Isnin, 19 September 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


ANUGERAH DITARIK BALIK, PENJELASAN ROSMAH AMAT2 DIPERLUKAN

Posted: 19 Sep 2016 08:13 AM PDT

shahbudindotcom


 
 
Berikut adalah petikan berita yang disiarkan secara meluas pada 17 September 2016 yang lalu:-

Isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor dipilih untuk menerima anugerah "Lead By Example" oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau Unesco.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan merangkap Naib Presiden Unesco Malaysia, Alias Ahmad berkata, anugerah itu diberikan  atas usaha dan sumbangan Rosmah dalam membangunkan potensi kanak-kanak, terutama di bawah program Permata.

"Pengiktirafan ini sekaligus memberi penghormatan kepada Malaysia di atas keberkesanan dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan pembangunan holistik kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, anugerah  sempena Persidangan Agung ke 71 PBB itu julung kali diadakan bagi mengiktiraf dan meraikan sumbangan beberapa individu di seluruh dunia yang telah menyumbang kepada keharmonian dan keamanan manusia sejagat.

Kata kenyataan itu lagi, anugerah akan disampaikan pada majlis Penghormatan Kepada Wira-Wira Dalam Kempen Global Menentang Keganasan pada 22 September ini di Muzium Keseniaan Metropolitan, New York.

Bagaimanapun, laporan New York Times hari ini  menyebut bahawa Unesco mengumumkan penarikan balik gelaran yang sepatutnya diberikan kepada Rosmah itu.

Punca ia ditarik balik ialah berkaitan dana Permata yang didakwa meragukan dan walaupun pihak penganjur tidak menyedari wujud sebarang salah laku, mereka juga tidak cukup masa untuk membuat pemeriksaan.

Penarikan balik gelaran itu tentu saja mengecewakan Rosmah yang mungkin sudah bersiap-siap untuk berlepas ke New York, walaupun Najib Razak tidak hadir ke persidangan PBB kali ini dan mewakilkan Zahid Hamidi mengetuai delegasi Malaysia.
 
 
 
Persoalannya, mengapa dana Permata tiba-tiba diragui?

Apakah keraguan mengenai dana Permata itu ada kaitan juga dengan wang 1MDB yang dilaporkan hilang selama ini?

Jika selama ini kita diberitahu pembiayaan Permata datangnya daripada wang kerajaan, malah Najib sendiri mengumumkan peruntukan itu dalam beberapa ucapan belanjawan yang dibentangkannya,  bagaimana  Unesco boleh turut meraguinya dan kemudian membatalkan anugerah yang sepatutnya diterima Rosmah?

Bagaimana wang kerajaan sendiri kepada Permata boleh diragui?

Mungkinkah dalam hal ini Permata ada menerima dana 1MDB secara sembunyi-sembunyi dan tanpa kita ketahui?

Adakah penarikan balik anugerah itu juga ada kaitan dengan saman Jabatan Kehakiman AS atau berhubung-kait dengan sebarang penemuan penyiasat antarabangsa berkaitan wang 1MDB yang telah dilencongkan?

Satu lagi persoalan yang tentunya rakyat Malaysia ingin jawapannya daripada Rosmah sendiri


SPRM didesak siasat penyelewengan RM500,000

Posted: 19 Sep 2016 08:03 AM PDT

 
 
Sebahagian Penduduk Pandan Perdana Residen berkumpul dihadapan pintu masuk Suruhanjaya Pencegah Rasuah di Taman Maluri Kuala Lumpur selepas membuat laporan terhadap pihak Pengurusan Bersama (JMB) yang didakwa menyeleweng duit pengurusan. foto SAFWAN MANSOR. 19 Sept. 2016.
Sebahagian Penduduk Pandan Perdana Residen berkumpul dihadapan pintu masuk Suruhanjaya Pencegah Rasuah di Taman Maluri Kuala Lumpur selepas membuat laporan terhadap pihak Pengurusan Bersama (JMB) yang didakwa menyeleweng duit pengurusan. foto SAFWAN MANSOR.

 
Lebih 3,000 penduduk Rumah Pangsa Kos Rendah di Pandan Perdana mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat akaun Perbadanan Pengurusan Bersama (JMB) rumah pangsa tersebut yang didakwa telah diselewengkan bernilai lebih RM500,000.
 
Wakil penduduk, Chong Kah Siong berkata, wang yang dipercayai diselewengkan itu adalah hasil kutipan yuran bulanan yang dikenakan ke atas setiap rumah untuk tujuan penyelenggaraan termasuklah bil elektrik untuk kawasan sekitar, lif dan air.
 
Chong Kah Siong
 
"JMB sepatutnya membayar yuran yang dikutip itu kepada pihak terbabit seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetapi mereka tidak berbuat demikian sejak sekian lama.
 
"Kami pun tak tahu berapa lama mereka tak bayar kepada TNB sehingga keluar berita yang mengatakan TNB akan memotong bekalan elektrik di kawasan rumah pangsa ini.
 
"Adalah tidak adil jika TNB membuat pemotongan dan kami selaku penduduk di sini membantah tindakan tersebut kerana tunggakan melebihi RM500,000 itu adalah dibawah tanggungjawab JMB yang membuat kutipan ke atas kami setiap bulan," katanya pada sidang media di hadapan pejaba SPRM di Taman Maluri, Cheras Kuala Lumpur pagi tadi selepas membuat laporan.
 
Jelas Kah Siong lagi, masalah air yang akan dipotong oleh Syabas juga tidak sepatutnya berlaku ke atas penghuni rumah pangsa tersebut.
 
"Bukan kita tidak bayar tetapi pihak JMB yang tidak menjelaskan kepada Syabas sehingga tertunggak sebanyak RM135,470.
 
"Ketidaktelusan JMB sangat mengecewakan kami dan kami sifatkan mereka sudah cukup melampau walaupun kami telah beberapa kali meminta mereka memberi penjelasan yang tidak mendapat jawapan sewajarnya.
 
"Maka kami terpaksalah datang ke SPRM untuk membuat laporan kerana kami percaya, pihak JMB tidak menunaikan tanggungjawab mereka sebaiknya telah menyusahkan penduduk di rumah pangsa ini," katanya.
 
Seorang penduduk, Yong See Lee ketika ditemui memberitahu, penduduk mahu JMB menyelesaikan masalah tersebut kerana penduduk tidak pernah lupa membayar yuran selenggara yang dikenakan setiap bulan.
 
Yong See Lee
 
"Kita bayar tapi kita tak tahu ke mana duit itu sudah pergi. Sepatutnya mereka jujur dengan kami dan tidak menyusahkan penduduk di sini," ujarnya yang telah tinggal di situ sejak 12 tahun lalu.
 
Seorang lagi penduduk, Chew Giat Eng berkata, lif di rumah pangsa tersebut sering tidak berfungsi akibat tindakan TNB memotong bekalan elektrik tanpa notis.
 
Chew Giat Eng
 
"Saya sudah tua dan tak larat untuk naik tangga sehingga tingkat tujuh kerana lif tidak berfungsi. Kami sangka lif rosak tetapi rupa-rupanya TNB potong bekalan kerana JMB tidak bayar kos penyelenggaraan.
 
"Kalau JMB tidak bayar, tak perlulah kutip yuran," katanya. - MalaysiaGazette
 
 

Fenomena Air Pasang Besar: 13 Kawasan Di Lima Daerah Di Selangor Dilanda Banjir

Posted: 19 Sep 2016 07:46 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Keadaan air pasang besar di Kg Tok Muda, Kapar Klang dan pelabuhan Klang pada Isnin.


SHAH ALAM: Sebanyak 13 kawasan di lima daerah di Selangor dilanda banjir akibat limpahan air laut berikutan fenomena air pasang besar awal pagi Ahad.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata setakat ini, keadaan banjir sudah reda di kesemua kawasan berkenaan setelah air surut sejak tengah hari Isnin.

Beliau berkata kejadian itu tidak memerlukan pemindahan mangsa dan tiada kemalangan jiwa.

Kawasan yang terjejas akibat fenomena air pasang besar itu ialah Kampung Tok Muda, Kapar dengan paras ketinggian air 100 hingga 250 milimiter (mm); Taman Maznah, Klang (50 hingga 250 mm); Taman Selat Selatan, Klang (50 hingga 200 mm).

Selain itu, kawasan Sementa, Klang turut dinaiki air dengan ketinggian 50 hingga 200 mm; Kampung Sungai Pinang, Klang (900mm); Kampung Tok Muda, Pulau Indah, Klang (900 mm); Jalan Klang-Banting, Pandamaran (900 mm); dan Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang (900 mm).

"Bagi daerah Kuala Selangor pula, kawasan yang dilimpahi air sungai akibat peningkatan paras air laut adalah pekan Bagan Pasir Penambang dengan paras air mencecah 100 hingga 200 mm manakala kawasan Pantai Remis pula mencapai ketinggian air sehingga 5.6 meter.

"Pantai Kelanang di Banting mencapai ketinggian air sehingga 5.6 meter selain Kampung Sungai Air Tawar, Tebuk Mendeleng serta Sungai Lang di Sabak Bernam juga dinaiki air sebanyak 0.6 meter. Pekan Tanjong Karang turut dlimpahi air setinggi 900 mm," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Mohd Sani turut meminta orang ramai terutamanya yang berdekatan dengan kawasan sungai atau laut supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan berikutan jangkaan air laut pasang tinggi berlaku dalam tempoh beberapa hari ini. - BERNAMA

Selangor belanja RM1.1 bilion biayai subsidi air

Posted: 19 Sep 2016 07:35 AM PDT

HARAKAHDAILY 


 


KUALA LUMPUR: Selangor membelanjakan RM1.1 bilion bagi membiayai subsidi bil air sejak 2008, kata Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Sdn Bhd, Suhaimi Kamaralzaman.

Beliau berkata, secara puratanya sejumlah RM150 juta diperuntukkan bagi program pemberian air percuma setiap tahun, lapor SelangorKini.

"Berdasarkan kepada penggunaan air secara bulanan, pengguna di Kuala Lumpur dan Putrajaya berbelanja sekitar RM25.04 setiap bulan.

"Di Selangor pula, purata bil bulanan hanya serendah RM13.30 memandangkan 20 meter padu pertama disubsidi Kerajaan Negeri," katanya di Pendengaran Tertutup Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Sumber Air Selangor (JPK-SAS), di sini, hari ini.

Sesi pendengaran dipengerusikan Yeo Bee Yin dan turut dihadiri Ahli Jawatankuasa (AJK) lain iaitu Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar, Shafie Ngah (Bangi) dan Sulaiman Abdul Razak (Permatang).

Selain Suhaimi, sesi berhubung Penstrukturan Industri Air Dan Kesan Terhadap Negeri Selangor itu turut memanggil wakil dari Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Suhaimi berkata, tarif air juga kekal sejak 2006 tanpa sebarang perubahan, sehingga kini.

"Jika di bawah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), tarif sepatutnya dinaikkan sehingga 105.7 peratus, selepas sepuluh tahun," katanya.


Setiausaha Politik MB Kelantan jawab Husam

Posted: 19 Sep 2016 07:34 AM PDT

HARAKAHDAILY 


KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA POLITIK KEPADA YAB MENTERI BESAR KELANTAN

Saya ingin merujuk kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh YB Datuk Haji Husam Musa dalam satu sesi ceramah yang telah diadakan pada 16 September 2016. Beliau telah membuat beberapa tuduhan terhadap YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Kelantan.

Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang telah dilemparkan oleh YB Datuk Haji Husam Musa terutamanya berkaitan pembalakan dan pengambilan tanah Kampung Laut sepertimana disebut dalam ceramah Ahli Dewan Undangan Negeri Salor terbabit.

Dakwaan kononnya Menteri Besar Kelantan telah meluluskan banyak kawasan pembalakan secara tebang habis untuk dijadikan ladang getah klon balak (TLC) adalah tidak benar, bahkan  menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, semenjak YAB Ustaz Datuk Haji Ahmad Bin Yakob mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan, tidak terdapat kelulusan bagi projek ladang TLC atau ladang-ladang yang lain dalam hutan simpan kekal dan hanya meneruskan aktiviti pembalakan biasa sepertimana yang telah diluluskan pada pentadbiran yang lepas.

Tuduhan YB Datuk Haji Husam Musa dengan mengatakan kawasan hutan simpan ditebang dan ditanam dengan tanaman Durian Kunyit sebanyak 1,000 hektar juga merupakan satu kenyataan yang menyimpang dan berniat jahat. Kerajaan Negeri Kelantan hanya meluluskan sebanyak 100 hektar sahaja bagi tujuan tersebut dengan dikenakan syarat-syarat yang sangat ketat oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan. Jika dilihat kepada angka ini, ia jelas berbeza dengan dakwaan YB Datuk Haji Husam Musa iaitu sebanyak 1,000 hektar. Perlu dimaklumi bahawa dibawah Enakmen Perhutanan Negeri Kelantan, durian diklasifikasikan sebagai tumbuhan hutan dan digalakkan untuk dijadikan sebagai spesis pokok bagi tujuan penanaman semula bagi kawasan hutan yang terjejas.

Berbalik kepada tuduhan YB Datuk Haji Husam Musa dengan mengatakan bahawa  keseluruhan tanah Kampung Laut, Tumpat sudah habis diambil oleh Kerajaan Negeri, saya ingin jelaskan disini, keluasan bagi keseluruhan Kampung Laut adalah sebanyak 55 ekar. Manakala kawasan yang terlibat bagi menjalankan projek Kampung Warisan Kampung Laut hanyalah 2.334 ekar ataupun 4.2% daripada jumlah keseluruhan Kampung Laut dan hanya 1.312 ekar daripada keluasan tersebut melibatkan pengambilan tanah yang terdapat kediaman penduduk. Di samping bayaran pampasan pengambilan tanah, Kerajaan Negeri Kelantan juga telah menyediakan lot-lot tanah beserta unit kediaman kepada penduduk yang terlibat sebagai tapak pemindahan.

Oleh yang demikian, saya berharap melalui penjelasan ini dapat memberikan pencerahan terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Saya juga berdoa agar Allah SWT sentiasa memelihara Negeri Kelantan daripada fitnah dan memohon agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan untuk terus mentadbir negeri ini dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab.

Sekian Terima Kasih.

HAJI WAN ROSLAN WAN HAMAT
Setiausaha Politik Kepada YAB Menteri Besar Kelantan

Trafik Sesak Di Lembah Klang, Banjir Landa Beberapa Kawasan

Posted: 19 Sep 2016 07:29 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
PETALING JAYA: Hari pertama pelajar kembali ke sekolah selepas cuti selama seminggu menyaksikan penduduk sekitar Lembah Klang berdepan kesesakan lalu lintas pada awal pagi terutamanya di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP).

Pada awal pagi Isnin, trafik Star Media Radio melaporkan beberapa kawasan dilanda hujan yang memberi amaran awal bakal berlakunya kesesakan di beberapa laluan utama.

Keadaan trafik di LDP sesak dari Bandar Sri Damansara ke Taman Tun Dr Ismail dan Petaling Jaya.

Pegawai mengesahkan kerja penurapan jalan berhampiran tol Penchala dan Damansara Perdana menyebabkan lorong kiri terhalang.

Trafik Star Media Radio berkata kesesakan di LDP turut menjejaskan laluan di MRR2, dari Taman Metropolitan Kepong dan Jalan Kuala Selangor dari Stesen KTM Sungai Buloh.

Trafik di NKVE dilaporkan bergerak perlahan antara tol Damansara dan Kayu Ara serta Jalan Loke Yew antara Taman Miharja dan Jalan Kinabalu.

"Trafik sesak di sepanjang Jalan Kuching dari Selayang menuju persimpangan Sultan Ismail," kata trafik Star Media Radio di laman Twitternya kira-kira pukul 8.19 pagi.

Di KLANG, hujan lebat pada pagi Isnin menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir terutamanya dekat stesen KTM Pelabuhan Klang.

Paras air naik setinggi 20 sm dekat stesen dan beberapa kawasan laluan masuk ke terminat feri Southpoint.

Menurut Khairul Nizam Zam, seorang anggota Rela yang ditempatkan di terminal itu, hujan turun sejak pukul 5.30 pagi.

"Air meningkat dengan cepat dan menenggelamkan laluan masuk dalam masa 15 minit," katanya.

Ikut hierarki dan tradisi PAS, MB Kelantan pengganti Haron Din

Posted: 19 Sep 2016 07:15 AM PDT

 
Sehingga hari ini, tiada orang yang melanggar hierarki Majlis Syura Ulama PAS.
 
 
 
ahmad-yakob_pas_6001


Berita pemergian Datuk Dr Haron Din, semalam, mengejutkan umat Islam di negara ini.

Tatkala ahli dan pemimpin PAS bersedih dan terkesan dengan pemergian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kini mereka sekali lagi kehilangan tongkat kepimpinan murabbi ummah.

Ratusan ucapan takziah serta doa mengiringi pemergian Haron yang meninggal dunia di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Bagaimanapun, perjuangan Haron tidak terhenti di situ, sebaliknya akan disambung pemimpin seterusnya, malah ada pengganti yang akan memegang jawatan tertinggi dalam PAS itu.

Hierarki jadi tradisi PAS

Mengimbau sejarah PAS yang dipimpin Mursyidul Am PAS pertama, Yusof Rawa sehingga Haron, ia menyaksikan kekosongan jawatan itu akan diisi timbalan mursyidul am.

Dalam situasi ini, mengikut amalan dan tradisi PAS, Datuk Ahmad Yakob yang merupakan timbalan mursyidul am sepatutnya menerima baton perjuangan daripada Haron.

Perkara ini diakui anak sulung Yusof, Datuk Dr Mujahid yang berkata, mengikut hierarki parti, timbalan akan dilantik ke jawatan mursyidul am PAS.

"Dulu Yusof Rawa menjadi mursyidul am, kemudian diganti timbalannya, iaitu Nik Aziz. Apabila Nik Aziz pergi, timbalannya pada waktu itu adalah Haron.

"Jadi, apabila meninggalnya Haron, maka secara hierarki, timbalannya Ahmad Yakob akan menjadi mursyidul am," katanya kepada FMT.

Pelantikan secara hierarki hanyalah amalan kerana tiada klausa atau fasal khusus dalam perlembagaan parti Islam itu yang menyatakan timbalan akan memangku jawatan berkenaan, jika mursyidul am tiada.

Apa yang diperuntukkan hanyalah ketiadaan mursyidul am untuk mempengerusikan mesyuarat, maka timbalan boleh menggantikan beliau mempengerusikan mesyuarat.

Mengikut Fasal 8(6) Perlembagaan PAS, ketua Majlis Syura Ulama yang dikenali sebagai mursyidul am dan seorang timbalannya yang dikenali sebagai timbalan mursyidul am hendaklah dipilih di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura Ulama daripada kalangan ahlinya dan akan memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat, dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan diberhentikan dengan persetujuan dua pertiga daripada ahli Majlis Syura Ulama itu dan boleh diperbaharui pelantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.

Bagaimanapun, Mujahid yang kini bersama Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, sehingga hari ini, masih tiada orang yang melanggar hierarki Majlis Syura Ulama PAS.

"Setakat ini, tiada lagi yang melompat dan masih mengikuti 'rank'. Kalau ikut amalan begitu, kita faham dia (Ahmad) akan jadi mursyidul am," katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga tidak menolak kemungkinan presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai mursyidul am PAS, memandangkan Yusof pernah memegang dua jawatan sebelum melepaskan jawatan presiden.

Sekali lagi dalam Perlembagaan PAS tidak dinyatakan secara khusus kriteria untuk melantik mursyidul am PAS.

Fasal 8(6) Perlembagaan PAS sebaliknya hanya menyatakan ketua Majlis Syura Ulama yang dikenali sebagai mursyidul am dan seorang timbalannya yang dikenali sebagai timbalan mursyidul am hendaklah dipilih dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura Ulama tersebut daripada kalangan ahlinya dan akan memegang jawatan itu selama lima tahun.

Pengganti Ahmad Yakob jadi teka-teki

Isu kedudukan mursyidul am PAS dalam Majlis Syura Ulama PAS tidak selesai setakat ini sahaja. Jika Ahmad meneruskan tradisi parti, maka Majlis Syura Ulama harus mencari penggantinya.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Nasrudin Hassan, Datuk Nik Mohamad Amar Abdullah serta Idris Ahmad mungkin terlepas jawatan timbalan mursyidul am PAS memandangkan mereka masih muda.

Manakala beberapa nama besar dalam parti Islam itu seperti Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh lebih sesuai dilantik meneruskan tradisi kepimpinan ulama, memandangkan mereka ialah ahli tertinggi Dewan Ulama PAS Pusat.

Perkara ini turut dipersetujui pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Dr Azmi Sharom yang percaya PAS akan terus memilih individu mempunyai karakter dan sifat seperti Haron untuk jawatan tertinggi itu.

"Jika mereka (Majlis Syura Ulama) hendak cari orang seperti Haron, kena cari yang bersifat konservatif, bukannya seseorang yang bersifat progresif," katanya.

Unesco Tarik Balik Anugerah Kepada Permata

Posted: 19 Sep 2016 07:15 AM PDT



MSTAR ONLINE
 
 



PETALING JAYA: Satu anugerah oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) untuk mengiktiraf program Permata dalam satu majlis yang diadakan sempena Persidangan Agung ke-71 Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York telah ditarik balik.

The New York Times melaporkan satu laporan dari Tudor Parfitt pada Ahad yang mengesahkan anugerah itu telah ditarik balik.

Menurut kenyataan itu, pelbagai persoalan dibangkitkan mengenai sumber dana Permata dan walaupun penganjur acara tidak menyedari wujud sebarang salah laku tertentu, mereka tiada masa untuk memeriksa persatuan itu.

Acara itu sepatutnya diadakan di Muzium Kesenian Metropolitan, New York.

Terdahulu Bernama melaporkan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dipilih untuk menerima anugerah 'Lead by Example' oleh Unesco.

Anugerah itu akan disampaikan pada majlis Penghormatan Kepada Wira-wira Dalam Kempen Global Menentang Keganasan pada 22 September ini.

Pengiktirafan itu diberikan atas usaha dan sumbangan Rosmah dalam membangunkan potensi kanak-kanak, terutama di bawah Program Permata.

Sambut atlet paralimpik jangan hangat tahi ayam

Posted: 19 Sep 2016 07:09 AM PDT

 
Atlet paralimpik sebenarnya sudah lama menempa nama di pentas antarabangsa tetapi tidak menerima penghargaan.


Abdul Latif Romly


Walaupun sekadar mendapat 30% elaun berbanding atlet Olimpik normal, atlet paralimpik negara tidak hanya memberi 30% usaha untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Sebaliknya, mereka mencurahkan 100% kudrat sehingga berjaya menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia untuk mengakhiri kemarau emas negara sejak 1956.

Bukan satu, tetapi 3 pingat emas disumbangkan atlet paralimpik hanya dalam tempoh 24 jam, serta satu pingat gangsa.

Berbanding harapan menggunung kepada atlet Olimpik negara ke Rio de Janeiro sehingga menyebabkan ada di antara mereka tertekan, atlet kelainan upaya sekadar mendapat layanan dingin daripada kerajaan, media dan rakyat.

Atlet paralimpik seperti Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly sebenarnya sudah lama menempa nama di pentas antarabangsa kerana pernah memenangi pingat di pelbagai kejohanan bertaraf dunia sebelum ini.

Malah, Latif berjaya menewaskan atlet normal untuk meraih pingat emas dan memecahkan rekod dunia menerusi lompatan 7.46m, pada Sukma ke-18 di Sarawak, Julai lalu.

Pun begitu, mereka langsung tidak dihargai dan masih mendapat layanan berat sebelah walaupun di tanah air sendiri.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini berkata Lembaga Majlis Sukan Negara (MSN) cuba menolak cadangannya menaikkan elaun atlet paralimpik supaya ia sama dengan atlet normal.

Pelbagai alasan diberikan, termasuk tidak banyak penyertaan, mudah untuk menang, sukan paralimpik masih baharu dan terlalu banyak kategori acara.

Mujurlah menteri muda itu tidak berputus asa dan berusaha memperjuangkan kebajikan serta layanan sama rata buat atlet paralimpik, 3 tahun lalu.

Hari ini, terbukti perjuangan Khairy tidak sia-sia apabila 3 daripada atlet itu berjaya menaiki podium dan buat julung kalinya dalam sejarah Malaysia, lagu Negaraku berkumandang di temasya sukan terbesar di dunia itu.

Layanan dan tumpuan yang diberikan kepada atlet paralimpik serta bekas atlet ketika ini perlu ditambah baik, bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam, kerana mereka perlu mengatasi kekurangan dalam diri dan berusaha lebih keras berbanding atlet normal untuk bersaing dengan lawan dari seluruh dunia bagi melayakkan diri ke Sukan Paralimpik.

Bagi atlet paralimpik yang kurang bernasib baik dalam misi pemburuan pingat di Sukan Paralimpik, janganlah berputus asa kerana peluang sentiasa terbuka kepada anda yang tetap menjadi wira kebanggaan negara dan seluruh rakyat Malaysia.

Tahniah juga kepada jurulatih dan ibu bapa yang memainkan peranan penting atas latihan, didikan serta keyakinan terhadap anak luar biasa mereka sehingga berjaya menggapai kejayaan sekarang.

Diharapkan pencapaian mereka di Rio de Janeiro dapat membuka mata kerajaan, guru dan ibu bapa khasnya dalam membangunkan bakat anak kelainan upaya menjadi atlet paralimpik.

KJ beri keterangan dalam saman RM100 juta Anwar

Posted: 19 Sep 2016 07:04 AM PDT

 
Menteri belia dan sukan menafikan beliau membayangkan sebarang sindiran seksual dalam ceramahnya pada 2008.


KJ-anwar


KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Mahkamah Tinggi hari ini memberi keterangan di kandang saksi dalam kes tuntutan saman RM100 juta terhadapnya yang difailkan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khairy atau turut dikenali dengan gelaran KJ, tenang sepanjang memberi keterangan dan menjawab soalan balas daripada 2 peguam yang mewakili Anwar, iaitu J Leela dan Latheefa Koya.

Leela memulakan soal balasnya dengan menekan Khairy mengapa beliau membayangkan konotasi seksual yang Anwar ialah gay di hadapan khalayak dalam satu ceramah pra pilihan raya umum 2008 menerusi kenyataannya: 'PAS main DAP ikut kiri, DAP main PAS ikut kanan, Anwar main dua-dua dari belakang'.

Bagaimanapun, Khairy menafikan beliau membayangkan sebarang sindiran seksual dalam kenyataannya.
"Sudah tentu tidak," katanya.

Khairy berkata maksud dalam kenyataan itu ialah membayangkan yang DAP, PAS boleh ditikam dari belakang oleh Anwar dan Anwar 'mempermainkan parti pembangkang'.

Khairy dalam ucapannya turut menyentuh parti pembangkang yang membentuk pakatan pembangkang bersama hanya 'kahwin mutaah' di mana pembangkang berkahwin secara sementara dengan pihak lain dengan satu tujuan.

"Saya tidak mahu menghina Syiah. Tetapi itu yang difahami secara umum. Mereka 'berkahwin' kerana mahu bekerjasama tetapi bukan untuk tujuan jangka panjang," katanya.

Leela kemudian bertanya apa maksud ucapannya; "dia kahwin satu malam, main malam tu, esok hari dia cerai" ketika merujuk kepada parti pembangkang yang bersatu sebagai pakatan pada pilihan raya umum 2008.

Leela: Terma "main malam tu" bukan ada maksud seksual?

Khairy: Parti politik tak boleh melakukan seks. Ia berbalik kepada metafora (kahwin mutaah).
Leela turut menyoal jika Khairy ada bukti yang Anwar tarik balik kenyataannya bila Khairy mendakwa Anwar 'mempermainkan parti pembangkang'.

"Bila pihak pembangkang ada kecenderungan melakukannya sebelum ini, mereka mungkin berbuat begitu sekali lagi," katanya merujuk kepada gabungan pembangkang iaitu PKR, PAS dan DAP yang dibuat pada pilihan raya umum pada 1999 dan 2004 tetapi pakatan itu gagal.

Bagaimanapun, Leela terus menekannya dengan berkata dakwaannya terhadap Anwar mengkhianati pembangkang, ialah fitnah.

Khairy menjawab:"Ini ialah kenyataan politik dan ia dibuat berdasarkan kepada komen yang adil."
Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy dengan mendakwa defendan, ketika itu naib ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and Kin No Threat', dimuat naik dalam beberapa laman web, termasuk Malaysiakini.com.
Anwar memohon RM100 juta dalam ganti rugi teruk dan teladan, selain relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Khairy, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 8 Oktober 2010, berkata beliau bersandar kepada pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat.

Beliau berkata sebagai naib ketua Pemuda Umno, beliau mempunyai tanggungjawab perundangan, moral dan sosial kepada masyarakat dan orang Melayu, dan orang awam mempunyai kepentingan yang sah yang bersamaan dalam penerimaan maklumat berkaitan perkara dalam perbincangan yang memberi kesan kepada sosial, ekonomi dan politik.

Perbicaraan bersambung esok di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan.

SPRM buru bekas pengurus agensi kerajaan di Sabah gelapkan RM9 juta

Posted: 19 Sep 2016 06:58 AM PDT

 
Bekas pengurus besar itu pernah disiasat selepas SPRM menerima maklumat daripada orang awam pada 2014.


sprm-sabah


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang bekas pengurus besar sebuah agensi kerajaan di Sabah kerana disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM9 juta.

Menurut sumber, ia susulan daripada siasatan sebelum ini yang mana suspek pernah disiasat selepas SPRM menerima maklumat daripada orang awam pada 2014.

"SPRM mendapati wujudnya unsur rasuah yang menjurus kepada pengubahan wang haram melibatkan lebih kurang RM9 juta setelah menjalankan siasatan secara berterusan dan terperinci.

"Berdasarkan hasil siasatan, suspek dipercayai meluluskan pembayaran tersebut kepada sebuah syarikat kelapa sawit kononnya sebagai pampasan selepas kerajaan negeri meluluskan tanah tersebut kepada sebuah agensi kerajaan untuk tujuan pembangunan komersial," katanya.

Menurut sumber, selepas kerajaan negeri Sabah meluluskan tanah tersebut kepada agensi kerajaan berkenaan, pemilik syarikat berkenaan mengemukakan permohonan pampasan bernilai RM9 juta merangkumi kos tanaman sawit dan nilai tanah yang dimiliki kerajaan negeri Sabah daripada bekas pengurus itu, sedangkan tanah ladang kelapa sawit milik kerajaan itu diusahakan tanpa kelulusan.
SPRM akan turut menahan pemilik syarikat kelapa sawit tersebut atas kesalahan bersubahat dengan bekas pengurus terbabit untuk membuat tuntutan palsu.

Hadi bersemuka dengan Persatuan Hokkien Malaysia

Posted: 19 Sep 2016 12:09 AM PDT

Abdul Hadi mengadakan pertemuan bersama Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia. –Foto Facebook Datuk Seri Abdul Hadi Awang


SHAH ALAM - Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengadakan pertemuan bersama Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia sepertimana yang dijadualkan bagi memberi penerangan mengenai Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah, Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965 (Akta 355).

Dalam pertemuan itu, Abdul Hadi memberi penerangan terperinci mengenai perihal undang-undang tersebut.

Mengulangi pendirian yang sama, Abdul Hadi berkata Pindaan Akta 355  berkenaan hanya akan melibatkan orang Islam di negara ini, yang mana ia tidak akan melibatkan golongan bukan Islam.

"Dalam Perlembagaan Persekutuan menyebut undang-undang Islam di Malaysia ini hanya untuk orang Islam sahaja, mahkamah syariah tidak boleh menghukum penganut agama lain.

"Apa yang berlaku hari ini ialah orang Islam tidak boleh menjalankan undang-undang mereka sendiri dalam perkara berkaitan jenayah...jadi sekarang ini kita hanya mahu mengangkat kedudukan mahkamah syariah yang mana tarafnya lebih rendah daripada mahkamah rendah, " katanya di bangunan Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dialog Persatuan Hokkien-Pas minggu depan]

Terdahulu pertemuan itu, diadakan susulan tindakan Persatuan Hokkien Malaysia melancarkan kempen mengumpul sejuta tandatangan daripada rakyat bagi menentang rang undang-undang persendirian tersebut.

Ujarnya lagi, oleh itu tiada sebab kenapa Pindaan Akta 355 ini perlu ditentang kerana ia hanya melibatkan orang Islam.

"Kita mendesak agar Ahli Parlimen seramai 125 orang menyokong cadangan ini, bukan Islam terpulang, kami tiada masalah dengan bukan Islam, cuma sekarang kami sedang bergelut dengan orang Islam sahaja, Pindaan Akta 355 tiada sebab bagi pihak lain untuk menentang kerana ia berkait dengan orang Islam sahaja, Orang bukan Islam akan terpelihara kerana ia sudah dijamin dalam Perlembagaan," katanya lagi.


Cuepacs: Orang malas sahaja sokong kerja 6 jam

Posted: 19 Sep 2016 12:03 AM PDT

 
Cupeacs berkata cadangan itu juga boleh menjejaskan pendapatan mereka yang dibayar gaji mengikut jam.


azih-muda-cuepacs-1


GEORGE TOWN: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak menyokong cadangan pengurangan waktu bekerja kepada 6 jam sehari.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, mereka yang bersetuju dengan cadangan untuk mengurangkan waktu kerja daripada 8 jam sekarang kepada 6 jam hanyalah mereka yang malas.

"Tiada siapa yang bekerja 8 jam secara berterusan. Pekerja keluar untuk waktu rehat minum kopi atau keluar untuk mengambil anak pulang dari sekolah dan lain-lain. Oleh itu, Cuepacs membantah idea tersebut," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Kesatuan Anggota KEMAS semalam.

Idea waktu bekerja selama 6 jam sehari dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Azih juga berkata beliau khuatir jika waktu bekerja selama enam jam itu dilaksanakan, ia akan menjejaskan pekerja yang dibayar mengikut jam kerana gaji mereka menjadi lebih rendah terutama dengan kos sara hidup yang semakin mahal.

"Kami berharap kerajaan akan mengkaji dengan teliti perkara itu dan juga berharap waktu kerja tidak dikurangkan tetapi gaji dinaikkan," katanya.

Sementara itu, Azih berkata, Cuepacs juga berharap Kementerian Kewangan akan memansuhkan kontrak jangka pendek kerana ia menindas pekerja kerana mereka tidak layak untuk menikmati faedah seperti caruman Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan (KWSP).

Azih berkata Cuepacs menerima banyak aduan daripada pekerja dan berpendapat bahawa ia tidak adil untuk mereka.

"Kami berharap kontrak pekerja ditandatangani untuk minimum dua tahun dan ke atas bagi memastikan kebajikan mereka dan berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengambil kira pandangan ini semasa pembentangan bajet akan datang," katanya.

Najib dijadual membentangkan Bajet 2017 di Parlimen pada 21 Oktober dan meminta orang awam termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik mengemukakan cadangan untuk bajet.

Laksana 1 lawan 1 jika mahu bubar DUN Selangor, kata exco

Posted: 18 Sep 2016 11:49 PM PDT

 
Katanya, BN tetap akan gagal merampas Selangor jika perlawanan 1 lawan 1 dilakukan, tetapi parti pemerintah boleh menawan negeri itu jika berlaku pertembungan 3 penjuru.


iskandar


PETALING JAYA: Datuk Iskandar Abdul Samad berkata apa yang penting ketika ini ialah memastikan hanya pertembungan 1 lawan 1 berlaku dalam pilihan raya di Selangor, bukannya pertandingan 3 penjuru.

Exco kerajaan negeri Selangor itu berkata demikian ketika mengulas cadangan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang untuk mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor lebih awal bagi mengelak peta pilihan raya baharu dalam persempadanan semula.

Iskandar berkata cadangan Kit Siang itu perlu dibincangkan terlebih dulu secara terperinci sebelum sebarang keputusan diambil.

"Cadangan itu perlu dibincangkan dengan lebih terperinci sama ada pembubaran DUN lebih awal akan dibuat atau tidak. Tetapi, kalau hendak buat kena pastikan akan berlaku 1 lawan 1 terlebih dulu," katanya kepada FMT.

Kit Siang sebelum ini berkata Selangor perlu bertindak sedemikian supaya tidak perlu memakai peta pilihan raya baharu yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata pilihan raya negeri awal boleh menjadi pilihan, susulan cadangan persempadanan semula SPR yang "meremukkan dan menyembelih peta Selangor semata-mata untuk mengembalikan Umno di negeri itu".

Bagaimanapun, Iskandar yang juga naib presiden PAS menyanggah kenyataan Kit Siang itu dan percaya BN tidak akan dapat merampas Selangor sekiranya pertandingan 1 lawan 1 dapat dilakukan.

"Jika berlaku 1 lawan 1, BN tetap akan gagal merampas Selangor. Tetapi jika berlaku 3 penjuru, Selangor akan dapat dirampas BN," katanya.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya PKR Nurul Izzah Anwar berlangkah langkah SPR itu "penipuan sistematik", manakala beberapa pemimpin DAP sebelum ini mempersoalkan perbezaan besar bilangan pengundi di antara sesebuah kawasan parlimen.

Cadangan SPR itu melibatkan 128 kawasan Parlimen, dan boleh dibantah kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengundi dalam kelompok 100 orang, sebelum 15 Oktober.

Antara kawasan terlibat termasuk Gelang Patah yang diwakili Kit Siang, yang semalam menyenaraikan 13 kawasan Parlimen dengan bilangan pengundi melebihi 100,000 orang.

BN di Selangor tewas pada pilihan raya umum 2008 dan sekali lagi gagal menawan kembali negeri terkaya di Malaysia itu pada 2013, dengan hanya menerima 12 kerusi diwakili Umno. PRU akan datang perlu diadakan pada 2018.

Mengapa polis masih belum tangkap Ali Tinju?

Posted: 18 Sep 2016 11:27 PM PDT



Teo_Nie_Ching_16072013_620_412_100

 Roketkini.com


JOHOR BAHRU: Pihak polis masih tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pemimpin Gerakan Merah Malaysia, Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju berhubung ancamannya terhadap Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata walaupun polis tidak bersetuju dengan perhimpunan Bersih 5 yang akan datang, hak keselamatan Maria sebagai seorang rakyat Malaysia harus dipelihara.

"Beliau berhak mendapat perlindungan yang dijanjikan di bawah undang-undang, iaitu untuk hidup bebas daripada ketakutan, keganasan dan penderaan," tegasnya dalam satu kenyataan.

Menurut Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu, sikap polis terhadap Ali Tinju adalah berbeza sama sekali dengan tindakan mereka ke atas pengkritik kerajaan yang sering ditahan dan disoal siasat dengan segera.

"Bulan lepas, 14 polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyerbu rumah seorang wanita hamil kerana kononnya menghina Rosmah Mansur (isteri Perdana Menteri).

"Sebelum ini pula pada bulan Julai, seorang lelaki warga emas ditahan kerana berkongsi foto dalam kumpulan WhatsApp kerana polis mendakwa beliau menghina Najib Razak," ujarnya.

Nie Ching menegaskan, jika ancaman Ali Tinju kepada Maria itu digunakan seseorang ke atas Perdana Menteri atau isterinya, dia pasti segera ditangkap oleh polis.

"Tindakan polis mendiamkan diri adalah sama dengan menggalakkan samseng seperti Ali Tinju untuk melaksanakan undang-undang dengan tangan mereka sendiri. Langsung tidak boleh dimaafkan," katanya.

Baru-baru ini, Ali yang juga bekas anggota tentera mengugut akan 'menyerang hendap' serta meminta Maria berwaspada atau beliau nanti 'tidak akan berjalan di atas muka bumi' seperti dilapor media. – Roketkini.com


Persempadanan semula SPR untuk menangkan BN, Selangor perlu buat pilihan raya awal

Posted: 18 Sep 2016 11:24 PM PDT

Lim Kit Siang

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan di Selangor perlu mempertimbangkan cadangan untuk melaksanakan pilihan raya lebih awal supaya dapat mengelakkan penggunaan pakai peta pilihan raya baru yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Merujuk kepada cadangan persempadanan semula oleh SPR pada Khamis lalu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia dirangka semata-mata untuk memberi kelebihan kepada UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, menawan kembali Selangor selain mengembalikan semula dua pertiga majoriti Parlimen kepada UMNO adalah antara objektif utama SPR dalam cadangan persempadanan semula tersebut.

Katanya lagi, cadangan persempadanan itu juga adalah untuk memastikan kekalahan beberapa tokoh politik seperti bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, objektif berkenaan telah "melanggar semangat Perlembagaan" dan prinsip demokrasi "satu orang, satu undi".

"Persempadanan semula yang kelima ini mencatat sejarah kerana menjadikan jurang pengundi lebih besar daripada sebelum ini – yang jelas tidak selari dengan Perlembagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua seperti yang dilaporkan sebelum ini mendedahkan terdapat pertambahan besar pengundi di kawasannya, Petaling Jaya Utara, berdasarkan penelitian cadangan persempadanan semula SPR itu.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP mendakwa kawasannya itu yang akan dinamakan semula sebagai "Damansara" telah mengalami peningkatan pengundi sebanyak 76.2 peratus berbanding piliharaya umum lalu, sekaligus menempatkan jumlah pengundi tertinggi di Selangor dengan 150,439 pengundi. – Roketkini.com

PKR cadang 5 perkara 'selamatkan' Malaysia

Posted: 18 Sep 2016 11:16 PM PDT


Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah Anwar - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


SHAH ALAM - Ahli Parlimen PKR, Nurul Izzah Anwar, menyeru orang ramai bersuara demi menyelamatkan masa depan negara.

Menurutnya, masyarakat perlu memastikan suara mereka didengar selain mengetahui hak-hak mereka sebagai rakyat.

"Rakyat harus tolak proses persempadanan semula oleh SPR sehingga satu suruhanjaya sempadan berasingan dan bebas ditubuhkan selaras dengan cadangan PSC mengenai Reformasi Pilihan Raya.

"Selain itu, dapatkan maklumat penempatan mengundi anda dengan segera serta failkan aduan sekiranya dipindahkan tanpa sebab," katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Nurul Izzah turut menekankan rakyat seharusnya mengambil maklum dan mempertahankan hak demokratik mereka dalam isu persempadanan semula ini.

Beliau turut mengajak orang ramai untuk menyokong petisyen mereka kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membetulkan tindakan SPR yang dianggap merupakan satu pengkhianatan buat negara.

Tambahnya lagi, Selangor dan PKR akan mempertimbangkan tindakan undang-undang kepada semua pihak yang terbabit.

"Tiada siapa harus bertolak ansur dengan penipuan pilihan raya yang sistematik dan tiada kompromi akan diberikan kepada mereka yang terlibat," katanya lagi.

Bersatu pecahkan undi pembangkang, BN pada PRU14

Posted: 18 Sep 2016 11:13 PM PDT

Suasana pilihan raya
Gambar hiasan


SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diramal akan membawa perpecahan undi Melayu bukan sahaja pada BN, namun kesan perpecahan undi itu turut dirasai pembangkang pada PRU14 nanti.

Penganalisis politik, Md Shukri Shuib berkata, kehadiran Bersatu di sisi pembangkang hanya akan menyebabkan pertambahan komponen di pihak pembangkang.

Katanya, Bersatu berkemungkinan akan mewujudkan pertandingan melebihi dua penjuru  dalam merebut kerusi pada PRU14 nanti.

"Bersatu terlalu bergantung kepada undi pembangkang yang sedia ada. Ia  sekaligus akan melenyapkan identiti Bersatu sebagai parti yang boleh berdikari dan berpengaruh.

"Bersatu juga perlu menentukan matlamat perjuangannya dalam pembangkang . Sekiranya mereka berada dalam kelompok pembangkang, bagaimanapun tidak dapat peruntukan kerusi untuk bertanding dalam PRU, objektifnya tidak akan tercapai," katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Kata Md Shukri, Bersatu perlu mempamerkan usaha agresif dalam memenangi hati ahli parti secara total.

Katanya, dengan melengkapkan matlamat perjuangan, Bersatu akan mampu mengekalkan kesetiaan ahli terhadap parti, selain boleh menarik lebih banyak sokongan terhadap parti itu.

"Sekiranya mereka dapat bertanding pada PRU, memang berkemungkinan akan ada lonjakan undi (daripada rakyat) kepada pembangkang.

"Bagaimanapun ia hanya akan berlaku sekiranya Bersatu benar-benar pamerkan prestasi yang baik dan kepimpinan mereka diterima oleh masyarakat," jelasnya.

Tambah Md Shukri lagi, Bersatu juga perlu mengelakkan persepsi 'parti orang merajuk' dengan menampilkan identiti dan kekuatannya yang tersendiri.

"Bersatu di kalangan orang muda, sambutannya cukup baik. Pengundi Bersatu kemungkinannya banyak di kawasan bandar. Di kawasan luar bandar Bersatu nampaknya kurang impak.

"Pengundi bandar ini bukan pengundi bersifat tradisi, mereka lebih melihat kepada perubahan yang dibawa oleh parti," katanya lagi.

Kata Md Shukri lagi, Bersatu perlu mengekalkan momentum pertambahan keahlian mencecah 500,000 sekiranya mahu parti itu dihormati oleh parti politik lain di negara ini.

Menyifatkan angka tersebut sebagai angka signifikan bagi keahlian sesebuah gerakan, kata Md Shukri, ia boleh menguatkan kredibiliti parti selain mengukuhkan kestabilan parti.


Polis yakin litar pintas punca kebakaran rumah presiden Amanah

Posted: 18 Sep 2016 11:09 PM PDT

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Presiden Amanah Haji Mohamad Sabu tida semasa kejadianPresiden Amanah Haji Mohamad Sabu tida semasa kejadian


Siasatan awal pihak polis mendapati kemungkinan litar pintas adalah punca kejadian kebakaran rumah presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu semalam

"Kebakaran di lot 540, kampung Guar Petai, Tasek Gelugor pada lebih kurang jam 3.50 petang disyaki berpunca dari litar pintas," kata satu laporan yang dikeluarkan pihak polis.
Bomba dan orang ramai membantu padamkan kebakaranBomba dan orang ramai membantu padamkan kebakaranLaporan awal tentang kejadian itu diterima daripada Kostabel 188399 Nurfatin Abdul Aziz.

"Pihak polis yang diketuai Sarjan Ismail tiba di tempat kejadian mendapati api telah berjaya dipadamkan oleh orang ramai dan pasukan bomba," katanya.

Menurut kenyataan itu, Mohamad berada di Kuala Lumpur semasa kejadian.

"Anak-anak beliau yang tinggal di rumah tersebut pergi kenduri di Kepala Batas.

"Kebakaran berlaku di salah satu bilik di rumah tersebut.

"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dalam insiden ini," kata laporan itu.

Persempadanan semula paling teruk, kata ahli parlimen

Posted: 18 Sep 2016 11:05 PM PDT

BORHAN AHMAD
 
 
Garrymandaring yang asal... susun sempadan untuk kepentingan diri.Garrymandaring yang asal... susun sempadan untuk kepentingan diri.Cadangan persempadanan semula yang dipamerkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekarang disifatkan sebagai garrymandaring paling teruk dalam sejarah.

Garrymandering adalah satu proses penyusunan kawasan pilihan raya untuk menguntungkan sesetengah pihak atau parti dengan cara mengubahsuai kawasan sempadannya.

Ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, SPR perlu memberikan penjelasan penuh kenapa cadangan ini sangat tidak wajar dan adil kepada prinsip 'satu pengundi, satu undi, satu nilai' berbanding dengan persempadanan sebelum ini.

Dengan Damansara di Selangor dicadangkan sebagai kawasan paling besar pengundi iaitu 150,439, ia 218% lebih esar dari kota setiap parlimen iaitu 68,814 pengundi.

Selain Damansara, Kit Siang menamakan 13 super parlimen di negara ini apabila setiap satu mempunyai lebih dari 100,000 pengundi, terlalu jauh berbanding kota 68,814 pengundi secara purata setiap parlimen.


Persempadanan semula 2016 paling teruk, kata Lim Kit Siang.Persempadanan semula 2016 paling teruk, kata Lim Kit Siang.

Kawasan dengan jumlah pengundi paling ramai.

Damansara 150,439
Bangi 146,168
Klang 141,275
Petaling Jaya 129,363
Subang 128,330
Gelang Patah 112,081
Kota Raja 121,126
Pasir Gudang 108,156
Kota Melaka 105,067
Kuala Terengganu 101,875
Sungai Petani 101,829
Tumpat 101,318
Kapar 100,456

Amanah tidak akan melutut, tolak politik siku dan lutut

Posted: 18 Sep 2016 11:02 PM PDT

ARIF ATAN
 
 
Shazni Munir Shazni Munir Pemuda Amanah Nasional menyifatkan mereka tidak akan mudah melutut atau berputus asa dalam memposisikan parti itu sebagai wadah perjuangan Islam di negara ini.

Naib Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, Amanah dalam konteks lebih besar berjuang dengan visi untuk merealisasikan konsep Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin.

Mengulas dakwaan kononnya Amanah akan melutut mengiktiraf kekuatan Pas seperti disebutkan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau berkata, kenyataan itu tidak berfaedah kepada rakyat.

"Apa manfaatnya kepada rakyat dengan kata-kata angkuh begitu?

"Sejujurnya kita ingin katakan bahawa tugas kita jauh lebih besar daripada melayan 'ahli nujum politik' seperti itu," tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Menurutnya, kenyataan berbaur bongkak itu juga secara tidak langsung menggambarkan hilangnya iltizam politik dalam membantu agenda perubahan yang lebih sejahtera kepada rakyat.

"Dengarlah suara perubahan yang diingini rakyat. Bukan dengan lontaran kasar yang akhirnya mengundang jelik anak muda kepada politik Islam," ujarnya.

Mengulas lanjut ulang tahun pertama penubuhan Amanah pada bulan ini, Shazni berkata, parti itu sama sekali tidak mengamalkan politik samseng sebaliknya sentiasa berusaha memperjuangkan hak dan keadilan segenap lapisan rakyat.

"Amanah akan sentiasa memastikan setiap langkah politik yang diambil menyantuni keseluruhan sisi hidup rakyat.

"Kita juga tidak bersikap mementingkan diri sendiri, apatah lagi ingin 'melututsikukan' mana-mana pihak," tegas Shazni lagi yang juga Pengarah Mobilisasi Pemuda Amanah Nasional.

Dua ditahan hina Islam, kata KPN

Posted: 18 Sep 2016 11:00 PM PDT

 ARIF ATAN
 
 
Khalid Abu Bakar 1Khalid Abu Bakar 1
 
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan dua individu ditahan kerana dikatakan menghina Islam di akaun Facebook. 
 
Khalid dalam akaun Twitter beliau hari ini memberitahu mereka yang ditahan di Selangor dan Perak membuat catatan berkenaan ekoran kematian Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr Haron Din.
 
"Syabas, JSJK (Jabatan Siasatan Jenayah Komersial) @PDRM tangkap 2 orang, 1 di Ipoh dan 1 Shah Alam buat posting di FB hina agama Islam berkaitan kematian Dato Harun Din...," ujarnya dalam Twitter.
 
Haron Din, 76, meninggal dunia di San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung pada 16 September lalu.
 
Tindakan polis ini adalah kali pertama dilakukan ketika ramai pihak tidak puas hati dengan reaksi sinis dan menyindir bukan Melayu terhadap pemergian tokoh Pas itu.
 
 

Banjir di utara, barat Selangor pagi ini

Posted: 18 Sep 2016 10:58 PM PDT

ARIF ATAN
 
 
 Amaran supaya penduduk terlibat supaya berwaspada sehingga Rabu ini turut tersebar di media sosial. Amaran supaya penduduk terlibat supaya berwaspada sehingga Rabu ini turut tersebar di media sosial.

Pagi pertama hari bekerja selepas cuti panjang bagi sebahagian penduduk di utara dan barat Selangor hari ini dikejutkan dengan fenomena limpahan air pasang besar.

Beberapa foto yang tersebar di media sosial menunjukkan kawasan di pekan Tanjong Karang dan jalan raya berhampiran Pantai Remis, Jeram di Kuala Selangor digenangi air laut.

Difahamkan fenomena air pasang besar kali ini adalah luar biasa dengan ketinggian mencecah 5.5 meter sehingga menenggelamkan jeti.

Dalam hal berkaitan, mesej berkaitan fenomena air pasang besar yang didakwa daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mulai tersebar di media sosial.

Mesej tersebut mengingatkan semua penduduk di kawasan terbabit supaya berwaspada terhadap fenomena yang berkaitan dengan daya tarikan graviti bulan sehingga memberi kesan terhadap paras air laut di bumi itu.

Turut disertakan jadual jangkaan fenomena tersebut bermula daripada 18 hingga 21 September dengan bacaan purata setinggi 5.45 meter.

Sementara itu, semakan Malaysia Dateline di laman web Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) mendapati bacaan air pasang di stesen Pelabuhan Klang diramalkan mencecah ketinggian 4.78 meter pada 6.40 pagi tadi.

Dalam hal berkaitan sumber dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberitahu bantuan bencana alam nelayan sedang dipertimbangkan ekoran fenomena ini.

Akhir tahun lalu, Kuala Selangor menyaksikan bencana banjir terburuk pernah melanda dalam tempoh lima tahun.

Ribuan penduduk di kawasan itu terjejas dengan air bah mengambil masa hampir dua minggu untuk surut.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badlisza Mohd. Noor sebelum ini dilaporkan akan mengambil tindakan antaranya menaik taraf sistem perparitan dan kolam takungan bagi mengelak banjir berulang.

Keadaan pagi tadi di sekitar Pantai Remis, Jeram di Kuala Selangor dan Pekan Tanjung Karang. Fenomena air pasang besar kali ini disifatkan penduduk setempat sebagai luar biasa.Keadaan pagi tadi di sekitar Pantai Remis, Jeram di Kuala Selangor dan Pekan Tanjung Karang. Fenomena air pasang besar kali ini disifatkan penduduk setempat sebagai luar biasa.


Projek rumah Gen 2 terbengkalai, Anak minta penjelasan Felda

Posted: 18 Sep 2016 10:53 PM PDT

ARIF ATAN
Mazlan menunjukkan sebahagian daripada 539 unit rumah Gen 2 di Felda  Papan Timur, Kota Tinggi Johor yang terbengkalai sejak lima bulan lalu.Mazlan menunjukkan sebahagian daripada 539 unit rumah Gen 2 di Felda Papan Timur, Kota Tinggi Johor yang terbengkalai sejak lima bulan lalu.
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) meminta penjelasan Felda berhubung projek Perumahan Generasi Kedua (Gen 2) di Felda Papan Timur, Kota Tinggi Johor yang terbengkalai sejak lima bulan lalu.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, projek rumah teres setingkat sebanyak 539 unit itu difahamkan mula dibina lebih tiga tahun lalu melalui pemaju, Felda Engineering Services Sdn Bhd dengan menempatkan lebih 100 pekerja kontrak.

"Kini, projek terhenti lebih kurang lima bulan. Yang tinggal, seorang pengawal keselamatan dan tiga pekerja dengan upah harian.

"Masih ada staf di bawah Felda Engineering, tetapi tidak dipastikan, apa tugasan mereka," ujarnya berdasarkan tinjauan ke tapak projek tersebut baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad berhubung status terkini projek berkenaan.

"Berapakah yang telah dibelanjakan? Adakah ia termasuk projek sakit seperti kenyataan beliau di media baru-baru ini?

Walaupun Felda bertindak sebagai pemaju tetapi papan projek memaklumkan sebagai projek kerajaan BN.Walaupun Felda bertindak sebagai pemaju tetapi papan projek memaklumkan sebagai projek kerajaan BN.


























"ANAK dimaklumkan, ada lagi projek terbengkalai seumpamanya di Felda lain. Apa masalahnya?

"Bukankah seperti diumum oleh Perdana Menteri dalam bajet tahunan, ia projek Kerajaan Persekutuan?" soalnya.

Mengulas lanjut, Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional turut mempersoalkan kewajaran Felda berbelanja sebanyak RM400 juta hingga RM600 juta untuk menjadi pemaju perumahan.

"Padahal, Felda sendiri mempunyai beban kewangan yang sama sama kita maklumi, ekoran penyenaraian FGV (Felda Global Ventures Holdings Bhd) di Bursa Malaysia," bidasnya.

Menurut beliau, situasi projek perumahan untuk generasi kedua Felda yang terbengkalai itu amat menyedihkan memandangkan anak peneroka sedia berkorban untuk menetap di Felda sebagai pelapis ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia atau uzur.

"Harapan mereka untuk mendapat kediaman selesa tidak menjadi kenyataan," ujarnya.

Mazlan juga mendedahkan satu lagi contoh projek yang mengalami nasib sama membabitkan 360 unit rumah di Felda Sungai Sibol dalam Parlimen Tenggara dengan kos RM45 juta.

Walaupun telah siap lebih setahun lalu, ujarnya, tetapi masih belum diduduki.

"Jika seunit berharga RM125,000, adakah ia mampu dibeli anak peneroka tempatan yang berpendapatan rendah tapi amat memerlukan?

"Jika di subsidikan dengan harga RM90,000 seperti di umumkan kerajaan, siapa yang akan menanggung beban, sedangkan ia projek Felda?" soalnya lagi.

Sehubungan itu, tegas beliau, pihaknya tidak bersetuju Felda terbabit sebagai pemaju perumahan kerana bukan sahaja melibatkan soal kepakaran dan pengalaman bahkan paling utama kemampuan kewangan Felda itu sendiri.

"Felda harus menjadi agensi yang sifatnya sebagai perantara atau orang tengah yang berunding dengan kerajaan pusat dan kerajaan negeri demi memastikan impian anak-anak peneroka yang susah untuk memiliki kediaman sendiri menjadi realiti," tegas Mazlan lagi kepada Malaysia Dateline hari ini.

Pinjaman belum lulus 

Anak menggesa Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad menjelaskan status ribuan rumah Gen 2 yang terhenti di tengah jalan tanpa sebab munasabah. Anak menggesa Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad menjelaskan status ribuan rumah Gen 2 yang terhenti di tengah jalan tanpa sebab munasabah.
Isa  pada 29 Ogos lalu dilapor menafikan Felda tidak mempunyai wang untuk melaksanakan pembinaan rumah generasi kedua.

Sebaliknya, pemimpin veteran Umno itu memberitahu projek berkenaan diberhentikan sementara kerana pinjaman bank yang belum diluluskan.

"Tetapi takkanlah semuanya hendak gunakan duit Felda? Mesti gunakan pinjaman juga," ujarnya dan memberitahu rumah tersebut dapat disiapkan pada April atau Mei tahun depan apabila pinjaman itu diluluskan pada akhir Ogos lalu.

Menurut Isa lagi, Felda telah berbelanja sebanyak RM500 juta bagi tujuan projek kediaman Gen 2 dengan rumah jenis pertama yang berharga RM90,000 seunit mencecah kos kira-kira RM1.6 bilion.



Tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam letupan di New York

Posted: 18 Sep 2016 05:21 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam insiden letupan di 135 West 23rd Street, Chelsea di New York pada Sabtu.  
 
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata sehingga kini seramai 29 orang dilaporkan cedera dalam letupan yang berlaku pada 8.30 malam itu.
 
"Tiada warganegara Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden ini.
 
"Pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian," kata kenyataan itu. 
 
Menurut kenyataan itu, Wisma Putra akan terus memantau perkembangan berhubung insiden itu dari semasa ke semasa.
 
Selain itu, warganegara Malaysia yang berada di sekitar New York yang memerlukan bantuan konsular boleh berhubung secara terus dengan Konsulat Jeneral Malaysia di New York.
 
Orang ramai boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di New York melalui e-mel di mwnewyorkcg@kln.gov.my atau menghubungi +1(212) 490 2722/23. 
 
Mereka juga boleh menghubungi Wisma Putra di talian 03-8887 4570 (24 jam).
 
 

Tiada ulasan: