Anak Sungai Derhaka |
- Dubur Saiful tentukan masa depan Malaysia...
- Felda : Ahmad Maslan Dan Najib Ibarat Cacing Kepanasan
- Kes Aminulrasyid : Beliau langgar lampu isyarat
- Nurul Izzah layak Bertanding
- DUN Galas : Antara Suhaimi dan Dzulkifli siapa pilihan PAS
- I smell something stink - Wee Choo Keong
- Saifuddin-JPP tarik tali, nasib Izzah jadi taruhan
- Saiful di liwat lapan kali?
- Wang Judi : Mana duit dan senarai nama warga emas?
- Kaji semula air jika menang - Janji UMNO Kedah
- Datuk Azhar! Minta Maaf.. atau akan disaman..
| Dubur Saiful tentukan masa depan Malaysia... Posted: 14 Oct 2010 06:15 AM PDT Komen seorang pembaca mengenai kes ini.. "Ada hipotesis menyatakan Najib menggunakan Saiful- Rahimi-Rasid dalam skandal Sodomi II sebagai perisai menentang Anwar dari menjadi PM yang baru. Najib dengan pengaruh dan kuasa yang ada akan menggunakan apa sahaja untuk memadamkan rekod buruknya dalam kes pembunuhan wanita monggolia altantuya dan rekod buruk asasi yang lain. Biasanya jika terbit tuduhan dari pendakwaan yang bodoh, perbicaraan yang bodoh...mahukah kita lihat wajah buruk para badut yang memihak kepada kezaliman ini terus beraksi tanpa segan silu hakikatnya mereka sedang membuang pakaian melondeh untuk terus dilihat keburukan dan kebusukan ini kepada rakyat Malaysia dan dunia. Adakah seni pada Najib dan konco-konconya itu adakah "melondeh" dan "membogelkan" diri sendiri itu suatu "seni tampak" yang indah dan menggiurkan naluri sukma? Fikir-fikirkan! " - Sasterawan Sesawang Satu dubur tentukan masa depan Malaysia Oleh Lim Hong Siang Saya tidak menganggap rakyat Malaysia memerlukan drama politik sebegini, sama ada sebagai hiburan untuk meredakan tekanan hidup harian, mahupun sebagai rancangan realiti untuk meningkatkan pengetahuan seks masyarakat umum merentasi sempadan umur.Saya tidak pasti apakah kesudahannya, malah saya lebih mencurigai apakah ia mempunyai kesudahan. Saya tidak tahu sama ada benar atau mampu Anwar Ibrahim melakukannya, saya juga tidak berminat sama ada Saiful Bukhari Azlan mencuci duburnya, bahkan saya tidak pasti versi akuan bersumpah (SD) Rahimi Osman manakah yang ditandatanganinya tanpa paksaan. Apa yang pasti, dubur Saiful Bukhari Azlan akan terus dijadikan tumpuan satu Malaysia, malah satu dunia. Ruang dada akhbar akan sarat dengan berita pendedahan demi pendedahan untuk menghakis dan menggoyah keyakinan rakyat terhadap Anwar Ibrahim; bekas rakan seperjuangannya akan tampil seorang demi seorang untuk membongkar "wajah sebenar" Anwar, dan ruang rencana akan menyiarkan artikel demi artikel untuk mengupas, menganalisa, malah meramalkan masa depan Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat (PR) - yang sudah tentu akan hancur dan ranap dalam masa terdekat, kononnya. Jelas, ini kes politik Saya menghormati proses perbicaraan mahkamah yang sedang berlangsung, malah untuk mendukung prinsip keadilan saya terpaksa menghormati juga mereka yang berhempas-pulas menegakkan keadilan, kononnya, untuk Saiful Bukhari Azlan. Namun demikian, segala-gala ini gagal mengubah hakikat bahawa Kes Sodomi II ini merupakan kes politik. Dari segi undang-undang, Anwar Ibrahim didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan - kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabii yang melibatkan dua pihak secara sukarela. Dengan kata lain, Saiful Bukhari Azlan perlu tampil sebagai tertuduh bersama Anwar, dan bukannya pengadu yang memberi keterangan - seandainya mengikut Seksyen 377B. Namun demikian, Saiful mendakwa dirinya diliwat tanpa kerelaan sejak awal lagi. Jadi, Anwar seharusnya didakwa di bawah Seksyen 377C, iaitu hubungan seks di luar tabii secara paksaan - barulah Saiful boleh tampil ke mahkamah sebagai "pengadu". Apa yang berlaku kini memperlihatkan kontradiksi yang ketara antara pertuduhan dengan keterangan pengadu. Justeru itu, sukar untuk kerajaan Najib Abdul Razak meyakinkan rakyat bahawa sistem kehakiman profesional dan bebas ketika membicarakan Kes Sodomi II ini. Malah, tidak mungkin ia sekadar "kes jenayah" biasa, seandainya dilihat kepada pendekatan lidah UMNO, Utusan Malaysia membuat liputan berita ini. Liputan luas diberikan kepada kandungan soal-jawab dalam perbicaraan mahkamah. Malah, perbincangan isu ini dilanjutkan dengan wawancara bersama bekas pemimpin PKR, yang menyindir agar "Anwar tidak perlu takut", sambil mempertikaikan "Kenapa mahu tangguh perbicaraan kalau tidak bersalah?" Kemudian bekas orang kanan tampil memohon maaf, "Kerana membela Anwar Ibrahim dalam kes liwat pertamanya". Sumpah-seranahnya bagaikan ludah ke langit, dan jatuh bagaikan hujan kebetulan ketika menjelang pilihan raya kecil... Buktikan liwat tanpa tusukan? Saya tidak nampak bahawa ulasan, kupasan, atau analisa yang terpampang di depan mata ketika kita menyelak akhbar ini memberi makna. Laporan pemeriksaan doktor telah menyatakan bahawa tiada kesan tusukan ditemui, namun perbicaraan tetap berjalan. Jadi, segala-gala ini seolah-olah cubaan untuk membuktikan kepada satu Malaysia, malah seluruh umat manusia di dunia ini bahawa air mani Anwar boleh sampai ke dalam dubur Saiful tanpa tusukan. Persoalannya, jikapun dibuktikan keajaiban ini berlaku di tanahair yang tercinta ini, apakah kehebatan ini bakal mengundang pelabur asing untuk menyuntik dana ke Malaysia? Padahal, belumpun paip ekzos Saiful terbocor, seramai 304,358 orang bakat buatan Malaysia telah mengalir ke luar negeri, antara Mac 2008 hingga Ogos 2009, apatah lagi kemerosotan 81% dalam pelaburan asing langsung di Malaysia, dari US$7.32 bilion (RM23.47 bilion) pada tahun 2008, kepada US$1.38 bilion (RM4.43 bilion) pada tahun 2009? Apakah makna yang tersirat di sebalik segala-gala ini? Ertinya, sementara kerajaan Malaysia bertungkus-lumus dalam usahanya untuk "menghilangkan keyakinan" rakyat terhadap Anwar Ibrahim, rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung akibatnya - kehilangan keyakinan daripada pelabur asing dan anak watan yang berbakat. Jelas, Anwar Ibrahim (gambar kiri) diletakkan pada kedudukan sedemikian bukan kerana beliau Ketua Umum PKR, atau kedudukannya sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat. Bahkan, adalah kurang tepat jikalau beliau sekadar Ketua Pembangkang dalam parlimen. Kita tidak perlu menjadi Profesor Sains Politik untuk memahami hakikat Anwar Ibrahim berpotensi menjadi Perdana Menteri, dan kita tidak perlu membaca Sun Tze untuk memahami percaturan politik yang berlangsung di depan mata. Teorinya mudah - musnahnya Anwar, maka terselamatlah Barisan Nasional. Politik menabur dendam Untuk tidak dilihat naif dalam politik, saya menerima babak ini sebagai sebahagian daripada pergelutan kuasa antara pemerintah dengan pembangkang, atau dalam realitinya, antara Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat. Dalam konteks Malaysia, serangan politik yang menyentuh keperibadian kadang-kala tidak dapat dielakkan, meskipun pendekatan ini amat dipertikaikan. Kita masih jauh dari persaingan politik yang sihat - perdebatan politik yang diangkat martabatnya untuk membicarakan soal struktur dan sistem. Berbalik kepada persoalan, apakah keperluannya untuk mengaibkan musuh politik dan keluarganya dengan cara sebegitu rupa? Untuk ramai warga Malaysia yang prihatin terhadap politik, babak perebutan kuasa yang paling dahsyat dalam sejarah Malaysia melabuh tirai pada 2 September 2004 - apabila Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara. Ianya bukan soal sama ada benar Anwar Ibrahim terlibat dalam kelakuan sodomi, tetapi pengaiban dan penghinaan secara terbuka yang melampaui batas. Pengaiban secara terbuka terhadap Anwar dan keluarganya telah menyemai benih dendam di kalangan penyokongnya. Ia amat berbeza dengan persaingan politik "siapa lebih Islam atau siapa lebih Melayu", antara UMNO dengan PAS, atau Semangat 46 pada zaman 1990-an. Penghinaan secara terbuka untuk mengaibkan seorang isteri bernama Wan Azizah Ismail, tanpa mempertimbangkan perasaan anak-anaknya - dengan aksi-aksi lucah, gambar-gambar yang diubahsuai, kata-kata yang kasar lagi kesat seperti "kaki buntut" dan sebagainya ketika berkempen, terlalu biadap namanya. Usaha Abdullah Ahmad Badawi untuk membubuh noktah kepada babak politik yang menabur dendam ini disia-siakan begitu sahaja apabila UMNO-BN semakin terdesak di ambang hilang kuasa. Kita tidak lupa bagaimana doktor Hospital Pusrawi, Mohamed Osman Abdul Hamid membuat akuan bersumpah untuk mempertahankan laporannya (berbunyi Saiful tidak diliwat) selepas memeriksa dubur Saiful, dan kemudian menghilangkan diri kerana tidak tahan dengan gangguan dan tekanan daripada pihak berkuasa. Dan drama ini dipentaskan semula, selepas satu dekad. Anak-cucu yang melanggan Utusan Malaysia atau Berita Harian kerana sisipan DIDIK, SKOR dan sebagainya, pada masa yang sama ditayangkan adegan bagaimana kelakuan liwat boleh berlaku - dalam bentuk bertulis... Satu generasi membesar dalam suasana media yang sarat dengan istilah "liwat", "sodomi" - imaginasi masyarakat awam digarap dengan tilam yang naik turun di mahkamah pada akhir tahun 1990-an; kini kita pula menyaksikan satu generasi lagi yang membesar dalam suasana media yang tidak banyak berbeza, mungkin cuma tilam digantikan dengan KY jelly untuk mencungkil imaginasi... Bebas dari politik dubur Untuk hampir dua dekad sejak tahun 1981, satu Malaysia berfikir menggunakan otak Mahathir. Atau dengan kata lain, otak Mahathir yang menentukan Malaysia dalam jangka kira-kira dua puluh tahun ini. Dan ia hanya berubah mulai tahun 1998, apabila seluruh warga Malaysia diajak untuk berfikir menggunakan dubur. Bukankah Sasterawan Negara tahun 1982, Shahnon Ahmad memberi gambaran yang paling tepat, melalui bukunya yang berjudul Shit @ PukiMak @ PM, apabila menyifatkan ahli politik yang rasuah, menyalahgunakan kuasa bagaikan najis yang saling menghimpit dalam usus besar? Dan bukankah inilah senario yang sedang berulang dan berlaku, apabila politikus saling membaling najis, untuk membusukkan dan dibusukkan? Dan kita wajib tanya, sampai bilakah rakyat Malaysia perlu bergelut dalam najis, sebelum terkeluar dari politik dubur yang busuk lagi membusukkan? Sebagai warga Malaysia muda yang mendahagakan perubahan, saya sedia akur seandainya kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) tumbang kerana gagal mengota janjinya terhadap rakyat; bahkan saya sedia tunduk kepada realiti, jikalau terbukti PR kurang mantap dan belum bersedia untuk mengambil-alih kuasa pentadbiran daripada BN. Malah, saya sedia akur jikalau PR terlepas peluang kerana gagal meyakinkan kaum Melayu yang termakan dengan propaganda UMNO-BN; saya sudi menunggu, sama ada satu penggal, satu dekad mahupun berdekad-dekad lagi untuk pertukaran kuasa kerajaan persekutuan, jikalau kita gagal melakukannya pada detik saat PRU ke-13 yang akan datang. Namun demikian, saya tidak rela sama sekali jikalau perubahan digagalkan hanya dengan satu dubur milikan Saiful Bukhari Azlan. Saya tidak rela sama sekali untuk melihat bagaimana penceramah politik berbuih-buih meyakinkan pakcik-makcik FELDA bahawa Saiful boleh diliwat tanpa dubur terkoyak. Saya tidak sampai hati melihat seorang wanita bernama Wan Azizah Ismail diperlakukan untuk tampil mempertahankan suaminya di depan khalayak ramai. Saya tidak sampai hati melihat anak-anak Anwar diperlakukan untuk hadir di mahkamah dan dibacakan tuduhan bagaimana ayahnya memasukkan zakar ke dalam dubur bekas pembantunya. Sememangnya, politik adalah permainan jatuh-menjatuhkan politikus dari jawatan dan kedudukannya, tetapi bukan untuk memijak maruah musuh politik sebagai seorang manusia. Betapa terdesak sekalipun, garis ini haram dilangkaui - bukan sahaja sebagai kayu ukur demokrasi (bagaimana musuh politik dilayan), tetapi juga sebagai benteng ketamadunan. Dan yang paling penting, sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia membebaskan diri daripada politik dubur. Rakyat Malaysia harus membebaskan diri - untuk berfikir menggunakan otak sendiri, dan bukannya otak Mahathir Mohamad mahupun dubur Saiful Bukhari Azlan. Malaysia wajib keluar dari dubur Saiful Bukhari Azlan. Saya doakan agar ia masih belum terlewat, sebelum satu Malaysia terhumban ke dalam jamban dan dijirus arus globalisasi. MerdekaReview |
| Felda : Ahmad Maslan Dan Najib Ibarat Cacing Kepanasan Posted: 14 Oct 2010 05:30 AM PDT Oleh Mohamed Hanipa Maidin Apabila keputusan Mahkamah memihak kepada para peneroka Felda Kemahang, pihak yang bertanggungjawab menjaga Felda menyatakan bahawa sebenarnya kekalahan itu kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Kini apabila keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan memihak kepada peneroka Sungai Koyan, Ahmad Maslan dan Najib bertungkus lumus menyatakan bahawa sebenarnya Felda tidak kalah.Najib dan Ahmad Maslan masih lagi di dalam "denial syndrome" (sindrom penafian) - tidak dapat menerima dua keputusan Mahkamah yang menyebelahi peneroka dan tidak menyebelahi Felda. Maka bagi menegakkan benang basah kedua-dua pemimpin ini nampak sangat terkial-kial cuba menyelamatkan imej Felda yang terguris teruk di sini sana. Hakikatnya semakin mereka cuba mempertahankan Felda semakin jelas mereka tercungap-cungap ! Kita lihat dulu kes Felda Kemahang. Felda menyatakan bahawa institusi tersebut kalah kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Secara tersirat Felda ingin menyatakan bahawa peneroka menang kes tersebut bukan kerana kes mereka kuat. Persoalannya benarkah Felda kalah hanya kerana semata-mata peguam Felda tidak hadir di Mahkamah ? Memang mudah untuk menipu rakyat dengan berselindung di sebalik hujah ini. Namun Najib dan Ahmad Maslan kena ingat pepatah Amerika yang menyatakan " kita boleh berbohong seseorang dalam sesuatu masa, tetapi kita tidak boleh bohong semua orang dalam semua masa". Ya, benar antara sebab Felda kalah dengan peneroka Kemahang kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Tetapi itu hanya sebahagian dari kebenaran. Kebenaran lain yang disorok oleh Najib dan Ahmad Maslan adalah meskipun peguam Felda tidak hadir, Hakim yang mendengar perbicaraan tersebut tidak memberikan kemenangan mudah kepada peneroka Felda Kemahang. Dalam bahasa undang-undang hakim tersebut tidak memasukkan penghakiman ingkar ( judgment in default ) ke atas Felda hanya kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Untuk makluman para pembaca penghakiman ingkar adalah penghakiman yang direkodkan oleh Mahkamah jika salah satu pihak tidak hadir di Mahkamah dan penghakiman tersebut dibuat tanpa Hakim mendengar keterangan dari pihak-pihak atau saksi-saksi mereka. Dalam kes Felda Kemahang meskipun Felda dan peguam mereka tidak hadir di Mahkamah , Hakim Dato' Azman Hussin masih mahu mendengar keterangan saksi-saksi peneroka sebelum membuat keputusan. Hanya setelah Hakim mendengar keterangan barulah hakim berpuashati bahawa terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa unsur penipuan dalam kes tersebut dan sekaligus Hakim memerintahkan Felda membayar peneroka-penerokan yang menyaman itu gantirugi RM 11 juta. Berdasarkan hal tersebut adalah TIDAK BENAR untuk Najib dan Ahmad Maslan menyatakan Felda kalah hanya kerana peguam Felda tidak hadir. Hakikatnya meskipun peguam Felda tidak hadir kes tersebut masih boleh menyebelahi Felda jika Hakim , setelah mendengar saksi pihak peneroka, merasakan peneroka telah gagal membuktikan kes mereka. Kita lihat pula isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan di dalam kes para peneroka Sungai Koyan 2 dan 3. Ahmad Maslan berkata, laporan akhbar Harakah yang berjudul "Felda Kalah Lagi" mengelirukan dan tidak tepat. "Kalau Felda kalah, sudah tentu rayuan akan dibuat sebaliknya keputusan mahkamah itu dengan jelas menyatakan peneroka hanya berhak dapat tuntutan mereka jika patuh kepada prosedur Felda. Jadi, tindakan saman itu hanya merugikan mereka kerana terpaksa membayar khidmat peguam. Kalau mereka tak saman pun, kita tetap bayar," katanya pada sidang akhbar pada 7/10/2010. Malah, menurut Ahmad, tiga daripada sembilan peneroka itu telah mula menerima bayaran semula daripada Felda kerana mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Ahmad Maslan cuba bermain dengan logik. Logik beliau kalau Felda kalah sudah tentu Felda akan merayu. Oleh kerana Felda tidak merayu maka mengikut logik Ahmad Maslan Felda tidak kalah. Baiklah jika itu logik Ahmad Maslan kita juga boleh menjawab dengan logik berikut. Jika Felda tidak kalah maka sudah tentu peneroka yang kalah .Dalam Mahkamah tidak ada keputusan seri. Jika peneroka kalah sudah tentu saman yang dikemukakan oleh peneroka akan ditolak oleh Mahkamah. Dan jika peneroka yang kalah sudah tentu peneroka yang kena buat rayuan. Persoalannya bagaimana peneroka hendak dikatakan kalah jika apa yang mereka minta dibenarkan oleh Mahkamah meskipun tidak keseluruhan. Mereka meminta Mahkamah membuat perintah perisytiharan bahawa mereka dibenarkan tanam secara sendiri dan Mahkamh membenarkan perintah itu. Mereka juga meminta Mahkamah mengisytiharkan bahawa mereka layak diberi RM 1700 seeekar dan Mahkamah juga benarkan perintah tersebut. Hanya kerana Mahkamah menambah bahawa bagi tujuan bayaran RM 1700 seekar perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan tidak boleh ditafsirkan Felda menang dan peneroka kalah. Sepertimana kes Felda Kemahang, Ahmad Maslan sekali lagi tidak mendedahkan kebenaran yang sebenar. Beliau menyatakan kalau tidak saman pun kita ( felda ) tetap akan bayar. Ini satu pembohongan yang amat terang dan nyata. Kalau Felda akan bayar apa yang diminta oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 mengapakah peneroka tersebut perlu bersusah payah pergi ke Mahkamah untuk mendapatkan hak mereka ? Kalau betul Felda akan bayar mengapakah Felda bertungkus lumus lawan para peneroka habis-habisan di Mahkamah ? Saksi Felda sendiri apabila disoal oleh saya bersetuju bahawa para peneroka perlu pergi ke Mahkamah kerana ingin mendapatkan keadilan. Lihat soal jawab berikut :- Soalan (S): Sekarang ni bila Felda uruskan tanam semula, Felda guna duit dalam tabung,sebahagian duit itu sebahagian duit Plaintif,betul? Jawapan (J) : Betul S: Maknanya Felda diberi izin berdasarkan perjanjian ini untuk guna wang tabung tanam semula,duit itu yang sebahagiannya ada duit Plaintif.tapi bila peneroka nak tanam sendiri macam-macam syarat dikenakan.wajar tak wajar? J: Wajar. S: Kalaulah saya katakan Peneroka yang tanam melalui Felda mereka boleh guna RM 1,700,sepatutya hak yang sama diberikan kepada Plaintif,betul? J: Betul S: Tiba-tiba 2002 tak dapat langsung. Adil ke tak? J : Tak adil. S: Kalau tak adil tu la pergi mahkamah. Tu la mereka pergi mahkamah untuk dapat keadilan. Betul? J: Betul Ahmad Maslan menyatakan tiga daripada sembilan peneroka itu telah mula menerima bayaran semula daripada Felda kerana mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Sekali lagi bercakap bohong jadi hobi Ahmad Maslan. Mengapakah Ahmad Maslan enggan menyatakan kebenaran bahawa semasa saksi Felda memberikan keterangan saksi Felda tanpa berselindung menyatakan bahawa ketiga-tiga peneroka itu hanya layak menerima RM 11,000 lebih sahaja setiap orang sedangkan berdasarkan garis panduan Felda sendiri mereka layak menerima RM 1700 seekar ( RM 1700 x 14 ekar = RM 23, 800-00 ). Jika 3 peneroka ini tidak saman Felda di Mahkamah apakah jaminan Felda setuju bayar mereka jumlah penuh sebanyak RM 23, 800-00 ? Apabila Mahkamah memutuskan mereka layak dibayar RM 1700 seekar tindakan Felda hanya bayar RM 11,000 lebih sahaja kepada 3 peneroka tersebut adalah jelas tidak betul. Akhir sekali Ahmad Maslan menyatakan saman itu hanya merugikan para peneroka kerana mereka terpaksa membayar khidmat peguam. Mengapakah Ahmad Maslan tidak pula menyatakan bahawa tindakan Felda menggunakan peguam dan membayar kos peguam Felda yang tinggi juga membuang duit Felda sahaja hanya semata-mata Felda mahu tegakkan benang basah dan ingin menafikan hak peneroka. Oh mungkin bagi Ahmad Maslan tidak salah Felda membazir duit bayar yuran peguam Felda sebab duit Felda itu hakikatnya datang dari hasil penat lelah peneroka juga ! Bukankah lebih baik Felda bayar peneroka wang tanam semula dari bayar wang kepada peguam Felda bagi membela Felda untuk tidak mahu bayar wang tanam semula kepada peneroka. www.peguampas.blogspot.com |
| Kes Aminulrasyid : Beliau langgar lampu isyarat Posted: 14 Oct 2010 03:47 AM PDT Kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid Amzah, 15, yang ditembak mati oleh polis, tidak berhenti di lampu isyarat Bulatan Kayangan, Shah Alam ketika dikejar oleh kereta peronda polis.Bagaimanapun, Lans Koperal Shamsul Ismail yang memandu kereta peronda yang turut mengejar kereta mangsa, tidak dapat mengesahkan sama ada ia lampu merah ketika itu serta tidak dapat menganggarkan kelajuan kereta. Shamsul turut mengejar kereta mangsa selepas mendapat panggilan radio dari sebuah daripada dua kereta peronda, yang meminta bantuan ketika mengejar kereta Iswara yang menghala ke arah bulatan dari Hotel Concorde. Ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, Shamsul berkata dia tidak melihat atau mendengar bunyi tembakan kerana dia tidak masuk ke Jalan Makyong 11/2 bersama kereta lain selepas kereta Iswara itu memecut meninggalkan bulatan tersebut dan kerana siren keretannya tenggelam dengan bunyi hingar yang lain. Menurutnya, dia berjaga di luar Jalan Makyong 11/2 sekiranya kereta Iswara itu berpatah balik ke jalan utama. Shamsul berkata, dia turun dari keretanya dan mendekati (tertuduh Jenain Subi) ketika dia berpusing masuk ke Jalan Tarian. Katanya dia juga ternampak empat anggota polis dan sebuah kereta yang merempuh tembok dan bertanya kepada Jenain sama ada dia telah melaporkan kejadian itu kepada bilik kawalan. Jenain menjawab sudah, dan dia (Shamsul) kembali semula ke keretanya. Dalam keterangannya, Shamsul tidak ingat sama ada dia ada ternampak "budak kecil" atau orang awam lain di tempat kejadian, sama ada di luar atau di dalam kereta Iswara Rakan Aminulrasyid Azamuddin Omar, 15, yang juga berada di dalam kereta itu, mendakwa dia dipukul oleh anggota polis tetapi sempat melarikan diri setelah kereta itu merempuh tembok. Jenain Subi menghadapi tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyied tanpa niat membunuh di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, antara jam 1.10 pagi dan 2 Pagi 26 April lalu. Malaysiakini |
| Posted: 14 Oct 2010 01:53 AM PDT Oleh Syed Mu'az Syed Putra Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengesahkan perkembangan itu ekoran keputusan Biro Politik parti malam tadi bersetuju menerima laporan pencalonan yang lewat diterima daripada cabang Semporna, Sabah. "Dalam mesyuarat Biro Politik parti malam tadi, kita menetapkan untuk menerima pencalonan daripada enam cabang parti yang menghantar senarai pencalonan Majlis Pimpinan Pusat selepas 10 Oktober. "Cabang tersebut termasuk Semporna, Setiawangsa, Titiwangsa, Selangau, Segambut dan Beluran. Dari enam cabang tersebut, Semporna mencalonkan Nurul Izzah untuk bertanding jawatan timbalan presiden. "Dengan ini Nurul Izzah telah menerima dua pencalonan minimum untuk jawatan timbalan presiden. Jadi beliau layak untuk bertanding," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR tengah hari tadi. Nurul Izzah sebelum ini menerima pencalonan bagi jawatan timbalan presiden dari cabang Keningau. Nurul Izzah sebelum ini dilihat hanya boleh bertanding jawatan naib presiden sebab beliau tidak melepasi kelayakan minimum dua pencalonan yang disyaratkan untuk bersaing kerusi nombor dua parti. Di bawah sistem pemilihan langsung sekitar 400,000 ahlinya akan mengambil bahagian dalam proses pemilihan mulai 29 Oktober ini selama tiga minggu atau sembilan hari secara berperingkat-peringkat. "Sekarang ini terpulang kepada Nurul Izzah sama ada mahu bertanding atau tidak. "Jika mahu bertanding beliau kena datang pada hari penerimaan pencalonan pada 16 Oktober (lusa)," kata Saifuddin lagi. Sebelum ini pihak pengurusan PKR menetapkan tarikh 10 Oktober sebagai tarikh akhir untuk cabang menyerahkan senarai pemilihan peringkat pusat. Tarikh tersebut telah menimbulkan kekeliruan kerana banyak cabang parti itu tidak mengetahui tentang tarikh tersebut. "Daripada 204 cabang, 193 telah bermesyuarat dan 162 telah mematuhi tarikh akhir tersebut. "Manakala enam cabang menghantarnya selepas 10 Oktober, jadi kita menerima senarai pemilihan yang cabang-cabang tersebut hantar," tambah Saifuddin lagi. Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang itu berkata calon yang layak untuk bertanding di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu menyerahkan borang pencalonan pada 16 Oktober ini. "Hari penerimaan pencalonan ditetapkan pada 16 Oktober dan semua calon yang layak sama ada MPP, Wanita dan AMK perlu serahkan borang pencalonan tarikh yang ditetapkan. "Bagi calon yang layak kita telah menyerahkan borang pencalonan kepada mereka, pada 16 Oktober ini mereka perlu datang ke ibupejabat PKR beserta wang tunai RM100. "Kita telah tetapkan borang pencalonan ini boleh dihantar bermula 10 pagi hingga 6 petang," katanya. Beliau berkata sekiranya calon tidak dapat hadir, borang tersebut boleh dihantar melalui wakil masing-masing. "Kalau calon tidak dapat hadir, mereka boleh serahkan borang pencalonan itu kepada wakil mereka. "Setakat hari ini kita sudah terima 252 pencalonan bagi MPP, 100 Wanita dan 183 AMK," katanya. Tambahnya, daripada 59 cabang yang menghantar aduan dan bantahan, sebanyak 27 cabang telah diselesaikan. Saifuddin Nasution Ismail menunjukkan contoh borang penerimaan pencalonan pada sidang media tengah hari tadi. The Malaysian Insider |
| DUN Galas : Antara Suhaimi dan Dzulkifli siapa pilihan PAS Posted: 14 Oct 2010 12:07 AM PDT Oleh G Manimaran dan Syed Mu'az Syed Putra KUALA LUMPUR, 14 Okt — PAS dipercayai telah membuat keputusan akhir berkenaan bakal calon untuk diturunkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas hujung bulan ini dengan tumpuan memfokus sama ada Suhaimi Mat Deris atau Dr Zulkifli Mohamad.Difahamkan kedua-dua nama itu menjadi pilihan terakhir, tetapi Dr Zulkifli yang pernah mencabar Tengku Razaleigh Hamzah di kerusi Parlimen Gua Musang dua tahun lalu kemungkinan besar akan diletakkan sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat kali ini. Dr Zulkifli merupakan seorang doktor perubatan dan memperoleh undi majoriti dari kawasan DUN Galas berbanding Tengku Razaleigh pada 8 Mac lalu. Tengku Razaleigh mengatasi Dr Zulkifli di dua lagi kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Gua Musang, sekali gus membawa kemenangan kepadanya. The Malaysian Insider difahamkan mereka merupakan antara lima nama yang disenaraipendekkan dan menjadi fokus perbincangan malam tadi. Suhaimi pula merupakan pegawai halaqah berusia awal 40-an, dikatakan membawa perwatakan hampir sama seperti penyandang Che Hashim Sulaima yang meninggal dunia 27 September lalu. Pakatan Rakyat menerusi PAS pertama kali memenangi kerusi itu pada Mac 2008. PAS akan mengumumkan calon mereka secara rasmi pada 22 Oktober ini, kata Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. "Malam tadi, kami mengadakan mesyuarat harian PAS. Nama-nama calon kami teliti selepas Majlis Syura telah memberikan keputusan berhubung kelayakan calon," kata beliau ketika dihubungi. Bagaimanapun beliau enggan menyebut nama yang telah dipilih untuk mewakili Pakatan Rakyat di DUN Galas kali ini. "Saya tidak boleh memberitahu, tungguhlah," kata beliau ketika ditanya sama ada kemungkinan bakal calon itu lelaki dan kalangan Orang Asli. "Apa yang boleh saya katakan, dia seorang penduduk tempatan sebagaimana kita mahukan dan disenangi pengundi tempatan, dan jika terpilih menjadi wakil rakyat, kami pasti penduduk tempatan akan gembira memiliki seorang ADUN terbaik bagi mereka," katanya. "Calon ini akan memenuhi keperluan penduduk tempatan," katanya lagi. Pesuruhjaya PAS Pahang ini berkata nama calon akan diumumkan oleh Murysidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan pada 22 Oktober. Che Hashim merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi. Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar memberitahu, "kita akan semak semula kesemua nama tersebut dan akan turun ke padang untuk menemui pengundi mengenai calon yang bakal kita pilih." "Keputusan hanya akan diumumkan pada 22 Oktober ini dan Mursyidul Am PAS," katanya. Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata kesemua nama yang dikemukakan adalah kalangan penduduk tempatan Gua Musang. "Semuanya adalah penduduk tempatan, sama ada Melayu atau Orang Asli kita tunggu sahaja 22 Oktober nanti," katanya. The Malaysian Insider |
| I smell something stink - Wee Choo Keong Posted: 13 Oct 2010 11:55 PM PDT Oleh Rahmah Ghazali KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya Rahimi Osman kelihatan resah apabila Rahimi membuat akuan bersumpah dalam dakwaan sodomi, kata Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong.Beliau bagaimanapun, enggan menafi atau mengesahkan dakwaan bahawa Rahimi dikurung oleh para peguam Anwar di sebuah hotel di Shah Alam dan memaksa Rahimi menandatangani akuan bersumpah itu. Menurut Wee, peranannya hanya sebagai Pesuruhjaya Sumpah yang menjadi saksi tandatangan akuan bersumpah oleh Rahimi pada 29 Jun, 2008. Bagaimanapun bekas ahli parlimen PKR itu mengingat kembali bahawa Rahimi kelihatan tidak senang duduk dan diiringi dengan beberapa teman ke bilik hotel itu. Beliau kelihatan resah, dan begitu juga Anwar apabila akuan bersumpah itu dibuat. Itulah pertama kali saya bertemu Rahimi," katanya kepada para pemberita di lobi Parlimen semalam. Akuan bersumpah pertama "hilang" Wee berkata, beliau kemudian membaca di akhbar bahawa akuan bersumpah yang pertama "hilang" dan beliau percaya beberapa pemimpin PKR tidak senang kerana ia tidak melibatkan beberapa individu. Ini berlaku walaupun peguam Latheefa Koya mendedahkan bahawa akuan bersumpah yang pertama hilang selepas "ada orang memecah cermin keretanya dan mencuri dokumen-dokumennya." Akuan bersumpah pertama hanya menyentuh kebimbangan Rahimi tentang keselamatannya kerana beliau rapat dengan pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam kes sodomi. Memandangkan hal ini, beliau tidak mahu terlibat dengan akuan bersumpah yang kedua yang mengaitkan Najib Tun Razak, timbalan perdana menteri pada ketika itu dan isterinya Rosmah Mansor Akuan bersumpah kedua dakwa Wee disediakan oleh peguam Anwar, Saiful Izham Ramli, timbul beberapa hari selepas akuan bersumpah pertama "hilang". "Saya tidak mahu terlibat (dalam akuan bersumpah kedua) kerana saya mencium sesuatu yang busuk….." katanya. Free Malaysia Today |
| Saifuddin-JPP tarik tali, nasib Izzah jadi taruhan Posted: 13 Oct 2010 11:51 PM PDT Oleh Fazy Sahir PETALING JAYA: Status kelayakan bertanding ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar untuk jawatan timbalan presiden PKR masih menjadi persoalan hangat sehingga berlaku percanggahan pendapat berhubung hal itu.Semuanya gara-gara tarikh 10 Oktober yang dimaklumkan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail bahawa setiap cabang yang selesai bermesyuarat perlu menyerahkan borang pencalonan akhir masing-masing. Tarikh itu juga menimbulkan persoalan dan kekeliruan sehingga menerima pelbagai reaksi berbeza daripada beberapa cabang, pimpinan mahupun pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Molly Cheah. Molly ketika dihubungi FMT berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai tarikh itu, namun memberi interpretasi setiap cabang harus menghantar borang akhir pencalonan akhir kepada JPP tiga hari selepas mesyuarat selesai. Kelewatan menghantar borang tersebut disifatkan Molly sebagai kelemahan tindakan setiausaha dan cabang yang terbabit. "Mengikut peraturan yang saya fahami mesyuarat cabang sah untuk sebarang pencalonan apabila cukup korum. Mesyuarat pula ada satu agenda pencalonan untuk majlis pimpinan pusat. Jika lewat hantar itu kelemahan setiusaha dan cabang itu sendiri." "Bagi saya jika mesyuarat cabang sah tapi berlaku kelewatan kepada kami maka kami akan terima sehingga tarikh 16 Oktober ini," jelas beliau. Namun ketika ditanya sama ada borang akhir itu akan diterima JPP atau sebaliknya, beliau memberikan mandat itu kepada Saifuddin untuk menentukannya. Sedangkan Saifuddin yang dihubungi kelmarin berkata sebarang keputusan berhubung kelewatan itu perlu ditentukan JPP, bukan pihaknya. Pemimpin persoal aspek ketelusan Melalui rekod yang diterima FMT serta pengakuan daripada ketua-ketua cabang mengesahkan bahawa cabang Selangau (Sarawak) dan Semporna (Sabah) mencalonkan Izzah bagi jawatan timbalan presiden. Semalam, ketua cabang terbabit mengeluarkan kenyataan media berhubung hal itu ekoran tidak diberitahu mengenai tarikh tutup itu. Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai kepincangan pihak pengurusan yang gagal mengkoordinasikan pilihan raya parti sehingga timbul kecelaruan seperti ini. Steven Epay Ganing (ketua cabang Selangau) dan Lokman Uri (ketua cabang Semporna) berpandangan bahawa kegagalan parti serta penolakan pencalonan dibuat cabang dilihat memburukkan lagi pandangan. Bagi mereka sebarang maklumat mengenai tarikh akhir penyerahan seharusnya diuar-uarkan bagi membolehkan setiap cabang bertindak sewajarnya. Calon naib presiden PKR, Jonson Chong menyifatkan pencalonan oleh cabang tidak patut digagalkan oleh mana-mana masalah pentadbira. Beliau juga mempertikaikan kedudukan JPP, adakah badan ini benar-benar bebas atau masih dikawal oleh pejabat Setiausaha Agung PKR. "Siapa lebih berkuasa, JPP atau Setiausaha Agung (dalam hal pemilihan parti)," tanya Jonson, bekas Ketua Perhubungan Awam PKR. Ahli parlimen Kapar, S Manikavasagam menyuarakan kebimbangan isu ini merosakkan nama baik PKR dalam memperjuangkan demokrasi di negara ini. Sementara itu, nama Izzah mula memuncak apabila Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim menyatakan kesediaannya berundur bagi memberi laluan kepada puteri reformasi itu bertanding. Namun Izzah dilaporkan sebelum ini gagal untuk bertanding ekoran hanya menerima satu pencalonan sahaja iaitu daripada cabang keningau, Sabah. Izzah sebelum ini berkata masih menantikan keputusan rasmi pencalonan daripada ibu pejabat PKR. "Saya tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan selagi saya tidak menerima sebarang keputusan rasmi membabitkan pencalonan saya," katanya. Free Malaysia Today |
| Posted: 13 Oct 2010 09:24 PM PDT KUALA LUMPUR, 14 Okt — Bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa dia telah diliwat lapan kali oleh majikannya pada pertengahan dua tahun lalu, kata seorang patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.Pakar forensik HKL Dr Siew Sheue Feng berkata, Saiful memberitahu beliau dan dua doktor lain pada 28 Jun 2008 bahawa dia diliwat lapan kali dalam dua bulan oleh Anwar. "En Saiful memberitahu saya apa yang berlaku, dia telah diliwat oleh seorang personaliti berprofil tinggi selama beberapa bulan," kata Dr Siew. Malah menurut Dr Siew, Saiful juga memberitahunya bahawa kondom tidak digunakan ketika hubungan seks luar tabii itu. Bagaimanapun keterangan itu mendapat bantahan Karpal Singh yang mengetuai pasukan peguam bela. Karpal mendakwa dakwaan Saiful bahawa dia diliwat lapan kali bukan sebahagian daripada tuduhan liwat dan keterangan itu seharusnya dikeluarkan daripada rekod. Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah bersetuju dengan bantahan Karpal dan mengarahkan agar kenyataan itu dikeluarkan daripada rekod.- The Malaysian Insider Berikut adalah Laporan langsung dari Malaysiakini LAPORAN LANGSUNG 9:41am Mahkamah mula bersidang dengan hakim Datuk Mohamad Zabidin mengambil tempatnya. 9:47am: Karpal berkata tindakan menghina mahkamah akan dikenakan ke atas Rahimi berhubung kenytaannya kepada media. "Dia adalah saksi potensi kami. Kami bimbang, mungkin lebih ramai akan paling tadah. "Terdapat tanda-tanda ada inisiatif daripada pihak atasan," kata Karpal. Peguam Cara II Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata beliau memandang berat perkara berkenaan. Hakim Zabidin membenarkan Karpal mengemukakan permohonan menghina mahkamah itu. Mahkamah bersambung dengan saksi pendakwa yang ketiga iaitu Dr Siew Sheue Feng. 9.58am: Dr Siew, 40, berkata beliau telah mengendalikan antara 200 hingga 300 kes forensik. Dia juga telah mengendalikan kira-kira 20 kes liwat. Katanya, dia merawat Saiful Bukhari pada 28 Jun tahun lalu di jabatan kecemasan hospital berkenaan. 10.06am: Dr Siew berkata polis memberi taklimat kepada mereka berhubung kes berkenaan. Ketiga-tiga doktor itu - Dr Siew, Dr Khairul Nizam dan Dr Razali - kemudian membincangkan tugas masing-masing dalam memberikan rawatan dan mengendalikan kes. "Saya diberi tanggungjawab kendalikan spesimen yang diambil dari mangsa," katanya. "Saiful beri kebenaran untuk dirinya diperiksa dan gambar dirakamkan di bahagian kemaluannya. Kebenaran juga diberikan untuk mengambil spesimen." Dr Siew berkata Saiful menceritakan bahawa dia diliwat 'beberapa' kali oleh seorang individu berprofil tinggi - kali terakhir adalah pada 26 Jun 2008. "Individu berprofil tinggi itu tidak menggunakan kondom." Karpal kemudian memohon jumlah kali Saiful dakwa dirinya diliwat itu dikeluarkan. 10.15am: Hakim Mohamed Zabidin memutuskan bilangan kali Saiful memaklumkan kepada doktor yang dia diliwat dikeluarkan kerana ia tidak dicatatkan dalam borang pendakwaan. 10.35am: Dr Siew berkata Dr Mohd Razali menceritakan bahawa dia mengambil calitan kapas di kawasan sekitar dubur Saiful. Katanya, Dr Razali juga mengambil contoh calitan dari kawasan peri-anal. Menurut saksi itu, rakannya Dr Khairul Nizam pula mengambil sampel darah dari Saiful dan menggunakan calitan kapas untuk mengambil sampel dari puting Saiful. 10.39am: Semua sampel dimasukkan ke dalam bekas plastik dan ditutup rapi serta ditandatangani oleh Saiful dan tiga doktor berkenaan. Dr Siew bersetuju siasatan awal menunjukkan tiada tanda-tanda kecederaan di badan mahupun di kawasan dubur Saiful. 10.49am: Dr Siew berkata sampel daripada empat calitan kapas menunjukkan kehadiran air mani. Calitan kapas itu diambil dari sekitar kawasan dubur iaitu bahagian atas, bawah dan juga peri-anal. "Ini menunjukkan ada kesan tusukan zakar berikutan penemuan sampel air mani lelaki," katanya. 10.54am: Dr Siew mengakhiri keterangannya dan beredar dari kandang saksi. Peguam Karpal Singh memaklumkan beliau berhak menyoal-balas doktor dari HKL kemudian hari nanti. Mahkamah berehat seketika. 11.13am: Giliran seorang lagi doktor dari HKL memberi keterangan - Dr Khairul Nizam Hassan sebagai saksi seterusnya. 11.19am: Dr Khairul Nizam, 40 berkata beliau telah mengendalikan 20 kes liwat dan merawat Saiful pada 28 Jun 2008. Ketika itu, Saiful memakai kemeja putih yang berlengan panjang dan jaket hitam. 11.23am: Dr Khairul berkata dia ditugaskan menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas Saiful, manakala Dr Razali pula memeriksa bahagian sekitar dubur mangsa. "Dr Siew bertanggungjawab mengambil sampel. Saya juga diberi tugas untuk mendapatkan latar belakang mangsa." 11.27am: Menurut Dr Khairul, beliau kemudiannya menjalankan pemeriksaan fizikal yang menyeluruh ke atas Saiful. Beliau bermula daripada bahagian atas kepala sehingga ke bahagian khaki. Beliau mendapati ada kesan parut lama di bahagian belakang mangsa dan mengukur serta mencatatkannya. 11.32am: Dr Khairul juga berkata beliau mengambil sampel air ludah dari bahagian kiri dan kanan puting, areola, sampel air mani dari mulut dan contoh darah. Katanya, semua spesimen diambil dan dikedapkan oleh Dr Siew. 11.44am: Saksi itu berkata berdasarkan adanya air mani lelaki di kawasan peri-anal dan bahagian bawah serta atas dubur, maka tusukkan zakar memang berlaku. Menurut Dr Khairul ada kemungkinan tiada kesan kecederaan di kawasan dubur meskipun berlakunya tusukan. Ditanya apakah perkara yang memungkinkan tiada kesan kecederaan, doktor itu berkata ia bergantung kepada jangka masa mangsa diperiksa oleh doktor setelah diliwat, tiada halangan atau pergelutan dan juga bergantung kepada penggunaan pelincir. 11.52am: Dr Khairul selesai memberi keterangannya dan peguam Karpal Singh sekali lagi menegaskan beliau ada hak untuk menyoal-balas saksi itu pada kemudian hari perbicaraan nanti. |
| Wang Judi : Mana duit dan senarai nama warga emas? Posted: 13 Oct 2010 08:50 PM PDT GEORGETOWN, 14 Okt: Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh, menggesa Umno Pulau Pinang supaya segera mengemukakan bukti tentang dakwaan mereka bahawa sebahagian besar warga emas menolak sumbangan wang penghargaan sebanyak RM100 sepertimana yang diuar-uarkan sebelum ini. Menurutnya, jika sebelum ini Umno menjadikan warga emas sebagai alat untuk memperdayakan mereka bagi mendapat sokongan yang hilang terhadap mereka, maka adalah lebih baik bagi Umno mengemukakan bukti segera supaya tidak dilihat sebagai membohongi warga emas yang tidak bersalah. "Sila kemukakan kepada kerajaan negeri dengan tepat butir-butir peribadi penerima serta surat akuan yang ditandatangani oleh warga emas sendiri membuktikan mereka sememangnya melakukannya dengan ikhlas untuk menarik diri dari menjadi penerima sumbangan tersebut. "Sebaik saja kita menerima butir-butir yang telah sahih itu, maka nama mereka yang telah dikenal pasti akan dipotong dari senarai penerima. Kita tidak mahu maklumat yang diberikan tidak benar serta tidak langsung terdapat nama mereka dalam sistem yang direkodkan sebelum ini," ujarnya ketika mengulas tindakan sebahagian besar warga emas yang menunjukkan sokongan terhadap kerajaan negeri di Dewan Ahmad Badawi, Butterworth, kelmarin. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungei Puyu berkata, sepatutnya Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim yang hadir dalam sidang Dun yang lalu menjelaskan perkara yang benar kepada warga emas. Namun begitu berlaku sebaliknya, apabila Azhar yang mengetahui mengenai peruntukan sebanyak RM20 juta yang telah diluluskan dalam sidang Dun itu tidak menyatakan kebenaran tersebut. "Sekiranya perkara yang sememangnya benar beliau ketahui dalam sidang Dun sendiri tidak dapat beliau nyatakan kebenarannya, maka bagaimana kita hendak mengharapkan beliau dapat memberi pembelaan yang sewajarnya kepada masyarakat yang diwakili oleh beliau," tegasnya lagi. Berita : Harakah Daily |
| Kaji semula air jika menang - Janji UMNO Kedah Posted: 13 Oct 2010 08:10 PM PDT Kaji Semula.. buat yang tak faham apa yang dimaksudkan dengan kaji semula itu, lihat saja semua kajian semula yang telah dijalankan oleh UMNO/BN.. antara contonhnya kaji semula harga Gula hasilnya harga gula naik, kaji semula tarif elektrik hasilnya juga kadar tarif elektrik terpaksa dinaikkan.. dan dengar cerita kadar Tol juga akan dikaji semula.. pendekkata apa saja yang dikaji semula oleh UMNO/BN kebanyakkannya akan dinaikkan harga.. oopps silap bukan dinaikkan tapi diSELARASkan.. Kaji semula air jika menang ALOR SETAR – UMNO Kedah mahu mengkaji semula kenaikan tarif air jika Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula negeri ini dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.Setiausahanya, Datuk Nawawi Ahmad berkata, kenaikan tarif air yang diumumkan awal bulan ini adalah terlalu tinggi dan membebankan rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah. Menurutnya, BN tidak mahu membuat terlalu banyak janji yang tidak mampu ditunaikan sebagaimana Pas yang mentadbir negeri sekarang ini gagal melaksanakan manifesto pilihan raya "Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua" apabila menaikkan tarif air yang menyebabkan rakyat terbeban. "Kita tidak boleh janji lebih-lebih kerana apabila BN berjanji, memang BN kena laksanakan dan untuk hari ini, sekiranya BN ambil alih pentadbiran Kedah, kita akan kaji semula tarif air," katanya pada sidang media di sini, semalam. Beliau berkata berdasarkan kajian yang dijalankan, bayaran minimum pada setiap bulan meningkat 100 peratus iaitu daripada RM3 kepada RM6 sebulan, manakala bayaran untuk 20 meter padu pertama dinaikkan 25 peratus daripada 40 sen kepada 50 sen. "Kebanyakan penduduk luar bandar adalah petani dan sebarang peningkatan kos sara hidup pasti membebankan mereka. "Sekiranya BN menang dalam PRU ke-13, kita akan mengkaji semula tarif air itu," katanya. Nawawi juga berkata Kerajaan Negeri perlu memberi insentif atau rebat kepada pengguna di kawasan tidak mendapat bekalan atau perkhidmatan air yang sempurna. "Kenaikan tarif air dibantah kerana ia tidak selaras dengan kualiti pembekalan air di sesetengah kawasan yang sering terputus, bekalan air yang masih kotor, tekanan rendah dan ada ketikanya paip hanya mengeluarkan angin. "Walaupun ada dalam kalangan mereka yang tidak dapat menggunakan perkhidmatan ini, mereka masih perlu membayar mengikut tarif baru, dan sewajarnya Kerajaan Negeri memberi insentif kepada mereka," katanya. Menurutnya, Kerajaan Negeri yang diterajui Pas mempunyai cara lain untuk menampung kos operasi pengurusan air yang didakwa meningkat. "Kerajaan Negeri mendakwa premium daripada balak meningkat RM30 juta, hasil daripada sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meningkat RM30 juta serta peningkatan 205 peratus pendapatan negeri, persoalannya mengapa ia tidak digunakan. "Kerajaan Negeri juga boleh mengurangkan Non-Revenue Water daripada 42 peratus kepada 25 peratus, yang akan memberi pulangan RM30 juta setahun," katanya. Nawawi berkata, Kerajaan BN yang memerintah Kedah berjaya mempertahankan tarif air daripada naik selama 15 tahun namun pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) yang diterajui Pas menaikkan tarif air dalam tempoh lebih dua tahun pentadbirannya. "Alasan Kerajaan Negeri kos meningkat disebabkan jumlah pengguna meningkat adalah satu alasan lemah sedangkan peningkatan jumlah pengguna akan menyebabkan pendapatan hasil air turut meningkat. "Jumlah pelanggan pada 1993 ialah 237,922 manakala sekarang lebih 500,000, yang memberi pendapatan RM170 juta setahun kepada Kerajaan Negeri. Pertambahan 200,000 pengguna bermakna pendapatan bertambah RM68 juta sedangkan kos bahan kimia (RM2.8 juta) dan kos elektrik (RM15 juta)," kata Nawawi. Sinar Harian |
| Datuk Azhar! Minta Maaf.. atau akan disaman.. Posted: 13 Oct 2010 10:36 AM PDT Sebelum itu.. Duit yang ADUN Penaga tu kumpulkan dari 40 orang warga emas sebanyak RM4000.00 itu sudah diserahkan kepada Kerajaan Negeri atau belum? Dah lama dah tu.. Adun Dato' Keramat, YB Jagdeep Singh memberitahu para pemberita bahawa ketua pembangkang dari UMNO Barisan Nasional Datuk Azhar diberi 7 hari untuk meminta maaf daripada kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dan juga kesemua warga emas. Jikalau tidak, Datuk Azhar akan dikenakan saman fitnah. YB Jagdeep juga menegaskan tindakan saman fitnah akan juga dikenakan ke atas media yang menyiarkan berita palsu itu. Seramai lebih kurang 50 orang warga emas dari kawasan Parlimen Jelutong hadir bersama untuk memberi sokongan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk teruskan Program Warga Emas dan Program Penghargaan Waris Warga Emas. Perhimpunan itu diadakan di tanah lapang di Jalan Perak, Pulau Pinang pada pukul 6 petang, Rabu 13hb Oktober 2010. Ketua parti Keadilan, PAS dan DAP juga turut hadir bersama. (if you have problems with the volume/audio, please adjust your speaker because the left side tends to be too soft and hence, appeared as no sound on some computers) |
| You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |












Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.