Khamis, 1 Julai 2010

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Edisi Pahang: Kerajaan Negeri Diharap Bertindak Dan Umumkan Status Bangunan Hotel Samudera Milik Anak Syarikatnya (PKNP) Yang Terbiar Itu !

Posted: 30 Jun 2010 05:53 PM PDT

KUANTAN, 1 Julai - Penduduk disini amat hairan dengan sikap Kerajaan Negeri Pahang yang masih gagal mengambil sebarang tindakan terhadap bangunan Hotel Samudera Riverview (foto) yang terletak di tepi Sungai Kuantan dekat sini. Difahamkan sudah lebih 10 tahun bangunan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri itu terbiar kaku tanpa sebarang pembelaan. Kini, bangunan itu bukan sahaja semakin usang malah ia mencacatkan keceriaan bandar itu sendiri. Dulunya, bangunan tersebut menempatkan hotel dan juga pusat hiburan yang amat digemari oleh penduduk di sini. Kini ia telah lama tidak digunakan dan menjadi lokasi aktiviti maksiat oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab. Soalnya sekarang, sampai bilakah kerajaan negeri mahu melihat bangunan itu tersergam "tak indah" di situ. Atau mungkinkan ianya akan dijadikan "arkib negeri" untuk menyimpan segala khazanah dan hasil mahsul yang dirompak daripada rakyat disitu. Inilah yang memusykilkan kita sebenarnya. Orang ramai yang ditemui hairan dengan sikap berdiam diri kerajaan negeri itu. "Langsung tidak mahu mengambil iniiseatif bagi menghidupkan kembali bangunan hotel tersebut atau pun dijualkan kepada pihak lain yang berminat", kata seorang peniaga di situ. Tindakan membiarkan bangunan yang tertera nama dan lambang Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) itu, jelas sekali telah mencemarkan nama baik kerajaan negeri sendiri. Sudahlah sebelum ini ada beberapa buah anak syarikat kerajaan yang lain telah disita termasuk Astana Golf yang terletak di Bandar Indera Mahkota. Bangunan Hotel Samudera itu wajar diambil tindakan oleh pihak berkenaan. Apalah guna dibiarkan tanpa ada sebarang pembangunan semula. Bangunan yang terletak di jalan utama bandar Kuantan (Jalan Besar) itu, jelas sekali mencemarkan pemandangan sebenarnya. Malah difahamkan, kawasan bersebelahannya kini sudah sedia untuk dimajukan oleh pihak swasta. Namun, bukankah ia akan mewujudkan pembangunan yang tidak seimbang bila bangunan tersebut masih dikekalkan dalam keadaan yang begitu daif itu nanti. Harapan kami semoga pihak PKNP dan Kerajaan Negeri Pahang dapat mengambil tindakan serius perkara ini, dan melaporkan kepada rakyat apakah status bangunan tersebut pada masa ini sama ada mahu dirobohkan, dijual atau mahu dibangunkan semula.


Bukti, lambang dan logo Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang pada
bangunan terbiar ini jelas sekali mencemarkan imej negeri Pahang !!
[Sungguh memalukan, bangunan yang tersergam itu kini terbiar layu tanpa sebarang pembelaan. Walhal terpampang nama dan logo Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dipuncak bangunan tersebut. Apakah ia sengaja disimpan untuk membuktikan kepada rakyat bahawa itulah cara Kerajaan Negeri Pahang menguruskan harta benda mereka agaknya. Jika tidak mengapa tiada sebarang tindakan dilakukan terhadap sebuah bangunan yang jelas telah mencemarkan pemandangan bandar Kuantan itu. Semoga pihak terbabit dapat mengambil tindakan segera terhadap perkara ini. Usahlah ditunjukkan sangat kepada rakyat bukti-bukti bahawa kerajaan UMNO BN Pahang memang tidak pandai menguruskan kewangan negeri hingga menyebabkan banyak aset mereka akhirnya terbiar].

Edisi Pahang: Panas, Politik Adnan Yaakob Dalam Bahaya Susulan Ada Terdapatnya Satu Kumpulan UMNO Negeri Mahu Jatuhkan Kepimpinan Beliau!

Posted: 30 Jun 2010 05:49 PM PDT

Politik Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob (foto) kini dalam bahaya mutakhir ini. Ia berikutan terdapat satu perancangan rapi dari kalangan pemimpin UMNO negeri sendiri untuk menjatuhkan kepimpinan beliau itu. Strategi dan agenda yang bakal dilaksanakan turut disokong oleh beberapa orang bekas pemimpin kanan parti itu yang kini dipinggirkan Adnan, terutamanya mereka yang pernah bergelar exco kanan suatu ketika dulu. Kami masih belum dapat mengenal pasti siapakah teraju utama kumpulan terbabit, namun ternyata kumpulan itu sedang bergerak aktif untuk menarik seberapa ramai sokongan bekas pemimpin UMNO yang telah "dipancas" oleh Adnan sebelum ini. Mereka kecewa Adnan dengan mudah melantik mana-mana proksi beliau sebagai calon pilihanraya, sebaliknya mengenepikan pemimpin yang lebih berkaliber. Malah, mereka juga kecewa dengan tindakan Adnan mencalonkan nama "proksi yang merupakan saudara beliau sendiri" iaitu Mohd Fadhil Osman untuk bertanding di DUN Kemayan, dalam parlimen Bera ketika PRU-12 lalu. Pemimpin terbabit dikatakan mempunya hubungan kekeluargaan yang cukup rapat dengan Adnan di Bentong sebenarnya. Terdapat juga maklumat sulit mengatakan, tidak ada cara lain untuk menjatuhkan Adnan melainkan memastikan beliau tumbang di DUN Pelangai. Lantaran itulah, pengaruh wang yang selama ini ditaburkan oleh Adnan kepada rakyat Pelangai akan dijadikan strategi khas misi ini. Difahamkan antara yang terlibat dengan gerakan ini adalah merupakan bekas pemimpin Pemuda UMNO Pahang yang popular di pusat tetapi terbuang di negeri sendiri. Kekecewaan yang menebal menyebabkan beliau terpaksa menggunakan pengaruhnya bagi meyakinkan musuh-musuh politik Adnan dalam UMNO bahawa beliau sudah tidak layak lagi menjadi Menteri Besar Pahang. Tambahan pula, semenjak mengambil alih jawatan tersebut dulu Adnan ternyata gagal memulihkan ekonomi Pahang secara total. Bajet Defisit masih lagi mewarnai pembentangan belanjawan negeri setiap tahun.


Bukti, YB Fadhil (Kemayan) dikhabarkan merupakan anak saudara
MB yang menjadi calon atas kapasiti proksi dan kroni beliau itu

[Gerakan menjatuhkan Adnan ini tidak didalangi oleh pemimpin pembangkang (Pakatan Rakyat). Ini secara keseluruhannya disertai oleh beberapa orang bekas pemimpin Pemuda UMNO Negeri, Bekas Exco dan Wakil Rakyat yang telah terpinggir atau ditamatkan riwayat politiknya oleh Adnan. Siapakah antara mereka yang terlibat itu agaknya. Tunggu pendedahan eksklusif PDO seterusnya tentang isu ini. Apapun, jika ini berlaku maka ia sudah pasti akan memudahkan kerja Pakatan Rakyat untuk megambil alih tampuk pemerintahan negeri daripada UMNO BN dalam pilihanraya umum akan datang. Ternyata kepimpinan Menteri Besar bukan sahaja mendapat tentangan dari lawan malah oleh "musuh dalam selimut" sendiri. Inilah yang wajar diberi perhatian oleh mana-mana pemimpin yang ingin meneruskan kerjaya politik mereka dengan cemerlang. Mereka ini sudah pasti akan berada di mana-mana dan mereka menanti mangsa untuk melaksanakan provokasi terhadap Adnan itu].

Sensasi: PKR Selangor Bergolak, Idea Lawak Puak UMNO Dalam Usaha Untuk Cuba Rampas Kembali Negeri Itu Daripada Pakatan Rakyat Sebenarnya !

Posted: 30 Jun 2010 10:27 AM PDT

Ramai yang teruja melihat betapa dasyatnya serangan media arus perdana terhadap Kerajaan Negeri Selangor sekarang ini. Apakah tragedi rampasan kuasa di Perak akan berlaku di negeri itu agaknya. Ura-ura ke arah itu semakin jelas kelihatan apabila media saban hari memaparkan laporan kononnya kemelut politik yang melanda negeri itu semakin parah. Malah, pemimpin UMNO BN kini mula mencanangkan supaya rakyat membuat perubahan sekiranya inginkan negeri termaju di Malaysia itu selamat. Caranya ialah menolak kerajaan negeri dibawah kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim. Bagi mereka tokoh korporat yang pernah membawa kegemilangan kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Guthrie itu tidak layak lagi mentadbir negeri tersebut. Malah kononnya perlantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor membuktikan bahawa Tan Sri Khalid gagal melaksanakan tugasnya dengan baik. Malah mereka juga turut mempertikaikan kewibawaan Anwar, sedangkan beliau sendiri gagal menjaga ekonomi negara ketika menjadi Menteri Kewangan suatu ketika dulu. Kini media arus perdana begitu kemaruk memainkan sentimen kebenciaan terhadap MB Selangor. Malah mereka seolah-olah bersetuju agar MB digantikan dengan calon lain. Lantaran itulah bila berlaku rombakan kepimpinan PKR Negeri Selangor baru-baru ini maka mereka mencanangkan kononnya Naib Presiden PKR, Azmin Ali ingin menjatuhkan Tan Sri Khalid untuk mengambil alih jawatan Menteri Besar dalam masa terdekat ini. Malah mereka juga mempertikaikan kredibiliti Tan Sri Khalid yang menjadi ketua kerajaan tetapi tidak ketua politik. Seolah-olah apa yang berlaku di Selangor itu adalah sesuatu yang cukup luar biasa dan tidak wajar sama selaku.

Mana mungkin seorang MB tidak mempunyai kuasa politik, kini Tan Sri Khalid hanya menjadi salah seorang Ketua Cabang PKR dan tidak lagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri selepas pemukiman PKR yang diadakan di Shah Alam baru-baru ini. Berbagai tangapan dibuat terhadap PKR selepas Azmin Ali dilantik mengetuai parti itu di Selangor dan Zaid Ibrahim pula menerajui parti di Wilayah Persekutuan. Kononnya ada komplot beberapa orang ahli parlimen yang akan menjatuhkan MB Selangor dan sebagainya. Malah, media begitu rakus memaparkan cerita bahawa Azmin amat bercita-cita besar untuk menjadi Menteri Besar Selangor sebelum Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Maka itulah, beliau kini cuba untuk menjatuhkan kepimpinan Tan Sri Khalid. Soalnya sekarang, kenapa tiba-tiba media arus perdana begitu berselera untuk memperkatakan tentang perubahan tampuk kepimpinan negeri Selangor?. Malah dalam masa yang sama juga pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kini mula "masuk jarum" untuk mencari kes-kes rasuah yang melibatkan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor. Jentera UMNO BN seolah-olah berkerjasama dari segenap arah untuk melumpuhkan Kerajaan Negeri Selangor. Malah, dalam siaran rancangan aduan rakyat di TV3 malam tadi, isu tanah di Bukit Botak dijadikan tajuk utama. Kononnya Kerajaan Negeri Selangor zalim terhadap rakyat, sedangkan mereka tidak menyatakan apa yang berlaku sebaliknya. Keghairahan media arus perdana ini jelas sekali menggambarkan kini UMNO BN begitu terdesak untuk merampas negeri terkaya di Malaysia itu sebenarnya. Mereka menggunakan media bagi memesongkan minda rakyat daripada fakta sebenar. Rakyat mahu terus ditipu dan diperbodohkan dengan satu isu yang tidak pasti kebenerannya. Apakah semua yang dilakukan ini bermakna mereka semua mungkin sudah ketandusan idea.

[Apa yang menarik juga ialah kritikan jelas terhadap Tan Sri Khalid dan Azmin Ali. Mereka mengatakan seolah-olah kini Selangor mempunyai dua nakhoda gara-gara sikap tamak kuasa Azmin Ali dan kelemahan Tan Sri Khalid itu sendiri. Berbagai-bagai cemuhan dilakukan untuk membuktikan yang politik PKR Selangor sedang bergolak. Mana mungkin satu kapal ada dua nakhoda. Begitula beberapa kenyataan sinis yang dilemparkan oleh pemimpin UMNO BN Selangor terhadap isu ini. Soalnya, benarkah politik PKR Selangor sedang bergolak sebegitu dasyat. Kenapa mereka timbulkan soal satu kapal dua nakhoda, sedangkan fenomena itu berlaku di kalangan UMNO BN sendiri. Lihat sahaja di negeri BN iaituTerengganu. Bukankah, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri itu bukanlah Menteri Besar sedia ada?. Kenapa ini berlaku, dan apakah ia akan melumpuhkan pentadbiran kerajaan negeri itu agaknya. UMNO Terengganu kini dipimpin oleh Hishamuddin Hussein, kenapa tidak MB Ahmad Said memegang jawatan tersebut. Apakah ini sesuatu yang baru dan mengejutkan kita?. Namun, dek kerana media dikawal oleh UMNO BN maka isu perubahan tampuk kepimpinan negeri itu dijadikan bahan untuk meracuni minda rakyat kononnya PKR negeri itu kini kian lumpuh. Walhal ia adalah sebaliknya. Tindakan UMNO BN ini jelas membuktikan mereka sudah amat terdesak untuk merampas Selangor sebenarnya. Maka apa masalahnya bila sesuatu rombakan itu berlaku, kenapa mereka harus melatah agaknya?]

Tiada ulasan: