Ahad, 28 Ogos 2011

shalehudin

shalehudin


Dah la jahil, khianat pulak tue...

Posted: 28 Aug 2011 09:13 AM PDT

Khianat: Wajah Nik Aziz diconteng salib

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Sekurang-kurangnya tiga kain rentang PAS yang digantung sebagai mengalukan kehadiran bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidil Fitri di sekitar Shah Alam diconteng pihak tidak bertanggungjawab.

Malah lebih teruk dari itu, beberapa wajah pemimpin PAS pada kain rentang itu diconteng dengan tanda salib.

Kejadian tersebut dikesan sejak semalam di sekitar kawasan Seksyen 23, Shah Alam.

Antara yang menjadi mangsa perbuatan khianat tersebut adalah wajah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Abdul Samad yang diconteng dengan dakwat merah.

Menurut seorang penduduk yang memaklumkan kejadian itu kepada Harakahdaily, beliau berkata perbuatan khianat dan tak berakhlak tersebut dipercayai dilakukan semasa waktu berbuka puasa dan waktu ramai orang berada di masjid dan surau utk qiamullail.

"Sebelum kejadian ini sudah 4 kali kain-kain rentang sambut Ramadan yang jumlahnya 12 bidang kesemuanya telah dipotong pada waktu yg sama,' katanya yang tidak mahu namanya disiarkan.

Kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama awal Ogos lalu yang kini hangat diperdebatkan semua pihak.

Berhubung isu itu, PAS menyatakan pendirian mereka agar Jais membuat pendakwaan jika mempunyai bukti wujud usaha mengkristiankan orang Islam.

Sementara itu, Khalid ketika dihubungi Harakahdaily melahirkan rasa kesal dengan tindakan "puak-puak jahat" tersebut.

"Ini kerja orang yang tidak ada akhlak. Saya tidak mahu kata Umno yang buat tetapi rakyat tahu siapa yang buat ini dan dapat menilai sendiri," katanya.

Menurutnya lagi, PAS tidak pernah membuat perkara serupa kepada mana-mana pihak walaupun tidak berpuas hati terhadap satu-satu isu.

"Conteng salib itu seperti tuduh orang jadi Kristian lah. Ini bukan benda ringan, tetapi dah mereka jahil nak buat macam mana," katanya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis, beliau bagaimanapun tidak akan berbuat demikian dan hanya berdoa kepada Allah agar pihak yang bertanggungjawab diberikan hidayah.

Jom kita tilik kepala Najib sat...

Posted: 28 Aug 2011 08:06 AM PDT

'Membaca' Najib menjelang PRU13

Oleh ZAMSHA

AWAS! Ketika semakin ramai yang beranggapan PM Najib Razak kian lemah dan tertekan, beliau sebenarnya sedang menyusun strategi ampuh bagi membolehkan tangannya terus bergayut di dahan kuasa selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.

Najib tentunya tidak mahu menyalin nasib yang menimpa Khir Toyo; daripada seorang Menteri Besar yang paling bergaya bertukar status 360 darjah, menjadi Ketua Pembangkang dan kini hanya menjadi Adun biasa.

Pembedahan lutut yang sedang dijalaninya sekarang ini di Hospital Kuala Lumpur (ketika rencana ini sedang ditulis) merupakan satu isyarat jelas. Beliau akan kembali ke tengah padang politik tanah air dengan lutut yang lebih bertenaga untuk "menendang" sesiapa sahaja yang difikirkan wajar oleh beliau untuk ditendang.

Semua pihak harus berawas dan pesanan ini tidak terkecuali ditujukan kepada orang nombor dua; Muhyiddin Yassin. Segera ikrar dan zahirkan setia, atau hanya menghitung masa untuk menjadi tokoh terbuang seperti yang pernah menimpa Timbalan Perdana Menteri @ Timbalan Presiden Umno sebelum ini seperti Musa Hitam, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim.

Percayalah dengan lutut yang lebih bertenaga, Najib bukan sahaja boleh mengambil sepakan penalti dalam acara futsal tetapi beliau juga mampu memanfaatkan untuk kepentingan politik beliau. Najib akan bergerak lebih selesa untuk merancang strategi politiknya.

Harus diingat Najib bukanlah begitu naïf untuk disingkir sesuka hati. Najib sudah mula mengorak langkah. Dua buah negeri paling utara iaitu Perlis dan Kedah sudah dikunjungi Najib dalam gerak awal beliau untuk memukul gendang pilihan raya umum.

Bagi memudahkan pergerakan menjelajah ke seluruh negara untuk mencari sokongan di peringkat akar umbi, Najib sekali memerlukan lutut yang sihat bagi melancarkan kembara politiknya.

Tradisi menjelajah ke seluruh negara oleh Perdana Menteri @ Presiden Umno sebelum ini bagi meninjau sokongan rakyat sebelum PRU dijelmakan diteruskan oleh Najib dengan penuh semangat dan iltizam.

Sepasang lutut yang sihat akan memudahkan segala-galanya. Lawatan ke negeri-negeri ini juga dikira sebagai acara pusingan akhir sebelum beliau mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen.

Cakap-cakap umum pergeseran fikrah antara Najib dan timbalannya merupakan satu perkara yang tidak boleh diremehkan begitu sahaja. Pergeseran itu mungkin ada benarnya dan mungkin juga sebuah lagi filem pendek yang diarahkan oleh Najib dan dilakonkan sendiri oleh beliau dan timbalannya.

Gagasan 1-Malaysia yang dibawa Najib didakwa oleh banyak orang cuba diperkecilkan oleh Muhyiddin yang khabarnya lebih mendahulukan Melayu. Atau, mungkinkah imej yang sedang disarung Muhyiddin sekarang merupakan persefahaman belakang tabir antara Najib dengan Muhyidin bagi menjamin undi Melayu tetap di karung Barisan Nasional? Percaturannya kira-kira begini.

Najib akan ditempa sebagai pembela nasib semua bangsa bagi menjamin undi kaum bukan Melayu tetap berpihak kepada BN.

Sementara Muhyiddin sengaja dibiarkan berwatak ultra Melayu bagi memastikan undi Melayu tidak lari dan terus bertompok pada BN.

Baju yang sama juga sedang disarung oleh Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang dilihat cenderung kepada perjuangan para pelajar dalam beberapa isu kontroversi yang melibatkan pelajar. Bukanlah satu perkara yang mustahil apabila watakwatak seperti dimainkan oleh Saifuddin sengaja dicipta Umno dan BN bagi memperlihatkan kepada masyarakat umum dan bakal pengundi khususnya, betapa masih berbaki pemimpin Umno BN yang terus menyanjung ideaidea yang diperjuangkan rakyat.

Sikap Saifudin amat kontra sifatnya dengan Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin. Maka di sini, sewajarnya tidak ada manamana pihak yang terperangkap dengan permainan licik mereka ini.

Dalam kes Saifuddin misalnya, tanpa restu pimpinan tertinggi, dalam parti yang tidak begitu tinggi darjah demokrasinya seperti Umno, sudah lama rasanya beliau akan berhadapan dengan Lembaga Tatatertib jika dilihat seseorang itu berkayuh menongkah arus. Begitu jugalah dengan idea yang berbeza yang cuba ditonjolkan oleh Muhyiddin.

Terbaharu, sekarang ini boleh dilihat di mana-mana sahaja bergayut kain rentang yang meminta warga asing mendaftar dalam satu kempen yang diberikan nama sebagai pemutihan. Hampir pada setiap simpang dan lokasi strategik digayut kain rentang tersebut. Yang berwarna kuning pun ada.

Sekali lagi program yang digerakkan secara besar-besaran ini menuntut semua pihak untuk berfikir. Apakah ada cerita lain yang sedang bersarang dalam fikiran para pemimpin Umno dan BN sewaktu menganjurkan gerakan proses pemutihan yang berskala besar-besaran ini?

Satu persoalan yang memerlukan satu jawapan yang jujur, mengapakah gerakan pemutihan ini dilaksanakan sekarang ketika saat PRU ke- 13 semakin hampir? Lebih menimbulkan tanda tanya, ialah kewujudan perkataan "pendaftaran pemutihan secara biometrik" pada kain rentang tersebut.

Apakah perkataan biometrik yang terpampang pada kain rentang pemutihan itu sama atau mempunyai hubung kait dengan perkataan "biometrik" yang mahu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihanraya akan datang?

Apakah kemunculan perkataan "biometrik" di dua tempat yang berbeza hanyalah satu kebetulan atau memang ada perencanaan baharu yang tidak diketahui umum? Segalanya mungkin ya, dan mungkin tidak.

Segala kemungkinan yang menjadi persoalan itu tidak mustahil benar-benar berlaku dan ceritanya seakan beriringan dengan operasi pemindahan pengundi termasuk pendatang tanpa izin yang berlaku di Selangor sebagaimana didedahkan Harakah satu ketika dahulu.

Najib tanpa segan-silu kelihatan beriya-iya untuk menawan negeri yang mempunyai lubuk kekayaan, iaitu Selangor dengan apa cara sekalipun.

Negeri itu mempunyai segalagalanya yang membuatkan ramai saudagar-saudagar kroni yang sering meleleh air liur setiap kali bermimpi di waktu malam.

Salah satu cara yang mudah ialah dengan mewujudkan satu "perjanjian persefahaman" dengan pihak yang dipertanggungjawab menguruskan hal ehwal pilihan raya.

Semua ini barangkali sudah disimpan dalam poket para pemimpin parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Hal ini perlu diberikan perhatian serius dan ditangani dengan bijak.

Jika tidak sejarah pemerintahan Terengganu selama hanya satu penggal cerah berulang semula di Selangor. Benar Umno dan BN sekarang ini bukanlah berada di posisi yang paling kuat untuk mempertahankan kerusi dan kedudukan mereka.

Namun ini tidak bermakna mereka hanya berpeluk tubuh menyerahkan diri pada ketentuan takdir. Najib sendiri pernah mengungkapkan tekadnya bagi merampas semula Selangor dengan apa cara sekalipun.

Jika di Terengganu mereka tergiur dengan minyak yang melimpah ruah, maka di Selangor gunung emas yang menjulang tinggi sentiasa menyebabkan tidur mereka asyik terjaga.

Usaha perlu dilakukan oleh Pakatan Rakyat bagi mempertahankan Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, dan Kedah pada pilihan raya akan datang.

Benar kata orang mempertahankan kemenangan merupakan satu tugas yang jauh lebih sukar daripada mendapatkannya.

Pakatan Rakyat juga perlu bersiap siaga bagi merampas semula Perak dan Terengganu.

Usaha yang berlipat kali ganda untuk mendapatkan Pahang, Perlis, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah perlu diatur dengan teliti dan penuh bijaksana.

Negeri tentunya berada dalam senarai paling atas berbanding negeri-negeri lain yang kelihatan masih liat tetapi tidak mustahil untuk dilenturkan.

Jika strategi ini berjaya diurus dengan baik, maka tidak mustahil Putrajaya akan berada dalam genggaman Pakatan Rakyat. Mood rakyat sebagaimana yang diterjemahkan pada 9 Julai seharusnya sentiasa dipupuk dan dikekalkan. Ajak lebih ramai orang-orang seperti Sasterawan Negara, A. Samaid Said menyertai gerakan seperti ini. Insyallah, Putrajaya semakin hampir.

Negeri tentunya berada dalam senarai paling atas berbanding negeri-negeri lain yang kelihatan masih liat tetapi tidak mustahil untuk dilenturkan.

Jika strategi ini berjaya diurus dengan baik, maka tidak mustahil Putrajaya akan berada dalam genggaman Pakatan Rakyat. Mood rakyat sebagaimana yang diterjemahkan pada 9 Julai seharusnya sentiasa dipupuk dan dikekalkan. Ajak lebih ramai orang-orang seperti Sasterawan Negara, A. Samaid Said menyertai gerakan seperti ini. Insyallah, Putrajaya semakin hampir.

Arab Saudi raya Rabu?

Posted: 28 Aug 2011 12:00 AM PDT

Ahli falak Arab yakin raya Rabu

BEBERAPA lelaki menunggu giliran untuk membeli juadah bersahur di sebuah gerai di Jeddah, semalam.Mahkamah Agung Riyadh arah lihat anak bulan petang 29 Ramadan

JEDDAH: Mahkamah Agung Arab Saudi meminta umat Islam di negara itu untuk melihat anak bulan Syawal pada petang Isnin yang jatuh pada hari ke-29 Ramadan (29 Ogos) dan melaporkan perkara itu kepada mahkamah terdekat jika sesiapa melihat anak bulan sama ada dengan mata kasar atau bantuan teropong.
Mahkamah mengarahkan mereka yang mahu melihat anak bulan terbabit menyertai jawatankuasa itu di setiap wilayah.

Anak bulan tidak akan dilihat pada malam Isnin, 29 Ramadan, justeru Aidilfitri tidak akan disambut Selasa ini. - Majed Abu Zahra, Pengerusi Persatuan Astronomi Arab Saudi

Tamatnya berpuasa dan Hari Raya Aidilfitri diputuskan dengan melihat anak bulan Syawal.

Bagaimanapun, pakar kaji bintang yang berselisih pendapat berhubung permulaan bulan suci Ramadan berdasarkan pengiraan astronomi, berdebat sekali lagi mengenai permulaan Syawal.

Mereka kini berhujah sama ada Aidilfitri, yang menandakan tamatnya bulan Ramadan, jatuh sama ada Selasa atau Rabu. Kontroversi berhubung permulaan Ramadan juga mencetuskan perdebatan.

Persatuan Astronomi Arab Saudi menjangka Ramadan berlanjutan selama 30 hari tahun ini dan dalam kes itu, ia akan berakhir pada Selasa, 30 Ogos, dengan lebaran jatuh pada Rabu, 31 Ogos. Persatuan itu berkata anak bulan tidak akan dilihat pada malam Isnin, 29 Ramadan, justeru Aidilfitri tidak akan disambut Selasa ini.
Pengerusi persatuan itu, Majed Abu Zahra berkata anak bulan pada Isnin, 29 Ogos, akan kelihatan sebelum matahari terbenam, justeru tiada sesiapa dapat melihatnya.

Beliau menjelaskan pada hari berkenaan, bulan akan bertukar gerhana di semua bahagian pentadbiran kerajaan sebelum matahari terbenam sekurang-kurangnya tiga hingga enam minit justeru menjadikannya mustahil untuk melihat anak bulan terbabit.

Katanya pada malam Selasa, 30 Ogos, bulan dapat dilihat dengan jelas tanpa bantuan teleskop sekali gus memberi petunjuk Aidilfitri akan jatuh pada hari berikutnya, Rabu, 31 Ogos.

Abu Zahra berkata ada dua pilihan yang diambil pihak berkuasa Arab Saudi iaitu pertama menjadikan Selasa, 30 Ogos hari pertama Aidilfitri dengan penduduk berpuasa selama 29 hari menurut kiraan astronomi.

Kedua, menjadikan Rabu, 31 Ogos, hari pertama lebaran ketika bulan dapat dilihat dengan mata kasar pada malam Selasa. – Agensi

Jangan dihalang orang lain yang nak tolong orang

Posted: 27 Aug 2011 11:00 PM PDT

Anwar: Jangan halang kaum lain jika bantu umat Islam

Oleh Yow Hong Chieh
PETALING JAYA, 27 Ogos — Umat Islam tidak harus menghalang kaum lain daripada menghulurkan bantuan kepada Muslim yang miskin kerana menjadi kewajiban kepada semua bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan, kata Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

"Kita tidak harus menghalang mereka... sesiapa sahaja, mana-mana kaum, mana-mana agama daripada menjalankan atau mengambil inisiatif untuk membantu sesiapa," kata beliau kepada pemberita di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Gereja minta agar mereka diberi kebebasan untuk membantu golongan miskin tanpa mengira kaum, di sebalik dakwaan bahawa masyarakat Kristian berusaha untuk menukar agama umat Islam menerusi kerja-kerja kebajikan.- TMI

Tak baik tau Raja Petra tuduh orang camni... kahkahkah...

Posted: 27 Aug 2011 09:00 PM PDT

Gani Patail nafi dakwaan RPK disogok Ho Hup baiki rumah isteri


KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar)menafikan dakwaan Raja Petra Kamarudin bahawa beliau disogok oleh bekas timbalan pengerusi eksekutif Ho Hup Bhd, Datuk Vincent Lye, atas sokonganya dalam pertikaian lembaga pengarah syarikat tersebut.

Dalam tulisan menerusi blognyaMalaysia Today pada 23 Ogos lalu, Raja Petra mendakwa bahawa Lye telah memberi sogokan kepada Gani dan menggunakan dana Ho Hup untuk membayar kerja-kerja pengubahsuaian rumah isteri kedua ketua pendakwa raya itu di Negeri Sembilan.

Dalam respons pertama berhubung dakwaan Raja Petra, Gani memberitahu The Malaysian Insider, beliau tidak pernah menerima sebarang wang daripada syarikat pembinaan tersebut.

"Saya tidak menerima satu sen pun daripada Ho Hup. Saya ada satu peraturan, saya tidak ambil duit," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau memiliki rumah di Seremban, Gani berkata: "Saya tiada rumah di Seremban ataupun di mana-mana di Negeri Sembilan."

"Saya tidak tahu apa nak kata. Semua ini berlaku pada 2009 tetapi kes itu dibawa sejak 2010, jadi tidak masuk akal," kata beliau merujuk kepada kes yang difailkan ke atas Datuk TC Low.

Raja Petra mendakwa Peguam Negara telah menggunakan pengaruhnya bagi pihak Lye untuk mendakwa Low di mahkamah tahun ini berhubung isu pendedahan kepentingannya dalam syarikat tersebut.

Editor Malaysia Today itu juga menyiarkan foto di blognya invois-invois yang dijana daripada komputer, bertarikh 13 Julai 2009, daripada sebuah syarikat di Petaling Jaya kepada Ho Hup berkaitan kerja-kerja pemasangan lampu atas nama "AG's Bangalow at Seremban 2 — Sri Carcosa", satu invois tulisan tangan juga bertarikh 13 Julai kepada Lye untuk kerja-kerja pengubahsaian bagi Sri Carcosa di Seremban 2, baucar daripada Ho Hup bertarikh 12 Ogos bagi kerja-kerja yang telah dijalankan bagi rumah "AG Tan Sri Ghani Patail Bangalow at Seremban 2 — Sri Carcosa" bernilai RM18,000 dan satu cek RM18,000 yang dikeluarkan kepada pihak yang menjalankan kerja-kerja pengubahsaian.

Lye dan Low yang masing-masing mempunyai pegangan 28 dan 26 peratus ketika itu terlibat dalam pertikaian menguasai lembaga pengarah Ho Hup.

Bagaimanapun Lye telah diundi keluar pada mesyuarat tergempar Ho Hup pada Mac ini.

Pada Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah membersihkan Gani daripada tuduhan rasuah berkaitan dengan urusan menunaikan haji tahun lalu.

Amacam, ada berani ka?

Posted: 27 Aug 2011 07:00 PM PDT

Kes Liwat II – Buat Saja Macam Filem Tamil.

Apabila DS Anwar memilih untuk membuat penyataan tanpa perlu bersumpah, maka gegak gempita puak UMPORNO mengatakan DS Anwar penakut. Bahkan Pendakwaraya sendiri berkata betapa teringinnya beliau nak bersoal jawab dengan DS Anwar Ibrahim.

Puak-puak UMPORNO ini sebenarnya tidak pernah mempelajari sejarah dan saya tabik spring kepada DS Anwar Ibrahim kerana mengkaji sejarah. Nelson Mandela terlebih dahulu bertindak seperti DS Anwar semasa perbicaraan dizaman apartheid. Ini bukan kerana Nelson Mandela pengecut tetapi ia menghadapai perbicaraan yang tidak adil. Sama seperti Nelson Mandela, perbicaraan DS Anwar dari awal lagi sudah menampakkan kepincangannya tetapi hakim tetap meneruskan kes ini juga. Nasib baik DS Anwar memilih cara tersebut kerana jika kenyataan secara bersumpah dilakukan, akan timbul kembali ayat popular suatu masa dahulu "NOT RELEVAN".

Kini apabila memasuki fasa DNA, sekali lagi puak UMPORNO mengatakan bahawa kenyataan saksi-saksi pembela yang mempertikaikan tentang kesahihan dan keabsahan DNA tersebut dianggap sebagai masaalah teknikal yang tidak perlu dititik beratkan.

Jadi sebagai seorang manusia yang tidak mempunyai asas pengetahuan undang-undang (dalam erti kata bukan seorang peguam), saya ingin mencadangkan kepada pihak peguambela dan pendakwaraya bagaimana untuk memastikan kebenaran hujah masing-masing.

Caranya mudah……

Ambil sampel DNA dari sesiapa sahaja samada dipihak pendakwaraya atau peguambela. Biarkan ia terdedah selama sepertimana yang berlaku pada sampel yang diambil oleh Jude Parera. Kemudian ambil pakar berkecuali dari luar yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak (pendakwa dan pembela). Kita lihat keputusannya, kenyataan pakar Malaysia ke atau Pakar dari Australia yang boleh dipercayai….

Kan senang……

Idea ni pun aku dapat dari filem tamil yang aku tonton. Aku tak ingat tajuk dia… tapi cara itu boleh membuat pendakwaraya atau penguambela atau hakim sendiri terkedu….

Apa macam berani buat tak???????????????

Depa bukan pemintak sedekah...

Posted: 27 Aug 2011 05:00 PM PDT

Pemohon bantuan pejabat zakat bukan pengemis

Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Minggu lepas saya dan beberapa orang sahabat pergi menemui salah seorang dari 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad baru-baru ini. Dia seorang janda yang mempunyai tiga orang anak.

Usianya masih muda. Latar pendidikannya saya rasa 'amat sederhana'. Saya tidak pergi untuk mempersalahkannya kerana pergi ke gereja dan terjebak dalam usaha kristiansasi.

Saya pergi untuk membolehkan dia merasakan bahawa masih ramai yang ingin mengambil berat tentangnya. Lebih penting lagi, saya pergi untuk mengetahui apakah yang membawa dia sehingga terpaksa meminta simpati dan bantuan hidup dari pihak gereja.

Saya sedih mendengar ceritanya. Menurutnya, dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak dia pergi merintih di pejabat zakat.

Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan. Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik.

Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya.

Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.

Mesra dan sayang

Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan.

Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya.

Mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan 'mesra dan sayang'.

Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya.

Bagaimana mungkin untuk dia merasai kehebatan Islam di saat penganut yang seagama dengannya tidak memperdulikannya. Bahkan enggan membantunya. Bagaimana pula dia dapat melihat kesilapan pihak gereja secara lahiriahnya sedangkan ternyata merekalah menolongnya?

Orang mungkin berfalsafah dan berceramah secara retorik, namun jiwa insani terpengaruhi dengan apa yang dia rasai. Sakit demam anak-anaknya pihak gereja yang mengambil berat.

Makan-minum mereka, pihak gereja yang membiayai. Bahkan keperluan rumah juga diberikan satu persatu.

Menurutnya, dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya. Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu.

Kekal keislaman

Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup. Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja. Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja.

Menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja. Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi.

Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar. Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat.

Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu.

Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi. Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya.

Terkapai-kapai ketika itu. Pihak gereja jugalah yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut.

Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang.

Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan 'tukaran' yang tidak dapat saya maklumkan di sini.

Semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan, dia berada dalam gereja berkenaan bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya.

Walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad, cumanya ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad.

Alhamdulillah dia masih kekal dengan keislamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup. Terus-terang dia sebut 'semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya.

Semasa saya menziarahinya - tanpa notis awal - dia baru sahaja selesai menunaikan solat terawih.

Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit Aids dan juga muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan.

Apa yang hendak dipelikkan, begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan. Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam.

Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai PhD dan sarjana dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam.

Salahkan gereja

Jika kita ingin melepaskan diri, mudah sahaja, kita letakkan kesalahan ini kesemua di pihak gereja. Kita tuduh merekalah punca segalanya. Kemudian kita buat demonstrasi, kita bakar semangat orang awam untuk bangun menentang gereja yang melakukan aktiviti bantuan dan 'dakwah'.

Adapun kita yang tidak membantu dan berdakwah ini, tidak perlulah disalahkan. Begitukah kita? Supaya orang dapat melupakan kesilapan kita, kita letakkan segala dosa ke atas orang lain semata.

Cubalah bayangkan jika ada sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga yang besar dan kaya tiba-tiba salah seorang ahli rumah itu lari ke rumah jiran atas atasan tidak diberikan perhatian dan mendapat perlindungan serta makanan.

Sementara si jiran sebelah pula menghulurkan bantuan dengan pelbagai tawaran. Apakah suatu penyelesaian yang tuntas dengan hanya kita mencadangkan agar dibakar rumah jiran, atau ditangkap si jiran atau dihukum si jiran kerana mempengaruhi ahli keluarga kita.

Dalam masa yang sama kita, kita tidak persoalkan tanggungjawab kekeluargaan yang kita abaikan selama ini.

Saya tidak menafikan usaha-usaha baik pengurusan zakat yang telah pun berjaya dilakukan. Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih satu bilion. Itu setiap tahun.

Cari, bukan tunggu penerima zakat

Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan-iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi. Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja?

Sesetengah pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tetapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwah Islamiah.

Pemohonan menjadi sulit dan sukar. Apatah lagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah. Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat.

Jika program "Bersamamu" boleh menemui si fakir saban minggu, kenapa pula pihak zakat gagal mengesan mereka. Jika usaha mengutip zakat begitu hebat, alangkah baik dihebatkan juga usaha mencari mereka yang layak menerima zakat.

Mencari orang miskin itu penting, bukan menunggu mereka datang. Bukan semua yang miskin sanggup atau dapat datang kepada pihak zakat. Menurut al-Quran, yang miskin tidak meminta itu lebih patut diutamakan.

Firman Allah (maksudnya): "(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak, dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya". (Surah al-Baqarah ayat 273)

Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat. Berilah dengan kasih dan perancangan agar mereka keluar dari daerah kemiskinan.

Kata Saidina 'Umar RA: "Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka."

Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): "Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini." (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-'ilmiyyah).

Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas.

Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam!

Amboi... beraya jauh budak nih...

Posted: 27 Aug 2011 03:30 PM PDT

Lari ikut kekasih beraya di Nepal

Oleh Azahar Hashim
KULIM: "Ketika umat Islam lain bersiap sedia bersama sanak-saudara untuk menyambut Aidilfitri, keluarga kami pula dibelenggu kesedihan mengenangkan nasib anak perempuan yang lari kerana mengikuti teman lelaki warga Nepal ke negara asalnya," kata Siti Fatimah Yassin, 45, dari Taman Kenangan, Sungai Karangan, dekat sini, apabila anak perempuannya, Noorshaheera Mohd Rasul, 21, keluar dari rumah dengan alasan mahu bertemu rakannya pada 22 Ogos lalu.

Bagaimanapun, wanita berkenaan tidak pulang ke rumah sehingga kini menyebabkan timbul kebimbangan di kalangan ahli keluarganya walaupun sudah puas mencarinya.

Siti Fatimah berkata, Noorshaheera keluar dari rumah kira-kira jam 1 tengah hari dengan membawa sebuah beg kecil dan sehelai pakaian kerana mahu berbuka puasa dan bermalam di rumah rakan perempuannya di Sungai Petani.

"Saya membenarkannya kerana dia ingin berbuka puasa dan mengambil kembali wang yang dipinjam rakannya itu, selain berjanji akan pulang semula kira-kira jam 11 malam pada keesokkan harinya bersama rakannya itu.

"Bagaimanapun, Noorshaheera tidak juga muncul pada masa dijanjikan lalu menghubungi rakannya, tetapi dia juga tidak mengetahui ke mana anak kami pergi sepanjang dua hari itu," katanya selepas menerima kunjungan Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Serai, Asmaidi Abu Talib di rumahnya, di sini, semalam.

Siti Fatimah berkata, rakan anaknya itu kemudian memaklumkan Noorshaheera berpesan kepadanya supaya memberitahu ibunya mengenai sekeping nota yang disimpan di dalam laci almari biliknya.

Menurutnya, sebaik membaca nota itu, dia terkejut apabila anaknya meminta maaf kerana mengikut kekasihnya, lelaki warga Nepal berusia 20-an yang dikenali sejak setahun lalu ketika bekerja di sebuah kilang di Sungai Karangan.

"Kami berusaha mencarinya pada keesokkan harinya dan dimaklumkan rakan senegara lelaki itu, mereka merancang kembali ke negara berkenaan menyebabkan kami bergegas pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang.

"Berdasarkan maklumat, anak saya dan lelaki Nepal itu menaiki penerbangan dari Pulau Pinang sebelum transit di Bangkok dan menuju ke Kathmandu pada 23 Ogos lalu," katanya.

Tiada ulasan: