Sabtu, 8 Oktober 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Hadi: Jika Kita Berperang Dengan UMNO, Bukan Islam Akan Memerintah...

Posted: 08 Oct 2016 02:01 AM PDT

Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa "Kalau kita berperang dengan Umno, orang bukan Islam akan perintah negeri ini".

Beliau berkata demikian di dalam satu Majlis Dialog RUU 355 di Rusila yang diadakan pada pertengahan bulan September lalu.

Turut bersama Haji Hadi di dalam majlis Dialog berkenaan ialah YB. Dato' Dr. Fadzli Bin Dato' Haji Hassan Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Majlis itu telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bin Bahri.


Haji Hadi menjelaskan mudharat lebih besar jika UMNO kalah dan ini akan membolehkan kaum bukan Islam memerintah.

Video ucapannya itu telah tersebar luas di media sosial.

Ramai beranggapan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS itu menjelaskan mengapa PAS kini mengubah dasarnya untuk berbaik dengan UMNO dan ia sebagai penerusan dan kesinambungan agenda "Kerajaan Perpaduan" yang pernah dicadangkannya semasa era pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi.

Kenyataan Hj Hadi itu amat bercanggah samasekali dengan kenyataan-kenyataan yang pernah dibuat sebelum ini terutama sewaktu PAS bersama-sama di dalam Pakatan Rakyat.

Beliau pernah menyifatkan dakwaan bahawa DAP akan menguasai pentadbiran kerajaan hanyalah propaganda untuk menakutkan rakyat khususnya kaum Melayu.

Beliau berkata demikian di dalam satu ucapannya di Pulau Bahagia pada 18 Februari 2013.

"(Rakyat) ditakut-takutkan sekiranya Barisan Nasioal (BN) kalah, Malaysia diambil alih oleh DAP. DAP bertanding 50 daripada 222 kerusi (Parlimen). Kalau menang habis pun tidak boleh perintah Malaysia.

Kenyataan Haji Hadi yang pernah menimbulkan kontroversi besar ialah pada 7 April 1981 di Banggol Peradong Kuala Terengganu dimana lahirnya apa yang dikatakan AMANAT HADI yang antara lainnya menyebut:

"Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka."

"Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'."

Berdasarkan rentetan itu dengan perkembangan semasa, ternyata sikap Haji Hadi sudah jauh berbeza dan tidak istiqamah di dalam menentang kezaliman UMNO.

Ramai ahli-ahli PAS turut terpinga-pinga dengan sikap Haji Hadi yang kerap membuat pusingan U (u-turn) sehingga akhirnya ahli-ahli PAS sendiri kebingungan dan ramai diantaranya mengambil langkah meninggalkan parti itu. -Greenboc







FEATURED ADS


Tiada ulasan: