Jumaat, 2 Julai 2010

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


PAS TINGGALKAN DAP DAN BERKAWAN DENGAN UMNO ?

Posted: 02 Jul 2010 09:18 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

BERNAMA memetik kenyataan Mukhriz anak Tun Mahathir , PAS lebih baik berkawan dengan Umno daripada berkawan dengan DAP. Jika dibaca pada ayat itu, saya pun amat bersetuju PAS berkawan dengan Umno walaupun saya tidak bersetuju jika PAS pula bermusuh dengan DAP. Masalahnya, siapa yang sering bermusuh dengan PAS dan siapa pula yang telah menunjukkan kebaikan mereka kepada PAS? Persoalan utama sekarang, sejauh mana Umno boleh beri jaminan bahawa Umno tidak akan menentang perjuangan Islam yang ingin dibawa oleh PAS?

Memang benar bahawa kebanyakan ahli-ahli Umno itu adalah berbangsa Melayu dan berugama Islam, tidak jauh bezanya dengan ahli-ahli PAS sendiri. Jika Umno boleh dikatakan sebuah parti yang memperjuangkan Melayu, lebihnya PAS pula adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan tidak akan menganiayai mana-mana bangsa dan agama lain. Di dalam Islam, mencintai bangsa dan keturunan itu amat baik dan terpuji tetapi tidak sampai kepada bersifat `Assobiyah' yang dilarang oleh Islam.

Memperjuangkan syariat Islam seterusnya mendaulatkan Islam di negara ini adalah asas perjuangan PAS. Sebab itulah PAS meletakkan perjuangan menegakkan Islam itu di dalam perlembagaan partinya. Di dalam sejarah, PAS pernah bersatu dengan Umno dan pernah bersama-sama memerintah. Namun, sikap Umno yang tidak pernah komited untuk menegakkan Islam di negara ini maka hubungan PAS dengan Umno tidak boleh lagi dipertahankan. Apabila konsep `Islam Hadhari' cuba diperkenalkan di zaman Pak Lah, PAS cuba bersangka baik dengan Umno dan serangan terhadap Umno ketika itu diperlahankan dan terdapat usaha untuk PAS berbaik dengan Umno. Ketika itu, Umno berjaya dengan cemerlang di dalam Pilihanraya Umum Tahun 2004.

Malang sekali, Pak Lah gagal mengimplimentasikan `Islam Hadahari'nya dengan tidak menunjukkan sebarang kemajuan untuk memartabatkan Islam secara syumul. Kezaliman ISA terus berleluasa, rasuah gagal dibendung, kenaikan harga barang lebih-lebih lagi harga petrol tidak dapat dikawal malah meningkat secara mendadak dalam tempoh setahun. PAS berterusan dijadikan musuh oleh Umno dan pihak media yang sekutu dengannya. Akhirnya, PAS tidak lagi boleh bersangka baik dengan Umno setelah Umno sendiri menzahirkan sikap dan pendiriannya terhadap Islam.

PAS kini lebih selesa dan beruntung berkawan dengan PKR dan juga DAP. Walaupun pemimpin DAP, Karpal Singh pernah menyuarakan bantahannya terhadap penubuhan Negara Islam yang ingin dibawa oleh PAS, namun suara Karpal Singh yang `Non Muslim' itu tidak memberi kesan besar terhadap perjuangan PAS. Pada PAS, jika pemimpin Umno yang mengaku Melayu dan Islam itu pun menolak hukum Islam, pelik apanya jika Karpal Singh menentangnya? Penentangan Umno terhadap Islam tentu lebih besar mudharatnya kepada perjuangan PAS jika dibandingkan dengan Karpal Singh kerana Umno parti yang berkuasa dan menjadi tunjang kepada kerajaan sekarang. Penentangan Karpal Singh tidak memberi kesan kepada PAS kerana tanpa persetujuan Karpal Singh atau DAP sekalipun, jika semua umat Islam menyokong perjuangan PAS maka Islam pasti tertegak di negara ini.

PAS berkawan dengan DAP dan PKR adalah berdasarkan konsep kerjasama menentang kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah negara ini sekarang. Konsep kerjasama ini juga bertepatan dengan Islam. Usaha untuk mewujudkan Negara Islam bukan kewajipan PAS sahaja, lebih-lebih lagi DAP atau PKR. Kewajipan ini merupakan kewajipan semua umat Islam. Jika Umno benar-benar berminat dan yakin dengan sebuah Negara Islam, apa masalahnya jika Umno turut sama berjuang dengan PAS? Hakikatnya Umno tidak berminat dengan Islam, justeru itu jangan sibuk dengan apa yang diperkatakan oleh Karpal Singh./wfauzdin.blogspot.com

ISU ZIONIS ISRAEL - BERANIKAH NAJIB BERDEBAT DENGAN ANWAR?

Posted: 02 Jul 2010 07:49 AM PDT


Jonson Chong,
Pengarah Komunikasi

Nasib rakyat Palestin dan peranan kerajaan zionis Israel menjadi masalah antarabangsa dan kemanusiaan, dan bukan untuk ahli-ahli politik Malaysia mengambil peluang menawan hati para pengundi Melayu beragama Islam. Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan sentiasa bersikap adil dan melayan semua rakyat dengan saksama serta rakyat di negara lain yang tertindas.

Empat pemimpin Umno telah menyuarakan pandangan mereka tentang pendirian Anwar Ibrahim berhubung sikap agresif Zionis, terutamanya mengenai artikel dalam The Washington Post yang disiarkan baru-baru ini. Pemimpin-pemimpin Umno ini — Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin — lekas mengambil kesempatan ini untuk memutar belit kenyataan penulis, yang menulis:

Beliau (Anwar) berkata beliau kesal menggunakan istilah "tindakan agresif Zionis", yang biasa digunakan oleh pemimpin bersuara lantang seperti Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad. "Kenapa saya perlu menggunakannya jika sekiranya ia boleh mencetuskan banyak salah faham?" Beliau berkata, "saya perlu lebih berhati-hati."

Sekiranya pemimpin-pemimpin Umno ini tidak dapat memahami Bahasa Inggeris yang mudah ini, maksudnya ialah Anwar kesal menggunakan istilah seperti yang digunakan oleh Presiden Iran kontroversial, iaitu Mahmoud Ahmadinejad, yang boleh menimbulkan salah faham dalam masyarakat antarabangsa. Anwar kemudian secara merendah diri mengakui beliau perlu lebih berhati-hati cara beliau mengkritik kerajaan Zionis Israel, khususnya dalam situasi di mana tuduhan anti-semitik sangat berleluasa.

Bagaimanapun, pendirian Anwar dan KEADILAN tentang tindakan agresif 'Zionis' terhadap rakyat Palestin sangat jelas. Kami mengutuk serangan ganas terhadap kapal flotila Gaza baru-baru ini, diskriminasi, penindasan dan keganasan yang berterusan terhadap rakyat Palestin oleh kerajaan Israel, termasuk menyoal peranan Amerika Syarikat menyokong rejim 'Zionis'. Pada masa yang sama, kami menghormati semua hak orang Yahudi terhadap tanah air sendiri dan juga hidup secara aman bersama orang-orang Islam dan rakyat Palestin beragama Kristian. Malahan kami menolak diskriminasi, penindasan dan keganasan di Malaysia dan di luar negara.

Mengenai sindiran bahawa Anwar rapat dengan orang-orang Yahudi Amerika, beliau secara terbuka menjelaskan bahawa mereka adalah kenalan beliau ketika beliau menjadi Menteri Kewangan Malaysia. Anwar memang menggunakan setiap peluang yang beliau perolehi untuk membangkitkan isu Palestin dan mendesak supaya pertikaian di Timur Tengah ditamatkan segera.

Apa yang kerajaan pimpinan Umno telah lakukan? Menteri Pertahanan Zahid Hamidi telah mengadakan pertemuan sulit dengan rakan sejawatnya dari Israel. Muhyiddin dan Khairy menyokong keputusan Perdana Menteri Najib Tun Razak melantik Apco (yang disyaki mempunyai hubungan dengan Zionis) pada kadar bayaran RM77 juta setahun. Dan lebih mengecewakan ialah tindakan Rais menggunakan kuasanya untuk memastikan media arus perdana mengikut rentak Umno-Barisan Nasional, yang kini menerima nasihat daripada Apco.

Jika kerajaan Umno-BN mahu menyampaikan maklumat terkini tentang nasib rakyat Palestin dan menunjukkan pendirian mereka tentang tindakan agresif 'Zionis', sila arahkan media arus perdana menterjemah dan menyiarkan artikel sepenuhnya dari The Washington Post dan mengatur satu majlis debat melalui siaran terus menerus di antara Anwar dan Najib. Biar semua rakyat Malaysia melihat dan mendengar sendiri apa yang dibuat oleh Apco di Malaysia./Harakahdaily

SPR NAFIKAN PEMUDA UMNO

Posted: 02 Jul 2010 07:29 AM PDT

SPR: Nisbah pengundi baru 2:1, bukan 1:40

Jimadie Shah Othman
Jul 2, 10

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan jumlah sebenar pendaftaran bagi pemilih baru antara Melayu dan bukan Melayu adalah dalam nisbah 2:1, bukannya 1:40 seperti yang didakwa seorang pemimpin Pemuda Umno baru-baru ini.

Menurut pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kanan) nisbah dua Melayu dan 1 bukan Melayu itu dikira berdasarkan lebih setengah juta pendaftaran baru sejak suku tahun pertama 2008 hinggalah suku tahun pertama pada tahun ini.

"Tanyalah dia (Pemuda Umno) daripada mana dia dapat (nisbah 1:40)?" katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Isnin lalu, Berita Harian melaporkan kajian biro keahlian dan daftar pemilih pergerakan itu mendapati nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak pilihan raya umum 2008 sehingga bulan ini adalah satu Melayu dan 40 bukan Melayu.

Pengerusinya Hishamudin Yahya dilaporkan berkata kajian pihaknya itu merangkumi keseluruhan aspek termasuk umur dan jantina membabitkan golongan muda dan tua.

Justeru, beliau dilaporkan berkata, senario ini seharusnya menyedarkan orang Melayu bahawa kuasa politik mereka boleh terhapus jika terus enggan mendaftar sebagai pengundi.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya hari ini, Abdul Aziz menjelaskan daripada keseluruhan 569, 137 pemilih baru, sebanyak 62 peratus atau 355,807 orang daripada kalangan orang Melayu, Cina sebanyak 23.03 peratus (131,047 orang) dan India 4.89 peratus (27,823 orang).

Manakala bagi bumiputera Sabah pula sebanyak 3.67 peratus (20,871 orang), bumiputera Sarawak sebanyak 4.76 peratus (27.104 orang), Orang Asli 0.42 peratus (2,378) dan lain-lain sebanyak 0.72 peratus (4,109 orang).

Statistik Mei berbeza

Bagaimanapun, menurut Abdul Aziz pendaftaran pada bulan lalu melalui parti politik menunjukkan golongan Melayu ketinggalan berbanding kaum bukan Melayu.

"Mungkin dia petik (yang) itulah," katanya yang mendakwa memantau kadar tersebut setiap bulan.

Ditanya adakah nisbah untuk bulan lalu itu boleh mencapai tahap 1:40, Abdul Aziz menjawab:

"Kalau yang itu saya tak pasti. Tetapi kalau (nisbah) 1:40 itu, mana dia dapat tanya dialah.

"Saya tidak mahu komen nisbah orang lain. (Kalau) satu (Melayu) dengan 40 (bukan Melayu), maknanya 1,000 (Melayu), (bersamaan) 40,000 (orang bukan Melayu)."

Abdul Aziz (kiri) berharap fenomena itu hanyalah bersifat sementara.

Beliau juga mendedahkan, DAP merupakan parti politik paling aktif mendaftarkan pengundi baru buat masa ini.

"(Buat masa) sekaranglah. Pada bulan Mei, kamu tengok dia (DAP daftar) 14,000 (orang), Umno (hanya) 7,000," katanya./Malaysiakini

Tiada ulasan: