:: @ AL-BAKISTANI @ :: |
- TAHNIAH KERANA PECAHKAN KERETA SAYA
- TIDAK ADA AGAMA KATA JUDI HALAL
- UMNO/BN ADA SAHAM BUNUH AKTIVIS KEMANUSIAAN
| TAHNIAH KERANA PECAHKAN KERETA SAYA Posted: 01 Jun 2010 11:01 AM PDT Dalam tahun lepas, keretaku pernah disembur dengan Cat merah. Tidak diketahui siapa yang melakukannya. Pada hari ini, ketika sedang aku menyampaikan kuliah Tafsir di Surau Al-Azhar; salah sebuah surau di Sri Damansara, kedengaran alarm keretaku "menyanyi". Aku cuba menutup, tetapi tetap berbunyi, maka aku biarkan sahaja. Setelah menunaikan solat Isyak, kemudian menunaikan solat hajat, memohon agar diberikan keselamatan kepada sahabat-sahabat di Palestine yang ditangkap oleh tentera Israel, aku terus mahu pulang. Agak terkejut, apabila melihat cermin keretaku telah pecah. Tiada barang berharga yang hilang, waima dalam keretaku itu, ada tersimpan satu plastik wang syiling dan sebuah kamera. Di maklumkan oleh seseorang, bahawa dilihat seorang yang nampak memecahkan keretaku itu. Dari yang diceritakan, aku dapat mengagak siapa yang melakukan demikian, kerana kami pernah bersua. Orang itu, adalah antara pembaca blogku ini. Mungkin kerana tulisan-tulisanku dalam blog, menyebabkan dia bersikap sedemikian. Mungkin dia berniat baik, justeru dia tidak boleh disalahkan. cuma dia mungkin salah dalam bertindak terhadap baiknya itu. Mungkin dia terlalu sayang kepada individu tertentu, menyebabkan dia sanggup memecahkan cermin keretaku. Kalau dia berjumpa denganku pun, Aku tidak berniat sedikit pun nak minta sebarang pampasan. Malahan, semasa membuat report polis tadi pun, aku tidak menyebut pun namanya langsung sebagai orang yang disyaki, kerana menganggap dia berniat baik, dan bimbang merosakan lagi reputasinya sebagai orang yang komitment dengan Islam. Bahkan, jika berjumpa dengan dia, aku bersedia belanja dia minum dan bersedia berbual mesra seperti biasa; seperti tidak ada apa-apa masalah pun. Apa yang ingin aku nyatakan kepadanya, kejadian yang tertimpa ini, tidak melunturkan semangatku untuk terus menulis seperti biasa. Dan aku berharap, dia berpuas hati setelah dia memecahkan cermin keretaku itu tadi. Di sini, dipaparkan gambar keretaku yang telah dipecahkan itu; ![]() ![]() ![]() ![]() "Duit nak cover isteri bersalin bulan depan dah kena bayar cermin kereta.. nampaknya kena pinjam kat sapa-sapa la dulu nak cover duit isteri nak bersalin" |
| TIDAK ADA AGAMA KATA JUDI HALAL Posted: 01 Jun 2010 03:48 AM PDT ![]() Apa nak hairan, jika Malaysia tidak ada perasaan terhadap tindakan ganas yang dilakukan oleh Israel terhadap umat Islam, khususnya umat Islam Malaysia. Masakan tidak, mereka halalkan yang haram, sama perangai dengan agama Yahudi. Alasan mereka, kononnya orang agama selain islam, walhal semua agama mengatakan judi adalah haram. Hakikatnya, mereka mementingkan perut, berbanding ketentuan tuhan terhadap apa yang akan masuk ke dalam perut mereka. Di sini, dipaparkan satu artikle tentang satu ulasan terhadap gambaran agama selain islam tentang judi. *** Negara telah dihangatkan dengan kelulusan pihak kerajaan meluluskan lesen kepada Berjaya Corporation untuk menguruskan pertaruhan sempena Piala Dunia 2010 yang menjelang tiba. Tentangan bukan sahaja datang dari pihak parti pembangkang dan orang Islam, bahkan dari pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat bukan Islam. Saranan dari bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar keputusan kerajaan tersebut dikaji semula amatlah dialu-alukan dan harus diteliti oleh pihak kerajaan. Ia bukan sahaja dapat mereda suasana dan desakan majoriti masyarakat, bahkan bersesuaian dengan identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh di kalangan Negara-negara Islam terutama dalam negara menonjolkan diri sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa dan juga Pusat Halal Dunia. Walaupun lesen judi hanya dibenarkan untuk pelanggan di kalangan bukan Islam termasuk pekerja dan premis, namun judi bukan sahaja mendapat tentangan daripada masyarakat Islam tetapi bukan Islam sendiri. Jika ditelusuri judi di kalangan agama dunia, majoriti merujuk tentang keburukan judi kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Islam sebagai agama rasmi negara, secara jelas menyatakan haramnya judi. Allah ta'ala telah berfirman yang mafhumnya: "Wahai orang-orang mukmin. Sesungguhnya arak, judi, berhala, anak panah (judi) adalah najis (kotor) dari kelakuan syaitan. Jauhilah ia supaya kamu beroleh kemenangan. Sesungguhnya syaitan bertujuan menjadikan permusuhan dan kebencian di antara kamu melalui arak dan judi, serta menghalang kamu dari mengingati Allah dan mendirikan solat". Al-Maidah, 90-91. Ayat ini jelas menunjukkan pengharaman 'khamr' (arak) dan segala bentuk 'maysir' (judi). Ajaran lama Budha Hinayana, menggariskan lima larangan kepada penganut Budha iaitu; " membunuh, mencuri, menipu, berzina, meminum alkohol dan berjudi". Namun ajaran baru Budha Mahayana telah melonggarkan larangan ini dan ia hanya terpakai kepada yang mahu menjadi sami atau betul-betul menghayati ajaran Budha. Juga tercatit dalam kitab lama Budha kisah masyhur 'Ratapan si Penjudi' (Gambler's Lament) yang menjadi pengajaran berguna apabila seorang penjudi yang kalah wang taruhan menyebabkan dia kehilangan anak dan isteri. Dalam kitab Budha, 'Tipitaka' juga ada menceritakan enam perkara bahaya akibat judi: Pertama bagi yang menang akan mengundang kebencian, kedua bagi yang kalah akan tertekan kerana kehilangan wang, ketiga tidak ada perkataan yang boleh digunakan untuk pembelaannya di mahkamah, keempat dia akan dijauhi oleh rakan dan keluarga, kelima dia akan susah untuk menemui jodoh kerana tiada yang mahu bersuamikan si penjudi dan keenam mencari kekayaan atas pertaruhan menyebabkan kesengsaraan kepada orang lain (yang kalah)' . Walaupun ajaran Budha tidak mengharamkan secara jelas aktiviti judi dan membenarkannya sekadar permainan rekreasi dan hiburan seperti permainan 'mahjung' atas dasar untung nasib atau 'ong'. Namun Budha memberi amaran keras bagi yang mempertaruhkan wang dan mengabaikan tanggungjawab keluarga sehingga hilang wang pertaruhan dan sumber mata pencarian. Apa yang berlaku, aktiviti judi yang sedia ada di negara kita terutama di kalangan yang berpendapatan rendah telah menyebabkan kebobrokan rumah tangga dan ramai terperangkap dengan hutang dengan meminjam melalui 'Ah Long' dan ceti haram. Bagi ajaran Kristian pula tidak ada kejelasan dalam pengharaman judi tetapi ajaran Kristian memberi amaran bagi yang mencari kekayaan secara cepat dan cintakan wang seperti yang disebut di dalam Timothy 6:10 " Bagi mereka yang mencintakan wang ia adalah punca bagi segala kejahatan. Bagi mereka yang terlalu taksub berlumba mendapatkan wang dan mengabaikan tanggungjawab agama, seolah dia mencucuk dirinya dengan kesedihan di kemudian hari". Dalam Hebrew 13:5 pula mengatakan " Bebaskan dirimu dari kecintaan dunia (wang) dan berpadalah dengan apa yang kamu ada, kerana Tuhan telah mengatakan, ' Aku tidak akan tinggalkan kamu dan tidak akan membiarkan kamu (sentiasa menolongmu)'. Majoriti gereja bersepakat menyatakan keburukan judi dan sebahagian membenarkan loteri kebajikan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan juga aktiviti judi 'Bingo' sebagai akiviti rekreasi yang popular di kalangan warga pesara di negara barat. Namun begitu majoriti gereja menolak penubuhan pusat judi secara besaran seperti kasino atas dasar 'melampau'. Manakala gereja Prebysterian menolak terus segala bentuk judi termasuk loteri kerana atas hujah ia mengambil wang dari golongan miskin dan berpendapatan rendah, yang mengharapkan hadiah lumayan, tetapi hanya 'seorang dalam sejuta sahaja' yang memenangi hadiah wang yang dijanjikan. Manakala bagi penganut agama Yahudi, para Rabbi (pemimpin agama Yahudi) menetapkan aktiviti judi dibenarkan semasa perayaan Hannukah sahaja sebagai satu bentuk hiburan di musim perayaan. Usaha kerajaan UK suatu ketika dahulu untuk menubuhkan kasino secara besaran atas alasan untuk menarik pelancong dan menambah pendapat negara mendapat kecaman dari rakyat. Di Amerika Syarikat pula, walaupun di peringat Federal (Pusat) membenarkan aktiviti judi, namun setiap negeri mempunyai kuasa untuk mengharamkannya. Nevada membenarkan lesen judi pada tahun 1931 dan menjadi sumber ekonomi utama negeri, diikuti Atlantic City dan New Jersey pada tahun 1976 dan Mississipi pada tahun 1990. Kebanyakan negeri lain di Amerika Syarikat masih tidak membenarkan lesen judi atas sebab kesan moral dan sosial kecuali loteri kebajikan dan permainan Bingo oleh pertubuhan bukan kerajaan untuk tujuan kebajikan. Judi secara logiknya adalah permainan orang yang mempunyai lebihan wang dan tidak terasa apabila mereka kalah judi. Oleh kerana itulah pusat perjudian yang terkenal di Eropah, Monaco, rata-rata penghuninya adalah hartawan dan selebriti. Dalam sesetengah negara berlumba membina pusat-pusat perjudian dengan anggapan ia dapat meningkatkan hasil pendapatan negara, lain pula halnya sebuah negeri kepulauan kecil di Pasifik, Vanuatu, yang berpenduduk hampir 300,000 orang dan majoriti beragama Kristian. Kerajaan Vanuatu telah meluluskan akta pengharaman judi di negara mereka sejak tahun 2006 dan ia tidak mendapat sebarang bantahan dari rakyat malah dialu-alukan. Sekiranya pungutan suara dilakukan di kalangan awam, juga ketua-ketua semua agama di Malaysia selain Islam, nescaya mereka akan bersetuju tentang kemudaratan judi dan arak kepada masyarakat, melebihi kebaikan. Semoga acara sukan dan sebagainya tidak dicemari dengan aktiviti yang tidak sihat seperti judi. Ia bukan sahaja menggalakkan mereka yang meminati sukan tersebut berminat untuk berjudi sama, malah menambah masalah judi yang sedia ada di negara kita. sumber : Malaysiakini/bm |
| UMNO/BN ADA SAHAM BUNUH AKTIVIS KEMANUSIAAN Posted: 01 Jun 2010 03:38 AM PDT RM 77 juta wang rakyat Malaysia yang dibayar kepada Apco tidak syak lagi menunjukkan perkongsian kita atas pembunuhan petugas misi kemanusiaan Freedom Flotila. Amat menyayat hati bagaimana akhirnya Malaysia sedikit sebanyak terlibat dengan penajaan keganasan Israel - menerusi Apco. Rakyat marhaen seperti biasa menunjukkan kemarahan mereka atas kekejaman Israel dengan berarak ke kedutaan Bapa Angkat Israel - Amerika. Ia langkah yang baik - sekurang-kurang kita mempamirkan respon dan kemarahan kita. Namun, selepas Kedutaan Amerika, tidak selesai demo bantahan ini jika kita tidak lanjutkan ke depan pejabat Perdana Menteri. Pembatalan serta merta kontrak Apco tidak boleh dilakukan oleh kita rakyat biasa. Ia hanya boleh dilakukan oleh Perdana Menteri dan kebencian kepada kekejaman Israel harus dibuktikan dengan menidakkan peranan Israel dalam urusan negara kita. Apa lagi, memberikan agen risikan Israel yang berlindung di belakang syarikat penasihat semua dokumen rahsia negara, seperti tercatit dalam perjanjian kontrak berkenaan. Menaja syarikat dari Israel sama dengan menaja Israel. Bermakna, tangan kita telah terpercik darah saudara kita yang tertindas. Terpercik sama darah rakan kemanusiaan dari seluruh dunia yang telah dibunuh Israel ketika sedang berusaha membuka tirai besi penindasan ke atas rakyat yang tidak punya apa-apa di Gaza - selain simpati dunia. Alangkah azabnya perasaan kita berpemimpinkan pemimpin yang sedang mengisi poket Israel dengan wang kita sendiri pada waktu Israel sedang menunjukkan keangkuhannya. Saya bersetuju dengan pendirian pemimpin Pakatan memberikan PM masa 48 jam untuk bertindak. Tindakan seterusnya ialah himpunan rakyat mendesak ditarik balik cubaan mengenakan tindakan menggantung Dewan ke atas DSAI - atas pendedahannya mengenai hubungan Malaysia- Apco - Israel. Jika tidak, Israel mentertawakan kita. Baru beberapa bulan Apco diterima menjadi penasihat negara kita, kita sudah bersedia mengorbankan anak watan kita sendiri demi Israel. Kita marahkan Amerika. Tapi jangan lupa, kalau kita sendiri gagal membetulkan tindakan Putra Jaya, apa sangat yang hendak kita harapkan dari Amerika? Apa lagi Israel. Kita mulakan dari Putra Jaya. Jika di depan kedutaan Amerika kita berapi-api tapi Apco masih tegak berdiri di Putra Jaya, itu namanya hipokrit. Kalau kita marahkan Amerika kerana tidak berbuat apa-apa tetapi kita sendiri secara salah menghukum rakyat kita kerana mendedahkan skandal Apco, itu maknanya kita telah bersatu hati dengan Israel. sumber : Husam Musa |
| You are subscribed to email updates from :: @ AL-BAKISTANI @ :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |






Tiada ulasan:
Catat Ulasan