WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- DAP tidak rampas tanah Melayu Pulau Pinang, kenapa PAS tiru perangai UMNO?
- SAINTIS FIZIK CALON AMANAH PRK KUALA KANGSAR
- BUKAN PAS DAKWAH UMNO, PAS IKUT RENTAK UMNO’
- VIDEO : PERWAKILAN PAS AKUI KEHILANGAN PENGUNDI SELEPAS PR HANCUR
- PAS DAH MACAM UMNO...
- PAS ‘BUAT PERUBAHAN’ JULANG KERIS POTONG PULUT KUNING
- INGATAN YANG LEBIH SESUAI DITUJUKAN KEPADA BAPA SENDIRI
- PAS: DARI PARTI SUCI KINI MENGHAMPIRI PERJUANGAN UMNO?
- AZMIN TIDAK TURUN KERANA KERAJAAN SELANGOR MASIH DIANGGOTAI PAS
DAP tidak rampas tanah Melayu Pulau Pinang, kenapa PAS tiru perangai UMNO? Posted: 02 Jun 2016 08:30 PM PDT GEORGETOWN, 3 JUN: DAP menyelar kenyataan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Hafiz Alias yang cuba menyemarakkan emosi perkauman dengan menuduh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak berlaku adil terhadap penduduk Melayu berhubung isu tanah di negeri tersebut. Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang Syerleena Rashid, berkata dakwaan oleh ahli PAS itu seolah-olah cuba 'meniru' budaya UMNO yang sentiasa mengaitkan sebarang isu melibatkan DAP dengan sentimen perkauman. Kenyataan Hafiz bahawa semua pihak perlu menuntut agar Kerajaan Megeri mengekalkan 'tanah milik Melayu' dengan meminta semua konstituensi di Pulau Pinang menentang dasar-dasar kerajaan negeri bercanggah dengan fakta dan bukti sedia ada. Malah, Syerleena menegaskan, PAS 'buat-buat lupa' dengan segala perlakuan UMNO selama ini yang telah banyak merampas tanah-tanah milik Melayu dengan harga murah melalui syarikat proksi dan kemudian menjualkannya dengan harga yang lebih tinggi. "Contohnya seperti apa yang berlaku di Kampung Terang Balik Pulau. 31 pemilik tanah Melayu menjual tanah mereka kepada Maison Heights Sdn Bhd dengan jumlah kira-kira RM 8.56 juta pada Januari 2012. Syarikat itu kemudiannya menjual tanah tersebut kepada Kay Pride Sdn Bhd dengan harga sekitar RM13.45 juta pada Mei tahun yang sama. "Keuntungan sebanyak RM5 juta, hanya dalam masa 5 bulan. Ini secara terang-terangan merupakan satu eksploitasi terhadap sistem sedia ada dan eksploitasi terhadap penduduk Melayu dengan cara yang sangat jijik. "Jangan kita lupa bahawa dua anggota Lembaga Pengarah Maison Heights pada masa itu adalah Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengerusi Pilihanraya Barisan Nasional, Datuk Omar Faudzar," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Menurut Syerleena yang juga ahli majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP), kerajaan negeri di bawah pemerintahan DAP telah berusaha sedaya-upaya bagi membantu menyelesaikan masalah penduduk dengan pemaju di negeri itu. Katanya, perkara itu jelas dibuktikan dengan kerja keras kerajaan negeri menuntut agar hak rakyat dipelihara dan diberi pampasan oleh pemaju seperti dalam kes Kampung Permatang Tok Subuh di Bukit Mertajam dan Kampung Chetty di Bukit Feringghi sebelum ini. Oleh itu, tegasnya, Pakatan Harapan sentiasa mengambil langkah yang terbaik demi keadilan sosial bagi mempertahankan hak kemanusiaan setiap individu di negara ini tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang. "Percaturan yang dimainkan oleh PAS dengan menuduh DAP dan Pakatan Harapan melalui dakwaan tidak berasas dan tanpa bukti kukuh hanya menunjukkan betapa gelabahnya PAS ketika ini untuk menawan hati sekutu politiknya yang baru," katanya. – Roketkini.com |
SAINTIS FIZIK CALON AMANAH PRK KUALA KANGSAR Posted: 02 Jun 2016 07:51 PM PDT Saintis fizik calon Amanah PRK Kuala KangsarNaib Ketua Amanah Kuala Kangsar Dr Ahmad Termizi Ramli calon lelaki tunggal Pakatan Harapan yang akan bertembung dengan dua calon wanita dari BN dan Pas pada PRK Kuala Kangsar pada 18 Jun ini. Ahmad Termizi, 61, (sebelah kanan Mohamad Sabu) calon anak tempatan yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dari University of Salford, United Kingdom dalam bidang Kesihatan dan Keselamatan Radiologi. Pemegang Diploma Fizik Pengionan dan Ph.D Fizik Perubatan dari University of Swansea, Wales. Beliau juga bekas profesor di Jabatan Fizik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat Ikram dan Setiausaha Biro Politik Ikram. Pengiystirahan calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Kuala Kangsar malam ini diumumkan Presiden Amanah Mohamad Sabu yang berlangsung di Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar. Turut hadir Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan dikalangan pimpinan tertinggi parti gabungan Pakatan Harapan. Dengan pengumuman Ahmad Termizi sebagai calon maka pengundi di Parlimen Kuala Kangsar akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan dua calon wanita iaitu Datin Mastura Abdul Yazid dari BN dan Dr Najihatussalehah Ahmad dari Pas. Semalam di Sekinchan, Pakatan Harapan telah mengumumkan calonnya Ketua Amanah Sungai Besar Azhar Ab Shukur bagi PRK Sungai Besar. Azhar akan berhadapan dengan Budiman Ahmad Zohdi dari BN dan Dr Abdul Rani Osman dari Pas. Ini bermakna bagi dua kerusi Parlimen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Pakatan Harapan dan Pas. PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan ekoran kematian dua penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Khair-il-Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menetapkan tarikh penamaan calon pada Ahad ini dan hari pengundian pada 18 Jun.Malaysia dateline |
BUKAN PAS DAKWAH UMNO, PAS IKUT RENTAK UMNO’ Posted: 02 Jun 2016 07:48 PM PDT 'Bukan Pas dakwah Umno, Pas ikut rentak Umno'Setelah bekerjasama dengan Umno, Pas kini dilihat semakin menjadi Melayu bukannya Umno yang menjadi semakin Islam, kata bekas pemimpinnya yang kini menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah). Pengarah Komunikasi Amanahnya, Khalid Samad bimbang, kesatuan yang didendangkan sekadar topeng bagi mereka masing-masing (Pas dan Umno) menonjolkan pihak mana lebih Melayu dan Islam. "Sebabnya apa yang kita nampak sekarang Pas semakin mahu menjadi Melayu bukan Umno yang sepatutnya semakin Islam. "Padahal, kita mesti bersatu menzahirkan politik Islam yang mementingkan nilai keadilan dan kepedulian membanteras gejala seperti rasuah dan perkauman," ujarnya ketika ditemui selepas sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di Seksyen 13 hari ini. Mengulas tema pakaian pendekar Melayu pada muktamar tahunan Pas tahun ini, beliau menyifatkan penampilan tersebut bertujuan menarik sokongan pengundi Melayu menjelang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, 18 Jun ini. "Itu lebih kepada penyatuan Pas dengan Umno tetapi ironinya ketika Pas semakin Melayu tetapi Umno tidak pula lebih Islam. "Patutnya tinggalkan Umno yang tiada asas perjuangan Islam," tegasnya yang juga pengarang buku 'Dari Pas ke Amanah' terbitan Ilham Books. Sehubungan itu, Khalid yakin pengundi Melayu di kedua-dua Parlimen itu lebih bijak menilai bahawa Amanah lebih konsisten mengangkat perjuangan berteraskan prinsip Islam tanpa menyalahgunakan sentimen sempit perkauman dan agama. |
VIDEO : PERWAKILAN PAS AKUI KEHILANGAN PENGUNDI SELEPAS PR HANCUR Posted: 02 Jun 2016 07:45 PM PDT Perwakilan Pas akui kehilangan pengundi selepas PR hancurPerwakilan Terengganu meminta supaya PAS bersungguh-sungguh untuk menubuhkan blok ketiga pembangkang bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Malah, wakil PAS Terengganu, Dr Alias Razak berkata, blok ketiga itu tidak hanya di tulis di atas kertas semata-mata sebaliknya ia perlu dilaksanakan di semua peringkat parti. Katanya, blok ketiga itu juga penting bagi memastikan PAS dapat menarik kembali pengundi selepas kegagalan parti Islam itu bersama Pakatan Rakyat. "Selepas berpisah dengan Pakatan Rakyat, kita akui perpisahan ini menyebabkan kita kehilangan pengundi. "Kita harap PAS dapat bersungguh-sungguh kerana ini peluang terbaik untuk tarik pengundi golongan atas pagar. "Kita kena sungguh-sungguh supaya blok ketiga ini dapat tenggelamkan Pakatan Harapan kerana mereka pesaing kita sekarang ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-62 di Kelantan. PAS membentuk blok baru pembangkang pada Mac lalu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN). Kerjasama itu dilakukan bagi membuka ruang ke arah pembinaan kumpulan persefahaman yang lebih tersusun dan diharapkan setanding Pakatan Harapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. PAS bersama PKR dan DAP membentuk Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 namun ia berkubur selepas mengalami masalah sesama parti. |
Posted: 02 Jun 2016 07:41 PM PDT Dulu hanya pemimpin UMNO yang berpakaian macam ini. Sekarang pemimpin Pas pun nak jadi pahlawan Melayu juga. Dulu hanya Pemuda UMNO yang cium dan julang keris. Sekarang Hadi Awang sendiri julang keris gergasi. Dulu menjadi tradisi pemimpin UMNO potong pulut kuning. Sekarang Pas pula potong pulut hijau. Dulu, slogannya "Pas ganti UMNO", rupa-rupanya sudah bertukar kepada "Pas mirip UMNO". Dulu, didendangkan juga motto "Pas For All", tetapi nampaknya sekarang sudah berubah menjadi "Pas For U, Najib". (SH 03/06/2016). |
PAS ‘BUAT PERUBAHAN’ JULANG KERIS POTONG PULUT KUNING Posted: 02 Jun 2016 07:39 PM PDT Pas 'buat perubahan' julang keris potong pulut kuningUpacara 'menjulang keris' sebelum ini hanya dikaitkan dengan pemimpin Umno dalam himpunan tahunan mereka, sebelum ia dihentikan beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini pula mencuri perhatian apabila menjulang keris replika gergasi, berukuran sekurang-kurangnya dua meter panjang. Ketika merasmikan Muktamar ke-62 parti Islam itu di Kota Bharu, Hadi menggunakan keris gergasi untuk memotong kek pulut berwarna hijau dan putih yang menyerupai warna bendera parti itu. Sebelum itu, keris tersebut diarak masuk ke dalam dewan oleh seorang lelaki berpakaian silat berwarna hitam. Lelaki itu diapit dua lagi lelaki lain yang berpakaian seperti pakaian Bentara Istana Melayu lama. Di belakang mereka, sekumpulan lelaki yang memakai pakaian silat membawa kek pulut gergasi berkenaan dengan cara mengusungnya di atas alatan seperti tandu. Mereka muncul dari pintu masuk ke pentas utama diiringi tiupan serunai dan gendang yang sering digunakan semasa acara silat, sebelum keris berkenaan diserah kepada Hadi. Hadi, dibantu oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, kemudian memotong kek pulut itu di tengah-tengah sorakan dan tepukan daripada perwakilan yang turut melaungkan Allahuakbar. Pada majlis sama, para penyokong PAS yang terdiri daripada ahli bukan Islam membaca ikrar untuk menyatakan sokongan kepada Hadi dan PAS. Semalam, Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dan pemimpin parti yang lain memilih untuk berpakaian ala pakaian pahlawan Melayu lama. Pakaian itu mendapat perhatian kerana berbeza dengan pakaian kebiasaan pemimpin PAS yang hanya berjubah atau berbaju Melayu biasa. Comments |
INGATAN YANG LEBIH SESUAI DITUJUKAN KEPADA BAPA SENDIRI Posted: 02 Jun 2016 05:13 AM PDT Timbalan Ketua Pemuda Pas yang juga anak Hadi Awang, Muhammad Khalil Hadi mengingatkan rakan-rakan seperjuangannya agar tidak main-main dalam perjuangan di jalan Allah yang sedang dilalui bersama parti itu. Ini kerana, jelasnya, janji yang dibuat untuk perjuangan itu bukan saja di depan manusia, tetapi juga di depan Allah. Dalam masa yang sama, beliau juga menasihati rakan-rakan yang telah keluar daripada Pas, khususnya yang memegang jawatan wakil rakyat, yang dianggapnya tiba-tiba khianat kepada perjuangan, mengenai janji yang sama di depan Allah nanti. "Mereka lari dari perjuangan. Jawablah di depan Allah di hari akhirat nanti," katanya dalam ucapan penangguhan di Muktamar Pemuda Pas, semalam. Woww.....hebatnya ingatan dan amaran!! Benarkah perjuangan Pas sentiasa di jalan Allah, dahulu dan juga sekarang? Jika benar di jalan Allah, kenapa Pas sekarang yang dipimpin Hadi Awang makin bersekongkol dengan seseorang yang sah diketahui terpalit dengan skandal kewangan paling besar dalam dunia? Adakah persekongkolan itu sebahagian daripada perjuangan di jalan Allah? Bagaimana agaknya mahu menjawab di hari akhirat nanti? Bolehkah juga menawarkan diri menjadi penasihat kepada pemimpin yang pernah mengaku, "kalau saya nak menyamun pun, takkan saya guna akaun bank peribadi", namun akhirnya semua penafian terbukti benar belaka? Kenapa semua ingatan dan amaran hanya ditujukan kepada orang lain, tidak kepada diri sendiri? Lantaran itu, ingatan dan amaran Muhammad Khalil ini barangkali lebih baik diselitkan ke pintu bilik tidur ayahnya terlebih dahulu sebelum ditujukan kepada sesiapa yang lain. Ingatlah, Allah juga sedang melihat lakonan demi lakonan yang sedang dipentaskan sekarang. (SH 02/06/2016). |
PAS: DARI PARTI SUCI KINI MENGHAMPIRI PERJUANGAN UMNO? Posted: 02 Jun 2016 01:11 AM PDT Pas: Dari parti suci kini menghampiri perjuangan Umno?Muktamar Pas ke 62 di Kelantan bukan sahaja membuat kejutan apabila pemimpin utama Pas seperti Nik Abduh Nik Aziz dan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berpakaian hulubalang Melayu, meninggalkan pakaian sunah ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda; namun ianya merebak kepada isu-isu perkauman serta melempar tuduhan tidak berasas sebagaimana layaknya dalam Perhimpunan Agung Umno. Ketua Dewan Pemuda Nik Abduh dikecam DAP apabila menyerang parti itu dan meminta Pas mengambil semula kerusi yang dipinjamkan kepada DAP dan PKR pada pilihan raya umum (PRU) lalu. Umum maklum PKR memang mendapat banyak kerusi yang dimiliki Pas sebelumnya. Namun DAP tidak pernah mengambil kerusi Pas kerana kerusi parti itu biasanya mempunyai pengundi Cina sehingga 60%. Pas mustahil bertanding di kerusi sedemikian. Oleh itu tempelakan pemimpin DAP, Anthony Loke bahawa Nik Abduh tidak mengutamakan sifat ahli agama yang berhati-hati dalam membuat kenyataan tepat ke sasarannya. Seorang ustaz tidak wajar menuduh orang lain tanpa fakta kukuh. Apabila diminta bukti dan ustaz gagal memberikannya maka kes itu akan menjatuhkan maruah seorang ahli agama. PKR pinjam Meskipun PKR memang meminjam kerusi Pas, namun Nik Abduh tidak boleh angkuh berbicara mahu mengambil semula kerusi yang dipinjam. Benarkah Pas begitu kuat dan tidak memerlukan jasa Anwar Ibrahim daripada PKR untuk menang dalam PRU 1999, 2008 dan 2013? Fakta sejarah mana yang dikutip Nik Abduh mewajarkan Pas tidak memperdulikan sekutunya? Pernahkah berlaku Pas memenangi sebarang kerusi sejak PRU 1969 di Selangor, Perak atau Negeri Sembilan? Sejak dua dekad sebelum PRU 1999, sejarah mencatat Pas kalah dan hilang deposit bertanding kerusi parlimen dan DUN di ketiga-tiga negeri itu. Hanya pada PRU 1999, menunggang gelombang reformasi Pas berjaya bertapak di 2 kerusi parlimen di Perak serta 2 DUN di sana. Pas juga berjaya bertapak di 4 kerusi DUN di Selangor pada PRU itu selain menguasai Terengganu yang memang negeri kubu kuat Pas. Jika kuat Tidak dinafikan Pas memiliki jentera kempen yang kuat. Malah terkuat di Malaysia kerana Umno BN mengharapkan jentera kerajaan dalam berkempen. Namun pada setiap kali PRU, Pas pasti kalah teruk kerana tidak berjaya merebut kepercayaan rakyat. Sekiranya Pas benar-benar kuat, pengenalan parti itu dalam ceramah besar-besaran pada 1998 – 1999 pastinya telah meraih keyakinan rakyat dan membolehkan mereka menguasai gelanggang politik pada PRU 2004 apabila gelombang reformasi mengendur. Sebaliknya, terbukti Pas kalah teruk dalam PRU 2004, hilang semua kerusi di Selangor dan Perak. Terengganu tumbang dan Kedah semakin mengecil. Pas hanya kembali kuat pada PRU 2008. Itu pun selepas dua tahun Anwar Ibrahim berkempen ke seluruh negara. Berlakunya demonstrasi Bersih 1 yang berjaya mengumpul 80,000 peserta dan demonstrasi Hindraf mengumpul 30,000 peserta di Kuala Lumpur. PRU 2008, Pas berjaya menguasai negeri di Pantai Barat. Berjaya di Selangor, Perak dan Kedah. Namun adakah kerana kekuatan Pas atau keyakinan rakyat ke atas Anwar dan mahu mencuba ikon politik itu sebagai Perdana Menteri? Cuba andaikan Anwar masih di dalam penjara pada 2008 adakah Pas mampu menguasai Selangor atau pemimpinnya menjadi MB di Perak dan Kedah? Kalau Pas tidak mampu memberi jawapan maka ternyatalah parti itu hanya menumpang kekuatan parti atau karisma individu dari parti lain. Dengan demikian, tidak perlu dipersoalkan kerusi Pas dipinjam PKR kerana sekiranya Pas bertanding di kerusi tersebut dan Anwar tidak dipecat daripada Umno maka sampai kiamat parti Islam itu akan hilang deposit di kerusi-kerusi yang dipinjamkan itu. Benci DAP Satu lagi, ketua pemuda Pas Pulau Pinang Mohd Hafiz Alias mengeluh dalam muktamar pemuda meskipun orang Melayu membentuk 43% penduduk negeri namun pemilikan tanah mereka cuma 20% sahaja. Beliau mencadangkan untuk melindungi orang Melayu maka PAS perlu terlibat membentuk kerajaan negeri. Hujah itu menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri Pakatan Harapan tidak melindungi tanah Melayu selama dua penggal ini. Tuntutan membentuk kerajaan negeri tentulah dengan Umno, Gerakan dan Pas. Namun sedarkah Pas selama BN menguasai Pulau Pinang bukan sahaja pemimpin Gerakan yang mengambil dan menjual tanah Melayu tetapi pemimpin Umno juga terlibat sama. Selepas ini mungkin Pas melancarkan usaha memburuk-burukkan kerajaan PH yang diterajui DAP dalam kalangan orang Melayu dan mengesa mereka mengundi Umno, Gerakan selain Pas. Namun selepas kerajaan berganti nanti pastinya tanah orang Melayu akan hilang lebih banyak berbanding 10 tahun di bawah naungan DAP. Bolehkah pengaruhi ahli? Ternyata selepas dua tahun kepergian Nik Aziz Pas berubah 180 darjah daripada parti agama yang dihormati semua bangsa kepada parti yang tidak jauh berbeza dengan Umno. Pemimpinnya menuduh sembarangan dan mencaci DAP seolah-olah parti itu tidak dianggotai manusia tetapi kalangan kaum jin yang jahat. Dengan cara apakah Pas mahu mentarbiyah ahli mereka agar tidak memusuhi Umno? Mudahkah ahli menerima parti yang pernah membunuh 13 syuhada Memali itu sebagai kawan tanpa meminta maaf terlebih dahulu? Bolehkah ahli menerima Umno yang memfitnah Anwar meliwat dua kali tanpa bukti? Atau bolehkah ahli menerima parti yang terlibat dalam skandal kewangan 1MDB mengumpul hutang RM50 bilion dan menyuruh rakyat membayar hutang RM27 bilion yang diserap kerajaan? Cara yang mudah untuk menyuruh ahli taat kepada pemimpin adalah dengan membawa pelbagai nas al Quran. Adakah cara itu akan digunakan untuk mempengaruhi ahli agar berkawan dan bersahabat dengan Umno? Ternyata perjuangan seperti itu adalah mimpi ngeri kepada Fadzil Noor dan Nik Aziz. Pas akan menjadi parti mempergunakan agama sepenuhnya, seperti Umno, apabila cuba menutup sebelah mata terhadap dosa-dosa besar pemerintah. Dan dalam kes Pulau Pinang bagaimanakah cara Pas mahu menghasut orang Melayu membenci DAP? Kerajaan PH yang terbukti meningkatkan peruntukan Majlis Agama Islam Pulau Pinang hampir 5 kali ganda daripada zaman BN bukan mudah untuk dibakul sampahkah. Adakah dengan cara fitnah ala media Umno? Jika itu dilakukan Pas akan tercebur ke lubuk fitnah yang maha dahsyat demi merebut kuasa. Adakah itu penghujung perjuangan Pas? Daripada sebuah parti agama yang suci kepada parti yang menghampiri perjuangan sekular pragmatik yang ditentang oleh pemimpin utamanya sebelum ini? |
AZMIN TIDAK TURUN KERANA KERAJAAN SELANGOR MASIH DIANGGOTAI PAS Posted: 02 Jun 2016 01:08 AM PDT Azmin tidak turun kerana kerajaan Selangor masih dianggotai PasMenteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah dinasihatkan oleh pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya tidak hadir pada Majlis Pengisytiharan Calon Pakatan Harapan (PH). Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat bagi menjaga keharmonian pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang masih lagi bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR). "Kita tahu PAS masih lagi dalam kerajaan dulu yang dipilih oleh rakyat. Sebab itu parti buat ketetapan ini adalah pilihan raya di peringkat Parlimen. "Azmin Ali kita tahu dia mesti menjaga kerajaan beliau. Azmin adalah Menteri Besar. Itu kita memang faham, dia ada satu kedudukan untuk menjaga kerajaan Pakatan yang dulu," katanya dalam sidang media di Dewan Sri Sekinchan, malam tadi. Ujar Wan Azizah, isu Azmin tidak hadir bukan isu besar memandangkan beliau yang juga merupakan Presiden PKR turun bagi mewakili Pakatan Harapan "Saya ada untuk mewakili Pakatan Harapan, semalam kita ada bincang, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain juga mengetahui dan memahami,"ujarnya. Pada majlis itu, antara pemimpin PKR yang lain ternasuk Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, dan juga beberapa pemimpin tertinggi daripada DAP. FMT |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |