Jumaat, 2 Julai 2010

pemuda cheh

pemuda cheh


Pemuda MCA selar PERKASA: Ektremis celaka ini patut ditahan ISA!

Posted: 01 Jul 2010 11:50 PM PDT

"Jikalau PERKASA mahu Wee Ka Siong dipenjarakan kerana kenyataan Pemuda MCA yang membela keadilan, maka ekstremis yang celaka ini lebih patut dipenjarakan di bawah ISA," kata Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA, Chiew Lian Keng.

Demikianlah kemarahan daripada Pemuda MCA, berikutan laporan utama edisi sulung Suara PERKASA yang bertajuk "Tahan Ka Siong bawah ISA". Beberapa orang pemimpin Pemuda MCA tampil mempertahankan Ketua-nya, masing-masing menyasarkan serangan terhadap Presiden PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia), Ibrahim Ali.

Antaranya, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA, Chiew Lian Keng menganggap Wee Ka Siong, Ketua Pemuda MCA merangkap Timbalan Menteri Pelajaran tidak bersalah, malah memberi amaran bahawa "jangan hina maruah Pemuda MCA!", kerana Pemuda MCA tidak akan bertolak ansur dengan provokasi yang biadap ini.

Malah, Pemuda Wilayah Persekutuan MCA mendesak agar kerajaan menyatakan sikapnya untuk mengasingkan diri daripada tindakan Ibrahim Ali yang biadap, mencelarukan sentimen perkauman, dan mencungkil saraf sensitif. Untuk Pemuda Wilayah Persekutuan MCA yang sanggup jadi benteng Wee Ka Siong, seandainya kerajaan berdiam diri dalam isu ini, maka ia adalah penghinaan terhadap MCA sebagai parti komponen kedua terbesar dalam BN.

Oleh itu, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA (gambar kanan) mahu Kementerian Dalam Negeri melucutkan permit penerbitan PERKASA, sebagai amaran kepada kenyataannya yang ekstrem, malah berharap agar penjual akhbar mengambil inisiatif untuk memboikot akhbar ini, demi menjaga keamanan negara.

Akta Hasutan terhadap PERKASA dan Ibrahim Ali

Selain itu, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chai Kim Sen turut menggesa agar polis menangkap Ibrahim Ali dan mengambil tindakan terhadap Suara Perkasa, dengan menggunakan Akta Hasutan 1948.

"Artikel dalam Suara PERKASA yang menggesa untuk menangkap Wee Ka Siong dengan ISA ini telah mencungkil kemarahan Pemuda MCA. Seandainya kerajaan berpeluk tubuh dalam isu ini, Pemuda MCA akan menyerang balik sehabis-habisnya. Kami sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan maruah MCA," kata Chai Kim Sen (gambar kiri) dalam kenyataannya.

Malah, Setiausaha Agung Pemuda MCA ini menambah, "PERKASA langsung tidak masuk akal. Pertubuhan yang dipimpin Ibrahim Ali ini bukan sahaja ekstrem, malah satu pertubuhan yang mengada-ada. Memang celaka betul!"

Pemimpin Pemuda MCA bangkit menyerang

Di samping itu, terdapat beberapa orang pemimpin Pemuda MCA lain yang turut mengeluarkan kenyataan media untuk menyelar Ibrahim Ali, hari ini. Ketua Pasukan Pemuda Kebangsaan MCA, Yap Tian Hoi membidas Suara PERKASA kerana menggunakan propaganda "kelas rendah" untuk mencungkil sentimen perkauman.

Ketua Biro Kajian Strategik dan Perancangan Pemuda MCA, Foo Seck Chyn (gambar kanan) pula membidas bahawa kesabaran kerajaan untuk membenarkan hujah perkauman ini berleluasa telah mencungkil kemarahan rakyat.

Naib Setiausaha Agung Pemuda MCA, Loh Chew June pula mendesak agar kerajaan memisahkan diri dari PERKASA, untuk membuktikan bahawa kerajaan mendukung semangat 1Malaysia, dan tidak bersekutu dengan pertubuhan yang ekstrem dan berkelas rendah ini.

Tukar Sekali Setiausaha Kerajaan dan Pegawai Kewangan Negeri

Posted: 01 Jul 2010 07:56 PM PDT

Pakatan Rakyat bukan sahaja disaran menggantikan Penasihat Undang-Undang dengan peguam sendiri, sebaliknya gagasan itu turut dicadang melantik Pegawai Kewangan dan Setiausaha Kerajaan Negeri pilihan mereka.Hal ini disuarakan oleh pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Aziz Bari

Ini kerana, beliau menyifatkan ketiga-tiga jawatan berkenaan adalah lantikan kerajaan Persekutuan yang disyaki berperanan sebagai tali barut kerajaan pusat untuk mengkucar-kacirkan kestabilan di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat
"Oleh kerana penasihat undang-undang, pegawai kewangan negeri dan setiausaha kerajaan negeri adalah anggota kabinet negeri, jadi mereka ini mungkin membocorkan rahsia negeri kepada pusat," katanya.

"Gaji dibayar oleh negeri tetapi kesetiaan dan kiblat mereka kepada kerajaan Persekutuan kerana kita faham mereka ini dipilih oleh Peguam Negara untuk mengkucar-kacirkan. Ini yang berlaku," katanya lagi.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat sebelum ini mencadangkan supaya empat negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat melantik peguam luar dan bukannya dari Pejabat Peguam Negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perubahan itu perlu dilakukan kerana penasihat undang-undang sedia ada, tidak bebas dan tertakluk kepada telunjuk kerajaan Pusat.

"Yang disebut Anwar sebagai 'kecuaian' cukup lembut. Ia bukan kecuaian tetapi memang menjadi tali barut, menjadi gunting dalam lipatan kerana kenaikan pangkat ditentukan Peguam Negara bukan kerajaan negeri, bukan MB," katanya.

Mengulas lanjut, kata Aziz, tidak ada sebarang perlembagaan khusus melibatkan perkara berkenaan.

"Saya melihat perkara ini sebagai satu kelemahan dalam struktur Perlembagaan. Saya tidak faham kenapa... Kalau zaman dulu mungkin susah hendak dapatkan peguam tetapi sekarang lain.

Beliau bagaimanapun mengesyaki tidak mustahil hasrat kerajan negeri Pakatan Rakyat akan dihalang berikutan kepentingan politik pihak berkepentingan termasuk memperalat institusi istana.

"Masalahnya, mereka (kerajaan persekutuan) akan gunakan istana untuk menghalang pelantikan ini," katanya.

Artikel Menghasut: KJ Minta Suara Perkasa Disiasat

Posted: 01 Jul 2010 07:51 PM PDT

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin meminta Kementerian Dalam Negeri menyiasat Suara Perkasa berhubung penyiaran berita muka depan akhbar itu yang mahu Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). "Hari ini saya dengar Suara Perkasa keluarkan berita muka depan kata tahan Ka Siong bawah ISA, saya tidak setuju kerana benda macam itu menghasut dan salah.

"Saya lakukan ini bukan sebab saya nak pertahan Ka Siong tetapi kerana artikel ini salah dan harus disiasat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Suara Perkasa, yang merupakan akhbar Pertubuhan Perkasa Malaysia (Perkasa)dalam edisi sulungnya menyiarkan berita muka depan yang berunsur provokatif menerusi artikel "Tahan Ka Siong di Bawah ISA".

Konflik antara presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Wee bermula apabila anggota Parlimen Pasir Mas itu mendakwa Ketua Pemuda MCA berkenaan mempersoalkan kontrak sosial serta tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dalam isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.

Khairy berkata memperjuangkan hak orang Melayu bukanlah satu masalah, tetapi kepentingan kaum lain tidak diketepikan.

"Bagi saya BN (Barisan Nasional), Umno kita nak melihat inklusif untuk semua, tidak mengapa Perkasa berjuang untuk orang Melayu, tetapi cara dia buat, saya tidak setuju," katanya.

Sementara itu, Wee ketika ditemui berkata beliau akan mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil berhubung penyiaran artikel tersebut.

Katanya, beliau hairan kenapa perkara itu tersebut masih dibangkitkan sedangkan penjelasan berhubung isu biasiswa telah diberikannya.

Saman Felda, lalu rakyat diam?

Posted: 01 Jul 2010 04:15 PM PDT


Saya seronok membaca kenyataan Ahmad Maslan. Felda menyaman PKR dan Suara Keadilan.

Tajuk berita Suara Keadilan ' Felda Bangkrap' dikira memfitnah Felda.

Ternyata Felda terdesak menutup perbincangan bagaimana rizab tunai susut lebih cepat dari paip bocor.

Felda memang belum bangkrap. Bangkrap yang dipakai sebagai tajuk oleh Suara Keadilan juga bukan bermaksud begitu.

Saman satu cara. Jika ada pihak yang takut lalu membisu, seronoklah Felda. Cerita ia berbelanja besar akan tertutup.

Tidak semudah itu. Saya yakin ramai pihak akan membantu Suara Keadlan merangka afidavit mendetailkan pemborosan-pemborosan dan pebelanjaan yang mengeringkan kantong Felda. Afidavit ini boleh dipetik pula oleh apa saja media. Mungkin, kesan tidak memihak kepada Felda.

Itu sebab saya seronok. Ini 'launching pad' untuk gerakan membongkar Felda mendapat tempat terhormat.

Jika Felda benar dan perbelanjaannya prudent, tidak ada salah menjemput MP ke satu taklimat Felda. Buka untuk pertanyaan. Ajak media ikut sama. Bentangkan penyata yang diodit. Jelaskan rasional tiap perbelanjaan dan pelaburan.

Rakyat rasa puas. Keraguan hilang. Keyakinan terbina. Maruah Felda memuncak.

Ahmad Maslan menekankan nilai saman RM 200 juta. Sekalipun Suara Keadilan ditakdirkan membayar semua saman itu, ia tidak cukup untuk menampung akaun Felda yang kekeringan.

Pada waktu Felda hauskan 200 juta dari Suara Keadilan, rakyat hauskan penjelasan tentang kedudukan Felda. Kehausan ini terus membengkak sekalipun Felda memfailkan sepuluh saman lagi.
Posted by faqir putih at 4:20 AM 0 comments
Tuesday, June 29, 2010
UMNO Putera keringkan wang Felda
Saya boleh membantu menjelaskan, sebahagaian, bagaimana ceritanya rizab tunai Felda dikeringkan.

Sejumlah setengah billion, (RM 512 juta) dibelanjakan melalui projek-projek (tak perlu dan di luar tugas Felda) yang disiapkan oleh firma arkitek yang sama.

Firma arkitek diterajui seorang Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Terengganu ini sudah pasti ada hubungan kekeluargaan yang rapat dengan tokoh dari Terengganu juga yang memayungi Felda.

Kasih sayang kekeluargaan mereka diluaskan dengan mencari jalan bersama bagaimana wang Felda boleh 'diuruskan'. Jumlahnya bukan sedikit, demi warga Felda tercinta....

Lantaran itu, projek bukan bidang tugas Felda sama sekali, turut dibiayai oleh Felda atas sifat pemurahnya. Seperti Kolej Komuniti di Terengganu (RM 18 juta) dan Sabah (RM 22 juta), Menaik Taraf Bekalan Air Di Pahang (RM 200 juta) dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (RM 120 juta).

Apa kena mengena Mara dan Felda? Kos Maktab ini ialah RM 120 juta dan Felda dengan segala senang hatinya membiayai sepenuhnya. Mungkin kerana wang tunainya terlalu banyak, Felda berbesar hati membiayai projek bukan bidang tugasnya sekalipun.

Kononnya pula Felda sudah memasuki alaf moden dan untuk itu, bentuk impian Felda akan datang dibina dengan ciri-ciri peneroka Felda masa depan. Ia dipanggil Feldajaya.

Rumah bungalow mewah berharga mahal, rumah kedai dan lain-lain ciri bandar baru dalam satu kawasan 'masa depan' di bina. Setakat ini, empat Feldajaya telah dibangunkan (Mempaga, Trolak, Serting dan Cini) dengan reka bentuk oleh firma arkitek yang sama. Setakat ini, kosnya ialah RM 152 juta.

Samada rumah kedai dan bungalow ini laku dijual atau tidak, Felda tidak peduli sangat. Yang penting, itulah rumah peneroka masa depan Felda!

Asal dikata moden, wang habis tak mengapa. Itulah bagusnya bila ada wang melimpah.

RM setengah billion oleh firma arkitek bertuah ini.

Sebelum ini, saya telah tunjukkan, RM 800 juta pelaburan Felda di US dan Kanada. Pegawai Felda tak sampai setengah dozen yang membeku dek kedinginan di Quebec di musim sejuk, barangkali ada cerita boleh dikongsi dengan kami di Malaysia.

Maknanya, di sini sahaja, saya telah membantu Felda menjelaskan bagaimana sebanyak RM 1.3 billion rizab tunai Felda dibelanjakan!

Selebihnya, Felda sendiri boleh tolong jelaskan.....

Kalau Felda tak ada masa untuk jelaskan untuk tunjukkan pengurusannya telus dan amanah warga Felda menjadi taruhannya, saya tak ada masalah untuk jelaskan sedikit demi sedikit.


Datuk Paduka Husam Musa,
Exco Kerajaan Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.