Nuffnang

Pengikut

Kelab Greenboc

sumber :-

Kelab Greenboc


PAS Makin Terpinggir & Semakin Lemah...

Posted: 30 Dec 2016 12:42 AM PST

Pas semakin terpinggir, ahli semakin keliru, dakwa penganalisis

Pas kini semakin terpinggir dari arus perdana politik tanah air manakala ahlinya pula keliru dengan apa yang hendak dibawa oleh pimpinan parti itu, kata penganalisis politik.

Menurut kajian lapangan yang dibuat oleh Ilham Centre, ahli Pas tidak tahu ke mana hala tuju Pas sebenarnya menjelang pilihan raya umum akan datang, samada akan bersama dengan Barisan Nasional (BN) atau pembangkang.

Pengerusi Eksekutif badan kajian bebas itu, Hisomuddin Bakar berkata, kebanyakan ahli bawahan Pas tidak setuju dengan pendekatan kepimpinan parti itu yang dilihat sukar untuk bekerjasama dengan parti pembangkang yang lain apatah lagi mahu bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).


"Ahli bawah yakin, suasana tidak akan memihak mereka jika berlaku pertandingan tiga penjuru dan mereka lebih setuju dielakkan perkara itu dengan memastikan berlakunya pertandingan dua penjuru pembangkang melawan BN," katanya.

Tetapi katanya, dasar yang dibuat oleh Pas untuk tidak mahu sekali-kali bekerjasama dengan DAP dan Amanah menyusahkan Pas sendiri.

"Tindakan pimpinan Pas meletakkan dasar tidak akan sekali-kali bekerjasama dengan DAP dan Amanah dari awal-awal lagi bagi saya adalah satu kesilapan.

"Ini kerana, politik ini adalah serba mungkin. Apabila sudah dijadikan dasar tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah, ia menyebabkan pergerakan Pas akan terhad dan terkongkong dengan perkara ini.

"Jika tiba-tiba boleh pula bekerjasama dengan kedua-duanya, Pas akan dilihat tidak ada pendirian pula,"
kata Hisomuddin.

Bagi beliau, pendekatan Pas untuk hanya bekerjasama dengan PKR dan Bersatu ketika tidak mahu dilihat bekerjasama dengan rakan kedua-duanya iaitu DAP dan Amanah menyulitkan kedudukan Pas sendiri.

"Ahli biasa Pas atau mana-mana pendokong parti politik lebih senang berfikiran mudah dan jelas bukan berliku-liku," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menjangka kumpulan yang keliru ini akan bila-bila masa boleh menyertai Amanah jika dilihat parti baru saingan Pas itu lebih jelas tindakan mereka.

"Pas boleh kehilangan ahli yang kritikal semacam ini jika terus bersikap begini," kata Hisomuddin.

Menurut Hisomuddin, mesej yang dihantar oleh Pas kepada ahli dan penyokongnya juga mengelirukan.

"Ketika orang nombor satu Pas dan penyokong tegarnya dilihat mendekati pemimpin Umno, orang nombor dua pula dilihat menjauhi dari Umno dan mahu mendekati parti pembangkang yang lain.

"Namun mesej orang nombor dua juga dilihat terkongkong kerana dasar tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan Amanah ini.

"Jadi dari hari ke hari Pas dilihat semakin terpinggir dari arus perdana politik tanah air dan ahlinya terus keliru," katanya.

Presiden Pas menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong tegar mereka dalam isu kunjungan ke Iran, kata seorang lagi pengkaji politik, Dr Bridget Welsh.

Presiden Pas menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong tegar mereka dalam isu kunjungan ke Iran, kata Dr Bridget Welsh.

Dr Bridget Welsh berkata, kekeliruan ahli Pas bertambah dengan isu pemergian presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Iran ketika negara itu dikaitkan dengan serangan terhadap rakyat Syria di Aleppo.

"Saya rasa Hadi kini bermasalah dengan penyokong tegarnya dalam parti yang selama ini anti Syiah dan NGO konservatif yang selama ini menyokong parti itu," kata saintis politik itu.

Sebelum ini, Penasihat Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mendakwa Pas sebuah parti yang keliru.

Namun pandangan ini disanggah oleh ahli parlimen Pas dari Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Bagi beliau Pas tidak keliru kerana sejak dari awal lagi sudah dinyatakan oleh pimpinan Pas mereka mahu bersama blok ketiga bukan kumpulan besar pembangkang atau Barisan Nasional.

"Yang keliru adalah parti dalam Pakatan Harapan dan Bersatu yang masih dok harap Pas akan bersama mereka," kata Mahfuz. -MD

PAS yang semakin lemas Oleh Rahman Imuda


Sebelum saya menulis pandangan saya berkenaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam kancah politik nasional, adalah lebih baik saya menjelaskan beberapa perkara. Pertama sekali, saya harus mengakui berinteraksi dengan kebanyakan pengikut PAS tidak mudah.

Tahap fanatisisme kebanyakan mereka sering menjadi tembok yang besar kepada orang luar dan dalam parti untuk memberi kritik/saran untuk kebaikan parti itu.

Mereka yang mengkritik parti itu sering diberikan pelbagai gelaran seperti melawan ulama, jebon (James Bond) atau tidak sayangkan Islam, sesuatu yang tidak patut berlaku kerana mana-mana parti yang tidak terbuka dengan kritikan akan cenderung menjadi lesu.

Perlu difahami bahawa PAS bukanlah agama, walaupun agama Islam merupakan agenda utama parti PAS; sifir PAS adalah Islam dan Islam adalah PAS tidak boleh digunakan di negara ini atau di mana-mana negara sekalipun.

Islam adalah agama yang sempurna manakala parti politik cenderung untuk memiliki kelemahan dan kecacatan.Apabila kita bersetuju dengan perkara ini, maka bolehlah kita memaknakan semula istilah "buat kerja Islam", kerana istilah ini tidak eksklusif kepada PAS sahaja, tetapi kepada semua jemaah Islam yang berada di Malaysia.

Kelak apabila kita mendengar istilah ini, maka perlu difahami ia bukan sahaja merujuk kumpulan yang menjadikan politik sebagai wadah perjuangan, tapi kepada semua kumpulan yang membawa agenda memperkasakan Islam.

Saya percaya jika konsep asas ini boleh diterima, maka kesederhanaan dalam mengikuti sesuatu jemaah itu akan tercapai. Konsep kesederhanaan penting untuk mengelakkan ekstremisme dalam berpolitik. Ada masanya kita akan mempertahankan pendirian politik kita jika diganggu-gugat dan ada masanya kita akan memberikan kritik/saran untuk kelangsungan hidup parti yang kita ikuti.

PAS pasca Pakatan Rakyat

Apabila Pakatan Rakyat terkubur, antara teka-teki utama yang bermain di minda pemerhati politik "adakah PAS akan bergerak sendiri selepas ini?". Sehingga saya menulis artikel ini PAS masih lagi belum ada sekutu politik yang baharu tapi saya melihat kebanyakan orang PAS semakin mesra terhadap Umno.

Saya cukup kecewa apabila pimpinan parti itu enggan memberi galakan kepada ahli parti untuk turun ke tunjuk perasaan Bersih baru-baru ini, satu himpunan yang menuntut agar pilihanraya yang lebih bersih diwujudkan.

Tindakan ini mendapat pujian daripada perdana menteri kita.

Hegemoni perkauman dan agama menjadi perangkap utama yang dipasang untuk memikat PAS dalam jalinan kemesraan ini, keterlibatan DAP dan Amanah dalam blok pembangkang memudahkan lagi strategi ini.

Pihak yang mahu bermesra dengan PAS hanya perlu menjadikan isu DAP yang daripada dulu dikatakan ingin menjatuhkan orang Melayu dan menentang Islam sebagai modal utama untuk PAS menolak blok itu, tambah-tambah lagi PAS daripada dulu memang jarang senada dengan DAP.

Saya merasakan PAS lebih sanggup untuk bekerjasama dengan Umno berbanding DAP dan Amanah. Sekiranya PAS ingin 'menangguhkan' kemenangan pilihan raya umum sekali lagi, maka kita mungkin akan melihat parti ini akan bergerak secara bersendirian.

Kelantan dalam bahaya

Saya merasakan PAS perlu melakukan sesuatu yang drastik jika masih mahu mentadbir Kelantan selepas PRU-14. Pemergian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Haron Din, penubuhan Amanah, isu pembalakan dan pembubaran Pakatan Rakyat merupakan faktor-faktor yang menyebabkan PAS boleh hilang negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Sepanjang saya belajar di Kelantan, saya beberapa kali berbual dengan rakyat Kelantan berkenaan kerajaan sepertimana yang mereka mahukan. Kebanyakan berpandangan mereka mahukan kerajaan yang memperjuangkan Islam dan membela kebajikan rakyat.

Dasar Islamisasi di Kelantan bagi saya sudah berjaya, tapi PAS tidak boleh bergantung dengan modal itu semata-mata. Kerajaan Kelantan perlu datang dengan bukti empirikal berkenaan pencapaian daripada aspek ekonomi dan kebajikan rakyat.

Musuh politik PAS juga pasti akan menggunakan taktik "pemimpin Islam" ini, pastinya calon-calon yang dipasang nanti akan mempunyai keperibadian Islam untuk menandingi calon-calon daripada PAS.

Jika PAS berhasrat ingin menggunakan modal rang undang-undang 355, maka dengan mudah Umno akan berkata kami juga menyokong undang-undang tersebut dengan memberi ruang Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentangkan usul itu di Dewan Rakyat.

PAS perlu ingat, mereka pernah kehilangan negeri di Terengganu dan Kedah, dan faktor utama kekalahan mereka kerana kurangnya pencapaian yang jelas, disamping pelbagai faktor luaran seperti penipuan dan media.

Cadangan kepada PAS

Pada pandangan peribadi saya, PAS masih merupakan antara parti yang terkuat dan atas sebab itulah ramai yang mahu bermesra dengan parti ini. Namun, PAS harus bijak dalam menangani pelawaan yang mereka terima agar tidak ditunggangi oleh mana-mana parti, lebih-lebih lagi parti yang nazak.

PAS juga perlu memperkemaskan bahagian penerangan agar mampu untuk membalas semula tohmahan dan kritikan kerana saya melihat ini merupakan kelemahan utama mereka. Terlalu sedikit tokoh yang boleh menjawab tuduhan/soalan dengan bijak dan berhemah.

Sayap parti seperti Gamis (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia), Nisa' (puteri PAS) dan Unit Amal (Jabatan Amal Malaysia Pemuda PAS) perlu memainkan peranan semaksima yang boleh. Bercakap tentang Gamis, mereka baharu sahaja menerima Presiden yang baharu, selaku aktivis mahasiswa saya berharap agar Gamis kembali rancak dalam dunia aktivime sekaligus menyediakan tapak asas yang kuat untuk PAS.

Kesimpulan

PAS perlu mencari penyelesaian dan taktik terbaik menghadapi PRU-14 jika mereka masih mahu kelihatan gagah dalam kancah politik nasional.

Antara taktik yang saya lihat mungkin akan berlaku adalah kerjasama politik antara PAS-Umno; jika PAS pernah bertahaluf siyasi dengan DAP, maka kerjasama dengan Umno pasti tidak mengundang rasa marah kebanyakan penyokong PAS.

Kedua-dua parti ini saling memerlukan, Umno yang sekarang dikaitkan dengan pelbagai isu dan kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedikit sebanyak akan merisaukan mereka, demikianlah juga drama PAS dan Amanah.

Jika PAS ingin bergerak sendiri, maka pendirian mereka harus jelas dan wajar mengelakkan bermesra-mesra dengan blok pembangkang dan kerajaan, biarlah menjadi kuasa ketiga yang berimpak dan berpendirian tegas.
-FMT


VIDEO BERKAITAN








FEATURED ADS



Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT