Isnin, 2 Mei 2016

kalam Perantau

kalam Perantau


Ahmad Razif kekal MB Terengganu hingga PRU ke-14?

Posted: 02 May 2016 07:17 AM PDT

Oleh : Shuhaimi Al-Maniri

Ramai yang bertanya kenapa Kalam Perantau tak fokus penulisan kepada kemelut yang berlaku dalam politik Terengganu sebaliknya kolum Kalam Perantau dikatakan memberikan tumpuan kepada politik dan pilihanraya Negeri Sarawak sejak sebulan kebelakangan ini, April 2016.

Bukan tidak banyak yang saya hendak ulas khususnya melibatkan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman yang dilihat tidak disenangi oleh pihak Istana Terengganu mutakhir ini dengan peristiwa penarikan semua gelaran darjah-darjah kebesaran kerana itu adalah hak Sultan Terengganu tetapi pada politik dan pilihanraya negeri Sarawak juga penting.

Saya mengakhiri tulisan dalam Kalam Perantau berhubung dengan politik Terengganu pada bulan Mac dan pada bulan April, saya lebih menumpukan kepada politik Sarawak yang menghadapi pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 pada 7hb Mei, 2016 nanti.

Atas permintaan rakan-rakan yang saya temui di Kuching baru-baru ini dan juga semalam saya bertandang ke Johor atas urusan keluarga juga bertanya perkara yang sama tentang apa yang sebenarnya berlaku anatara Sultan-MB Terengganu.

Terus terang saya sebut, saya tak tahu secara spesifik kepada apa yang berlaku diantara mereka berdua. Pada tanggapan saya, kalau tidak ada hal yang besar, tidak mudah untuk Sultan menarik gelaran yang telah diberikan kepada seseorang penerima.

Sultan Mizan melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif, berkuat kuasa pada 22 April lalu. Ahmad Razif dikurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.

Ada pihak yang mendakwa punca berlakunya kemelut ini dikhabarkan kerana teks ucapan yang dibacakan oleh MB Terengganu dalam Majlis Kurniaan Tabungan SSPN-i oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Tengoklah kepada kemelut yang berlaku pada tahun 2008 dulu, apa yang tidak dikatakan oleh pimpinan Umno/BN Terengganu kepada Istana Terengganu yang tak sanggup saya nak catatkan semula di sini untuk tatapan pembaca tetapi Sultan tidak menarik pun gelaran yang telah diberikan kepada mereka yang berkenaan.

Tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera dengan tidak mengambil kesempatan politik diatas apa yang berlaku kepada Umno hari ini dipuji pelbagai pihak walaupun umno berada dihujung tanduk bila-bila masa sahaja Umno boleh tumbang tidak seperti yang dilakukan oleh Umno yang menculik beberapa ADUN PAS dan mengadakan usul undi tak percaya hingga tumbangnya kerajaan, Menteri Besar Hj Daud Samad pada tahun 1961.

Ahmad Razif Kekal MB?

Pada 1 Mei 2016, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Abdul Razak memaklumkan Ahmad Razif Abdul Rahman kekal sebagai Menteri Besar Terengganu dan beliau akan terus menjalankan tugasnya seperti biasa.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri berkata, perkara itu telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika beliau menghadap baginda bagi membincangkan tentang kedudukan Menteri Besar Terengganu.

Dipetik dari laporan Bernama, beliau berharap, dengan pengumuman itu, tidak akan timbul lagi sebarang persoalan atau andaian tentang kedudukan Ahmad Razif.

"Kita mesti anggap isu kepemimpinan kerajaan negeri Terengganu sudah pun selesai. Sekarang ini, kita perlu tumpukan kepada tanggungjawab dan tugas untuk terus memastikan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu berjalan lancar bagi menjamin pembangunan serta kesejahteraan rakyat," ketika dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Jika PAS berdendam dengan Umno dan mengucar kacirkan pentadbiran kerajaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir yang tak sampai 2 tahun bila beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014, rasanya kerajaan beliau akan tumbang bila Ahmad Said tidak akan undur kebelakang dengan usul undi tidak percaya kepada beliau.

Secara peribadi, saya berharap Ahmad Razif Abdul Rahman tidak melatah dengan apa yang berlaku tetapi kena bertindak lebih adil kepada semua pihak rakyat, ADUN yang dipilih rakyat termasuk ADUN Kijal, Dato' Seri Ahmad Said bagi memulakan satu Transformasi Terengganu Baru (TTB) dalam aspek politik dan pentadbiran.

Malah ada suara-suara nakal dikalangan rakyat yang menyebut TTB ini dalam konotasi yang tak seronok didengar, TTB – Terengganu Tengah Bbolok.

Malah ada pihak seperti ADUN Bandar (PKR) yang mempunyai 1 kerusi DUN pula menggesa untuk Menteri Besar Terengganu membuat kerajaan perpaduan (Unity Government) untuk membolehkan Umno mempunyai kelebihan 1 kerusi menggantikan kerusi ADUN Kijal yang tidak memihak.

Sama ada Ahmad Razif mampu kekal atau tidak sebagai Menteri Besar Terengganu lebih kepada kemampuan beliau menangani politik semasa di Terengganu sekarang ini. Mungkin Datuk Ahmad Razif boleh mempertimbangkan cadangan ADUN Bandar membentuk kerajaan perpaduan dengan melantik ADUN PKR Bandar tersebut sebagai exco kerajaan Terengganu yang dikosongkan oleh beliau dulu yang masih tidak diisi lagi bila dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu.

Cukuplah sekadar ini dulu dalam tulisan berhubung kemelut Menteri Besar dalam politik Terengganu pada kali ini. Ada beberapa perkara lagi yang dimaklumkan pada saya mungkin tak sesuai untuk ditulis dalam kolum ini pada masa ini.


Tiada ulasan: