Isnin, 5 September 2016

.

.


Hormatilah gencatan senjata Dr Mahathir - Anwar

Posted: 05 Sep 2016 04:06 AM PDT

ULASAN PETANG

Anwar - Mahathir bersalam erat.
Pertemuan dan jabat salam antara Dr Mahathir Mohamad dengan bekas timbalannya Anwar Ibrahim hari ini suatu peristiwa mengejutkan. Keterkejutannya apa yang tersaksi hari ini sama dengan peristiwa 18 tahun lalu di saat Dr Mahathir mengumumkan Anwar dipecat dari Umno dan jawatan timbalan perdana menteri.

Walaupun getaran rasa terkejut itu hampir sama, tetapi ia membawa nada berlainan serta sebak yang berbeza kandatipun air mata yang tumpah berwarna sama - putih bersih dan dingin. Rakyat khasnya penyokong Anwar sebak dan menangis apabila Dr Mahathir bertindak memecat Anwar dulu. Banyak air mata yang gugur dan ada yang karam di hati bertahun-tahun mengenang kesangsaraan dilalui Anwar.

Dan hari ini apabila kedua mereka yang terpisah sejak 18 tahun bertemua (dalam keadaan mengharukan), tentu ada yang menitis air mata sebak dan bangga. Pertemuan mereka di dalam mahkamah merupakan satu simbolik seolah-olah Dr Mahathir datang menziarahi Anwar dan memberi sokongan kepada perjuangannya. Ia juga boleh ditafsirkan satu apologis Dr Mahathir terhadap Anwar dengan apa yang dilakukan? Atau ia juga boleh disifatkan kedatangan Dr Mahathir untuk membebaskan Anwar?

Lewat petang ini Dr Mahathir hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai mengiringi (sekali gus berjumpa dengan) Anwar yang datang ke mahkamah memfailkan bantahan beliau terhadap Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN). Anwar membantah akta berkenaan dari perspektif perlembagaan.

Bekas PM 22 tahun itu yang juga bersependapat dengan langkah Anwar itu, tidak bersetuju akta berkenaan dilaksanakan kerana ia memberi kuasa kepada Perdana Menteri dan menyapu kuasa Yang di-Pertuan Agong. Bekas PM itu menyeneraikan 14 kuasa berpusat kepada PM menerusi akta berkenaan. Penentangan terhadap akta berkenaan oleh mereka berdua menunjukkan mereka sehaluan dalam hal ini, dan tidak merelakan Najib terus bermaharejala dan meratah kuasa rakyat.

Tentunya pertemua kedua mereka itu tidak sangat dilihat kepada kebersamaan berhubung akta berkenaan, walaupun itu alasannya, tetapi ia disuluh dan ditinjau dari sudut lebih jauh dan penting daripada itu. Apakah kesediaan Dr Mahathir berjumpa Anwar dan menyokong tindakan Anwar itu sebagai simbolik mereka akan bersatu untuk menjatuhkan Najib?  Itulah makna dan hakikat dari pertemuan itu kerana kalau tidak ada mengada tempua tidak akan bersarang rendah. Kunjungan Dr Mahathir itu juga satu pengorbanan besar untuk Anwar. Ini perlu difahami dan diterima dengan baik oleh pentaksub Anwar.

Itulah yang disuluh umum dan akan diulas secara negatif oleh pendokong Najib selepas ini. Apa pun realitinya pertemuan kedua negarawan itu mengejutkan banyak pihak. Bukan sahaja rakyat tetapi mungkin ia juga tidak diduga oleh Najib dan Rosmah Mansor sendiri. Barang kali Najib ketika ini sudah memanggil biduandanya untuk membuat analisa dan telahan lanjut apa yang bakal berlaku dan dilakukan oleh kedua orang itu dan perlu membina kubu lebih utuh?

Boleh jadi juga pertemuan antara mereka berdua hari ini menganjatkan proses kelulusan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Tentu Najib membuat perhitungan panjang untuk meluluskan pendaftaran parti berkenaan?
 

Perjumpaan mereka berdua ini penting dan membuka sejarah baharu yang diluar dugaan. Walaupun sudah ada pihak yang lama mengatur dan mendoakan, tetapi keyakinan tidak setinggi mana yang ianya boleh berlaku. Apabila ia terjadi petang ini ia bagaikan sebuah mimpi yang disambut sebagai satu pesta oleh rakyat dan mereka pencinta kedamaian.

Lembaran baharu ini boleh membuka momentum baharu. Sudah lama orang berharap mereka berdua duduk bersama demi rakyat dan negara. Kerana selagi mereka bersengketa dan menyerang Najib secara berasingan selama itulah Najib akan kejap di takhtanya. Para pembaca politik telah membaca Najib boleh dijatukan apabila ada kepaduan dalam kalangan pembangkan dalam membuat serangan.

Lantaran itu pertemuan mereka hari ini terasa semacam Tuhan mengembalikan semula kedua orang itu berada di tempat yang sama. Kalau pertemuan hari ini memadukan mereka bererti Tuahn telah mengembalikan semula hak rakyat sebenarnya.  Mereka adalah khazanah rakyat yang pernah disediakan Tuhan untuk negara ini. Sesungguhnya tokoh relevan selepas Dr Mahathir ialah Anwar seperti mana di Kelantan selepas Nik Aziz Nik Mat ialah Husam Musa. Selain dari itu pemenuhnya menyebabkan negera akan huruhara dan songsang.

Betapa tidak semacam 18 tahun sepanjang mereka dalam tempoh bergaduh itu satu penyeksaan dialami rakyat. Rakyat berasakan negara ini tidak ada makna, kerana pemimpin selepas mereka tidak berjaya mempamerkan kepimpinan sebenarnya. Dan pertemuan mereka har ini ini adalah anugerah termahal oleh pencinta menjelang hari wukuf dan Haji minggu depan. Ia diraikan semua orang kecuali para pendolor punggung Najib dan mereka yang ingin bertaawun dengan BN.

Bagi saya tindakan Dr Mahathir - Anwar bersalam hari ini adalah satu tindakan gentlemen yang memahami kehendak hati dan perasaan rakyat. Mereka membawa harapan baharu dan sebuah tanda mata untuk rakyat. Pertemuan hari ini juga boleh disifatkan satu gencatan senjata oleh mereka berdua yang mengalami perang dingin hampir dua dekad. Janganlah kita cuba meletakkan ada sesiapa pemenang di antaranya, sebaliknya kedua mereka telah berkorban rasa melupai sengketa demi rakyat dan negara. Mereka adalah pemenang bersama.

Hendaknya semua rakyat pencinta damai dan mereka yang muak dengan kepimpinan negara, mengalu-alukan pertemuan kedua tokoh ini. Sama-sama memberi tepukan semangat agar mereka berikhtiar menggunakan kepakaran dan kebolehan yang mereka milik untuk memancu masa depan negara. Jangan hendaknya masih ada yang skeptikal terhadap pertemuan berkenaan. Percayalah, mereka berdua juga perlu sokongan untuk berganding bahu bagi menjatuhkan Najib dan membawa cahaya kepada negara.

Sama ada apa yang berlaku hari ini sandiwara atau kebetulan atau sudah diatur Allah s.w.t., tetapi hakikatnya gambar mereka bersama sudah dirakam dan tersaksi mata. Yang akan merealisasikan apa yang kita impikan ialah kita semua. Selamat. [wm.kl.6:27 pm 05/09/16]

Isu perebutan tanah Fatah hanya broker sahaja?

Posted: 04 Sep 2016 05:17 PM PDT

PEREBUTAN TANAH (Bhg4)

Hendak sambung cerita perebutan tanah di pinggir Lebuh Raya Rantau Panjang - Pasir Mas, antara tiga orang pemimpin parti agama (Pas). Ceritanya makin menarik dan berbagai versi mengenai kisah tanah berkenaan. Yang jelasnya, tanah itu kini sedang dibangunkan dengan projek perumahan mampu milik dikendalikan oleh syarikat perumahan 1 Malaysia (PR1MA).

Latar belakang mengenai tanah berkenaan rasanya sudah sedia maklum, cuma untuk mengesahkan mana satu versi yang benar. Saya mendapat maklumat dari berbagai-bagai pihak dan membuat analisa mengenainya. Terbaharu versi daripada salah seorang yang terlibat dengan "skandal" itu. Individu berkenaan menelefon saya sendiri pada19 Ogos jam 3:38 minit petang dan membuat penjelasan dari sudut matanya untuk membela dirinya.


Katanya; "kalau setakat Husam sahaja bercakap fasal tanah berkenaan saya tidak ambil kisah, tetapi bila anta (MSO) tulis dalam blog saya kena bagi penjelasan sedikit untuk tidak mengelirukan pembaca, tulisan anta ada wibawa," katanya. "Dan enta kena tulis hak yang sebenar," ujarnya lagi. Saya memang menanti "kedatangan" individu atau mana-mana individu terlibat dalam perebutan tanah berkenaan sekurang-kurangnya saya dapat cerita sebenar di sebalik perebutan itu. 

Dalam kes seumpama ini (yang boleh menjejaskan kredibiliti parti dianggotai individu bekenaan  (Pas) dan menjadi persoalan rakyat), versi-versi berbeza daripada pihak mana yang kita perolehi. Tiga pihak yang menjadi sorotan dalam isu itu secara langsung ialah Abdul Fatah Haron, Mustapa Ali dan Abdul Halim Abdul Rahman. Untuk pengetahuan Abdul Halim dan Abdul Fatah pernah berkolaborasi dalam apa disebut Hikayat Tiga Abdul awal tahun 1990an dulu bagi menyingkirkan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai MB Kelantan.

Individu yang menghubungi saya itu menjelaskan apa yang kononnya benar, sekaligus memberi pencerahan terhadap apa yang dilaporkan. Individu itu terpanggil untuk menghubungi saya kerana dalam catatan sebelum ini memberi gambaran dalam kasus itu dia diburukkan oleh pihak lain. Saya sedia dan sangat berbesar hati atas kerjasamanya kerana itulah yang saya harapkan.

Beliau telah menjelaskan latar belakang kasus (kes) tanah berkenaan. Dalam penjelasannya ada perbezaan dengan cerita yang diketahui sebelum ini. Misalnya nilai tanah itu yang dibayar kepada pihak bank bernilai RM1 juta, bukan RM180,000 seperti mana didakwa oleh seorang hartahanah yang juga bekas wakil rakyat Pas Kelantan.

Menurutnya memang pada mulanya tanah itu "diperega" (nilai) RM100,000 sahaja. Bagai mana pun selepas pihaknya membayar, tuan asal tanah itu tidak berpuas hati menyebabkan dibuat penilaian semula. Hasilnya ditambah sebanyak RM900 ribu menjadikan jumlah RM1 juta.

(Dari versi terbaharu harga itu dinaikan kerana tawaran pertama dibuat tidak mengikut prosuder yang betul, di mana lelongan itu tidak melalui bahagian tander pejabat penilaian kerajaan atau penilai bertauliah. Jadi apabila ia dibuat penilaan oleh Pejabat Penilaian Kerajaan (bertauliah), itulah nilai tanah itu tambah menjadi RM1 juta).

Gara-gara itu, menurut individu berkenaan, pembeli itu, Abdul Halim, Mustapa Ali dan Wan Othman, terpaksa mencari duit tambahan RM900 ribu. Untuk dapatkan duit ini menimbulkan masalah kerana masing-masing ketika itu, kata individu berkenaan orang Pas semua "sesak" (tidak ada pitis). Bagaimana pun kerana "sayang" kalau tanah itu terlepas, mereka (pembeli tanah itu) berusaha mendapatkan wang RM900 ribu.

Kata individu berkenaan Abdul Halim menjual kilang batu batanya di Bukit Panau, dia sendiri menjual tanah untuk mengenapkan RM900 ribu?  Betulkah kerana isu kilang bata Abdul Halim itu telah menjadi isu kontroversi yang menyebabkan ia diselamatkan agar tidak memberi impak kepada kedudukannya sebagai wakil rakyat dan juga TMB?

Tidak diberitakan pula Allahyarham Wan Othman menjual apa? Mungkin dia mengeluarkan wang simpanannya sendiri kerana Wan Othman dikenali sebagai orang berada.

Dalam versi individu berkenaan tidak timbul cerita wang atau pembelian tanah itu menggunakan wang parti? Apabila saya tekan tanya apakah parti tidak terlibat mengeluarkan wang seperti mana menurut satu perawi, individu berkenaan mulanya berkata "tidak",  kemudian menjawab semula dengan mengatakan adalah sikit-sikit.

Sekali lagi diulangi di sini sekiranya pembelian itu tidak melibatkan wang parti, terutamanya wang Harakah, elok kalau para pembeli tanah berkenaan membuat pengistyharan bahawa pembelian tanah itu bernilai RM1 juta menggunakan wang masing-masing. Seperti mana disebut sebelum ini penjelasan penting bagi tidak mengeliru dan menimbulkan syak wasangka di kalangan orang ramai yang pembelian tanah itu menggunakan wang parti tetapi akhirnya dimiliki oleh individu.

Bagi saya timbul sedikit kepelikan kalau benar tanah itu dibayar dengan wang sendiri, kenapa selepas sebahagian tanah itu, (kira-kira 200 ekar) dijual kepada Perbadanan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC) kenapa sedikit wang diberikan kepada parti. Menurut individu berkenaan sebanyak RM500 ribu diberikan kepada Pas Kelantan, wang itu diberikan terus kepada Nik Abdul Aziz sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan. Apakah pemberian wang RM500 ribu itu kerana pembelian tanah itu menggunakan wang parti?

Apakah pemberian itu menandakan begitu baik dan zuhudnya pemimpin Pas?

Sementara dari versi lain pula berpendapat dan mengesahkan memang wang penjualan tanah berkenaan diberikan kepada Pas untuk perbelanjaan pilihan raya untuk tahun 2008?  Menurut sumber berkenaan yang pernah berkhidmat di Ibu Pejabat Pas Kota Bharu, sebahagian tanah itu dijual untuk buat belanja pilihan raya pada tahun berkenaan?

Mengenai kedudukan Abdul Fatah Haron berkaitan tanah itu, individu berkenaan menjelaskan Fatah tidak terlibat mengeluarkan wang walaupun satu sen pun. Kerja Fatah katanya hanya menguruskan pembelian tanah berkenaan dan termasuk urusan-urusan lain.

Individu itu menjelaskan demikian apabila ditimbulkan persoalan kenapa Abdul Fatah membuat injuksi ke atas tanah berkenaan? Apakah dia mempunyai lokus standi? Jelasnya lagi, Fatah tidak pun berhak mendapat apa-apa, sebaliknya orang yang lebih berhak untuk mempersoalkan mengenai tanah berkenaaan ialah orang bernama Muhammad Ibrahim. "Pak Mat inilah yang layak mempertikaikannya?" katanya. Siapa dia Muhammad Ibrahim ini? Tunggu nanti kita akan cuba menemuinya.

Individu berkenaan menempelak Abdul Fatah dalam hal tanah berkenaan tidak lebih dan tidak kurang sebagai broker sahaja. Dan bila ditanya apa jadi dengan injuksi dibuat Fatah itu, individu berkenaan berkata ia akan dijawab dan "afidavit" balasan sedang diproses. Bersambung. [wm.kl. 8:15 am 05/09/16]

Tiada ulasan: