Jumaat, 2 Julai 2010

MANDOR.BLOGSPOT.COM

MANDOR.BLOGSPOT.COM


KENYATAAN MAHFUZ TERHADAP ISU ANWAR SOKONG YAHUDI

Posted: 01 Jul 2010 02:59 PM PDT

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (kiri) yang dihubungi kemudian pula mempersoalkan status Washington Post di sebalik konflik yang menjerut leher politik Anwar, Ketua Umum PKR.

"Anwar sudah jelaskan bahawa dia tidak mohon maaf pada Yahudi, tetapi akhbar-akhbar ini terus menyerang dia padahal dia beberapa hari di sebuah negara (Amerika Syarikat) yang nyata sokong Yahudi.

"Sepatutnya Anwar perlu dilayan istimewa seperti Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kita sebelum ini yang dapat petunjuk APCO Yahudi untuk menyokong dasar luas Amerika terhadap status negara haram Israel," katanya.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa pelobi Yahudi di Rumah Putih serta propagandis dalam Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) bertanggungjawab dalam membunuh karektor Anwar di peringkat antarabangsa sejak beberapa bulan lalu.

Dari kemungkinan itu juga, beliau berkata, sekaligus menyerlahkan lagi peranan APCO dalam menggunakan media arus perdana tempatan untuk mengenakan Anwar.

"Kalau sudah Washington Post pun mungkin didalangi oleh agen-agen mereka, tak mustahil beberapa media tempatan (pro) Umno ini pun terbabit kerana APCO adalah tempat mereka (kerajaan) pohon petunjuk dari segi komunikasi," tegasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau turut menyindir kepemimpinan tertentu dalam kerajaan.

"Petunjuk dari APCO ini nampaknya mujarab untuk Najib, dia dah guna kaedah Yahudi yang selalu kita tonton dalam televisyen untuk bunuh pemimpin pembangkang yang anti Yahudi.

"Inilah kejayaan, kalau tidak takkan timbalannya (Tan Sri Muhyiddin) sendiri boleh percaya dengan berita antarabangsa itu (Washington Post) untuk bunuh mana-mana pemimpin pembangkang yang dilihat anti Yahudi (dan) anti-perkauman di negara ini," jelasnya.

Melihat pada jalur permainan media di peringkat antarabangsa dan tempatan terbabit dalam membunuh karektor Anwar, beliau berkata, agen Yahudi serta agen APCO terbabit mungkin berminat untuk membantu Umno menghadapi Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

"Kalau dah begini kaedah Yahudi APCO bekerja di peringkat antarabangsa, tak mustahil mereka ini berminat untuk bantu Umno BN membuat kejutan dalam pilihan raya umum depan ini," jelasnya./Harakahdaily

APABILA AKHBAR WASHINGTON POST MENGAJAR UMNO

Posted: 01 Jul 2010 02:43 PM PDT

PKR: Anwar mangsa lobi Zionis

Jimadie Shah Othman
Jul 1, 10


Kunjungan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Amerika Syarikat beberapa hari lalu bukanlah untuk 'memujuk' Yahudi, sebaliknya bagi menyampaikan ucapan berhubung Islam dan demokrasi di Asia Tenggara, kata ketua penerangan PKR.

Latheefa Koya (kiri) berkata perkara itu telah dijelaskan kepada pemimpin parti itu dalam mesyuarat majlis pimpinan pusatnya di Shah Alam Ahad lalu.

"Bukan untuk pujuk Yahudi. Beliau juga pergi untuk bertemu dengan anak lelakinya yang sedang menuntut di sana," katanya ketika diminta mengulas laporan bahawa ketua umum PKR itu berkunjung ke luar negara bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut.

Utusan Malaysia melaporkan, tindakan itu ekoran Anwar dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti-Yahudi dalam isu firma perunding APCO Worldwide baru-baru ini.

Memetik tulisan dalam Washington Post, akhbar Umno itu melaporkan Anwar meluangkan banyak masa untuk menawarkan penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk pengerusi jawatankuasa luar negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi.

Malah, Anwar dalam tulisan itu juga dikatakan menyesal menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis," yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Latheefa berkata, Anwar telah menjelaskan kepada pemimpin PKR bahawa dalam pertemuannya dengan pemimpin negara kuasa besar itu, beliau mengambil peluang menjelaskan perbezaan istilah "Yahudi" dan "Zionisme" seperti yang digunakan dalam konteks Malaysia.

Ini kerana, kata Latheefa, sikap anti-Yahudi adalah satu bentuk rasis kerana Yahudi itu mewakili bangsa sesuatu kaum.

'Mereka American'

"Anwar jelaskan bahawa beliau bukan anti-Yahudi tetapi anti Zionis," katanya yang menyifatkan pemimpin nombor satu Pakatan itu menjadi mangsa lobi Zionis di Amerika Syarikat yang terlalu luas.

"Beliau tak pernah minta maaf kerana mengkritik Zionis."

Latheefa juga menjelaskan pertemuan Anwar dengan pemimpin-pemimpin tertentu di luar negara hanyalah atas dasar "pertemuan pemimpin Malaysia dan Amerika".

"Mungkin kebetulan mereka Yahudi. Tetapi ini bukan isu, mereka American (orang Amerika)," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin (kanan) pula menyifatkan laporan Utusan Malaysia hari ini berniat jahat dan bagi menggambarkan Anwar pro-Yahudi.

"Mereka tidak faham seluruh artikel (dalam Washington Post) dan tidak membacanya dengan penuh teliti," katanya.

Katanya, jika dinilai berdasarkan tindakan Anwar mengkritik keganasan Israel dalam insiden berdarah flotila Mavi Marmara, jelas bahawa Anwar konsisten menentang keganasan Zionisme.

Ditanya tentang laporan bahawa Anwar dikatakan menyesal menggunakan istilah "pencerobohan Zionis", Shamsul yang juga ketua majlis pimpinan PKR Melaka menjelaskan:

"Saya tidak rasa artikel dalam Washington Post itu ada menggunakan perkataan kesal."/Malaysiakini

ISU FELDA - MEREKA SILAP PARTI MAHU UGUT

Posted: 01 Jul 2010 02:34 PM PDT

Suara Keadilan disaman RM200 juta, PKR tak layan
Hazlan Zakaria
Jul 1, 10


Felda hari ini menuntut ganti rugi sebanyak RM200 juta terhadap akhbar Suara Keadilan dan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari berhubung penyiaran artikel "Felda bankrap" oleh akhbar berkenaan.

Timbalan Ment
eri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata notis tuntutan saman fitnah itu sudah dihantar kepada PKR sebagai pemilik, Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit dan Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd sebagai pencetak, hari ini.

"Notis itu antara lain menuntut pampasan bagi kerosakan reputasi ke atas Felda yang didakwa bankrap oleh Suara Keadilan dalam akhbar itu yang bertarikh 22 hingga 29 Jun dengan tajuk 'Felda Bankrap'," katanya.

Notis tuntutan itu difailkan menerusi syarikat guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak.

"Pihak berkenaan diberi masa tujuh hari untuk membayar ganti rugi berkenaan dan membuat permohonan maaf kepada Felda," katanya.

PKR tak layan

Sementara itu, naib presiden PKR, Sivarasa Rasiah berkata parti itu tidak akan melayan tuntutan RM200 juta berkenaan dan tidak akan memohon maaf kepada Felda.

Menurut Sivarasa, pihaknya bersedia ke mahkamah bagi mengemukakan segala bukti terhadap pendedahan yang dilakukan itu.

"Pendirian kita jelas, memang kita tidak akan layan dan kita akan jawab di mahkamah," katanya yang juga ahli parlimen Subang, di lobi Parlimen hari ini.

"Kalau mereka ingin membawa kes itu ke mahkamah kita alu-alukan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuntutan ganti rugi Felda terhadap PKR dan Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit serta Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd.

"Berhubung perkataan 'bankrap', maksud kita jelas bahawa penyelewengan berlaku sehingga menjejaskan kewangan Felda," katanya./Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.