Blog-list Malaysia |
- PM 'Membisu' Kos Bawa Rosmah Ke New York
- Anwar Mangsa Lobi Zionis
- Bala Memang Dibiaya Di London.. Salahkah?
- Ulama Muda Umno Bawa Ideologi Wahabi?
| PM 'Membisu' Kos Bawa Rosmah Ke New York Posted: 01 Jul 2010 04:30 AM PDT Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak enggan mendedahkan kos yang dibelanjakan bagi membawa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke New York, April lalu meskipun disdesak supaya berbuat demikian di Dewan Rakyat. Dalam jawapan bertulisnya kepada N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), Najib mengelakkan daripada memberikan sebarang jumlah. "Kos penginapan dan perjalanan Rosmah dimasukkan dalam perbelanjaan yang diperuntukkan untuk perdana menteri, berdasarkan kedudukannya sebagai isteri perdana menteri," kata Najib dalam jawapan satu perenggannya. Gobalakrishnan yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang kurang tepat itu, cuba menimbulkan perkara berkenaan dengan speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Bagaimanapun, Pandikar menjawap Aturan Dewan tidak memberikannya kuasa untuk menilai 'kualiti' jawapan menteri dan sehubungan itu, beliau tidak boleh bertindak. Selepas menghadiri Persidangan Keselamatan Nuklear di Washington DC, Najib dan Rosmah menghadiri sebuah majlis gilang-gemilang di hotel lima bintang St Regis di New York pada 16 April. Majlis itu juga dihadiri oleh bintang filem antarabangsa seperti pelakon pemenang Oscar, Robert De Niro, Charlize Theron dan Emmy Rossum, serta diacarakan oleh Jamie Foxx. Ketika mahlis itu, Rosmah diberikan anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa daripada US Business Council for International Understanding (BCIU). Meskipun tidak dapat disahkan, beberapa laporan Internet mendakwa kemuncak majlis itu ialah apabila Rosmah berduet dengan Foxx. Majlis berkenaan tidak mendapat liputan akhbar tempatan tetapi menjadi perdebatan berikutan penyiaran dua halaman iklan berwarna di New York Times yang mengucapkan tahniah kepada Rosmah daripada "keluarga dan sahabatnya di Amerika dan Malaysia". Tidak kurang juga rakyat marah apabila Rosmah dirujuk sebagai 'wanita pertama Malaysia' - gelaran yang sepatutnya dikhaskan untuk Raja Permaisuri agong. Menurut laporan The Nut Graph, New York Times pada mulanya berkata iklan berkenaan dibiayai oleh kerajaan Malaysia tetapi kemudian menarik semula kenyataan berkenaan. Berikutan itu, Najib memberitahu Dewan Rakyat bahawa BCIU yang meletakkan iklan berkenaan. Bagaimanapun majlis berkenaan belum mengesahkan perkara tersebut. Bercakap kepada wartawan, Gobalakrishnan berkata kerajaan harus telus dan mendedahkan kos sebenar perbelanjaan Rosmah. "Sebelum ini, mereka dakwa ada NGO yang membiayai lawatan isteri perdana menteri. Tetapi sekarang mereka berkata pejabat PM pula yang membayar," katanya. "Saya akan terus menulis meminta jawapan. Saya minta perangkaan, tetapi mereka tidak memberikan jumlahnya. Rakyat seharusnya tahu berapa yang dibelanjakan oleh isteri PM."-Malaysiakini |
| Posted: 01 Jul 2010 04:18 AM PDT Latheefa Koya berkata perkara itu telah dijelaskan kepada pemimpin parti itu dalam mesyuarat majlis pimpinan pusatnya di Shah Alam Ahad lalu. "Bukan untuk pujuk Yahudi. Beliau juga pergi untuk bertemu dengan anak lelakinya yang sedang menuntut di sana," katanya ketika diminta mengulas laporan bahawa ketua umum PKR itu berkunjung ke luar negara bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut. Utusan Malaysia melaporkan, tindakan itu ekoran Anwar dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti-Yahudi dalam isu firma perunding APCO Worldwide baru-baru ini. Memetik tulisan dalam Washington Post, akhbar Umno itu melaporkan Anwar meluangkan banyak masa untuk menawarkan penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk pengerusi jawatankuasa luar negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi. Malah, Anwar dalam tulisan itu juga dikatakan menyesal menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis," yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad. Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Latheefa berkata, Anwar telah menjelaskan kepada pemimpin PKR bahawa dalam pertemuannya dengan pemimpin negara kuasa besar itu, beliau mengambil peluang menjelaskan perbezaan istilah "Yahudi" dan "Zionisme" seperti yang digunakan dalam konteks Malaysia. Ini kerana, kata Latheefa, sikap anti-Yahudi adalah satu bentuk rasis kerana Yahudi itu mewakili bangsa sesuatu kaum. 'Mereka American' "Anwar jelaskan bahawa beliau bukan anti-Yahudi tetapi anti Zionis," katanya yang menyifatkan pemimpin nombor satu Pakatan itu menjadi mangsa lobi Zionis di Amerika Syarikat yang terlalu luas. "Beliau tak pernah minta maaf kerana mengkritik Zionis." Latheefa juga menjelaskan pertemuan Anwar dengan pemimpin-pemimpin tertentu di luar negara hanyalah atas dasar "pertemuan pemimpin Malaysia dan Amerika". "Mungkin kebetulan mereka Yahudi. Tetapi ini bukan isu, mereka American (orang Amerika)," katanya lagi. Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin pula menyifatkan laporan Utusan Malaysia hari ini berniat jahat dan bagi menggambarkan Anwar pro-Yahudi. "Mereka tidak faham seluruh artikel (dalam Washington Post) dan tidak membacanya dengan penuh teliti," katanya. Katanya, jika dinilai berdasarkan tindakan Anwar mengkritik keganasan Israel dalam insiden berdarah flotila Mavi Marmara, jelas bahawa Anwar konsisten menentang keganasan Zionisme. Ditanya tentang laporan bahawa Anwar dikatakan menyesal menggunakan istilah "pencerobohan Zionis", Shamsul yang juga ketua majlis pimpinan PKR Melaka menjelaskan: "Saya tidak rasa artikel dalam Washington Post itu ada menggunakan perkataan kesal." |
| Bala Memang Dibiaya Di London.. Salahkah? Posted: 30 Jun 2010 08:36 PM PDT Detektif persendirian P. Balasubramaniam yang kini berada di luar negara mengakui "menerima pembiayaan" daripada seorang tetapi orang yang dimaksudkan bukannya mereka yang rapat dengan Pakatan Rakyat, tetapi ahli perniagaan permaidani yang dikenali sebagai Deepak Jaikishan. Balasubramaniam yang semalam berhadapan dengan situasi enggan ditemui oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di London minggu depan atas faktor implikasi perundangan berkata, dia bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim dalam hal tersebut. Bagaimanapun, dalam jawapan yang dihantar menerusi peguamnya Americk Sidhu beliau berkata, sumber kewangannya bukan daripada orang lain tetapi "dana" diterima ahli perniagaan. "Saya merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Bebas Datuk Zahrain Hashim (semalam). "Saya diarahkan oleh pelanggan saya untuk mengatakan bahawa dia menyokong penuh cadangan dibuat Datuk Zahrain atas alasan mudah yang mana wang yang digunakan untuk membayar perjalanan ke London dan penginapan adalah diperoleh daripada dana diterima daripada Deepak Jaikishan," katanya. Selepas portal-portal tempatan menyiarkan temu bual terbaru Balasubramaniam (gambar) akhir tahun lalu beberapa pemimpin atasan Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan laporan kepada SPRM dengan menamakan Datuk Mohamed Nazim Razak dan Deepak sebagai dua individu utama yang perlu disiasat. Laporan media sebelum ini menyebut Deepak juga didakwa kenalan rapat Datin Seri Rosmah Mansor, isteri perdana menteri. Di bangunan Parlimen semalam, Zahrain mendesak SPRM menyiasat individu yang terbabit menaja Balasubramaniam di London. Beliau yakin ada individu yang menaja kehidupan Balasubramaniam di negara itu kerana mengetahui penyiasat berkenaan tidak mampu menetap di sana tanpa bantuan kewangan. "Saya mendesak melalui menteri minta SPRM siasat siapa sponsor. Lagipun, saya tahu tidak mungkin Bala mampu duduk di London berbulan-bulan tanpa ditaja," katanya. Balasubramaniam mengundang kontroversi apabila pada 3 Julai 2008 muncul dan mengumumkan akuan bersumpahnya berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Bagaiamanapun keesokannya, beliau menarik balik kenyataan akuan sumpah awalnya itu melalui akuan sumpah kedua dalam satu sidang media sebelum bertindak menghilangkan diri dipercayai ke luar negara bersama keluarganya. Zahrain berkata episod kehidupan Balasubramaniam seakan menyerupai episod kehidupan pengendali portal berita Malaysia Today Raja Petra Kamarudin dan yakin pihak yang sama menaja kedua-dua individu terbabit. Katanya berdasarkan pada bukti-bukti yang beliau peroleh, mendapati kedua-dua individu terbabit mendapat tajaan daripada parti pembangkang. Beliau berkata dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa parti itu tidak mempunyai hubungan dengan Raja Petra adalah tidak benar. |
| Ulama Muda Umno Bawa Ideologi Wahabi? Posted: 30 Jun 2010 08:31 PM PDT Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad mendakwa kumpulan 40 ulama yang menyertai Umno Jumaat lalu adalah pengikut bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan mempunyai agenda tersendiri apabila menyertai parti itu. Beliau berkata Asri menghantar pengikutnya supaya aliran pemikiran dan idealoginya dapat disalurkan ke dalam kepimpinan Umno. "Ulama yang menyertai Umno baru-baru ini adalah pengikut Asri yang dihantar untuk menyampaikan aliran pemikiran beliau ke dalam Umno. "Asri menghantar ulama ini dengan harapan mendapat kedudukan yang penting dalam Umno ataupun kerajaan. "Jadi apabila sudah ada kedudukan yang baik mudah untuk mereka terapkan idealogi Asri," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini. Dari awal Nakhaie, yang merupakan bekas naib presiden PAS tetapi sertai Umno, tidak mempunyai hubungan "baik" dengan Asri. Akhir Februari lalu Nakhaie memfailkan saman fitnah RM1.5 juta terhadap Asri dan tujuh yang lain termasuk editor dan wartawan akhbar Sinar Harian. Dalam pernyataan tuntutan itu, Nakhaie, yang kini berkhidmat sebagai Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), mendakwa Asri telah mengeluarkan tiga kenyataan fitnah terhadapnya dalam satu persidangan media pada 1 November tahun lepas dan dua artikel yang diterbitkan oleh Sinar Harian pada 2 dan 5 Nov tahun yang sama. Katanya, kenyataan fitnah itu telah memberi gambaran buruk bahawa beliau adalah pihak yang menjadi dalang dalam isu memorandum menentang pelantikan Asri daripada menjadi Yang Dipertua (YDP) Yadim, dan ada penyelewengan berlaku di institusi tersebut. Nakhaie juga mendakwa akibat daripada tindakan fitnah daripada defendan pertama yang dikeluarkan akhbar terbabit, kewibawaan dan reputasinya kian merosot. Beliau berkata Umno perlu sentiasa berhati-hati dengan kehadiran kumpulan ulama tersebut kerana dikhuatiri akan memberikan kesan kepada kepimpinan parti itu dan juga pentadbiran kerajaan. "Apabila seseorang menyertai Umno sudah pasti mereka mempunyai agenda tertentu termasuk kumpulan ulama itu kerana kita tidak tahu apa tujuan utama mereka menyertai Umno. "Jika apa yang ingin disampaikan itu adalah idea politik ia tidak mempunyai masalah tapi kalau berkaitan dengan agama bimbang ia akan bercanggah dengan institusi agama seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti. "Ini kerana bukan semua idea berkaitan agama kita boleh terima bulat-bulat, sama seperti fahaman yang dibawa Asri ada yang kita setuju ada yang tidak. Jadi kepimpinan Umno perlu peka akan perkara ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sekumpulan 40 ulama yang berusia antara 20-an dan 40-an menyertai Umno pada minggu lepas. Kumpulan 40 ulama ini menyerahkan borang penyertaan ahli Umno kepada Presiden Datuk Seri Najib Razak di tingkat empat Menara Dato' Onn sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Kumpulan itu diketuai oleh Fadlan Mohd Othman, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia. Mengulas lanjut, Nakhaie berkata kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai ulama itu perlu buktikan bahawa memang layak untuk diiktiraf ulama. "Ulama dikenali dengan hasil ilmiyahnya, jadi bagaimana orang yang tidak mempunyai sebarang hasil ilmiyah boleh digelar ulama? "Mereka perlu buktikan terlebih dahulu bahawa mereka benar-benar layak digelar ulama," katanya. Sementara itu, bekas mufti Wilayah Persekutuan Datuk Pirdaus Ismail berkata langkah yang diambil kumpulan ulama itu dengan menyertai Umno adalah satu tindakan yang bijak. "Secara peribadi bagi saya ulama masuk Umno adalah satu perkara yang bagus dan menggembirakan. "Ini membuktikan bahawa mereka sudah sedar dan mahu berjuang bersama-sama Umno," kata beliau yang pernah bertanding sebagai calon Umno di kawasan parlimen Permatang Pauh. Beliau juga menafikan dakwaan bahawa penyertaan ulama itu semata-mata untuk menyebarkan pemikiran dan idea Asri dalam Umno. "Saya tidak bersetuju sama sekali dengan dakwaan itu kerana Umno selama ini tidak akan dikuasai oleh mana-mana fahaman. "Jadi saya percaya kehadiran ulama itu hanya untuk memainkan peranan dalam membantu memperjuangkan Umno malah saya percaya kemasukan mereka adalah sesuatu yang positif," katanya. |
| You are subscribed to email updates from Blog-list Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan