DIALOG RAKYAT |
- Pengarah GLC hadapi tuduhan pecah amanah RM30 juta esok
- Petisyen Helah Undang-Undang Sembunyi Penipuan Pilihan Raya
- Razlan tanding ketua Pemuda Umno jika KJ lepas
- 'Kenapa mahu AGM semula DAP, bukan PRU baru?'
- Selangor Tangguh Hantar Pelajar Ke Mesir
- Had Kelayakan MES Kepada Pendapatan RM 3,000 Ke bawah Usaha Proaktif Bantu Rakyat
- Kelantan Ikut Beri Bantuan Khas RM500
- PAS: Mahkamah p'raya sempitkan undang-undang
- Beri peluang laksana undang-undang syariat Islam
- Soi Lek: Noh Omar sudah gila
- Polis tahan jurulatih anjing isu video hari raya
- Jakim Kesal Penerbitan Video Hina Islam
- Selangor Mohon Penguasa PBT Jadi Polis Bantuan
- Cadangan Perkenal Semula ISA Perlu Dibincang - Shafie
- Apa dia Dilema UMNO?
- Petisyen pilihanraya- bentuk mengatasi isi
- Isa Samad setuju pertandingan ukuran populariti pemimpin Umno
- Sistem pemilihan baru Umno transformasi palsu
- Selepas ‘Apa lagi Cina mahu’, Utusan kata ‘Orang Melayu tidak lagi digeruni’
- Sempena Hari Pahlawan, DAP gesa IPCMC ditubuhkan
- Tarikh Balik Semua Petisyen, Selamatkan Wang
- Polis kenal pasti suspek pembunuh pengasas Ambank, pemandu teksi ditahan
- PAS gesa sidang khas Parlimen selesai masalah jenayah
- Scorpene: Suaram dakwa Jasbir bohong
- 500 demo bantah pindah kampus KUIN
Pengarah GLC hadapi tuduhan pecah amanah RM30 juta esok Posted: 31 Jul 2013 08:11 AM PDT Projek yang terbengkalai itu sebahagian pelaburan sebuah agensi kerajaan dalam sebuah firma pembekalan makanan. Ketiga-tiga pegawai yang ditahan suruhanjaya berkenaan beberapa hari lalu, berjawatan pengarah, ketua pegawai operasi dan ketua pegawai eksekutif. Mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Sesyen di Jalan Duta, esok. Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali had, berkata mereka ditahan untuk merakam kenyataan masing-masing sebelum dibebas dengan jaminan RM500,000 setiap seorang. Penahanan itu berikutan siasatan lanjut terhadap projek pembekalan yang gagal sekalipun lebih RM30 juta disalur bank dan GLC. Projek berkenaan yang dilancarkan beberapa tahun lalu, mengalami masalah sejak di peringkat awal lagi. Ia sebahagian kes membabit penjawat awam berprofil tinggi yang disiasat SRM baru-baru ini. | ||||
Petisyen Helah Undang-Undang Sembunyi Penipuan Pilihan Raya Posted: 31 Jul 2013 08:00 AM PDT PETALING JAYA : Penolakan petisyen pilihan raya tanpa alasan munasabah cuma satu helah undang-undang dan cubaan menyembunyikan penipuan pilihan raya di negara ini. Menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan badan kehakiman mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak yang memfailkan petisyen pilihan raya di mahkamah bukannya menolak petisyen itu atas alasan teknikal semata-mata. Katanya semua petisyen pilihan raya yang dikemukakan kini sudah tiada makna kerana hakim yang dilantik khas tidak mahu mendengar petisyen itu untuk dibicarakan. "Saya sudah suarakan kekecewaan kita terhadap sikap hakim-hakim yang dipilih khas untuk mengendalikan kes ini dengan hanya menggunakan isu-isu teknikal yang kecil dan tidak munasabah. Bagi saya ia usaha untuk memperbodohkan rakyat. "Petisyen-petisyen ini ditolak hanya kerana perkara kecil, saya rasa hakim perlu meneliti semula pengajian undang-undang mereka bagi menghormati prinsip keadilan, bukannya mencari alasan supaya kes itu tidak didengari. "Sepatutnya hakim beri ruang untuk didengar semua pihak, kemudian baru putuskan ia benar atau tidak, tetapi sekarang, ruang itu dinafikan," katanya. Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) memfailkan kira-kira 39 petisyen terhadap keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) yang lalu. Isnin lalu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang, menggesa Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria campur tangan dalam isu petisyen pilihan raya ekoran keputusan mahkamah menolaknya tanpa alasan munasabah. Beliau turut bimbang dengan penolakan petisyen pilihan raya yang kini sudah masuk 10 kes dengan alasan teknikal sedangkan mahkamah meletak jumlah kos yang tinggi setiap petisyen. Antara petisyen yang mendapat perhatian ialah kes di Balik Pulau apabila mahkamah mengarahkan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik membayar kos RM120,000 selepas menfailkan keputusan pilihan raya bagi kawasan itu. Bagi Parlimen Ketereh, Mahkamah Kota Bharu mengarahkan pempetisyen yang difailkan, Ab Aziz Ab Kadir membayar kos RM40,000 kepada responden pertama, Ahli Parlimennya, Tan Sri Annuar Musa dan masing-masing RM25,000 kepada responden kedua dan ketiga. Bagi DUN Air Lanas, pempetisyen yang dinamakan Mustapha Deris diarah membayar kos RM30,000 kepada Adun Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Bagi DUN Kok Lanas, pempetisyen Shaberi Mohd Zain diarah membayar RM30,000 kepada Adunnya, Datuk Md Alwi Che Ahmad dan masing-masing RM25,000 kepada responden kedua dan ketiga. | ||||
Razlan tanding ketua Pemuda Umno jika KJ lepas Posted: 31 Jul 2013 07:55 AM PDT Seorang pemimpin akar umbi Pemuda Umno hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan nombor satu dalam pergerakan itu yang kini disandang Khairy Jamaluddin. Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Seputeh Mohd Razlan Muhammad Rafii (kanan, berbaju hijau) berkata, langkah itu hanya akan diambil jika Khairy tidak mempertahankan jawatan itu. "Setakat ini Khairy masih belum menyatakan pendirian. Saya tidak akan lawan (beliau) sekiranya beliau mengisi borang untuk mempertahankan kerusi itu. "Saya akan bertanding (ketua Pemuda) jika beliau tidak mengisi borang untuk mempertahankan kerusi tersebut. Kalau dia isi borang, kita kekalkan sokongan (kepadanya)," kata Razlan ketika dihubungi Malaysiakini hari ini. Setakat ini Khairy masih belum menyatakan pendirian untuk mempertahankan jawatannya sekalipun menyokong jawatan nombor satu itu dipertandingkan. Dengan pengumuman itu, Mohd Razlan menjadi individu terawal menawarkan diri merebut jawatan itu. 'Plan B' jika KJ pertahan? Ketika ditanya 'plan B' beliau jika Khairy akhirnya memutuskan mempertahankan kerusi itu, Razlan hanya menjawab: "Saya hanya fokus sekiranya KJ tidak pertahan jawatan ketua Pemuda," katanya yang masih belum mahu mencatur peluangnya ekoran lawannya masih belum jelas. Pengumuman itu sekali gus menyemarakkan bahang menjelang pemilihan Umno, terutamanya di peringkat sayap parti Melayu itu. Malah, dalam majlis berbuka puasa Pemuda Umno di Masjid As-Syakirin KLCC malam tadi, kelihatan ramai pemimpin bahagian menyatakan hasrat masing-masing bertanding di pelbagai peringkat. Kira-kira 400 peserta terlibat dalam majlis yang turut meraikan golongan ibu tunggal, anak yatim dan aktivis NGO itu. Jawatankuasa pemilihan parti menetapkan individu yang berminat bertanding dalam pemilihan Umno yang pertama kali dibuat secara pemilihan langsung perlu mengisi borang pencalonan antara 7 hingga 28 September depan. Pemilihan jawatan kanan pergerakan Pemuda Umno akan berlangsung pada akhir September depan. 5 dikatakan intai kerusi naib Selain itu, desus-desus menyebut beberapa pemimpin Umno seperti ahli parlimen Baling Datuk Azeez Abdul Rahim, bekas menteri pelajaran Datuk Puad Zarksyi dan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir turut mengintai kerusi panas itu. Bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan hasrat mereka itu kerana masing-masing masih mengambil sikap kunci mulut. Sementara itu, tidak ketinggalan juga, jawatan naib ketua kini turut diintai beberapa pemimpin Pemuda, ekoran kekosongan yang ditinggalkan Datuk Razali Ibrahim (kiri) yang dilaporkan tidak akan mempertahankan jawatannya sekarang. Cakap-cakap menyebut beliau akan bertanding jawatan Majlis Tertinggi yang akan berlangsung pada Oktober depan. Sumber-sumber Pemuda Umno memberitahu Malaysiakini, setakat semalam, lima exco Pemuda Umno disebut-sebut bakal menawarkan diri bertanding jawatan naib ketua Pemuda. Mereka ialah Ketua Pemuda Umno Perak Khairul Azwan Haron, Ketua Pemuda Lenggong Mohd Iruan Zulkefli, Ketua Pemuda Tenom Jamawi Jaafar, Naib Ketua Pemuda Titiwangsa Nazir Husin dan Exco Pemuda Lokman Noor Adam dan Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin. Malaysiakini turut difahamkan, setakat ini kira-kira 60 pemimpin Pemuda dikatakan berminat menawarkan diri bertanding jawatan exco Pemuda Umno. | ||||
'Kenapa mahu AGM semula DAP, bukan PRU baru?' Posted: 31 Jul 2013 07:54 AM PDT MALAYSIA KINI Setiausaha Agung DAP Limg Guan Eng mempersoalkan kenapa DAP harus mengadakan pilihan raya semula ekoran kesilapan yang sudah pun dibetulkan.Sedangkan, menurutnya lagi, pilihan raya tidak pula diadakan semula walaupun wujud kontroversi penggunaan dakwat kekal mudah tanggal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Menujukan perkara itu kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Lim berkata, menteri itu mengamalkan "dwistandard" berhubung perkara itu. Dalam kenyataannya hari ini, tidak seperti SPR, DAP mengakui terdapat kesilapan semasa menjadualkan undi dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) tahun lepas. "Zahid mengamalkan dwistandard kerana tidak menuntut pilihan raya baru ketika SPR tidak pernah membuat sebarang pembetulan dengan dakwat kekal yang boleh ditanggalkan serta merta, sebaliknya mahu DAP menjalankan pilihan raya semula walaupun DAP sudah membetulkan kesalahan keputusan itu," kata anggota Parlimen Bagan itu. | ||||
Selangor Tangguh Hantar Pelajar Ke Mesir Posted: 31 Jul 2013 07:52 AM PDT SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengambil keputusan menangguhkan penghantaran 95 pelajarnya ke Mesir sehingga situasi keselamatan terjamin. Kerajaan Negeri turut memutuskan akan menempatkan pelajar terlibat yang mengikuti pengajian jurusan agama ke Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) sebagai pilihan alternatif. Kerajaan Negeri juga menawarkan tempat kepada pelajar jurusan perubatan bagi mengikuti pengajian asasi sains di Universiti Selangor (Unisel). "Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang sebelum ini bersetuju untuk menaja mereka ke Mesir telah diminta untuk meneruskan penajaan mereka di penempatan baru ini,"katanya. Demikian menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tengahari tadi. Kerajaan Negeri juga meminta agar pihak ibu-bapa dan orang ramai yang terlibat agar bertenang dan berdoa semoga situasi yang berlaku di Mesir itu akan pulih dalam masa terdekat. "Kerajaan Negeri akan terus memantau dan menyelia perkembangan terkini dari masa ke semasa terutama berkaitan keselamatan pelajar Selangor di Mesir," ujar Dr Halimah lagi. Presiden Mesir Dr Mohamed Morsi yang dipilih rakyat digulingkan Tentera Mesir dalam satu rampasan kuasa baru-baru ini. Tindakan tersebut mendapat bantahan jutaan rakyat Mesir dengan mengadakan demontrasi besar-besaran. Keadaan menjadi bertambah tegang apabila pihak tentera baru-baru ini menembak mati lebih 100 penunjuk perasaan tersebut dan sekaligus menimbulkan suasana tidak selamat di negara itu. | ||||
Had Kelayakan MES Kepada Pendapatan RM 3,000 Ke bawah Usaha Proaktif Bantu Rakyat Posted: 31 Jul 2013 07:49 AM PDT SHAH ALAM : Keputusan Kerajaan Selangor memperluaskan skim Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) kepada keluarga berpendapatan RM 3,000 dan bawah dapat membantu mengurangkan beban golongan sederhana rendah yang semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup. Menurut pegawai perundangan swasta, Haiza Hamid, 34, usaha itu merupakan tindakan yang bijak Kerajaan Selangor untuk menjaga kebajikan rakyat. "Ini adalah usaha yang bagus walaupun angka RM 3,000 itu nampak besar, tetapi dengan keadaan kos hidup yang semakin meningkat, bantuan itu tentunya akan dapat membantu meringankan beban rakyat. "Sekurang-kurangnya kita akan ada duit tambahan untuk perkara-perkara kecemasan seperti anak sakit di tengah malam untuk pergi ke klinik dan hal-hal yang mendesak diluar jangkaan," kata beliau. Bagi seorang lagi pegawai eksekutif Amir Hamzah Amha, 35, usaha itu satu tindakan proaktif yang perlu dipuji dan merupakan satu usaha perlaksanaan Manifesto Pakatan Rakyat. "Umum sedia maklum kos kehidupan kini bukan sahaja membebankan mereka yang miskin, malah golongan pertengahan juga turut merasai keperitan tersebut. "Langkah ini memastikan bahawa kekayaan negeri turut dirasai oleh lebih ramai Rakyat. Tahniah kepada PR Selangor dan teruskan agenda kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama," kata beliau dalam satu tinjauan wartawan TVSelangor/Selangorkini. Sebelum ini, Exco Kebajikan, Rodziah Ismail berkata, keluarga yang berpendapatan RM3,000 dan bawah akan mula menikmati skim-skim MES seperti bantuan yuran taska, tadika dan hadiah anak masuk universiti. Dasar memperluaskan kelayakan menerima bantuan MES ini bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dari kemakmuran ekonomi Selangor. Pada ketika ini kebanyakkan program MES hanya untuk keluarga yang pendapatan isi rumahnya RM 1,500 dan ke bawah. Peniaga Shahril Mutel, 30, berkata kenaikan kos barangan dan perkhidmatan yang semakin meningkat membuatkan gaji RM 3,000 susut nilainya berbanding dahulu. | ||||
Kelantan Ikut Beri Bantuan Khas RM500 Posted: 31 Jul 2013 07:47 AM PDT MSTAR ONLINE KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan turut memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada kira-kira 6,000 kakitangan kerajaan negeri serta pencen RM250 kepada pesara kerajaan yang menerima pencen, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob. Beliau berkata kesemua mereka menerima bantuan sama dengan kakitangan kerajaan Persekutuan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang menerimanya hari ini sempena Aidilfitri yang akan disambut minggu depan. "Kita mengguna pakai BKK seperti yang diumumkan kerajaan Persekutuan iaitu sebanyak RM500 dan RM250 kepada pesara yang berpencen. Kita telah memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta bagi pembayaran itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan Kelantan di sini. Ahmad berkata sempena Aidilfitri, kerajaan negeri bersetuju mengehadkan had laju kenderaan bagi semua jalan negeri daripada 80km/j kepada 70km/j untuk memastikan kadar kemalangan jalan raya terus berkurangan ketika perayaan. Beliau berkata penguatkuasaan had laju itu akan berlangsung selama 18 hari bermula esok. "Kerajaan negeri juga bersetuju semua kenderaan berat seperti yang mengangkut kayu balak dan bahan kuari hendaklah berhenti beroperasi iaitu selama lima hari sebelum perayaan dan lima hari lagi selepasnya kecuali kenderaan yang membekalkan makanan," katanya. Menurutnya keputusan itu merujuk kepada Seksyen 69(2) Akta Pengangkutan Jalan 1997 yang mana pihak berkuasa negeri boleh meminda had laju berkenaan pada bila-bila masa. Sementara itu Ahmad berkata kerajaan negeri juga memutuskan semua kakitangan awamnya terutama suami isteri akan ditempatkan berhampiran kediaman mereka. "Kita tidak mahu suami bekerja di Kota Baharu tetapi isteri kerja di Kuala Krai. Jadi melalui yang diputuskan ini, kerajaan akan berusaha menempatkan mereka dalam suatu kawasan yang berhampiran," katanya. Dalam isu berasingan, kerajaan negeri juga bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Negeri yang bermatlamat meluaskan agenda pembangunan dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri. Ahmad berkata majlis itu lebih kepada badan perundingan kepada kerajaan negeri yang memberikan pandangan khususnya dalam pelbagai aspek dan untuk menambah pendapatan serta hasil kepada kerajaan. "Insya-Allah majlis penasihat ini akan dilantik dengan sebahagian besarnya daripada golongan profesional dan mereka ini akan membantu untuk mendapatkan input penting bagi menjamin supaya dapat menambah hasil kepada kerajaan negeri," katanya. BERNAMA | ||||
PAS: Mahkamah p'raya sempitkan undang-undang Posted: 31 Jul 2013 07:43 AM PDT Peguam PAS Hanipa Maidin berkata parti itu kini tiada pilihan selain membuat laporan polis selepas Mahkamah Pilihan Raya menolak alasan undang-undang dalam petisyen yang dikemukakannya. Katanya, mahkamah antara lainnya menolak petisyen PAS berhubung kesalahan dalam borang penjumlahan undi – dikenali dengan nama Borang 14 – yang didakwa dilakukan oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) semasa pilihan raya umum 5 Mei lalu. "Dia sempitkan lagi undang-undang... Sepatutnya kesalahan itu di bawah Seksyen 4 (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya. Tetapi mahkamah memberikan alasan, kesalahan yang dilakukan KTM itu bercanggah. "Mahkamah kata tak boleh guna seksyen tersebut kerana kesalahan itu berkaitan dengan jenayah. "Sekarang ini kita akan buat laporan polis besar-besaran di seluruh Malaysia kerana mahkamah kata ini kesalahan jenayah," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS petang ini. Katanya mahkmah menetapkan hanya dua undang-undang yang boleh digunakan untuk memfailkan petisyen – Peruntukan Pilihan Raya (Perjalanan Pilih Raya 1991) dan Peraturan Berkaitan Undi Pos. Tambahnya, mahkamah menggunakan alasan tersebut untuk menolak petisyen yang dikemukakan PAS setakat ini. Hanipa juga berkata, PAS turut akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengkaji semula perlantikkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sementara itu, timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu pula berkata, beliau kecewa dengan pengendalian petisyen berkenaan yang disyakinya dijalankan mengikut arahan pihak tertentu. "Kita kecewa dengan kendalian petisyen. Tahun ini nampak luar biasa. Macam ada arahan tertentu untuk kes ini tanpa dibicarakan. Kos yang dituntut luar biasa. "Secara umumnya rasa pelik apa yang berlaku. Ini meletakkan pengendalian undang-undang kita pincang," katanya. Mahkamah setakat ini telah menolak 11 daripada 16 petisyen yang dikemukakan PAS. Lima lagi yang petisyen yang belum diputuskan melibatkan Nusa Jaya dan Gambir di Johor, Klawang di Negeri Sembilan serta Hulu Besut dan Kuala Berang di Terengganu. | ||||
Beri peluang laksana undang-undang syariat Islam Posted: 31 Jul 2013 07:36 AM PDT ULASAN Meskipun kerajaan menjadikan agenda pengurangan jenayah sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara, namun statistik dan laporan pendedahan jenayah di media akhir-akhir ini menunjukkan sebaliknya. Daripada data sampel yang dikumpul dari paparan media sejak 1 April 2013 hingga 30 Julai 2013, sebanyak 15 kes jenayah melibatkan senjata api, pedang dan parang telah berlaku. Mangsa jenayah pula meliputi golongan berstatus tinggi hingga ke status rendah. Tambahan lagi, kejadian-kejadian yang berlaku adalah di perkarangan umum seperti di tepi jalan, tempat parkir kereta dan berdekatan sekolah pada waktu pagi, petang dan malam. Ekoran daripada kes-kes tersebut, timbul beberapa persoalan: a) Bagaimana penjenayah-penjenayah bersenjatakan pistol dan pedang samurai begitu mudah menembak serta menetak mangsa di lokasi-lokasi awam? b) Adakah senjata-senjata seperti pistol dan pedang samurai senang diperolehi di pasaran serta tidak terkawal? c) Benarkah dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan wujud banyak kumpulan samseng/mafia yang mempelopori sindiket-sindiket haram seperti pembunuh upahan berprofil tinggi di negara ini? Saya menyeru kepada semua pihak termasuk daripada PAS agar turut sama berganding bahu untuk membantu pihak polis dalam membanteras jenayah di negara ini menggunakan kapasiti kemampuan masing-masing. Mewujudkan persekitaran negara yang aman dan selamat merupakan agenda serta komitmen seluruh rakyat. Saya juga menggesa agar saksi-saksi kejadian tidak gentar malah segera tampil ke hadapan untuk membantu pihak polis menyelesaikan kes-kes jenayah yang berlaku. Malah, pihak kerajaan khususnya Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dapat mempertingkatkan usaha-usaha seperti sentiasa mengaktifkan keberadaan anggota-anggota polis di lokasi-lokasi panas, memperbaiki CCTV di kawasan awam dan memperkemaskan gerak kerja risikan agar sindiket jenayah dapat ditumpaskan. Berikut adalah data sampel kes-kes jenayah bersenjatakan pistol dan pedang samurai dari 1 April 2013 hingga 30 Julai 2013. a) 1 April 2013 - Kejadian tembak dan tetak seorang lelaki di Taman Seri Timah, Balakong. b) 26 April 2013 - Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim ditembak mati dengan jarak dekat di Lebuh Sentosa, Putrajaya. c) 7 Mei 2013 - Kejadian tembak di sebuah kedai cuci kereta di Kampung Keliang, Kalumpang, Hulu Selangor. d) 25 Mei 2013 - Seorang peraih ikan ditembak mati selepas keluar daripada Masjid Nurul Anuar, Mukim Dalam Rhu, Pasir Puteh. e) 27 Mei 2013 - Seorang lelaki yang sedang berkebun di kawasan rumahnya cedera parah selepas ditembak di Jalan Melati, Nilai. f) 28 Mei 2013 - Kes menetak, mengikat dan menembak pekerja kontrak Petronas di Dungun g) 2 Jun 2013 - Seorang pemandu bas sekolah cedera ditembak lima das tembakan di hadapan rumahnya di Taman Rembau, Butterworth. h) 7 Julai 2013 - Polis Kelantan mengesan tiga kumpulan besar pengedaran dadah yang menyebabkan beberapa kes tembakan. i) 8 Julai 2013 - Pembunuhan seorang guru Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Kota Bharu selepas terkena tiga das tembakan. j) 13 Julai 2013 - Seorang kanak-kanak berusia 4 tahun menjadi mangsa akibat tembakan yang disasarkan oleh penjenayah tidak menepati sasaran di Pangsapuri Golf View Bukit Jambul, Georgetown. k) 17 Julai 2013 - Seorang guru ditembak mati di Simpang Empat Keladi, Kulim dalam perjalanan ke sekolah. l) 24 Julai 2013 - Seorang lelaki yang baru selesai dari berjoging cedera parah selepas ditembak di kawasan letak kereta Taman Rekreasi Gunung Lambak, Kluang. m) 26 Julai 2013 - Seorang pemandu lori Pertubuhan Peladang Kawasan Temerloh cedera setelah ditembak dalam perjalanan ke Jerantut. n) 28 Julai 2013 - Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) MyWatch cedera parah setelah ditembak di persimpangan jalan Taman Cempaka, Bahau. o) 29 Julai 2013 - Pengasas Arab Malaysian Bank maut dan isterinya ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur. Jika negara buntu dan pihak berkuasa mati kutu untuk menangani jenayah yang meningkat mendadak secara luar biasa, saya sekali lagi mahu mengulangi pendirian saya yang pernah saya lontar satu masa dulu betapa perlunya perlaksanaan undang-undang Syariat Islam dikuatkuasakan sebagai alternatif dari kegagalan teruk sistem yang ada pada hari ini. Berilah peluang kepada Islam membuktikan keupayaan dan kemampuannya menangani dan membanteras jenayah yang semakin membarah. Islam pasti sahaja akan memastikan keadilan dan kesaksamaan kepada semua kaum dan bangsa tetutama insan tertinda dan mangsa jenayah serta Islam menurunkan berkat dan rahmat Allah swt tuhan yang Maha Mencipta. Pada masa yang sama, insya-Allah Dewan Pemuda PAS Malaysia akan turun padang mengedarkan risalah untuk meniup kesedaran rakyat betapa perlunya "Bersama Perangi Jenayah" di pertengahan syawal selepas ummat Islam menyambut hari lebaran Aidil Fitri yang bakal menjelma tidak berapa hari sahaja lagi. Institut Pemikiran Fadhil Noor (INFO) sebagai sebuah agensi di bawah lajnah Penerangan DPPM akan diaktifkan sebagai agen yang akan bekerjasama dengan pihak PDRM, menyampaikan kesedaran ini kepada masyarakat menerusi forum dan wacana awam "Bersama Perangi Jenayah" . (*) NASRUDIN HASSAN adalah ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan ahli parlimen Temerloh. | ||||
Posted: 31 Jul 2013 07:34 AM PDT Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyelar Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar kerana menggesa pihak berkuasa menyiasat pendedah maklumat dalam kontroversi "kantin bilik persalinan" bawah Akta Hasutan. "Beliau sudah gila... Inilah apa yang kita panggil penyalahgunaan Akta Hasutan," katanya kepada Malaysiakini. Chua (kanan) sebaliknya berkata, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah yang sepatutnya didakwa menghasut kerana memberitahu pelajar untuk balik ke kampung halaman nenek moyang mereka. Berhubung insiden di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Chua berkata, ibu bapa cuma bimbangkan anak mereka tidak dilayan dengan baik. Justeru, katanya, ibu bapa patut dilibatkan bersama dalam perbincangan bagi mencari penyelesaian yang baik. "Pengetua Sri Pristana dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) patut mendekati ibu bapa. Amat dikesalkan apabila pemimpin kanan Umno seperti Noh boleh mengeluarkan kenyataan sebegitu," katanya. | ||||
Polis tahan jurulatih anjing isu video hari raya Posted: 31 Jul 2013 07:30 AM PDT MALAYSIA KINI Polis hari ini menahan jurulatih anjing Maznah Mohd Yusof, yang mencuri tumpuan ramai dengan video ucapan Hari Raya Aidil Fitri bersama anjing.Maznah mengesahkan perkara itu dan memberitahu beliau kini ditahan di Bukit Aman. Maznah ketika dihubungi Malaysiakini dengan tenang berkata beliau telah disoal siasat oleh polis Cawangan Khas dan pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). "Mereka tanya niat saya memuatnaik video itu (tiga tahun lalu) dan pekara berkaitan," katanya. Peguam Latheefa Koya sewaktu dihubungi berkata Maznah menghubungi beliau sewaktu berada dalam kereta polis. Katanya, Maznah juga memaklumkan bahawa beliau dibawa ke Bukit Aman dan mungkin akan ditahan selama 24 jam. | ||||
Jakim Kesal Penerbitan Video Hina Islam Posted: 31 Jul 2013 07:28 AM PDT MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kesal dengan penerbitan video menghina Islam, yang sekali lagi menyentuh sensitiviti umat Islam pada Ramadan ini. Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata penerbitan video itu memang tidak dapat dimaafkan, yang difahamkan dirakam dan diterbitkan sejak 2010. "Melalui dapatan kami, sememangnya mereka yang terlibat dalam pembikinan video berkenaan secara sengaja ingin mencetuskan kemarahan umat Islam dengan menyamakan umat Islam dengan anjing dalam suasana laungan takbir raya sebagai latar belakang video," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu. Video itu memaparkan seorang individu yang dikenali sebagai Chetz membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dengan berlatarkan suara takbir raya. Rakaman video yang berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan seorang individu memakai Baju Melayu hitam mengambil wuduk sebelum menyediakan kuih raya kepada anjingnya. Video itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesis, warna, asal usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing)". Ia turut mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri dari Chetz sekeluarga" dengan gambar individu dikenali Chetz itu duduk bersama dua anjingnya di atas sofa manakala seekor lagi anjingnya di atas lantai (bawah sofa) di dalam sebuah rumah. Sehubungan itu, Othman berkata Jakim telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini berhubung perkara itu. "Kami sedia membantu SKMM untuk mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pihak yang berkaitan termasuk menghantar satu laporan khusus kepada pihak SKMM dalam masa terdekat," katanya. Untuk tujuan itu Jakim juga telah membuat aduan kepada pihak polis dan pihak Jabatan Agama Islam Negeri bagi mendapatkan maklum balas berhubung tindakan undang-undang yang boleh diambil. BERNAMA | ||||
Selangor Mohon Penguasa PBT Jadi Polis Bantuan Posted: 31 Jul 2013 07:27 AM PDT MSTAR ONLINE SHAH ALAM: Berikutan peningkatan kes jenayah berat melibatkan senjata api, kerajaan Selangor akan memohon daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjadikan pasukan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai polis bantuan bagi memastikan keselamatan orang awam lebih terjamin. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata setelah permohonan sama ditolak sebelum ini, kerajaan Selangor akan sekali lagi memohon kepada PDRM dan Kementerian Dalam Negeri dalam usaha mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa membanteras jenayah. "Justeru, kami bersedia mengadakan perbincangan bersama menteri Dalam Negeri dan ketua Polis Negara bagi mencapai kata sepakat dalam perkara ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, Rabu. Abdul Khalid berkata baru-baru ini, PDRM hanya meluluskan permohohonan untuk membenarkan 20 penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai polis bantuan tetapi kuasa itu sangat terhad kepada satu tugas sahaja iaitu mengawal bangunan MBPJ. Beliau berkata dalam keadaan sekarang, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor akan sependapat bahawa sudah tiba masanya usaha menjaga keselamatan dipertingkatkan termasuk dengan membuka peluang kepada lebih ramai pelantikan anggota polis bantuan yang mempunyai kuasa sama seperti anggota polis. "Kami akan cuba cari jalan bagaimana penambahan tenaga pasukan keselamatan itu diberikan lebih luas lagi kuasa dan sudah tentu untuk diberikan lebih kuasa, latihan serta penempatan diperlukan dan untuk itu kerajaan negeri bersedia membiayainya. "Bagaimanapun mereka (anggota penguatkuasa yang dilantik sebagai polis bantuan) akan mempunyai kuasa yang sama dengan polis hanya bila polis bersetuju mereka dilantik sepenuhnya dan telah diberi pentauliahan," katanya. Abdul Khalid berkata kerajaan Selangor bersedia mengemukakan kira-kira 30 anggota penguatkuasa PBT dengan anggaran kos latihan dan penempatan melibatkan lebih daripada RM3,000 seorang. BERNAMA | ||||
Cadangan Perkenal Semula ISA Perlu Dibincang - Shafie Posted: 31 Jul 2013 07:26 AM PDT MSTAR ONLINE PUTRAJAYA: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyambut baik cadangan supaya diperkenalkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan tetapi ia perlukan kajian mendalam dan mendapatkan pandangan semua pihak. Beliau berkata kadar jenayah yang semakin meningkat sekarang memang ada kaitan dengan pemansuhan Ordinan Darurat (EO) dan ISA dan kerajaan perlu mewujudkan langkah-langkah terbaik bagi menanganinya. Katanya cadangan untuk memperkenalkan ISA harus dikaji dan dibincangkan semua pihak berkaitan kerana sekiranya keselamatan negara terjejas ia bakal memberi kesan negatif kepada keyakinan rakyat dan juga sektor pelancongan. Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kementerian dan Syamille Agro Farm Sdn Bhd bagi projek ternakan lebah kelulut di sini, Rabu. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mendakwa peratusan besar jenayah yang berlaku sejak kebelakangan ini melibatkan bekas tahanan EO yang telah dibebaskan. Mengenai MoU itu, Mohd Shafie berkata kementerian telah melantik Syamille sebagai pembekal bagi projek ternakan lebah kelulut. "Projek ternakan lebah kelulut ini dijangka memberikan hasil pendapatan tambahan kepada penduduk kampung dan mampu mencecah pendapatan melebihi RM10,000 sebulan ekoran permintaan tinggi bekalan madu lebah kelulut di pasaran tempatan dan luar negara," katanya. Menurutnya, matlamat projek itu adalah untuk mempromosi dan menggerakkan transformasi pemikiran masyarakat di seluruh negara agar mengamalkan pengambilan madu sebagai amalan hidup seharian untuk kekal sihat dan cergas. BERNAMA | ||||
Posted: 31 Jul 2013 01:49 AM PDT Oleh sakmongkol AK47 Nampaknya ramai pembaca tidak dapat membezakan antara sokongan kepada pimpinan UMNO dengan sokongan terhadap idea menjuarai kepentingan orang Melayu. Inilah masaalah pokok nya. Walhal, ianya dua perkara berbeza. Mempertahankan kepimpinan UMNO tidak sama dengan mempertahan idea menjuarai kepentingan orang Melayu. Idea atau konsep memperjuangkan kepentingan Melayu adalah hak semua orang Melayu Dan idea itu bukan hak milik persendirian dan mutlak pimpinan dan ahli UMNO sahaja.ianya boleh disebut, suarakan dan dilaksanakan oleh semua orang Melayu. Melayu UMNO tidaklah ada kelebihan daripada Melayu bukan-UMNO. Kebetulan mereka berada dalam UMNO yang mempunyai ahli seramai 3.4juta diseluruh negara. Mungkin ini yang memberi perasaan angkuh kepada ahli UMNO bahawa mereka sahaja yang berhak bercakap untuk kepentingan Melayu. Jika dalam PRU13 lalu, calun2 UMNO secara direct mendapat 3.4juta undi secara keseluruhan, ini baru sama dengan jumlah ahli nya. Ertinya, UMNO tidak mendapat sokongan dari rakyat yang melata. Dalam PRU lalu, jumlah orang Melayu yang keluar mengundi ialah 7.3 juta. Bermakna, kita boleh bercakap bagi pihak 3.9 juta Melayu yang tidak menyokong UMNO. Mempertahankan pimpinan UMNO adalah kerja orang UMNO. Mempertahankan kepentingan orang Melayu adalah kerja SEMUA orang Melayu. Sementara orang UMNO boleh mempertahankan kepentingan orang Melayu kerana mereka Melayu, kerja dan tanggungawab itu, bukan hak mutlak mereka. Sebaik sahaja kita faham perbezaan antara dua perkara ini, barulah kita akan faham bahawa berjuang dan bercakap mengenai hal2 yang penting bagi orang Melayu boleh dilakukan dari platform mana2 sahaja dan tidak semestinya UMNO. Jika ahli UMNO merasakan bahawa UMNO merupakan platform yang terbaik, saya tidak ada masaalah dengan pandangan tersebut. Saya hanya ada masaalah dengan pandangan bahawa hanya UMNO sahaja platform untuk menjuarai hal2 yang penting untuk orang Melayu. Fakta nya, UMNO mungkin boleh bercakap bagai 3.4 juta Melayu. Bagi pihak 3.9juta Melayu yang lain bagaimana? Dalam artikel yang terdahulu, sasaran asas ialah ialah kepimpinan UMNO, bukan parti tersebut. Proposisi saya yang asas ialah kepimpinan yang lemah yang disokong oleh barisan pimpinan yang sepemikiran dengan pemimpin yang lemah, mencederakan kepentingan orang Melayu UMNO. Ini bermakna, Najib dan mereka yang sepemikiran dengan dia, tidak baik untuk orang Melayu UMNO. Mereka akan menyebab orang Melayu menolak UMNO. Nampaknya ada dua pendekatan mengembalikan keutamaan dan kedahuluan Melayu dalam politik negara. Pertama, golongan yang merasakan kaedah nya ialah dengan meningkatkan right wingism dalam UMNO. Guna cara agresif. UMNO mesti memilih mereka yang lebih Melayu dari orang lain. Pendekatan ini dipelopori oleh the man who can walk on water- Dr Mahathir Mohamad. Itu tesis utama Dr Mahathir dalam artikel nya mengenai dilemma Cina. Dr Mahathir menyebutkan dilemma Cina ialah menimbangkan sama ada mahu mengambil alih kuasa politik dari orang Melayu setelah memiliki kuasa ekonomi. Dengan sebutan tersebut, orang Melayu berdepan dengan isiu yang sudah dipermudahakan oleh Dr Mahathir- siapa yang berani dan lebih Melayu? Sesiapa yang mengkaji pemikiran Dr Mahathir mestilah sudah tahu- bahawa cara untuk memahami Dr Mahathir ialah mencari perkara yang tidak dizahirkan oleh Mahathir. Dan dalam artikel Dilema Cina- perkara yang tidak disebut ialah- kebangkitan Cina mesti di periksa dan diimbangi oleh right wingism Melayu UMNO. Itu sahaja penyelesaian nya. Bukan cara lembik dan berkompromi sana sini seperti yang dilakukan oleh Najib. Dengan melakukan demikian, Mahathir telah pun meletakkan terms of reference untuk pemilihan UMNO tahun ini. Mesej Mahathir ialah ahli UMNO mesti memilih tokoh UMNO yang kelihatan lebih Melayu dari yang lain. Artikel Mahathir sebetulnya suatu sindiran tajam terhadap kepimpinan Najib. Siapa lebih Melayu dan pada masa yang sama menimbulkan rasa tenteram dikalangan orang Melayu? Jawab nya Muhyidin. Muhyidin lebih Melayu dari Najib. Maka Muhyidin secara tidak lansung telah mendapat perakuan dari Mahathir. Dan Muhyidin mempunyai sokongan dari Kelantan, Terennganu, Johor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Pahang. Dan mungkin secara keseluruhan. Najib pula dilihat sebagai pemimpin yang terhegeh hegeh meraih ehsan dari Cina dan India. Ini pendekatan yang berlawanan dengan pendekatan Mahathir. UMNO yang lemah dibawah pimpinan yang lemah akan memberi konsesi yang berlebihan kepada bangsa lain. Itu mesej Mahathir. Mungkin orang Melayu masih tidak sedar perkara ini. Kemana Najib mahu bawak kita? Ekonomi kita ada lah contractor –driven. Projek besar semua nya dicadangkan oleh kontraktor dan pihak kerajaan memperakui nya. Apa yang kerajaan miliki ialah kuasa perakuan dan kuasa tersebut dieksploitasi oleh ahli politik dan pegawai tinggi kerajaan untuk mengayakan diri sahaja. Agenda kerajaan dengan demikian tidak lain dan tidak bukan adalah agenda golongan peniaga yang mahu menghimpunkan kuasa ekonomi dan kekayaan dalam tangan mereka. Apa dia ETP jika tidak lain dan tidak bukan himpunan perancangan pihak swasta yang di perakui oleh kerajaan? Dan apa pula GTP- government transformation plan selain daripada menghimpunkan kuasa membuat keputusan dalam tangan oligarki pentadbiran? Dilemma UMNO pula ialah menimbangkan sama ada mengekal atau menolak Najib yang dilihat sebagai pemimpin yang banyak berkompromi akan kepentingan Melayu. Dr Mahathir sudah pun memberi petunjuk dalam hal ini. | ||||
Petisyen pilihanraya- bentuk mengatasi isi Posted: 31 Jul 2013 01:16 AM PDT Ramai sudah mengetahui banyak petisyen pilihanraya yang difailkan khususnya oleh PAS dan PKR telah ditolak oleh Mahkamah di peringkat bantahan awal lagi. Setakat artikel ini ditulis 5 petisyen yang difailkan oleh PAS di Kelantan telah ditolak. Begitu juga 2 petisyen PKR di Kelantan juga ditolak Petisyen PAS bagi Parlimen Titiwangsa juga ditolak. Begitu juga Petisyen Parlimen Setiawangsa yang difailkan PKR juga ditolak. Petisyen Dun Mahkota di Johor juga ditolak meskipun wujudnya banyak Borang 14 yang mengandungi maklumat tidak betul yang dilakukan oleh SPR dan menjejaskan keputusan pilihanraya. Untuk berlaku adil terdapat juga beberapa petisyen yang Umno failkan juga dtolak. Hampir semua petisyen yang ditolak , Mahkamah mengenakan kos yang agak tinggi. Ini menimbulkan spekulasi yang tidak sihat iaitu adakah Mahkamah ingin memberi satu mesej kepada mereka yang ingin memfailkan petisyen pilihanraya pada masa akan datang supaya berjaga-jaga kerana anda mungkin akan dikenakan kos yang tinggi jika kalah. Selain itu ia juga mengundang satu mesej bahawa mana mana petisyen yang telah difailkan tapi belum didengar lagi setakat ini adalah lebih baik ditarik balik petisyen tersebut. Semasa pendengaran petisyen PAS bagi Parlimen Kuala Selangor, peguam Umno Dato Hafarizam meminta Mahkamah mengenakan kos yang tinggi iaitu lebih dari RM30 ribu kerana beliau mahu membankrapkan Pempetisyen. Kata beliau seseorang hanya boleh dibankrapkan jika hutang lebih RM30 ribu. Ketika tiba giliran saya berhujah saya katakan kami failkan petisyen bukan untuk membankrapkan sesiapa. Sebaliknya kami failkan petisyen kerana ini sahaja saluran undang-undang yang kami ada untuk meminta Mahkamah membetulkan kepincangan dan salah urus pilihanraya yang dilakukan olen SPR . Petisyen difailkan, saya kata, bagi memastikan kesucian (sanctity) dan kebersihan (purity) sistem pilihanraya sentiasa dipelihara. Saya katakan biarlah mana mana calon yang menang sesuatu pilihanraya hasil dari satu pertandingan yang sihat dan adil dan bukan secara menipu dan melanggar undang-undang. Saya pernah menulis di ruangan ini bahawa hakikatnya Mahkamah Piliharaya bukan forum yang boleh diharap membetulkan kepincangan sistem pilihanraya negara ini. Keyakinan saya itu hasil dari pengalaman mengendalikan banyak kes petisyen pilihanraya dalam tempoh masa hampir 15 tahun. Melihat kepada beberapa keputusan Mahkamah Pilihanraya pada kali ini saya makin hampir ingin menyatakan tidak perlu lagi Pakatan bersusah payah mengguna saloran Mahkamah untuk mengadu hal kepincangan pilihanraya. Buang masa , tenaga dan wang ringgit. Tapi itulah yang Umno inginkan! Dan itulah dilema yang Pakatan hadapi. Guna saloran undang undang, Mahkamah meletakkan pelbagai halangan teknikal untuk menyusahkan perbicaraan petisyen. Guna saloran di luar Mahkamah seperti berdemo menentang kepincangan sistem pilihanraya dkatakan tidak menghormati keputusan pilihanraya meskipun keputusan tipu dan mungkin akan didakwa pula di bawah Akta Perhimpunan Aman . Adakah Mahkamah patut disalahkan dalam hal ini? Malangnya jawapannya ya kerana kali ini saya melihat Mahkamah terlalu mengutamakan bentuk ( form ) dari isi ( substance ). Mahkamah atau para hakim ( yang setengahnya nampak sangat tidak ada pengalaman ) nampaknya begitu mudah berselindung atas alasan undang undang pilihanraya mesti ditafsir dengan ketat ( strict interpretation ) bagi membatalkan sesuatu petisyen. Maka kita dapat melihat Mahkamah mudah sangat menerima bantahan bantahan remeh untuk membatalkan sesuatu petisyen. Sebagai contoh ada hakim pilihanraya kali ini yang menolak petisyen hanya kerana beliau menerima tafsiran ganjil peguam Umno yang menyatakan petisyen mestilah diserahkan oleh pihak Pempetisyen sendiri. Yang lebih malang hakim tersebut , atas alasan yang beliau sahaja tahu, menerima bantahan Umno itu tanpa para peguam yang hadir di hadapan beliau diberi peluang untuk berhujah secara lisan. Keputusan hakim itu mendorong saya menyatakan kepada Hakim itu "saya rasa adalah tidak wajar yang Arif membuat keputusan tanpa memberi kami para peguam peluang berhujah secara lisan. Lagipun Yang Arif, dengan penuh hormat, tidak mempunyai pengalaman mengendalikan kes petisyen..apa salahnya bagi kami peluang berhujah secara lisan untuk bantu Yang Arif membuat keputusan yang betul.". Saya akui kenyataaan saya pada hakim itu agak tegas.Namun saya tidak ada pilihan . Beliau bukan sahaja tidak menunaikan permintaan saya malahan Hakim itu berkata " saya sudah buat keputusan, keputusan saya final dan jika kamu tidak puas hati kamu boleh merayu.". Apabila beliau kata begitu saya tahulah nasib malang petisyen Pas. Betul jangkaan saya, semua bantahan awal kami ke atas petisyen Umno ditolak dan semua bantahan awal peguam Umno atas petisyen Pas pula diterima . Ada peguam perlembagaan menyatakan Perlembagaan akan mati jika Perlembagaan ditafsir seperti menafsir wasiat. Saya pula ingin menyatakan demokrasi yang mati di negara ini tidak akan hidup balik jika Mahkamah Pilihanraya terus menerus menafsirkan undang undang pilihanraya macam tafsir surat pajak gadai !!! Bayangkan jika ada Mahkamah yang boleh menafsir seksyen 34 Akta Kesalahan Pilihanraya bahawa petisyen pilihanraya tidak boleh difailkan melalui firma peguam atas alasan seksyen 34 menggunakan perkataan pempetisyen , maka hanya pempetisyen yang kena failkan petisyen dia di Mahkamah. Malangnya tafsiran begini pun hakim boleh terima. Adakah masuk akal mereka yang tidak tahu selok belok undang undang dan proses Mahkamah disuruh pergi Mahkamah untuk memfailkan petisyen. Bagitu juga masuk akal kah petisyen hanya boleh diserahkan oleh pempetisyen sendiri dan bukan melalui orang lain. Jika kita ikut tafsiran mengarut itu sudah tentu jika Karpal Singh memfailkan petisyen beliau sendiri perlu menyerahkan petisyen secara berkerusi roda. Bagaimana pula jika pempetisyen itu seorang yang buta matanya ? Yang terbaru Hakim menerima bulat bulat tafsiran peguam negara bahawa maksud ketidakpatuhan undang-undang bertulis berkaitan penjalanan pilihanraya ( non compliance of written law relating to conduct of election ) di dalam seksyen 32 ( b ) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 adalah terhad kepada ketidakpatuhan dua undang undang sahaja iaitu Peraturan Pilihanraya ( Penjalanan Pilihanraya ) 1981 dan Peraturan Pilihanraya ( Pengundian Pos ). Dengan tafsiran sempit ini jika sekalipun ada ketidakpatuhan mana mana peruntukkan lain dalam mana mana undang undang pilihanraya selain dua peraturan itu maka ia tidak boleh dijadikan alasan untuk memfailkan petisyen. Atas tafsiran sempit itulah walaupun petisyen yang Pas failkan berhubung Borang 14 yang disediakan oleh Ketua Tempat Mengundi ( KTM ) adalah palsu kerana terlalu banyak kesilapan dan bercanggah dengan seksyen 4 ( a ) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 Mahkamah meskipun setuju ia bercanggah dengan seksyen 4 ( a ) tersebut tetap menolak petisyen Pas. Alasannya ketidakpatuhan Akta Kesalahan Pilihanraya tidak boleh dijadikan alasan di bawah seksyen 32b . Mahkamah mungkin tidak sedar atau pura pura tidak sedar akibat tafsiran sempit itu maka selepas ini SPR tidak lagi perlu bimbang jika mana mana pegawainya membuat apa apa kesalahan atau kesilapan di bawah mana mana undang undang selain dari dua Peraturan yang saya sebut itu. Ini tafsiran yang memberi lesen kepada penyelewengan dan salah guna kuasa ! Hakikatnya undang undang pilihanraya digubal dengan memberi manfaaat yang tidak sewajarnya kepada parti yang memerintah. Mahkamah pula membantu mengekalkan status quo itu. Jika pun ada Hakim yang berani seperti Hakim Dato Kamil Awang dalam pilihanraya Likas membatalkan keputusan pilihanraya tersebut kerana wujudnya daftar pemilih yang diragui dan tidak bersih , keputusan tersebut bukan digunakan untuk membersihkan daftar pemilih . Sebaliknya keputusan itu digunakan sebagai justfikasi untuk pintu Mahkamah ditutup rapat dari mempersoalkan kebersihan daftar pemilih dengan diperkenalkan seksyen hantu iaitu seksyen 9A Akta Kesalaha Pilihanraya 1954 ( pindaan 2002 ). | ||||
Isa Samad setuju pertandingan ukuran populariti pemimpin Umno Posted: 31 Jul 2013 01:12 AM PDT Tan Sri Isa Samad hari ini berkata, beliau percaya pertandingan dalam pemilihan Umno menjadi kayu pengukur bagi populariti sesetengah pemimpin. Pengerusi Felda Global Venture Holdings Berhad itu bagaimanapun berkata, "masih belum memikirkan" sama ada mahu bertanding dalam Pemilihan Agung Umno yang dijadualkan pada Disember depan atau tidak. "Daripada segi siapa menang memang dia popular, yang kalah tidak popular, macam saya menang pilihan raya kerana orang masih pilih saya," katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan bantuan kepada golongan Asnaf di pejabat Felda di sini. "Sampai waktu bertanding saya umum, sekarang belum sampai masa," katanya ketika diminta mengulas kesediaan beliau untuk bertanding dalam pemilihan parti majoriti Melayu itu lagi. Katanya, tiada parti politik yang mampu mengambil keputusan seperti Umno dengan membenarkan lebih 150,000 ahlinya mengundi bagi menentukan pemimpin tertinggi parti berkenaan. "Sistem yang Umno buat adalah hasrat Presiden (Datuk Seri Najib Razak) yang ingin melakukan transformasi kerana selepas berapa lama guna sistem perwakilan," katanya. "Ini menunjukkan lebih ramai lagi boleh mengundi, tiada parti dapat buat macam Umno, kita begitu berani," katanya. Beliau turut menegur beberapa parti lain di luar Umno yang masih lagi mempunyai masalah dalam pemilihan parti. "Ada sesetengah parti undi pun tidak berapa pandai, salah kira. Sistem Umno ini agak baik," katanya. Hari ini bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz, berkata pertandingan bagi merebut jawatan tertinggi parti adalah cara terbaik untuk barisan kepimpinan Umno mengukur kekuatan masing-masing di kalangan ahli. Pemilihan Umno tahun ini akan menyaksikan delegasi seramai 146,500 orang dari 161 bahagian yang akan memilih kepimpinan parti. Rafidah berkata,meskipun semua ahli bebas dan berhak untuk bertanding jawatan apa pun dalam parti, mereka tidak seharusnya bertanding jika semata-mata untuk menguji populariti atau ujian demokrasi. "Jika kepimpinan tertinggi melakukan tugas dengan baik, maka semua ahli patut bersatu hati menyokong dan mengukuhkan parti," katanya merujuk kepada Najib yang menjadi presiden parti sejak 2009. Tetapi, katanya, jawatan lain termasuk mereka di sayap Umno seperti Pemuda dan Wanita, tidak ada sebab untuk menghalang sesiapa daripada menawarkan diri bertanding. | ||||
Sistem pemilihan baru Umno transformasi palsu Posted: 31 Jul 2013 01:07 AM PDT UMNO sudah menetapkan tarikh pemilihan pucuk pimpinannya tahun ini pada 5 Oktober depan. Kali ini pemilihan pemimpin di peringkat bahagian akan diadakan serentak dengan pemilihan pemimpin di peringkat nasional. Ia sesuai dengan kaedah pemilihan baru yang diperkenalkan Najib sebaik mengambil alih teraju kepimpinan UMNO pada 2009 lalu dengan tujuan menjadikan ruang demokrasi dalam parti menjadi lebih subur dan supaya UMNO lebih diminati oleh lebih ramai orang Melayu. Sebelum UMNO diharamkan pada 1988, sesiapa yang ingin bertanding hanya memerlukan dua pencalonan daripada bahagian-bahagian UMNO tetapi sejak Mahathir menang hanya dengan kelebihan 43 undi di tangan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 dan kemudian menubuhkan UMNO Baru, beberapa peraturan untuk mengetatkan pertandingan telah diperkenalkan. Antaranya ialah dengan memperkenalkan kouta pertandingan di mana mereka yang ingin bertanding apa-apa jawatan diperlukan melepasi kouta tertentu terlebih dahulu sebelum dibenarkan bertanding. Kouta pencalonan bagi jawatan Presiden ialah 30 peratus, Timbalan Presiden 25 peratus, Naib Presiden 20 peratus manakala Ahli MT 10 peratus. Bagi jawatan lain di peringkat sayap dan bahagian juga ada peratusan tertentu yang ditetapkan sebelum layak bertanding. Itulah yang menjadi antara sebab Mahathir mampu kekal selama 22 tahun sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Berikutuan keputusan buruk pilihanraya 2008 yang kemudian diikuti dengan pengunduran Pak Lah dan Najib mengambil alih teraju parti dan negara, beliau telah memperkenalkan peraturan baru dengan menghapuskan sistem kouta dan memberi ruang kepada lebih ramai ahli UMNO di peringkat bawahan hak memilih pemimpin. Ia sebahagian daripada transformasi politik Najib yang diperkenalkan oleh Najib. Jika dulu pemilihan pemimpin hanya ditentukan oleh kira-kira 2,500 perwakilan sahaja tetapi kini ia lebih meluas dengan melibatkan seramai 146,500 perwakilan cawangan dari seluruh negara. Pemilihan juga diadakan serentak di seluruh negara untuk menjadikannya lebih adil dan tidak saling mempengaruhi antara satu sama lain. Pemimpin-pemimpin UMNO, terutamanya Najib sering menjaja sistem baru ini menunjukkan keterbukaannya terhadap pertandingan serta pendirian yang tidak takut terhadap cabaran, selain sebagai usaha untuk menjadikan UMNO sebuah parti yang lebih inklusif dan subur sistem demokrasinya. Ahli dan pemimpin UMNO peringkat cawangan dan bawahan pula bagaikan tidak sabar untuk melaksanakan sistem baru kerana sebelum ini sebahagian besar mereka hanya menjadi golongan tumpang tengok saja dalam pemilihan pucuk pimpinan, malah ada yang hanya mengenali pemimpin melalui tatapan wajahnya di akhbar dan tv saja. Dengan sistem pemilihan baru yang diperkenalkan Najib, ramai yang tidak sabar untuk menggunakan hak mengundi masing-masing, selain merasakan inilah masanya untuk mereka mengenali pemimpin kerana percaya ramai pemimpin atasan akan turun ke peringkat bawahan atau cawangan untuk melobi undi serta sokongan daripada perwakilan. Soalnya benarkah sistem baru ini menjadikan demokrasi dalam UMNO lebih subur dan pewakilan seramai 146,500 itu benar-benar bebas memilih pemiimpin? Apakah 146,500 itu boleh mengundi secara langsung pemimpin pilihan mereka sebagaimana tanggapan ramai? Jika ditanya kebanyakan ahli dan pemimpin UMNO peringkat cawangan mengenai sistem pemilihan baru itu, ramai di antaranya yang masih kabur, keliru dan tidak pasti bagaimanakah kaedah pemilihan baru itu berfungsi. Apa yang mereka tahu, kali ini bukan lagi 2,500 perwakilan yang menentukan kedudukan pemimpin di atas tetapi sudah menjadi 146,500. Kebanyakannya hanya mempunyai pengetahuan setakat itu saja. Walaupun UMNO telah mengadakan siri taklimat ke negeri-negeri mengenai sistem pemilihan baru ini tetapi tidak semua ketua-ketua cawangan menghadirinya. Yang hadir pula kadangkala mempunyai pemahaman yang terbatas, lalu usaha untuk menerangkannya dengan lebih jelas kepada ahli-ahli menjadi terhalang. Media-media pula seperti tidak memberi liputan atau huraian yang sejelas-jelasnya mengenai sistem baru ini. Pemimpin UMNO juga tidak bercakap banyak mengenainya, sekadar suka menyebut angka 146,500 perwakilan sebagai bukti keterbukaan dan transformasi yang mahu dibawa oleh Najib. Hakikatnya, ramai yang tidak sedar bahawa walaupun 146,500 perwakilan diberi ruang mengundi atau memilih pemimpin dalam sistem baru ini tetapi mereka bukanlah boleh mengundi secara langsung pemimpin pilihan mereka. Meskipun mempunyai 146,500 perwakilan kali ini tetapi sistem yang digunakan ialah satu bahagian satu undi dan bukannya undian langsung perwakilan cawangan-cawangan. Ini bermaksud jika sekiranya calon A dan B bertanding jawatan Presiden UMNO dan sebagai contoh UMNO Bahagian Pekan mempunyai perwakilan seramai 500 orang, sekiranya calon A memperolehi 400 undi manakala calon B memperolehi 100 undi, bermakna calon A telah memperolehi satu undi. Begitulah seterusnya berlaku di semua 191 bahagian-bahagian UMNO. Sistem baru ini dikatakan adalah campuran daripada sistem pilihanraya di Amerika Syarikat dan United Kingdom atau dipanggil "electoral college". Difahamkan juga, sistem baru ini hasil daripada beberapa pencarian serta pengubahsuaian dan hanya dimuktamadkan baru-baru ini sahaja. Yang nyatanya, sistem ini tetap memberi ruang kepada Ketua Bahagian melakukan kawalan dan Presiden atau sesiapa yang ingin kemenangan pula hanya perlu menjaga tembolok ketua-ketua bahagian untuk memastikan survivalnya terjamin. Isunya ialah adakah kaedah satu bahagian satu undi ini benar-benar menunjukkan keterbukaan dan keinginan melihat demokrasi lebih subur atau sekadar transformasi palsu sedangkan matlamatnya tetap untuk melindungi mereka yang diatas terus kekal sebagai pemimpin. Melalui satu bahagian satu undi, kawalan oleh mereka yang berjawatan lebih mudah terhadap bahagian-bahagian. Untuk mempertahankan jawatannya, Presiden atau Timbalan Presiden misalnya, perlu menemui semua 146,500 perwakilan cawangan-cawangan untuk mendapatkan undi tetapi cukup sekadar menjaga dan memberi jawatan atau habuan kepada Ketua-Ketua Bahagian saja. Itulah antara sebabnya, walaupun tarikh pemilihan hanya tinggal kira-kira 2 bulan saja lagi tetapi kemeriahan dan kesibukan pemimpin turun ke peringkat bawahan masih tidak kelihatan lagi. Hanya ketua-ketua bahagian yang sibuk turun naik ke Kuala Lumpur menemui pemimpin atasan sambil diberikan pelbagai jenis habuan, kontrak dan jawatan. Walaupun sistem ini dikatakan untuk memberi keadilan kepada bahagian-bahagian kerana jumlah cawangan setiap bahagian adalah berbeza-beza tetapi hakikat yang nyata ialah sistem "electoral college" ini juga bertujuan melindungi penyandang jawatan daripada digugat kedudukannya. Kaedah ini nampak macam terbuka tetapi sebenarnya bukaannya hanya kecil saja. Ia tidak terbuka sepenuhnya sebagaimana yang disangka. Di sebalik transformasi dan keterbukaan yang dijaja, maksud tersiratnya untuk melindungi kepentingan sendiri nampaknya tetap lebih utama. - http://shahbudindotcom.blogspot.com | ||||
Selepas ‘Apa lagi Cina mahu’, Utusan kata ‘Orang Melayu tidak lagi digeruni’ Posted: 31 Jul 2013 01:05 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Selepas menggemparkan negara dengan laporan muka depan "Apa lagi Cina mahu?", hari ini akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menyatakan orang Melayu, iaitu penduduk majoriti di negara ini tidak lagi digeruni oleh kaum lain. Pengarang berita akhbar berbahasa Melayu itu, Zulkiflee Bakar dalam tulisannya bertajuk 'Orang Melayu tidak lagi digeruni?' berkata, sejak kebelakangan ini, semakin rancak pihak tertentu 'menyerang' atau sengaja mencari isu berkaitan dengan orang Melayu dan melakukan penghinaan terhadap agama Islam. "Puak yang melakukan perbuatan itu seolah-olah sudah tidak ada rasa gerun atau hormat kepada orang Melayu," tulis Zulkiflee hari ini. "Kehebatan orang Melayu dan kekuatan politik mereka melalui Umno yang menjadi tonggak pemerintahan negara seolah-olah sudah tidak dihiraukan lagi," katanya. Menurut Zulkiflee, keadaan ini berlaku kerana orang Melayu berpecah belah sehingga menyebabkan perasaan gerun kepada kekuatan politik orang Melayu semakin luntur. "Sesetengah pihak bukan Melayu tidak khuatir dengan sebarang tindakan mereka kerana di pihak mereka sudah ada orang Melayu yang akan membela dan mempertahankan apa yang mereka lakukan. "Orang Melayu yang berbuat demikian kerana sudah kemaruk mahu berada di tampuk kekuasaan, oleh itu apa juga yang mereka lakukan ia berdasarkan kepada kepentingan politik kepartian dan bukannya kepentingan ummah, apatah lagi agama Islam," katanya. Katanya lagi, ini dapat dilihat apabila ada kes membabitkan 'kesalahan' yang dilakukan orang Melayu begitu hebat sekali tekanan, desakan dan asakan supaya tindakan diambil tetapi apabila ada kes membabitkan bukan Melayu ia kadang kala senyap begitu sahaja. "Selain itu, puak tertentu semakin berani mengetengahkan tuntutan mereka tanpa mempedulikan perasaan orang Melayu, oleh itu tidakkah semua ini menunjukkan orang Melayu semakin lemah? "Dalam situasi sekarang adalah wajar, orang Melayu memikirkan peringatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mereka memperkukuhkan jemaah kerana umat Islam dilihat lemah sehingga memberi ruang kepada badan politik yang lantang mencabar agama Islam, bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan raja-raja Melayu," katanya. Zulkiflee turut mendakwa, oleh kerana orang-orang Melayu tidak lagi digeruni, mahzab Syiah turut berani disebarkan kepada orang Melayu yang majoritinya tediri daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah. "Malah kerapuhan hubungan dalam kalangan orang Melayu yang berpegang kepada Sunnah Wal Jamaah turut diuji apabila wujudnya gerakan mahu menyebarkan ajaran Syiah di negara ini. "Sekali lagi kita melihat bagaimana dalam isu, pemimpin Melayu berbeza pendapat," katanya. | ||||
Sempena Hari Pahlawan, DAP gesa IPCMC ditubuhkan Posted: 31 Jul 2013 01:02 AM PDT Cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005 untuk menubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dapat mengukuhkan kepercayaan awam terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Zairil Khir Johari (gambar). Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera itu berkata, pelaksanaan IPCMC bakal meningkatkan tahap profesionalisme dan kebebasan institusi polis daripada campur tangan politik serta daripada terus dipersoalkan. "Dalam tempoh seminggu, empat kes tembakan dilaporkan termasuk pembunuhan Pengasas AmBank Hussain Ahmad Najadi, cubaan bunuh ke atas Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan yang ditembak di Seremban serta dua lagi kes tembakan yang berlaku di Ipoh dan Bukit Mertajam. "Kes keganasan senjata api dan kematian dalam tahanan makin kerap berlaku. Pada tahun ini berlaku 12 kes kematian dalam tahanan sementara empat bulan yang terakhir menunjukkan 13 kes keganasan senjata api," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. The Malaysian Insider melaporkan pada Sabtu, Sanjeevan ditembak di Bahau, Negeri Sembilan oleh dua lelaki India ketika sedang memandu kereta jenis BMW berwarna kelabu. Hussain pula ditembak mati pada Isnin di kawasan letak kereta di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur sementara isterinya cedera terkena tembakan. Hari ini Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan polis akan mempertingkat penguatkuasaan keselamatan bagi mengatasi jenayah berat yang berleluasa melibatkan pembunuhan menggunakan senjata api dan berharap langkah berkenaan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keselamatan dan keamanan di negara ini | ||||
Tarikh Balik Semua Petisyen, Selamatkan Wang Posted: 31 Jul 2013 12:57 AM PDT Hari ini mahkamah meneruskan lagi siri-siri penolakan petisyen pilihan raya, kali ini untuk empat kerusi parlimen semuanya membabitkan kerusi di Selangor. Kerusi-kerusi itu ialah Kuala Selangor, Sungai Besar, Sabak Bernam dan Sepang. Penolakan itu mengekalkan keputusan pilihan raya lalu, kerusi Kuala Selangor, Sungai Besar dan Sabah Bernam kepada calon UBN manakala kerusi Sepang kepada calon Pas, Hanifa Maidin. Mahkamah juga mengenakan kos luar biasa kepada pempetisyen sebanyak RM50,000. Memandangkan mahkamah seakan sudah ada keputusan awal dalam meneliti kes-kes petisyen ini, di mana semuanya setakat ini ditolak dengan alasan teknikal yanhg remeh, elok kalau parti-parti yang mengemukakan petisyen mengkaji balik dari meneruskan petisyen mereka dari dibicarakan. Tidak ada guna menghabiskan wang untuk dibayar kepada pengurus pilihan raya dan pihak yang dipestiyen. Lebih baik wang itu digunakan untuk memperkasakan parti masing-masing bagi persiapan menunggu pilihan raya umum ke 14 yang sudah tidak lama lagi. (Empat tahun setengah bukan lama). Sikap mahkamah berhubung petisyen ini tidak berubah. Walaupun Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim meminta agar Ketua Hakim Negara mencampuri dan meneliti trend mahkamah dalam membuat keputusan, tetapi Ariffin Zakaria tetap membisu. Kononnya beliau selaku ketua hakim tidak boleh memberi apa-apa ulasan. Melanggtar kod kehakiman barang kali. Sehubungan itu mungkin perlu dipinda Akta Suruhanjaya Pilihan Raya agar membuang ruang dan hak untuk membawa mana-mana kes pilihan raya ke mahkamah. Dengan tiada apa-apa peruntukan undang-undang dan hak itu maka parti-parti politik tidak perlu bersusah payah menyediakan bukti serta wang dan berjujutan ke mahkamah untuk mendapat keadilan setelah mereka merasakan ditipu ataupun diselewengkan oleh mana-mana pihak atau dalam pelbagai bentuk sepanjang proses pilihan raya. Pakatan Rakyat dianggarkan akan membelanja lebih RM3 juta untuk membiayai kos petisyen. Wang sebanyak itu satu jumlah besar. Dengan menarik balik petisyen ahli-ahli juga tidak terbeban kerana selalunya bila parti memerlukan wang untuk sesuatu tujuan ahlilah yang akan dikerah untuk mendapatkannya | ||||
Polis kenal pasti suspek pembunuh pengasas Ambank, pemandu teksi ditahan Posted: 31 Jul 2013 12:50 AM PDT Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata suspek dipercayai seorang pemandu teksi berusia 44 tahun ditahan di sebuah kedai kopi di Sri Petaling pada jam 9 malam semalam. Katanya, polis percaya selepas penembak melepaskan beberapa das tembakan yang membunuh Hussain, dia kemudiannya melarikan diri menggunakan teksi yang dibawa oleh suspek pemandu teksi berkenaan. "Kita percaya suspek penembak adalah penumpang tetap teksi itu dan selepas kejadian itu, pemandu teksi ini menurunkan suspek penembak ini di Jalan Alor. "Berdasarkan rakaman CCTV di tempat berkenaan, polis mengenalpasti suspek yang dipercayai boleh membantu siasatan polis. Maklumat saksi kejadian mendakwa terdapat tiga lelaki terbabit dalam tembakan itu. "Hasil siasatan polis mendapati hanya seorang sahaja yang melepaskan tembakan itu," kata Ku dipetik dari portal berita Astro Awani. Beliau berkata, lelaki terbabit dikenali sebagai Sei Ngan Chai@Chen berumur dalam lingkungan 30-an dan dipercayai selalu bergerak di kawasan Taman Maluri, tetapi belum boleh dipastikan sama ada suspek penembak ini adalah pembunuh upahan atau tidak. Semalam, agensi berita nasional, Bernama melaporkan polis tidak menolak kemungkinan urusan jual beli hartanah adalah motif di sebalik kejadian Hussain mati ditembak. Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata ia masih dalam siasatan dan pihaknya sedang mengumpul maklumat latar belakang kejadian itu. Beliau percaya perkara ini dilakukan oleh pembunuh upahan dan polis akan memanggil tujuh saksi untuk merakam keterangan. Jenazah Hussain selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada 10 malam semalam selepas disembahyangkan di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta selepas solat Isyak. Balu Allahyarham, Chong Mei Kuen serta kira-kira 30 anggota keluarga dan rakan beliau hadir memberi penghormatan terakhir. - | ||||
PAS gesa sidang khas Parlimen selesai masalah jenayah Posted: 31 Jul 2013 12:45 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menggesa kerajaan Malaysia untuk mengadakan sidang khas Parlimen bagi menyelesaikan masalah jenayah yang semakin meningkat dalam negara. Beliau berkata, jaminan diberikan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak mampu meredakan kebimbangan rakyat kerana pasukan polis dilihat seperti sudah hilang kawalan. "Satu sidang khas Parlimen mesti dipanggil segera sebelum Hari Raya. "Bagaimana rakyat hendak pulang ke kampung menyambut Aidil Fitri sedangkan bukan sahaja keselamatan harta tidak terjamin malah keselamatan nyawa pun tidak terjamin," kata Mahfuz dipetik dari Harakahdaily. Ahli Parlimen Pokok Sena itu amat bimbang kerana keadaan keselamatan negara kini seolah-olah ditentukan oleh penjenayah. Beliau juga mempertikaikan kenyataan KPN bahawa pihaknya akan mempertingkat keselamatan sedangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri seolah-olah mengaku kalah apabila berkata, polis di Malaysia menghadapi kekurangan jumlah anggota dan peralatan berbanding negara maju. Zahid dipetik sebagai berkata, polis tidak boleh dipersalahkan dalam peningkatan kejadian pembunuhan menggunakan senjata api yang dilihat seolah-olah berleluasa sejak kebelakangan ini kerana mereka menghadapi kekurangan jumlah anggota dan peralatan. "Sebagai contoh, di New York, Amerika Syarikat, seorang polis berkhidmat untuk 35 penduduk berbanding seorang polis di Malaysia berkhidmat untuk 700 penduduk untuk satu kawasan," katanya. Mahfuz menyifatkan kenyataan Zahid itu menambahkan lagi kebimbangan rakyat dan menguatkan lagi alasan supaya dipanggil segera sidang khas Parlimen bagi membahaskan berleluasanya jenayah itu. "Jika sidang khas Parlimen itu diadakan, PAS akan memanggil pakar keselamatan yang terdiri daripada bekas pegawai tinggi polis dan tentera bagi memberikan cadangan dan pandangan. "Cadangan dan pandangan mereka itu akan dibawa oleh ahli Parlimen PAS untuk dibahaskan jika sidang khas itu dipanggil," katanya. Mahfuz berkata, kerajaan tidak boleh berlengah-lengah ketika kadar jenayah berat naik begitu mendadak dan membimbangkan sedangkan tidak sampai sebulan lalu media pro-kerajaan membantah dan mempersendakan dakwaan sebuah laman web bahawa Kuala Lumpur adalah bandaraya keenam paling berbahaya di dunia. "Tetapi dengan berleluasanya pembunuhan menggunakan senjata api, dakwaan laman web itu perlu diberi perhatian serius," katanya. Pertengahan Jun lalu, laman web 10awesome.com mendakwa Kuala Lumpur) dikatakan salah satu bandar yang paling berbahaya di dunia dengan kadar jenayah meningkat sebanyak 70 peratus dalam tempoh tiga tahun. Isnin lalu, Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi maut manakala isterinya cedera ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di ibu negara. Kejadian itu berlaku dua hari selepas aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan. | ||||
Scorpene: Suaram dakwa Jasbir bohong Posted: 30 Jul 2013 04:55 PM PDT
KUALA LUMPUR: Jasbir Singh Charld tidak bercakap benar apabila membela beberapa pihak dalam kes pembelian Scorpean, dakwa bekas Pengarah Eksekutif Suaram (Suara Rakyat Malaysia Suaram) Cynthia Gebriel. Suaram mendedahkan Jasbir Singh Chahl telah dipecat sebagai perunding dalam pembelian dua kapal selam Scorpene dari Perancis, yang kemudiannya digantikan dengan perunding pertahanan, Abdul Razak Baginda. Malah, Jasbir juga bertindak memfailkan saman RM50 juta kepada Abdul Razak, yang kemudiannya diselesaikan di luar mahkamah, dakwa Penyelaras Suaram, Cynthia Gabriel. Bercakap kepada media, Cynthia mendakwa Jasbir yang juga merupakan salah seorang saksi bagi kes kontroversi itu pada awalnya dilantik sebagai perunding bagi pembelian dua kapal selam Scorpene tersebut, bagaimanapun dipecat dari meneruskan rundingan tersebut. "Kami harap Jasbir mengambil langkah seterusnya untuk mendedahkan semua perkara yang beliau tahu mengenai perolehan pembelian Scorpene tersebut, mengapa beliau dipecat dari rundingan tersebut, kerana beliau hanya bercakap secara terpilih tentang kes itu ketika ditemubual New Straits Time (NST), baru-baru ini," tegas Cynthia (gambar) pada satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina, petang tadi. Dalam pada itu, Cynthia turut mengesa Jasbir menyatakan jumlah sebenar yang diterima Terasasi Sdn. Bhd. daripada syarikat pembina kapal, DSCN dalam perundingan pembelian Scorpene tersebut, sebelum Terasasi ditutup kemudiannya. Terasasi merupakan satu syarikat yang ditubuhkan di Malaysia, di mana Jasbir merupakan salah seorang pengarahnya sebelum ditutup, dan kemudiannya dibuka semula di Hong Kong oleh Abdul Razak Baginda. Menyentuh soal penterjemah Mongolia, Altantuya Shaarriibuu, Cynthia berkata Suaram tidak pernah mengatakan Altantuya sebagai penterjemah dalam urusan pembelian Scorpene tersebut, sebaliknya mempersoalkan apakah peranan sebenar Altantuya dalam skandal tersebut. "Persoalan yang perlu dijawab, apakah peranan sebenar Altantuya dalam perundingan pembelian kapal selam itu jika ada, dan mengapa beliau dibunuh secara kejam," tegas Cynthia lagi. Sehubungan itu, Suaram menuntut supaya gangguan terhadap Suaram untuk mencungkil kebenaran berhubung skandal Scorpene ini dihentikan oleh mana-mana pihak dalam usaha mendapatkan maklumat bagi rakyat Malaysia yang ingin tahu mengenai skandal ini. Beliau juga mengessa Jasbir menjawab soalan yang dikemukakan selain menyatakan secara keseluruhan berkaitan rundingan pembelian kapal selam tersebut , dan tidak hanya memilih kepada beberapa perkara tertentu sahaja. Selain itu, Cynthia turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak berdiam diri berhubung skandal ini, sebaliknya memulakan siasatan dalam usaha membanteras kes rasuah berprofail tinggi. | ||||
500 demo bantah pindah kampus KUIN Posted: 30 Jul 2013 04:45 PM PDT
Pelajar, ibu bapa, kakitangan dan penduduk kampung demo bantah perpindahan KUIN dari Kuala Ketil KUALA KETIL: 500 pelajar, waris dan penduduk Kuala Ketil berkumpul di hadapan pintu gerbang utama Kolej Universiti Insaniah (KUIN) kampus Kuala Ketil petang semalam bagi mendesak agar kampus itu dikekalkan. Pelajar, ibu bapa dan penduduk Kuala Ketil membantah perpindahan KUIN dari sini Ini berikutan arahan berpindah yang mereka terima dari pihak pentadbiran KUIN 16 Julai lalu yang mengarahkan semua pelajar berpindah semula ke kampus Stargate, Alor Setar. KUIN merupakan sebuah kolej yang telah mengislamisaikan program-program konvensional seperti Program Perniagaan, Perbankan, Perancangan Kewangan, Risiko dan Takaful, Hospitality dan Pemakanan Halal dan lain-lain lagi. Kampus KUIN Kuala Ketil yang bernilai RM330 juta itu adalah lagenda tinggalan Menteri Besar Kedah sebelum ini, Datuk Seri Azizan Razak. Bagi ustaz Azizan, pembinaan kampus KUIN di sini akan menjadikan Kuala Ketil satu bandar baru yang bakal membangun dengan pesat selepas ini. Kampus ini mula digunakan awal tahun ini dan dirasmikan oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah pada bulan Mei lalu. Kampus tetap KUIN di Kuala Ketil bernilai RM330 juta yang dibina ketika ustaz Azizan menjadi MB Kedah Ekoran itu, pelajarnya dan kakitangan dipindahkan dari kampus sementaranya yang terletak di Stargate dan Mergong sebelum itu. Namun selepas Kedah diambil alih oleh Barisan Nasional (BN) dan Datuk Mukhriz Mahathir menjadi Menteri Besar, kampus ini dikatakan mahu dijual. Ia juga mungkin diswastakan apabila timbul desas desus bahawa kerajaan negeri membuka tawaran penjualan saham miliknya kepada beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan. Kerajaan negeri dikatakan sudah membuat tawaran itu termasuk kepada Universiti ITM (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Aimst dan Universiti Antarabangsa Al-Bukhary (AiU). Difahamkan Universiti Selangor (Unisel) turut berminat untuk membeli Insaniah daripada kerajaan negeri. Sejak beberapa bulan lalu, selain pelajar yang menjadi mangsa, kakitangan Insaniah juga tidak mendapat gaji mereka. Dalam perhimpunan semalam, wakil pelajar yang turut berucap mengesa pentadbiran kolej mengeluarkan pekeliling pindah untuk rujukan pihak pelajar selepas pengumuman yang telah di umumkan pada 16 julai yang lalu dibuat tanpa disusuli dengan pekeliling perpindahan. Beliau juga menyatakan agar pihak pentadbiran dapat mengekalkan KUIN Kuala Ketil. Perpindahan yang akan melibatkan 1200 orang pelajar Fakulti Muamalat akan bermula 1 Ogos sehingga 17 Ogos akan datang. Seorang bekas pekerja KUIN berucap dalam perhimpunan itu Ia akan disusuli dengan 600 orang pelajar kulliyyah lain menyebabkan banyak menganggu proses pembelajaran dan pengajaran mereka malah melibatkan masalah kebajikan juga. Memorandum yang telah dihantar ke peringkat pentadbiran kolej dan Pejabat Menteri Besar pada 25 Julai yang lalu belum mendapat jawapan sehingga kini. Manakala pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pula akan mengambil tindakan terhadap memorandum yang telah dihantar oleh mahasiswa. Wakil waris juga meminta pihak pentadbiran kolej dan pihak kerajaan negeri mengambil serius berkaitan masalah ini kerana melihat kepada kebajikan pelajar yang akan terganggu dengan perpindahan kali ke tiga ini. Selepas perpindahan kali pertama dari Mergong ke Stargate dan perpindahan kali kedua dari Stargate ke Kuala Ketil, kini mereka akan berpindah lagi. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan