Nuffnang

Pengikut

.

sumber :-

.


Tawaran Khalid kepada Pas anti klimeks

Posted: 27 Dec 2016 06:33 PM PST

RESPONS

Khalid Samad
Tampaknya pemimpin Amanah masih menaruh hati dan harapan dengan parti agama (Pas) untuk berbaik-baik dan bekerjasama bagi menentang UBN satu lawan satu dalam Piraum akan datang. Keinginan itu mengiktiraf bahawa Pas masih ada kekuatan walaupun kini sudah berpecah.

Walaupun parti agama itu sudah menunjukkan belang dan ketegasannya menolak sebarang kerjasama di kalangan pembangkang membabitkan Amanah dan DAP, tetapi masih ada pemimpin Amanah terliur dan pelahap untuk mengajak sama Pas.

Apakah pemimpin itu masih terkenang-kenang wangi kentut sesetengah pemimpin Pas semasa berada dalam parti itu dulu? Hanya lidah dapat merasa pahit, kelat, manis, masam dan masin.


Apakah juga dia menaruh harapan kepada Pas kerana sudah menyedari dan bimbang dengan kedudukan dan harapannya untuk mempertahankan status sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya akan datang, bahawa tanpa sokongan Pas dia akan kalah? Kalau begitu caranya maka pemimpin ini mementingkan diri sendiri.



Pemimpin Amanah yang dimaksudkan menunjukkan understanding politik dengan Pas itu ialah Ketua Komunikasi nya, Abdul Khalid Samad. 

Dalam satu kenyataan Khalid telah menyatakan kesediaan Amanah untuk memberi laluan kepada Pas mengepalai di negeri Kelantan dan Terengganu tanpa Amanah dikecualikan ikut sama bertanding di negeri-negeri berkenaan. Bagi saya apa dinyatakan Khalid itu suatu tawaran yang cukup baik tetapi ia menjadi anti klimeks setelah beberapa ketetapan sudah diambil pemimpin Amanah lain berkaitan kerjasama dengan Pas.

Tawaran dan kesediaan Amanah itu sesuatu yang praktikal dan sikap politik liberal diamalkan Amanah. Ia juga tindakan waras memandangkan senario dan pengaruh parti agama di kedua-dua buah negeri itu. Ia juga ditambah dengan sikap fanatik penyokong parti itu di kedua-dua buah negeri itu.

Justeru saya sendiri pernah mencadangkan agar Pas di kedua-dua negeri ini diberi kuasa veto, mentadbir dan menyediakan strategi politik mengikut kehendaknya sendiri tanpa mempedulikan keadaan politik di negeri-negeri lain, khasnya di Pantai Barat yang mana geografi pengundiannya berbeza dan sikap berpolitik rakyatnya juga berlainan.

Bagaimana pun dari satu segi tawaran dan idea Khalid itu sebagai anti klimeks kerana ia telah menentang apa yang sudah dicanaikan oleh pemimpin Amanah lain khasnya di Kelantan, di mana Husam Musa sudah menegaskan bahawa Amanah Kelantan sanggup berhadapan dengan sesiapa sahaja di Kelantan termasuk Amanah.

Setelah Pas Kelantan menunjukkan sikal "babilnya" untuk tidak bersama Amanah menyebabkan Penasihat Amanah Kelantan itu mengambil pendirian Amanah sedia maju untuk berhadapan dengan Umno meskipun tanpa Pas. Bahkan kata Husam Amanah akan berlawan dengan Pas kalaupun parti itu berkolaborasi dengan Umno. Tiga penjuru bagi Husam bukan sesuatu yang menakutkannya.

Apabila Khalid lewat menawarkan idea itu, sesudah Husam membuat komitmen dan rakyat Kelantan yang muak dengan Pas selesa, ia dilihat bercanggah dan tidak ada keputusan konkrit dari Amanah. Kenyataan tawaran Khalid itu juga bersifat nafsu nafsi yang tidak patut berlaku dalam Amanah. Dalam saat di ambang pilihan raya seharusnya tidak ada kenyataan bercelaru di antara pemimpin Amanah.

Tawaran Kahlid itu juga menyebabkan kita bertanya apakah ahli Parlimen Shah Alam itu tidak mengerti dan faham-faham dengan sikap parti agama itu. Apakah beliau masih belum serit atau tidak terhidu apa yang sedang berlaku dan dilakukan Pas waktu ini?

Khalid seharusnya sedar tangan Pas kini telah terikat dengan tali rahsia oleh Umno menyebabkan ada sebahagian pemimpin tertinggi parti agama itu untuk menggaru gatal dan mengibas lalat yang hinggap di pipinya pun tidak dapat dilakukan lagi kerana kedua-dua belah tangan sudah terikat kejap. Isu RM90 juta serta beberapa kes salah laku pemimpinnya sangat menekan mereka dan ia bukan perkara kecil. Khalid dan Amanah sendiri tidak mampu melunasi hutang "gade" itu.

Selain itu sudah beberapa kali juga sesetengah pemimpin Pas menyatakan sikap berpatah arang berkerat rotan mereka tidak akan berkerjasama dengan Amanah dan DAP. Apakah Khalid tidak faham. Bagi saya usaha memujuk Pas adalah sia-sia sahaja. Selagi parti itu pimpinan Ustaz yang kini bertarag Guru Hadi, ia tidak akan berubah ketetapan yang telah diambil walaupun setapak. Beliau sangat istiqamah dengan ijtihadnya.

Sudah acap kali saya sebut perkara ini, cemar mulut untuk mengulanginya lagi.

Daripada terus mendekati dan mengharapkan Pas yang kelihatan seperti "meroyan" lebih baik Khalid dan Amanah berfikir untuk perkuatkan Amanah di negeri berkenaan. Cari apa juga jalan atau mekanisme untuk menyedarkan sebulangan rakyat supaya tidak terus terbelenggu dengan dogma politik Pas. Perkara paling menebal dalam kepada masyarakat kini ada masih beranggapan Pas sebagai sebuah agama yang mana jika mereka tinggal menyebabkan akan berdosa. Masalah atau pegangan ini patut direlaikan dahulu.

Rakyat bukan sahaja perlu dimerdekakan dengan masalah kos sara hidup yang terdesak, tetapi mereka juga perlu dibebaskan dari menerima dan mengamalkan fahaman kosevetif berlandaskan dogama agama yang salah dibawa Pas. Khalid perlu banyak membaca hadith dan sirah mengenai kebejatan ini kemudian mencari solusinya daripada cuba mendempek Pas.

Selain itu gerakan memadukan kerjasama sesama pembangkang, PPBM, PKR dan Warisan di Sabah lebih penting dan utama daripada terus mengajak dan menawarkan peluang politik kepada Pas. Tawaran itu bukan sahaja anti klimeks tetapi sekaligus meletakkan bahawa Amanah seakan memaparkan kelemahannya.

Strategi halus Khalid tidak dapat diintip oleh rakyat, sebaliknya akan dipergunakan Pas untuk menempelak Amanah dan menjadikan ia semakin besar kepala dan tinggi hidung.

Sikap dan pendirian Pas dalam memutuskan hubungan dan pendirian politiknya dengan Amanah dan DAP tidak akan berdegis lagi. Pas tidak makan nasihat. Keadaan Pas dalam konteks ini samalah seperti penagih dadah tegar sukar untuk dipulihkan.

Penagih kalau tidak dapat dadah, mereka sanggup mengambil apa sahaja benda bukan sahaja daun ketum bagi melepaskan gian, tetapi tahi lembu juga sebagai alternatif. Nah, begitulah Pas dalam berhadapan dengan Amanah. Bagi saya kalau boleh dikonotasikan ketegangan Pas dengan Amanah dewasa ini ianya sama seperti ketegangan Syiah dengan Sunni. Parah.

Yang terbaik Amanah perlu mengambil sikap seperti Pas juga. Kalau Pas tegas dan berani serta yakin dengan strategi politiknya bersendirian atau berpakat dengan Umno, maka Amanah juga harus begitu. Khalid tidak perlu terkenang laman permainan lamanya.

Berterusan bermain tarik tali dengan Pas sekali tegang sekali kendur ia boleh memening dan mengelirukan penyokong bawahan. Politik kena berani dan sedia menanggung risiko. Kepentingan peribadi harus dilupakan. Kalau Amanah tertakdir kalah dalam Piraum akan datang disebabkan sikap Pas, ia perlu ditanggung. Kalau kita berani keluar parti dan menubuhkan Amanah kenapa kita harus membinag kekalahan bakal menjemput kita. Sebab itu orang tua-tua ada memberi ingatan supaya berhati-hati dalam seganap tindakan.

Tawaran Khalid itu adalah sikap memberi muka kepada Pas. Ia bukan sahaja menjatuhkan maruah Amanah sebaliknya menambah nilai kepada Pas. Percayalah diplomasi dengan Pas selagi ianya dipimpin Guru Hadi tidak ada guna lagi. Masa untuk itu lebih baik dimanfaatkan untuk memperkuatkan Pakatan Harapan dan mengemaskan jentera pilihan raya Amanah. [wm.kl.10:30 am 28/12/16]

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT