Khamis, 26 Januari 2017

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


SALLEH YANG TERLUPA.....

Posted: 26 Jan 2017 06:47 AM PST

shahudindotcom


Kata Salleh Said Keruak, pengampu dan pembodek nombor satu dalam negara ketika ini, Lim Kit Siang tidak setaraf kedudukannya dengan Najib Razak untuk mengadakan perbahasan.

"Mungkin Kit Siang terlupa bahawa beliau hanya Pengerusi DAP. Malah, beliau juga bukan ketua Pakatan Harapan dan ini tidak meletakkannya setaraf dengan Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional.

"Sekiranya Kit Siang adalah ketua Pakatan Harapan atau Perdana Menteri Bayangan, maka beliau mungkin mempunyai sebab untuk menuntut mengadakan perbahasan dengan Najib," kata Salleh lagi.

Siapa yang sebenarnya terlupa, Lim Kit Siang atau Salleh sendiri?
 
 
 
 
Adakah Salleh terlupa bahawa Anwar Ibrahim, sebelum PRU 13, telah berkali-kali mencabar Najib untuk berdebat dengannya dan tidak pernah sekali pun cabaran itu berani disambut?

Bukankah Anwar ketika itu adalah ketua Pakatan Rakyat dan Perdana Menteri bayangan?

Mengapa Najib tidak berani menyahut? Adakah Anwar tidak setaraf kedudukannya dengan Najib?

Jika perkara itu pun Salleh masih terlupa, beliau tentunya masih ingat mengenai program NothingToHide di mana Tun Mahathir Mohamad dengan penuh "gentleman"  menunggu kehadiran Najib untuk menyoal beberapa soalan mengenai 1MDB, tetapi akhirnya Najib sendiri yang kesipuan di dalam rumah dan membatalkan kehadiran tanpa sebarang sebab.

Mengapa Najib takut dan lari untuk berdepan dengan Tun Mahathir di pentas yang sudah dipenuhi dengan hadirin?

Adakah Najib juga menganggap Tun Mahathir tidak setaraf untuk berdebat dengannya?

Bolehkah Salleh menamakan sesiapa yang lain yang difikirkannya setaraf dari segi kedudukan dan jawatan untuk berdebat dengan Najib? 
 
 
 

Malaysia perlu menarik diri daripada TPPA

Posted: 26 Jan 2017 06:36 AM PST

 
Oleh SM MOHAMED IDRIS


Berdasarkan kepada perkembangan terbaharu berhubung Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), Malaysia perlu menarik diri daripada perjanjian itu. Malaysia juga perlu menghentikan pelaksanaan perubahan dalam dasar dan undang-undang negara yang dilakukan untuk mematuhi TPPA. Kerajaan juga sepatutnya tidak terburu-buru melakukan rundingan perjanjian perdagangan dua hala dengan Amerika Syarikat.

Perintah eksekutif Presiden Donald Trump untuk Amerika Syarikat menarik diri daripada TPP secara tidak langsung telah membunuh TPPA itu sendiri.

Bagaimanapun, menurut laporan media, beberapa ahli TPPA seperti Australia cuba untuk menyelamatkan TPPA dengan meminta 11 negara TPPA yang lain untuk meneruskan TPPA dan agar perjanjian itu dikuatkuasakan tanpa Amerika Syarikat.

Malaysia tidak sepatutnya bersetuju dengan cadangan itu memandangkan ia bertentangan dengan kepentingan negara kita untuk menyertai TPPA yang sama, serta tanpa Amerka Syarikat.

Dalam TPPA, Malaysia berharap untuk memperolehi faedah daripada akses pasaran yang lebih baik untuk eksport kita terutamanya ke pasaran Amerika Syarikat, memandangkan Amerika Syarikat merupakan ekonomi terbesar dalam kalangan negara TPPA.

Dalam urusan ini, Malaysia sanggup untuk menanggung kewajipan berat yang mempunyai kesan negatif terhadap ekonomi dan masyarakat kita. Adalah sesuatu yang tidak rasional dan tidak dapat diterima untuk kekal dalam TPPA dan menanggung kewajipan yang buruk apabila tiada akses yang berfaedah kepada pasaran Amerika Syarikat sebagai ganti rugi bagi kewajipan yang buruk ini.

Kewajipan negatif ini termasuklah terhadap undang-undang harta intelektual yang lebih kukuh yang akan menghalang kemampuan Malaysia untuk mempunyai ubatan generik yang lebih murah dan bersetuju untuk pelabur asing membawa kes pertikaian ke tribunal antarabangsa terhadap kerajaan untuk mendapatkan pampasan bagi kerugian masa depan yang dialami oleh mereka daripada sebarang perubahan dasar kerajaan.

Kewajipan lain termasuklah membuka pasaran bagi pemerolehan kerajaan untuk orang asing dan keutamaan untuk syarikat tempatan akan berakhir atau dihadkan berbanding sistem sekarang; dan juga had yang dikenakan terhadap operasi syarikat dan entiti yang dimiliki kerajaan atau kepentingan di dalamnya.

Selain itu, Malaysia juga perlu membuka pasarannya kepada negara TPPA lain, yang mungkin boleh menyebabkan pengaliran masuk import murah yang akan merosakkan kehidupan petani dan perniagaan beberapa syarikat kita terutama sekali perusahaan kecil dan sederhana.

Umum mengetahui bahawa Amerika Syarikat merupakan negara utama yang menekan negara lain termasuk Malaysia agar melaksanakan kewajipan seperti harta intelektual, peraturan pelaburan, sistem pertikaian negara-pelabur, pemerolehan kerajaan dan perusahaan milik negara.

Peraturan ini dalam TPPA digubal untuk faedah korporat besar Amerika Syarikat dan negara maju lain seperti Jepun dan menjejaskan pengguna, petani dan syarikat tempatan Malaysia.

Malangnya Malaysia masih sanggup mengambil kewajipan berat ini dalam usaha untuk mempunyai akses kepada pasaran lain, terutamanya pasaran Amerika Syarikat.

Adalah tidak logik dan amat menjejaskan jika Malaysia menyertai TPPA tanpa Amerika Syarikat. Ini bermakna terus menerima dan menanggung penderitaan akibat komponen yang merosakkan daripada TPPA yang dituntut oleh Amerika Syarikat, tanpa mendapat manfaat daripada akses yang lebih baik ke pasaran utama iaitu Amerika Syarikat.

TPPA merupakan perjanjian yang berat sebelah yang tidak memihak kepada Malaysia, jadi tiada sebarang kerugian kepada Malaysia dengan tidak menyertai TPPA.  Dalam bidang perdagangan barangan, kajian menunjukkan bahawa akan ada kerugian bersih dalam imbangan perdagangan bagi Malaysia, kerana import akan meningkat lebih daripada eksport di bawah TPP. Jika isu-isu bukan perdagangan dimasukkan, akan ada kesan kerosakan yang serius secara keseluruhan kepada Malaysia.

Menurut Presiden Trump, beliau kini akan meneruskan dengan rundingan perdagangan dua hala antara satu pihak dengan satu pihak yang lain dengan beberapa negara TPPA. Malaysia tidak seharusnya melakukan rundingan dengan Amerika Syarikat bagi perjanjian perdagangan dua hala kerana ia adalah berat sebelah serta bertentangan dengan kepentingan negara, memandangkan tuntutan melampau Amerika Syarikat yang akan dibuat ke atas isu bukan perdagangan, dengan hanya keuntungan terhad dalam bentuk akses pasaran ke Amerika Syarikat.

Bahaya lebih jelas dengan strategi perdagangan "Amerika Didahulukan (America First)" Presiden Trump di bawah mana Amerika Syarikat boleh dijangka akan memaksimumkan eksportnya sambil meminimumkan import dengan rakan-rakan dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Satu lagi persoalan penting ialah apakah akan berlaku kepada perubahan dalam undang-undang dan dasar yang telah disediakan oleh kerajaan dalam usaha untuk mematuhi peraturan TPPA?

Pada pandangan kami, adalah penting bagi kerajaan untuk menggantung semua langkah untuk membuat perubahan ini memandangkan TPPA tidak akan wujud. Kebanyakan perubahan ini mempunyai kesan sosial dan ekonomi negatif yang serius.

Khususnya, perubahan kepada undang-undang dan dasar negara kita berhubung harta intelektual akan menghalang atau menyukarkan bagi Malaysia untuk mendapatkan ubatan pada harga yang lebih murah. Ia juga akan menjejaskan kepentingan petani yang akan berhadapan batasan baharu terhadap kemampuan mereka untuk menyimpan dan menggunakan semua biji benih. Ia juga akan mengehadkan akses orang ramai kepada pengetahuan saintifik dan penerbitan.

Adalah tidak munasabah dan bertentangan dengan kepentingan awam untuk menukar undang-undang dan dasar yang akan menjadikan rakyat Malaysia lebih buruk hanya untuk mematuhi TPPA sedangkan TPPA kebarangkalian besar tidak akan wujud lagi.

CAP menggesa kerajaan supaya mengesahkan bahawa ia tidak lagi menyertai TPPA dan sebaliknya tarik diri dari TPPA berdasarkan situasi baharu di mana Amerika Syarikat telah menarik diri; serta tidak terburu-buru untuk merundingkan FTA dua hala dengan Amerika Syarikat; dan menghentikan langkah untuk melaksanakan perubahan dalam undang-undang dan polisi yang dirancang untuk dilaksanakan dalam TPPA.

Penarikan diri Amerika Syarikat daripada TPPA adalah peluang terbaik buat Malaysia untuk memikirkan semula pendekatan terhadap perjanjian pelaburan dan perdagangan. Perdagangan merupakan sebahagian penting daripada ekonomi Malaysia, perjanjian perdagangan tidak secara automatik baik untuk negara dan kita perlu mengambil bahagian hanya dalam perjanjian yang mempunyai kepentingan kepada orang ramai. -
 
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Masjid juga dibina atas tanah tugu banjir, jelas Pemuda Pas Kelantan

Posted: 26 Jan 2017 06:26 AM PST

ZIKRI ABDULLAH
 
 
Masjid Al Jauhar, Kuala Krai.Masjid Al Jauhar, Kuala Krai. 

Isu wang Yayasan Tok Kenali (YTK) yang digunakan untuk membayar tanah tapak tugu banjir semakin menarik apabila Pemuda Pas Kelantan mengakui tugu berkenaan didirikan di 'bucu hujung lidah' tanah milik seorang Cina seluas 1.1 ekar.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Nazman bin Che Iberahim dalam kenyataannya hari ini mengakui Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) membayar RM300,000 yang didakwanya lebih murah dari harga pasaran untuk tanah tugu itu didirikan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, tanah tersebut bukan untuk tugu itu sahaja kerana di atas tanah itu juga terdapat sebuah masjid yang dinamakan Masjid al-Jauhar.

Nazman kesal dengan kenyataan Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa semalam yang disifatkan mengandungi maklumat pramatang dan seakan-akan tidak membuat "homework".

"Tugu banjir bukan isu pokok, Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) lah hero sebenar dalam hal tanah ini.

"Datuk (Husam) cuba untuk menggambarkan kononnya tanah yang sempit sekangkang kera itu, yang didirikan tugu banjir oleh NGO, sebagai satu tanah yang bernilai RM300,000.

"Sedangkan keluasan sebenar tanah tersebut adalah 1.1 ekar dan ia adalah tapak bagi Masjid Al Jauhar yang telah berada lebih puluhan tahun di sana," katanya.

Menurutnya, masjid yang digunakan sekian lama oleh sebahagian penduduk Guchil, menjadi persinggahan puluhan ribu anak perantau setiap tahun, menjadi pusat sehenti program masyarakat setempat, adalah sebenarnya milik individu seorang Cina.

"Maka dengan segala kebijaksanaan kerajaan negeri, tanah seluas 1.1 ekar ini, yang berada di segitiga emas Kuala Krai, yang jika dinilai secara profesional, ia mungkin akan mencecah harga pasaran sehingga RM1 juta, telah berjaya diselamatkan atas nama Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) dengan harga lebih murah dari harga pasaran," katanya.

Katanya lagi, menyelamatkan tanah Masjid Jauhar seluas 1.1 ekar adalah satu kerja mulia yang sudah berjaya dimainkan oleh YTK.

"Dan adakah NGO membina sebuah tugu bagi memperingati Bah Kuning 2014, Bah Merah 1927, Bah Besar 1967 dan lain lain sejarah, dengan menggunakan wang mereka sendiri, di bucu hujung lidah tanah 1.1 ekar ini menjadi satu dosa," soalnya.

Undi Cina didakwa beralih sokong Pas, DAP 'parti U-Turn'

Posted: 26 Jan 2017 06:20 AM PST

 ARIF ATAN
 
 
Pas yakin masyarakat Cina akan mengundi parti itu.Pas yakin masyarakat Cina akan mengundi parti itu.

Pas yakin masyarakat Cina kini beralih menyokong parti itu sehingga mendorong pemimpin DAP menghulurkan salam perdamaian.

Muka depan keluaran terbaru akhbar rasmi parti itu, Harakah memaparkan poster penuh ucapan Selamat Tahun Baru Cina berserta ungkapan, "Kaum Cina menyokong Pas memperjuangkan negara yang aman dan makmur" dengan di atasnya terpampang logo parti itu.

Semakan Malaysia Dateline juga mendapati nada sama disampaikan melalui laporan bergambar, "Pas tetap di hati non Muslim" di halaman N21 merujuk kepada agihan buah limau mandarin kepada masyarakat Cina oleh enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas di Selangor.

Pemimpin yang terlibat Adun Chempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad; Adun Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi; Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz; Adun Sabak, Ustaz Sallehen Mokhyi; Adun Serdang, Noor Hanim Ismail serta Adun Bangi, Shafie Ngah.
Selang dua halaman selepas itu, tertera berita, "Pas semakin diterima kaum Tionghoa" yang merupakan reaksi pemimpin Dewan Pemuda Pas, Mohammad Ibrahim dengan menggelarkan DAP sebagai 'DAP U-Turn'.
"Kini DAP U-Turn mengharapkan sokongan Pas. Jadi kaum Cina sudah faham dan dapat lihat sikap DAP ini," ujarnya seperti dipetik.

Sambutan masyarakat Cina kepada Pas dapat diukur daripada program agihan limau mandarin sempena Tahun Baru Cina.Sambutan masyarakat Cina kepada Pas dapat diukur daripada program agihan limau mandarin sempena Tahun Baru Cina.
Sementara itu, dalam halaman sama di N23 memuatkan berita, "Pas ajak Melayu, Cina dan India buat perubahan PRU14" merujuk kepada seruan presiden parti tersebut, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bersama gambar dengan kapsyen, "Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi tersenyum menyambut salam yang dihulurkan oleh peserta tarian singa", laporan itu memetik ucapan Abdul Hadi dalam majlis sambutan Tahun Baru Cina 2017 dan Dialog Bersama Presiden Pas di Kampung Batu Lima, Dungun pada 20 Januari lalu.

Di muka belakang, Harakah dengan tajuk "Undi Cina beralih" menyifatkan segala tembelang DAP dan parti lain terdedah akhir-akhir ini sehingga mendorong kaum Cina memberi undi kepada Pas.

Selepas Pas, DAP mahu jumpa MCA, Gerakan

Posted: 26 Jan 2017 06:11 AM PST




lim kit siang


(Sinar Harian) – Selepas menyatakan keinginannya untuk bekerjasama dengan Pas dua hari lalu, kini Penasihat DAP, Lim Kit Siang bersedia untuk berjumpa MCA dan Gerakan bagi tujuan yang sama.

Kit Siang berkata, beliau bersedia dalam tempoh 72 jam dari hari ini untuk berjumpa dengan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong bagi membincangkan cara untuk membebaskan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia.

Menurutnya, menyelamatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal adalah agenda negara bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

"Tujuan saya hanya mahu menyelamatkan Malaysia dari terus menjadi negara gagal. Saya beri tempoh kepada MCA dan Gerakan bermula hari ini (semalam) jam 12 tengahari hingga 27 Januari ini (sempena sambutan Hari Raya Cina). Saya akan tunggu.

"Pertemuan itu diharap dapat membincangkan bagaimana DAP bersama MCA dan Gerakan boleh bekerjasama untuk kepentingan negara bagi membebaskannya daripada kleptokrasi dunia. Saya harap perkara ini dapat dipenuhi. Persoalannya, adakah MCA dan Gerakan perlu mendapat kebenaran Umno terlebih dahulu sebelum berjumpa saya?" katanya kepada media.

Mengulas berhubung dakwaan beberapa pihak kononnya tindakan DAP itu sebagai membuat pusingan U, Ketua Ahli Parlimen DAP itu berkata, dakwaan itu hanya dari mereka yang berfikiran sempit.

Terdahulu, Kit Siang menyatakan kesediannya untuk berbaik semula dengan Pas apabila ingin berjumpa dengan presiden parti Islam itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi tujuan sama.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, kerjasama itu boleh direalisasikan sekiranya Abdul Hadi sedia memberi komitmen untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia.

Sementara itu, menjawab soalan media sama ada beliau sudah berbincang dengan kepimpinan Pakatan Harapan berhubung niatnya itu, Kit Siang berkata, beliau tidak perlu berbuat demikian.

"Saya rasa tidak perlu berbincang untuk cadangan kerjasama dengan Pas. Saya bukan boneka kepada mana-mana pihak termasuk Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Cadangan untuk adakan kerjasama dengan Pas dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) akan diteruskan walaupun ditentang Tun Mahathir.

"Saya rasa tidak perlu berbincang dengan beliau (Tun Mahathir) kerana sememangnya kita bertentangan pendapat tentang sesetengah perkara termasuk cadangan kerjasama dengan Pas ini," katanya.

Kit Siang berkata, beliau juga tidak perlu mendapatkan persetujuan daripada parti komponen Pakatan Harapan berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Tun Mahathir yakin pakatan pembangkang tidak memerlukan Pas untuk mengalahkan BN dalam PRU-14.

Beliau berkata, Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan turut dianggotai PKR, Amanah dan PPBM itu sudah mencukupi untuk mengalahkan BN dan Pas.

Pakatan Mahathir-DAP satu konspirasi?

Posted: 26 Jan 2017 04:28 AM PST

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] Tun Dr Mahathir Mohamad tersudut oleh keceluparan mulutnya sendiri. Secara langsung atau tidak beliau mengakui bahawa DAP pernah menyatakan hasrat mengisi kerusi Timbalan Perdana Menteri, jika pembangkang menang.
 
Tidak kiralah sama ada DAP membuat permintaan itu sesudah atau sebelum Pakatan Rakyat terkubur ataupun setelah Pakatan Harapan (PH) terbentuk.
 
Yang penting umum tahu Mahathir cuma berbaik dengan DAP apabila sudah menubuhkan sebuah parti pembangkang bernama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Pasport merapatkan diri dengan pembangkang ialah dengan menarik balik kepercayaannya sebelum ini bahawa DAP adalah sebuah parti rasis.
 
Alasannya ialah beliau baru tahu bahawa lirik lagu rasmi DAP berbahasa Malaysia!
 
Hakikatnya, setelah menyedari DAP tidak rasis, Mahathir mengadakan rundingan khusus dengan penasihat DAP, Lim Kit Siang, mengenai siapa bakal jadi perdana menteri dan timbalannya, jika pembangkang menang.
 
Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Mahathir mengakui benar DAP ada membuat permintaan itu. Justeru demi Lim Kit Siang dan anaknya yang juga Setiausaha Agung DAP mesti tampil menafikannya secara rasmi.
 
Keletah Mahathir menyusahkan DAP. Jika ia tidak, natijahnya boleh menjejaskan wibawa DAP sendiri. Jika DAP tidak menafikannya bererti DAP dan Mahathir memang ada pakatan sulit seperti didedahkan bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz.
 
Sebaliknya jika DAP menafikan bererti ia menuduh Mahathir berbohong. Mungkin DAP tidak mahu memberi komen rasminya kerana "mahu menjaga air muka" Mahathir.
 
Dalam pada itu, berpeluh Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamarudin Md Nor cuba menafikan Mahathir tidak ada membuat kenyataan bahawa DAP ada meminta diberikan kerusi Timbalan Perdana Menteri kelak.
 
Kata Kamarudin, Dr Mahathir hanya cuba 'mengimbau' perbincangan yang pernah diadakan di antara PPBM dan DAP dan menegaskan tiada kata sepakat berhubung  isu berkenaan.
 
"Dr Mahathir kata pernah DAP sebut soal jawatan Timbalan. Namun kita tak setuju. Bukan sahaja DAP, MCA pun pernah minta dengan Umno untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua.
 
"Tak semestinya mereka (DAP) minta (jawatan), mereka dapat.
 
"Kita sudah buat penjelasan bahawa tidak berbangkit soal kita melayan tuntutan DAP, ataupun MCA," katanya.
 
Ini mengusutkan keadaan kerana ia membuktikan bahawa memang benar perundingan berhubung agenda berkenaan pernah berlaku di antara Mahathir dan Kit Siang.
 
Hal ini tentu menggerunkan kerabat PH kerana ia mendedahkan cara Mahathir melakukan rundingan politik. Dengan satu pihak dalam PH (iaitu DAP) beliau tergamak berbincang isu sensitif itu di luar pengetahuan kerabat politik lain.
 
PKR, Amanah lebih berwaspada
 
Jika itu bukan taktik "pecah-belah dan perintah" apakah namanya? Justeru PKR dan Amanah seharusnya lebih berwaspada terhadap DAP dan PPBM kerana ada bukti mereka melakar agenda lain sekiranya pembangkang menang.
 
Namun agak menyedihkan apabila pimpinan tertinggi PKR memilih berdiam diri. Bagi PKR cuma Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin yang memberi komen terhadap kenyataan Mahathir itu.
 
Katanya, jika sungguh DAP ada menyatakan demikian pada Mahathir, maka PKR tidak mempunyai masalah kerana ia bersikap terbuka meraikan kepelbagaian kaum yang terdapat dalam kalangan blok pembangkang.
 
"Ya (tiada masalah), atas dasar kita nak menunjukkan kita (meraikan) kepelbagaian kaum," katanya.
 
Bagaimanapun Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau tidak pernah mendengar DAP membuat permintaan berkenaan.
 
"Pada prinsipnya saya tidak nampaklah ada permintaan daripada DAP yang dikatakan parti Cina itu meskipun mereka sebenarnya parti berbilang kaum, tidak pernah kita dengar mereka menyatakan hasrat itu.
 
"Tapi kita sebagai satu pakatan pembangkang yang berbilang kaum, kita alu-alukan kombinasi untuk kepentingan masyarakat berlainan (kaum).
 
"Kita dalam Pakatan ini memang mempertimbangkan kemungkinan benda-benda macam begini. Tapi mereka (DAP) tidak mintalah," katanya.
 
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali seperti lazimnya akan "berlepas tangan" dengan membuat kenyataan klise jika tersudut dalam persoalan politik.
 
Azmin berkata, keputusan menentukan siapa bakal menjadi perdana menteri atau timbalannya bukan diputuskan oleh pembangkang. Sebaliknya Azmin menyerahkan kepada rakyat membuat keputusan itu.
 
"Keputusan nanti ini melibatkan sistem demokratik. Bukan soal kita setuju atau tidak setuju.
 
"Kalau rakyat setuju, ini soal demokrasi. Rakyat yang akan menentukan siapa yang menang dalam pilihan raya. Jadi kita kena menghormati keputusan rakyat," katanya.
 
Persoalannya ini bukan sahaja isu demokrasi. Ia adalah soal integriti dan gelagat kerabat-kerabat politik PKR. Ia adalah satu konspirasi.
 
Setidak-tidaknya ia boleh dibaca percubaan menyorok hasrat DAP dari pengetahuan pengundi Melayu dan dilihat Mahathir sedia membantu DAP mencapai cita-citanya.
 
 

Pencarian MH370 kembali ke rancangan asal

Posted: 26 Jan 2017 04:24 AM PST

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, para pegawai dan pakar pencarian akan terus menganalisis kesemua data yang ada untuk mencari MH370.
 
"Kita menggantung pencariannya agar kita boleh kembali ke rancangan asal dan mengkaji semula data pencarian laut dalam, data serpihan, corak hanyutan dan data satelit.
 
"Biro Keselamatan Pengangkutan Australia akan terus menganalisis sebarang data yang mereka miliki sementara Pertubuhan Saintifik dan Kajian Komanwel akan terus menganalisis corak hanyutan serpihan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya Anih Bhd di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, Malaysia telah menubuhkan pasukan tindak balas yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman untuk melihat serpihan dan menghubungi kembali semua negara yang berada di sekitar Lautan Hindi bagi membantu Kuala Lumpur dalam mencari hasil tinggalan pesawat Malaysia Airlines itu.
 
Beliau yang baru kembali daripada Perth, Australia setelah bertemu dengan anak kapal terakhir yang meninggalkan kawasan pencarian, berkata pihak berkuasa Australia telah bersetuju untuk terus bekerjasama dengan Malaysia bagi menyelesaikan apa yang disifatkan sebagai misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden itu.
 
Tiong Lagi berkata, kementeriannya akan mengadakan sesi dialog dengan saudara mara mangsa MH370 bagi menangani keprihatinan dan menjawab persoalan terutamanya yang berkaitan penggantungan usaha pencarian.
 
"Saya telah mengarahkan KP DCA untuk bekerjasama dengan ATSB (Biro Keselamatan Pengangkutan Australia) dan Malaysia Airlines Bhd untuk memberi penjelasan kepada keluarga mangsa MH370.
 
"Kita akan merancang siri dialog dengan saudara mara mereka selepas Tahun Baru Cina mengenai pencarian kita. Kita tidak mahu mereka berfikir yang kita menggantung usaha pencarian begitu sahaja tanpa sebarang perkembangan. Kita mahu mencari jawapan bagi misteri ini bersama mereka," katanya.
 
Selasa lalu, Malaysia, Australia dan China mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengumumkan penggantungan usaha pencarian pesawat Boeing 777-200ER selepas tidak berhasil meneroka kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
 
Pesawat MH370 hilang daripada radar bersama 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam penerbangan menuju Beijing daripada Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014. 
 
 

Siapa Presiden PPBM, Tun M atau Muhyiddin?, soal PAS

Posted: 26 Jan 2017 04:18 AM PST

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS melahirkan rasa keliru mereka terhadap tindak-tanduk Tun Dr Mahathir Mohamad yang melebihi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam mengeluarkan kenyataan bersabit kerjasama dengan parti itu.
 
Menurut Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Tun M hanya sekadar penasihat parti yang tidak terlibat dalam perbincangan dan rundingan yang berlaku antara PPBM-PAS.
 
"(Sekarang) ni presiden parti adalah Tan Sri Muhyiddin, Tun M sebagai penasihat. Dia (Muhyiddin) tidak laju (keluarkan kenyataan). Banyak kenyataan dikeluarkan Tun M dan presiden (Muhyiddin) tak ada kenyataan. Sepatutnya kenyataan dikeluarkan presiden, Tun M tak terlibat dalam perbincangan dan rundingan dan dia tak tahu apa berlaku dan dibincangkan.    
 
"Tan Sri Muhyiddin dan Mukhriz memahami apa yang kita bincang selama ni pun, cuma saya fikir PPBM perlu selesai hal dalaman (parti) siapa yang nak kena ikut? Presiden ke penasihat? Kami pun jadi pening kepala juga," katanya kepada Antarapos. 
 
Sehubungan dengan itu, Tuan Ibrahim meminta kepimpinan tertinggi PPBM untuk menyelesaikan perkara ini terlebih dahulu kerana ia melibatkan masalah dalaman parti yang tidak boleh dicampuri PAS.
 
"Ini urusan dalaman parti Bersatu (PPBM) yang sepatut diselesaikan, sampai ada orang tanya siapa presiden sekarang dalam Bersatu (PPBM) ni?, soal beliau lagi.
 
Tun M kerap kali dilihat melontarkan kritikan keras kepada PAS bersabit hubungan kerjasama mereka, berbanding dengan Muhyiddin yang lebih berlembut dan berhati-hati untuk mempengaruhi parti itu turut serta dalam pakatan pembangkang pada pilihan raya akan datang.
 
Terbaru, Tun M menyalahkan PAS akan menjadi penyebab memecah-belahkan undi pembangkang sekaligus memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).
 
Malah Tuan Ibrahim menafikan PAS adalah parti yang 'degil' untuk diajak bekerjasama, sebaliknya parti itu sentiasa membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti, asalkan mereka menghormati dasar perjuangan masing-masing.    
 
"PAS sentiasa buka pintu rundingan dengan mana-mana pihak yang menghormati dengan apa yang diperjuangkan PAS, kita perlu menghormati sebagaimana PAS menghormati dasar-dasar parti lain.    
 
"PAS bukan parti yang keras, degil nak bincang sebab dalam banyak-banyak parti politik di Malaysia, PAS adalah satu-satunya parti yang mengadakan hampir kerjasama dengan semua parti-parti yang ada hari ini," tegas beliau. 


Peguam kecam manipulasi media pada tulisannya

Posted: 26 Jan 2017 04:12 AM PST

MALAYSIAKINI


Anggota Jawatankuasa Biro Guaman DAP Kedah, Zulhazmi Shariff, mengecam tindakan sesetengah media memutarbelitkan pandangan peribadinya mengenai isu timbalan perdana menteri.

Menurut Zulhazmi, selepas membaca laporan di portal Utusan Online dia tersenyum kerana "kemahiran" media itu memutar belit laporan.

"Utusan Online menaikkan suatu laporan bertajuk Malaysiakini sokong Kit Siang jadi TPM dengan merujuk tulisan saya di Malaysiakini.

"Setelah membaca laporan Utusan Online tersebut saya hanya mampu tersenyum dengan skil putar belit Utusan yang sememangnya telah terkenal sejak sekian lama," katanya.

Menurut Zulhazmi, pandangannya yang ditulis dan kemudian disiarkan oleh Malaysiakini semalam dibuat berdasarkan peruntukan perlembagaan negara ini.

Kata peguam itu, Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunggak negara ini tidak membezakan rakyatnya malah memberikan mereka hak sama rata.

Pada masa sama, katanya, terdapat beberapa peruntukan yang memberikan hak istimewa kepada Melayu.

"Hak istimewa kepada Melayu yang diperuntukkan di Perkara 153 perlembagaan tidak pernah dipertikaikan oleh sesiapa termasuk DAP.

"Malah DAP bersama rakan-rakan dari Parti Amanah Negara (AMANAH), PKR dan juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersepakat untuk mempertahankannya," tulis Zulhazmi.

Semalam Malaysiakini menyiarkan rencana ditulis Zulhazmi yang membincangkan isu pelantikan timbalan perdana menteri dan dikaitkan dengan DAP serta Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Perlembagaan Persekutuan hanya mensyaratkan seseorang yang hendak menjadi perdana menteri mestilah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ahli dewan. Itu sahaja.

"Tidak ada peruntukan ia mestilah seseorang berbangsa Melayu beragama Islam.

"Paling menarik, jawatan timbalan perdana menteri yang diriuhkan sehari dua ini tidak pun diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan," tulisnya.

Lambang kegagalan sebar pembohongan

Di bawah ulasan itu Malaysiakini menyatakan kedudukan Zulhazmi sebagai anggota biro guaman DAP Kedah.

Hari ini Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan TV3 memuatkan laporan kononnya Malaysiakini menyokong Lim dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, Malaysiakini bukanlah satu-satunya portal yang menyiarkan tulisan Zulhazmi itu.

Malaysiakini sudah membuat penjelasan mengenai isu berkenaan hari ini.

Kata Zulhazmi, pendapatnya itu dibuat sebagai reaksi kepada pembantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mencabar Lim supaya "mengakui impiannya" dilantik ke jawatan berkenaan.

Sementara itu Lim dalam kenyataan berasingan berkata, "sangat kebetulan" apabila Utusan Malaysia, New Straits Times dan Berita Harian melaporkan komen berkenaan tetapi mengabaikan ia ditulis oleh Zulhazmi.

"Ini adalah campur tangan amat terang-terangan oleh seseorang yang mempunyai kuasa untuk mengarahkan tiga akhbar arus perdana milik Umno untuk menentukan apa yang perlu disiarkan, bagaimana ia disiarkan dan apa yang perlu diabaikan," katanya.

Anggota parlimen Gelang Patah itu juga memetik nama pegawai propaganda Adolf Hitler, Joseph Goebbels, untuk menegaskan hujahnya itu.

Katanya, ketika mengarahkan media milik Umno itu mengeksploitasi rencana Malaysiakini dan mengabaikan bahawa ia ditulis oleh orang di luar portal berita terbabit, "Goebbels Umno" menunjukkan kuasanya secara jelas.

"Apa yang tidak disedarinya ialah, dia juga menguar-uarkan kegagalannya sebagai Goebbels Umno untuk membolehkan pembohongan itu diterima oleh orang ramai sebagai kebenaran sebenar," katanya.


Jangan sebar maklumat palsu, wahai rakan media

Posted: 26 Jan 2017 04:06 AM PST

MALAYSIAKINI


Amaran kerajaan untuk tidak menyebarkan berita palsu akhirnya tidak diendahkan media arus perdana sendiri.

Ini boleh dilihat bagaimana mereka melaporkan ulasan di Malaysiakini semalam, yang kebetulan turut disiarkan sebuah lagi penerbitan, Malay Mail Online.

Artikel bertajuk "Apa salahnya DAP jadi TPM?" itu jelas menyatakan Zulhazmi Shariff, yang merupakan anggota jawatankuasa Biro Guaman DAP Kedah, sebagai penulisnya.

Membangkitkan isu perlembagaan, Zuhazmi yang juga seorang peguam berhujah, perkara itu bukan suatu kesalahan malah tidak dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan, katanya, tidak pernah mensyaratkan bahawa seorang perdana menteri hendaklah seorang Melayu-Islam.

Zulhazmi menulis artikel itu sebagai reaksi terhadap cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya pemimpin DAP Lim Kit Siang "mengakui impiannya" untuk menjadi timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times (NST) dan TV3 memilih melaporkan kononnya Malaysiakini menyokong atau mencadangkan perkara itu.

Muka depan Utusan, akhbar Umno, jelas terpampang "Malaysiakini sokong Kit Siang jadi TPM".

NST pula di halaman 10 menyiarkan tulisan bertajuk "Malaysiakini: Lim eligible to be DPM" (Malaysiakini: Lim Layak jadi TPM).

Malah, Malaysiakini sebagai sebuah portal berita bebas yang melaporkan berita kedua-dua pihak, dituduh pula sebagai "pro-DAP", seperti tidak cukup dengan gelaran kononnya Malaysiakini "propembangkang" sebelum ini.

Perenggan pertamanya menyebut: "Sebuah portal berita pro-DAP semalam mengisytiharkan bahawa pemimpin parti itu Lim Kit Siang layak menjadi timbalan perdana menteri".

Berita Harian pula menyebut "Portal Berita Malaysiakini mencadangkan ketua ahli parlimen DAP Lim Kit Siang sebagai calon timbalan perdana menteri atau perdana menteri."

Bagaimanapun, lebih beretika berbanding yang lain, Berita Harian di perenggan seterusnya menyebut artikel itu ditulis oleh seorang penyokong DAP.

Akhbar lain pula mungkin tidak nampak perkataan "ULASAN", dengan huruf besar dan berwarna biru di bahagian ringkasan berita (halaman depan) dan di permulaan artikel – yang sudah pasti bermaksud ia pandangan penulis itu.

Atau, artikel itu tidak dibaca sampai habis untuk ke barisan terakhir yang menyebut "ZULHAZMI SHARIFF adalah Ahli Jawatankuasa Biro Guaman DAP Kedah".

Bagaimanapun, diharapkan langkah ini bukanlah usaha untuk memburukkan-burukkan Malaysiakini dengan penyebaran berita palsu.

Malah, Malaysiakini digambarkan sebagai satu-satunya media yang menyiarkan pandangan itu. Malay Mail Online turut menyiarkan artikel sama, yang kebetulan tajuknya juga sama.

Apa pun kemungkinannya, Malaysiakini ingin mengingatkan berkaitan bahaya penyebaran maklumat palsu dan keperluan berpegang kepada etika kewartawanan, yang ditegaskan menteri-menteri kita berulang kali.

Malaysiakini sedang mempertimbangkan akan memasukkan penafian dalam artikel dimuatkan dalam portal ini di masa depan supaya perkara ini tidak berulang.

Mungkin berita yang memuatkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak patut terdapat penafian sebegini:

"Datuk Seri Najib Razak ialah perdana menteri Malaysia dan bukan kakitangan Malaysiakini. Pandangan ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini".

Untuk rekod juga, Malaysiakini bukan pro-DAP, propembangkang, pro-Amerika, pro-Yahudi, pro-Cina, pro-Soros, pro-liberal, pro-Syiah dan macam-macam "pro" lagi.

Kami cuma pro laporan yang objektif dan profesional.


NOTA PENGARANG: Ya, artikel ini melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini!


PPBM 'nasihat' PAS tak perlu masuk campur urusan parti

Posted: 26 Jan 2017 03:33 AM PST

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS diingatkan tidak perlu masuk campur dalam urusan dan struktur Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kata Ketua Penerangannya, Datuk Kamarudin Mohd Noor.
 
'Peringatan' itu diberikan selepas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyuarakan kekeliruan terhadap tindak-tanduk Tun Dr Mahathir Mohamad yang melebihi Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti itu dalam mengeluarkan kenyataan berkenaan usaha kerjasama politik dua parti itu.
 
"Saya ingat beliau tak patut komen struktur parti kita. Struktur parti kita itu kita punya hal," demikian menurut Kamaruddin ketika dihubungi Antarapos.
 
Tuan Ibrahim pada semalam memberitahu partinya keliru dengan sikap Dr Mahathir yang dilihat berlebihan berbanding Muhyiddin dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan membabitkan kerjasama PAS dan PPBM.
 
Sedangkan ujarnya, Dr Mahathir hanya sekadar penasihat parti yang tidak terlibat dalam perbincangan dan rundingan dua parti tersebut.
 
Tambah Tuan Ibrahim lagi, yang lebih arif dalam kerjasama yang mahu dipupuk PAS dan PPBM ini adalah Muhyiddin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. 
 
Sehingga beliau juga menyarankan parti itu menyelesaikan hal dalaman ini dalam soal siapa yang lebih layak memberikan kenyataan dan keputusan parti.
 
Sementara itu diajukan sikap tidak yakin PAS terhadap pertemuan bersama yang akan diadakan 2 Februari depan, Kamaruddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut sehingga satu kata sepakat dicapai selepas itu.
 
"Apa-apa pun, oleh kerana kita sudah tetapkan hendak berjumpa 2 Februari, kita berjumpalah. Selebihnya tunggu selepas perjumpaan itu.
 
"Kita hendak kalahkan BN, lawan BN, bukan nak lawan PAS. Maka kita hendak elakkan pertembungan sesama parti pembangkang," kata Kamaruddin lagi.
 
Tuan Ibrahim mendakwa rundingan PAS-PPBM pada Khamis depan hampir pasti 'tidak akan menepati' kehendak segelintir pihak yang mahukan dua parti itu mengadakan kerjasama politik menuju pilihan raya.
 
Bagaimanapun PAS akan menggunakan ruang pertemuan itu sebaik-baiknya dalam mencari situasi 'menang-menang', meskipun sedar wujudnya percanggahan dalam dasar perjuangan di antara dua parti berkenaan.
 
Semalam Dr Mahathir menasihati PAS supaya mengorbankan matlamat dan pendirian mereka jika mahu bersama Pakatan Harapan (PH) dan PPBM, dalam usaha menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
 
 

TH beri jaminan simpanan pendeposit selamat

Posted: 26 Jan 2017 03:24 AM PST

MALAYSIAKINI



Pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memberi jaminan simpanan pendeposit kekal selamat dan dijamin kerajaan.

TH dalam satu kenyataan, berkata fokus TH adalah sentiasa memastikan pencapaian terbaik dalam pengurusan haji, perniagaan dan pelaburan mengikut prinsip-prinsip Islam demi kepentingan pendeposit.

Katanya organisasi itu menjalankan pelaburannya selaras dengan dasar Alokasi Aset Strategik dan dakwaan bahawa pendeposit akan mengalami risiko kehilangan wang simpanan mereka adalah tidak benar dan berunsur fitnah.

"Kami amat kecewa atas serangan yang berterusan oleh sesetengah pihak yang sentiasa memberi penekanan negatif tentang organisasi ini.

"Kami berpendapat serangan-serangan ini adalah bermotifkan politik," kata TH.

TH turut menyatakan subsidi haji dijangka meningkat kepada sekitar RM200 juta pada tahun ini.- Bernama


Kumpulan media tuntut siasat dakwaan wartawan diugut

Posted: 26 Jan 2017 03:21 AM PST

MALAYSIAKINI


Kumpulan-kumpulan wartawan hari ini menuntut Jabatan Perhutanan Kelantan memuat siasatan berkaitan tangkapan dua wartawan di Gua Musang, Kelantan, Selasa lalu.

Ini susulan kenyataan seorang wartawan itu bahawa seorang pegawai jabatan itu memberi amaran supaya mereka tidak berlagak seperti Bruno Manser – aktivis antipembalakan di Sarawak yang hilang 17 tahun lalu.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Institut Wartawan Malaysia (IoJ), Kelab Koresponden Asing Malaysia (FCCM) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM).

Tiga kumpulan itu juga membangkitkan dakwaan petugas media itu – Chi Too dan Jules Ong – yang tidak dibenarkan berjumpa peguam Siti Kasim, yang bertindak bagi pihak mereka ketika penahanan itu.

Chi Too juga mendakwa mereka diikuti kira-kira seminggu sebelum penahanan itu.

"Kami tidak menyokong tindakan menyalahi undang-undang, tetapi kami tegaskan layanan kasar terhadap wartawan-wartawan, dalam kes ini Ong dan Chi Too amat tidak perlu, terutamanya apabila mereka melaporkan isu melibatkan kepentingan awam.

"Kami juga mendesak Jabatan Perhutanan Kelantan menyiasat insiden melibatkan pegawai yang didakwa mengeluarkan ancaman kepada Chi Too," kata kumpulan-kumpulan itu.

IoJ, FCCM dan GERAMM menegaskan wartawan harus dilayan dengan penuh hormat manakala pegawai-pegawai dan jabatan kerajaan harus bertanggungjawab atas tindakan mereka.

Kedutaan AS sanggah laporan perjalanan bebas visa untuk rantau Asia

Posted: 26 Jan 2017 03:17 AM PST

MALAYSIAKINI


Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur hari ini berkata laporan mengenai perjalanan tanpa visa ke AS untuk rantau Asia adalah palsu.

"Laporan itu mendakwa Presiden (Donald) Trump telah menandatangani perintah eksekutif membenarkan rakyat dari rantau Asia ke Amerika Syarikat tanpa visa.

"Laporan ini palsu dan tidak berasas," kata kedutaan itu dalam kenyataan.

Katanya laporan berita palsu itu disebar dalam media tempatan.- Bernama

Saiful dakwa keluarga Anwar minta tolong, Nuha nafi

Posted: 26 Jan 2017 03:11 AM PST

Anne Muhammad 



Saiful Bukhari Azlan mendakwa didatangi seorang kenalan rapat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta bantuannya bagi pihak keluarga bekas ketua pembangkang itu.

Saiful mendakwa, keluarga Anwar minta beliau memohon pengampunan diraja bagi Anwar tanpa menukar pengakuan beliau diliwat oleh bekas majikannya itu.

Bagaimanapun anak kedua Anwar, Nurul Nuha menafikan perkara itu.

"Oh satu lagi fitnah, keluarga kami tidak pernah hubungi Saiful," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Saiful, 31 dalam tulisan di Facebooknya mendakwa individu itu turut memohon supaya beliau memaafkan Anwar yang kini mungkin sudah insaf atas perbuatannya.

Anwar, 68, menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman penjara padanya.

Beliau bagaimanapun secara konsisten menafikan dakwaan itu dan mendakwa menjadi mangsa konspirasi politik.

LIHAT TULISAN FB DI SINI

PAS tidak amal politik 'kuku besi'

Posted: 26 Jan 2017 02:53 AM PST

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
BANGI: PAS bukan mengamalkan pendekatan 'kuku besi' terhadap mana-mana parti yang ingin menjalinkan kerjasama dengan mereka, sebaliknya parti itu sekadar mempertahankan dasar perjuangan mereka selama ini.
 
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang melabelkan PAS sebagai mengamalkan politik 'kuku besi'.
 
"Parti lain kena faham sesebuah parti ditubuhkan kerana apa. Kalau mereka faham, itu bukan kuku besi. PAS ditubuhkan untuk memperjuangkan Islam. 
 
"Adakah PKR, DAP dan PAN (Amanah) faham? Jadi, tak salah mereka (PAS) katakan, kalau tak mahu ikut kami, 'no way' (kerjasama). Sebab ini prinsip mereka. 
 
"PAS adalah parti Islam se-Malaysia. Bukan PKR dan PAN (Amanah). Bukan kuku besi sebab itulah matlamat mereka, itulah parti mereka ditubuhkan atas dasar Islam," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos.
 
Azmin bertindak melabelkan PAS sebegitu selepas diminta mengulas kenyataan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa mana-mana parti yang hendak bekerjasama perlu mengikut rentak politik mereka. 
 
"Mereka kena baca matlamat penubuhan parti PAS sebelum menuduh PAS kuku besi.

"Saya tak melihatnya sebagai kuku besi sebab dia (Hadi) orang yang berprinsip, orang yang memperjuangkan matlamat parti, itu saja," katanya lagi.  
 
PAS kini hanya meneruskan tahaluf siyasi bersama PKR dalam pentadbiran Selangor selepas Pakatan Rakyat (PR) yang turut dianggotai DAP, terkubur pada 2015.  
 
Dalam masa yang sama PAS menjalankan rundingan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), namun belum memberi kata muktamad untuk menyertai Pakatan Harapan (PH). 
 
Bagaimanapun dengan pendirian PAS yang enggan mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah, selain sikap lantang Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kerap menghentam mereka, kemungkinan rundingan PAS-PPBM itu sukar untuk dijayakan.
 
 

Misi pujuk PAS: PKR keliru, pembangkang celaru

Posted: 26 Jan 2017 02:51 AM PST

Oleh Lokman Ramlee
Post Pic
 

[ULASAN] Adalah agak jelas PKR keliru berhubung usaha membangun sebuah pakatan pembangkang yang kuat untuk mencabar Umno-BN dalam pilihanraya umum ke-14.

Pendirian pemimpin-pemimpin PKR kelihatan bercelaru terutama dalam isu meneruskan atau mengubah pendirian terhadap tahaluf siyasinya dengan PAS. 
 
Pada satu sisi, Naib Presidennya, Dr Xavier Jayakumar berkata, terserah pada PAS ingin menilai semula kerjasama dengan PKR tetapi PKR tetap ingin meneruskannya. 
 
Beliau berkata, PKR tiada masalah bekerjasama dengan PAS setakat ini dan hubungan itu berterusan khususnya dalam konteks kerajaan negeri Selangor.  
 
"Dia (PAS) mahu menilai atau tidak, itu perkara nombor dua. Kita sekarang bekerjasama dengan PAS, dan kita akan teruskan.
 
"Kita ada perhubungan dengan PAS, kita bercakap dengan PAS tiap-tiap minggu menerusi mesyuarat Exco. Kita ada exco PAS dalam kerajaan, tiada masalah," katanya.
 
ADUN Sri Andalas itu berharap, usaha Penasihat DAP, Lim Kit Siang menghulur salam perdamaian kepada PAS sebagai petanda positif bagi pembangkang.
 
Malah seorang lagi Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin juga menaruh harapan PAS menyambut baik salam perdamaian DAP.
 
Beliau berkata, inisiatif DAP itu adalah bagi mengelak pertembungan lebih dua penjurumenentang Barisan Nasional (BN). 
 
DAP memaklumkan kesediaan rujuk kembali bekerjasama dengan PAS demi menyelamatkan Malaysia daripada menjadi contoh kleptokrasi dunia.
 
Azmin sindir PAS 
 
Malangnya, pendirian dua Naib Presiden PKR itu dicemari komen Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang sinis terhadap pendirian PAS yang dianggapnya mahu mendominasi pembangkang. 
 
Beliau menyifatkan kepimpinan PAS sebagai 'kuku besi' kerana hanya mahu bekerjasama dengan pihak yang sedia mengikut telunjuk parti itu.
 
Azmin Ali berkata, syarat yang dikenakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya pembangkang meneladani pengalaman PAS menentang BN, sebagai satu proses demokrasi yang tidak sihat.
 
"Kalau paksa kamu kena ikut cara aku, rentak aku, itu bukan demokrasi, tetapi itu kuku besi," katanya.
 
Komen Azmin itu dilihat bakal mengeruhkan lagi hubungan tahaluf siyasi di antara PKR dan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Beberapa pemimpin PAS sebelum ini mendesakpimpinan parti itu mengkaji semula hubungan dengan PKR yang diasaskan pada PRU 2008.
 
Pendirian Azmin itu pula dilihat mirip pemikiran politik Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir Mohamad yang mendesak PAS segera menentukan mahu atau tidak bekerjasama dengan pembangkang lain.
 
Desakan Mahathir ini membuat pimpinan PAS berasa tercabar dan mengambil pendirian 'PAS tidak memerlukan pemimpin angkuh seperti Tun Dr Mahathir Mohamad'.
 
Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, veteran politik itu mungkin diperlukan Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan survival politik mereka, tetapi tidak PAS.   
 
Malah ujar Nasrudin, sasaran utama Dr Mahathir sebenarnya bukan untuk mengalahkan Umno, sebaliknya menyasarkan PAS yang didendamnya kerana 'enggan turut kemahuannya'.
 
Amanah keruhkan keadaan
 
Ketika PKR agak bercelaru dalam isu ini, parti Amanah pula mengeruhkan keadaan dan ini mungkin mendorong PAS semakin menjarakkan diri daripembangkang. 
 
Amanah menuduh Blok Ketiga yang dibarisi PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), sebagai proksi Barisan Nasional (BN).
 
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mendakwa Blok Ketiga itu adalah alat untuk memecah-belahkan pembangkang.
 
"Amanah dan parti rakan dalam HARAPAN (Pakatan Harapan) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan melaksanakan kempen besar-besaran ke seluruh negara supaya rakyat benar-benar faham bahawa pakatan Blok Ketiga adalah proksi BN walaupun mereka menegaskan mereka tidak bersama BN," katanya.
 
PAS masih enggan memberi kata putus sama ada mahu bersama Pakatan Harapan (PH) dan PPBM atau Umno-BN, pada menuju PRU14. 
 
PAS bertegas tidak akan menjalin hubungan politik dengan DAP dan parti serpihannya, Amanah. Ia juga menepis dakwaan ada hubungan dengan BN.
 
PKR terus bercelaru dalam isu ini. Ketika ia mempergiatkan usaha memujuk PAS bekerjasama, kerabatnya Amanah dan PPBM terusnya menyerang PAS.
 
Semakin keliru PKR dan semakin haru pakatan pembangkang. Amanah dan PPBM nampaknya bertekad mengambil tindakan sendiri menyerang PAS, tidak kira PKR setuju atau tidak. 
 
Kini PKR nampaknya hanya boleh berharap langkah damai DAP berjaya "membuka hati" PAS bekerjasama kembali dengan parti yang memang terbukti tidak boleh menerima perjuangan Islamnya

Tiada ulasan: