WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM |
- ROH ATAU SEMANGAT REFORMASI AKAN TETAP DIPERTAHANKAN OLEH CHEGU BARD
- ZAID, MASUK SAJA BERTANDING JANGAN LETAK SYARAT
- KEJUTAN DARI TAN SRI KHALID BUAT AZMIN
- PEMILIHAN PKR - JANGAN KERANA YB NURUL IZZAH KITA LANGGAR PERATURAN PARTI
| ROH ATAU SEMANGAT REFORMASI AKAN TETAP DIPERTAHANKAN OLEH CHEGU BARD Posted: 13 Oct 2010 11:00 PM PDT Oleh: WFAUZDIN NS CHEGU BARD akhirnya menetapkan pendirian untuk bertanding merebut jawatan Ketua AMK di dalam pemilihan PKR kali ini. Tahniah diucapkan kepada Chegu Bard kerana akur akhirnya dengan kehendak akar umbi, khususnya dari golongan yang tidak mahu semangat atau roh reformasi disemadikan. Satu aspek yang saya cukup hormati dengan Chegu Bard adalah sepanjang tempoh kempen kali ini, beliau berjaya menjarakkan dirinya dari kontroversi. Tidak seperti YB Azmin dan Dato Zaid, Chegu Bard berjaya menempuhi kempen beliau dengan suasana yang sihat. Namun demikian, dalam politik ini jika kita tidak `mengusik', orang lain pula `mengusik'. Itulah adat berpolitik terutamanya di dalam sebuah parti yang boleh dikatakan masih ramai pemimpin dan ahlinya yang belum suci dirinya dari `berbau Umno'. Lihatlah, YB Azmin mulanya sepi tetapi apabila Dato Zaid `mengusik', maka YB Azmin pun membalasnya. Bahkan, usikan Dato Zaid merata-rata sehingga ke Ketua Umum, Presiden, Timbalan Presiden habis diusiknya. Arahan parti agar memboikot akhbar Utusan pun dipersendakan oleh Dato Zaid. Inilah hebatnya Dato Zaid yang Chegu Bard tidak boleh nak ikut. Ada pendapat yang menyebut Chegu Bard mendapat `sokongan' kuat dari DS Anwar kerana beliau adalah di antara `ahli keluarga' terdekat dengan Ketua Umum PKR itu. Ada juga yang menyebut Sdr Rafizi pun mendapat sokongan dari DS Anwar kerana beliau berada di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor itu. Setakat ini calon Ketua AMK yang popular adalah Chegu Bard dan Sdr Rafizi. Mustahil DS Anwar mahu kedua-duanya serentak menjadi Ketua AMK. Jelas pada kita, banyak yang tidak betul persepsi orang ramai terhadap sokongan DS Anwar kepada calon-calon Ketua AMK ini. Setahu kita, Chegu Bard tidak pernah menggunakan pengaruh DS Anwar sepanjang kerjaya beliau di dalam politik. Lihatlah Chegu Bard sekarang, apa yang ada pada beliau selain dari Ketua Cabang PKR Rembau yang dipilih oleh orang Rembau sendiri. Jika beliau mahu gunakan pengaruh DS Anwar, sudah tentu sekarang Chegu Bard menjadi YB kerana DS Anwar akan letakkan beliau di kawasan yang selamat semasa Pilihanraya Umum yang lalu. Chegu Bard tidak kisah apabila beliau tewas di Parlimen Rembau. Beliau juga tidak mengkhianati parti untuk mengikut bekas bosnya di dalam Gerak iaitu Ezam Sesumpah. Mungkin jika beliau ikut Ezam sesumpah, sekarang ini kita panggil Chegu Bard Senator Badrul Hisham. Tidak mustahil kan? Kita tahu Chegu Bard tidak pernah `usik' sesiapa sepanjang kempen beliau untuk menjadi Ketua AMK. Bahkan, secara terbuka Chegu Bard menyokong sesiapa sahaja yang dipilih oleh ahli-ahli di dalam pemilihan kali ini. Baca di sini. Namun, ada yang tergamak buat fitnah kepada beliau. Baru-baru ini ada cerita tentang Chegu Bard `dapat jutaan' duit dari satu pihak untuk menyokongnya. Kalau begitu kayalah Chegu Bard, tetapi mengapa handphone Chegu Bard pun jenis `cokia' bukan Nokia canggih ? Dengar ceritanya handphone pun ada yang tolong belikan kerana katanya beliau pernah kehilangan handphone `Blackberry' buatan China. Kalau berjuta Chegu Bard dapat, jomlah kita tengok rumah banglo atau kereta mewah Chegu Bard. Kesimpulannya, keputusan Chegu Bard untuk bertanding kerusi Ketua AMK amat dialu-alukan dan mesti kita beri sokongan. Roh atau semangat reformasi tidak akan mati sekiranya Chegu Bard menjadi ketua kepada golongan muda di dalam PKR. Ketokohan dan keberanian beliau tidak perlu diulas lagi, Umno pun tahu siapa Chegu Bard malahan mana pegawai-pegawai Polis yang tidak kenal anak muda Rembau ini? Aktiviti anak-anak muda di dalam berdemontrasi tidak lengkap tanpa kehadiran Chegu Bard. Chegu Bard tidak muncul sewaktu pemilihan ini saja, beliau sentiasa muncul selagi ke tidakadilan masih berlaku di negara ini./wfauzdin.blogspot.com | ||||||
| ZAID, MASUK SAJA BERTANDING JANGAN LETAK SYARAT Posted: 13 Oct 2010 05:00 PM PDT Oleh: WFAUZDIN NS MAKA, `tujuh syarat' mesti ditunaikan oleh PKR sebelum Dato Zaid Ibrahim mahu umumkan samada sedia bertanding atau tidak jawatan di dalam parti. Ertinya, jika parti tidak bersedia untuk `akur' dengan kehendak beliau, maka beliau sudah cukup alasan untuk menyebut mengapa beliau tidak masuk bertanding terutamanya jawatan Timbalan Presiden PKR. Bukan kerana takut kalah, tetapi kununnya parti tidak boleh `berlaku adil' kepadanya. Kalau sudah rasa parti ini tidak betul, mengapa tidak betulkan dari awal? Mengapa ketika pemilihan sedang berjalan? Sebelum ini, ada pihak yang mahu tarikh tutup pencalonan ditunda bagi membolehkan YB Nurul Izzah cukup pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden PKR. Bukan rahsia lagi Dato Zaid Ibrahim amat berharap YB Nurul Izzah bertanding jawatan nombor dua dalam parti dan berdepan dengan YB Azmin Ali dan Sdr Mustafa Kamil Ayub. Katanya, jika YB Nurul bertanding, beliau bersedia untuk menarik diri bertanding jawatan tersebut. Masa itu, tidak timbul `7 syarat' seperti sekarang. Mungkin `syarat' ini timbul kerana melihat kepada keadaan di mana YB Nurul Izzah tidak layak bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR walaupun Dato Zaid sendiri secara terbuka menyokong anak sulung DS Wan Azizah - Anwar ini. Lepas ini, kita lihat samada PKR akan tunduk kepada kehendak mereka itu. Adakah PKR sanggup menunda tarikh tutup pencalonan semata-mata untuk memberi laluan masuk buat YB Nurul Izzah, atau PKR juga sanggup `melutut' dengan Dato Zaid yang meletakkan `7 syarat' itu. Umpama kisah rombongan Sultan Melaka datang meminang `Puteri Gunung Ledang'. Selepas ini pula akan ada syarat supaya tiada sesiapa boleh masuk bertanding kecuali Dato Zaid seorang sahaja. Naik loya tekak apabila melihat satu demi satu karenah Dato Zaid ini. Mulanya bersungguh tidak mahu merebut jawatan dalam parti. Kemudiannya, ingin merebut jawatan Timbalan Presiden PKR sekiranya Tan Sri Khalid tidak bertanding jawatan tersebut. Kemudian lagi, sanggup tidak masuk bertanding sekiranya YB Nurul Izzah bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR. Terbaru, dengan `7 syarat' pula untuk masuk bertanding. Pening orang dibuatnya. Apa pun kita harap PKR tidak melayan sebarang gangguan seperti ini. Jangan benarkan parti di `perbodohkan' oleh orang yang pentingkan diri dan gila kuasa. Mereka ini cuma mahu mencari alasan atau sebab musabab untuk menunjukkan jika mereka tewas, parti ini lah puncanya./wfauzdin.blogspot.com Mereka Mengulas:
| ||||||
| KEJUTAN DARI TAN SRI KHALID BUAT AZMIN Posted: 13 Oct 2010 11:30 AM PDT
Naib presiden PKR Azmin Ali melahirkan rasa "terkejut" berhubung pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang beliau juga meminati jawatan timbalan presiden parti itu yang sedang diintainya. "Berdasarkan maklum balas dari rakan-rakan dan pemimpin lain termasuk kakitangan kanannya, beliau telah memberikan komitmen untuk tidak bertanding kerana fokusnya adalah untuk mentadbir negeri. "Keputusan ini (untuk fokus pada kerajaan Selangor) bukan pilihan saya, tetapi apa yang ditetapkan oleh parti (pada permukiman di Shah Alam)," katanya. Azmin berkata atas "semangat keputusan" yang dibuat di Shah Alam pada Jun lalu, beliau sepatutnya memberi tumpuan kepada parti manakala Khalid pula dipertanggungjawab menjaga pentadbiran Selangor. PKR kemudiannya melantik Azmin sebagai ketua di Selangor bagi menggantikan Khalid dalam usaha merapatkan jurang antara kedua-dua pemimpin berkenaan. Ahad lalu, Khalid mengumumkan beliau berhasrat bertandung untuk jawatan nombor dua parti bagi "mengimbangi pertandingan" yang telah bertukar menjadi "kotor" semasa penamaan calon sepanjang bulan lalu. Walaupun Khalid tidak menamakan seseiapa, namun dipercayai ia ditujukan kepada Azmin dan seorang lagi pencabarnya, Datuk Zaid Ibrahim - bukan menjadi rahsia lagi kedua-dua mereka saling 'menyerang' satu sama lain di media./Malaysiakini | ||||||
| PEMILIHAN PKR - JANGAN KERANA YB NURUL IZZAH KITA LANGGAR PERATURAN PARTI Posted: 13 Oct 2010 03:17 AM PDT Oleh: WFAUZDIN NSSAYA rasa ramai yang tahu bahawa tarikh tutup pencalonan pemilihan pimpinan PKR adalah 10 Okt yang lalu. Justeru itu, mengapa timbul dakwaan mengatakan adanya konspirasi apabila pencalonan YB Nurul Izzah ditolak setelah beliau hanya mendapat 1 pencalonan sahaja selepas tarikh tutup tersebut? Masakan YB Nurul Izzah sendiri tidak tahu syarat-syarat dan peraturan pemilihan parti yang dipimpin oleh ayahanda dan bondanya itu. Adilkah tarikh tersebut ditunda semata-mata kerana mahukan YB Nurul Izzah masuk bertanding? Sekiranya parti ini mendabik dada ingin menunjukkan contoh pemilihan yang adil, maka parti mestilah konsisten dengan peraturannya sendiri. Sampai bila kita ingin menuduh parti punyai konspirasi apabila kita sendiri tidak konsisten dengan peraturan yang kita buat? Terlalu banyak masa diberikan, mengapa bila tiba masa akhir baru kita mahu mencalonkan orang itu dan orang ini. Calon pula suka membuat keputusan bertanding di penghujung tempoh dan ini menyukarkan Cabang-Cabang untuk membuat pencalonan. YB Nurul Izzah sehingga pencalonan ditutup hanya mendapat 1 pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, sedangkan untuk mendapatkan kelayakan mestilah sekurang-kurangnya 2 pencalonan. Oleh itu, wajarlah pihak pemilihan menolak pencalonannnya kerana itu lah undang-undang dan peraturan parti, bukan kerana susuk tubuh YB Nurul Izzah. Seandainya pula tarikh ditunda bagi membolehkan YB Nurul Izzah masuk bertanding, maka akan berbunyi pula suara mengatakan mentang-mentang YB Nurul Izzah anak Presiden dan Ketua Umum PKR, maka beliau boleh melanggar peraturan parti. Mungkin ada yang berkata saya tidak sokong atau bersetuju YB Nurul Izzah bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, sebab itu saya menulis sedemikian. Memang benar, saya tidak setuju beliau bertanding merebut jawatan nombor dua itu, tetapi bukan bererti saya tidak menyokongnya. Saya telah pun menulis sebelum ini tentang mengapa YB Nurul Izzah tidak perlu bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR . Mungkin apa yang berlaku sekarang satu hikmah di mana YB Nurul Izzah tidak layak bertanding kerana mendapat hanya 1 pencalonan. Sebenarnya sayang untuk menyaksikan YB Nurul Izzah tumbang di medan yang sepatutnya beliau berada. Jangan diributkan lagi pemilihan PKR yang sedang berjalan ini dengan tuduhan konspirasi. Terlalu banyak kekecohan kita dengar di dalam pemilihan kali ini, tetapi hampir kesemuanya berpunca daripada aspek teknikal. Itu perkara biasa di dalam parti yang buat pertama kalinya melaksanakan pemilihan secara lebih demokrasi `satu kepala, satu undi'. Mana yang cacat, patut diperbaiki agar pemilihan di masa akan datang lebih baik dan teratur./wfauzdin.blogspot.com |
| You are subscribed to email updates from WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |


Tiada ulasan:
Catat Ulasan