Sabtu, 19 Jun 2010

MANDOR.BLOGSPOT.COM

MANDOR.BLOGSPOT.COM


KITA CABAR ZAHRAIN DAN ZUL KULIM BERSUMPAH PULA, ADA BERANI?

Posted: 18 Jun 2010 11:32 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

MP Bayan Baru, Zahrain sudah mula hilang arah setelah DS Anwar berjaya meyakinkan rakyat betapa Zahrain adalah penipu besar setelah mendapat upah. Ini ekoran daripada cerita dongeng Zahrain bahawa DS Anwar pernah melihat VCD lucah kununnya melibatkan YB Eli. Seperti yang diduga, akhirnya Zahrain menggunakan `ilmu' yang diperturunkan oleh Senatak Ezam sesumpah iaitu mencabar DS Anwar bersumpah di dalam masjid. Baca di sini. Selaku orang yang jahil bukan sahaja di dalam agama bahkan jahil dari aspek undang-undang, Zahrain tetap yakin dengan acara `sumpah menyumpah' ini walaupun terpaksa `menjual' kemuliaan masjid asalkan agenda mereka tercapai.

Stail menuduh seseorang, kemudiannya mencabar orang yang dituduhnya itu bersumpah adalah stail Ezam sesumpah. Keberanian untuk mendedahkan serta menyertakan bukti atau hujah berfakta tiada pada Zahrain atau Ezam kerana jiwa mereka kini teramat kecil dan lemah untuk berbuat demikian. Bayangkan jika semua tuduhan yang orang lain buat terhadap kita, kita mesti bersumpah dan perkara itu selesai. Jika Najib dituduh mengambil komisyen kapal selam, kemudiannya Najib pun bersumpah menafikannya, adakah kes tersebut mahu terus ditutup? Terlalu dangkal orang yang beranggapan begini dan lebih malang lagi mereka teramat jahil di dalam menjaga hukum agama itu sendiri yang meletakkan sumpah sebagai acara mainan sesuka hati mereka.

Peliknya, tiba-tiba pula YB Zul Kulim pun menyampuk dalam isu ini. YB Zul Kulim yang sentiasa berkopiah itu pula terlibat di dalam tuduhan terhadap YB Eli. Orang yang dikatakan berugama seperti beliau ini terlalu mudah untuk menerima cerita seperti ini atau mungkinkah YB Eli melakukan aksi terlampau itu didepannya? Atau, YB Kulim ada menyaksikan VCD tersebut? Kenapa bila Zahrain bercerita pasal isu tersebut, tiba-tiba YB Zul pun menyatakan dia pun tahu kisah sebenar? Kenapa tidak dihebohkannya sewaktu berada di dalam PKR atau sewaktu mula-mula beliau dipecat dahulu?

Lagi pelik, tiba-tiba YB Zul pula terasa bila DS Anwar dedahkan bahawa MP yang melompat ada menerima tawaran RM2 juta. DS Anwar tidak menyebut namanya, dan YB Zul bukan melompat tetapi beliau dipecat, mengapa beliau terasa? Ini semua untuk mendapatkan publisiti murahan kerana tiada apa lagi isu yang boleh mereka perjuangkan untuk membela rakyat dan agama. Mengapa YB Zul atau Zahrain tidak pernah mencabar Najib untuk bersumpah di dalam masjid dan Najib mesti mengaku tidak ada hati atau hajat untuk luluskan lesen judi bola? Mengapa terima bulat-bulat kata-kata Najib di Parlimen? Apabila DS Anwar menafikan, tidak pula mahu terima bahkan kena bersumpah dulu? Inilah hipokritnya beliau setelah jiwanya dibeli dengan terlalu murah.

Mengapa sudah terlalu banyak pendedahan yang didedahkan oleh DS Anwar beserta bukti terang dan nyata seperti klip video Linggam dan banyak lagi kes itu tidak pula diperjuangkan oleh mereka? Tidak pula mereka sibuk untuk mencabar mereka yang terlibat dengan upacara sumpah karut itu? Teringin juga kita mencabar YB Zahrain dan YB Zul bersumpah di dalam masjid dan mengaku bahawa kesemua pengundi di kawasannya yang diwakilinya kini menyokong penuh beliau sebagai Wakil Rakyat. Ada berani ke? Mampus tak berani. /wfauzdin.blogspot.com

MAHKAMAH....OH...MAHKAMAH....

Posted: 18 Jun 2010 01:37 AM PDT

Nampaknya harapan rakyat untuk melihat satu perbicaraan yang adil dan saksama terhadap kontroversi kes liwat II nampaknya tidak mungkin menjadi kenyataan. Bahkan, kini kita hanya mampu berserah kepada takdir semata-mata, dan tiada harapan lagi untukan melihat kebenaran itu ditegakkan dalam kes liwat penuh sensasi antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Saiful Bukhari Azlan. Apa tidaknya, segala apa yang diperlukan oleh barisan peguam Anwar untuk membela nasibnya itu semuanya dihalang oleh hakim yang arif lagi bijaksana.

Bermula dengan laporan polis Saiful, kemudian sample serta salinan dokumen bahan bukti, nama-nama saksi dan macam-macam lagi. Terbaru, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Anwar bagi mendapatkan semua laporan perubatan yang disediakan oleh tiga doktor Hospital Kuala Lumpur yang dibuat terhadap Saiful dulu. Hakim, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dalam keputusannya berkata tidak ada peruntukan atau asas undang-undang yang mengatakan dokumen itu perlu dibekalkan. Selain itu, peguam-peguam Anwar juga dihalang untuk mendapatkan peralatan yang lazim digunakan semasa ujian untuk serangan seksual terhadap kes seperti itu. Malah pihak pembelaan juga mungkin dihalang untuk mendapatkan maklumat berhubung kelayakan dan pengalaman ketiga-tiga doktor berkenaan yang merawat Saiful iaitu Dr Khairul Nizam Hassan, Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Siew Sheue Feng. Biarpun ia adalah kelaziman dalam mana-mana kes seprerti ini dulu. Akibat halangan tersebut menyebabkan doktor forensik yang dibawa khas dari Australia bagi pihak Anwar iaitu Dr.David Wells mungkin tidak dapat menjalankan tugasnya jika dokumen berkenaan tidak dibekalkan.

Segala halangan yang berlaku ini seolah-olah mengesahkan lagi kepada kita bahawa kerajaan UMNO BN memang bersungguh-sungguh mahu mencampakkan Anwar kembali ke Penjara Sg.Buloh dalam masa terdekat ini. Lantaran itulah kita tidak hairan "skrip yang sama" terpaksa diberikan kepada hakim bicara Zabidin Mohd Diah agar menggunakan kuasanya untuk memastikan Anwar gagal dalam segala usaha pembelaan kali ini. Bukankah ini satu kezaliman dan penganiayaan buat tertuduh sedangkan beliau mempunyai hak untuk mendapatkan segala yang berkaitan sebenarnya.

Apakah ini satu perbicaraan yang adil buat seseorang yang dituduh dalam kes seperti ini. Jika ia berlaku kepada orang lain, kemungkinan besar segala dokumen tersebut akan diperolehi dengan mudah. Tambahan pula, ia menjadi asas dan kekuatan untuk mana-mana peguambela tertuduh membuat pembelaan. Namun, ini tidak berlaku kepada Anwar dan beliau terpaksa berhadapan dengan satu perbicaraan yang jelas sekali "berat sebelah".

[Apalah lagi yang boleh diharapkan kepada mahkamah, jika awal-awal lagi kita sudah melihat petanda yang Anwar pasti akan kalah mudah dalam perbicaraan kes liwat II kali ini. Bergembiralah Saiful Bukhari Azlan, kerana beliau menentang Anwar dengan seluruh kekuatan jentera kerajaan yang sudah siap sedia untuk memastikan dirinya "menang bergaya". Inilah juga yang berlaku dalam pilihanraya di negara ini, pembangkang terpaksa berhadapan dengan bermacam halangan untuk mencipta satu kejayaan yang cuba dinafikan. Soalnya sekarang, apakah Ketua Pembangkang itu juga bakal berhadapan dengan tindakan yang sama kali ini. Sama-samalah kita berdoa agar Allah memberi petunjuk dan hidayahnya kepada mereka-mereka yang cuba untuk bertindak zalim ini].

Sumber: Pahang Daily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.