Sabtu, 3 Julai 2010

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Melayu Pulau Pinang semakin terpinggir kerana tukar Kerajaan?

Posted: 03 Jul 2010 06:34 AM PDT

Zahid Hamidi menyifatkan nasib yang menimpa kampung dan orang Melayu di negeri itu yang kini semakin terpinggir sebagai harga mahal yang terpaksa dibayar kerana cuba menukar "baju politik".

Tukar baju politik: Kampung Melayu di P. Pinang tanggung padah

03/07/2010

KEMAMAN 3 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan nasib yang menimpa kampung dan orang Melayu di negeri itu yang kini semakin terpinggir sebagai harga mahal yang terpaksa dibayar kerana cuba menukar "baju politik".

Beliau berkata, apabila kuasa terlepas kepada parti yang tidak memperjuangkan nasib rakyat terutama kaum Melayu, maka itulah hasil yang terpaksa dihadapi.

Ahmad Zahid berkata, rakyat Malaysia terutama orang Melayu perlu sedar bahawa UMNO yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN) sentiasa memperjuangkan kepentingan semua pihak berbanding DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Ini terbukti dengan apa yang telah BN lakukan walaupun mungkin dalam kerajaan lalu di Pulau Pinang kita ada kelemahan, tetapi kita boleh baiki semula jika kita mengambil alih semula Pulau Pinang.

"Namun DAP belum cukup tiga tahun memerintah, banyak gerai Melayu yang telah dirobohkan dan tidak ada penggantian dan jika ada sekalipun diletakkan di kawasan pinggir dan kawasan yang tidak strategik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di sini, hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, demikian sebagai mengulas laporan akhbar hari ini tentang nasib kira-kira 200 penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong, Pulau Pinang yang hilang tempat tinggal apabila diusir pemaju bagi membolehkan kawasan itu dibangunkan.

Bernama


Nampak bodoh sungguh kenyataan Zahid ni.. Sebenarnya yang menyebabkan Melayu Pulau Pinang terpinggir dan terkeluar dari Pulau Pinang adalah UMNO sendiri.. kerana selama 50 tahun memerintah Pulau Pinang tanah-tanah milik orang Melayu dipaksa dikosongkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dengan alasan pembangunan..

Tanah mereka diambil oleh Kerajaan UMNO/BN dengan dibayar harga yang rendah,kemudian dijual pula tanah itu dengan harga yang tinggi kepada pemaju..

Bila harga tanah yang dibeli adalah tinggi, apakah boleh pemaju mendirikan rumah dan menjualnya pada harga yang rendah?

Dengan pampasan yang rendah Melayu-Melayu itu terpaksa mencari rumah-rumah pada harga yang rendah yang tiada lagi di Pulau Pinang jadi mereka terpaksa melangkah keluar dari Pulau Pinang..

Rasanya kalau UMNO/BN masih memerintah Pulau Pinang semakin ramailah Melayu yang akan terpinggir.........

Khas Buat 40? Ulama : Hukum Ulama Menyertai Parti Politik yang penuh Kemungkaran

Posted: 03 Jul 2010 01:13 AM PDT

Soalan: Yang amat saya kasihi Dr Asri, sehari dua ini heboh masyarakat mengulas tentang ulama muda menyertai parti tertentu. Alhamdulillah, saya mewakili kebanyakan rakyat Malaysia bersyukur kerana Dr. Asri yang kami sanjungi tidak mengambil tindakan yang sama. Tapi saya hendak tanya Dr, apakah pandangan Dr Asri tentang ulama yang menyertai pertubuhan politik yang tidak memperjuangkan Islam dan terlibat dengan banyak perbuatan-perbuatan tidak baik? Maaf jika soalan ini berbau politik.

Fazalina, Tanah Merah.

Jawapan DR MAZA: Saudari Fazalina, terima kasih atas penghormatan saudari dan rakyat Malaysia yang lain. Doakan agar saya dapat memilihkan langkah betul lagi diredhai Allah dalam kehidupan ini. Soalan yang saudari kemukakan itu adalah berkaitan Islam, maka ia hendaklah dinilai dengan pertimbangan al-Quran dan al-Sunnah, bukan pertimbangan emosi. Hukum dan pendapat agama hendaklah bebas dari cengkaman sentiment tertentu, sebaliknya berpijak atas fakta dan dalil. Apa yang akan saya kemukakan adalah kadar kefahaman saya terhadap dalil-dalil dalam hal ini. Pohon keampunan kepada Allah jika ia tersasar dari kebenaran. Maka, pendapat saya dalam hal ini seperti berikut;

1. Setiap pertubuhan atau kerajaan atau badan mempunyai dasar atau tujuannya yang tersendiri. Di samping slogan yang dilaungkan, kita juga hendaklah melihat bagaimanakah keadaan atau suasana di dalamnya. Meletakkan slogan yang baik atau islamik mungkin mudah, tetapi menghayatinya bukanlah semudah slogan yang dilaungkan. Ada pertubuhan atau kerajaan yang tidak berslogan Islam, tetapi suasana kebaikan dalamnya terbuka luas. Demikian sebaliknya.

Maka, penilaian terhadap sesuatu kumpulan atau parti atau pemerintahan hendaklah dilihat dari berbagai sudut. Maka, saya katakan hukum penyertaaan mana-mana individu ke dalam apa-apa pertubuhan atau parti atau kerajaan bergantung kepada beberapa perkara utama; pertama: niat, kedua: peranan, ketiga: kemampuan dan kadar kebaikan dan keburukan dalam penyertaan tersebut.

2. Ertinya, jika niatnya untuk kebaikan atau mendapat keredhaan Allah, maka itu suatu ibadah. Jika untuk mendapat habuan dunia, maka ia bukanlah kebaikan yang diterima Allah bahkan akan merosakkan orang lain. Sehingga jika seseorang menyertai parti atau kerajaan yang berslogankan Islam pun, jika niatnya salah, ia tidak mendapat pahala bahkan mungkin mendapat dosa. Hal ini kita dapat lihat bagaimana Nabi Yusuf a.s. meminta jawatan menteri pembendaharaan Mesir, padahal Raja Mesir ketika itu bukan seorang muslim. Sistem yang dipakai juga, bukan syariat Allah. Firman Allah: (maksudnya)
"Yusuf berkata: "Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan" (Surah Yusuf, 55-56).
3. Setelah niatnya betul, hendaklah dia mengetahui apakah peranan yang hendak dimainkan. Jika kumpulan atau kerajaan yang tidak sertai itu tidak Islamik atau menyanggahi prinsip-prinsip keadilan dan kebaikan, apakah peranan yang dia boleh mainkan untuk membaiki suasana tersebut atau menyampaikan mesej Islam ke dalamnya. Kata al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H):
"Sesungguhnya Yusuf a.s. hanya meminta kuasa setelah dia mengetahui bahawa tiada sesiapa yang setanding dengannya, yang dapat melaksanakan keadilan, pembaikian dan menyampaikan hak-hak fakir miskin. Dia melihat yang demikian itu adalah fardu `ain bagi dirinya, kerana tiada siapa lagi selain dia. Demikian juga hukumnya pada hari ini. Sekiranya seseorang insan tahu mengenai dirinya, bahawa dia dapat menegakkan kebenaran dalam kehakiman dan hisbah, sementara tiada seseorang pun yang sesuai dan setanding dengannya maka jawatan itu fardu `ain ke atas dirinya. Wajib dia mengendali dan memintanya. Dia juga hendaklah memberitahu sifat-sifat yang melayakkannya iaitu ilmunya, kemampuannya dan lain-lain" (Tafsir al-Qurtubi, 9/21, Beirut: Dar al-Fikr).
Demikian kita, jika dirasakan penyertaan kita dalam mana-mana badan atau kerajaan dapat menegakkan kebenaran atau mengelakkan kezaliman dengan kadar yang termampu, maka penyertaan itu mendapat pahala. Jika tiada siapa yang mampu lakukan kecuali kita, maka ia merupakan satu kewajiban.

4. Jika badan yang disertainya itu dipenuhi kemungkaran dan tiada peranan dalam mengubah atau mengurangkannya, maka penyertaaan ke dalamnya adalah dosa. Ini disebabkan dia menambahkan kemeriahan golongan mungkar. Allah berfirman: (maksudnya)
"Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam al-Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka" (Surah al-Nisa: 140).
5. Setelah betul niatnya, dan jelas peranannya, hendaklah dia mengukur kadar kemampuan diri dalam memainkan peranan tersebut. Jika dia tahu bahawa dia tidak akan mampu mengubah atau mengurangkan kemunkaran tersebut, maka dia diharamkan menyertai kumpulan atau organisasi munkar itu. Jika dia tahu dia mampu dengan kadar peranan yang ingin dia mainkan, maka itu suatu perjuangan menyampaikan mesej Islam. Nabi Yusuf a.s tidak mengubah seluruh sistem kerajaan Mesir ketika itu tetapi dia berjaya menegakkan kebaikan dan keadilan dalam menguruskan khazanah kekayaan Mesir. Rakyat Mesir mendapat kebaikan dari kedudukan Yusuf a.s.

6. Ertinya, penyertaan ke dalam organisasi yang tidak Islamik bukanlah semestinya sehingga mampu mengubah keseluruhan sistem. Raja Najasyi Habsyah bernama Ashamah bin Abjar beriman dengan Nabi s.a.w tetapi beliau mengepalai Kerajaan Kristian Habsyah. Beliau tidak mampu mengubah kerajaannya, tetapi mampu melindungi sahabah-sahabah yang berhijrah mencari perlindungan di Habsyah dan menegakkan asas-asas keadilan untuk rakyatnya. Nabi s.a.w berutus surat dengan Najasyi, tetapi baginda tidak memerintahkan Najasyi meninggalkan kerajaannya dan berhijrah ke Madinah. Nabi memujinya, sekalipun beliau mati di Habsyah ketika mentadbir sebuah kerajaan Kristian. Sabda Nabi s.a.w
"Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi)". (Riwayat al-Bukhari).

7. Berikutnya hendaklah difikir dan ditimbang sehalus-halusnya kadar maslahah (kebaikan) dan mafsadah (kerosakan) yang akan terhasil dari penyertaan tersebut. Jika kebaikan mengatasi keburukan maka itu sewajarnya dilakukan. Jika sebaliknya, wajib dihindari. Namun dalam menilai maslahah dan mafsadah itu hendaklah berteraskan ilmu, teliti dan warak.

8. Apa pun, keikhlasan niat, tahu peranan, ada kemampuan dan penilaian yang matang adalah syarat penting dalam hal ini. Dalam Islam apa yang tidak mampu dibuat semuanya, jangan pula ditinggalkan semuanya. Setiap orang hendaklah menilai kadar baik dan buruk bagi setiap tindakan yang diambil berteraskan keredhaan Allah. Kita berdoa agar Allah membimbing kita semua ke jalan yang diredhaiNya.


Dipetik dari Minda Tajdid

UMNO ibarat Kapal Buruk?

Posted: 02 Jul 2010 11:11 PM PDT

"Umno sepatutnya sudah berubah, tetapi lambat. Umno ibarat kapal lama. Kita tidak dilihat bergerak lancar, jadi ini lebih kritikal jika hendak menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang kurang tiga tahun lagi. Kata Muhyiddin.

Kapal Lama boleh juga ditafsirkan sebagai Kapal Buruk, jadi kalau kapal dah buruk mana mungkin ianya bergerak lancar apatah lagi bila lautan bergelora.

Dan Kapal Lama yang dah buruk jika masih digunakan untuk belayar ditengah lautan, risiko untuk tenggelam adalah tinggi, kebocoran kerana kakisan atau karat pasti amat banyak...

Jadi buat penyokong-penyokong UMNO tu... tinggalkanlah kapal buruk itu.. sebelum ianya tenggelam..


Muhyiddin: Umno tidak bergerak lancar

Jul 3, 10 12:08pm

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengingatkan anggota parti supaya melakukan transformasipolitik, seiring dengan transformasi kerajaan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata apa yang dilihatnya sekarang, Umno tidak bergerak lancar, dan keadaan itu agak kritikal dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata keadaanya berbeza jika dibandingkan dengan transformasi di pihak kerajaan, di mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat perubahan yang radikal dan luar biasa dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif, antaranya Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Katanya perubahan yang dilakukan kerajaan itu memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang didokong oleh pemimpin Umno dan BN dalam memajukan negara, selepas parti itu dilanda "tsunami politik" pada pilihan raya umum lepas.

"Umno sepatutnya sudah berubah, tetapi lambat. Umno ibarat kapal lama. Kita tidak dilihat bergerak lancar, jadi ini lebih kritikal jika hendak menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang kurang tiga tahun lagi.

"Kalau kita (Umno) tidak berubah, ada orang yang akan ubah kita. Mereka akan ambil alih (peranan kita)," katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Putrajaya, malam tadi.

Turut hadir ialah Ketua Umno Bahagian Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Muhyiddin berkata Umno tidak mempunyai banyak masa lagi, maka mereka perlu membuat perubahan dengan memahami dan menghayati kemahuan serta cita rasa rakyat supaya terus menyokong parti.

Beliau berkata tuntutan rakyat kini sudah berubah dan mereka mahu melihat kesediaan pemimpin Umno dan BN membuat perubahan dalam mentadbir negara pada masa depan.

Sebab itu, katanya Umno memperkenalkan program Juara Rakyat supaya pemimpin dan anggota parti dapat menyelami perasaan dan membantu serta menyelesaikan masalah rakyat.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata Umno perlu lantang dan tidak perlu takut dalam mempertahankan hak orang Melayu kerana asas perjuangan parti itu adalah bagi membela bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia.

"Sekarang saya nampak badan bukan kerajaan (NGO) yang agak lebih lantang memperjuangkan hak orang Melayu sedangkan itu agenda Umno. Kenapa kita dilihat lesu? Orang Melayu tidak sehebat dulu. Jadi mereka (orang Melayu) pergi ke badan-badan lain. Ini satu kesilapan," katanya.

Beliau berkata Umno perlu terus ke hadapan memperjuangkan hak orang Melayu namun pada masa yang sama, mereka juga tidak boleh menafikan hak bangsa-bangsa lain dalam negara.

Bernama

Jambatan Bengkok : Cepatnya Kajian dijalankan... err kaji atau Tidak ni??

Posted: 02 Jul 2010 08:41 PM PDT

Pada 26 June yang lalu setelah mendengar Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail bertitah bahawa baginda mahu mahu kerajaan pusat mempertimbangkan semula projek jambatan baru menggantikan Tambak Johor yang pembinaannya dibatalkan pada 2006.

Pembinaan jambatan bengkok tersebut telah diilhamkan oleh Mahathir bagi menggantikan Tambak Johor setelah mengambil kira pandangan semua pihak , ianya telah dihentikan oleh Pak Lah pada 12 April 2006.

Mungkin kerana takut gelaran yang dianugerahkan kepadanya oleh Negeri Johor ditarik balik maka dengan segera Najib menjawab kerajaan akan mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Malangnya dalam masa tidak sampai satu bulan Najib berkata kerajaan akan mengkaji semula projek itu, hari ini Nazri Aziz denggan bangganya mengatakan Pentadbiran Najib tiada rancangan untuk menghidupkan semula jambatan bengkok yang pernah diilhamkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Tambak Johor.

Effisien sungguh kerja mereka, Berjaya menjalankan kajian dalam masa yang pendek.. tak sampai 2 minggu pun kajian dijalankan.. atau tak ada kajian yang dibuat pun.. Najib sekadar menjawab begitu untuk menjaga hati Sultan Johor saja..

Atau mungkinkah apabila Sultan Johor murka, Najib akan berkata ianya belum MUKTAMAD??



Nazri: Jambatan bengkok ganti Tambak Johor tidak dibina


Oleh Shazwan Mustafa Kamal

July 03, 2010

KUALA LUMPUR, 3 Julai — Pentadbiran Najib tiada rancangan untuk menghidupkan semula jambatan bengkok yang pernah diilhamkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Tambak Johor, kata Datuk Seri Nazri Aziz.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kerajaan akan kekal dengan keputusan yang dicapai antara Datuk Seri Najib Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika pentadbiran perdana menteri terdahulu itu.

"Keputusan pentadbiran kerajaan semasa kekal dan berpegang pada keputusan yang dibuat oleh pentadbiran sebelum ini, di bawah (kepimpinan) Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Jambatan bengkok tidak akan dibina. Tidak ada perbincangan untuk menghidupkan projek ini," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Tegas Nazri, kerajaan tidak boleh dengan sewenang-wenangnya memberi reaksi kepada laporan media, yang memetik individu-individu tertentu yang mendesak agar idea itu dihidupkan semula.

Sebaliknya kata beliau, persetujuan dan permintaan daripada pelbagai perlu dipertimbangkan sebelum projek ini boleh dihidupkan semula.

"Perlu ada kenyataan rasmi daripada kerajaan negeri Johor dan Singapura juga perlu bersetuju dengannya," kata Nazri lagi.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan Singapura belum bersetuju dengan perkara berkaitan dengan jambatan bengkok.

"Oleh itu adalah sukar, di banyak peringkat, untuk meneruskan projek ini," kata menteri undang-undang ini dan yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen.

"Ketika era beliau, Dr Mahathir mahu membina (jambatan bengkok) untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor. Tetapi, malah ketika itu pun Singapura tidak bersetuju," katanya.

Keputusan kerajaan ini dinyatakan oleh Nazri di sebalik pandangan Dr Mahathir baru-baru ini dan permintaan Sultan Johor minggu lalu agar menghidupkan semula projek berkenaan.

Dalam tulisan menerusi blognya Rabu lalu, Dr Mahathir mengulangi pendirian beliau agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghidupkan semula pelan membina "jambatan bengkok" yang pernah dicadangkannya untuk menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan Johor dan Singapura.

Sehubungan itu, bekas perdana menteri menyoal sebab Najib enggan meneruskan idea berkenaan memandangkan perkara tersebut juga telah disentuh oleh Sultan Johor minggu lalu.

"Dilaporkan bahawa Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Johor telah bertitah bahawa baginda suka untuk melihat jambatan menggantikan tambak Johor.

"Demikian juga dititah oleh Al-Marhum Sultan Iskandar bahawa baginda hendak tambak Johor diganti dengan jambatan.

"Saya tidak pernah dengar rakyat Johor kecuali seorang yang bersetuju kekalkan tambak dan kesesakan lalu lintas di Johor Baru kerananya. Demikian juga saya tidak dengar bantahan oleh rakyat Malaysia terhadap projek jambatan mengganti tambak Johor ini," kata Dr Mahathir.

Pada 26 Jun lalu, Sultan Ibrahim meminta kerajaan mempertimbangkan semula rancangan asal pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Dalam ulasan segera pada hari yang sama Najib berkata, kerajaan akan mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Bagaimanapun Perdana Menteri tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Dr Mahathir menegaskan terdapat juga surat daripada bekas perdana menteri Singapura Goh Chok Tong yang disiarkan oleh kerajaan Singapura dalam buku "Water Talks - If Only It Could" bahawa beliau tidak membantah pembinaan jambatan di perairan Malaysia jika itu dikehendaki oleh Malaysia.

Oleh itu kata Dr Mahathir, yang menolak pembinaan jambatan ini hanyalah Abdullah yang mendakwa rakyat Johor tidak mahu jambatan ini walaupun tiga hari sebelum kenyataan ini dibuat timbalan perdana menteri ketika itu iaitu perdana menteri sekarang telah mengesahkan bahawa Jambatan berkenaan tetap akan dibina.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed pula berkata Dr Mahathir memberi tumpuan perkara remeh-temeh dan sebab utama beliau membawa semula isu ini adalah kerana tidak berpuas hati dengan perjanjian terbaru antara Malaysia dan Singapura.

"Dr Mahathir hanya tidak gembira dengan perjanjian terbaru dengan Singapura. Apakah nilai sebenar jambatan bengkok ini? Mengambil kira kos asas, tidak munasabah untuk menghidupkan semula projek ini," kata beliau ketika dihubungi.

Ketua Umno Bahagian Pulai itu berkata, meskipun jambatan alternatif hendak dibina ia tidak akan mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

"Kesesakan masih akan wujud pada waktu puncak di Tambak Johor, jambatan bengkok tidak akan mengubah keadaan itu," katanya lagi.

Jelas beliau, kerajaan sudah mula melakukan pengubahsuaian di Tambak Johor dengan membenarkan lebih banyak kereta dan bot kecil dan feri berulang alik dari Johor ke Singapura.

"Sudah ada kerja-kerja mendalamkan perairan yang menghubungkan sebelah kiri dan kanan Tambak Johor, bagi membolehkan feri, bot menggunakan terusan ini," kata Nur Jazlan.

Dalam pertemuan antara Najib dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong baru-baru ini isu jambatan bengkok atau jambatan ketiga tidak dibincangkan pada pertemuan mereka.

Najib mengemukakan idea jambatan ketiga yang menghubungkan Singapura dan Malaysia Jun tahun lalu, yang boleh mencergaskan pembangunan di sebelah timur Johor dan di kawasan-kawasan seperti Mersing dan Desaru.


The Malaysian Insider

Mengapa Faktor Kaum Dan Agama Harus Dijadikan Faktor Pemilihan Pemimpin?

Posted: 02 Jul 2010 07:51 PM PDT

Jadi faktor warna kulit bukan merupakan faktor utama untuk memilih seorang pemimpin, tetapi faktor krebiliti dan faktor kecekapan memerintah yang harus diambil kira...

Sebelum Pilihan raya 08 march 2008, isu yang selalu dibangkitkan oleh MCA adalah isu "mengundi DAP adalah seperti mengundi PAS" dan nampaknya slogan begitu begitu berkesan sehingga BN menang majoriti 2/3 di parlimen sekali lagi pada pilihan raya 1999 iaitu pilihan raya selepas pemecatan Anwar Ibrahim.

Menurut statistik yang dijalankan pada masa itu, ramai pemuda-pemudi terutamanya pemuda Melayu berasa simpati terhadap Anwar sehingga berlakunya beribu-ribu pengundi baru didaftarkan. Keputusan pada masa itu menunjukkan kerusi yang sebelum ini dikuasai oleh UMNO telah jatuh ke dalam tangan PAS dan PKN (Parti Keadilan Nasional iaitu sebelum wujudnya Parti Keadilan Rakyat, PKR). Namum Pakatan Alternatif (PA) pada ketika itu gagal menang di kerusi campuran kaum, kerusi yang dipegang kuat oleh Barisan Nasional (BN) kerana kaum Cina pada masa itu termakan dengan slogan MCA iaitu mengundi DAP adalah seperti mengundi PAS, dan sekiranya PAS menang maka Malaysia akan bertukar ke Negara Islam.

Taktik MCA nampak berjaya sehingga DAP hilang kebanyakan kerusi mereka dan memaksa mereka keluar dari PA (faktor pemerintahan PAS di Terengganu selepas pilihan raya juga membawa kepada berlakunya insiden tersebut).

Jadi pada pilihan raya ke 12, mereka juga menggunakan taktik yang sama untuk menakutkan pengundi Cina, tajuk utama mereka di setiap kampung Cina bukan tajuk Nasional dan manifesto pilihan raya tetapi mengenai isu Negara Islam. Namum begitu, taktik mereka kali ini nampaknya gagal kerana isu kemelesetan ekonomi dan kesusahan kehidupan telah mengatasi isu perkauman yang dimainkan selama ini. Jadi kerusi campuran kaum yang sebelum ini dipegang kuat oleh BN tetal jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (ditubuhkan selepas pilihan raya).

Setelah cara pemerintahan PR di Negeri Perak dan Kelanta, PAS yang sebelum ini dianggap parti Islam oleh pengundi Cina berjaya menembusi hati jiwa orang Cina. Hal ini demikian kerana pemuda Kelantan berbangsa Cina telah memberitahu isu yang sebenarnya berlaku di Kelantan menerusi forum dan dari mulut ke mulut, telah berjaya menyedarkan ramai pemuda Cina bahawa imej PAS yang dimainkan oleh media utama adalah tidak benar sama sekali. Kesannya sangat mendalam kerana kebiasaan pemuda ini akan balik ke kampung dan memberitahu keluarga mereka isu yang sebenar berlaku di Kelantan yang dipimpin oleh PAS dan hal ini telah menyakinkan ahli keluarga mereka sehingga PR kini berjaya memenangi undi dari kaum orang Cina dalam pilihan raya kecil.

Isu ini sekali lagi hilang tarikan selepas pilihran raya kecil di Sibu dimana SUPP menggunakan taktik yang sama seperti MCA sebelum pilihan raya ke 12 iaitu isu mengundi DAP adalah sama seperti mengundi PAS sepanjang pilihnan raya itu. Tetapi kehadiran Nizar (MP Bukit Gantang dan Menteri Besar Perak) dan Khalid Samad (MP Shah Alam) begitu mendapat sambutan daripada penduduk tempatan.

Akhirnya keputusan pilihan raya kecil Sibu telah membuktikan isu Negara Islam telah hilang tarikannya dalam hati pengundi orang Cina sebaliknya mereka lebih mementingkan isu negara seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan wang. Hal ini amat merisaukan BN terutamanya MCA.

Kini MCA menggunakan taktik baru iaitu memberitahu pengundi Cina bahawa sekiranya Pakatan Rakyat menang di Pilihan raya akan datang, Perdana Menteri bukan dimilikan oleh Anwar Ibrahim tetapi akan jatuh ke tangan PAS dan ini akan menjadikan malaysia menghala kepada penubuhan Negara Islam. Anda boleh mengikuti laporan lanjut dalam Bahasa Cina disini 1) SinChew 2) MalaysiaKini 3) KwongWah Daily (Guna Google Translate untuk terjemahan)

Faktor utama mereka memainkan isu ini adalah kerana Anwar Ibrahim telah berjaya mendapat hati pengundi Cina kerana cara pemikiran yang lebih neutral dan mesra rakyat Malaysia. Dan mereka masih percaya kaum Cina akan takut sekiranya PAS memerintah Malaysia.

Benarkah sekiranya PAS memerintah maka orang Cina akan terseksa? saya menyangkal kenyataan ini, cuba lihat pemerintan PAS di Perak dan Kelantan. Sekiranya mereka betul-betul mengamalkan cara pemerintahan Islam yang sebenar iaitu saya percaya perkauman tidak wujud dalam Islam, maka ia dapat membawa kebaikan sebaikan kepada semua rakyat dan membawa Malaysia ke negara yang lebih bersatu padu. Jangan rupa pepatah orang tua, bersatu padu mencerai roboh.

Tidak dapat dinafikan, segelintir pengundi Cina masih percaya hanya Pemimpin Cina yang dapat membawa manfaat kepada mereka begitu juga dengan pengundi India. Tetapi sejarah telah membuktikan kenyataan itu adalah salah sama sekali. terdapat juga pemimpin Cina yang mengamalkan amalan rasuah dan membazirkan wang rakyat, jadi pemikiran itu harus diubah dan apa yang kita mengharapkan ialah pemimpin yang berjiwa rakyat, tanpa mengira beliau berasal dari kaum apa.

Sistem pendidikan Malaysia yang gagal untuk menanam perpaduan rakyat harus diubal. Sekiranya anda memasuki kelas di Universiti, maka anda akan terkejut melihat perpaduan antara kaum di Universiti. Pelajar telah dibahagikan kepada puak atau warna kulit. Hal ini amat merisaukan saya sebagai warga negara yang berbilang kaum. Walaupun pensyarah cuba menanam perpaduan dengan mewajibkan kerta kerja (assignment) yang diberikan harus terdiri daripada kumpulan yang berbilang kaum, namum pada pendapat saya, itu bukan jalan penyelesaian.

Jadi faktor warna kulit bukan merupakan faktor utama untuk memilih seorang pemimpin, tetapi faktor krebiliti dan faktor kecekapan memerintah yang harus diambil kira.



Apa pendapat Kalian? Berikanlah pendapat anda disini...


http://gomalaysian.blogspot.com/

'BN salah guna agensi cuba tumbang k'jaan S'gor'

Posted: 02 Jul 2010 07:43 PM PDT

Kelab penyokong Pakatan Rakyat (PRBBC) menuduh BN menggunakan agensi dan jentera kerajaan bagi menggulingkan kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR.

Pengerusi PRBBC Azmin Ali berkata mereka mendapat maklumat bahawa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal dua ADUN Pakatan semalam "bermotifkan politik".

"Umno menggunakan institusi seperti SPRM, polis dan pejabat Peguam Negara bagi menumbangkan kerajaan Pakatan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PRBBC pagi ini.

Semasa pertemuan itu, dua ADUN yang disoal oleh SPRM semalam - Amirudin Shari (Batu Caves) dan Shuhaimie Shafie (Sri Muda) - menceritakan kepada rakan-rakan bagaimana suruhanjaya itu menyoal mereka berhubung isu pasir kerajaan Selangor.

Azmin, yang juga ADUN Bukit Antarabangsa berkata selain itu, mesyuarat berkenaan turut membincangkan kononnya berlaku pergeseran antaranya dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Azmin menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai propaganda jentera Umno.

Katanya, mesyuarat juga membincangkan situasi semasa Pakatan di Selangor tetapi enggan mengulas lanjut.


Malaysiakini

Tiada ulasan: