pembangkang juga akan memberikan kebebasan bersuara kepada rakyat termasuk media untuk melaporkan kebenaran.

"Namun, keselamatan dan keamanan dalam masyarakat serta negara perlu diambil kira mengikut kehendak majoriti rakyat. Kebebasan berpolitik juga akan dihormati kerajaan parti campuran pembangkang," katanya.

Tambahnya, ia akan menyiasat penyelewengan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengenal pasti projek yang membazir serta mengkaji semula kemampuan negara untuk berhutang.

"Kita akan kejar semua wang 1MDB dan kerajaan yang dilesapkan yang kita tahu berada di tangan orang tertentu.

"Tafsiran pelaburan langsung asing akan dikembalikan kepada pelaburan dalam industri pengeluaran barangan untuk pasaran tempatan dan eksport."

Di samping itu, Dr Mahathir turut menyentuh mengenai pembelian tanah secara besar-besaran oleh warga asing dengan tujuan menempatkan orang mereka.

Menurutnya, perkara itu akan diteliti dari segi kesannya secara langsung terhadap masa depan politik negara.

Mengenai BR1M, Tun Mahathir yang sebelum ini menyatakan bahawa ia adalah rasuah dan haram, mengulanginya bahawa BR1M akan ditukar ke format yang lain.

Beberapa pemimpin dan media UMNO telah didapati memutar-belitkan kenyataan Mahathir itu menyatakan beliau telah melakukan "u-turn" tentang pendiriannya terhadap BR1M.

Sedangkan Mahathir jelas menyatakan BR1M tidak akan lagi diagihkan melalui parti politik khususnya UMNO, sebaliknya akan diagihkan oleh pegawai kerajaan (melalui kementerian) dan BR1M tidak boleh dijadikan manifesto oleh mana-mana parti yang bertanding.

"Kita akan tentukan rasuah berbentuk wang atau barangan lain tidak akan diberi kepada pengundi di apa juga peringkat untuk mendapat sokongan dalam pilihanraya," ujarnya.

"Jika didapati BR1M mustahak maka wang ini akan diagih oleh pegawai Kerajaan. BR1M tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana manifesto mana-mana parti," tambahnya.

"Jika dipersetujui oleh rakyat BR1M akan dijadikan bantuan statutory yang ditentukan oleh undang-undang dan budget biasa. Perdana Menteri tidak boleh tentukan pemberian ini atau jumlahnya, atau cara penyampaiannya," katanya lagi.

Menyentuh mengenai kemungkinan berlaku tiga penjuru di dalam pilihanraya yang akan datang, beliau menyatakan:

"Mungkin akan ada parti lain yang kononnya akan menentang BN. Tak usahlah mereka menyangkal kerana perletakan calon mereka hanya akan memecah sokongan rakyat kepada campuran pembangkang supaya Najib akan menang."

"Bagi kita dalam parti campuran sebarang perbuatan untuk kononnya melawan BN dengan meletakkan calon oleh parti lain, tidak lain tidak bukan, ianya adalah untuk mengkhianati rakyat yang berhasrat menjatuhkan Najib melalui pilihanraya," katanya yang umum mentafsirkan beliau merujuk kepada PAS yang telah mengkhianati amanah rakyat setelah memenangi pilihanraya umum ke 13 sewaktu bersama Pakatan Rakyat.

"Namun demikian PPBM dan campuran pembangkang akan sanggup menghadapi cabaran perlawanan tiga penjuru atau lebih. Rakyat, pengundi, yang sayang kepada negara dan bangsa mesti faham akan hasrat parti diluar campuran parti-parti pembangkang meletakkan calon. Mereka sebenarnya menyokong Najib. Mereka sendiri tidak akan menang. Terutama di kawasan yang mereka kalah pun akan dituntut oleh mereka, guna untuk memecah perpaduan musuh Najib supaya Najib menang. Rakyat perlu faham mengundi pihak ketiga atau keempat bermakna mengundi untuk Najib, untuk UMNO, untuk BN, untuk kleptokrasi," tegasnya.

Beliau menutup ucapannya dengan membaca doa yang telah diaminkan oleh ribuan rakyat.

"Ya Allah Ya Tuhan kami. Bersempena dengan perasmian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kami memohon inayah dan taufikMu, Ya Allah, Kurniakanlah akan kami kesejahteraan dan kebahagiaan dan kesihatan jasmani dan rohani. Bukakanlah hati-hati kami, dan hati mereka yang bersama kami supaya sedar akan kemungkaran yang sedang berlaku di negara kami. Ya Allah Ya Tuhan Kami, Ingatkanlah kami semua bahawa Engkau tidak akan ubah nasib buruk bangsa kami melainkan kami sendiri berusaha mengubahnya kepada yang baik. Oleh itu makbulkanlah doa kami ini dan berilah kepada kami kejayaan supaya akan terselamatlah bangsa dan negara kami ini. Walhamdulillahi rabil ala min......"


Ucapan oleh YABhg Tun Dr Mahathir bin Mohamad, Pengerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sempena Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada hari Sabtu, 14 Januari 2017 jam 8.30 malam di Stadium Malawati, Shah Alam


1. Kita berhimpun di sini untuk melancarkan sebuah parti politik baru.

2. Kita lancarkannya untuk mengganti sebuah parti politik yang sudah usang, yang sudah lari daripada landasan yang ditentukan oleh pengasasnya.

3. Parti UMNO bukan sahaja usang tetapi sudah menjadi parti kleptokrat, parti yang dipimpin oleh penjenayah, penyamun dan pengamal rasuah yang tidak terhingga skalanya.

4. Parti ini juga menjadi penindas keatas rakyat, mendera mereka tanpa sebab, menangkap, memasuk dalam tahanan dan menghadap mereka ke mahkamah dengan tuduhan palsu yang tidak munasabah. Peguam yang menasihat anak guam juga ditangkap.

5. Parti ini juga telah dan sedang menjual wilayah-wilayah negara sehingga wilayah-wilayah ini menjadi kawasan yang terasing dari negara, dengan penduduk asing yang berideologi bertentangan dengan kepercayaan dan pegangan bangsa kita.

6. Itulah sebahagian daripada sebab parti baru ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia ditubuh. Ianya ditubuh sebagai menyahut teriakan rakyat yang mahu supaya diselamatkan dari kleptokrasi pemerintah penyangak dan penyamun, yang bernama Barisan Nasional dengan UMNO sebagai tunggaknya.

7. Tiada ada satu usaha yang lebih mulia daripada usaha yang kita Parti Pribumi Bersatu Malaysia bersama rakan-rakan kita usahakan untuk mengamal ma'aruf dan membasmi kemungkaran UMNO dan Barisan Nasional.

Saudara dan Saudari.

8. Saya akui saya sudah tua, sudah berusia lebih dari 90 tahun. Mungkin bagi sesetengah orang yang berasa terancam, saya kononnya sudah menjadi lemah, lemah tubuh badan, lemah akal fikiran, lemah ingatan, seorang pelupa yang nyanyuk yang sepatutnya diam sahaja.

9. Tetapi sedarlah bahawa usia yang panjang ini juga memberi kepada saya peluang melihat dengan mata sendiri akan pergolakan dan nasib bangsa saya selama lebih 80 tahun di waktu dijajah oleh tiga kuasa asing, keadaan sebelum merdeka dan setelah merdeka.

10. Saya pernah bertuan penjajah di negara sendiri. Perasaan terhina menyelubungi diri, apabila terpaksa bertuankan orang asing, yang menjajah negara.

11. Demikianlah perasan terhina menekan diri sehingga timbul kepercayaan bahawa memang pun bangsa saya bangsa yang kerdil, yang tidak berkebolehan. Kedudukan dijajah memang nasib yang tidak boleh dielak oleh bangsa yang serba kurang ini.

12. Tetapi Alhamdulillah, bangsa yang lemah dan kerdil ini, bangsa yang tidak berkebolehan ini, bangsa yang serba miskin, miskin dengan duit ringgit, miskin dengan ilmu, miskin dari kekuatan semangat juang, miskin senjata - bangsa ini apabila disedari akan dipisah dari tanah air dan menjadi orang asing di negara sendiri, bangsa ini tiba-tiba terjaga, bangun, bersatu dan melancarkan serangan balas bertalu-talu untuk menebus balik maruah dan tanahair.

13. Ya. Melayu memang lemah dan mudah lupa. Tetapi kesedaran mendatangkan kekuatan yang tidak pun dimimpi berada kepada mereka.

14. Rakyat dan Raja negeri masing-masing tiba-tiba sedar bahawa mereka adalah dari satu bangsa, yang berbahasa, berbudaya dan beragama yang sama. Mereka sedar bahawa Semenanjung Tanah Melayu adalah hak mereka, warisan nenek moyang yang perlu mereka pertahan.

15. Kesedaran ini membawa kepada perpaduan dan perpaduan membuahkan kekuatan. Biar betapa kuat sekali musuh yang menjajah, namun Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu dan tidak akan diserah menjadi tanah jajahan selama-lamanya oleh bangsa lain.

16. Demikianlah kesedaran terhadap kehilangannya tanahair, kesedaran akan menjadi pendatang di negara sendiri, sehingga segala keperitan lain diketepikan oleh semua dan perjuangan membebaskan negara diutamakan.

17. Semua berkumpul dalam satu badan, pegawai tinggi dan rendah yang berpelajaran Melayu atau Inggeris, yang berpelajaran agama dan berbahasa Arab; semuanya bersatu dan berbaris rapat menentang penjajah.

18. Dan Raja yang telah serah segala-galanya kepada penjajah British, tiba-tiba mereka berasa kuat dan berani. Rakyat bangsa Melayu bersama mereka, dan mereka pun menolak segala perjanjian yang telah ditandatangani mereka.

19. Penjajah berasa takut kerana yang tertidur sudah pun jaga dan bangun, sanggup melakukan apa yang kononnya mereka tidak mungkin lakukan.

20. Meringkaskan cerita, negara yang selama 400 tahun dijajah, di belenggu oleh siapa sahaja, oleh Portugis, oleh Belanda, oleh British, oleh Jepun dan oleh Siam, tiba-tiba merdeka.

21. Dan merdeka memberi kuasa, kuasa untuk memperbaiki nasib bangsa, untuk menebus maruah, untuk selamatkan warisan nenek moyang.

22. Tanggungjawab dipikul dan keadilan serta timbang rasa ditunjuk kepada bangsa-bangsa lain yang setia kepada negara. Tidak ada perasaan tamak untuk merampas harta dan hak mereka yang sudah setia kepada negara. Mereka diberi hak sebagai warga negara.

23. Sesungguhnya bangsa Melayu ini berbudi bahasa, bermurah hati dan sanggup berkongsi yang sedikit yang ada pada mereka. Maka tertawanlah hati dan akal fikiran seluruh permastautin dari pelbagai kaum atau agama. Pada masa itu budi bahasa bukan slogan pilihanraya tetapi memang pun budaya asli kita.

24. Dan amanlah negara dan terbangunlah tanahair. Penanam padi, penangkap ikan, penoreh getah tiba-tiba memiliki anak yang profesional, doktor, lawyer, engineer, arkitek, professor, pentadbir dan diplomat. Pesawat terbang yang canggih diterbang dan diselenggara oleh anak penoreh dan pesawah.

25. Di seluruh dunia terdapat penuntut Melayu yang mengejar ilmu sains, matematik, nuklear sains, elektronik, IT dan bermacam ilmu lagi.



26. Lulus, mereka mengepalai kementerian, syarikat gergasi, industri pembuatan, nakhoda kapal, bahkan menjadi angkasawan. Mereka boleh. Bangsa Melayu dan Pribumi lain boleh. Bangsa Malaysia boleh.

27. Ya. Malaysia boleh. Melayu boleh. Negara pesat dibangun dan menjelma menjadi negara maju, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

28. Inilah kepercayaan kita pada masa itu, terutama kita yang sudah mengalami pedih perit dijajah orang. Orang Melayu akan dapat bahagian mereka tanpa merampas hak orang lain, Kita bukan penyamun. Kita bukan perompak. Kita adalah bangsa bertamadun, bermaruah tinggi, adil yang tidak merampas harta orang. Apa yang kita dapat, kita dapat dengan usaha kita sendiri, dengan titik peluh kita sendiri.

29. Tetapi kemewahan mempunyai racun yang boleh racuni fikiran dan menghapuskan nilai hidup yang mulia. Dari semangat yang membakar api kebangsaan, yang menyatupadu bangsa, yang memberi kekuatan kepada kita; dari semua ini kemewahan kebendaan merasuk sehingga segala yang mulia dalam nilai hidup kita diganti dengan sifat tamak yang tidak terhingga.

30. Bangsa dan negara dilupakan dan diganti dengan ketamakan untuk diri sendiri, ketamakan kuasa, duit Ringgit, harta dan pangkat.

31. Maka bertanyalah mereka ini "Apa aku dapat". Begitu lama aku berjuang apa aku dapat. Mereka yang lain menjadi Yang Berhormat, bergaji tinggi, berkenderaan mewah. Ada yang jadi Menteri pun, Menteri Besar, Perdana Menteri. Tapi "apa aku dapat".

32. Bukankah aku yang berjuang, yang bermati-matian untuk menaikkan mereka. Mereka dapat. Apa aku dapat?

33. Dan kecewalah mereka ini. Dan terpadamlah semangat yang dahulu begitu suci. Dan digantikan dengan iri hati dan hasad dengki.

34. Tetapi apakah pula sikap mereka yang sudah "dapat", dapat menjadi wakil rakyat, gaji dan elaun, pangkat darjat, kuasa dan sebagainya.

35. Apakah mereka berpuas hati kerana mereka "dapat". Tidak juga. Mereka masih berpendapat mereka sepatutnya mendapat lebih lagi dengan lebih mudah. Yang dapat ke puncak juga demikian. Demikianlah apabila perasan tamak menguasai mereka.

36. Maka berhempas pulaslah mereka, mengejar secara halal atau haram apa yang dianggap sepatutnya dimiliki oleh mereka.

37. Maka berlakulah pencurian dan rasuah kerana tamak tak terhingga. Biarlah negara hancur asalkan yang dituntut didapati. Biarlah bangsa merana asalkan aku dapat.

38. Lupakanlah semua yang telah dicapai - ketepikan nikmat kesejahteraan hidup, pangkat darjat, kemewahan yang dikecapi.

39. Lupa juga akan pemulihan maruah bangsa, bangsa yang dahulu dihina yang kemudian dihormati dan disanjung tinggi. Apabila dihormati, apa sahaja boleh dilakukan, termasuk mencuri dan menyamun. Benarkah setelah dihormati, akan terus dihormati.

40. Lupa akan penjajahan 400 tahun dahulu, lupakan hantaran bunga emas dan bunga perak, untuk selamat dari diserang, dibunuh sesuka hati jiran dan kuasa luar, dijajah.

41. Tak usah cakap pasal lama, kata yang tamak ini. Itu dahulu. Ini sekarang. Sekali merdeka tetap merdeka. Tak akan Melayu hilang di dunia.

42. Ya Melayu tidak akan hilang. Tetapi Melayu jenis apa yang tak akan hilang? Melayu kuli orang selama 400 tahun. Inilah Melayu yang tak hilang selama itu. Apakah Melayu yang tak akan hilang di masa hadapan juga Melayu hamba yang tinggal sebagai setinggan menumpang di belakang rumah orang lain, dijadikan bahan pameran untuk pelancong asing.

43. Tetapi ini bukanlah yang disedari oleh ramai dari kita. Sekali makmur selama-lamanya makmur. Sekali merdeka, selama-lamanya merdeka. Benarkah? Kamu merdeka dahulu. Tetapi apabila datangnya Portugis, maka berlarilah kamu ke Selatan. Kamu dijajah selama 400 tahun.

44. Kemudian kamu merdeka sekali lagi. Kamu dapat nikmat, dapat rezeki, makmur. Apakah Portugis baru tidak akan datang untuk menjajah kamu lagi? Fikir. Allah memberi akal fikiran kepada kamu untuk fikir. Fikirlah.

45. Ya. Kamu mungkin dapat apa yang kamu tuntut. Tetapi kamu akan hilang apa yang masih ada pada kamu.

46. Rata-rata kamu lihat bangsa Melayu kerana daif menjual tanah. Bukan sahaja yang sekangkang kera – tetapi juga yang seluas wilayah. Beribu-ribu hektar dijual, bukan sahaja kepada orang tempatan tetapi juga kepada orang asing.

47. Maka teringatlah mereka yang melihat dan sedar akan pantun lama:

Pulau Pinang Negerinya Baru,
Kapten Light menjadi Raja,
Bila dikenang zaman dahulu,
Duduk mengalir air mata.

Tetapi ini pantun lama. Tak ada kena mengena dengan sekarang. Demikian respon mereka yang lain, yang tamak.

48. Tetapi inilah budaya kita. Tanah dijual untuk wang tunai. Kecil atau besar, tanah dijual. Tanah yang sudah dijual bukan milik kita lagi. Duit yang didapati tidak kekal. Dibelanja sehingga merosot dan hilang akhirnya. Kalau masih ada pun tidak boleh di bawa mati. Akan dihabis oleh zuriat dalam sekelip mata. Itulah rasmi duit.

49. Maka berundurlah penjual tanah ke kawasan yang terpencil dan mendirilah mereka pondok bertiang kayu, berdinding papan atau pelupuh, dengan bumbung atap nipah atau zink karat.

50. Bandar berkembang lagi sehingga sampai ke pondok yang didirikan. Nilai tanah pun naik. Sekali lagi datang pembeli menawar harga yang tidak dapat ditolak. Dan sekali lagi tanah dijual dan penjual berpindah ke desa. Akhirnya kediaman terletak dipinggir hutan, menunggu masa menjadi penginap hutan.

51. Besar atau kecil, sedarlah tanah yang dijual bukan milik kita lagi. Jika dimiliki oleh warganegara Malaysia yang lain, Alhamdulillah. Tetapi jika dimiliki, dibangun dan diduduki oleh pendatang baru dari luar negara, maka terasinglah kita dari mereka di negara kita, terdirilah kawasan asing di dalam negara, di mana kita akan jadi pendatang yang daif, terasing dan berlainan.

52. Kawasan milik orang asing ini akan dibangun dengan pesat, dengan indah, dipenuhi dengan pencakar langit dan mahligai di mana tinggal hartawan mereka yang kaya tidak terhingga. Bolehkah kita berbangga dengan kemewahan orang lain ini, berbangga dengan keindahan harta yang tidak dimiliki kita. Berbanggakah kita dengan kekayaan dan keindahan Singapura umpamanya, wilayah kita dahulu tetapi tidak lagi sekarang.

53. Jika kita fikir sedikit, akan kita sedar ini sedang pun berlaku sekarang. Warisan kita dijual, dan dijual sehingga tidak ada apa lagi yang akan diwarisi anak cucu, sehingga mereka akan bangsat di negara sendiri.

54. Jika kita belajar dan mengambil iktibar dari sejarah dan bertindak, semua yang merosakan ini tidak akan berlaku. Tetapi kita suka dengan jalan yang mudah. Biarkanlah sahaja. Duit buta, makan buta. Apa yang lebih sedap dari yang terdapat buta. Kata Mat Salleh "there is no such thing as a free meal." Bah. Itu Mat Salleh.

56. Apa dianya kuasa mengundi? Tak lain, tak bukan, ia adalah kuasa untuk menaikkan seseorang sehingga jadi Perdana Menteri. Wah. Kita boleh tentukan siapa menjadi Perdana Menteri. Ini kuasa. Apa harganya? Jangan fikir akan apa yang akan berlaku, kepada negara. Fikir sahaja akan Ringgit yang didapati sekarang.

57. Dan dijuallah kuasa undi seperti tanah yang telah kita jual. Malapetaka hari depan perkara lain. Anak cucu tidak akan ada negara sendiri. Itu masalah mereka. Dan dalam iklim ini terbentuklah pemimpin perasuah yang berslogan Wang tunai itu Raja.

58. Siapa sahaja boleh dibeli. Yang besar yang sudah kaya, yang sudah berada, berpangkat tinggi, tinggi harganya. Yang kerdil, murah. Murah atau mahal, jika kena harga, semua boleh dibeli. Ya: kuasa boleh dibeli jika ditawar harga yang dikehendaki pemilik. Jika tidak million, boleh tawar billion.

59. Bagi yang menyuap, keupayaan untuk suap perlu ditingkatkan. Jika kemampuan tidak ada, lakukanlah apa sahaja, halal atau haram, jenayah atau tidak. Maka perasuah pun merompak, menyamun, menipu, menyalahguna kuasa untuk menambah ongkos, dana untuk menyogok lagi.

60. Ya, semua tahu akan jenayah yang telah dilakukan. Dunia tahu dan mempunyai bukti akan jenayah yang telah dilakukan. Tetapi dedak menutup mata supaya menjadi buta, menutup telinga supaya menjadi pekak, dan menutup mulut supaya menjadi bisu. Apabila dedak disumbat ke dalam hidung bukan sahaja yang busuk tidak dapat dibau, tetapi ajal sampai pun tak disedari.

61. Pedulikan. Dunia tidak dapat bertindak terhadap penjenayah yang dikenal pasti. Hanya undang-undang negara penjenayah sahaja yang boleh dikuatkuasakan. Dan undang-undang serta penguatkuasanya boleh dibeli dengan harga tertentu, boleh kongsi sebahagian dari wang yang dicuri.

62. Institusi penguatkuasa sudah dibeli, sudah dijadikan rakan sejenayah, berkongsi hasil jenayah, dan tidak lagi dapat bertindak menguatkuasakan undang-undang dan menjalankan tugas. Dengan lebih banyak orang yang perlu disuap, curi lagi dan kongsi lagi dengan mereka yang bersekongkol. Akan ada yang dimuftikan untuk menghalal yang haram.

63. Jika wang yang hendak dicuri tidak ada, dengan kuasa yang diberi, pinjam sahaja wang untuk dicuri. Apa guna kuasa jika ia sama sahaja dengan orang yang tidak berkuasa.

64. Hari ini negara bangsa sudah dijual, dijual oleh penjenayah, dibantu oleh mereka yang bersubahat untuk sebahagian hasil jenayah. Mereka bersumpah tetapi sumpah mereka terhad di mulut yang bersuara. Oleh itu curilah. Neraka lambat lagi. Rasuah tidak berada dalam hudud. Ada mufti yang boleh menghalalkan yang haram. Tak semua. Tapi ada.

65. Bagi yang tolak dedak, ugutan sedikit sudah mencukupi. Aku tahu tapi aku takut, takut terkurang sedikit keselesaan hidupku. Bagi mereka ini perjuangan boleh dibuat tanpa pendedahan. Berjuang mesti berjuang. Akan ditentukan rahsia mereka dirahsiakan.

66. Melayu mudah lupa. Kebanyakan Melayu mudah lupa atau sengaja lupa.

67. Mereka yang mudah lupa ini tidak akan berhenti melakukan kesilapan-kesilapan yang lama. Kata seorang pujangga barat, "those who forget the lessons of history are condemned to repeat their mistakes over and over again", "Mereka yang lupa akan pengajaran sejarah akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali".

68. Tetapi, Alhamdulillah. Ada segelintir yang tidak lupa. Ada yang sedar. Dan dengan kesedaran ini, berasa takut akan apa yang sedang berlaku dan apa dianya malapetaka yang akan timpa di masa hadapan.

69. Apakah respon mereka yang sedar, mereka yang sayang kepada negara, kepada bangsa dan agama, mereka yang tidak tamak, yang masih beramanah. Mereka yang berani sedikit.

70. Respon mereka yang mengingati sejarah ialah akan mustajabnya perpaduan dalam mempertahankan diri. Untuk ini perkara-perkara kecil yang memisah mereka, yang menyebabkan mereka bermusuh sesama mereka dan melemahkan mereka akan diketepikan.

71. Korban yang perlu mereka buat kecil berbanding dengan kehilangan yang besar, malapetaka yang akan timpa mereka jika tidak rela korban sedikit.

72. Hari ini disedari bahawa negara yang dahulu dihormati kerana kejayaan pembangunannya, kerana ketelusan pentadbirannya, kerana sikap keterbukaannya sudah tidak ada lagi.

73. Hari ini negara ini dibawah pemimpin yang bergelumang dengan rasuah, dengan jenayah pencurian duit rakyat, dengan penipuan, dengan penindasan, sudah menjadi negara ini negara pariah, negara yang dihina oleh dunia, dipimpin oleh orang yang terhina.

74. Negara ini sekarang dikenali sebagai negara rasuah yang tertinggi. Sebabnya pemimpin tertinggi sekali yang menjadi perasuah terbesar dalam negara. Dunia tahu bahawa pemimpin inilah yang mengguna kedudukan tertingginya untuk mencipta 1MDB, kononnya dana kekayaan negara, meminjam wang berbilion dan melesapkan wang ini. Dunia tahu dan rakyat Malaysia juga tahu berkenaan berbilion Ringgit yang tiba-tiba berada dalam akaun peribadi Perdana Menteri, yang tidak mungkin ada kepadanya melainkan jika ia diseludup dan dicuri.

75. Kita tahu Perdana Menteri Malaysia tidak mungkin menjadi "billionaire" kerana gaji dan pendapatan Perdana Menteri, walaupun mencukupi tetapi tidaklah sebegitu besar.

76. Dan keluarga PM bukanlah begitu kaya sehingga dapat membeli mahligai di London, New York dan Hollywood, mengeluarkan filem lucah dengan pelaburan ratusan million Dolar Amerika. Kononnya wang ini sepeninggalan keluarga. Bilakah terdapat keluarga Melayu yang dikenali dahulu sebagai billionaire. Millionaire Melayu yang boleh tinggal ratusan juta kepada waris pun tidak pernah ada dahulu. Yang boleh dipercayai ialah wang ini dicuri. Dan memang pun Jabatan Keadilan Negara (Amerika) berkata demikian. Jika tidak benar adakan saman malulah. Tetapi tidak. Hanya cuba melobi - menyogok. Negara sudah tidak ada undang-undang. Polis tidak ambil tindakan keatas laporan yang dibuat kepadanya. Sebaliknya yang melapor di masukkan dalam tahanan dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan palsu. Peguam yang menasihat anak guam juga ditahan, dihadapkan ke mahkamah. Apabila hakim mendapati mereka tidak bersalah, keputusan hakim tidak dipedulikan. Mereka masih dianggap bersalah dan pasport mereka dirampas.

77. Dan jabatan-jabatan Kerajaan diguna untuk menindas. Jika dibantah atau diumum kepada orang ramai akan perlakuan jabatan, maka penindasan dilipatgandakan. Pasport dirampas dan perniagaan diganggu.

78. Buat kali pertama Kerajaan mengguna samseng untuk mengugut, mempertahankan Kerajaan dengan mengasar, membelasah rakyat yang memprotes secara aman akan penindasan oleh Kerajaan. Ketua samseng dilayan, bahkan disuap dedak oleh pihak tertentu setelah bertindak ganas. Rakyat tahu dan samseng mengakui mendapat wang dari pihak tertentu.

79. Pemimpin samseng ini mendakwa mendapat derma. Penderma perlu bayar cukai keatas wang yang di derma. Demikian juga penerima perlu bayar cukai. Bolehkah Lembaga Hasil Dalam Negeri membuat pengakuan terhadap cukai yang telah dipungut dari penderma dan penerima. Oh! Rahsia. Dengan ini jenayah boleh dilindungi. Curilah. Kamu akan dilindungi oleh Pendakwa Raya dan polis melalui OSA dan juga LHDN.

80. Pemerintahan sekarang cuba melaga-lagakan kaum-kaum di Malaysia. Sempadan kawasan pilihanraya diubah untuk memisah pengundi mengikut kaum. Pendaftaran pengundi diganggu dan disekat supaya Gen Y tidak boleh undi. Segala-galanya dilakukan untuk merampas hak rakyat untuk mengundi dalam pilihanraya.

81. Kewangan Kerajaan merosot dengan teruk. Peruntukan bagi Jabatan dan Kementerian tidak diberi mengikut belanjawan yang telah dilulus. Demikian juga peruntukan kepada Universiti-Universiti.

82. Hutang berbillion Ringgit oleh 1MDB dialih kepada Kerajaan untuk membayar.

83. Di masa Kerajaan tidak pun dapat membayar faedah hutang 1MDB, Najib berhutang lagi. Beratus billion dihutang kononnya untuk keretapi laju, keretapi pantai timur dan lain-lain.

84. Tanah dalam Kuala Lumpur, di Johor, di Melaka dan Pulau Pinang dijual kepada orang asing. Jualan tanah ini ditafsir sebagai FDI, Foreign Direct Investment. Tetapi menjual sebahagian dari wilayah negara kepada orang asing bukan FDI. Jikalau menjual tanah pusaka adalah FDI, jual sahajalah negara. Akan kamu dapat lebih banyak duit. Tetapi kamu tidak akan mempunyai negara lagi.

85. Sesungguhnya Najib telah rosakkan politik, ekonomi, kewangan dan masyarakat Malaysia. Kerosakan ini amatlah teruk. Tetapi Najib bersedia memburukkan lagi keadaan negara ini.

86. Tidak syak lagi jika Najib terus menjadi Perdana Menteri, kerosakan negara akan menjadi lebih teruk lagi sehingga tidak dapat dirongkai dengan mudah.

87. Jika kita, rakyat Malaysia, yang begitu sayang kepada negara bertuah ini, jika kita ingin selamatkan Negara tercinta ini, usaha mesti dibuat dari sekarang untuk singkirkan Najib sebagai Perdana Menteri.

88. Kita akui penyingkirannya tidak mudah kerana sokongan buta tuli yang diberi kepadanya oleh wakil rakyat UMNO, dan wakil rakyat BN, pegawai penguatkuasaan Kerajaan, oleh polis dan pendakwaraya, dan penghapusan pemerintahan mengikut undang-undang.

89. Rayuan kepada Raja-Raja juga gagal menghasilkan apa-apa.

90. Maka cara yang tinggal kepada rakyat hanyalah dengan mengalahkan Najib, UMNO dan BN dalam pilihanraya.

91. Untuk inilah kita tubuh Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Tujuannya ialah untuk menggembeling tenaga rakyat dan bekerjasama erat antara parti-parti pembangkang untuk menukar kerajaan pimpinan Najib dalam Pilihanraya Umum ke-14.

92. Percubaan oleh parti-parti pembangkang dahulu gagal. Mereka gagal kerana penyatuan mereka tidak menyeluruh dan kuat. Tetapi kali ini kita semua bersetuju untuk mengadakan parti campuran yang lebih kukuh ikatan antara mereka.

93. Parti Pribumi Bersatu akan menjadi komponen dalam parti campuran ini. Kita, Campuran Pembangkang akan guna satu simbol, satu manifesto dan meletakkan satu calon sahaja dalam tiap satu kawasan. Semua parti-parti komponen akan sokong calon yang satu ini. Tidak akan ada calon lain yang mewakili parti campuran kita.

94. Mungkin akan ada parti lain yang kononnya akan menentang BN. Tak usahlah mereka menyangkal kerana perletakan calon mereka hanya akan memecah sokongan rakyat kepada campuran pembangkang supaya Najib akan menang.

95. Bagi kita dalam parti campuran sebarang perbuatan untuk kononnya melawan BN dengan meletakkan calon oleh parti lain, tidak lain tidak bukan, ianya adalah untuk mengkhianati rakyat yang berhasrat menjatuhkan Najib melalui pilihanraya.

96. Namun demikian PPBM dan campuran pembangkang akan sanggup menghadapi cabaran perlawanan tiga penjuru atau lebih. Rakyat, pengundi, yang sayang kepada negara dan bangsa mesti faham akan hasrat parti diluar campuran parti-parti pembangkang meletakkan calon. Mereka sebenarnya menyokong Najib. Mereka sendiri tidak akan menang. Terutama di kawasan yang mereka kalah pun akan dituntut oleh mereka, guna untuk memecah perpaduan musuh Najib supaya Najib menang. Rakyat perlu faham mengundi pihak ketiga atau keempat bermakna mengundi untuk Najib, untuk UMNO, untuk BN, untuk kleptokrasi.

97. Jika dengan sokongan rakyat parti campuran pembangkang menang dan dapat mendiri Kerajaan, apakah yang boleh dilakukan oleh Kerajaan baru ini?

98. Yang pertamanya ialah mengembalikan negara ini sebagai Negara demokratik yang menghormati pemerintahan mengikut undang-undang.

99. Ini bermakna rakyat kembali bebas melapor dan mendakwa siapa sahaja termasuk pemimpin Kerajaan, jika terdapat salahlaku atau jenayah dilakukan mereka.

100. Tidak akan ada pilih kasih dalam menguatkuasa undang-undang negara. Pendakwaraya tidak boleh letak tuduhan dan laporan oleh orang awam atau agensi Kerajaan dalam OSA (Akta Rahsia Rasmi), untuk melindungi jenayah sesiapa.

101. Kebebasan bersuara dan kebebasan media melapor kebenaran akan dijunjung oleh Kerajaan baru. Walaupun demikian keselamatan dan keamanan dalam masyarakat dan negara akan diambilkira mengikut kehendak majoriti rakyat.

102. Kebebasan berpolitik juga akan dihormati oleh Kerajaan Parti Campuran Pembangkang.

103. GST akan dihapuskan secara beransur-ansur dan diganti dengan sales tax (cukai jualan) mengikut selera rakyat.

104. Nilai matawang akan dipertahan tanpa penjualan Dolar Amerika dalam simpanan (reserve) negara.

105. Akan kita cipta cara yang lebih berkesan untuk pemulihan nilai matawang supaya tidak menekan rakyat, terutama yang mempunyai anak belajar di luar negeri.

106. Kita akan selidik habis-habisan akan wang 1MDB yang diselewengkan. Hutang-hutang baru untuk projek yang membazir akan kita kenalpasti dan kita kaji semula dari segi kemampuan kita berhutang. Kita akan kejar semua wang 1MDB dan Kerajaan yang telah dilesapkan, yang kita tahu berada di tangan orang tertentu.

107. Tafsiran FDI, Foreign Direct Investment (pelaburang asing secara langsung) akan dikembalikan kepada pelaburan dalam industri pengeluaran barangan untuk pasaran tempatan dan eksport.

108. Pembelian tanah secara besar-besaran oleh orang asing dengan tujuan menempatkan orang mereka akan diteliti dari segi kesan terhadap masa depan politik negara.

109. Segala salahguna kuasa oleh jabatan atau agensi Kerajaan akan diselidik dan pihak yang teraniaya akan dipulih dengan adil.

110. Kemiskinan dalam negara akan dikurangkan melalui pengwujudan peluang kerja dan latihan kemahiran; melalui pemulihan nilai Ringgit dan pengurangan kos sara hidup.

111. Yang miskin tegar kerana sebab-sebab tertentu akan dibantu dengan wang yang mencukupi bagi kehidupan yang dianggap selaras dengan sebuah negara yang prihatin.

Luar Negara

112. Umumnya Malaysia akan mengadakan dasar bebas dari sebarang ikatan dengan blok-blok di dunia.

113. Tumpuan akan diberi kepada sebarang ketidak adilan yang dilakukan oleh mana-mana pihak di dunia. Sebarang rampasan wilayah oleh mana-mana pihak akan ditentang oleh Malaysia.

Saudara-Saudari, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

114. Percayalah kerajaan yang akan mengganti BN pimpinan Najib mempunyai cukup kepakaran dalam bidang pentadbiran, politik, ekonomi, kewangan dan kesejahteraan hidup masyarakat untuk melaksana program pemulihan negara dalam perkara-perkara yang tersenarai di atas. Kerajaan ini akan hormati sistem pentadbiran negara dengan memisahkan kuasa antara legislature (pembuat undang-undang dan dasar), eksekutif (pelaksana keputusan pembuat undang-undang dan dasar Kerajaan) dan kehakiman.

115. Pihak Kerajaan (Perdana Menteri yang dipilih oleh legislature) tidak boleh menguasai eksekutif atau judiciary.

116. Perdana Menteri pula mesti mendapat persetujuan Kabinet sebelum mengemukakan dasar kepada Dewan Rakyat untuk mendapat persetujuan majoriti daripada ahli Dewan,

117. Kejatuhan nilai Ringgit akan dipulih melalui pentadbiran dan pengurusan kewangan negara secara bertanggungjawab (prudent) mengikut aturan peraturan. Segala perbelanjaan Kerajaan akan dirancang dengan teliti melalui budget yang sah yang dikemuka kepada Parlimen.

118. Jabatan Audit Negara akan dibebaskan daripada Perdana Menteri dan laporan disampaikan kepada Parlimen, Kerajaan dan orang ramai. Laporan audit tidak perlu dikemukakan kepada Peguam Negara. Laporan Audit tidak akan diletak dibawah OSA.

Bersih

119. Penyertaan lebih seratus ribu rakyat dalam tunjuk perasaan Bersih jelas menunjuk betapa mereka anggap Kerajaan sekarang adalah kotor, tidak berprinsip, tidak bersih.

120. Rakyat berkehendak Kerajaan yang bersih. Kita, Parti Pribumi Bersatu Malaysia juga sependapat dengan persepsi kebanyakan NGO dan rakyat dan ramai daripada kita telah pun menyertai tunjuk perasaan Bersih.

121. Parti kita bersama dengan parti-parti pembangkang yang akan tubuh parti campuran akan berusaha mendirikan Kerajaan yang bersih, terutama dalam pengurusan Pilihanraya di negara tercinta ini. Segala reformasi yang diperlukan akan dilakukan.

122. Kita akan tentukan rasuah berbentuk wang atau barangan lain tidak akan diberi kepada pengundi di apa juga peringkat untuk mendapat sokongan dalam pilihanraya.

123. Jika didapati BR1M mustahak maka wang ini akan diagih oleh pegawai Kerajaan. BR1M tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana manifesto mana-mana parti.

124. Jika dipersetujui oleh rakyat BR1M akan dijadikan bantuan statutory yang ditentukan oleh undang-undang dan budget biasa. Perdana Menteri tidak boleh tentukan pemberian ini atau jumlahnya, atau cara penyampaiannya.

125. Sesungguhnya yang miskin dan daif akan diberi bantuan supaya mereka boleh hidup sempurna. Soal mereka sokong atau tidak parti campuran pembangkang tidak akan diambilkira dalam bantuan yang akan diberi.

126. Saya sebagai bekas ahli dan bekas presiden UMNO menyeru kepada ahli-ahli UMNO supaya tinggal parti pimpinan orang yang terlibat dengan rasuah dan rompakan, seorang kleptokrat. Tinggallah UMNO seperti saya dan ramai pemimpin dan ahli UMNO meninggalkan UMNO.

127. Janganlah sesiapa meyokong parti UMNO dan BN secara buta tuli. Parti yang dahulu banyak berjasa, hari ini sudah menjadi parti pengkhianat kerana mendokong dan mempertahankan pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin mereka.

128. Apabila pemimpin sudah tidak lagi berpandu kepada dasar yang mulia dan bahagia yang ditentukan oleh pengasas parti, ia perlu ditukar. Perlembagaan parti mengizin dan memberi panduan akan cara menyingkir pemimpin yang sudah tidak lagi layak.

129. Jika penyingkiran pemimpin tidak dapat dilakukan kerana sebab-sebab tertentu, pilihan yang ada ialah dengan meninggalkan parti.

130. Tetapi perjuangan asal parti perlu dikekalkan. Perjuangan ini telah diambilalih oleh pihak lain, parti lain, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Oleh itu tinggallah UMNO dan sertailah PPBM.

131. Rakyat berbilang kaum di negara ini akui akan keistimewaan kedudukan orang Melayu dan Pribumi lain.

132. Mereka yang menyertai parti campuran pembangkang menghormati Perlembagaan Malaysia termasuk Artikel 153. Sudah tentu PPBM menjunjung tinggi Perlembagaan Malaysia dan akan mempertahankannya.

133. Penubuhan PPBM bertujuan untuk mewakili orang Melayu dan bumiputra lain dalam parti campuran pembangkang supaya penyelewengan UMNO dapat diatasi dan diganti. PPBM bukan milik pengasasnya sahaja. Ia adalah milik semua Melayu / Pribumi yang menyertainya. Ia juga adalah milik penyokongnya.

134. Inilah hasrat PPBM. Tidak ada niat oleh PPBM untuk merampas hak mana-mana kaum, atau hak rakyat.

135. Sebaliknya niat PPBM ialah pemulihan pemerintahan yang demokratik di negara ini bersama dengan kaum lain seperti yang diwasiatkan oleh pejuang kemerdekaan negara bertuah ini.

136. Inilah sahaja niat kami. PPBM adalah milik semua orang Melayu dan Pribumi Malaysia. Sebagai parti pribumi ia mendapat pengiktirafan dan sokongan semua kaum.

137. Kami berikrar akan berpegang kuat kepada amanah untuk menyelamatkan negara ini, dan berpegang kepada perlembagaan negara untuk memelihara hak dan kedudukan orang Melayu dan pribumi lain tanpa merampas hak kaum-kaum lain.

138. "Ya Allah Ya Tuhan kami. Bersempena dengan perasmian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kami memohon inayah dan taufikMu, Ya Allah, Kurniakanlah akan kami kesejahteraan dan kebahagiaan dan kesihatan jasmani dan rohani. Bukakanlah hati-hati kami, dan hati mereka yang bersama kami supaya sedar akan kemungkaran yang sedang berlaku di negara kami. Ya Allah Ya Tuhan Kami, Ingatkanlah kami semua bahawa Engkau tidak akan ubah nasib buruk bangsa kami melainkan kami sendiri berusaha mengubahnya kepada yang baik. Oleh itu makbulkanlah doa kami ini dan berilah kepada kami kejayaan supaya akan terselamatlah bangsa dan negara kami ini. Walhamdulillahi rabil ala min......"

139. Inilah doa kami dan inilah janji kami.

140. Oleh itu dengan keikhlasan janji kami, saya dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim merasmikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.








FEATURED ADS



Tiada ulasan: