Rabu, 30 Jun 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


Ku Li sedia jadi saksi tuntutan royalti minyak

Posted: 30 Jun 2010 11:00 PM PDT

Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau sedia menjadi saksi bagi pihak kerajaan negeri Kelantan sekiranya kerajaan negeri itu membawa kes tuntutan royalti minyak ke mahkamah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata tawaran itu dibuat kerana beliau lebih mengetahui mengenai perkara itu berikutan pernah dilantik sebagai orang bertanggungjawab dan ditugaskan menubuhkan Petronas serta terbabit dalam penyediaan Akta Petroleum.

"Saya boleh jadi saksi mengenai perkara itu kerana Akta Petroleum yang dipakai sampai sekarang adalah adil untuk kerajaan negeri terbabit membuat tuntutan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Iba Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Chiku 2, dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, Exco kerajaan negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Royalti Datuk Husam Musa berkata kerajaan negeri Kelantan akan membawa isu royalti minyak ke mahkamah pada 30 Ogos nanti.

Kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS bertegas mahukan kerajaan pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Kerajaan pusat setakat ini telah menyerahkan wang ihsan sebanyak RM25 juta kepada penduduk Kelantan.
Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata Akta Petroleum memberi hak kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak menuntut hak royalti minyak.

Bagaimanapun, katanya beliau menyerahkan kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membawa kes royalti minyak ke mahkamah dan beliau bersedia menjadi saksi. — Bernama


Kaukus petroleum: PR jumpa Kuli

Posted: 30 Jun 2010 07:00 PM PDT

Oleh : Nazri Abdullah   

KUALA LUMPUR, 30 Jun: Pakatan Rakyat akan mengadakan satu pertemuan dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini bagi membincangkan isu royalti petroleum untuk kaukus parlimen yang ditubuhkan.

Pertemuan tersebut akan belangsung hari ini dalam satu majlis makan tengah hari di ibu negara.

Perkara itu disahkan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub yang juga salah seorang yang menyertai pertemuan itu.

Salahudin memberitahu, pertemuan itu bagi membincangkan secara serius mengenai langkah-langkah seterusnya mengenai tuntutan petroleum.

“Saya akan mengadakan satu pertemuan khas mewakili ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Kami akan membincangkan langkah-langkah selanjutnya tentang isu royalti petroleum,” katanya.

"Kami ada apoinment makan tengahari esok (hari ini) dan kami telah diamanahkan oleh majlis tertinggi Pakatan Rakyat untuk membincangkan secara serius esok dengan Yang Berhormat Mulia tentang kaukus petroleum yang ditubuhkan bawah Pakatan Rakyat," katanya lagi.

PR mencadangkan ditubuhkan kaukus ini untuk membolehkan hak-hak royalti petroleum untuk setiap negeri di negara ini diberikan dengan adil.

Razaleigh dalam jawapannya berkata, beliau bersedia untuk menimbangkan cadangan ini dan akan turun memberikan sumbangan bagi menjayakan usaha ini.

Beliau sebelum ini menyokong penuh bahawa Kelantan dan Terengganu berhak mendapatkan royalti minyak berdasarkan perjanjian Petronas dengan kerajaan kedua-dua negeri itu.

Namun sehingga kini, kerajaan Pusat di bawah BN tidak menunaikan janji itu bahkan akan memberikan wang ehsan untuk kedua-dua negeri itu.


Tindakan MB punca perpecahan BN parah

Posted: 30 Jun 2010 03:08 PM PDT

KUALA TERENGGANU – Tindakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said merombak lima portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) diramal membawa perpecahan lebih parah dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, Zakaria Dagang berkata, keadaan itu disebabkan Ahmad menggunakan kuasanya tanpa mengambil kira pandangan atau berbincang dengan Exco beliau.

Zakaria turut menyifatkan ada sesuatu yang tidak kena berhubung rombakan yang dibuat baru-baru ini memandangkan beberapa Exco yang bertukar portfolio tidak dimaklumkan lebih awal.

“Apabila berlaku keadaan begini, MB dilihat sengaja mahu mencari pasal yang mungkin menyebabkan berlaku keadaan lebih buruk yang boleh membawa perpecahan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahmad bahawa keputusan rombakan Exco yang diumumkan baru-baru ini mendapat keizinan daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak Ahmad membuat perbincangan dengan pihak lain yang bukan Exco sebelum memutuskan sedemikian.

“Mungkin beliau sudah bincang dulu atau minta pandangan atau memaklumkan pandangan beliau, tetapi apabila berlaku seperti ini, ia kelihatan seolah-olah Ahmad menggunakan kuasa tanpa mengira pandangan mereka (Exco), sedangkan Exco berkenaan bekerja dengan beliau sebagai satu pasukan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian


Tiada ulasan: