WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- Ku Li mahu Laporan Audit disebar untuk umum selepas kontroversi laporan PAC
- DUA PRK: PH PERAK CADANG TANDING HANYA SATU KERUSI
- Wang Rakyat Selangor Terus Dibazir Dengan Parkir Perpustakaan Bernilai RM43j
- PAS BUKAN KOMPONEN PAKATAN, PRESTASI SEBENAR RUJUK PRU 2004
- BEKAS PEMIMPIN, AHLI PAS TERENGGANU TIDAK SENANG SIKAP PRO UMNO
- Kami semua ‘Tukar Tiub
- 1.2 JUTA TANDATANGAN DEKLARASI, DR M SERAH SENDIRI PADA AGONG
- 1MDB: SIASATAN DI SINGAPURA JELAS KAITKAN SEKUTU NAJIB, JHO LOW
- HUSAM NYATA MINAT KEPADA SATU PARTI DI DEPAN SERIBU PENYOKONG’
Ku Li mahu Laporan Audit disebar untuk umum selepas kontroversi laporan PAC Posted: 14 May 2016 08:05 PM PDT Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mahu Laporan Ketua Audit Negara, yang diklasifikasi sebagai "Rahsia Rasmi", diubah kepada "untuk tatapan umum" dengan segera. "Ini penting kerana dilaporkan bahawa kenyataan tertentu di dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk dibentangkan dalam Parlimen telah dipadam. "Ini merupakan perkara penting yang penuh kontroversi," katanya dalam satu kenyataan semalam. Menurut beliau hal ini berkaitan dengan pemindahan wang yang kononnya dipinjam daripada peminjam antarabangsa dengan cara di luar batasan undang-undang. Beliau risau mengenai perkara ini kerana negara semestinya mempertahankan integriti dan kedudukan Dewan Rakyat sebagai sebuah badan di mana Ahli-Ahli Dewan seharusnya bertindak dengan penuh tanggungjawab dan jujur tanpa mengelirukan rakyat. Dengan adanya pemadaman laporan PAC katanya, laporan yang akan dibawa ke Dewan Rakyat itu merupakan laporan yang tidak boleh dipertahankan memandangkan ia berkaitan dengan pinjaman wang oleh 1MDB yang kononnya dibuat bagi pihak negara. Pemadaman tersebut sebenarnya bukan sahaja di luar batasan undang-undang tetapi merupakan juga pemesongan serius terhadap Seksyen 9(i), (j) dan (n)(iii) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952. Menurut beliau pemesongan terhadap Seksyen di dalam Akta yang disebutkan itu merangkumi pengubahan, salah pembentangan dan penipuan terhadap dokumen yang dibentang di Dewan Rakyat. Ini merupakan kesalahan mengikut peruntukan di dalam Akta ini. Ini juga bermakna apa jua pemadaman yang dibuat boleh mendatangkan keraguan di kalangan rakyat mengenai sama ada Laporan tersebut mencerminkan atau tidak akan kebenaran keseluruhan kenyataan mengenai isu 1MDB. Atas sebab-sebab yang disebut, beliau menyeru agar Laporan Ketua Audit Negara, yang diklasifikasi sebagai "Rahsia Rasmi", diubah kepada "untuk tatapan umum". "Saya juga membuat seruan ini kerana mengikut Perlembagaan, Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebenarnya berhak mendapat Laporan Ketua Audit Negara sebelum Parlimen bersidang pada 16hb Mei, 2016. " Isu-isu yang dibangkitkan itu amat penting kepada rakyat dan tidak ada sebab kenapa Laporan Ketua Audit Negara diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi," katanya Beliau mengulangi bahawa keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Najib supaya Ketua Audit Negara menyiasat isu 1MDB dan menyerahkan hasil penyiasatan tersebut sebagai laporan untuk pertimbangan Dewan Rakyat. Dalam membuat keputusan tersebut, Perdana Menteri memberi gambaran bahawa tidak ada apa yang hendak diselindungkan. |
DUA PRK: PH PERAK CADANG TANDING HANYA SATU KERUSI Posted: 14 May 2016 08:01 PM PDT Dua PRK: PH Perak cadang tanding hanya satu kerusiPakatan Harapan (HARAPAN) Perak hari ini mencadangkan supaya gabungan pembangkang itu hanya bertanding di satu kerusi – sama ada Kuala Kangsar atau Sungai Besar – dalam pilihan raya kecil (PRK) bulan depan dan memberi peluang kepada PAS untuk bertanding di kerusi yang lain. Dalam satu kenyataan, HARAPAN Perak berkata keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat majlis pimpinan negeri semalam. "Cadangan sedemikian adalah bukti keikhlasan Pakatan Harapan untuk memastikan satu lawan satu dalam kedua-dua PRK tersebut," katanya sambil menambah bahawa ia demi memastikan kemenangan untuk rakyat. Menurutnya lagi, semua komponen Pakatan Harapan berjanji akan menggerakkan semua jentera pilihan raya parti masing-masing untuk memastikan kemenangan rakan dalam Pakatan seandainya wakil Pakatan diberi peluang untuk bertanding sama ada di Kuala Kangsar atau Sungai Besar. Sebagai persiapan menghadapi PRK itu bulan depan, Pakatan Harapan Perak telah menubuhkan jawatankuasa kerja PRK Kuala Kangsar yang dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin. Anggota lain jawatankuasa tersebut termasuk Ahli Parlimen PKR Lumut, Laksamana Imran dan ADUN DAP Tronoh, Yong Choo Kiong. Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kosong ekoran penyandang kerusi berkenaan, Datuk Wan Khair-il Anwar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak awal bulan ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan hari penamaan calon telah ditetapkan pada 5 Jun dan pengundian pada 18 Jun. Pakatan Harapan masih belum mengumumkan parti komponen mana yang akan meletakkan calon bertanding dalam PRK tersebut. Dalam pilihan raya umum ke-13, PAS bertanding dan kalah kepada Umno di kedua-dua kerusi berkenaan apabila parti itu masih bersama dengan Pakatan Rakyat ketika itu. |
Wang Rakyat Selangor Terus Dibazir Dengan Parkir Perpustakaan Bernilai RM43j Posted: 14 May 2016 07:54 PM PDT Wang Rakyat Selangor Terus Dibazir Dengan Parkir Perpustakaan Bernilai RM43jKenyataan Media 11 Mei 2016 Wang Rakyat Selangor Terus Dibazir Dengan Parkir Perpustakaan Bernilai RM43j 1. Sebelum Pilihanraya Negeri Sarawak, saya telah mendapat senarai dokumen projek-projek mega yang diluluskan di bawah pentadbiran MB Azmin Ali di Selangor. Ternyata banyak projek diluluskan dengan nilai yang tidak munahsabah dan cara yang amat meragukan. Namun pendedahan dokumen ini kami tangguh sehingga selesai PRN Sarawak. 2. Sebelum ini SAMM telah membuat beberapa pendedahan yang masih belum dijawab, antaranya ialah mengenai projek ubah suai ringan pintu gerbang dengan kos bernilai hampir RM10juta. Hanya jawapan selamat diberi kononnya projek ini adalah dari wang penderma yang didahulukan kosnya oleh kerajaan negeri, malah salah seorang Adun PKR selangor jawab kononnya ia kehendak istana. 3. MB Selangor juga gagal perjelaskan apa kepentingan wang rakyat sebanyak RM65.03j dibazirkan untuk ubah suai Masjid Shah Alam seperti kerja ganti kubah dan pejabat masjid. Apabila dibangkitkan oleh wartawan, Azmin marah dan suruh wartawan menjawab dengan tuhan, kerana ganti kubah mahal untuk bela syiar islam. Sedangkan Pakatan Rakyat sendiri pernah mengkritik pembaziran Masjid Kristal di Terengganu, hari ini Azmin buat hal yang sama. Persoalannya, berapa banyak institusi islam, sekolah-sekolah agama, pusat ilmu dan kebajikan islam yang mampu terbela dengan jumlah wang RM69.04 juta, daripada hanya disalurkan ke sebuah masjid? 4. Kemudian SAMM dedahkan pula pemberian kompartmen balak kepada dua syarikat tanpa tender terbuka. Satu syarikat bertaraf "enterprise" (bukan sdn bhd) telah diberi tanpa tender terbuka hak membalak bernilai puluhan juta ringgit. Bila dipersoal azmin cuba cuci tangan kononnya dia tak terlibat malah dia menipu dalam media pada awalnya dengan mengatakan pemberian balak itu melalui tender terbuka. Pendedahan SAMM juga dijawab oleh salah seorang exco selangor dengan ugutan saman. Namun seluruh kerajaan selangor harus malu mempunyai MB yang dibuktikan menipu di media apabila dokumen minit mesyuarat kerajaan negeri yang berlebel "rahsia" yang didedah membuktikan kelulusan tender balak itu sememangnya tidak melalui proses tender terbuka dan Azmin terlibat mempengerusikan mesyuarat exco meluluskannya. Azmin terus membisu. 5. Terbaru kami mendapat dokumen projek di bawah tajuk "Cadangan menyiapkan tempat letak kereta perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam". Projek ini diluluskan kepada sebuah syarikat dengan nilai RM43juta. Soalnya apakah relevannya RM43juta dibazirkan hanya untuk menyiapkan PARKIR sebuah perpustakaan? Lebih jenaka lagi melalui carian di media, perpustaan itu sendiri disiapkan hanya dengan kos RM60 juta sahaja (sebelum azmin MB). Ini membawa maksud tempat letak kereta hampir sama harga dengan perpustakaan? 6. Kegilaan seumpama ini harus dihentikan. Dalam simpanan kami ada banyak lagi projek mengarut membazir dengan nilai amat tidak munasabah. Sampai bila perkara ini harus diteruskan? 7. Azmin dituntut menjelaskan butiran perbelanjaan projek yang diluluskan dari pintu gerbang (RM9.7j), ubah suai Masjid Shah Alam (RM69.04j) dan terbaru tempat letak kereta perpustakaan RaTU, Shah Alam. 8. Harus diingat, rakyat Selangor suatu ketika dulu berkorban menumbangkan kerajaan Umno kerana memilih perubahan dan reformasi bersama Pakatan Rakyat. Jika kerajaan Selangor terus membazir dan hanguskan duit rakyat, apakah pengorbanan rakyat Selangor dipersiakan? 9. PKR, DAP, Amanah malah Pas yang sama membentuk kerajaan selangor harus tampil juga menyatakan pendirian mengenai kegilaan kerajaan Selangor di bawah Azmin yang meluluskan projek dgn nilai yang sangat menjolok mata. Projek yang diagih tanpa tender terbuka ini amat bertentangan dengan perjuangan yang semua laungkan selama ini. Jika tidak rakyat akan melihat kamu sama sahaja seperti Umno barisan nasional. Lebih lagi ini membuktikan kempen memperguna nama rakyat 'Selamatkan Malaysia' yang diterajui azmin bersama bapa angkatnya Mahathir hanya munafik semata-mata. Badrul Hisham Shaharin (cheGuBard) Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) |
PAS BUKAN KOMPONEN PAKATAN, PRESTASI SEBENAR RUJUK PRU 2004 Posted: 14 May 2016 07:44 PM PDT Pas bukan komponen Pakatan, prestasi sebenar rujuk PRU 2004PAS perlu menjadikan keputusan Pilihanraya Umum (PRU) 2004 sebagai petunjuk kepada kekuatan mereka di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, bukannya keputusan PRU lalu, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang. Beliau berkata, PAS bertanding bagi pihak Pakatan Rakyat pada PRU ke-13, berbeza dengan keadaan sekarang di mana parti itu tidak lagi bergabung dengan DAP dan PKR. "Keputusan PRU ke-13 bukanlah petunjuk yang boleh dipercayai untuk mengukur trend mengundi bagi calon-calon PAS, kerana cerminan yang lebih tepat ialah PRU tahun 2004. "Calon PAS dalam dua PRK ini tidak akan mendapat undi yang banyak berbanding pada PRU lalu, kerana PAS telah mengesampingkan segmen pengundi yang signifikan di kedua-dua kawasan dan sudah bukan lagi parti komponen Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan. Pada PRU 2013, PAS hanya kalah tipis pada calon BN, dengan kekurangan 339 undi di Sungai Besar dan 1,082 undi di Kuala Kangsar. Ia jauh berbeza pada PRU 2004, di mana PAS kalah dengan kekurangan 7,349 undi di Sungai Besar dan 5,557 undi di Kuala Kangsar. Justeru, beliau mengingatkan PAS agar mengambil kira perbezaan dua keputusan PRU tersebut jika ingin menang dalam dua PRK yang akan berlangsung pada 18 Jun ini. "Ia lebih relevan berbanding angka-angka pada PRU 2008 dan 2013, dan harus diambil kira jika objektif utama adalah untuk mempertimbangkan cara terbaik bagi memenangi PRK ini dan terus memberi tekanan kepada Najib," kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi. Beliau turut memaklumkan, Majlis Presiden Pakatan Harapan belum membuat keputusan berhubung kedua-dua PRK tersebut, terutama soal meletakkan calon. Beberapa pemimpin PAS, antaranya Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria sebelum ini mengingatkan Pakatan Harapan agar tidak bertanding di sana, memandangkan ia adalah kerusi tradisi PAS dan bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru. |
BEKAS PEMIMPIN, AHLI PAS TERENGGANU TIDAK SENANG SIKAP PRO UMNO Posted: 14 May 2016 07:38 PM PDT Bekas pemimpin, ahli Pas Terengganu tidak senang sikap pro UmnoBerubahnya perjuangan Pas Terengganu 180 darjah daripada mengecam dan memusuhi Umno kepada menjadi penasihat tidak diterima oleh sebahagian bekas pemimpin dan ahli Pas di negeri itu. Seorang penganalisis politik yang rapat dengan kepimpinan Pas Terengganu berkata, ketidakpuasan hati ahli peringkat bawah bertambah parah kebelakangan ini apabila pemimpin menyerang bekas-bekas rakan mereka yang kini menubuhkan Amanah tetapi mengalu-alukan kerjasama dengan Umno. "Walaupun berlegar di kalangan dalaman sahaja, ramai bekas-bekas pimpinan Pas Terengganu sangat tidak senang dengan apa yang sedang berlaku sekarang antara pemimpin baru Pas dan bekas ahli yang menubuhkan parti baru "Mereka berhujah kenapa dengan Umno Pas boleh berbaik-baik dan bersefahaman tetapi dengan pemimpin Amanah tidak pula dapat berbaik-baik dan duduk berbincang demi kebaikan rakyat "Sebaliknya, sekarang berlaku cop mengecop, label melabel dan syak wasangka yang amat teruk semasa sendiri," katanya kepada suarapakatandaily dengan syarat namanya tidak disiarkan. Kesan daripada sikap berburuk sangka itu, kata penganalisis tersebut, beberapa bekas ADUN Pas Terengganu mula disisihkan dan dianggap penyokong Amanah walaupun tidak dibuktikan mereka terlibat dengan perjuangan parti baharu berkenaan. Katanya, sikap menuduh melulu itu akan menyebabkan lebih banyak ahli Pas mengambil keputusan menyeberang ke parti baharu sedikit masa lagi. "Beberapa orang ADUN Pas kebelakangan ini ditunding jari sebagai pemyokong Mohamad Sabu. Banyak AJK Pas kawasan di Terengganu dilabelkan sebagai menyebelahi Mat Sabu dan Salahuddin Ayub. Ini amat merugikan. "Tapi tentunya ahli Pas sangat bingung bila ucapan seorang ahli parlimen yang juga pemimpin kanan Pas negeri baru-baru ini, semasa merasmikan mesyuarat agung kawasan, mengatakan Pas sedang dalam proses berbaik dengan Umno. "Ahli parlimen itu berkata sikap Pas kini tidak sama lagi dengan dahulu. Pas tidak lagi memusuhi Umno malah cuba menasihati Umno untuk jadi kerajaan yang baik. Tindakan ini tidak amat-amat menyenangkan ahli," katanya. Kesimpulan beliau, strategi Pas berbaik dengan Umno adalah salah kerana parti sekular itu tidak pernah menghentikan kezaliman seperti mengenakan cukai GST, dasar peras ugut, penyelewengan dan sebagainya. Sebaliknya ahli bawahan melihat Pas pasca Nik Aziz Nik Mat semakin bergerak seperti era bekas presiden Asri Muda yang 'tergila-gila' mahu berbaik-baik dengan Umno. |
Posted: 14 May 2016 01:17 AM PDT 16 MEI ADALAH GURU, MAKA BELIAU ADALAH "GURU PILIHAN JALANRAYA"Tanggal 16 Mei ini akan menentukan samada aktivis sosial, Sdra Hishamuddin Rais aka Tukar Tiub aka Isham Rais, akan menempuhi hukuman penjara 9 bulan setelah disabitkan bersalah Mahkamah Tinggi pada 15 Januari lalu. Atas hukuman tersebut, Isham Rais telah mengemukakan rayuan dan 16 Mei ini Mahkamah Rayuan Putrajaya akan menentukan samada rayuan Hishamuddin Rais diterima atau ditolak. Tidak syak lagi, Isham Rais dihambat kerana kelantangan suara beliau yang tidak pernah mendiamkan kebobrokan pemerintah. Lalu Akta Hasutan menjadi alat jahat pemerintah yang bukan sahaja digunakan ke atas Isham Rais, tapi ramai lagi pemimpinan pembangkang dan aktivis anak muda termasuklah Adam Adli dan Safwan Anang. Mengapa kita semua adalah Isham Rais? Maka izinkan saya untuk berkongsi pandangan saya mengapa kita perlu menyatakan sokongan kita terhadap Hisham Rais, sekaligus mewajibkan kita membantah hukuman ke atas beliau. YANG LESU, JADI BERMAYA. YANG BOSAN JADI BERTENAGA. Begitulah keadaannya apabila Isham Rais menjadi panelis dalam mana-mana forum. Sepanjang pengalaman saya berforum bersama beliau, suasana akan berubah apabila tiba giliran beliau berucap. Tanpa alas, tanpa berlapik, beliau akan melontarkan pandangan beliau secara jujur dan terbuka. Gurau senda beliau mengenai Rosmah adalah Suami Najib dan Najib adalah Isteri Rosmah pasti memecah gelak tawa hadirin. Dalam nada gurau hujah Isham Rais tetap berbisa. Beliau begitu pasti apabila memperkatakan perubahan di Malaysia sukar untuk dicapai melalui Pilihanraya. Beliau berani untuk sinikal malah kritikal terhadap politikus yang menjaja nama rakyat untuk mengejar kepentingan peribadi. Tanpa kira pihak oposisi atau kerajaan, semua akan beliau pukul dengan hujah jika beliau merasakan ada yang tidak kena. DEMONSTRASI JALAN RAYA, DULU, KINI DAN SELAMANYA. Siapa yang boleh menafikan obsesi Isham Rais terhadap demonstrasi jalan raya. Tidak kira apa juga skala demonstrasi tersebut dan siapa juga penganjurnya. Saya masih ingat sewaktu kami (Solidariti Mahasiswa Malaysia) bertempur dengan sebuah Kerajaan Negeri pada tahun 2011 mengenai isu penggantungan 6 pemimpin mahasiswa yang menuntut di sebuah Kolej Universiti milik Kerajaan Negeri tersebut. Kami menganjurkan protes skala kecil dihadapan Pejabat Kerajaan Negeri berkenaan yang pada anggapan kami protes tersebut tidak dipedulikan banyak pihak. Tetapi setelah pulang ke Kuala Lumpur, sewaktu terserempak dengan Isham Rais di Bangsar, perkara pertama yang beliau ajukan ialah bagaimana dengan protes kami di Kedah. Beliau sangat perihatin malah memberi semangat untuk kami jangan mengalah. Saya percaya tidak ada protes yang terlepas daripada kamus pengetahuan Hisham Rais. PEJUANG TAK BERDUIT, TAK BERKERETA Ke hulu ke hilir, Isham Rais hanya menaiki pengangkutan awam. Kadang-kadang menumpang anak-anak muda yang mahu menadah ilmu dan mendengar bacaan politik beliau yang seringnya tajam. Berpuluh tahun memperjuangkan kebebasan rakyat, Isham Rais tidak pernah mengecapi kekayaan. Atas kerja keras Isham Rais melawan rejim, beliau tidak merasa hidup dalam rumah besar dan bersiar-siar dengan kereta mewah. Isham Rais bukan pemburu ghanimah. Beliau bersuara tulus demi rakyat dan masyarakat tertindas. MEREKA HANYA BOLEH PENJARAKAN JASAD HISHAM RAIS Jika rejim di atas sana percaya mereka boleh mengekang suara Hishamuddin Rais dengan memenjarakan beliau, maka mereka silap. Jika mereka benar-benar mahu membunuh suara Hishamuddin Rais, maka mereka perlu memenjarakan ratusan malah ribuan anak muda yang telah mendapat sentuhan pencerahan daripada sosok ini. Idealisme dan cita-cita Hishamuddin Rais akan terus bebas dan membangun dalam jiwa serta minda anak-anak muda. Ayuh anak muda, kita hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 16 Mei ini. Tunjukkan solidariti kita bersama Tukar Tiub aka. Isham Rais aka. Hishamuddin Rais. Suarakan kebencian kita kepada undang-undang drakonian seperti Akta Hasutan. Bebas#IshamRais #MansuhAktaHasutan |
1.2 JUTA TANDATANGAN DEKLARASI, DR M SERAH SENDIRI PADA AGONG Posted: 14 May 2016 12:53 AM PDT 1.2 juta tandatangan deklarasi, Dr M serah sendiri pada AgongSejumlah 1,271,997 rakyat negara ini telah menandatangani Deklarasi Rakyat menuntut perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berundur. Dari jumlah itu, 1,071,997 adalah secara online manakala 'hard copy' sudah dikira 200,000 sehingga kini. "Pengiraan untuk hard copy masih diteruskan," kata salah seorang ahli mesyuarat Gerakan Selamatkan Malaysia yang sedang berjalan. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dihadiri oleh kebanyakan pemimpin yang menandatangani deklarasi itu ketika ia dilancarkan Mac lalu. Ia bertujuan untuk memaklumkan kepada mereka perkembangan terkini gerakan ini. Antara yang hadir ialah ketua sekretariat Datuk Kamaruddin Jaffar, timbalan presiden Amanah Salahudin Ayub, naib pengerusi DAP Teresa Kok, naib presiden PKR Tian Chua, Adun Salor Datuk Husam Musa dan lain-lain. Deklarasi Rakyat yang dilancarkan 4 Mac lalu bertujuan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan melalui saluran yang aman dan mengikut undang-undang negara. Deklarasi yang pada mulanya ditandatangani 50 pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) itu juga bersetuju menyingkirkan semua pihak yang mendokong Najib. Ia turut menuntut undang-undang dan perjanjian baru yang melanggar hak asasi dijamin perlembagaan dan melemahkan polisi terpilih dimansuhkan, selain memulihkan integriti institusi yang telah dilemahkan seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC). malaysia dateline |
1MDB: SIASATAN DI SINGAPURA JELAS KAITKAN SEKUTU NAJIB, JHO LOW Posted: 14 May 2016 12:40 AM PDT 1MDB: Siasatan di Singapura jelas kaitkan sekutu Najib, Jho LowSiasatan pihak berkuasa Singapura didakwa mendapati bahawa Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, meluluskan pemindahan AS$11.95 (RM48 juta) dana syarikat itu kepada sekutu Jho Low – Tan Kim Loong. Tan, menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), adalah benefisiari asal syarikat yang berpangkalan di British Virgin Islands, Tanore Finance, yang telah menghantar AS$681 juta ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Tanore Finance dilaporkan menerima dana, melalui perantara, dari syarikat yang berpangkalan di British Virgin Islands, Aabar Investments PJS Limited di mana AS$3.5 bilion dana 1MDB didakwa dilencongkan. Business Times Singapura melaporkan bahawa penemuan pihak Singapura itu terkandung dalam dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah Singapura pada hari Khamis sebagai sebahagian daripada pertuduhan ketujuh terhadap bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei. Pertuduhan terbaru terhadap Yeo itu adalah kerana mempermudahkan, melalui cara penipuan, pemindahan AS$11.95 juta dari SRC International kepada Affinity Equiti International Partners Ltd, sebuah syarikat yang dimiliki Tan. "Pemindahan dana kepada Affinity Equiti International Partners Ltd dilakukan melalui Pacific Harbour Global Growth Fund AA4 – dana yang SRC International Malaysia langgani. "(Ia) diselia oleh Pengarah Eksekutif Kewangan 1MDB Terence Geh dan diberi kuasa oleh Nik Faisal Ariff Kamil, pengarah urusan SRC International Sdn Bhd dan bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB, dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh pendakwa raya Singapura mendedahkan," kata laporan itu. SRC International Malaysia, yang didaftarkan di British Virgin Islands, dimiliki sepenuhnya oleh SRC International Sdn Bhd, yang seterusnya dimiliki oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Ia adalah bekas anak syarikat 1MDB, sebelum diletakkan secara langsung di bawah Kementerian Kewangan pada tahun 2012. Business Times juga melaporkan bahawa antara dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah termasuk surat yang ditandatangani Nik Faisal bagi pihak SRC International Malaysia mengakui bahawa Pacific Harbor Global Growth Fund telah menyalurkan AS$11.95 juta kepada Affinity Equiti. Sebelum ini, selain SRC sebagai bekas anak syarikat 1MDB, ia tidak dikaitkan secara langsung dengan jaringan transaksi multi-bilion dolar 1MDB. Transaksi kontroversi SRC International sebelum ini dilihat sebagai bebas daripada 1MDB, antaranya pemindahan RM42 juta dan RM27 juta, melalui perantara, ke dalam akaun bank peribadi Najib. Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkan Najib daripada transaksi tersebut dengan alasan bahawa perdana menteri tidak tahu mengenainya. Walaupun transaksi multi-bilion 1MDB kini menjadi subjek siasatan antarabangsa termasuk di Singapura, Switzerland, Luxembourg, United Arab Emirates dan Amerika Syarikat, namun sedikit yang diketahui tentang apa yang berlaku kepada RM4 bilion dari SRC International. SRC International telah mendapat pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) – dana pencen untuk kakitangan kerajaan – yang dikatakan untuk pelaburan dalam sektor tenaga di Mongolia. Nik Faisal dipercayai berada di Indonesia sejak dia meninggalkan Malaysia pada Julai tahun lepas. |
HUSAM NYATA MINAT KEPADA SATU PARTI DI DEPAN SERIBU PENYOKONG’ Posted: 14 May 2016 12:35 AM PDT 'Husam nyata minat kepada satu parti di depan seribu penyokong'Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa malam tadi mengakui telah jatuh cinta kepada satu parti setelah 'diceraikan' oleh parti asal beliau tetapi tidak dapat umumkan sekarang kerana masih dalam edah. "Masa dalam edah ni tak boleh sesiapa masuk meminang apa lagi di khalayak ramai macam ni," kata Husam merujuk kepada pelawaan Pengerusi Amanah Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah di majlis makan malam Selamatkan Malaysia anjuran Amanah Pasir Puteh di sebuah resort di Tok Bali malam tadi. Wan Rahim yang berucap sebelum itu mencadangkan supaya beliau segera menyarung sut oren sebagai tanda menyertai Amanah dan meminta sehelai baju berlogo Amanah dihadiahkan kepada Husam. Seorang peserta makan malam kemudian membawa baju warna oren untuk diserah kepada Husam namun beliau hanya mengambil baju tersebut tapi tidak memakainya. Dalam ucapannya beliau terus menyatakan belum menerima sebarang surat berhubung pemecatannya dan hanya mengetahui hal tersebut daripada media atau pihak lain. "Ada orang minta saya merayu, tapi apa yang saya nak rayu kerana kesalahan saya pun sehingga ini tidak diberitahu," kata beliau yang juga ADUN Salor. Berkenaan tuduhan beliau juga kononnya menerima rasuah berkaitan balak beliau mencabar mana-mana pemimpin negeri untuk mendedahkan akaun masing-masing untuk dinilai rakyat. "Datuk Ahmad Yakob, Datuk Nik Amar Abdullah atau mana-mana pemimpin boleh umum akaun bank masing-masing untuk tunjuk kedudukan kewangan masing-masing. "Saya boleh dedahkan akaun saya, mereka buka akaun mereka, kita tengok berapa banyak duit saya ada sehingga terus menerus buat fitnah," kata beliau. Berkenaan kempen turunkan Najib melalui gerakan Selamatkan Malaysia, beliau yakin sokongan besar akan diberi oleh rakyat. "Sekarang dah dapat 1.27 juta tandatangan dan kita akan serah kepada Yang Dipertuan Agong dan selepas ini kita akan menggerakkan banyak lagi usaha sehingga gerakan ini menjadi kenyataan," katanya. Malaysia dateline |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |