Sabtu, 21 Januari 2017

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Kartun 'jutawan' Najib oleh Zunar muncul di Forum Ekonomi Dunia

Posted: 21 Jan 2017 04:16 PM PST

MALAYSIAKINI



Kartun lakaran Zunar yang memaparkan 'jutawan' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak telah terpapar semasa satu sesi Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

Kartun tersebut yang membandingkan jutawan Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat dan Najib menjadi jutawan ketika menjawat kerusi perdana menteri dibangkitkan oleh kartunis editorial Globe Cartoon, Patrick Chappatte.

Chappatte bercakap tentang anugerah '2016 Cartooning for Peace Award' yang diterima Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque pada tahun lepas.

"Ia adalah kartun yang beliau lakarkan mengenai perdana menteri Malaysia, yang mungkin seperti anda tahu, telah terlibat dalam skandal rasuah besar (dalam) kumpulan wang awam Malaysia.

"Banyak wang disalurkan ke akaunnya. Zunar tidak berhenti dalam mengecam rasuah kerajaan," kata Chappatte kepada para hadirin dengan kartun berkenaan terpapar di skrin lebar.

Zunar menerima anugerah '2016 Cartooning for Peace Award' di majlis yang berlangsung di Palais Eynard di Geneva, Switzerland pada Mei 2016.

Selain Zunar, kartunis Kenyan, Gado, juga menerima anugerah yang sama dan hasil karya mereka dipamerkan di Lac Leman di Geneva.

Hadir majlis penganugerahan itu ialah Presiden Kehormat Swiss Foundation Cartooning for Peace, Kofi Annan, yang juga bekas setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Ahli Majlis Perbandaran Geneva, Guillaume Barazzone.

Sebelum ini, Najib mendakwa dana berjumlah AS$681,000,000 yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi beliau merupakan 'derma' dari ahli keluarga diraja Arab Saudi.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah menafikan wujud salah laku Najib selain kata AS$620,000,000 telah 'dipulangkan'.

Najib sedia jalin kerjasama dengan Trump

Posted: 21 Jan 2017 04:13 PM PST

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Donald Trump di atas pelantikan rasmi beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).
 
"Beliau mengambil alih jawatan selepas satu perjalanan luar biasa yang menunjukkan bahawa ahli-ahli politik tidak boleh memandang remeh para pengundi.
 
"Beliau bercakap mewakili rakyat Amerika yang merasakan mereka telah diabaikan untuk sekian lama. Kini tiba masanya untuk mentadbir semua rakyat Amerika," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada petang Sabtu.
 
Perdana Menteri berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengan Trump sambil memberitahu hubungan antara AS dan Malaysia telah berkembang sejak kebelakangan ini sekali gus membawa kepada perkongsian komprehensif pada tahun 2014.
 
"Saya amat yakin di bawah kepimpinan Trump dan saya, hubungan antara AS dan Malaysia akan diperkukuh dan kami akan menjadi rakan kongsi teguh untuk keamanan dan kemakmuran di rantau ini," kata Najib.
 
Trump dilantik secara rasmi sebagai Presiden AS yang ke-45 di Washington pada Jumaat (1 pagi Sabtu, waktu Malaysia).
 
 

PAS akan nilai untung-rugi kerjasama dengan PKR - Hadi

Posted: 21 Jan 2017 04:07 PM PST

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS akan menilai kerjasama politiknya dengan PKR, demikian menurut Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Bagaimanapun pemimpin PAS itu berkata setakat ini hubungan kedua-dua parti berkenaan tidak menimbulkan masalah, walaupun kerjasama itu lebih bertumpu untuk kerajaan negeri Selangor.
 
"Tidak timbul masalah tiada kerjasama (PAS-PKR) kerana ia sudah ada. Cuma PAS kena buat perhitungan sejauh mana untung dan rugi kerjasama itu sebab kerjasama itu sudah ada. PAS ada perhitungannya (tersendiri)," demikian menurut Hadi.
 
Hadi, bagaimanapun tidak memperincikan sejauh mana tindakan untuk menilai kerjasama itu akan dilakukan.
 
Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika diajukan kedudukan kerjasama PAS dan PKR di Selangor selepas parti itu tidak lagi bersama dalam Pakatan Harapan (PH).
 
Walaupun PAS kini bergabung dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) menerusi Gagasan Sejahtera, namun ia masih dilihat 'bersendirian', apatah lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Hubungan politik PAS-PKR mula diperkatakan selepas Muktamar PAS pada tahun lalu meluluskan usul untuk mengkaji semula tahaluf siyasi antara dua parti berkenaan.
 
Keadaan itu timbul selepas PKR menjalin kerjasama dengan DAP dan Amanah, dua musuh politik utama PAS yang kini bergabung di dalam Pakatan Harapan (PH).

Bukan itu sahaja sikap PKR yang cenderung terhadap Amanah dan DAP menimbulkan 'gusar' di kalangan pemimpin parti pimpinan Hadi itu, sementelah sikap parti serpihan PAS itu kerap kali menyuarakan kritikan lantang.
 
Amanah juga secara terbuka mahu bertanding di kesemua kerusi tradisi PAS dalam pilihan raya kelak, sehingga PAS mengancam PKR untuk bertanding di kerusinya sekiranya parti yang dipimpin Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu gagal mengawal Amanah.
 
 

Tiada ulasan: