Jumaat, 2 Julai 2010

Anak Cucu Nabi Adam

Anak Cucu Nabi Adam


Perlukah Kita Mengamalkan Seks Yang Selamat?

Posted: 01 Jul 2010 04:35 AM PDT

Ya! Jauhilah AIDS dengan SEKS YANG SELAMAT. Sesiapa pun boleh dijangkiti HIV, tidak kira lelaki atau wanita, heteroseks, homoseks atau dwiseks. Anda tidak tahu siapa telah dijangkiti virus HIV. Oleh yang demikian, pastikan anda mengamalkan seks yang selamat setiap kali.

SEKS YANG SELAMAT ialah seks tanpa pemindahan air mani, cecair faraj atau darah di antara anda dengan pasangan anda. HIV tidak dapat menembusi kulit yang sihat dan tidak berluka. Jumlah virus HIV di dalam air liur tidak mencukupi untuk menyebabkan jangkitan. Setakat ini, tiada sesiapa yang pernah dijangkiti HIV melalui ciuman.

PERSETUBUHAN Cara utama HIV berjangkit adalah melalui persetubuhan tanpa perlingdungan. Air mani, darah and cecair faraj seseorang yang dijangkiti HIV mengandungi banyak virus tersebut.

Semasa persetubuhan, virus HIV senang menembusi tisu-tisu sensitif di dalam zakar, faraj atau dubur. Risiko jangkitan masih wujud walaupun zakar ditarik keluar sebelum pancutan air mani. Jadi jangan melakukan persetubuhan tanpa mengunakan kondom serta pelincir walaupun ia berlangsung seketika sahaja.

SEKS MELALUI MULUT (ORAL SEKS) Jangkitan HIV mungkin berlaku jika air mani yang mengandungi virus tersebut terkena pada bahagian dalam mulut tetapi risiko ini rendah. Risiko jangkitan HIV adalah lebih tinggi jika mulut anda bersawan atau berdarah.

Menghisap zakar adalah selamat asalkan air mani tidak terpancut ke dalam mulut. Gunakanlah kondom supaya air mani tidak terkena pada mulut. Menjilat dan mencium bahagian kemaluan wanita adalah selamat asalkan ia tidak berkudis serta tiada luka atau tengah datang haid.

Bagaimana Anda Boleh Berbincang Mengenai Seks Yang Selamat?

Bincang tentang SEKS YANG SELAMAT dengan pasangan anda. Ini adalah penting. Pada mulanya, anda mungkin rasa segan atau susah hendak membangkitkan perkara ini. Anda perlu jujur dan berterus-terang dengan pasangan anda supaya dia memahami dan menghormati kehendak dan batasan anda.

Sediakan kondom. Adalah OK untuk merancang dan membuat persediaan untuk perhubungan seks.

Walaupun anda sudah tahu cara-cara seks yang selamat, ini tidak bermakna anda tidak akan tergoda dengan seks yang tidak selamat. Anda mungkin melakukan seks yang tidak selamat jika anda menghadapi kesukaran memakai kondom, mabuk, khayal atau terlalu ghairah. Mungkin anda tengah bercinta ataupun merasa sedih dan kesunyian. Dalam keadaan tersebut, pastikan anda mengamalkan seks yang selamat juga.

Sekiranya anda melakukan seks yang TIDAK selamat, tanya diri mengapa demikian. Belajarlah daripada kejadian itu supaya ia tidak berulang lagi. Sediakan diri untuk manghadapi situasi sedemikian.

SEKS YANG SELAMAT melindungi anda. Amalkan perhubungan seks yang sihat, kreatif and selamat.

Petua Menggunakan Kondom

1. Gunakan kondom yang bermutu baik.

2. Jika anda tidak biasa mengunakan kondom, berlatihlah. Cubalah sendiri atau dengan pasangan anda.

3.. Gunakan pelincir yang berasaskan air seperti KY. Jangan guna pelincir yang berasaskan minyak seperti vaselin atau krim muka. Minyak boleh merosakkan kondom.

4. Bubuh sedikit pelincir ke dalam puting kondom untuk meningkatkan sensiviti.

5. Picit puting kondom supaya tiada udara di dalamnya dan pasangkan pada zakar yang tegang. Masukkan gulungan kondom itu sehingga pangkal zakar.

6. Sapukan lebih lagi KY pada bahagian luar kondom yang dipasangkan itu.

7. Selepas memancut, peganglah pangkal kondom dan tarik keluar zakar semasa ia masih tegang. Tanggalkan kondom itu dengan cermat.

8. Ada berbagai jenis kondom yang anda boleh cuba. Pilihlah yang baik dan bersesuian dengan anda.

Seks hambar punca keretakan rumahtangga?

Posted: 01 Jul 2010 04:29 AM PDT

Pasangan suami isteri patut rujuk al-Quran, hadis perbaiki hubungan kelamin.

DUA tiga kali saya berfikir untuk menulis isu ini kerana ia sensitif bagi sesetengah orang. Namun, saya percaya semua boleh bersetuju bahawa hubungan intim suami isteri adalah perkara penting dalam hubungan suami isteri.

Antara punca besar keretakan rumah tangga ialah hubungan seksual yang hambar. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004, menunjukkan faktor utama perceraian mendapat peratusan tertinggi ialah tiada persefahaman, curang dan enggan dimadukan (12 peratus).

Faktor lain kerana tidak bertanggungjawab (11.5 peratus), campur tangan mentua atau ipar duai (8.8 peratus), disebabkan ketagihan dadah atau alkohol (7.1 peratus), masalah kewangan (1.6 peratus), terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan (1.1 peratus), didera (0.5 peratus) dan selebihnya faktor lain.

Menurut statistik perceraian dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), punca krisis rumah tangga kerana tidak serasi, kecurangan, poligami, campur tangan keluarga, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan dan suami isteri bermain kayu tiga.

Hubungan hambar disebabkan kurang keinginan seks sama ada daripada pihak suami atau isteri, isteri berasa bosan kerana suami cepat klimaks setiap kali bersama, ketiadaan zuriat, suami mati pucuk, isteri tidak pernah atau jarang mencapai orgasm, juga menjadi masalah besar dalam rumah tangga.

Ia menjadi punca berlaku perbalahan kerana ada pihak yang memendam perasaan dan sakit hati akibat perkara yang dianggap kecil oleh sebelah pihak lagi. Lebih parah apabila pasangan terjerumus dalam fenomena mempunyai kekasih gelap.

Kajian dibuat syarikat farmaseutikal Pfizer melalui The Asia Pacific Sexual Health and Overall Wellness atau APSHOW pada 2008, menunjukkan 57 peratus lelaki dan 64 peratus wanita tidak berasa puas dengan kehidupan seksual mereka.

Kajian dilakukan di 13 negara dari kawasan Asia Pasifik, termasuk Malaysia dengan taburan responden sebanyak 328 lelaki dan 250 wanita. Di negara ini, kajian mendapati 73 peratus wanita Malaysia tidak puas dalam hubungan seks mereka, 62 peratus lelaki turut dikatakan tidak puas.

Pakar seksologi Pusat Kesihatan Seksual Australia, Dr Rosie King berkata, peratusan itu menunjukkan kadar yang tinggi berbanding purata peratus keseluruhan tahap kepuasan seks diperoleh di Asia Pasifik.

Katanya, fenomena itu berlaku berikutan kebanyakan lelaki dan wanita di Malaysia lebih mengutamakan kerjaya dan kehidupan keluarga.

Laporan pada tahun sama memetik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu, Muhammad Ramli Nuh, berkata bau badan, adegan seks dan baju tidur membosankan dikenal pasti sebagai punca kenaikan kadar perceraian di negeri itu.

Kerajaan Negeri Terengganu terpaksa merangka satu cara inovasi untuk memperbaiki hubungan kelamin antara suami isteri khususnya di kalangan mereka yang baru berkahwin, termasuk menjemput syarikat kosmetik memperkenalkan bau-bauan eksotik yang mampu menimbulkan rasa ghairah, mencadangkan suami isteri lebih kerap mandi bersama sebagai salah satu jalan untuk mengukuhkan jalinan mesra.

Dalam Islam isu seks bukan sesuatu yang memalukan untuk diketengahkan. Hubungan seks suami isteri yang halal adalah suatu ibadah dalam rumah tangga seorang muslim. Hari ini, kita tidak didedahkan dengan hadis hubungan seks suami isteri yang lengkap.

Sebaliknya, lebih banyak merujuk kepada pakar perubatan atau kaunselor seolah-olah Islam bukan tempat rujukan yang tepat. Walhal, ada banyak nasihat dalam hadis Nabi SAW yang menekankan kepentingan pasangan suami isteri menjaga pengurusan hubungan seks mereka.

Melayani hubungan seks seorang suami adalah bukti ketaatan isteri. Firman Allah yang bermaksud: "Isteri-isteri kamu adalah sawah ladang kamu, maka datangilah sawah ladangmu itu dengan cara yang kamu sukai." (Surah al-Baqarah, ayat 223)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bagi kamu melakukan jima' (hubungan seks) dengan isterimu adalah satu pahala. Lalu sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah seseorang di antara kita menyalurkan syahwatnya akan mendapat pahala? Jawab Baginda: Bagaimana pendapatmu jika dia menyalurkan syahwatnya itu pada yang haram, apakah ia berdosa? Begitulah jika ia meletakkannya pada yang halal, maka ia mendapat pahala." (Hadis riwayat Muslim)

Diriwayatkan pada suatu malam, Khalifah Umar Al Khattab meronda kota Madinah dan Umar mendengar keluhan dan rintihan seorang wanita: "Malam ini begitu panjang dan tepi langit begitu hitam. Sudah lama aku tiada kawan untuk bersenda gurau. Demi Allah! Jika tidak kerana takut kepada Allah SWT, tentu kaki tempat tidur ini sudah bergoyang. Tetapi, Tuhanku! Rasa malu cukup menahan diriku. Namun, suamiku sungguh lebih mengutamakan mengenderai untanya."

Selepas disiasat, rupa-rupanya suami wanita ini selalu berjihad fisabilillah. Lantas Saidina Umar menetapkan waktu tugas bagi tenteranya untuk berada di medan tempur hanya selama enam bulan saja.

Kisah itu memperlihatkan keperluan hubungan seks bukan saja keinginan kaum lelaki, tetapi juga keinginan semula jadi wanita.

Rasulullah SAW berpesan kepada kaum lelaki yang bermaksud: "Jika seseorang di antara kamu melakukan hubungan seks dengan isterinya hendaklah bersungguh-sungguh. Bila ia sedang menyelesaikan keperluannya itu padahal isterinya belum sampai kepada klimaksnya, maka janganlah ia tergesa-gesa (untuk mengakhirinya) sebelum keperluan isterinya diselesaikan pula."

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Boleh dihubungi melalui 03-2274 1499 atau e-mail ke sekretariatpgsm@yahoo.com

Ketagihan Seks Menyebabkan Gangguan Mental

Posted: 01 Jul 2010 04:29 AM PDT

Persoalan ketagihan seks hingga saat ini masih menjadi perdebatan para pakar. Sebahagian berpendapat bahawa hal itu terjadi kerana seseorang tidak boleh mengawal mentalnya. Namun, sebahagian ahli mengatakan bahawa ketagihan seks merupakan bentuk gangguan mental.

Para ahli berpendapat, sesuatu yang sifatnya kompulsif dan tidak terbendung boleh membahayakan. Itu sebabnya ketagihan seks, seperti halnya ketagihan minuman keras, perlu mendapatkan penanganan profesional.

Akan tetapi, para ahli kesihatan mental tidak setuju bila perilaku ketagihan seks ini dikategorikan sebagai gangguan mental. Oleh kerana itu, dalam edisi terbaru Diagnosis and Statistical Manual of Mental Disorder, semacam "kitab suci" para psikiatri, ketagihan seks tidak disebutkan dalam kategori perilaku ketagihan.

"Belum banyak bukti empiris untuk menyebut ketagihan seks dalam kategori tersebut," kata Dr Martin P Kafka, profesor psikiatri dari Harvard Medical School.

Namun, hal itu ditentang oleh para terapi. "Kami telah menangani ketagihan seks selama lebih dari 20 tahun," kata Douglas Weiss, psikolog dan direktor pusat kaunseling di Amerika Syarikat.

Lebih lanjut, Weiss menjelaskan perbezaan antara orang dengan dorongan seks yang besar dan ketagihan seks. "Orang yang mentalnya tinggi menginginkan adanya hubungan emosional dan menemukan kepuasan setiap kali melakukan hubungan intim. Sementara itu, seorang ketagihan seks hanya ingin memuaskan hasratnya. Mereka tidak mencari keintiman, bahkan mereka tidak merasa 'ada' saat melakukannya," katanya.

Menurut Kafka, ada definisi klinikal yang harus dipenuhi untuk menyebut perilaku ketagihan seks sebagai sebuah ketagihan, dan hal itu tidak dipenuhi dari perilaku ketagihan seks. Misalnya, orang yang ketagihan seks tidak melakukan hubungan intim untuk mendapatkan kesan yang sama, seperti halnya pada ketagihan arak.

Hal itu berbeza dengan ketahihan arak atau ketagihan judi yang tidak memiliki dorongan biologi seperti makan, tidur, atau berhubungan seks. "Kita semua ingin makan dan ingin melakukan seks. Dengan kata lain, sukar mengatakan sebuah tingkahlaku yang berkaitan dengan keinginan dasar manusia sebagai sebuah ketagihan," kata Kafka.

Dalam ilmu psikiatri, orang yang ketagihan melakukan sesuatu atas dorongan biologi tidak disebut ketagih. Misalnya, orang yang makan secara kompulsif disebut sebagai bulimia, bukan ketagih makan. Itu sebabnya kini sedang dicari kategori baru untuk gangguan hiperseks dalam buku manual diagnosis psikiatri.

Pas Setuju Prinsip DAP Tolak Negara Islam?

Posted: 01 Jul 2010 04:26 AM PDT

Dalam wawancara dengan Malaysian Insiders semalam, Pengerusi DAP, Karpal Singh yakin pemimpin Pas yang progresif dan liberal bersedia mewujudkan negara sekular demi pembentukan kerajaan Pakatan di peringkat persekutuan.

Menurut Karpal, "Ia (Malaysia) sebuah negara sekular. Saya percaya Allahyarham Tunku Abdul Rahman (perdana menteri pertama) pernah menyebut sebelum ini mengenai Malaysia. Pemimpin-pemimpin PAS yang liberal, progresif merupakan kunci dalam mencapai persefahaman ke arah kompromi yang baik."

Ini menimbulkan tanda tanya kerana Nik Aziz dan pemimpin Pas dalam banyak ceramah kepada penyokong mereka mendakwa DAP sudah menerima perjuangan negara Islam Pas.

Karpal sebaliknya terkejut dan menafikan perkara tersebut. Sebaliknya beliau mendakwa pemimpin Pas yang liberal dan progresif akan menerima pandangan DAP yang mahukan sebuah negara sekular.

Apakah Pas berani membuat sebarang kenyataan mengenai kenyataan Karpal Singh ini?

Berikut ialah petikan laporan Malaysia Insiders

Karpal: Pendirian DAP kekal, tidak kepada negara Islam
Oleh Shazwan Mustafa Kamal
June 28, 2010

Meskipun DAP semakin selesa membina ikatan kukuh bersama PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) manakala parti-parti sekular Umno dan PKR pula giat memikat para ulama, DAP masih berpendirian menentang usaha pembentukan sebuah negara Islam.

Sementara PR menyasarkan impian mahu menawan Putrajaya dengan mengakhiri penguasaan
lebih lima dekad Barisan Nasional (BN), persoalan yang masih menjadi perhatian ramai - sama ada DAP sanggup menerima perjuangan PAS untuk membina sebuah negara Islam di Malaysia?

Bagi Pengerusi kebangsaan DAP Karpal Singh, jawapannya ialah "tidak".

"Mustahil bagi DAP berkompromi dalam hal ini. Kami tidak boleh kompromi agar negara berubah menjadi negara Islam (jika PR mengambil alih kerajaan pada masa depan)," kata Karpal.

"Ia sebuah negara sekular. Saya percaya Allahyarham Tunku Abdul Rahman (perdana menteri pertama) pernah menyebut sebelum ini mengenai Malaysia," kata ahli politik veteran ini kepada The Malaysian Insider.

Karpal yang genap 70 tahun hari ini memberitahu, tidak pernah wujud kekeliruaan mengenai status Malaysia sebagai sebuah negara sekular.

Karpal menyalahkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengubah realiti sebuah negara sekular menerusi kenyataan-kenyataan politiknya yang dibuat oleh beliau pada masa-masa lalu, yang telah "mengelirukan orang ramai" berkenaan identiti Malaysia.

"Perlembagaan menyediakan peruntukan mengenai perkara ini. Tiada peruntukan dalam perlembagaan yang mengatakan Malaysia sebuah negara Islam.

"Agama rasmi Malaysia ialah Islam tetapi tidak bermakna ia sebuah negara Islam," kata beliau lagi.

PAS yang kelihatan sudah berjaya menawan hati masyarakat bukan Islam sejak kebelakangan ini mendakwa DAP juga mula memahami dan menerima idea PAS untuk mewujudkan sebuah negara Islam.

Karpal kelihatan terkejut apabila disebutkan bahawa PAS dalam ceramah-ceramahnya memaklumkan bahawa DAP sudah menerima konsep negara Islam secara perlahan-lahan dan menghormati pendirian PAS dalam hal itu.

Bagaimanapun Karpal menegaskan, kesemuanya tertakluk kepada undang-undang dan peraturan persekutuan.

"Pada 1988, Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular," katanya.

"Pada 1990, ketika satu ceramah di Sungai Pinang, akhbar-akhbar memetik saya mengatakan (bina) 'negara Islam dengan melangkah mayat saya'," katanya.

"Mereka (pemberita) tidak membuat laporan konteks kenyataan saya ketika.

"Saya mengatakan demikian dalam hubungan kepada perlembagaan. Tetapi saya kekal dengan pendirian itu, mengatakan perkara yang sama sekarang," kata Karpal.

Ikatan antara DAP dan PAS bukan sesuatu yang baru dalam bentuk PR. Kedua-dua parti itu pernah menjalin kerjasama dengan mewujudkan Barisan Alternatif pada pilihan raya umum 1999, tetapi gagal meneruskan jalinan ekoran isu negara Islam.

"Kita pernah menjalin pakatan pada masa lalu tetapi kita gagal. Apa yang membezakan sekarang ialah kami bersatu dalam mengetepikan musuh bersama iaitu Barisan Nasional.

"Buat masa sekarang, yang paling utama ialah mengambil alih Putrajaya daripada BN," katanya.

Apa akan berlaku selepas PR mengambil alih kerajaan persekutuan nanti?

Karpal mengakui bahawa beliau belum dapat melihat bagaimana PAS atau DAP boleh berkompromi dalam isu ini.

"Akan tiba masa nanti apabila kita perlu menghadapi hakikat ini. Bagaimana kita akan berkomrpomi?

"Jika DAP berkompromi, ia bermakna ia menerima Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan jika PAS berkompromi, bermakna ia menerima negara sekular dan ini akan bertentangan dengan prinsip mereka sendiri.

"Apa yang menyatukan Pakatan ialah PKR. Tanpa PKR ia akan kelihatan seperti yang sama sebelum ini," kata Karpal.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Bukit Gelugor memberi jaminan perkara itu sentiasa dibincangkan oleh DAP. Difahamkan DAP dan PAS hanya akan menangani isu ini apabila mereka memenangi kerusi majoriti dalam pilihan raya umum akan datang.

Pemimpin-pemimpin DAP masih meletakkan harapan bahawa PAS akan mengubah pendiriannya dalam isu negara Islam.

"Pemimpin-pemimpin PAS yang liberal, progresif merupakan kunci dalam mencapai persefahaman ke arah kompromi yang baik," katanya lagi.

Katak Gemok dok meroyan

Posted: 01 Jul 2010 04:20 AM PDT

Wakil Rakyat sepatutnya menimbulkan cadangan yang bernas mengenai dasar negara dan berani mengkritik keputusan Kerajaan. Itulah tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh saorang Yang Berhormat.

Lebih lebih lagi kalau kita itu Wakil rakyat "Bebas" yang begitu di gemari oleh PM Najib Tun Razak. Kenalah jaga standard supaya orang tak mengatakan kita ini budak suruhan semata mata, dan tidak ada modal bernas untuk diketengahkan dalam Dewan.

Jadi saya hairan mengapa pertemuan saya dengan Raja Petra di Manchester tahun lalu menjadi isu kepada YB Bayan Baru ini. Dia sudah semacam menjadi wakil special Branch bangga dengan pendedahannya yang saya duduk di Hotel Britannia bersama dengan Raja Petra di Manchester tahun lalu.

Dia kata MACC kena siasat petemuan ini. Inilah kerja Wakil Rakyat pro BN kita hari ini. Tak ada perkara lain nak ditimbulkan. Kalau dia tanya saya, saya akan beritahu lebih dari itu. Jumpa Raja Petra tidak salah wahai YB. YB pun boleh kerumahnya di Manchester.

Raja Petra dan isterinya Marina kawan saya . Saya tak tinggalkan kawan semata mata kawan ada dalam kesusahan. Jadi setiap kali saya ke London, saya jumpa mereka. Tahun lepas saya bawa Petra tengok bolasepak di Old Trattford; dia minat kepada Manchester United.

Jadi saya belanjalah dia. Itulah sedikit hiburan baginya yang terpaksa meninggalkan tanah air kerana menuntut kebenaran. Perjuagan seperti Petra mungkin YB Bayan Baru kita itu tak mengerti atau faham.

Memang dia booking Hotel itu untuk saya, tapi tak benar dia tinggal disitu kerana rumah mereka hanya 15 min dari situ. Hotel yang saya menginap itu pun 3 star , tak lah saperti hotel Zahrain guna semasa ke Washington. Maklumlah saya bayar sendiri.

Minggu depan saya akan ka London dan inshaaallah akan bertemu Marina dan Petra. Saya akan bekalkan butir lanjut jika YB Zahrain atau MACC mahu maklumat lain. Saya harap dapat juga bertemu Bala kalau MACC tidak mahu bertemu dengannya.

~Zaid Ibrahim~

Anwar mangsa lobi Zionis

Posted: 01 Jul 2010 04:19 AM PDT

Kunjungan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Amerika Syarikat beberapa hari lalu bukanlah untuk 'memujuk' Yahudi, sebaliknya bagi menyampaikan ucapan berhubung Islam dan demokrasi di Asia Tenggara, kata ketua penerangan PKR.

Latheefa Koya berkata perkara itu telah dijelaskan kepada pemimpin parti itu dalam mesyuarat majlis pimpinan pusatnya di Shah Alam Ahad lalu.

"Bukan untuk pujuk Yahudi. Beliau juga pergi untuk bertemu dengan anak lelakinya yang sedang menuntut di sana," katanya ketika diminta mengulas laporan bahawa ketua umum PKR itu berkunjung ke luar negara bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut.

Utusan Malaysia melaporkan, tindakan itu ekoran Anwar dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti-Yahudi dalam isu firma perunding APCO Worldwide baru-baru ini.

Memetik tulisan dalam Washington Post, akhbar Umno itu melaporkan Anwar meluangkan banyak masa untuk menawarkan penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk pengerusi jawatankuasa luar negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi.

Malah, Anwar dalam tulisan itu juga dikatakan menyesal menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis," yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Latheefa berkata, Anwar telah menjelaskan kepada pemimpin PKR bahawa dalam pertemuannya dengan pemimpin negara kuasa besar itu, beliau mengambil peluang menjelaskan perbezaan istilah "Yahudi" dan "Zionisme" seperti yang digunakan dalam konteks Malaysia.

Ini kerana, kata Latheefa, sikap anti-Yahudi adalah satu bentuk rasis kerana Yahudi itu mewakili bangsa sesuatu kaum.

'Mereka American'

"Anwar jelaskan bahawa beliau bukan anti-Yahudi tetapi anti Zionis," katanya yang menyifatkan pemimpin nombor satu Pakatan itu menjadi mangsa lobi Zionis di Amerika Syarikat yang terlalu luas.

"Beliau tak pernah minta maaf kerana mengkritik Zionis."

Latheefa juga menjelaskan pertemuan Anwar dengan pemimpin-pemimpin tertentu di luar negara hanyalah atas dasar "pertemuan pemimpin Malaysia dan Amerika".

"Mungkin kebetulan mereka Yahudi. Tetapi ini bukan isu, mereka American (orang Amerika)," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin (kanan) pula menyifatkan laporan Utusan Malaysia hari ini berniat jahat dan bagi menggambarkan Anwar pro-Yahudi.

"Mereka tidak faham seluruh artikel (dalam Washington Post) dan tidak membacanya dengan penuh teliti," katanya.

Katanya, jika dinilai berdasarkan tindakan Anwar mengkritik keganasan Israel dalam insiden berdarah flotila Mavi Marmara, jelas bahawa Anwar konsisten menentang keganasan Zionisme.

Ditanya tentang laporan bahawa Anwar dikatakan menyesal menggunakan istilah "pencerobohan Zionis", Shamsul yang juga ketua majlis pimpinan PKR Melaka menjelaskan:

"Saya tidak rasa artikel dalam Washington Post itu ada menggunakan perkataan kesal."

~MK~

Umno guna APCO serang Anwar

Posted: 01 Jul 2010 04:18 AM PDT

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno menggunakan isu APCO Worldwide untuk menyerangnya semasa berada di luar negara.

"Masalahnya, Umno menggunakan APCO, yang diketahui mempunyai hubungan dengan Israel, untuk menyerang saya di luar negara," ujarnya kepada media di Parlimen petang ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan akhbar hari ini berhubung perjumpaannya dengan beberapa pemimpin Yahudi di Washington sebagaimana laporan akhbar Washington Post, Isnin lalu.

Berita muka depan Utusan Malaysia hari ini melaporkan Anwar yangh dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa tokoh Yahudi disahkan mengunjungi Amerika Syarikat (AS) pada 23 hingga 26 Jun lalu bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut selepas dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti Yahudi dalam isu APCO Worldwide, baru-baru ini.

Kunjungan Anwar itu didedahkan oleh kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl dalam tulisannya di akhbar The Washington Post.

Berkenaan dengan zionis, Anwar menjelaskan, beliau ditanya kenapa menggunakan perkataan itu.

Jelasnya, mengikut fahamannya, zionis adalah berhubung kait dengan pencerobohan dan dasar imperial Israel yang terus memperluaskan wilayah Israel yang asal sehingga dalam keadaan sekarang.

Tetapi, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, mereka kata, bagi mereka zion adalah tanahair Yahudi.

"Saya kata jika itu istilah anda, ia berbeza dengan apa yang saya faham. Itu yang diputar belit oleh Utusan (Malaysia).

"Bila saya kata 'dunia sudah hilang kesabaran terhadap Israel', itu Utusan tak sebut. Bila yang membayar lebih RM70 milion kepada APCO, itu Utusan tak sebut, jadi kita fahamlah. Saya pun tak fikir RTM dan TV3 akan sebut, itu faktanya," kata beliau lagi.

Anwar menjelaskan, tujuan beliau ke Washington adalah di atas jemputan Woodrow Wilson International Center untuk memberikan syarahan.

Selepas itu, katanya seperti biasa diadakan perjumpaan yang telah diatur untuk kakitangan editorial dan media antarabangsa.

"Ramai rakyat Amerika dan Yahudi merasakan ia adalah satu terjemahan yang tidak adil kerana bagi mereka, zion adalah negeri/kerajaan yang adil dan sah.

"Jadi saya katakan pada mereka, jika itu maksud mereka, saya tidak merasakan demikian, dan saya tetap dengan pendirian dan fahaman saya bahawa zion itu adalah pencerobohan dan penjajahan," jelasnya.

~harakah~

Kalau Anwar Sesumpah KJ Biawak Malaya

Posted: 01 Jul 2010 04:17 AM PDT

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggelar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'sesumpah luar biasa", mendasarkan kepada satu laporan dalam akhbar Washington Post.

Artikel yang diterbitkan Isnin lalu itu berkata Anwar memberitahu kawan-kawannya di Amerika Syarikat bahawa beliau menyesal menggunakan istilah seperti 'pencerobohan Zionis '.
"(Beliau) menghabiskan banyak masa memberi penjelasan kepada teman-teman lama, termasuk pengerusi jawatankuasa halehwal luar negara Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi," tulis Jackson Diehl dalam artikel bertajuk 'Flirting with zealotry in Malaysia'.

Diehl merupakan timbalan pengarang untuk halaman pengarang The Washington Post.

Anwar juga dipetik berkata beliau menyesal menggunakan istilah 'pencerobohan Zionis' dan menegaskan yang beliau harus lebih berhati-hati menggunakan istilah tersebut, jangan sampai menyebabkan timbul salah faham.

Khairy berkata perkara itu membuktikan pelbagai wajah Anwar.

"Baru beberapa minggu lalu, beliau berdemonstrasi di luar Kedutaan Amerika Syarikat, dan sekarang, beliau mohon maaf di AS," katanya.

Khairy yang juga ahli parlimen Rembau meminta bekas timbalan perdana menteri itu menjelaskan tindakan itu kepada rakyat.

"Anwar harus menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku. Ini sangat serius," katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Dalam reaksinya pula, anak perempuan Anwar, ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah berkata ia menunjukkan ayahnya konsisten dalam usahanya berdialog dengan pihak Barat dengan tujuan untuk menghentikan pencerobohan dan keganasan Yahudi terhadap rakyat Palestin.

~MK~

Donald beri KJ jawapan parlimen paling teruk

Posted: 01 Jul 2010 04:16 AM PDT

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) nyata tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim di Dewan Rakyat hari ini apabila bertanyakan soalan berhubung masa depan Proton dan rakan strategiknya.

"Ini adalah jawapan paling teruk di parlimen sepanjang dua tahun saya menjadi ahli parlimen," katanya dalam mikro blog Twitter.

Pandangan Khairy itu disokong oleh Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara).

"Heh, KJ, Donald telah memberi jawapannya berhubung Proton di parlimen! Apa pandangan anda?" soal ahli parlimen pembangkang itu menerusi tweetnya sendiri.

Semasa sesi soalan, Khairy (kiri) ingin mendapat penjelasan berhubung strategi kerajaan dalam mencari rakan kongsi asing untuk syarikat kereta nasional Proton dan sama ada ia akan membabitkan pemilikan ekuiti asing.

Jawapan yang diberikan Lim bukan sahaja ringkas tetapi langsung tidak menjawap apa yang disoalkan.

Katanya, Proton akan meneruskan usaha untuk mencari rakan strategik baharu selepas syarikat Volkswagen menolak untuk bekerjasama dengannya.

Menurut Lim setakat ini, antara hubungan strategik yang dijalinkan termasuk usaha sama produk dengan Mitsubishi serta usaha sama serantau dengan China dan Iran.

"Bagaimana pun, usaha sama strategik tidak semestinya membabitkan pegangan ekuiti dengan satu syarikat saja dan amalan itu memang biasa dalam syarikat automotif global," katanya ketika menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau).

"Kerajaan juga akan memastikan Proton lebih berdaya saing," kata Lim yang jelas cuba menjawap soalan itu.

Khairy yang nyata tidak berpuas hati berkata ia adalah jawapan parlimen yang paling teruk dalam dua tahun beliau menjadi ahli parlimen.


"Kementerian Kewangan ingat pertanyaan MP ni main-main dan boleh bagi jawapan ala lepas batuk ditangga? Sia-sia saja baca laporan kewangan Proton," katanya dalam Twiteer.

Bagaimanapun, menurut Khairy beliau tidak menyalahkan timbalan menteri itu tetapi mempersalahkan kementeriannya kerana tidak membekalkan Lim (atas, kanan) yang baru dilantik dengan maklumat yang tepat.

Abdullah Sani (PKR-Hulu Langat) kemudiannya bangkit dan ingin tahu jumlah kereta Proton yang dihasilkan sejak beroperasi 25 tahun lalu dan statik kereta Proton yang dieksport.

Sekali lagi, Lim yang tidak bersedia mengakui beliau tidak mempunyai perangkaan itu dan berkata akan memberikan jawapan bertulis kemudian.

~MK~

UPSR dan PMR dimansuh diputuskan tahun ini

Posted: 01 Jul 2010 04:14 AM PDT

Kerajaan akan memastikan bahawa keputusan sekiranya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) wajar dimansuhkan, dibuat pada tahun ini juga.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusannya akan dibuat dalam masa satu atau dua bulan selepas tamat beberapa siri perbincangan meja bulat dengan pihak berkepentingan, yang dirancang dalam masa terdekat.

"Kita akan buat keputusan cepat, saya sudah minta Ketua Pengarah Pelajaran susun beberapa siri perbincangan di peringkat meja bulat, pihak yang ada kepentingan dipelawa untuk beri pandangan walaupun kita dah buat kajian lama mengenainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan 2010 di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, perbincangan itu juga bertujuan mendapatkan input lebih terperinci di samping memberikan gambaran lebih jelas sebelum keputusan mengenainya diambil.

Katanya, maklum balas yang diterima sehingga ini khususnya menerusi media amat menggalakkan serta positif, dan segala input serta maklum balas itu akan diambil kira sewaktu sesi perbincangan meja bulat di kementerian nanti.

"Hari ini pun saya buka suratkhabar masih ada pandangan bukan sahaja dari rakyat biasa tetapi juga dari mereka yang pakar dalam bidang pendidikan, dan beberapa pandangan agak bernas," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, rakyat masih boleh memberikan pandangan tetapi tidak perlu untuk berdebat panjang hingga boleh mencetuskan pelbagai kontroversi.

Mengenai Program Permata Negara yang akan diambil alih pelaksanaannya oleh kementerian pelajaran mulai 2012, Muhyiddin berkata pihak kementerian sedang membuat persiapan rapi.

"Apa yang penting ialah bagaimana hendak urus program seperti itu yang memerlukan satu bentuk latihan yang agak istimewa, kerana hendak jaga anak-anak yang masih kecil lebih sukar.

"Cara pembelajaran dan penyampaian pun tidak boleh macam biasa, ia lebih dalam bentuk mainan, mungkin menyanyi...bimbingan itu agak berbeza sekali dan memerlukan guru yang tidak serupa (dengan yang biasa)," katanya.

Ketika ditanya mengenai pelajar perempuan yang dilihat terus mendominasi kemasukan di universiti awam apabila menguasai 64.8 peratus tempat yang ditawarkan untuk program ijazah pertama bagi sesi akademik 2010/2011 yang akan mendaftar pada Sabtu dan Ahad ini, Muhyiddin berkata ia adalah fenomena global dan rakyat tidak perlu gusar mengenai pencapaian wanita.

"Saya fikir pejuang gender wanita pastinya berbangga dengan pencapaian wanita yang cemerlang dalam bidang pendidikan, apa yang penting adalah bagaimana hendak tingkatkan prestasi pelajar lelaki," katanya.

Beliau berkata, kementerian akan mengkaji cara untuk meningkatkan pencapaian pelajar lelaki.

~Bernama~

Hosni ulangi dakwaan ditipu 'sertai' Umno

Posted: 01 Jul 2010 04:13 AM PDT

Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27 mendakwa beliau ditipu apabila disebut sebagai salah seorang daripada 40 ulama muda yang menyertai Umno Jumaat lalu. Beliau memberitahu Malaysiakini, keempat-empat mereka diperdaya oleh ayah kepada seorang rakan mereka kononnya perdana menteri mahu berjumpa dengan bekas pelajar Jordan.

"Jadi, pada saya apa salahnya berjumpa dengan perdana menteri," kata Mohd Hosni yang kini menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Integrasi dan Teknologi Selangor yang terletak di Klang.

Mereka diberitahu pertemuan akan diadakan di Hotel Legend yang terletak di seberang jalan bangunan Umno. Namun, apabila sampai ke hotel itu, beliau dan rakan-rakan dibawa turun dengan eskalator dan seterusnya menyeberang jalan ke bangunan Umno dan dibawa masuk ke dalam satu dewan.

Di sana sudah ada ramai orang yang kelihatan macam orang PAS, orang Tabligh dan sebagainya, berdasarkan kepada pakaian mereka.

"Jadi saya senang hatilah," kata Mohd Hosni. Menurutnya mereka kemudian disambut oleh bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan disuruh berbaris bagi menyambut ketibaan perdana menteri.

Kata Hosni, selepas pengumuman dan diperkenalkan dengan ulama yang menyertai Umno, baru beliau menyedari tujuan majlis diadakan.

"Sekiranya saya tahu hal ini, saya tidak akan hadirinya. Saya ditipu untuk datang," katanya.

Hosni bersama tiga rakannya yang belajar di Universiti Al Albayt, Jordan adalah antara mereka yang hadir pada majlis penyerahan borang menyertai Umno kepada presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga menolak dakwaan yang dia ke PWTC untuk bersalam dengan Perdana Menteri.

"Tentang hendak bersalam dengan Najib, adalah lebih munasabah saya pergi ke Kelantan bersalaman dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, itu lebih baik dari bersalaman dengan orang yang didakwa," jelasnya.

Dalam pada itu, Harakahdaily memetik Hosni berkata, beliau mendapat maklumat terdapat seorang lagi lepasan Madinah yang dijemput ke majlis berkenaan kerana terdapat majlis diskusi, tetapi sebaliknya yang berlaku ialah penyerahan borang menyertai Umno oleh beberapa orang yang digelar sebagai sebagai ulama muda yang 'ori'.

Katanya, seorang di Perlis, Ustaz Abdul Wahab Abdullah berkata, beliau hadir untuk bertemu dengan perdana menteri bagi membersihkan nama kumpulan mereka yang dikaitkan dengan keganasan.

"Terbukti Umno menggunakan banyak cara untuk menarik ulama muda menyertai mereka kerana jika untuk alasan biasa pasti mereka tidak didekati, lalu mereka gunakan berbagai cara," ujarnya.

"Saya sebenarnya rasa tertipu dengan apa yang berlaku....itulah yang saya terangkan di setiap kali ceramah saya," kata Hosni.

~MK~

Syed Hussin diperintah bayar RM1.65j

Posted: 01 Jul 2010 04:12 AM PDT

Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan penulis buku, Syed Hussein Al-Attas membayar ganti rugi berjumlah RM1.65 juta kepada Perbadanan Johor (JCorp) dan presidennya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, berhubung satu saman fitnah.

Panel hakim Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datuk Azhar Ma'ah sebulat suara menolak rayuan penulis itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2001 yang mengarahkannya supaya ganti rugi itu dibayar kepada JCorp dan Muhammad Ali yang juga ketua pegawai eksekutifnya.

Syed Hussein, 68, atau lebih dikenali sebagai Pak Habib, juga turut diperintah membayar kos sebanyak RM5,000.

JCorp, Muhammad Ali dan ahli perniagaan Haris A Hamid telah menyaman Syed Hussein sebagai defendan dengan menuntut ganti rugi, injunksi dan kos berhubung fitnah dalam salah satu buku tulisannya.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan Syed Hussein untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya beliau membayar ganti rugi RM250,000 kepada Haris.

Mahkamah juga mengekalkan perintah injunksi yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi bagi menghalang defendan atau ejenya daripada terus menyiarkan kenyataan memfitnahkan ketiga-tiga plaintif tersebut.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Hussein, berkata pihaknya mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

~Bernama~

Umno keringkan wang Felda

Posted: 01 Jul 2010 04:11 AM PDT

Exco kanan Kelantan Datuk Husam Musa mendakwa sebuah firma arkitek yang diterajui oleh seorang pemimpin pemuda Umno diberikan projek bukan bidang Lembaga Tanah Persekutuan (Felda) tetapi menggunakan peruntukan daripada rizab tunai lembaga itu.

"Sejumlah setengah billion, (RM 512 juta) dibelanjakan melalui projek-projek (tak perlu dan di luar tugas Felda) yang disiapkan oleh firma arkitek yang sama.

"Firma arkitek diterajui seorang ketua pemuda UMNO Bahagian di Terengganu ini sudah pasti ada hubungan kekeluargaan yang rapat dengan tokoh dari Terengganu juga yang memayungi Felda.

"Kasih sayang kekeluargaan mereka diluaskan dengan mencari jalan bersama bagaimana wang Felda boleh 'diuruskan'. Jumlahnya bukan sedikit, demi warga Felda tercinta....," tulis Husam di dalam blognya kelmarin.

Husam mengulas mengenai bagaimana rizab tunai Felda yang dibelanjakan susulan pendedahan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berhubung status kewangan Felda yang merosot sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun pertengahan bulan lalu di parlimen.

Husam berkata terdapat projek yang bukan bidang tugas Felda dibiayai oleh agensi tersebut "atas sifat pemurahnya" seperti kolej komuniti di Terengganu (RM 18 juta) dan Sabah (RM 22 juta), menaik taraf bekalan air di Pahang (RM 200 juta) dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (RM 120 juta).


"Apa kena mengena Mara dan Felda? Kos Maktab ini ialah RM 120 juta dan Felda dengan segala senang hatinya membiayai sepenuhnya.

"Mungkin kerana wang tunainya terlalu banyak, Felda berbesar hati membiayai projek bukan bidang tugasnya sekalipun," katanya.

Husam turut mendakwa firma arkitek tersebut bertangggungjawab membangunkan empat kawasan Felda yang "dibina dengan ciri-ciri peneroka Felda masa depan" yang dikenali sebagai Feldajaya.

Beliau juga mendakwa pembangunan bagi keempat-empat Feldajaya itu - Mempaga, Trolak, Serting dan Cini - setakat ini menelan kosnya sebanyak RM 152 juta.

"Rumah bungalow mewah berharga mahal, rumah kedai dan lain-lain ciri bandar baru dalam satu kawasan 'masa depan' di bina.

"Sama ada rumah kedai dan bungalow ini laku dijual atau tidak, Felda tidak peduli sangat. Yang penting, itulah rumah peneroka masa depan Felda!

"Asal dikata moden, wang habis tak mengapa. Itulah bagusnya bila ada wang melimpah. RM setengah billion oleh firma arkitek bertuah ini," katanya.

Husam turut menjelaskan bahawa beliau sebelum ini telah mendedahkan pelaburan Felda sebanyak RM 800 juta di Amerika Syarikat dan Kanada.

"Maknanya, di sini sahaja, saya telah membantu Felda menjelaskan bagaimana sebanyak RM 1.3 billion rizab tunai Felda dibelanjakan! Selebihnya, Felda sendiri boleh tolong jelaskan.....

"Kalau Felda tak ada masa untuk jelaskan untuk tunjukkan pengurusannya telus dan amanah warga Felda menjadi taruhannya, saya tak ada masalah untuk jelaskan sedikit demi sedikit," katanya.

~MK~

KDN tak puas hati jawapan Suara Keadilan

Posted: 01 Jul 2010 04:10 AM PDT

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menunggu jawapan kepada satu lagi surat yang akan dihantar hari ini kepada akhbar Suara Keadilan sebelum memutuskan status permit penerbitan wadah PKR itu.

Setiausaha bahagian kawalan penerbitan dan teks al-Quran KDN, Datuk Zaitun Ab Samad berkata jawapan itu akan dikaji oleh satu panel kementerian berkenaan sebelum membuat keputusan berkenaan.

"Keputusan itu mungkin positif, mungkin juga negatif," katanya dan menjelaskan keputusan itu bergantung kepada jawapan yang bakal diberikan oleh Suara Keadilan.

Tambahnya, keputusan itu juga akan dibuat berdasarkan pandangan dalam jawatankuasa khas KDN untuk menilai permohonan permit tersebut, yang dikenali dengan nama "Panel 13."

"Kita akan beri satu surat kepada Suara Keadilan untuk beritahu bahawa KDN tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan (semalam)," katanya tanpa memperincikan kandungan surat berkenaan.

Beliau seterusnya menolak laporan yang menyebut KDN akan memutuskan status permit tersebut hari ini.

"Tidak diputuskan hari ini. Saya cakap kita akan teliti," katanya dan menambah perkara itu akan diputuskan dalam panel yang pengerusikan ketua setiausahanya Datuk Seri Mahmood Adam (atas, kanan) "dengan mengambil kira suara ramai."

Jelasnya, ia juga akan mengambil kira pandangan daripada ketua-ketua jabatan dalam kementerian berkenaan dalam memutuskan perkara itu.

Suara Keadilan yang permit penerbitannya tamat pada Rabu memperoleh kebenaran menerbitkan surat berita parti politik dari KDN pada 2007 dan pernah digantung selama tiga bulan pada 2008.

Minggu lalu, Suara Keadilan diberikan surat tunjuk sebab berhubung artikelnya yang mendakwa Felda bankrap.

~MK~

Tak perlu SPRM siasat pembelian Scorpene

Posted: 01 Jul 2010 04:09 AM PDT

Isu pembelian kapal selam Scorpene tidak perlu dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ini kerana pembelian kapal selam itu dibuat mengikut prosedur yang sepatutnya, malah kos pembelian kapal selam buatan Perancis bernilai kira-kira satu bilion euro pada tahun 2002 itu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

"Pembelian dibuat mengikut apa yang ditetapkan prosedur, semua langkah diikuti sebaik-baiknya," katanya kepada media selepas melepaskan peserta Ekspedisi 1Malaysia ke Kota London di Bangi hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai pembelian kapal selam itu yang dilaporkan oleh sesetengah media membabitkan pembayaran komisen bernilai kira-kira 114 juta euro kepada syarikat di Malaysia.

Semalam, Dewan Rakyat menolak usul supaya pembelian kapal selam negara itu dibahaskan. Speaker Pandikar Amin Mulia dalam jawapan bertulis kepada William Leong (PKR-Selayang) berkata beliau telah dimaklumkan bahawa SPRM sedang menyiasat perkara itu.

Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.7 bilion untuk membeli kapal selam buatan Perancis itu. Daripada jumlah keseluruhan, RM574.8 juta pergi kepada Perimekar Sdn Bhd, yang dimiliki Abdul Razak Baginda , seorang teman karib Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib merupakan menteri pertahanan sewaktu urusniaga tersebut.

Kerajaan juga sebelum ini telah menafikan komisyen dibayar dalam urusan pembelian kapal selam tersebut, dengan menegaskan bahawa jumlah itu - yang merupakan 10 peratus daripada harga keseluruhan kapal selam berkenaan yang berjumlah RM4.85 bilion - adalah untuk perkhidmatan sokongan dan penyelarasan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pembayaran tersebut juga kini sedang disiasat pihak berkuasa Perancis kerana "komisyen" seumpama itu adalah salah di bawah undang-undang Perancis.

~MK~

Suara Keadilan disaman RM200 juta

Posted: 01 Jul 2010 04:08 AM PDT

Felda hari ini menuntut ganti rugi sebanyak RM200 juta terhadap akhbar Suara Keadilan dan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari berhubung penyiaran artikel "Felda bankrap" oleh akhbar berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata notis tuntutan saman fitnah itu sudah dihantar kepada PKR sebagai pemilik, Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit dan Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd sebagai pencetak, hari ini.

"Notis itu antara lain menuntut pampasan bagi reputasi yang tercemar ke atas Felda yang didakwa bankrap oleh Suara Keadilan dalam akhbar itu yang bertarikh 22 hingga 29 Jun dengan tajuk 'Felda Bankrap'," katanya.

PKR tak layan

Sementara itu, naib presiden PKR, Sivarasa Rasiah berkata parti itu tidak akan melayan tuntutan RM200 juta berkenaan dan tidak akan memohon maaf kepada Felda. Menurut Sivarasa, pihaknya bersedia ke mahkamah bagi mengemukakan segala bukti terhadap pendedahan yang dilakukan itu.

"Pendirian kita jelas, memang kita tidak akan layan dan kita akan jawab di mahkamah," katanya yang juga ahli parlimen Subang, di lobi Parlimen hari ini.

"Kalau mereka ingin membawa kes itu ke mahkamah kita alu-alukan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuntutan ganti rugi Felda terhadap PKR dan Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit serta Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd.

"Berhubung perkataan 'bankrap', maksud kita jelas bahawa penyelewengan berlaku sehingga menjejaskan kewangan Felda," katanya.

~MK~

PKR akan jawab di mahkamah

Posted: 01 Jul 2010 04:06 AM PDT

Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menjelaskan tidak akan melayan tuntutan RM200 juta dan tidak akan memohon maaf kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) seperti dituntut mereka berhubung laporan 'Felda Bankrap' akhbar Suara Keadilan.

Naib Presidennya, Sivarasa Rasiah berkata, pihaknya bersedia ke mahkamah bagi mengemukakan segala bukti terhadap pendedahan yang dilakukan itu.

"Pendirian kita jelas, memang kita tidak akan layan dan kita akan jawab di mahkamah," katanya yang juga Ahli Parlimen Subang, ketika ditemui di Parlimen hari ini.

"Kalau mereka ingin membawa kes itu ke mahkamah kita alu-alukan," tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuntutan ganti rugi Felda terhadap parti itu dan Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit serta Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd.

"Berhubung perkataan 'bankrap', maksud kita jelas bahawa penyelewengan berlaku sehingga menjejaskan kewangan Felda," jelasnya lagi.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan pada satu sidang media di Parlimen hari ini memaklumkan peguam Felda telah menghantar notis tuntutan saman fitnah kepada ketiga-tiga penama tersebut.

Ketiga-tiganya diminta membayar RM200 juta dan membuat permohonan maaf kepada Felda dalam masa 7 hari bermula hari ini atau berdepan tindakan saman di mahkamah.

~harakah~

PKR gantung Timbalan Ketua Kuala Selangor

Posted: 01 Jul 2010 04:05 AM PDT

Parti Keadilan Rakyat (PKR) memaklumkan bahawa Jawatankuasa Displin parti telah mengambil tindakan menghantar surat tunjuk sebab bertarikh 29 Jun 2010 serta menggantung keanggotaan Timbalan Ketua Cabang Keadilan Kuala Selangor, Arshad Abu Bakar, sehingga selesai satu pendengaran dan keputusan aduan displin terhadap beliau.

Ketua Penerangan Pusat PKR, Latheefa Koya berkata, aduan adalah mengenai kenyataan akhbar Arshad yang tersiar di dalam Utusan Malaysia yang menyerang kepimpinan parti secara terbuka dan melanggari disiplin parti terutamanya Fasal 27.7 Perlembagaan parti.

"Beliau dilarang menjalankan apa-apa aktiviti parti atau membuat kenyataan sebagai anggota parti mahupun memegang apa-apa jawatan dalam parti sehingga selesai pendengaran dan keputusan muktamad oleh Jawatankuasa Disiplin," ujarnya dalam satu kenyataan.

~harakah~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.