DIALOG RAKYAT |
- SELAGI TIDAK TOLAK UMNO, PENEROKA FELDA AKAN TERUS DIPERDAYA
- Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 9,487 orang
- Pos sahkan kakitangan Geng Tuah ditahan
- Polis cari pelajar rakam bahagian dalam kain guru wanita
- Kereta mewah, barang kemas dirampas SPRM dalam Op Caviar
- Opera DAP
- MB: Jamal patut hantar katil bantu mangsa banjir bukan SUK
- Malaysia merosot ke tangga 55 Indeks Persepsi Rasuah 2016
- 2 hartanah KWSP di London untuk dijual.
- Umno Makin Mereput : Keserabutan Pemimpinnya yang Takut Hilang Kuasa
- Laskar Siber Umno Hambar
- Penduduk terjejas banjir di Perak cecah lebih 600
- 16 sekolah di Pahang tutup akibat banjir
- Skandal BMF: Laporan lain kata saya tak terlibat, kata Dr M
- Khalid Samad menang saman fitnah RM200,000 terhadap Hasan Ali
- Terkini bot karam: Jumlah mayat ditemui bot karam Mersing meningkat 14
- Jamal susun 10 buah katil depan SUK Selangor
- PPBM belum tamatkan rundingan dengan PAS
SELAGI TIDAK TOLAK UMNO, PENEROKA FELDA AKAN TERUS DIPERDAYA Posted: 25 Jan 2017 06:50 AM PST shahbudindotcomSelain orang Melayu, pihak lain yang barangkali bernasib malang di negara kita ialah para peneroka Felda. Kedua-duanya, orang Melayu dan peneroka Felda, sering dijadikan sebutan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan kerajaan kononnya untuk diberi pembelaan dan dinaikkan taraf kehidupan, tetapi malangnya kelompok itu jugalah yang paling mundur dan terkebelakang. Jika mendengar pemimpin Melayu bercakap tentang Melayu sejak dulu, apatah lagi jika menjerit perkataan "Hidup Melayu", aduhh...gegak-gempitanya sehingga berdiri bulu roma dibuatnya. Namun, lagi kuat menjerit, lagi besar khianatnya mereka. Tidak cukup bersekongkol dengan tauke-tauke Cina mencairkan tanah rizab Melayu, bukan untuk menolong orang Melayu, tetapi lebih bertujuan memperkaya diri sendiri, ketamakan itu akhir-akhir ini melebar sehingga ke negara China jauhnya. Tidak cukup dengan tanah, projek keretapi, rumah, kondo, pelabuhan, menjaga sempadan dan cara mencegah jenayah telah diserahkan kepada China, terbaru ini dimetrai bahawa program-program televisyen daripada China juga mahu dilambakkan untuk tontotan rakyat kita sekeluarga. Seperti biasa, pemimpin-pemimpin yang sama tetap menjerit "Hidup Melayu" tanpa henti dan tidak malu pula mengatakan keutamaan mereka tetap membela dan menjaga orang Melayu. Begitu juga dengan peneroka Felda, walaupun mereka merupakan penentu dan penyumbang kemenangan kepada UMNO dan BN di 54 kawasan Parlimen di seluruh negara, hakikatnya nasib mereka tidak banyak yang dibela. Di ketika suara-suara bergema mahu membela peneroka, hakikatnya Felda teruskan dijadikan lubuk untuk mengaut kekayaan oleh segelintir mereka yang diberikan amanah untuk menjaganya. Penangkapan empat pegawai kanan Felda berhubung penipuan dan salah guna kuasa dalam pelaburan penternakan ikan sturgeon bernilai RM47 juta tidaklah begitu menghairankan sebenarnya. Ini kerana sebelum ini kita juga dihidangkan dengan banyak kes mengenai Felda seperti pembelian hotel dan hartanah mewah di luar negara, pelaburan dalam syarikat yang meragukan, pembelian kondo, pembayaran elaun dan penggunaan apartment untuk anak pegawai yang sedang belajar, pemberian kontrak kepada kroni, pembelian ladang di Indonesia pada harga luar biasa serta berbagai-bagai lagi. Semua itu tidak sama sekali memberi keuntungan kepada peneroka, sebaliknya hanya orang-orang tertentu yang mengaut laba daripadanya. Susulan tangkapan empat pegawai Felda semalam, dikhabarkan terdapat dua atau tiga lagi orang kuat agensi itu sedang dalam pemerhatian SPRMdan tidak mengejutkan jika mereka akan turut dicekup sama dalam tempoh terdekat ini. Dilaporkan ada di antara mereka yang mempunyai berpuluh-puluh kereta, memiliki restoran di beberapa pusat membeli-belah di dalam dan luar negara, selain sudah tentu turut mempunyai rumah besar dan perhiasan mahal-mahal untuk isteri masing-masing. Sama seperti nasib orang Melayu yang hanya digula-gulakan, tiada apa-apa yang akan berubah kepada kehidupan peneroka Felda selagi UMNO yang menjaga mereka. Ia seperti meminta memerang menjaga kolam ikan atau musang menjaga reban ayam. Orang Melayu dan peneroka Felda harus berani membuat perubahan, jika tidak, sehingga tahun 2050 pun, mereka terus menjadi barang mainan dan sekadar modal mengaut sokongan dalam ucapan. | |||||
Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 9,487 orang Posted: 25 Jan 2017 06:28 AM PST JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 9,487 orang yang ditempatkan di 77 pusat pemindahan berikutan pertambahan bilangan mangsa di Segamat setakat 12 tengah hari ini berbanding 8,204 orang pada 7 pagi tadi. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata daerah Segamat kini mencatatkan 7,113 mangsa banjir daripada 2,129 keluarga, melibatkan 53 pusat pemindahan berbanding 6,609 di 50 pusat pemindahan pagi tadi. "Daerah kedua paling teruk terjejas ialah Kota Tinggi dengan 986 mangsa dan Tangkak 830 orang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Beliau berkata daerah Kluang pula mencatatkan 213 mangsa banjir di empat pusat pemindahan, sementara masing-masing satu pusat pemindahan di Muar (167 mangsa); Mersing (111); Johor Bahru (56) dan Batu Pahat (11). Bagaimanapun, katanya tiga pusat pemindahan telah ditutup iaitu Sekolah Agama Kampung Cahaya Baru Masai dan balai raya Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru dan balai raya Felda Pasak di Kota Tinggi. Ayub berkata menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, angin kencang kategori pertama dari arah Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sabah (Kudat dan Sandakan) sehingga Sabtu ini. "Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut," katanya.— BERNAMA | |||||
Pos sahkan kakitangan Geng Tuah ditahan Posted: 25 Jan 2017 06:23 AM PST KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia ) mengesahkan seorang kakitangan ditahan berhubung dakwaan JEN pembabitan dalam sindiket pemalsuan lesen dan dokumen-dokumen penting oleh 'Geng Tuah' yang tahan ditangkap polis. Bagaimanapun, Pos Malaysia tidak dapat mengulas lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh. "Pos Malaysia akan menunggu hasil siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini. Tambahnya, buat masa ini Pos Malaysia sedang proaktif bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa relevan untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam kes ini. Pada masa sama, Pos Malaysia sedang mengambil pendekatan sepatutnya termasuk melaksanakan Standard Prosedur Operasi bagi mencegah aktiviti penipuan. Beliau berkata, Pos Malaysia telah memberi taklimat dengan kakitangan supaya lebih berhati-hati dalam mengendalikan dokumen penting dokumen. "Kami juga akan berbincang dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mencari langkah-langkah lebih ketat untuk berurusan dengan taktik pemalsuan, dan jika perlu, menyemak semula SOP sedia ada," ujarnya. Memandangkan kes ini, syarikat itu telah sekali lagi diberi taklimat dengan kakitangan kami untuk lebih berhati-hati dalam menangani penting dokumen. "Kami juga akan berbincang dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mencari langkah-langkah yang lebih ketat untuk berurusan dengan yang baru taktik pemalsuan, dan jika perlu, menyemak semula SOP sedia ada," tambahnya. Pos Malaysia turut mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada orang ramai berhubung dengan meningkatkan kualiti produk dan servis penghantaran. Sebarang pertanyaan atau komen boleh disalurkan kepada terdekat Pos Malaysia Outlet atau hubungi Khidmat Pelanggan menerusi PosLine di 1-300-300-300 atau e-mel kepada care@pos.com.my. – MalaysiaGazette | |||||
Polis cari pelajar rakam bahagian dalam kain guru wanita Posted: 25 Jan 2017 06:16 AM PST KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lagi pelajar sekolah menengah di ibu negara bagi membantu siasatan dalam kes merakam dan menyebarkan video bahagian dalam kain seorang guru wanita pada Isnin lalu. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Mohd. Sukri Kaman berkata, pelajar itu kini dipercayai berada di Johor. "Dalam kes ini kita sudah mengambil keterangan empat pelajar dan telefon bimbit yang digunakan untuk merakam video berdurasi tujuh saat itu dan telefon telah dirampas. "Kita sedang mencari dan mengesan telefon bimbit milik pelajar lain yang dipercayai menerima video klip itu menerusi whatsapp dari pelajar yang telah merakamkannya," katanya ketika ditanya pemberita di ibu pejabat Dang Wangi di sini hari ini. Mengulas lanjut, Mohd Sukri menjelaskan, kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. Dalam kejadian minggu lalu, pelajar tersebur didakwa melakukan rakaman itu pada pada pukul 8.30 pagi ketika guru Bahasa Inggeris terbabit sedang membalut meja pelajar di dalam kelas. Ia kemudian disebarkan dalam kalangan pelajar tingkatan tiga di sekolah menengah tersebut. Guru berkenaan difahamkan hanya mengetahui insiden itu setelah diberitahu oleh guru disiplin pelajar yang membuat pemeriksaan Rabu lalu. Guru bahasa Inggeris itu kemudian dipercayai membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. – MalaysiaGazette | |||||
Kereta mewah, barang kemas dirampas SPRM dalam Op Caviar Posted: 25 Jan 2017 06:11 AM PST KUALA LUMPUR – Op Caviar yang menyaksikan lima pegawai kanan Felda termasuk seorang bekas pengurus besar bergelar Datuk ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beberapa barangan telah dirampas. Antaranya kereta mewah, barang kemas dan wang tunai. Kesemua saspek ditahan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang di antara 11.30 pagi dan 1.30 petang tadi menerusi Op Caviar SPRM berhubung dakwaan penyelewengan projek pemindahan teknologi penternakan ikan sturgeon bernilai US$10 juta (RM47.6 juta) sejak 2014. – MalaysiaGazette | |||||
Posted: 25 Jan 2017 04:18 AM PST Oleh NASRUDIN HASSAN Soalan: Apa sikap PAS terhadap kenyataan Lim Kit Siang bahawa DAP boleh bekerjasama dengan PAS jika Hadi sedia memberi komitman untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara kleptokratik. Jawapan: YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi, pemimpin PAS dan seluruh ahli PAS telah mempunyai komitmen yang tinggi terhadap dasar dan prinsip perjuangan PAS iaitu berjuang untuk menegakkan sebuah negara yang sejahtera dan selamat berasaskan keadilan yang sirna dari pelaksanaan Syariat Islam. PAS tidak pernah berganjak dari dasar dan prinsip ini. Berjuang untuk membina negara yang bebas penyelewengan, korupsi, penindasan dan penyalahgunaan kuasa. YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi selaku Presiden PAS tidak pernah mengheret PAS dan ahlinya lari dari landasan perjuangan suci ini. Malah kerana mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan inilah DAP lari meninggalkan PAS, DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, DAP menyerang PAS tanpa henti dengan semangat anti Islam yang tebal dan melampau. Inilah fokus perjuangan PAS, iaitu melakukan perubahan secara total dan menyeluruh. Bukan memimpin agenda individu tertentu yang mabuk kuasa. Bukan sekadar ingin melampiaskan dendam kepada individu tertentu untuk dijatuhkan. Fokus perjuangan PAS ialah memimpin gerakan perubahan secara total. Meruntuhkan jahiliah dan membina kesejahteraan, keadilan dan kedamaian dibawah pedoman dan petunjuk wahyu Allah swtSWT Tuhan Yang Maha Mencipta manusia dan alam semesta ini. PAS senantiasa berlapang dada dan membuka pintu untuk bekerjasama dengan semua pihak, selama mana mereka menghormati dan tidak menentang dasar dan prinsip perjuangannya. Justeru itulah, PAS pernah menjalinkan kerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR). Malangnya, sikap tidak jujur dan tidak sabar DAP membuatkan dua kali mereka meninggalkan PAS malah menikam dan menyerang PAS. (Sekali semasa bersama BA dan kali kedua ketika bersama PR) Kali ini, sekali lagi DAP mahu menghulurkan salam kerjasama? Kenapa? Apakah DAP benar-benar terdesak? PAS tidak akan teruja dengan wayang opera bernilai murah yang sedang dipersembahkan oleh DAP hari ini. Cukuplah pengalaman dua kali diperlakukan DAP sedemikian rupa. PAS telah siap berjuang mencapai cita-cita perjuangan tanpa DAP yang dikenali hari ini. PAS telah merangka roadmap menuju gerbang jaya PRU14 tanpa DAP yang telah mengkhianati PAS. PAS punya harga diri dan maruah yang tidak mungkin sesiapa lagi boleh memperdaya dan memperkotak-katikkannya. Namun dalam masa yang sama, sekali lagi saya tegaskan bahawa PAS senantiasa bersedia membina kerjasama dengan pelbagai pihak yang sedia memahami, menghormati dan tidak menentang dasar serta prinsip perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Sampaikan salam perjuangan kami buat YB Lim Kit Siang bahawa prinsip dan dasar perjuangan PAS bukan kostum untuk diperagakan di pentas opera DAP. | |||||
MB: Jamal patut hantar katil bantu mangsa banjir bukan SUK Posted: 25 Jan 2017 03:36 AM PST OLEH ERMIZI MUHAMAD SABAK BERNAM : Kerajaan Negeri tidak melayani sebarang provokasi melampau pihak tidak bertangungjawab, sebaliknya fokus ke arah memakmurkan kesejahteraan rakyat. Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri amalan politik kotor pihak tidak bertangungjawab terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri kini. "Saya serah kepada rakyat untuk nilai. Sebaiknya saya akan terus jalankan tanggungjawab untuk bangunkan Selangor dan beri kemakmuran kepada rakyat. "Pendekatan terbaik adalah saya tidak melayani karenah politik cetek kerana bagi saya kepentingan dan kesejahteraan rakyat lebih diutamakan," katanya. Beliau berkata demikian sebagai mengulas provokasi melampau Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang mengadakan sidang media di Kompleks Kerajaan Negeri pagi ini. Pada sidang medianya, sembilan buah katil diletakkan di hadapan SUK kononnya sebagai sindiran kepada Kerajaan Negeri menangani isu pelacuran dan perjudian di Selangor. Mengulas lanjut, Mohamed Azmin menyarankan supaya Jamal bertindak rasional dan membantu keperluan masyarakat yang terjejas akibat musibah banjir. "Buat individu berkenaan, sepatutnya katil itu lebih elok hantar ke pusat pemindahan banjir bukan letak depan SUK," sindir Azmin.=EZY= | |||||
Malaysia merosot ke tangga 55 Indeks Persepsi Rasuah 2016 Posted: 25 Jan 2017 03:28 AM PST Presiden TI-M berkata Malaysia mencatat skor 49 daripada 100 dalam tinjauan CPI. KUALA LUMPUR: Malaysia berada di tangga ke-55 daripada 176 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016 dan 3 negara teratas dalam kalangan negara Asean, kata Transparency International-Malaysia (TI-M). Presidennya Datuk Akhbar Satar berkata Malaysia mencatat skor 49 daripada 100 dalam tinjauan CPI. Berbanding negara Asean lain, Malaysia berada di bawah Singapura (kedudukan ke-7) dan Brunei (ke-41) namun di atas Indonesia (ke-90), Filipina (ke-101), Thailand (ke-101), Vietnam (ke-113), Laos (ke-123), Myanmar (ke-136) dan Kemboja (ke-156). Pada 2015, Malaysia berkedudukan ke-54 namun tambahan 9 negara dalam CPI 2016 menyumbang kepada ranking Malaysia untuk 2016 berikutan sesetengah negara terbabit berada di atas Malaysia, katanya. Akhbar berkata Denmark dan New Zealand berkongsi tangga pertama dengan skor 90 manakala Findland, Sweden dan Switzerland masing-masing dalam kelompok 5 negara teratas indeks. Lima negara terbawah ialah Sudah Selatan, Korea Utara, Syria, Libya, Yaman dan Sudan selaku negara paling bawah. Akhbar said TI-M menggesa kerajaan melaksanakan syor pertubuhan itu bagi membasmi sepenuhnya rasuah . Antara syor terbabit ialah memperkenalkan peruntukan tanggungjawab korporat dalam undang-undang sedia ada dan menjadikan sijil ISO 37001 Sistem Pengurusan Anti Rasuah sebagai prasyarat untuk semua vendor kerajaan. | |||||
2 hartanah KWSP di London untuk dijual. Posted: 25 Jan 2017 03:22 AM PST KWSP akan meraih untung kasar RM525 juta daripada penjualan Saint James Square dan Tower Bridge House. PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyenaraikan 2 hartanah miliknya di London untuk dijual, lapor The Star Online hari ini. Dana caruman persaraan itu berharap untuk menjual Saint James Square di West End dan Tower Bridge House di Saint Katharine Docks. Laporan itu memetik sumber mengatakan KWSP merancang untuk menjual hartanah tersebut pada harga £405 juta (RM2.3 bilion) manakala sumber lain mengatakan £380 juta. Menurut sumber berbeza, KWSP membeli Saint James Square pada Ogos 2011 pada harga £147.5 juta dan berharap untuk menjual pada harga antara £180 juta and £205 juta, dan Tower Bridge House, yang dibeli pada tempoh yang sama pada harga £163 juta, pada harga £200 juta. KWSP akan meraih untung kasar £94 juta (RM525 juta) sekiranya berjaya menjual hartanah tersebut pada harga tertinggi. Kedua hartanah itu dimiliki sejak 5 dan 6 tahun lepas, menurut laporan itu. KWSP meninggikan ambang £1 bilion itu apabila ia mengalihkan tumpuan kepada hartanah selain ruang pejabat. Pada 2015, KWSP menyenaraikan Whitefriars, 65, Fleet Street untuk dijual pada harga £170 juta selepas kerajaan menyeru semua pelaburan asing dipulangkan bagi meransang ekonomi negara. Bangunan komersil itu dibeli pada harga £148 juta daripada dana Union Investment dari Jerman, pada 2011. Pajakan pada hartanah itu sehingga 2021, menurut laporan itu. Juga pada 2015, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Shahril Ridza Ridzuan mengumumkan KWSP mempertimbangkan untuk menjual Reading International Business Park di Reading, Berkshire, yang dibeli pada harga £140 juta pada 2011. Shahril memberitahu The Star hartanah tersebut masih dalam portfolio EPF di United Kingdom. Dana lain seperti Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji juga pernah menjual beberapa hartanah yang mereka miliki. | |||||
Umno Makin Mereput : Keserabutan Pemimpinnya yang Takut Hilang Kuasa Posted: 25 Jan 2017 03:17 AM PST Oleh DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR 1. Malaysia dilanda keserabutan politik pemimpin Umno yang begitu takut kehilangan kuasa yang dimiliki selama lebih 60 tahun serta kecelaruan pemikiran mereka sehingga menjadi 'hantu' mengusik kehidupan rakyat supaya lari meninggalkan khazanah kekayaan untuk diambil mereka. Berbagai tuduhan liar dibuat Umno kerana sudah rasa terancam. 2. 'Khurafat' yang mengganggu kehidupan rakyat dengan provokasi perkauman dan pemikiran sempit untuk menakutkan orang Melayu kononnya akan hilang kuasa politik jika PRU 14 UmnoBn kalah ditangan Pakatan Harapan dan PPBM. " Pemimpin Umno gunakan 'hantu perkauman' untuk menghidupkan kembali karier politik masing-masing yang telah pupus akibat skandal 1MDB dan berbagai lagi masalah yang tidak menguntungkan rakyat serta mengakibatkan kerugian pada negara" . Najib pada ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno (PAU) telah membaca 'mentera tahyul' dengan mengatakan bahawa segala keistimewaan Melayu, Islam dan Bumiputera akan terhapus dan DAP memerintah negara Malaysia manakala Lim Kit Siang pula sebagai Perdana Menteri, maka gegak gempita ahli Umno menjerit marah dan menangis mengenang nasib masa depan bangsa Melayu. "Sepatutnya soal beban rakyat yang melibatkan GST,penganguran dan harga barang dibincangkan tetapi Najib hanya menggunakannya sebagai pelantar untuk memperkatakan soal kuasa dan bagaimana cara untuk memfitnah Pakatan Harapan dan PPBM. Tidak mustahil ahli Umno yang pulang dari PAU bersemangat seperti watak Si Pitung dalam sebuah filem suatu ketika dulu. Pada ketika itu penonton yang keluar dari panggung wayang selepas menonton filem Si Pitung semua ingin jadi seperti Si Pitung yang menentang Belanda, begitulah juga dengan ahli Umno yang dirasuk oleh 'hantu perkauman' untuk mereka menentang DAP. 3. Dalam pada itu tiba-tiba muncul seorang putera raja yang pernah menganggotai Dewan Negara sebagai Senator atas tiket DAP berkata kononnya ada perjanjian bersama antara Tun Dr Mahathir dan Lim Kit Siang yang bersetuju jika Pakatan Harapan dan PPBM memenangi PRU 14 nanti maka Dato' Seri Mukhriz akan menjadi Perdana Menteri dan Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kenyataan putera raja yang bernama Tunku Aziz ini amat jengkel dan memalukan kerabat DiRaja.Beliau seolah-olah tidak ikuti ucapan Najib di PAU atau pun Tunku Aziz dah kena 'PAU' dengan Najib?. 4. Dalam beberapa hari kebelakangi ini muncul pula seorang cendekiawan hebat kelahiran Perak dan pernah berkhidmat dengan Universiti Malaya yang bernama Dr Mohd Zuhdi Marzuki mendakwa Tun Mahathir seorang diktator dan Tun Mahathir juga mahu kuasai Pakatan Harapan. Cendekiawan hebat ini mendakwa Tun Mahathir telah berjaya meletakan dirinya sebagai ketua kepada PPBM dan Pakatan Harapan.Mungkin Dr Mohd Zuhdi terlupa atau buat-buat lupa bahawa sebelum ini beliau juga pernah berkata bahawa DAP yang kuasai Pakatan Harapan. "Kini Tun Mahathir pula didendangkannya telah kuasai PPBM dan Pakatan Harapan. Oleh itu jikalau ikut hujah Dr Mohd Zuhdi,maka bukan cina DAP bernama Lim Kit Siang yang kuasai Pakatan Harapan dan PPBM". Adakah akan datang ada pula hujah baru yang mendakwa Tun Mahathir adalah Cina DAP atau diktator jadi 'barua DAP.? #PolitikPeningLalat #PauJanganTakPau #TakMauUmnoBn #UndiTolakBn #UmnoDahReput #RakyatPandaiMenilai #SelamatkanMalaysia. * DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR,Ahli Parlimen Pokok Sena | |||||
Posted: 25 Jan 2017 03:15 AM PST Oleh A Kadir Jasin MACAM saya catatkan secara ringkas dalam tampalan Facebook saya pada 23 Januari, saya tahu majoriti laskar siber (cybertrooper) dan penggiat media sosial tidak menyokong kerajaan sebaliknya menentang. Tetapi saya tidaklah menjangka penentangan itu seteruk yang Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi dedahkan ketika berucap di Majlis Perasmian Skuad Penerangan dan Media Wanita Umno di Kuala Lumpur pada 22 Januari. Dalam pendedahan itu, Zahid, antara lain, berkata berdasarkan kajian hanya 6.6 peratus laskar siber mempertahankan agenda pentadbiran kerajaan manakala 93.4 peratus menentang. Ikhlas saya katakan saya terkejut dengan tahap sokongan yang begitu rendah kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil Mohd Najib Abdul Razak. Walaupun saya tahu sokongan kepada Najib, Umno dan Barisan Nasional tidak hebat dalam media sosial dan media atas talian, tetapi saya tidaklah menyangka tahapnya begitu hambar. Saya ikuti percakaran dan maki-hamun di kalangan penggiat media sosial pro-Umno di ruang Facebook. Istilah seperti pemakan dedak, pengampu, penjilat dan anjing adalah biasa bagi mereka. Sekarang fahamlah saya mengapa dalam Persidangan Agung Umno 2014 Najib melabelkan blogger dan penggiat media sosial Umno bangang. Apabila saya membaca tampalan orang kanan Ahmad Zahid, (Datuk) Ibrahim Yahya, dalam ruang Facebook beliau mengenai sumber yang dipetik oleh Ahmad Zahid itu, saya menjadi lebih yakin bahawa sokongan media sosial kepada Najib memang cukup teruk. Menurut Ibrahim yang memakai nama samaran Diy Putera dalam laman Facebook itu, sumber maklumat yang Ahmad Zahid petik adalah sebuah kajian yang diketuai oleh Profesor (Datuk Seri) Dr Syed Arabi Idid. Dalam catatan Facebooknya, Ibrahim, antara lain berkata (tanpa suntingan): "Kajian empirikal ini telah diketuai oleh Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid, seorang pakar bidang komunikasi di Malaysia dan banyak menulis buku-buku ilmiah berbahasa Melayu dan Inggeris yang menjadi rujukan pelajar komunikasi di negara ini. Dr Syed Arabi membuat kajian bukan saja apa yang berlaku di dalam negeri malah di luar negara. "Objektif kajian dilaksanakan bagi menilai peranan pemain media sosial berunsur politik dalam mempengaruhi netizen pasca PRU ke-13. Berdasarkan kajian yang dibuat terhadap netizen di media sosial, mendapati netizen lebih mempercayai saluran media sosial berbanding media konvensional. "Ini berdasarkan lebih 2,000 netizen yang aktif dalam facebook dan twitter sebagai responden. Faktornya kerana media sosial lebih cepat menyampaikan maklumat dan lebih mudah diperolehi. "Penemuan menunjukkan pengaruh televisyen menurun dari 42 % pada 2015 menjadi 39% pada 2016. Bagitu juga bagi pembacaan akhbar menurun dari 30 % ke 25 % dan radio dari 25% pada 2015 ke 21 % pada 2016. Walaubagaimana pun kepercayaan terhadap internet meningkat dari 50 % pada Disember 2015 menjadi 69 % pada Ogos 2016. Pada hakikatnya, media sosial adalah satu fenomena bandar yang sangat pesat berkembang. "Sementara, kajian ini juga telah menilai peranan dan daya kekonsistenan atau daya pengekalan pemain media sosial berunsur politik dalam arus media sosial pasca PRU ke-13. "Kajian mendapati nisbah 1 blogger @ facebooker pro-UMNO berlawan dengan 15 blogger @ facebooker anti-UMNO (Pembangkang). Ini bermakna ratio 1 nisbah 15. "Dalam bentuk figura peratusan pula, kajian menemui hanya 6.6 % 'cybertroopers' pro-kerajaan yang masih aktif atau cergas berbanding 93.4 % 'cybertroopers' Pembangkang dikoordinasi dengan strategik dan berkesan dalam media sosial. Mereka bergerak di segenap pelusuk maya. Membuat provokasi dan melaga-lagakan pemimpin kerajaan. "Kajian mendapati dalam suatu proses perkembangan media sosial di Malaysia, ia membangun secara konstruktif ibarat geraf inverted parabola (bermula dari bawah dan melonjak ke tahap tinggi kemudian menurun ke bawah kembali)." Saya tidak perlu mengulas lagi. Ucapan Ahmad Zahid dan tampalan Facebook Ibrahim itu sudah cukup jelas untuk membuktikan betapa tidak popularnya Najib, Umno dan BN di kalangan penggiat media sosial serta media atas talian. Media Tradisional Pun Merudun Juga Bukan itu saja, pengaruh media tradisional dan arus perdana yang menjadi tulang belakang propaganda Najib, Umno dan BN juga semakin jatuh. Pada tahun 2003 – ketika peralihan kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi – pengedaran akhbar mencapai kemuncaknya. Utusan Malaysia melebihi 300,000 naskhah sehari dan Mingguan Malaysia melepasi setengah juta. Hari ini jualan Utusan, Berita Harian dan semua akhbar dalam kandang (stable) Umno, merudum seperti ditunjukkan oleh rajah di bawah.
Apatah lagi kenaikan kos sara hidup menyebabkan banyak isi rumah tidak lagi membeli surat khabar. Malah Umno mungkin mendapati sukar untuk terus memberi subsidi kepada Kumpulan Utusan Melayu yang rugi teruk. Manakala Media Prima Berhad pun mula mencatatkan keuntungan yang lebih kecil. Bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu keuntungan bersihnya jatuh 36.47 peratus tahun ke tahun kepada RM27.92 juta sahaja. Tahap kepercayaan kepada kedua-dua kumpulan media itu juga semakin merosot apabila bertubi-tubi kalah kes fitnah yang dibawa oleh pemimpin parti pembangkang. Wallahuaklam. | |||||
Penduduk terjejas banjir di Perak cecah lebih 600 Posted: 25 Jan 2017 03:03 AM PST ASTRO AWANI IPOH: Seramai 655 mangsa banjir kini ditempatkan di 13 pusat pemindahan seluruh Perak setakat 8 pagi tadi, berbanding 595 orang yang direkodkan pada malam tadi. Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, daerah paling teruk terjejas adalah Manjung apabila 454 orang kini berada di tiga pusat pemindahan iaitu Dewan Inderawati Beruas (195); Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai (192) dan di Dewan Kampung Kota, Beruas (67). Ia diikuti daerah Larut, Matang dan Selama membabitkan 140 mangsa yang ditempatkan di lima pusat pemindahan iaitu Surau Kampung Jawa Trong (39); Dewan Orang Ramai Kampung Matang Merbau Trong (29); Dewan Orang Ramai Kampung Kelubung (14); Kampung Padang Serai Dalam (21) dan Dewan Orang Ramai Matang Gelugor (37). "Sementara itu, di daerah Hilir Perak sebuah pusat pemindahan dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara yang kini menempatkan 32 mangsa. "Di daerah Perak Tengah pula 10 orang berada di Surau Nurul Jannah, Parit 6, manakala empat lagi di Surau Kampung Talang," demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini. Di daerah Kinta lapan mangsa kini menghuni Dewan Orang Ramai Kampung Piandang, Batu Gajah, sementara di daerah Kuala Kangsar terdapat tujuh mangsa berada di Surau Karimiah, Kampung Talang Hulu.-- BERNAMA | |||||
16 sekolah di Pahang tutup akibat banjir Posted: 25 Jan 2017 02:56 AM PST ASTRO AWANI KUANTAN: Bilangan sekolah yang ditutup sementara akibat terjejas dengan banjir meningkat kepada 16 buah melibatkan empat daerah di negeri ini. Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Rosdi Ismail berkata 14 sekolah lagi turut dijadikan pusat pemindahan sementara, namun sesi pembelajaran di sekolah berkenaan diteruskan seperti biasa. "Enam belas sekolah yang ditutup itu adalah di Kuantan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lembing, SK Sungai Emas, SK Nadak, SK Bukit Kuin, SJK(T)(Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) Ladang Reman, SK Panching dan SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Sungai Lembing. Manakala Lipis melibatkan SK Chegar Perah, SK Kuala Kenong, SK Jeram Landak, SK Limau Purut, di Temerloh (SK Paya Luas, SK Penderas, SK Ladang Mentakab, SK Jenderak Selatan) dan Maran di SK Ulu Luit," menurutnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Rosdi berkata, penutupan sekolah berkenaan disebabkan laluan yang ditenggelami air selain turut dijadian sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan ia melibatkan melibatkan 2,947 murid, 318 guru dan 64 kumpulan sokongan. Sementara itu, sebanyak 14 buah sekolah turut dijadikan sebagai PPS melibatkan daerah Kuantan di iaitu SK Kempadang, SK Beserah dan SMK Pandan. Di Pekan pula sekolah yang terlibat ialah SK Seri Biram, SK Seri Terentang, SK Sinar Mutiara, SMK Peramu Jaya; di Lipis (SK Cegar Perah, SMK Merapoh, SK Kechor Tui, SK Pagar Sasak); di Raub (SK Tanjung Perah), di Maran (SK Senggora), manakala di Jerantut pula sekolah yang terlibat ialah SK Teh. -- BERNAMA | |||||
Skandal BMF: Laporan lain kata saya tak terlibat, kata Dr M Posted: 25 Jan 2017 02:53 AM PST Bekas perdana menteri itu berkata beliau digambarkan sebagai seorang yang jahat ketika memegang jawatan itu dan dituduh melakukan perkara yang tidak dilakukannya. PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dalam responsnya mengenai kertas siasatan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat, berkata "laporan lain" yang menyiasat skandal BMF menunjukkan beliau tidak terbabit dalam hal itu. Semalam, The Asian Correspondent melaporkan dokumen rasmi yang dikeluarkan badan risikan AS itu mempertikaikan respons pentadbiran Dr Mahathir dalam mengendalikan skandal BMF, hingga menyebabkan kerugian kira-kira AS$1 billion. "Ada laporan lain melangkaui CIA yang menyatakan saya tidak terlibat. Akhbar luar negara menyerang saya kerana saya tidak berhenti mengkritik mereka bila mereka buat salah, jadi mereka memburukkan saya," katanya, menambah beliau dituduh melakukan sesuatu yang tidak dilakukannya. Ketika ditanya adakah beliau mencadangkan segala dilaporkan CIA tidak benar, Dr Mahathir berkata: "Perkara ini berlaku terlalu lama pada 1981 hingga 1984, kenapa bangkitkan semula sekarang? Bolehkah anda betulkan apa-apa yang saya buat dulu." "Tujuannya ialah politik, mungkin ada orang yang akan terima manfaat daripada ini. Ada laporan lain yang berbeza dengan laporan CIA. Baca laporan itu juga," katanya. Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan – pengkritik lantang Dr Mahathir – berkata banyak cerita mengenai skandal BMF sudah pun dilaporkan. Katanya, kini dokumen CIA sudah dikeluarkan secara umum, semua orang boleh membuat kesimpulan sendiri. "Kita akan tunggu dan lihat. kami akan melihat dokumen itu dan jika ada soalan yang perlu ditanya, maka mereka perlu pergi pada Dr Mahathir," kata Rahman. Skandal BMF menggemparkan pada awal 1980-an, selepas ia mendedahkan cawangan banknya di Hong Kong menyediakan "pinjaman tidak lancar" kepada beberapa syarikat yang mencurigakan, termasuk Carrian Holdings Ltd, konglomerat diterajui George Tan. Ratusan juta dolar hilang sekelip mata apabila kumpulan Carrian terkubur pada 1983, menjadi kebankrapan paling teruk di Hong Kong. Seorang juruaudit Bank Bumiputera yang menyiasat skandal itu dibunuh, dan kerajaan membawa masuk berbilion ringgit untuk membantu Bank Bumiputera. Inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat skandal itu tetapi berakhir tanpa sebarang pendakwaan. Pengerusi BMF Lorrain Esme Osman hidup dalam buangan sehingga kematiannya di London pada 2011. | |||||
Khalid Samad menang saman fitnah RM200,000 terhadap Hasan Ali Posted: 25 Jan 2017 02:33 AM PST Hakim mendapati kenyataan dikeluarkan Hasan Ali terhadap Khalid Samad sebagai fitnah. KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berjaya dalam tuntutan saman fitnahnya di Mahkamah Tinggi terhadap bekas exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali. Hakim Datuk Hue Siew Kheng memutuskan demikian selepas mendapati kenyataan dikeluarkan Hasan terhadap Khalid yang menentang hukum syarak dengan menyokong penjualan arak sebagai fitnah. Peguam Khalid, Faiz Fadzil berkata hakim mengarahkan Hasan membayar RM200,000 kepada Khalid sebagai ganti rugi. "Hakim membenarkan permohonan Khalid dibenarkan kerana ucapan Hasan yang mengatakan Khalid menentang hukum syarak dalam isu arak dan mengatakan pengkhianatan kepada Islam adalah fitnah. "Memandangakan beliau seorang ahli Parlimen dan pejuang Islam, hakim kemudian mengarahkan Hasan membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada Khalid dan membayar kos pengurusan kepada mahkamah sebanyak RM35,000," katanya ketika dihubungi. Khalid memfailkan saman itu pada April 2016 susulan dakwaan beliau menyokong penjualan arak secara haram, pusat judi dan rumah urut di Selangor. Khalid, pengarah komunikasi Amanah mendakwa ucapan fitnah itu dibuat semasa ceramah di Shah Alam pada 2012. Katanya, rakaman video ucapan Hasan kemudian disunting dan dimuat naik ke Youtube dan boleh dicapai dengan mudah oleh orang ramai. Khalid berkata ucapan Hasan itu tidak berasas, tidak benar dan merosakkan reputasi serta nama baiknya. Plaintif juga mendakwa kenyataan Hasan menggambarkan beliau sebagai pemimpin anti-Islam dan mengkhianati agama kerana mempertahankan tindakan bertentangan dengan ajaran Islam. Semasa keputusan dijatuhkan, Khalid dan Hasan tidak hadir di mahkamah, masing-masing diwakili peguam. "Ayah saya ketika ini sedang berada di Arab Saudi dan tidak dapat datang," kata Musaddiq, anak kepada Khalid. Khalid dan Hasan pernah sama-sama bergiat dalam PAS tetapi dilaporkan sering berbeza pandangan sebelum ini. Sementara itu, peguam Hasan, Hasnal Rezua MErican berkata pihaknya akan membuat rayuan atas penghakiman berkenaan. | |||||
Terkini bot karam: Jumlah mayat ditemui bot karam Mersing meningkat 14 Posted: 24 Jan 2017 09:21 PM PST ANTARAPOS.COM MERSING: 4 lagi mayat ditemukan hari ini menjadikannya 14 orang angka korban bot karam di perairan Tanjung Rhu di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Mersing DSP Cyril Edward Nuing berkata 2 mayat melibatkan seorang lelaki dan perempuan ditemui terapung sekitar 4 batu nautika dari Tanjung Rhu pada 4.40 petang tadi oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang menjalankan rondaan di kawasan itu. Terdahulu, mayat 2 lelaki tanpa dokumen diri ditemukan terdampar oleh pasukan mencari dan menyelamat di pantai berhampiran pada 12 tengah hari tadi. Katanya kesemua mayat berkenaan dihantar ke Hospital Mersing untuk bedah siasat. Dalam kejadian kira-kira 4 pagi semalam, bot pancung dipercayai dinaiki 40 orang dari Batam, Indonesia cuba masuk ke negara ini sebelum karam akibat dipukul ombak kuat. Mayat 10 warga asing melibatkan 4 lelaki dan 6 wanita dijumpai terdampar di pantai berkenaan semalam, bagaimanapun 2 mangsa ditemui selamat iaitu seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing berusia 28 dan 20 tahun. | |||||
Jamal susun 10 buah katil depan SUK Selangor Posted: 24 Jan 2017 09:17 PM PST Oleh Haizal YatiranSHAH ALAM: Ketua Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos sekali lagi membuat oner di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dengan membawa 10 buah katil dengan bunting tertera 'Rumah Urut Selangorku'. Jamal berkata ia adalah protes terhadap isu rumah urut di negeri itu, yang pernah ditimbulkan olehnya sebelum ini. Jamal dalam sidang medianya mendakwa terdapat lebih 4000 rumah urut beroperasi di Selangor yang turut menyediakan perkhidmat seks kepada pelanggannya. Terdahulu sebuah lori tiba di hadapan SUK sekitar jam 10.50 pagi dengan membawa muatan katil-katil itu. Kesemua katil itu dipasang cadar bercop 'D.A.P (Dapat Aiskrim Percuma) manakala sarung bantal pula ditulis perkataan 'Rumah Urut Selangorku'. Sekitar jam 11 pagi, Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar tiba menaiki motorsikal berkuasa tinggi dengan membawa tong aiskrim. Tong aiskrim itu dibalut dengan kertas yang memaparkan gambar 'aksi aiskrim' Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Sehubungan itu, Jamal memberitahu beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat berkenaan isu rumah urut di negeri itu. | |||||
PPBM belum tamatkan rundingan dengan PAS Posted: 24 Jan 2017 09:13 PM PST Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad AzharSHAH ALAM: Rundingan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama PAS setakat hari ini masih lagi berlangsung dan tiada sebarang keputusan muktamad dibuat. Justeru, naib presidennya Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman meminta, mana-mana pihak yang tidak terlibat dalam rundingan PPBM-PAS agar tidak mengeluarkan sebarang komen berhubung isu itu. "Tak payahlah dengan ura-ura atau apa orang kata, mereka tak tahu hal dalaman parti. Saya fikir komen tu tak sesuai dengan keadaan sekarang (kerana) perundingan yang ada berbeza. "Kita ada kumpulan yang lakukan rundingan, saya tak fikir orang yang beri komen ni terlibat dalam (perbincangan). "(Hari ini) pihak kita akan laporkan kepada MPT dan kita akan tengok apa-apa reaksi dalam perjumpaan tu. Tapi perundingan tu belum selesai," katanya ketika dihubungi Antarapos. Terdahulu Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamad memberitahu Antarapos bahawa, parti itu tidak akan menjalin kerjasama dengan PPBM sekiranya mereka menyertai Pakatan Harapan (PH). Mahfodz berkata demikian selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mahu PPBM menjadi ahli komponen penuh PH sekiranya PAS berterusan enggan bekerjasama dengan parti pembangkang yang lain. Tambah Rashid, PPBM tidak akan menyertai PH sebaliknya hubungan yang terjalin itu hanyalah bersandarkan kepada perjanjian persefahaman sahaja. Justeru katanya lagi, PAS tidak mempunyai hak untuk menentukan dengan siapa PPBM menjalin kerjasama, begitu juga sebaliknya. "Mana boleh sertai PH, kita dah tandatangan perjanjian dengan PH. Kerjasama tu diteruskan, kita dengan PH adalah satu kelompok (pembangkang). "Bersatu (PPBM) dengan PAS, tak termasuk yang lain dengan siapa kita berkawan. Kalau dia dengan kita dan tak nak berkawan dengan yang lain, itu dia punya hak tapi kita berkawan dengan dia," katanya. Ketika ditanya, kebarangkalian keputusan kerjasama PPBM-PAS ini, Rashid memberitahu parti terbuka dengan sebarang keputusan dan bersedia dengan langkah seterusnya. "Kalau PAS bersetuju untuk bekerjasama dengan Bersatu (PPBM), itu satu perkara lain yang mungkin membantu dalam pilihan raya ni. Tapi kalau PAS tak kerjasama pun tak ada masalah, kita akan tentukan apa yang harus kita buat (tapi) kita (masih) dengan PH," ujar beliau. Kenyataan Rashid itu jelas bercanggah dengan hasrat Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu parti itu menjadi sebahagian daripada PH. Dr Mahathir juga mengugut akan menamatkan rundingan dengan PAS jika parti itu terus enggan memberikan kata putus sama ada mahu bersama PH-PPBM ataupun menjalin hubungan politik dengan Umno Barisan Nasional (BN). |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan